Showing posts with label Jiran. Show all posts
Showing posts with label Jiran. Show all posts

Sunday, May 17, 2009

Tegur kesalahan jiran secara berhemah elak sengketa berpanjangan

SAYA mendiami kawasan perumahan yang kebanyakan penduduknya bukan Islam. Jiran saya melakukan ubah suai rumah tanpa memberitahu kami dan menyebabkan keluarga saya terputus bekalan elektrik buat beberapa jam. Saya hilang sabar dan menyuarakan rasa tidak puas hati kepada jiran itu kerana tindakannya. Siapakah bersalah dalam soal ini. Apakah saya perlu memohon maaf kepadanya.

Azman A,
Ampang.

ALLAH SWT berfirman dalam al-Quran menerusi surah al-Nisa ayat ke-36 bermaksud: "Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah SWT dan jangan kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa juga; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa dan kaum kerabat, dan anak yatim, dan orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah SWT tidak suka kepada orang yang sombong takbur dan membanggakan diri".

Al-Imam Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat ini mengemukakan tidak kurang lima hadis yang menerangkan kepentingan berbuat baik kepada jiran dan yang terakhir dalam senarai itu ialah wasiat Nabi SAW kepada pertanyaan sahabat agar menghadiahkan kepada jiran paling hampir berbanding yang lain. Suruhan Baginda berlaku apabila ditanyakan keutamaan hadiah itu disampaikan.

Dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim, maksudnya: "Sentiasalah Jibril mewasiatkan kepadaku agar berbuat baik kepada jiran sehingga aku menyangkakan jiran itu boleh mewarisiku."

Dalam kes saudara, saya berasakan saudara tidak bersalah kerana dalam Islam, seseorang yang berjiran wajib memberitahu jirannya jika dia ingin membuat perubahan pada struktur binaan rumah. Tambahan pula perubahan binaan rumah moden boleh menyebabkan kesan langsung kepada jiran seperti terputus bekalan elektrik dan air.

Lebih malang lagi apabila perubahan itu mengakibatkan keretakan atau tanah runtuh. Nasihat saya, saudara perlu memohon maaf kepadanya atas kata-kata yang mungkin melukakan perasaannya.

Namun, untuk memastikan hubungan jangka masa panjang lebih baik, saudara boleh memberinya hadiah dan berkunjung ke rumahnya. Dengan cara ini lebih mudah untuk menyatakan perasaan yang terbuku dalam hati.

Saudara boleh mengamalkan bacaan ayat 25-26 surah Taha yang menjadi rahsia kelancaran Nabi Musa AS ketika berdakwah agar mudah meluahkan rasa tidak puas hati terhadap jiran anda.

Semoga Allah SWT mempermudahkan usaha saudara dan jiran sedar atas kesilapannya lalu semangat kejiranan meningkat. Wallahu alam.

Sunday, April 26, 2009

Persoalan Agama: Asuh murid kelas agama hormati jiran

Bersama Jakim

Soalan:

Apakah hukumnya mengadakan kelas agama dengan terlalu bising di rumah sehingga mengganggu ketenteraman dan ketenangan jirannya? Persoalan kedua, apakah cara terbaik bagi meleraikan masalah itu secara baik?

Hamba Allah,
Pahang.

Jawapan:

FIRMAN Allah yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan sesuatu jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat dan anak yatim, dan orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh dan rakan-rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang sombong dan membanggakan diri." (Surah an-Nisa': Ayat 36).

Jiran tetangga adalah salah satu golongan yang amat dititikberatkan dalam Islam.

Oleh itu, semua orang mempunyai tanggungjawab untuk berlaku baik kepada jiran tetangga seperti saling hormat-menghormati, mudah menghulurkan bantuan, mengelakkan perselisihan faham dan sebagainya.

Merujuk kepada masalah yang anda hadapi, perlulah kedua-kedua pihak saling bertolak ansur dan berbincang dengan baik atau melantik pihak ketiga yang lebih disegani dan dihormati bagi membantu menyelesaikan masalah itu.

Sebaik-baiknya mereka yang mengadakan pengajian di rumah yang menyebabkan kebisingan sehingga mengganggu jiran tetangga (kemungkinan rumah yang dipisahkan oleh dinding papan) hendak berusaha mengawal keadaan seperti menasihati anak murid agar tidak terlalu menguatkan suara ketika berbicara, membaca atau menghafal supaya mereka memahami kepentingan menghormati jiran tetangga.

