Showing posts with label Rumahtangga. Show all posts
Showing posts with label Rumahtangga. Show all posts

Friday, March 5, 2010

Keganasan rumah tangga virus masyarakat

Oleh Ibrahim Abdullah

Suami isteri perlu berpandu hukum agama elak konflik dalam perkahwinan

RUMAH tangga tempat berteduh dan menjanjikan sejuta kedamaian dan kasih sayang harmonis dalam institusi kekeluargaan. Islam sebagai ad-Din yang sempurna mengatur dan mengurus bagaimana mewujudkan kebahagiaan, selain menciptakan rumah tangga.

Hadis Nabi Muhammad bermaksud: "Baiti Jannati" (Rumahku, Syurgaku). Rumah tangga yang ditemukan kedamaian, kasih sayang (mawwadah), kebahagiaan, dan rahmat Allah diibaratkan seperti syurga dunia.

Imam Hasan al-Banna mengatakan dalam wasiatnya: "Jangan tinggikan suaramu melebihi keperluan pendengar, kerana hal demikian adalah perbuatan bodoh dan mengganggu orang lain." Suara tinggi atau keras dalam percakapan, berbantah-bantahan, ketawa terbahak-bahak atau suara menengking yang kuat adalah hal yang sensitif. Ia mendorong tercetus perselisihan dan pergaduhan dalam rumah tangga. Ia bukan etika dalam Islam.

Dalam rumah tangga Islam, tentu penghuninya selalu berusaha menerapkan etika Islam dalam bermuamalah dengan sesama anggota dan jiran tetangganya, menjaga kesopanan dalam bercakap, menghormati hak orang lain dan menjaga rahsia dalam rumah tangganya.

Kebahagiaan hidup berkeluarga hanya dapat dicapai jika suami isteri melaksanakan tanggungjawab diamanahkan. Suami sebagai ketua keluarga bertanggungjawab memimpin isteri dan orang dalam tanggungannya mentaati Allah serta Rasul-Nya selain melaksanakan tuntutan ibadat dan memelihara daripada perbuatan maksiat dan dosa. Suami wajib memberi nafkah secukupnya dengan kadar termampu seperti tempat tinggal, makan minum, pakaian dan kemudahan-kemudahan lain yang diperlukan keluarganya.

Isteri pula wajib mentaati suami (selagi tidak menyuruh yang haram) serta berkhidmat dan memelihara kebajikan rumah tangga dan anak. Rasulullah bersabda bermaksud: "Seorang lelaki (suami) adalah pemimpin dalam urusan keluarganya dan dia diminta bertanggungjawab dalam kepimpinannya. Seorang isteri adalah pemimpin dalam mengurus rumah tangga suaminya dan dia akan diminta bertanggungjawab dalam kepimpinannya." (Hadis riwayat Bukhari)

Jelas, keluarga yang tidak berasaskan pendidikan dan ajaran Islam boleh mengundang pelbagai masalah, konflik, tiada persefahaman, penderaan dan pergaduhan. Akhirnya, berlaku keganasan dalam rumah tangga bahkan terjadi pembunuhan yang menyayat hati.

Keganasan rumah tangga adalah perbuatan kejam terhadap ahlinya. Kes itu timbul dengan pelbagai sebab antara lain kerana tidak memberi nafkah kewangan dan keperluan asasi lainnya. Juga, keganasan emosi untuk memalukan atau membalas dendam terhadap seseorang.

Keganasan fizikal seperti menyebabkan kecederaan dan kematian, meninggalkan mangsa di tempat berbahaya, memukul dan sebagainya, menyekat mereka berjumpa keluarga dan saudara, terbabit orang luar bersubahat untuk mencederakan mangsa dan lain-lain.

Daripada kes dilaporkan menunjukkan kadar peningkatan dari tahun ke setahun terhadap penderaan kanak-kanak dan isteri. Keganasan rumah tangga berlaku berikutan dipengaruhi pelbagai faktor antaranya pengalaman pelaku sendiri, keluarga, rakan, masyarakat dan keadaan persekitaran.

Keganasan berlaku akibat tekanan emosi dan perasaan marah dan tidak puas hati terhadap isteri dan anak atau ahli keluarga lain. Sesetengah kes bagaimanapun disembunyikan daripada pengetahuan umum kerana takut dan malu. Jiran pula bersikap acuh tak acuh kerana menyifatkan itu masalah peribadi dan keluarga terbabit dan tiada kaitan dengan mereka.

