Showing posts with label (A) Ustaz Zamanuddin Jusoh. Show all posts
Showing posts with label (A) Ustaz Zamanuddin Jusoh. Show all posts

Friday, March 5, 2010

Soal Jawab Agama: Anak luar nikah dilayan sama rata

Bersama Ustaz Jamanuddin Jusoh

Soalan:

BERKENAAN kedudukan anak luar nikah di sisi Allah jika dia beriman, apakah dia berhak ditempatkan di syurga? Adakah benar sabda Nabi, anak luar nikah dan keturunannya tidak akan mencium bau syurga? Harap dapat sedikit penjelasan.

Fatimah Abd Manaf,
Pahang.

Jawapan:

ISLAM menganjurkan hubungan halal melalui pernikahan bagi meneruskan kesinambungan umat dan keturunan dan mengharamkan zina kerana membantutkan proses itu.

Persoalan saudari berkenaan anak luar nikah, dia tetap menjadi ahli syurga dan akan dilayan dengan sebaiknya oleh Allah seperti orang lain jika dia beriman dan beramal soleh.

Syeikh Ismail Muhammad A'jluni di dalam kitabnya Kashful Khafa, juz kedua halaman 372: “Tidak akan masuk syurga anak yang dilahirkan secara haram” diriwayatkan oleh Abu Naim dari Abu Hurairah RA. Imam Nasai juga meriwayatkan hadis ini dengan makna sama.

Namun demikian, Imam Daru Qutni menyebut sanad (silsilah perjalanan) hadis ini tidak sampai kepada sahabat Nabi iaitu Abu Hurairah RA.

Pengarang kitab Maqasid mengatakan hadis ini diragukan. Ulama hadis iaitu Abu Tahir dan Ibnu Jauzi mengatakan hadis ini maudu' (direka-reka). Pengarang kitab Safarus Saa'dah mengatakan hadis ini batil.

Al-hafiz Ibnu Hajar menyebut hadis ini bermaksud anak itu tidak akan masuk syurga jika sekiranya dia masih mengamalkan perbuatan terkutuk seperti yang dilakukan ibu bapanya.

Kebanyakan ulama bersepakat bahawa hadis ini tidak ditafsirkan mengikut zahir

lafaznya dan ia mestilah ditakwilkan maknanya (mengikut andaian lafaznya). Begitu juga maksud lafaz ‘tidak akan masuk syurga’ bermakna dia tidak masuk syurga bersama golongan yang awal kerana orang yang melakukan maksiat akan diazab terlebih dulu dalam jangka masa yang ditentukan Allah dan tidak kekal di neraka.

Jika dia bertaubat maka dia akan terlepas melainkan jika dia menghalalkan hukum zina itu sendiri lalu menjadi murtad dan kekal di neraka.

Bagi menjelaskan maksud hadis di atas Abu Daud di dalam sunannya meriwayatkan sebuah hadis Nabi Muhamad dari Abu Hurairah RA bermaksud: “Anak nia (luar nikah) adalah terkutuk jika dia terus mengamalkan amalan kedua orang tuanya.” (al-hadis)

Friday, February 12, 2010

Soal Jawab: Silaturahim asas masyarakat cemerlang

Oleh Ustaz Zamuddin Jusoh

SAYA mempunyai keluarga yang sering bergaduh membabitkan hal remeh sehingga membabitkan kedua-dua ibu bapa. Bolehkah ustaz terangkan mengenai tuntutan Islam terhadap hubungan silaturahim dan kekeluargaan serta perkara berkaitan ketaatan terhadap kedua-dua ibu-bapa?

Nurashikin Ismail

Bandar Sungai Buaya, Rawang



KITA dapati sejak akhir-akhir ini, fenomena derhaka kepada kedua-dua orang tua dan sering mencetuskan pergaduhan antara saudara sendiri menjadi semakin parah dalam masyarakat yang mendakwa mempunyai tamadun tinggi. Ada yang berbakti secara bermusim seperti hari perayaan saja dan meninggalkan saudara mereka jauh setelah musim itu selesai.

Ingatlah bahawa apabila kembalinya seseorang ibu atau bapa ke rahmatullah, maka satu seruan dari sisi Allah SWT berbunyi: “Sesungguhnya hilanglah dari dunia ini orang yang telah kami muliakan kamu di dunia ini kerana kewujudannya”. (Maksud Hadis Qudsi)

Adalah menjadi satu kewajipan bagi seorang mukmin memohon keampunan kepada Allah SWT bagi kedua ibu bapanya dan seluruh orang yang beriman, menghubungkan silaturahim persaudaraan, menghulurkan bantuan pada perkara yang baik.

