Showing posts with label Antarabangsa. Show all posts
Showing posts with label Antarabangsa. Show all posts

Monday, October 20, 2008

Sindrom prasangka dengan agama lain masih wujud

Laporan Hasliza Hassan dari Canberra, Australia



Dialog di New South Wales didakwa belum berkesan semai persefahaman antara penganut

PENGERUSI Suruhanjaya Perhubungan Komuniti (CRC) untuk rakyat pelbagai budaya di New South Wales (NSW), Stepan Kerkyasharian, membangkitkan fakta menarik apabila menyatakan dialog antara agama yang sering dianjurkan kepemimpinan persatuan keagamaan dan masyarakat tidak memberi kesan seperti diharapkan.

Katanya, walaupun ada pertemuan dan perbincangan antara pemimpin pelbagai agama, maklumat yang diperoleh tidak disebarkan kepada akar umbi menyebabkan mereka terus jahil mengenai agama, amalan serta cara hidup masyarakat pelbagai budaya di Australia.

"Pada dialog antara agama itu, kita ada imam, paderi dan rabbai yang menyatakan agama kita semua sama kerana kita adalah Ahli Kitab. Tetapi saya yakin paderi tidak sebarkan perkara itu kepada orang Kristian, imam tidak sampaikan kepada orang Islam dan rabbai tidak menjelaskan kepada orang Yahudi," katanya.

Hakikatnya apa yang diperkatakan itu ada benarnya kerana bukan mudah untuk seorang Islam mendengar imam memberitahu mengenai kebaikan agama Kristian, Katolik atau Buddha dalam khutbah Jumaat dan begitu juga sebaliknya.

Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Islam Turki Dandenong, Victoria, Suleyman Sahigoz, berkata, sukar bagi ketua persatuan serta pertubuhan pelbagai agama untuk menyampaikan maklumat atau membuat kenyataan positif mengenai ajaran agama lain kepada ahli komuniti mereka.

Beliau yang juga koordinator remaja dan komuniti persatuan yang bertanggungjawab terhadap pengurusan Masjid Emir Sultan, berkata ada antara ahli komuniti berasa terancam apabila orang dihormati kerana pengetahuannya dalam bidang agama seperti imam misalnya tiba-tiba memuji serta memberi pandangan seakan menyokong falsafah atau ajaran disampaikan agama lain.



"Bukan pemimpin agama tidak mahu menyebarkan apa yang sepatutnya kepada akar umbi tetapi ada kalanya keadaan menjadi sukar apabila kita beritahu kerana ada yang tidak boleh menerima. Tetapi kita sentiasa berusaha memberi maklumat untuk kebaikan semua pihak.

"Ibarat orang sesat dalam hutan, apabila dengar pelbagai bunyi pelik, mula berasa takut dan membayangkan yang bukan-bukan. Ilmu pengetahuan seperti bulan yang menerangi dan bagi orang yang sesat, cahaya bulan menyebabkan perasaan takut itu hilang.

"Sebab itu kita tidak mahu masyarakat jahil kerana ini akan menjurus kepada perasaan takut sedangkan dia sendiri tidak tahu apa yang ditakutkan.

"Islam menimbulkan rasa takut kerana isu keganasan yang dikaitkan dengan umat Islam sedangkan Islam sebenarnya menentang keganasan dan ini perlu dijelaskan kepada mereka," katanya pada sesi lawatan ke rumah ibadat di City of Greater Dandenong anjuran Interfaith Network Inc.

Wartawan yang mengikuti program Lawatan Media Antarabangsa ke Australia anjuran Jabatan Perhubungan Luar dan Perdagangan (DFAT) Australia, dibawa melawat empat rumah ibadat di Dandenong iaitu Masjd Emir Sultan, Gereja Ortodoks Greek St Panteleimon, Gereja Katolik St Mary dan Kuil Buddha Vietnam Hao Nghiem.