Semua pihak perlu memainkan peranan mencegah keganasan berterusan dalam rumah tangga supaya tidak bertambah teruk dan merebak menjadi virus yang mengancam masyarakat. Pihak terbabit seperti kementerian, badan berkanun, badan bukan kerajaan dan masyarakat juga perlu bekerjasama menangani masalah itu.

Pada masa sama, orang yang melakukan keganasan hendaklah bertaubat dan memperbaiki diri sendiri kerana pengabaian tanggungjawab kepada keluarga dan rumah tangga adalah penganiayaan pada dirinya sendiri selain dosanya besar dan berat. Setiap perkahwinan perlu diikat dengan perasaan kasih sayang, hormat menghormati, bantu membantu, sikap tolak ansur dan tanggungjawab dalam semua perkara.

Suami sebagai pemimpin, pelindung dan tempat bergantung perlu menjalankan tanggungjawab melindungi anak, isteri dan lain-lain. Rasulullah adalah contoh terbaik sebagai seorang suami bertanggungjawab mengasihi dan menyayangi ahli keluarganya.

Thursday, November 12, 2009

Persefahaman suami isteri pupuk rumah tangga bahagia

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh
salidasuhaila99@yahoo.com

BANYAK kali penulis berkongsi rasa dengan isteri yang ditinggalkan suami, sering ditinggal suami dan akan ditinggal suami, penulis selalunya akan menasihati mereka supaya berubah, bersabar dan berdoa untuk kebahagiaan yang akan muncul juga akhirnya.

Insaf bahawa syurga dan neraka itu di bawah tapak kaki suami, kebanyakan mereka tidak menolak untuk menjadi lebih baik bagi suami. Jika mereka kekurangan, ada yang menyesal kerana buruk sangka, tidak kurang juga yang nekad untuk berpisah.

Yang paling membuatkan hati tersentuh ialah ada isteri merayu supaya tidak diceraikan suami sehinggakan sanggup menjadi orang gaji kepada isteri baru suami, semuanya demi zuriat yang mereka kongsi.

Hari ini banyak rumah tangga runtuh disebabkan pihak yang tidak mempunyai status dalam keluarga, bukan kerana suami, isteri mahupun anak, tetapi orang lain yang ingin merampas kebahagiaan sesebuah keluarga. Akibat tidak memahami poligami, sama ada suami mahupun isteri, maka mereka tidak mahu berkongsi kasih.

Apa yang berlaku, suami terpaksa membuat pilihan antara dua kerana cintakan nafsu, isteri yang sah dan anak ditinggalkan juga. Itulah yang menyedihkan, apabila ramai wanita teraniaya kerana berkahwin, sedangkan perkahwinan itu boleh menenangkan jiwa, mententeramkan hati dan memberi kedamaian batin kerana dapat hidup bersama dengan pasangan yang saling mengasihi, menyayangi dan saling melengkapi antara satu sama lain dengan penuh akrab.

Sudah tentu orang yang berakhlak baik tidak cuba memporak perandakan rumah tangga orang lain. Apatah lagi mendoakan perceraian, agar dapat mengahwini dengan bekas suami atau isteri orang. Rasulullah SAW melarang keras perbuatan itu melalui hadis Imam Bukhari dan Abu Hurairah: "Jangan kalian saling menipu dan jangan seseorang membeli barang yang akan dibeli saudaranya, jangan pula orang mukim membeli barang daripada orang kampung. Juga tidak pula seseorang melamar wanita yang sudah dilamar saudaranya. Seseorang wanita itu tidak boleh mengharapkan perceraian wanita lain dengan tujuan ia dapat menggantikan tempatnya."

Hari ini, kegagalan rumah tangga tidak menjadi aib kepada masyarakat, malah ada yang berbangga meruntuhkan `masjid` yang dibina. Hakikat ini mungkin kerana perceraian bukan lagi perkara luar biasa sebaliknya berlaku kepada sesiapa saja. Suami yang tidak beriman melafazkan talak dengan begitu mudah semata-mata kerana ingin berkahwin lain dan meninggal-kan segala masalah yang timbul sesudahnya.

Sekiranya ingin berpoligami seperti dituntut sunnah, perkara seperti ini tidak akan berlaku kerana antara tujuan poligami ialah untuk membantu wanita yang tiada perlindungan, lebih-lebih lagi perlindungan agama dan mereka ini pastinya dialu-alukan menjadi ahli keluarga yang sedia ada.