Pilihan kedua ialah mengadakan kelas pengajian di tempat yang lebih sesuai dan selesa.

Jiran tetangga pula perlulah bertolak ansur dengan memikirkan adakah kelas pengajian itu diadakan sepanjang waktu yang menyebabkan rasa terganggu atau hanya memakan masa sejam dua di dalam sehari.

Justeru, sekiranya seseorang itu berlapang dada dalam soal pengajian agama atau kelas mengaji al-Quran yang diadakan oleh jirannya, moga-moga Allah SWT melapangkan kehidupannya.

Bagaimanapun, sekiranya kelas pengajian itu sesuai diikuti, maka adalah lebih baik jiran tetangga memberi sokongan dan mengikutinya bersama-sama untuk menambahkan pengetahuan mereka dalam bidang berkenaan. Sokongan akan meningkatkan kerjasama mereka.

Sunday, April 12, 2009

Persoalan Agama: Jiran wajar beri sokongan aktiviti kelas agama

Bersama Jakim

Soalan:

SAYA ingin bertanya hukum mengadakan kelas agama dengan terlalu bising di rumah sehingga mengganggu ketenteraman dan ketenangan jirannya? Persoalan kedua, apakah cara terbaik bagi meleraikan masalah itu secara baik?

HAMBA ALLAH,
Pahang.

Jawapan:

Firman Allah yang bermaksud "Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan-rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba-hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang sombong dan membanggakan diri." � (Surah an-Nisa': Ayat 36).

Jiran tetangga adalah salah satu golongan yang amat dititikberatkan di dalam Islam. Oleh itu, semua orang mempunyai tanggungjawab untuk berlaku baik kepada jiran tetangga seperti saling hormat-menghormati, mudah menghulurkan bantuan, mengelakkan perselisihan faham dan sebagainya.

Merujuk kepada masalah yang anda hadapi, perlulah kedua-kedua pihak saling bertolak-ansur dan berbincang dengan baik atau melantik pihak ketiga yang lebih disegani dan dihormati bagi membantu menyelesaikan masalah berkenaan.

Sebaik-baiknya mereka yang mengadakan pengajian di rumah yang menyebabkan kebisingan sehingga mengganggu jiran tetangga (kemungkinan rumah yang dipisahkan oleh dinding papan) hendaklah berusaha mengawal keadaan seperti menasihati anak murid agar tidak terlalu menguatkan suara ketika berbicara, membaca atau menghafal supaya mereka memahami kepentingan menghormati jiran tetangga. Manakala pilihan kedua ialah mengadakan kelas pengajian di tempat yang lebih sesuai dan selesa.

Jiran tetangga pula perlulah bertolak ansur dengan memikirkan adakah kelas pengajian itu diadakan sepanjang waktu yang menyebabkan rasa terganggu atau pun hanya memakan masa sejam dua di dalam sehari. Justeru, sekiranya seseorang itu berlapang dada dalam soal pengajian agama atau pun kelas mengaji al-Quran yang diadakan oleh jirannya, moga-moga Allah SWT melapangkan kehidupannya.

Bagaimanapun, sekiranya kelas pengajian itu sesuai diikuti, maka adalah lebih baik jiran tetangga memberi sokongan dan mengikutinya bersama-sama.

Friday, April 10, 2009

Hormati hak jiran asas bentuk masyarakat harmoni

Oleh Lokman Ismail


KEGIATAN gotong-royong mampu mengeratkan lagi hubungan sesama jiran. - Gambar hiasan


Islam mementingkan keseimbangan hidup bertetangga dan individualistik elak permusuhan

HAK kebebasan individu dan keluarga diperakui serta dihormati dalam masyarakat kerana perkara ini penting bagi menjamin keselesaan hidup dinikmati dengan bebas tanpa gangguan. Bagaimanapun, kebebasan itu perlu difahami serta diamalkan dengan baik.

Islam melarang campur tangan terhadap kebebasan orang lain. Haram melakukan perbuatan yang mendatangkan kesusahan terhadap orang lain.

Begitu juga Islam mementingkan adab kejiranan dan menekankan aspek hak asasi individu, keadilan sosial serta keselamatan dalam kehidupan sehari-hari. Aspek itu penting bagi mengelak perpecahan, dengki, bermusuhan dan khianat.