Selain diperkenalkan secara ringkas mengenai asas ajaran agama, kumpulan media turut mengadakan perbincangan dalam sesi soal jawab bagi memahami lebih mendalam mengenai dialog antara agama serta bentuk hubungan dijalinkan antara pemimpin agama.

Dandenong yang terletak 31 kilometer di tenggara Melbourne mempunyai 125,520 penduduk dan ia sebuah bandar yang mempunyai kegiatan paling banyak kerana kepelbagaian budaya dimiliki. Majoriti penduduk Dandenong beragama Kristian tetapi agama lain terus berkembang seperti Buddha, Islam, Hindu dan agama lain.

Dianggarkan 15,000 penduduk Islam di sekitar Dandenong daripada pelbagai etnik dan ada enam masjid serta empat musola bagi kemudahan menjalankan kegiatan ibadat serta kegiatan kemasyarakatan.

Suleyman berkata, dialog antara agama tetap penting kerana ia membantu mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai kepercayaan dan kebudayaan melalui program yang dianjurkan sama ada oleh pertubuhan agama itu sendiri atau gabungan semua ahli Interfaith Network Inc.

"Mungkin kita tidak boleh paksa masyarakat untuk memahami dan menerima agama masyarakat lain tetapi sekurang-kurangnya kita boleh mengekalkan keharmonian melalui persefahaman dicapai antara masyarakat pelbagai budaya di Dandenong," katanya.

Persekutuan Paderi Gereja Katolik St Mary's, Margaret Fields memberitahu pernah melalui pengalaman memalukan apabila seorang kumpulan wanita yang datang ke gereja melenting apabila beliau cuba menjelaskan mengenai Islam serta nilai baik dianjurkan agama itu dalam kehidupan seharian.

Katanya, timbul kegusaran di hati mereka kerana menyangka beliau ingin berdakwah dan mengajak untuk menganut agama lain apabila cuba berkongsi pengetahuan bagi mengelak prejudis antara masyarakat pelbagai budaya di kawasan itu.

Begitu juga apabila pihak gereja merancang mengadakan lawatan ke rumah ibadat agama lain di sekitar Dandenong, ada ibu bapa yang tidak mahu membenarkan anak mereka pergi kerana bimbang kanak-kanak itu akan terpengaruh dengan agama lain.

"Ini berlaku dan kita tidak boleh salahkan ibu bapa. Sebenarnya jika mereka lihat bagaimana penerimaan kanak-kanak terhadap program dialog antara pelbagai agama ini, anda akan kagum bagaimana mereka boleh menerima perbezaan dan saling menghormati amalan agama lain," katanya.

Margaret berkata, kini mereka boleh melihat masyarakat Katolik di kawasan itu turut menyertai majlis berbuka puasa anjuran kakitangan masjid bersama masyarakat daripada agama lain dan suasana itu tidak dapat dilihat 10 tahun lalu.

Malah, ada ibu bapa Muslim yang menghantar anak ke sekolah Katolik tanpa berasa bimbang anak akan terpengaruh kerana yakin dengan sistem pendidikan ditawarkan dapat membantu pelajar mencapai kejayaan.

Banyak lagi program kerjasama diadakan antara persatuan masyarakat pelbagai budaya serta nilai baik yang diserapkan dalam diri mereka seperti menganjurkan majlis doa beramai-ramai bagi meringankan beban pihak menghadapi kesusahan seperti mereka yang dilanda bencana alam.

"Kita pernah anjurkan majlis membaca doa untuk mangsa yang dilanda bencana alam dengan semua pemimpin agama membacakan doa memohon keselamatan mereka. Banyak perubahan positif berlaku dalam masyarakat kebelakangan ini dan kita harap ia dapat diteruskan," katanya.