Maksud silaturahim ialah mengambil berat serta menyayangi mereka dengan menghulurkan bantuan yang diperlukan dengan cara berterusan. Perkara yang kurang diperhatikan dalam masyarakat hari ini adalah sesuatu yang amat penting dalam proses membina masyarakat cemerlang. Antara yang ingin dibicarakan di sini ialah:

l Berbakti kepada kedua-dua ibu bapa dan silaturahim mengikut pandangan al-Quran.

Memutuskan hubungan persaudaraan adalah sesuatu yang diharamkan oleh syariat Islam dan Allah SWT mengaitkan hubungan persaudaraan ini dengan namaNya yang mula. Firman Allah SWT: “Dan takutlah kamu akan Allah SWT yang kamu sering memohon pada-Nya dan peliharalah silaturahim. Sesungguhnya Allah SWT amat hampir kepada kamu”. (Surah An-Nisa, ayat 1)

Ini adalah peringatan daripada pemilik alam semesta bahawa silaturahim adalah antara cabang untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT. Ini bermakna memutuskan silaturahim adalah sesuatu yang amat buruk akibatnya di sisi Allah SWT yang menganugerahkan limpahan rezeki dan kepada manusia melalui hubungan ini.

Allah SWT mencipta menjadikan sebab dan musabab kepada sesuatu perkara. Ini dapat dilihat apabila seseorang bertemu saudaranya dengan perasaan riang gembira justeru Allah SWT akan memberi keberkatan dan kebaikan yang banyak.

Ditambah pula dengan sifat pemurah dalam ketakwaan kepada Allah SWT, lalu ia mendapat kasih sayang daripada manusia yang baik dan doa daripadanya, seterusnya mendapat keredaan Allah SWT. Mereka yang menyimpang tidak akan merasai nikmat ini. Firman Allah SWT: “Sesiapa yang bersikap bakhil sebenarnya dia bakhil terhadap dirinya sendiri.” (Surah Muhammad, ayat 380)

l Kelebihan berbakti kepada ibu bapa dan silaturahim mengikut paparan hadis Rasulullah SAW

Dalam sebuah hadis sahih daripada Anas Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menginginkan bahawa Allah SWT memurahkan rezekinya dan mendapat keberkatan pada umurnya, maka hendaklah ia menghubungkan silaturahim.”

Dari Abdullah Umar RA berkata: Rasulullah SAW bersabda “Keredaan Allah adalah di bawah keredaan kedua-dua ibu bapa dan kemurkaan Allah adalah di bawah kemurkaan kedua-dua ibu bapa.” (HR Tirmizi dan di tashih oleh Ibnu Hibban dan Hakim)

Derhaka kepada kedua-dua ibu bapa adalah antara dosa besar. Sabda Nabi SAW: “Sebesar-besar dosa ialah syirik dan derhaka kepada ibu bapa.”

Sahabat bertanya: “Apakah seorang anak sanggup mencaci kedua-dua ibu bapanya?”

Jawab Nabi SAW: “Apabila seseorang mencaci ibu bapa orang lain, maka mereka akan mencaci ibu bapanya pula.” Sabda Rasul SAW: ‘Tidak akan masuk syurga mereka yang memutuskan silaturahim.”

Friday, February 5, 2010

Soal Jawab Agama: Kewujudan jin, iblis dan syaitan sesatkan manusia wajib dipercayai

Ustaz Zamanuddin Jusoh

APAKAH perbezaan antara jin, iblis dan syaitan serta peranan makhluk itu dalam mengganggu dan menyesatkan umat manusia. Apakah benar ia dapat dilihat dalam jelmaan tertentu. Apakah hukum mereka yang ingkar akan kewujudannya dengan alasan ia tidak dapat dilihat.

Durazaman

KETIGA-TIGA makhluk ini ciptaan Allah SWT yang berurusan untuk mengganggu serta menyesatkan manusia. Ia dicipta daripada api seperti termaktub dalam al-Quran melalui firman bermaksud: "Dan Dia menciptakan jin dari api." (Surah ar-Rahman, ayat 15).

Mereka diberi keizinan Allah untuk menyesatkan manusia sehingga hari kiamat. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya kamu (wahai iblis) diberi tangguh untuk mengganggu anak Adam hingga hari kiamat." (Surah Sad, ayat 81).

Hakikatnya mereka berasal dari satu golongan kerana al-Quran juga menggunakan istilah jin, iblis dan syaitan. Imam Al-Qurtubi dalam tafsirnya pernah mentafsirkan jin dengan makna iblis. Al-Quran menjelaskan ia asalnya kelompok malaikat (mengikut setengah tafsiran) yang ingkar perintah Allah.