Sesebuah rumah tangga yang terbina dengan kasih sayang dan cinta antara suami dan isteri pastinya tidak akan tergugat andai ditimpa apa juga masalah pun. Kegagalan komunikasi yang memungkinkan keretakan perhubungan juga tidak akan timbul sekiranya suami tahu peranan sebagai seorang ketua dan pembimbing dalam rumah tangga.

Mana mungkin suami tidak bertegur sapa dengan isteri, sedangkan suara hati perlu diluahkan melalui senyuman dan kata-kata yang indah. Teguran dan nasihat yang baik juga perlu sentiasa disampaikan kepada isteri supaya bimbingan berterusan terlaksana seperti diperintahkan Allah SWT ke atas setiap suami.

Justeru, sekiranya suami dan isteri saling memahami peranan masing-masing seperti digariskan oleh agama, sudah pasti tiada masalah berlaku dalam rumah tangga, apatah lagi terjatuh cinta dengan orang lain sedangkan sudah ada pasangan yang halal didampingi.

Paling penting, jangan ada yang mengharapkan supaya rumah tangga yang dibina orang lain runtuh akhirnya kerana nafsu serakah yang jahat. Sebaiknya, doakan kerukunan rumah tangga sesiapa berpanjangan kerana sesungguhnya tiada tempat paling bahagia di dunia ini melainkan di dalamnya ada suami, isteri dan anak.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang dan Syariah, Universiti Sains Islam Malaysia

Wednesday, April 29, 2009

Iqra: Panduan tingkat keharmonian rumah tangga

Judul: 501 Soal Jawab Perkahwinan Islam
Penulis: Zawiyah Hassan dan Rohayati Bakri
Penerbit: PTS Millennia Sdn Bhd
Pengulas: Hasliza Hassan
Harga: RM17.50 (Semenanjung) RM19.50 (Sabah/Sarawak).

ISLAM menggariskan undang-undang perkahwinan lengkap bagi memelihara kepentingan umat manusia. Segala peraturan dan disiplin dalam perkahwinan bertujuan memelihara kepentingan suami isteri serta zuriat mereka.

Perkembangan institusi perkahwinan membentuk masyarakat Islam daripada pelbagai bangsa dan keturunan bagi memakmurkan alam. Namun, kebelakangan ini berlaku kepincangan institusi keluarga mengakibatkan gejala sosial dalam masyarakat semakin menjadi-jadi. Antara punca gejala itu kerana tidak mengikut peraturan dan panduan ditetapkan Islam.

Buku 501 Soal Jawab Perkahwinan Islam memberi maklumat dan panduan bagi membantu mereka yang menghadapi masalah perkahwinan mencari penyelesaian terbaik seterusnya meningkatkan iltizam menjaga keharmonian rumah tangga.

Dibahagikan kepada empat bahagian, buku setebal 257 halaman membicarakan isu serta persoalan sebelum perkahwinan merangkumi tujuan perkahwinan, merisik dan meminang, sama taraf, bertunang dan haram berkahwin.

Bahagian dua pula mengupas persoalan berlaku ketika perkahwinan seperti isu berlainan pegangan agama, pernikahan dan kenduri kahwin, poligami serta hal membabitkan perceraian iaitu talak, rujuk, tebus talak dan nafkah.

Mutaah, nafkah anak serta penjagaan anak selepas perceraian dimuatkan dalam bahagian tiga yang turut membincangkan masalah wasiat dan harta pusaka. Bahagian empat ialah isu semasa antaranya harta sepencarian, sumbang mahram serta masalah dihadapi masyarakat hari ini.

Buku yang disusun dalam bentuk soal jawab itu cuba merungkai masalah daripada sudut agama kerana tidak dinafikan ada sesetengah pihak memandang ringan hukum hingga menjadikan ia satu budaya yang diterima masyarakat.

Contohnya, wanita bertunang pergi dan balik dari pejabat dijemput serta dihantar tunangnya. Bagi ibu bapa hari ini perbuatan itu dilihat biasa kononnya untuk memberi peluang mereka mengenali hati budi masing-masing sebelum menjadi suami isteri.

Pertunangan bukan tiket untuk pasangan melakukan sesuka hati. Itu bagi yang sudah bertunang tetapi ada juga yang belum mempunyai ikatan tetapi hubungan seperti pasangan suami isteri.