Sementara itu, kisah diceritakan Ahli Jawatankuasa Kuil Buddha Vietnam Hao Nghiem, Viet Tran, wajar menjadi panduan masyarakat pelbagai agama walau di mana mereka berada untuk menerima hakikat perbezaan tidak semestinya memisahkan kedua-dua pihak.

Katanya, seorang sami Buddha keturunan Inggeris yang sudah meninggal dunia suka bertafakur di masjid kerana katanya suasana di masjid memberi ketenangan jiwa dan membolehkan beliau menumpukan ibadat yang dilakukannya.

"Sepatutnya kehadiran pemimpin atau penganut agama lain di rumah ibadat kita menjadi satu penghormatan bukan dipandang serong. Kami di kuil ini sentiasa menerima kehadiran sesiapa saja tidak kira agama dan bangsa yang ingin bertanyakan mengenai agama Buddha dengan tangan terbuka," katanya.

Menariknya pertemuan dengan Paderi Gereja Ortodoks Greek St Panteleimon, Anthony Krinas, ialah apabila diberitahu bahawa tidak ada kompromi dalam perkara membabitkan ajaran Kristian Ortodoks Greek kepada penganutnya yang melanggar peraturan ditetapkan.

Contohnya, penganut agama itu hanya boleh berkahwin dengan pasangan yang dibaptiskan menurut upacara ditetapkan dan jika ada yang melanggarnya, hak mereka akan ditarik balik. Lelaki Kristian Ortodoks yang ingin berkahwin dengan wanita daripada agama lain tidak boleh menjalankan upacara di gereja Kristian Ortodoks.

Sememangnya perkara membabitkan kepercayaan mana-mana agama tidak boleh dipandang ringan dan cara terbaik menghadapinya ialah dengan mengakui wujudnya perbezaan dan perlunya tindakan memahami perbezaan itu.

Memetik kata-kata Stepan, "Akui saja agama kita memang berbeza. Anda bebas mengamalkan ajaran agama anda dan saya bebas mengamalkan ajaran agama saya. Yang penting, kita saling menghormati untuk hidup dalam suasana aman dan harmoni."

Saturday, October 18, 2008

Ummah diseru tampil bersihkan nama tercemar

Oleh Hasliza Hassan melaporkan dari Melbourne, Australia


UMAT Islam perlu tampil menonjol diri sebagai ummah yang terbaik supaya masyarakat bukan Islam tidak pandang serong.- Gambar hiasan


ICV rangka program, kegiatan rapatkan jurang agama melalui aktiviti kemasyarakatan

PELUANG mendekati masyarakat Islam di Melbourne memberi perspektif baru mengenai perkembangan Islam di Australia apabila banyak perkara positif dicapai hasil usaha gigih mereka memperjuangkan hak melalui persatuan ditubuhkan serta undang-undang digubal kerajaan.

Tanpa menafikan kesan peristiwa 11 September 2001 yang menyebabkan umat Islam di seluruh dunia berdepan pandangan serong masyarakat lain kerana dikaitkan dengan keganasan, tragedi yang sentiasa mekar dalam lipatan sejarah itu memberi hikmah kepada penduduk Islam di ibu negeri Victoria dan kawasan sekitarnya ini.

Presiden Majlis Agama Islam Victoria (ICV), Ramzi Elsayed, berkata hikmah di sebalik kejadian menggemparkan dunia itu, masyarakat Islam di Melbourne khususnya semakin sedar bahawa mereka perlu tampil menonjolkan nilai Islam sebenar bagi membersihkan nama Islam yang tercemar.

"Peristiwa 11 September ibarat jam loceng yang mengejutkan umat Islam daripada tidur dan melakukan apa yang sepatutnya supaya Islam tidak terus menjadi bahan asakan pihak yang tidak faham isu sebenar. Walaupun ada umat Islam di negara lain didera dan dilabel dengan pelbagai andaian negatif, ia tidak berlaku di Victoria.