Kebanyakan ulama tafsir menyatakan iblis adalah bapa kepada semua jin dan syaitan. Ia juga terdiri daripada yang beriman dan kafir. Ia tidak dapat dilihat oleh pandangan mata kasar manusia. Allah berfirman bermaksud: "Sesungguhnya dia (syaitan) dan kuncunya dapat melihat kamu sedangkan kamu tidak dapat melihat mereka." (Surah al-A'raf, ayat 27).

Ada pendapat mengatakan iblis dan syaitan berasal daripada golongan jin yang ingkar perintah Allah supaya sujud kepada Nabi Adam. Dikatakan bahawa Jin Afrit adalah yang paling aktif dan cerdik seperti sejarah Nabi Sulaiman dan Puteri Balqis dari Yaman.

Makhluk ini mampu menjelma dalam bentuk tertentu seperti sabda Rasulullah bermaksud: "Jin ada tiga golongan, bersayap dan mampu terbang di udara, berupa benda melata seperti ular dan sebagainya, berwajah cantik dan mengilai." (Hadis riwayat Hakim dengan sanad sahih).

Hadis daripada Aishah diriwayatkan Muslim, mengatakan anjing hitam adalah jelmaan syaitan. Begitu juga kucing dan keldai hitam kerana warna hitam adalah himpunan kekuatan bagi syaitan dan tenaga tambahan bagi mereka.

Tetapi bukan bermakna semua anjing, kucing dan kaldai hitam adalah syaitan kerana maksud ungkapan Rasulullah adalah gambaran kepada warna yang buruk dan kurang faedahnya bagi binatang itu. (Dr Abd Wahab Abd Ati Abdullah � Rektor Universiti Al-Azhar).

Antara peranan jahat syaitan ialah:

* Mencipta permusuhan antara manusia. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya syaitan bermaksud untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu." (Surah Al-Maidah, ayat 91).

* Menghilangkan pertimbangan akal yang waras. Sabda Rasulullah bersabda bermaksud: "Janganlah kamu marah kerana perasaan itu adalah datang daripada syaitan."

* Tamak dan hasad dengki. Allah mewahyukan kepada Nabi Nuh di atas bahteranya: "Dua perkara yang akan merosakkan manusia disebabkan iblis, dengki dan tamak." (Ibnu Jauzi).

* Mencipta bibit perpecahan sesama umat Islam. Dari sahabat bernama Jabir bahawa Rasulullah bersabda bermaksud: "Sesungguhnya iblis putus asa terhadap orang yang solat tetapi ia mampu memecahbelahkan perpaduan mereka." (Hadis riwayat Bukhari).

* Memesongkan akidah umat Islam. Firman Allah bermaksud: "Dan syaitan berusaha untuk menyesatkan umat Islam dengan kesesatan yang amat jauh." (Surah An-Nisa', ayat 60).

* Menyeru kepada kejahatan. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu melakukan perbuatan jahat dan keji dan menyatakan mengenai agama Allah apa yang tidak diketahui." (Surah Al-Baqarah, ayat 169).

* Menghalal serta mengharamkan sesuatu tanpa ilmu pengetahuan. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu melakukan perbuatan jahat dan keji dan menyatakan mengenai agama Allah apa yang tidak diketahui." (Surah Al-Baqarah, ayat 169).

* Menjauhkan manusia daripada mengingati Allah. Firman Allah bermaksud: "Sesiapa yang berpaling dari mengingati Allah maka syaitan adalah teman yang selalu bersamanya." (Surah Az-Zukhruf, ayat 36).

* Mencipta perbalahan dalam agama. Firman Allah bermaksud: "Ada di kalangan manusia yang membantah mengenai agama Allah tanpa ilmu dan mengikut syaitan yang jahat." (Surah Al-Haj, ayat 3).


Justeru, sesiapa yang ingkar mengenai kewujudan jin dan keturunannya adalah kafir kerana menolak apa yang terdapat dalam al-Quran daripada nas yang jelas.

Friday, January 29, 2010

Soal Jawab Agama: Solat Subuh, Fajar berbeza hanya dari segi bahasa

Bersama Ustaz Zamanuddin Jusoh

APAKAH perbezaan solat Fajar dan solat Subuh. Bilakah waktu sebenar solat Dhuha dan bilakah tamatnya waktu Dhuha. Adakah wujud apa yang disebut sebagai qada dalam sembahyang bagi mereka yang sengaja meninggalkan solat. Apakah ia termasuk dosa besar. Apakah mereka perlu qada atau bertaubat. Harap mendapat penjelasan.

Ibu keliru,
Rawang

SEBAHAGIAN ulama berpendapat perbezaan antara solat Fajar dan solat Subuh hanyalah daripada segi bahasa. Bagi solat sunat sebelum subuh disebut solat Fajar dan solat wajib disebut solat Subuh. Ada di sesetengah tempat seperti di Asia Barat, solat Subuh disebut solat dua rakaat fajar.