Kemantapan dan keutuhan kejiranan bergantung kepada ketinggian budi pekerti. Melalui adab kesopanan dan budi pekerti tinggi menjadikan individu menikmati keselesaan hidup untuk dirinya, serta tidak mengganggu ketenteraman orang lain. Dirinya membawa kebaikan, kedamaian dan keselamatan kepada individu lain.

Islam bererti damai dalam segala bentuk kehidupan. Individu Muslim mesti menterjemahkan kedamaian itu dalam dirinya dan masyarakat. Jangan lakukan perbuatan mengganggu individu lain secara fizikal, mental ataupun emosi.

Menjadi lumrah manusia yang hidup di muka bumi ini saling memerlukan antara satu sama lain. Apa yang penting, kita berusaha melakukan perbuatan yang tidak menggugat ketenteraman dan kebahagiaan orang lain.

Islam menggariskan beberapa peraturan hidup berjiran dan bermasyarakat. Antara perkara yang ditekankan ialah adab bertamu. Rumah adalah kawasan peribadi pemilik dan ahli keluarga yang tinggal di dalamnya.

Dalam Islam, peraturan menghormati kuasa tuan rumah sudah tercatat dalam al-Quran. Ini membuktikan satu peraturan hidup penting yang mesti dipatuhi setiap individu Muslim.

Allah berfirman yang bermaksud: "Hai orang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik bagimu, supaya kamu ingat." (Surah an-Nur, ayat 27)

Sambungan dalam surah yang sama, menjelaskan kita perlu meninggalkan rumah yang dikunjungi jika pemiliknya tidak mahu menerima tetamu. Kita tidak perlu mempersoalkan tindakan pemiliknya. Perbuatan itu (meninggalkan rumah) lebih baik kerana banyak hikmah di sebaliknya.

Firman Allah yang bermaksud: "Jika kamu tidak menemui seseorang pun dalamnya, maka janganlah kamu masuk sebelum kamu mendapat izin. Dan jika dikatakan kepadamu: Kembalilah, maka hendaklah kamu kembali. Itu lebih bersih bagimu dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Surah an-Nur, ayat 28)

Islam menitikberatkan hubungan kejiranan kerana ia satu keperluan. Hidup kita tidak terlepas daripada mempunyai jiran. Hubungan baik dengan jiran dapat mewujudkan kehidupan setempat yang aman dan harmoni.

Tuntutan supaya berbuat baik dengan jiran dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: "Hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak yatim dan orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jauh." (Surah an-Nisa, ayat 36)

Jiran yang perlu dihormati tidak terhad kepada jiran beragama Islam. Wajib menghormati dan menjaga hak jiran bukan Islam, termasuk berkaitan kepercayaan dan amalan agama mereka. Sikap toleransi terhadap jiran bukan Islam penting kerana ia juga sebahagian daripada dakwah.

Tindakan itu memberi imej baik berkaitan Islam. Ia dapat mengelak provokasi atau tindakan menghina daripada penganut agama lain.

Rasulullah SAW amat mementingkan hubungan dengan jiran dan menekankan perkara sama kepada sahabat. Perkara itu dijelaskan Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Jibril sentiasa mewasiatkan kepadaku mengenai jiran tetangga sehingga aku menyangka bahawa beliau (iaitu jiran) yang akan mewarisinya (pusaka)." (Hadis riwayat Bukhari)

Sebagai umat Nabi Muhammad, apa yang ditunjukkan Baginda mesti diamalkan dalam kehidupan seharian. Apa yang dilakukan adalah untuk tujuan kebaikan diri sendiri. Fikirkan jika kejiranan kita dalam keadaan tidak selamat, musibahnya akan terkena kepada kita juga.

Tidak dinafikan, usaha mewujudkan kerukunan hidup berjiran masa kini menghadapi sedikit kesulitan. Bilangan individu mementingkan diri dan keluarga semakin bertambah. Lihatlah, kawasan rumah kebanyakannya berpagar menggunakan tembok sehingga tidak dapat melihat apa yang berlaku di dalam kawasan itu.

Sikap tidak bergaul dengan jiran tetangga melahirkan masyarakat yang ego. Tetamu yang datang hanya di kalangan rakan dan saudara mara dari jauh. Jika ada kenduri kendara pun, tetamu yang dijemput bukan jiran yang tinggal di sekelilingnya.