"Namun, ia tetap menjadi tamparan bagi umat Islam di Melbourne kerana selama ini kita tidak mengambil langkah serius untuk memastikan kehadiran umat Islam sebagai sebahagian daripada rakyat Australia benar-benar dirasai kerana sikap yang lebih suka berdiam diri," katanya.

Beliau ditemui media yang mengikuti program Lawatan Media Antarabangsa ke Australia anjuran Jabatan Perhubungan Luar dan Perdagangan (DFAT) Australia, berkata kesan daripada itu juga masyarakat Islam di Victoria khususnya Melbourne kini lebih teratur berbanding 10 tahun lalu.

Malah, kehidupan masyarakat Islam hari ini semakin baik apabila mereka bebas mengamalkan ajaran agama serta dapat memenuhi keperluan harian melalui sokongan kerajaan berlandaskan undang-undang negara itu terutama dalam aspek ibadat serta memenuhi tuntutan syariat.

Ramzi berkata, sebagai badan utama mewakili 100,000 umat Islam di Victoria, ICV membina hubungan baik antara ahlinya yang terdiri daripada 28 pertubuhan Muslim di sekitar negeri itu dengan kerajaan serta pihak berkuasa tempatan untuk melahirkan masyarakat Islam Australia yang lebih baik.

Beliau berkata, wawasan ICV ialah memperkasakan umat Islam Victoria melalui perbincangan dan kerjasama dengan kerajaan serta komuniti agama lain, meningkatkan kefahaman mengenai Islam dan isu penting berkaitan masyarakat Islam selain menggalakkan ummah lebih aktif dan bertanggungjawab dalam usaha menyatupadukan masyarakat Australia pelbagai budaya.

Majlis itu turut menjaga kebajikan komuniti Islam dan pada masa sama membangunkan kemampuan mereka dalam bidang kemahiran untuk membantu mencapai wawasan ditetapkan. Tidak ketinggalan ICV menganjurkan seminar serta kelas kepada umat Islam di pusat bandar Melbourne.

ICV juga adalah badan bertanggungjawab menjalinkan hubungan dengan media bagi menyebarkan maklumat tepat mengenai Islam dan memperbetulkan salah faham ditimbulkan pihak tertentu termasuk media yang melaporkan perkara tidak benar.

Bagaimanapun kata Ramzi, ICV mengambil langkah berhati-hati dalam memenuhi tanggungjawab menjaga kebajikan masyarakat Islam seperti membuat kenyataan mengenai isu sensitif bagi mengelak timbul masalah yang nanti akan mendatangkan kesan tidak baik kepada majlis berkenaan.

Contohnya, dalam perbicaraan serta penghakiman membabitkan 12 Muslim dengan enam daripadanya didapati bersalah, menjadi sebahagian daripada kumpulan pengganas yang merancang jihad keganasan di Australia, sementara empat dibebaskan dan dua lagi masih tidak diketahui nasib mereka.

Katanya, ada yang melihat ICV bertanggungjawab untuk melakukan sesuatu mengenai kes itu tetapi pihaknya melihat perkara apa yang berlaku daripada perspektif berbeza.

"Apa yang ICV harapkan ialah mereka mendapat perbicaraan yang adil dan kini mahkamah sudah membuat keputusan. Yang penting untuk difahami di sini ialah bukan hal Islam yang menghadapi perbicaraan tetapi yang dibicarakan ialah tindakan pihak berkenaan. Perbicaraan dijalankan mengikut undang-undang ditetapkan kerajaan," katanya.

Namun, dalam perkara yang dirasakan perlu untuk ICV bersikap lebih lantang, mereka akan melakukannya selagi ia tidak melanggar peraturan kerana matlamat utama adalah memastikan kepentingan serta keperluan masyarakat Islam terjaga.