Mengenai solat Fajar yang disebut dalam hadis daif, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Dua rakaat Fajar adalah lebih baik dari dunia dan segala isinya."

Adapun solat Dhuha berbeza daripada keduanya sama sekali kerana ditunaikan selepas waktu Subuh selesai ketika matahari di langit mencapai kadar segalah atau kira-kira jam 8.30 pagi hingga kira-kira 15 minit sebelum masuk waktu Zuhur. Jika selepas daripada waktu itu, hukumnya makruh.

Bagi yang tertidur sehingga kesiangan, maka waktu Subuh baginya adalah sehingga selesai solat dengan syarat dia tidak melengahkannya. Walaupun ada yang mengqada, tidaklah menjadi kesalahan, tuntutan kewajipan (taklif) terlepas daripada orang yang tertidur.

Hadis Abi Qatadah daripada Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya tidak ada tuntutan kewajipan pada yang tidur dan taklif hanyalah pada yang sedar. Sesiapa yang tertidur atau terlupa menunaikan solat, maka hendaklah dia solat ketika dia bangun atau teringat daripada lupa. Tidak ada sebarang denda padanya melainkan menunaikan terus solat itu."

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Tunaikanlah sembahyang kerana mengingatiku." (Surah Taha, ayat 14)

Berdasarkan hadis itu, ulama berpendapat solat yang ditunaikan secara qada hanyalah pada istilah saja sedangkan hakikatnya dia sudah menunaikan solat itu. Bagi yang sengaja meninggalkan solat wajiblah qada dan bertaubat kerana dia sudah melakukan dosa besar terhadap Allah SWT.

Banyak hadis Nabi SAW menyatakan ancaman terhadap mereka yang meninggalkan solat antaranya, sabda Rasul SAW yang bermaksud: "Antara iman dan kufur ialah meninggalkan sembahyang." (Hadis riwayat Tirmizi)

Dalam hadis yang sanadnya adalah baik, Nabi SAW bersabda yang maksudnya: "Tiga perkara asas dalam Islam jika salah satu daripadanya ditinggalkan boleh menjadi kafir dan halal darahnya. Pertama ialah kalimah syahadah, keduanya ialah solat fardu dan ketiganya ialah puasa Ramadan."

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Ahli syurga bertanyakan kepada mereka yang dimasukkan ke dalam neraka, kenapa kamu dimasukkan ke dalam neraka Saqr? Mereka menjawab: Kami meninggalkan sembahyang. Kami juga tidak memberi hak kepada fakir miskin." (Surah al-Muddassir, ayat 40-44).

Ibnu Hajar Al-Haitami meletakkan perkara ini dalam kitabnya Azzawajir dalam menyatakan dosa besar bagi mereka yang sengaja meninggalkan solat.

Friday, January 22, 2010

Soal Jawab Agama: Khalifah Umar mahu semua hadis dikumpul

Oleh Ustaz Zamanuddin Jusoh
zaman@nstp.com.my

Apa yang diucapkan, perlakuan Rasulullah SAW dipelihara sahabat Baginda sebagai warisan

Soalan:
SEKARANG ada kenyataan dan fahaman yang meragukan terhadap hadis Nabi SAW. Baginda juga pernah melarang sahabat menulis hadisnya. Bolehkah dijelaskan serba ringkas mengenai perkara ini dan bagaimana proses pengumpulan hadis, sejauh mana ia terpelihara sehingga sampai kepada kita sekarang.

Pencinta hadis
Selangor

Jawapan:
ILMU penulisan sudah berkembang sebelum kenabian Muhammad SAW dan terkenal sejak sebelum kelahiran Baginda SAW. Baginda sentiasa menggalakkan umat Islam untuk mempelajarinya. Ini jelas apabila Baginda mengizinkan tawanan perang Badar mengajar 10 kanak-kanak Madinah sebagai harga tebusan mereka.

Walaupun ketika Nabi SAW masih hidup ramai penulis wahyu iaitu 33 hingga 40 orang menurut Al-Masu'di dalam kitabnya At-Tanbih Wal Ishraf, hadis tidak juga ditulis seperti mana al-Quran kerana ayat al-Quran ialah lafaz dari Allah yang tidak boleh diubah dan ditulis sebaik ia diturunkan.