Jiran adalah orang yang paling hampir dengan kita kerana apa juga perkara yang berlaku terlebih dulu diketahui jiran. Jiran adalah orang paling dekat untuk memohon pertolongan ketika ditimpa musibah sementara menunggu bantuan pihak berwajib atau sanak saudara.

Firman Allah yang bermaksud: "Bertolong-tolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan ketakwaan dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan." (Surah al-Maidah, ayat 2)

Fenomena yang berlaku dalam kejiranan sekarang banyak buruknya. Pertama, kita hilang nikmat hubungan kejiranan, berasa hidup dalam penjara di rumah sendiri. Keluarga dan jiran tidak lagi memberi nilai positif kepada diri untuk berdepan suasana lebih luas.

Kurang interaksi dengan jiran menyebabkan kemahiran komunikasi, pembinaan akhlak, jati diri, budaya dan percambahan fikiran tidak berkembang dengan baik. Ini memberi kesan kepada keseluruhan hidup. Paling ketara berlaku kepada anak apabila mereka tidak dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat.

Fitrah manusia memerlukan hubungan dengan individu atau keluarga lain. Budaya membina tembok konkrit sebagai pagar kawasan rumah mesti diubah. Sudah memadai jika dibuat pagar kawat atau besi untuk tujuan keselamatan.

Untuk menjaga hubungan baik dalam lingkungan kejiranan, perlu mengamalkan dan menghayati sikap berlapang dada, bertolak ansur, saling memahami, meningkatkan kesabaran, bertukar pendapat, mencari titik persamaan dan mengeratkan hubungan dengan penuh hikmah serta kasih-sayang.

Di samping itu, sikap negatif seperti buruk sangka, iri hati, dengki dan fitnah perlu dikikis serta dijauhkan. Usaha memupuk semangat kejiranan perlu dilakukan dengan gigih dan berterusan. Jiran sepakat membawa berkat.

Peraturan berjiran memberikan penyelesaian adil dan berterusan terhadap pelbagai penyakit masyarakat. Cuba kita muhasabah diri berkaitan hubungan kita dengan jiran. Jangan kita berasa sudah sempurna iman disebabkan kerap berulang alik ke masjid kerana masih banyak perkara lain perlu dijadikan ukuran.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak sempurna iman seseorang, sebelum dia kasihkan jiran tetangganya, sebagaimana dia kasihkan dirinya sendiri." (Hadis riwayat Bukhari)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik atau diam dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Begitu juga sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya."

Wednesday, August 13, 2008

Semangat berjiran perlu diasuh sejak kecil

Oleh Khairunneezam Mohd Noor

Ibu bapa berperanan terap kepentingan nilai murni hidup bermasyarakat

PEPATAH Melayu ada menyebut, 'bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat'. Tafsiran pepatah ini merujuk kepada pentingnya hidup sekumpulan manusia bertunjangkan nilai kemuafakatan, kesefahaman dan tolak ansur.

Nilai muafakat itu penting dalam konteks hidup berjiran. Walaupun sempadan rumah dipisahkan dengan pagar besi mahupun batu konkrit, namun perkongsian nilai hidup harmoni tetap kukuh jika wujudnya sifat mengambil berat, hormat-menghormati dan menghargai hak sesama jiran tetangga.

Keharmonian hidup berjiran sangat dititikberatkan Islam. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa juga; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran tetangga dekat, jiran tetangga jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar, dan hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang sombong takbur dan membanggakan diri." (Surah an-Nisa', ayat 36)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran tetangganya." (Hadis riwayat al-Bukhari).

Mengambil berat hidup berjiran sebenarnya perlu dipupuk sejak daripada kanak-kanak. Pada usia inilah anak mudah menyerap sebarang bentuk pendidikan diberi dan menerapkannya dalam kehidupan seharian, ibarat 'buluh yang dilentur dengan mudah dari rebungnya'.

Anak perlu dididik akan siapa dan apa pentingnya jiran sebelah-menyebelah dalam kehidupan. Hidup berjiran saling tak ubah seperti 'aur dengan tebing', saling perlu-memerlukan. Mana perkara silap, ditegur secara berhemah dan berhikmah, mana yang betul, dijadikan panduan dan pedoman semoga kehidupan sentiasa di bawah keredaan Allah.