Justeru, buku 501 Soal Jawab Perkahwinan Islam sewajarnya menjadi teman kepada suami, isteri, pasangan bertunang dan pembaca umum supaya dapat memahami lebih lanjut mengenai perkahwinan serta bagaimana dapat dilayari rumah tangga supaya sentiasa mendapat keredaan Allah.

Friday, March 20, 2009

Muhasabah penyelesaian terbaik selamatkan rumah tangga

Oleh Lokman Ismail

KEHIDUPAN berumah tangga banyak dugaan. Tidak sefahaman, sikap angkuh pasangan, campur tangan keluarga, penyakit, kewangan dan gagal menjalankan tanggungjawab menjadi antara puncanya.

Islam menyarankan permasalahan rumah tangga diselesaikan dengan sebaik-baiknya. Jangan mengambil jalan singkat yang boleh menghancurkan kebahagiaan yang dikecapi melalui perkahwinan. Jika ada persengketaan antara suami isteri, perlu diadakan muhasabah untuk mencari punca krisis berlaku. Dalam hal ini keikhlasan suami isteri amat penting. Jangan mudah menyalahkan pasangan sebagai penyebabnya. Sikap membuat kesimpulan sebelum perbincangan hanya akan menambah lagi kekusutan.

Keadilan hanya akan wujud jika perbincangan dilakukan dengan berlapang dada. Ketika suami atau isteri menjelaskan apa yang berlaku, ia mesti didengar dan diperhalusi tanpa prejudis. Dengan cara itu kebenaran lebih mudah ditemui dan keputusan dapat dibuat dengan adil.

Dalam usaha merungkai masalah yang timbul, bercakap benar amat penting. Antara suami isteri seharusnya tiada rahsia kecuali jika dikhuatiri berterus terang dalam hal tertentu akan mendatangkan keburukan, maka harus ia dirahsiakan.

Bercakap benar perlu diamalkan sepanjang masa. Pembohongan antara satu sama lain akan menghancurkan rumah tangga dibina. Jika berbohong, lambat laun ia akan terbongkar juga. Keadaan ini menyebabkan suami atau isteri tidak lagi mempercayai apa dicakapkan biarpun perkara yang benar.

Bercakap benar akan membina ikatan saling mempercayai dan seterusnya mengelak rasa curiga. Jika difikirkan sukar diadakan perbincangan ketika suami dan isteri sudah 'panas' dan buntu fikiran, maka Islam menyuruh kedua-dua menghantar wakil untuk berbincang. Pendekatan itu diharapkan dapat mencari jalan penyelesaian.

Perkataan talak atau cerai yang dilafazkan oleh suami sah biarpun dilakukan ketika marah, bergurau, ugutan dan seumpamanya. Talak berlaku bukan saja melalui ucapan, malah juga dalam bentuk tulisan, termasuk melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Justeru, soal talak tidak boleh dipandang mudah. Betapa payahnya hendak melangsungkan perkahwinan yang terpaksa melalui beberapa proses, begitu juga sepatutnya sebelum berlaku talak.

Isteri jangan mencabar suami menjatuhkan talak apabila berlaku perkara yang tidak disenangi. Suami pula perlu berhati-hati dan bersabar daripada mengucapkan perkataan talak atau perkataan yang boleh menyebabkan talak.

Islam membenarkan talak bukan bermakna ia satu perkara yang 'mudah' dilakukan. Talak adalah jalan terakhir dalam penyelesaian masalah rumah tangga. Selagi ada peluang untuk kembali aman, maka wajib dilakukan usaha ke arah itu.

Firman Allah bermaksud: "Tidak ada sesuatu dosa atas kamu jika kamu menceraikan isteri kamu." (Surah al-Baqarah, ayat 236). Ayat itu jelas mengenai harus bagi suami menceraikan isterinya atas sebab tertentu.

Sesungguhnya, kebenaran suami talak isteri bukan bermakna ia boleh dipermudahkan dan dipermainkan. Kamus rumah tangga tidak sepatutnya menyimpan perkataan talak.

Talak ertinya berlawanan dengan akad nikah. Jika perkahwinan itu dituntut, maka talak pula perlu dihindarkan. Peristiwa talak mengundang kebencian Rasulullah SAW dan Allah.