Memang ada hadis Nabi SAW mengenai larangan penulisan hadis. Walau bagaimanapun ada banyak hadis membolehkannya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Janganlah kamu menulis apa-apa dariku. Sesiapa yang sudah menulis, maka hendaklah ia padamkan." (Hadis riwayat Muslim)

Friday, January 15, 2010

Soal Jawab Agama: Cara tunai solat gerhana matahari, bulan

Bersama Ustaz Zamanuddin Jusoh
zaman@nstp.com.my

BOLEHKAH Ustaz memberi sedikit ulasan mengenai gerhana. Hukum solat padanya dan cara-cara menunaikan solat gerhana.

Mona Ahmad
Kuala Lumpur.

Gerhana bulan atau matahari adalah salah satu tanda kebesaran Allah SWT dan untuk mengingatkan hamba-Nya mengenai besarnya nikmat cahaya kepada seluruh umat manusia.

Ia mengingatkan manusia bahawa Allah SWT berkuasa melakukan sesuatu ke atas alam maya ini mengikut kehendak-Nya.

Selain itu ia bertujuan menginsafkan manusia terhadap dosa yang dilakukan oleh mereka. Dengan itu mereka perlu tunduk dan sujud mengadap pencipta serta berdoa agar sentiasa mendapat cahaya dan dijauhkan malapetaka daripada-Nya.

Hukum solat gerhana ialah sunat mengikut ulama. Begitu juga sunat berjemaah mengikut Imam Syafie, Ahmad dan jumhur ulama. Wujud juga perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenai kelakuan solat gerhana dan bilangan rukuknya.

Pendapat yang kuat di dalam Mazhab Syafie ialah dua rakaat dan dua kali rukuk pada setiap rakaat. Begitu juga wujud perbezaan mengenai bacaan kuat oleh Imam (jahr) dan perlahan (sir).

Pernah berlaku gerhana pada zaman hayat Baginda SAW dan Baginda bersolat jemaah bersama para sahabat. Saidatina Aishah menceritakan bahawa Baginda SAW memanjangkan bacaannya selepas takbiratul ihram dengan membaca surah al-Baqarah, memanjangkan rukuk pada masa yang hampir sama beliau berdiri tadi dan bangun semula serta membaca al-Fatihah dan surah al-Imran kemudian Baginda rukuk lagi (jumlah rukuk 2 kali) dengan masa yang panjang dan bangun semula serta sujud (2 kali).

Begitulah dilakukan Baginda pada rakaat kedua sehingga akhirnya dengan membaca tahiyyat dan salam. (Hadis riwayat Bukhari, Muslim)

Berpandukan hadis ini, Imam Syafie, Ahmad dan Ishaq bersepakat merumuskan bahawa solat gerhana mempunyai dua kali rukuk pada rakaat pertama dan dua sujud. Begitu juga pada rakaat kedua. Ia dilakukan dalam jangka masa lebih panjang daripada biasa pada bacaan dan kelakuan seperti rukuk dan sujud.

Jika sekiranya masuk waktu solat fardu seperti Zuhur atau Asar dan sebagainya, Imam Syafie di dalam kitab Al-Um berpendapat lebih baik melakukan solat gerhana dulu kerana waktu gerhana biasanya terlalu singkat kemudian barulah solat fardu dan membaca khutbah selepasnya.

Jika waktu gerhana dijangka berpanjangan dan memungkinkan solat fardu terlebih dulu, maka bolehlah kita menunaikan solat fardu. Sekiranya berlaku pada hari Jumaat, maka didahului solat gerhana dengan memendekkan semua bacaan dan rukun-rukunya.

Sunat juga diceritakan mengenai gerhana pada teks khutbah Jumaat pada hari itu. Jika ada jenazah yang perlu disembahyangkan, maka didahului sembahyang jenazah. Begitu juga jika bertepatan solat hari raya. Maka didahulukan solat hari raya.

Pernah dilakukan oleh Nabi SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas bahawa Nabi SAW mengangkat takbiratul ihram dengan niat sembahyang gerhana dua rakaat. Selepas takbiratul ihram, baginda membaca fatihah dan surah serta dan rukuk dan tasbih seperti biasa kemudian baginda bangkit semula membaca fatihah dan surah.

Kemudian Baginda rukuk yang ketiga barulah baginda sujud dua kali seperti solat biasa. Begitulah seterusnya dilakukan Baginda pada rakaat kedua sehingga diakhiri dengan salam. (Hadis riwayat Tirmizi).