Anak juga perlu tahu bahawa jiran itu terbahagi kepada beberapa kategori yang mempunyai hak dan keutamaannya tersendiri. Kategori pertama adalah jiran bukan Islam yang mempunyai satu hak, iaitu hak berjiran.

Kategori kedua adalah jiran beragama Islam yang mempunyai dua hak, iaitu hak jiran dan hak Islam. Manakala kategori ketiga pula adalah jiran beragama Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan, yang memiliki tiga hak, iaitu hak jiran, hak Islam dan hak kekeluargaan.

Perbezaan hak ini perlu dijelaskan kepada anak lantaran kepentingannya dalam menyatupadukan komuniti kejiranan setempat tanpa mengabaikan walau satu pun hak mana-mana pihak.

Sejak usia kecil lagi, jika anak faham akan kepentingan menjaga hak dan keharmonian sesama jiran tetangga, diyakini bahawa mereka akan terus memupuk dan menjulang nilai murni hidup bermasyarakat seperti mana disyariatkan Islam.

Untuk itu, ada banyak perkara yang boleh kita sebagai ibu bapa terapkan kepada anak berkaitan erti kemanisan hidup berjiran antaranya:

l Menggalakkan anak mengamalkan sikap hormat, merendah diri, tidak sombong serta menunjukkan tingkah laku dan pertuturan mulia terhadap jiran tetangga. Ia selaras hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Hendaklah seseorang itu berperi laku baik terhadap jiran tetangganya." (Mutafaqun 'alaih)

l Menegah sikap buruk sangka, menimbulkan fitnah, mengumpat serta mencerca jiran tetangga. Sikap buruk seperti ini berupaya meleraikan ikatan silaturahim sesama jiran. Anak perlu diajar jangan terlalu mudah mempercayai, malah menyebarkan khabar berita yang tidak menyenangkan berkaitan dengan jiran demi menjaga maruah dan keaiban mereka.

l Memupuk anak mengamalkan budaya bertanya khabar dan menziarahi jiran tetangga terutama jika mereka sakit, ditimpa kesusahan atau menghadapi musibah. Adab berziarah perlu difahami kerana berdasarkan ajaran Islam ada masanya tidak sesuai untuk kita bertandang ke rumah jiran.

l Mendidik anak 'ringan tulang' membantu jiran yang memerlukan sebarang pertolongan. Anak perlu tahu bahawa pertolongan diberikan bukan sekadar bersifat material dan fizikal, bahkan sokongan moral turut berupaya membantu jiran mengharungi dugaan dan kesukaran yang diuji Allah.

l Menegah anak mengganggu dan merosakkan hak jiran. Misalnya, membuat bising yang boleh mengganggu ketenteraman, membuang sampah di halaman rumah jiran atau mengambil sesuatu milik mereka tanpa keizinan.

l Menggalakkan anak menyertai program komuniti setempat seperti solat berjemaah di masjid, majlis agama seperti bertadarus dan bertahlil, kenduri atau gotong-royong. Dengan cara itu barulah anak faham jiran tetangga adalah pihak paling sesuai untuk meminta bantuan.

l Jika berlaku masalah atau percanggahan pendapat sesama jiran tetangga, anak perlu dilatih untuk melaksanakan kaedah penyelesaian yang tepat, mengikut syariat Islam serta tidak membesarkan perkara itu hingga menjadi kronik.

Sifat berdendam juga perlu dibuang jauh-jauh di kalangan anak demi menjaga kemurnian perhubungan sesama jiran, malah anak juga perlu menyuburkan sifat bertolak ansur, mengalah dan mudah memaafkan apa juga kesalahan jiran terhadap mereka.

l Menggalakkan anak bersedekah apa saja termampu kepada jiran tetangga yang memerlukan. Sesungguhnya tangan yang memberi itu lebih mulia daripada yang menerima dan akan diberikan ganjaran sebaiknya oleh Allah.

Ibu bapa sendiri perlu menunjukkan contoh teladan sebaiknya kepada anak dalam hal kehidupan berjiran. Jika kita sendiri mengadu domba, bermusuhan dan mengasingkan diri daripada bertemu mesra dengan jiran, tidak hairanlah jika anak kita turut sama berbuat sedemikian.

Berilah pedoman kepada anak untuk memuliakan jiran tetangga seumpama mereka itu adalah sebahagian daripada keluarga terdekat yang sangat kita kasih.