Dalam kes membabitkan pembinaan musola di univesiti katanya, ICV memberi penjelasan kepada kerajaan kenapa pelajar Islam memerlukan musola dan alasan bagi memastikan musola itu tidak dikongsi pelajar bukan Islam tetapi dikhususkan untuk pelajar Islam menunaikan solat.

Ramzi berkata, timbul perbincangan mengenainya kerana ada pihak meminta supaya musola di universiti terbuka kepada semua pelajar tidak kira bangsa atau agama sedangkan bagi pelajar Islam untuk berkongsi musola adalah mustahil memandangkan keperluan serta tuntutan yang perlu dipenuhi bagi menunaikan solat.

"Memang susah untuk pelajar Islam dan bukan Islam berkongsi musola walaupun mereka juga mengamalkan ajaran agama mereka. Pelajar Islam perlu solat lima kali sehari dan menjaga aspek kebersihan. Banyak masalah akan timbul dan ini yang ICV jelaskan kepada kerajaan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya bersyukur kerana mendapat sokongan kerajaan yang menerima pandangan serta penjelasan diberikan dan kini sudah banyak universiti di Victoria menyediakan musola bagi kemudahan pelajar Islam.

Bukan itu saja, banyak tempat awam lain seperti lapangan terbang dan pusat perubatan menyediakan kemudahan umat Islam bersembahyang dan difahamkan, majikan serta syarikat juga kini diminta menyediakan bilik untuk memudahkan pekerja Islam menunaikan tanggungjawab kepada Allah.

Bidang lain yang turut memperlihatkan perkembangan positif ialah penyediaan makanan halal. Walaupun usaha itu dibuat bertujuan menarik pelanggan Islam yang semakin meningkat jumlahnya, sekurang-kurangnya kesedaran mengenai pentingnya makanan halal sudah meningkat dan tersebar luas.

Justeru katanya, ICV sentiasa merangka program dan aktiviti yang boleh merapatkan jurang antara agama melalui pembabitan secara langsung umat Islam dalam kegiatan kemasyarakatan antaranya Hari Membersihkan Australia. Pada hari itu, 300 umat Islam di Melbourne membersihkan kawasan penempatan mereka.

Program lain ialah barbeku bersama bagi menggalakkan umat Islam berinteraksi sesama mereka dan masyarakat pelbagai budaya lain supaya dapat mengeratkan silaturahim serta Majlis Makan Malam Eid yang mengumpulkan wakil pertubuhan untuk mendedahkan kepada mereka kepentingan kesatuan.

"Kesatuan perlu bermula dari rumah. Oleh itu, persatuan perlu bersatu bagi menunjukkan contoh kepada yang lain. Walaupun kita mungkin tidak rapat tetapi kita baik antara satu sama lain. Contoh ini perlu ditampilkan supaya masyarakat pelbagai budaya lain mudah memahami pendekatan atau ajaran Islam melalui perbuatan," katanya.

Memang menarik melihat perkembangan positif dicapai masyarakat Islam di Victoria yang terdiri daripada pelbagai etnik, namun dapat bersatu di bawah payung Islam. Ramzi berkata, perjuangan mereka belum selesai kerana banyak lagi perlu dilakukan untuk meningkatkan imej Islam bukan saja pada mata masyarakat setempat, malah seluruh dunia.

Friday, October 17, 2008

Umat Islam Canberra bebas laksana tuntutan agama

Laporan oleh Hasliza Hassan dari Canberra, Australia

Ketiadaan penempatan khusus berdasar etnik bolehkan penduduk hidup aman dengan penganut agama lain

BANGUNAN kelabu dengan pintu kecil, kubah putih di tengah dan dua menara di kiri kanan berhadapan Kedutaan Malaysia di Yarralumla, Canberra, adalah satu-satunya masjid yang ada di ibu negara Australia itu yang dibina atas inisiatif tiga kedutaan iaitu Malaysia, Indonesia dan Pakistan.