Penulis ialah Eksekutif di Unit Agama NSTP dan boleh dihubungi dengan e-mel, zaman@nstp.com.my

Friday, January 1, 2010

Soal Jawab Agama: Takwa penuh ikhlas dihiasi sunnah Rasulullah lebih berkat

Bersama Ustaz Zamanuddin Jusoh
zaman@nstp.com.my

  • SAYA pernah mendengar mengenai pendapat yang mengatakan takwa terletak pada hati, bukan pada serban, jubah, janggut dan sebagainya yang melambangkan Islam. Sedangkan kita tahu bahawa semua perbuatan itu adalah sunnah Nabi SAW. Harap dapat penjelasan. Mat Kucai
    Seksyen 10, Wangsa Maju


    TAKWA secara ringkasnya ialah menunaikan perintah kewajipan dan meninggalkan segala larangan Allah. Benarlah apa yang saudara dengar mengenai takwa kerana Rasullullah SAW pernah bersabda: "Takwa adalah di sini, sambil mengisyaratkan ke hati Baginda SAW sebanyak tiga kali." (Muslim).

    Apabila ada perasaan takwa di dalam jiwa seseorang, maka dihiasi dengan pakaian yang disunatkan Nabi SAW atau sekurang-kurangnya pakaian yang menunjukkan tanda keislaman seseorang, tentulah lebih baik lagi. Firman Allah: "Sesungguhnya pada Rasulullah itu adalah contoh ikutan yang baik bagi mereka yang mengharapkan keredaan Allah." (Surah al-Ahzab ayat 21).

    Ibnu Abbas pernah mengatakan: "Pakailah dan ucaplah apa saja, apa yang menjadi perhitungan ialah dua perkara iaitu riak dan takbur terhadap Allah SWT." Bagi mereka yang melanggar perintah Allah dengan menggunakan alasan bahawa takwa hanya di hati tidak dapat diterima sama sekali. Pelanggaran hukum Allah adalah sesuatu yang bertentangan dengan sifat takwa.

    Sebagai contoh, dalam berpakaian kerana apa yang haram dan halal sudah pun jelas di hadapan kita. Sabda Rasullullah SAW: "Bagi lelaki tutuplah antara pusat dan lutut" (Darimi). Firman Allah: "Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang beriman agar mereka melabuhkan pakaian mereka menutupi tubuh mereka agar mereka dikenali dan tidak diganggu." (Al-Ahzab ayat 59). Saidina Umar berkata: "Kami adalah insan yang hanya dapat menghukum mengikut pandangan zahir sahaja."


  • Apakah hak seorang pesalah menurut Islam dan sejauh manakah seorang hakim dapat menilai terhadap kesalahan seseorang dan seterusnya menjatuhkan hukuman terhadap seseorang pesalah?
    Azrin Amin
    Kuala Lumpur

    Islam adalah agama yang menekankan prinsip keadilan yang memberi ruang kepada semua pihak bagi mengemukakan dalil dan hujah masing-masing. Pada masa sama manusia mestilah bersifat amanah dalam setiap kelakuan mereka selaras dengan firman Allah SWT: "Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan kamu supaya mengembalikan hak kepada empunya dan apabila kamu menghukum hendaklah kamu menghukum dengan adil dan saksama." (An-Nisa ayat 58).

    Syariat Islam tidak membenarkan seseorang itu dihukum selagi tidak terbukti kesalahannya dan setiap keterangan hendaklah dipelajari dan dikaji dengan teliti. Menjadi kewajipan kepada hakim untuk memberi ruang kepada tertuduh untuk mempertahankan dirinya. Sebuah kaedah ilmu fiqah menyebut: "Pihak pendakwa hendaklah mengemukakan keterangan dan bagi yang mengingkarinya hendaklah bersumpah."

    Hakim hendaklah berusaha agar setiap hukuman yang akan dijatuhkan itu diteliti supaya keputusan yang bakal diambil kelak tidak menzalimi mana-mana pihak. Apatah lagi jika ada pengakuan yang dibuat oleh tertuduh sebelumnya dirujuk semula.

    Maka di sini wujud keraguan terhadap kesalahan itu apabila pengakuan sudah ditarik semula. Sabda Rasullullah SAW: "Hukuman tidak boleh dilakukan dalam keadaan ragu-ragu, jika ada jalan keluar pada sesuatu masalah, maka berilah ruang padanya kerana hakim yang tersilap membebaskan pesalah lebih baik dari melakukan kesilapan dalam menghukum seseorang."

    Seorang sahabat bernama Maiz mengaku berzina kepada Baginda dan Rasullullah SAW tidak tergesa-gesa dalam menjalankan hukuman. Baginda memberi peluang kepada Maiz untuk menarik balik pengakuannya dengan berkata: "Mungkin kamu hanya mencium atau menyentuhnya saja." Imam Malik berkata: "Jika mereka yang membuat pengakuan terhadap kesalahannya kemudian menarik balik pengakuan itu, maka dia tidak akan dihukum". (Syarah Az-Zarqani pada kitab Muwatta' Imam Malik).

    Sebuah hadis dari Sahl Saad menyebut bahawa seorang lelaki datang kepada Baginda SAW dan mengaku berzina dengan seorang wanita.