Penulis berkhidmat di Universiti Sains Islam Malaysia dan sedang melanjutkan PhD di La Trobe Universiti Melbourne Australia

Friday, February 15, 2008

Jendela Hikmah: Memelihara hak jiran tanpa mengira bangsa, anutan

Oleh Alias Othman

SEBILANGAN kita memandang ringan mengenai hal kejiranan apalagi yang berkaitan dengan jiran bukan Islam. Walhal Allah dan Rasul-Nya amat mengambil berat mengenai hubungan itu dan melihat ia sebagai satu kekuatan membina tamadun.

Allah mewahyukan Rasul mengenai pentingnya menjaga psikologi kejiranan untuk melahirkan masyarakat penyayang dan prihatin.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat beliau hendaklah memuliakan jirannya dan siapa yang beriman dengan Allah dan hari kiamat beliau hendaklah menghormati tetamunya.”

Sabda baginda lagi yang bermaksud: “Jiran itu tiga, jiran yang baginya satu hak dan dia adalah jiran paling minimum haknya, jiran baginya dua hak dan jiran yang baginya tiga hak dan dialah jiran paling istimewa haknya. Adapun jiran yang baginya satu hak ialah jiran dikongsi tanpa (hubungan) rahim, baginya hak kejiranan. Ada pun jiran yang baginya dua hak adalah jiran Muslim, hak sebagai Muslim dan hak sebagai jiran. Adapun yang baginya tiga hak adalah jiran Muslim yang ada hubungan rahim, baginya hak sebagai Muslim, keluarga dan jiran.”

Hubungan kejiranan dalam masyarakat tiada batasan agama. Semua mereka yang tinggal berhampiran rumah kita, Islam atau bukan Islam adalah jiran kita.

Oleh itu, dalam masyarakat Islam hak kejiranan antara orang Islam dan bukan Islam adalah sama. Ia merangkumi perkara membabitkan material, emosional dan spiritual.

Antara hak kejiranan ialah memuliakan jiran serta mengambil berat mengenai kebajikan mereka seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jibril sentiasa berwasiat kepada saya mengenai jiran, sehingga saya sangka jiran akan mewarisi jirannya.”

Ambil berat terhadap jiran dapat dilakukan dengan pelbagai cara antara lain tolong mengawasi keselamatan rumah jiran, memberi pertolongan kepada jiran dalam menghadapi kesukaran, menjadi pendengar yang baik dan sokongan emosi untuk memelihara hubungan secara psikologi.

Jiran yang baik juga berkongsi kesusahan jirannya. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Di akhirat kelak jiran yang miskin bergantung kepada jirannya yang kaya dan berkata: Wahai Tuhanku, tanyalah dia ini, kenapa dia menghalang aku daripada kebaikannya dan menutup pintunya dariku.”

Selain itu, jiran hendaklah berkongsi kegembiraan, memberi tahniah atas kejayaan, melakukan sesuatu yang menggembirakan jiran, maafkan kesalahan jiran, menziarah jiran yang sakit dan tidak menyakiti jiran dengan perbuatan atau perkataan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga jirannya selamat daripada kejahatannya.”

Menyusahkan jiran boleh berlaku dalam pelbagai cara yang mungkin kebanyakan dilakukan kita sama ada dengan sedar atau tidak seperti cara meletak ampaian pakaian terutama di rumah bertingkat, meletak kenderaan di tepi jalan atau hadapan rumah.

Malah, cara meletak pasu bunga, pokok hiasan ada kalanya menimbulkan rasa kurang senang di hati jiran apatah lagi bunyi bising daripada alat hiburan yang mengganggu ketenteraman terutama bagi jiran yang mempunyai anak kecil.

Jika selama ini kita tidak terfikir untuk mengambil hati jiran bukan Islam, mungkin inilah masa terbaik untuk memulakan hubungan dengan menghulurkan salam kejiranan. Masih belum terlambat untuk kita meluaskan skop hubungan kejiranan dengan bukan Islam.

Apabila tiba saatnya nanti, Allah bertanya kepada kita di akhirat kelak, apakah sumbangan yang kita berikan untuk Islam? Sekurang-kurangnya kita boleh menjawab kita sudah mempamerkan akhlak kejiranan Islam yang cantik kepada jiran bukan Islam.

Penulis ialah mantan pensyarah di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya dan bekas Naib Presiden JIM. Beliau boleh dihubungi di e-mel wanitajim0@yahoo.com