Kedatangan kumpulan media yang menyertai program Lawatan Media Antarabangsa anjuran Jabatan Perhubungan Luar dan Perdagangan (DFAT) Australia pada jam 3.30 petang ke masjid itu di sambut Presiden Persatuan Islam bagi Wilayah Ibu Negara Australia (ISACT), Ahmed Hijazi dan Ahli Jawatakuasa ISACT, Muhammed Quzag.

Sambil memohon maaf kerana imam masjid masih bercuti menjaga isterinya yang baru bersalin serta tidak dapat bersama, Ahmed membawa kami melawat kawasan dalam masjid yang dianggarkan boleh memuatkan kira-kira seratus jemaah pada satu masa.

Selepas melawat ketua masyarakat Islam, ketua persatuan dan ketua jabatan kerajaan yang kebanyakan membangkitkan permasalahan sama iaitu kesan Islamophobia di kalangan rakyat negara itu, agak melegakan apabila mendapat tahu masyarakat Islam di Canberra tidak terkesan dengan isu atau peristiwa membabitkan umat Islam di peringkat antarabangsa.

Ahmed berkata, ketiadaan kawasan penempatan masyarakat Islam berasaskan kepada etnik dan negara asal mereka mungkin menjadi faktor yang membolehkan penduduk Islam di situ hidup dalam suasana aman damai bersama bukan Islam.

"Mungkin di negeri lain di Australia masyarakat Islam turut menerima kesan daripada konflik antarabangsa tetapi kami di Canberra sebaliknya. Mungkin kerana masyarakat Islam di sini tidak terbahagi kepada etnik atau negara kelahiran menyebabkan tidak wujud perasaan curiga di kalangan penduduk tempatan," katanya.

Beliau berkata, seperti masyarakat minoriti di negeri atau tempat lain, umat Islam di Canberra turut berdepan masalah untuk menyesuaikan diri di tempat baru ketika mereka mula tiba di Canberra tetapi perlahan-lahan keadaan berubah mengikut perkembangan semasa.

Jika dulu sukar bagi umat Islam di sana mendapatkan daging halal, kini sudah ada peniaga yang menjual daging halal, restoran menyediakan makanan halal, malah banyak produk halal diimport dari Malaysia, Indonesia dan Singapura diperoleh dengan mudah di sini.

Selain itu, Canberra turut mempunyai Islamic School of Canberra, sekolah persendirian yang menyediakan pendidikan berkualiti untuk pelajar Islam dalam persekitaran yang menitikberatkan nilai murni ke arah mencapai kejayaan dunia dan akhirat.

Ahmed berkata, walaupun saiznya agak kecil, Masjid Canberra berfungsi sebagai pusat perhimpunan kira-kira 10,000 umat Islam di ibu negara Australia itu dan melaksanakan aktiviti kemasyarakatan termasuk hari terbuka masjid serta sambutan Aidilfitri yang diadakan setiap tahun.

Katanya, bagi memenuhi keperluan umat Islam dan menampung jemaah yang terus bertambah, kedutaan Malaysia, Indonesia dan Pakistan merancang membina masjid baru lebih besar di tapak sedia ada. Cadangan mengenainya sudah dikemukakan kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan kelulusan serta peruntukan dan ISACT masih menunggu jawapan terhadap permohonan itu.

Masjid Canberra dibina pada 1961 bagi memenuhi keperluan umat Islam yang bekerja dan berhijrah ke Canberra. Awalnya, bangunan itu hanya mempunyai satu ruang solat utama tetapi kini masjid berusia 47 tahun itu turut mempunyai ruang solat wanita dan kelas pendidikan Islam untuk kanak-kanak setiap Ahad.

Jika awal penubuhan dan sekitar tahun 1970, hanya dua baris jemaah, kini mereka yang datang untuk solat ada yang terpaksa sembahyang di kawasan lapang luar masjid. Pada Aidilfitri lalu, kira-kira 3,000 jemaah berkumpul menunaikan solat sunat hari raya.