    Baginda SAW terus memanggil wanita itu bagi mengesahkan dakwaan tetapi wanita itu menafikannya dan Baginda SAW menghukum lelaki tersebut dan membebaskan wanita tadi. (Imam Ahmad di dalam Musnadnya).

    Pernah dibawa kepada Baginda SAW seorang pencuri yang ditangkap dan dia membuat pengakuan tetapi barangan yang dicuri tiada padanya. Baginda berkata: "Apakah benar kamu mencuri? Lalu jawab lelaki itu: "Benar wahai Rasulullah dan mengulanginya sehingga tiga kali. Maka barulah Baginda SAW menghukum lelaki Itu. (Ahmad, Ibnu Majah, Abu Daud, Nasai dan Baihaqi).

    Islam juga tidak memberikan kebebasan sepenuhnya kepada seorang hakim untuk menjatuhkan hukuman kerana menjadi kewajipan bagi seorang tertuduh mempertahankan dirinya selagi mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian.

    Sebuah hadis sahih menyatakan bahawa Nabi SAW pernah berkata kepada Saidina Ali, ketika melantik beliau sebagai pemerintah di Yaman: "Wahai Ali, kelak kamu akan diminta untuk mengadili sesuatu kes, apabila datang kepadamu dua orang yang mengadu, janganlah kamu menghukum salah seorang daripada mereka sehingga kamu mendengar keterangan daripada kedua-dua pihak agar kamu dapat menilai manakah yang benar." (Tirmizi dan Abu Daud).

    Penulis ialah Eksekutif di Unit Agama NSTP dan boleh dihubungi dengan e-mel, zaman@nstp.com.my

  • Friday, December 25, 2009

    Soal Jawab Agama: Nikah batin tidak sah kerana tiada wali, pasangan wajib kahwin semula

    Oleh Ustaz Zamanuddin Jusoh

    KITA sering mendengar amalan pernikahan secara batin dilakukan pasangan pengantin Islam. Namun persoalan timbul adakah Islam mengiktiraf pernikahan berkenaan dan jika pasangan berkenaan mempunyai anak, apakah hukum kedudukan anak itu?

    Pemuda Kedah
    Alor Star

    Sebenarnya, pernikahan batin muncul apabila masyarakat tidak memahami dan tidak mempelajari Islam yang sebenarnya, sebaliknya mencampuradukkan Islam dengan amalan karut. Di dalam hukum pernikahan mengikut syarak, antara rukun sah nikah, ialah wali dan saksi. Namun apabila nikah batin tidak membabitkan wali dan saksi, tentunya ia jelas tidak sah dan diiktiraf hukumnya.

    Sebuah hadis yang diriwayatkan Tirmizi dari Abu Musa Asya'ri bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Tiada nikah melainkan dengan wali".

    Begitu juga hadis yang diriwayatkan oleh Aishah bahawa Nabi SAW bersabda: "Mana-mana perempuan yang berkahwin dengan ketiadaan izin walinya, maka nikahnya adalah batil (batal), maka nikahnya adalah batil, maka nikahnya adalah batil".

    Begitu juga keperluan dua saksi bagi menghalalkan pernikahan itu, sabda Rasul SAW melalui hadis Ibnu Abbas bermaksud: "Bermula perempuan yang berkelakuan sundal itu ialah mereka yang menikahkan dirinya tanpa saksi". (Tirmizi, Sahih).

    Imam Ahmad berpendapat adalah harus seorang lelaki dan dua perempuan sebagai saksi. Namun demikian beliau tidak bersetuju jika ketiadaan saksi. Imam Syafi'e di dalam kitabnya Al-Um memuatkan sebuah hadis dari Nabi SAW bermaksud: "Tiada sah nikah melainkan dengan wali dan dua saksi yang adil".

    Inilah apa yang dilakukan sahabat Nabi SAW sebagai respons kepada banyak hadis yang bermaksud demikian. Ia juga dikuatkan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas dan sahabat lain menyebut: "Tiada sah nikah melainkan dengan dua saksi yang adil dan wali yang bijak". Pendapat ini juga disokong oleh Zubaidi di dalam syarah Ihya'. Begitu juga disebut oleh Imam Ghazali di dalam kitab Al-wajiz: "Tiada dikira nikah melainkan dengan adanya dua saksi yang adil dan tiada permusuhan antara saksi dan kedua mempelai".

    Saidina Umar pernah membatalkan perkahwinan yang bersaksikan seorang lelaki dan seorang perempuan, seraya berkata: "Jika sekiranya sudah bersatu antara keduanya (yang berkahwin), nescaya akan aku rejam mereka". Apatah lagi jika ketiadaan seorang pun sebagai saksi pada majlis akad berkenaan.

    Jika sekiranya berlaku pernikahan seperti yang disebut penyoal tadi, maka kedua pihak diwajibkan bernikah semula dengan cara yang sah termasuk membayar mahar seperti kebiasaan mengikut bayaran semasa. Maka di dalam soal ini pihak berwajib akan menyelesaikan masalah itu dengan penuh kebijaksanaan jika ia membabitkan soal kekeluargaan dan perlu memberi pengajaran kepada mereka yang berniat melakukannya pada masa akan datang. Dalam pada itu, anak yang dilahirkan hasil dari hubungan itu akan ditentukan oleh mahkamah sama ada ia hasil zina atau syubahat.

    Friday, November 13, 2009

    Soal Jawab Agama: Ulama beri pelbagai tafsiran mengenai keistimewaan Haji Akbar

    Bersama Ustaz Zamanuddin Jusoh

    SAYA masih keliru mengenai 'Haji Akbar'. Saya diberitahu bahawa apabila hari wukuf bertepatan pada Jumaat, ia disebut Haji Akbar dan pahalanya adalah seperti tujuh kali haji. Apakah maklumat itu benar. Harap dapat penjelasan.

    Salim,
    Kuala Lumpur.

    Ulama mempunyai pendapat berbeza mengenai Haji Akbar. Ada yang mengatakan ia adalah hari wukuf kerana ia rukun terpenting dalam ibadat haji. Ada yang mengatakan hari ke-10 Zulhijjah kerana semua asas penting dalam haji sudah diselesaikan.

    Imam Hasan Al-Basri ketika ditanya mengenai Haji Akbar menjawab: "Apa yang perlu ditanyakan lagi kerana hal ini berlaku pada tahun Abu Bakar dilantik Rasul SAW mengetuai rombongan menunaikan haji pada tahun ke-9 hijrah. Jawapan ini juga sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 3 bermaksud: "Dan inilah satu makluman dari Allah SWT dan Rasul-Nya kepada manusia pada hari Haji Akbar, bahawa Allah SWT melepaskan diri dari perjanjian dengan orang Musyrikin".

    Menurut sejarah, ketika Haji Wada' 10 Hijrah, Nabi SAW berwukuf pada hari Jumaat dan esoknya hari ke-10 di Mina masih dalam rangka Haji Akbar. Jika Nabi SAW berwukuf pada hari Jumaat nescaya wukuf Abu Bakar pada tahun sebelumnya bukan hari Jumaat sedangkan pada musim haji berkenaan disebut dalam surah Taubah berkenaan.

    Ibnu Kathir pula lebih cenderung kepada hari yang ke-10 berdasarkan sebuah hadis Abdullah Ibnu Umar bahawa Rasul SAW berdiri berhampiran Jamrah ketika Haji Wada' pada hari ke-10 lalu berkata, "Inilah dia Haji Akbar.'

    Alasan kedua ialah hadis Abdul Rahman Bakrah yang menceritakan, "Pada hari duduknya Rasul SAW di atas belakang unta dan bertanya: "Hari apakah ini? Kami semua diam kerana mungkin Baginda akan mengumumkan sesuatu nama yang baru buat hari itu". Lalu sabda Rasul SAW: "Bukankah hari ini yang bernama Haji Akbar? � (Hadis Bukhari).

    Saidina Ali Abi talib pernah ditanya mengenai Haji Akbar, beliau menjawab: "Hari Nahar (hari ke-10)".

    Jadi tidaklah dapat dipastikan mengenai Haji Akbar ini. Namun demikian ada ulama yang mengambil jalan tengah dengan memberi maksud Haji Akbar - iaitu 'Haji Besar', ibadat haji itu sendiri dengan wukuf di Arafah dan umrah 'haji kecil'. Ulama Tabi'in berpendapat 'Haji Akbar' ialah Haji Qiran (mengerjakan haji dan umrah serentak). Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa Haji Akbar ialah hari ke-10 di Mina kerana melontar Jamrah dan menyembelih binatang.

    Sufya As-Tsaury berkata, "Keseluruhan ibadat haji itu adalah Haji Akbar kerana ia juga disebut Yaumul Fath (hari kemenangan). Setengah ulama berpendapat bahawa haji pertama dilakukan dalam hidup seseorang adalah 'Haji Akbar' kerana ia adalah ibadat yang amat bermakna dalam hidupnya kerana mendapat keistimewaannya yang besar. Adapun wukuf hari Jumaat adalah sama ganjarannya dengan tujuh kali haji tidak ditemui hadisnya.

    Penulis ialah Eksekutif Unit Agama NSTP dan boleh dihubungi melalui emel: zaman@nstp.com.my