"Jika hari biasa, hanya kakitangan awam kedutaan datang solat di sini dan kita juga ada pelancong melawat serta menunaikan solat. Dulu pintu sentiasa dibuka tetapi apabila berlaku kejadian duit tabung hilang, kita mula mengunci dan hanya membuka pintu apabila tiba waktu solat," katanya.

Ahmed berkata, tidak sukar mengamalkan ajaran Islam di Canberra kerana masyarakat tempatan sudah memahami sedikit sebanyak selok belok mengenai Islam dan beliau sendiri tidak berdepan masalah untuk menunaikan solat pada waktunya memandangkan ia sudah menjadi rutin sejak dulu.

Thursday, October 16, 2008

Australia semai keharmonian antara agama

Oleh Hasliza Hasan yang melaporkan dari Sydney


KANAK-KANAK daripada pelbagai agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi berkumpul di depan bangunan Parlimen New South Wales. Perhimpunan bertujuan menyemai keharmonian dan mengikat persefahaman antara agama dan budaya.


Suruhanjaya ditubuh galak rakyat pelbagai budaya fahami ajaran masing-masing

TEMPIAS konflik antarabangsa yang dikaitkan dengan Islam berikutan tindakan pihak tertentu memenuhi agenda masing-masing akan sentiasa mensasarkan umat Islam terutama masyarakat minoriti di sesebuah negara.

Pengerusi Suruhanjaya Perhubungan Komuniti (CRC) untuk rakyat pelbagai budaya di New South Wales (NSW), Australia, Stepan Kerkyasharian, berkata masyarakat Islam di Australia tidak terkecuali dan terpaksa menanggung kesan daripada tindakan pihak tertentu menggunakan Islam untuk mencapai agenda hanya kerana mereka beragama Islam.

Namun katanya, pelbagai pendekatan serta usaha dilakukan kerajaan dan pertubuhan Islam di negara itu banyak membantu merapatkan jurang antara komuniti selain memberi gambaran sebenar apa yang berlaku bagi mengelak timbul salah anggap yang boleh menjurus kepada konflik lain.

"Apa yang berlaku seperti Perang Teluk, Peristiwa 11 September 2001 dan pengeboman di Bali, memberi kesan secara tidak langsung kepada komuniti Muslim khususnya penduduk NSW. Akibatnya wujud semangat perkauman yang menggugat keharmonian dalam masyarakat.

"Walaupun umat Islam di sini tidak mahu terbabit tetapi tetap merasai kesannya apabila ada segelintir menjadikan ia isu besar hingga menimbulkan masalah," katanya pada pertemuan di pejabatnya dengan kumpulan media yang menyertai program Lawatan Media Antarabangsa anjuran Jabatan Perhubungan Luar dan Perdagangan (DFAT) Australia, kelmarin.



Lawatan selama sembilan hari membabitkan tiga negeri iaitu (NSW), Canberra dan Melbourne itu, bertujuan memberi pendedahan mengenai kehidupan masyarakat Islam di Australia.

Stepan berkata, majoriti rakyat Australia termasuk yang berhijrah ke negara itu seperti komuniti Islam tidak peduli dengan apa yang berlaku pada peringkat antarabangsa kerana hasrat mereka adalah untuk memulakan penghidupan baru.

Justeru katanya, melalui CRC yang ditubuhkan pada 2001, kerajaan mengambil langkah ke depan dalam usaha memelihara dan mempromosikan keunikan kepelbagaian budaya dalam masyarakat pelbagai etnik dan bangsa.

Mengikut Akta Suruhanjaya Perhubungan Komuniti dan Dasar Kepelbagaian Budaya 2000, kerajaan negeri mengiktiraf bahawa rakyat NSW yang terdiri daripada berbilang etnik, agama dan bahasa, bebas mengamalkan serta mengekalkan bahasa, agama dan warisan etnik masing-masing.

Malah, akta itu juga menetapkan pihak berkuasa tempatan memastikan empat dasar kepelbagaian budaya dilaksanakan. Empat dasar itu ialah semua rakyat NSW mempunyai peluang untuk terbabit dalam semua aspek kehidupan termaktub dalam undang-undang.

Dasar lain ialah semua pihak menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan, membabitkan diri dalam program dan aktiviti anjuran kerajaan dan semua institusi perlu mengiktiraf dan mempromosi bahasa dan budaya sebagai aset untuk pembangunan negeri.

Stepan berkata, selain langkah proaktif kerajaan, persatuan mewakili masyarakat pelbagai bangsa di NSW turut mengambil inisiatif memelihara keharmonian serta meningkatkan persefahaman antara mereka melalui pelbagai pendekatan.

Beliau berkata, ada antara usaha itu memberi kesan positif dan tidak dinafikan ada yang tidak dimanfaatkan sebaiknya seperti dialog antara agama yang sering dianjurkan kepemimpinan persatuan keagamaan dan masyarakat.

"Di sini kita ada dialog antara agama membabitkan Islam, Yahudi dan Kristian yang memberi kesan positif dan pada masa sama, tidak seperti diharapkan. Perkara ini saya sering bangkitkan secara terbuka kerana saya rasa ada yang tidak kena.

"Pada dialog antara agama itu kita ada imam, paderi dan rabbi yang mengatakan agama kita semua sama kerana kita adalah ahli kitab. Tetapi saya yakin paderi tidak sebarkan perkara itu kepada orang Kristian, imam tidak sampaikan kepada orang Islam dan rabbi tidak menjelaskan kepada orang Yahudi.

"Itu sebabnya kita masih berdepan masalah seperti tentangan terhadap orang Islam untuk membina masjid atas alasan menyebabkan masalah serta menimbulkan kesesakan lalu lintas. Ini tidak berasas.

"Saya yakin jika masyarakat memahami agama bangsa lain dan keperluan mereka, tidak akan timbul tentangan. Dialog antara agama sepatutnya mengakui perbezaan yang wujud dan mengambil usaha menjelaskan serta memahami supaya wujud rasa saling menghormati," katanya.

Beliau yakin lama kelamaan keharmonian dapat ditingkatkan seterusnya dikekalkan dengan syarat semua masyarakat bersedia menerima antara satu sama lain tanpa sebarang prejudis selain peka dengan apa yang berlaku di peringkat antarabangsa.

Bukti ke arah itu dapat dilihat melalui program Festival Jalanan Pelbagai Budaya yang diadakan setiap tiga tahun oleh pihak berkuasa tempatan mendapat sambutan masyarakat setempat yang mempersembahkan kebudayaan masing-masing dalam suasana harmoni.

Jika begitu keadaannya, sewajarnya tidak timbul sebarang masalah membabitkan masyarakat pelbagai bangsa dan budaya.

Menjawab persoalan itu, Stepan berkata, di Sydney usaha itu memang berjaya dengan kerjasama pemimpin masyarakat Islam yang memahami tetapi susah untuk mengelak daripada segelintir pihak yang suka membuat penghakiman tanpa mengetahui apa sebenarnya berlaku.

Katanya, CRC akan terus memastikan keharmonian terus terjamin dan objektif ke arah itu tercapai melalui pelaksanaan Pelan Tindakan Perhubungan Komuniti 2012 yang menekankan empat objektif iaitu kepemimpinan, keharmonian, kesamarataan dan peluang ekonomi serta budaya.

"Kita semua perlu semaikan iaitu tidak kira apa agama, bangsa dan latar belakang, kualiti yang kita ada adalah kualiti semua rakyat Australia. Ini menepati lagu kebangsaan yang dinyanyikan, kita semua satu tetapi kita ramai, semua adalah rakyat Australia," katanya.