Suami tidak boleh bertindak atau memperlakukan sesuka hati terhadap isteri. Isteri mempunyai hak untuk mendapat layanan terbaik daripada suami. Isteri bukannya hamba memuaskan nafsu suami semata-mata. Institusi perkahwinan adalah pelindung bagi wanita daripada perbuatan jahat lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Kebahagiaan yang diharapkan pada permulaan perkahwinan perlu diteruskan sepanjang masa. Semakin lama usia perkahwinan, sepatutnya semakin erat kasih sayang dan mendewasakan mereka dalam menghadapi cabaran hidup.

Friday, March 7, 2008

Balasan pahala jika suami bersabar sikap buruk isteri

Maznah Daud

ALLAH yang Maha Pengasih lagi Penyayang memerintahkan hamba-Nya supaya kasih mengasihi antara satu sama lain. Seseorang hamba hanya akan memperoleh kasih sayang daripada-Nya apabila dia mengasihi makhluk-Nya.

Jika ada dua orang sahabat berkasih sayang antara satu sama lain, maka yang lebih disayangi Allah antara keduanya ialah yang paling kasih kepada sahabatnya. Manusia yang memiliki sifat kasih sayang paling tinggi dan paling agung ialah Rasulullah SAW.

Baginda sangat mengasihi umatnya sehinggakan perasaan kasihnya yang mendalam itu dirakamkan Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya sudah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri, yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan ditanggung kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu, ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang yang beriman.” (Surah at-Taubah, ayat 128)

Kasih sayang sesama insan akan membuahkan sikap bertolak ansur, hormat menghormati serta sedia berkorban demi kebahagiaan insan tersayang. Dalam hubungan suami isteri, kedamaian dan kasih sayang adalah teras utama.

Allah menjadikan perasaan kasih mesra antara suami isteri sebagai sunnah yang ada padanya tanda kekuasaan dan keagungan-Nya.

Firman Allah bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri daripada diri kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya antara kamu perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan menimbulkan kesedaran bagi orang yang berfikir.” (Surah ar-Rum ayat 21)

Selaras dengan ayat itu, Rasulullah SAW sering menasihati suami sebagai ketua keluarga supaya melayani isteri dengan sebaiknya. Baginda menegaskan, suami yang terbaik itu ialah yang berlaku baik terhadap isterinya.

Baginda SAW juga berpesan kepada suami dengan sabdanya bermaksud: “Hendaklah kamu ingat memperingati supaya berbuat baik kepada wanita (isteri). Sesungguhnya mereka adalah seperti tawanan di sisi kamu. Kamu tidak memiliki apa-apapun daripada mereka kecuali hak menikmati hubungan kelamin antara kamu berdua. Tetapi, apabila isteri kamu melakukan kejahatan yang nyata, maka tinggalkan tempat tidur mereka, dan pukullah dengan cara yang tidak terlalu menyakitkan. Jika mereka kembali mentaatimu, maka janganlah kamu mencari jalan untuk menyakitkan mereka. Ingatlah bahawa kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu dan isteri kamu juga ada hak ke atas kamu. Hak kamu ialah tidak membenarkan mana-mana lelaki tidur di atas tilam kamu dan tidak mengizinkan sesiapa yang kamu tidak suka memasuki rumah kamu. Adapun hak isteri ke atas kamu ialah kamu memberi yang terbaik kepada mereka pakaian dan makanan mereka.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Walaupun kehidupan isteri terikat dengan suami laksana seorang tawanan, mereka tidak boleh dianggap sebagai hamba yang boleh diperlakukan sesuka hati. Isteri mempunyai hak mendapat layanan sebaiknya.

Suatu ketika, ramai isteri datang menemui isteri Rasulullah SAW mengadu mengenai layanan buruk diterima daripada suami mereka. Apabila Rasulullah SAW mengetahuinya, Baginda bersabda bermaksud: “Sesungguhnya ramai wanita datang menemui isteriku mengadu mengenai suami mereka. Sesungguhnya suami kepada wanita itu bukanlah orang yang terbaik daripada kalangan kamu.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Tidak dinafikan, sebagai manusia masing-masing ada kelemahan dan kekurangan sama ada isteri mahupun suami. Cara terbaik mengatasinya ialah dengan bersabar serta tidak membesarkan kelemahan itu. Firman Allah bermaksud: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (berasa) benci kepada mereka (kerana tingkah lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya) kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedangkan Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak untuk kamu.” (Surah an-Nisaa’, ayat 19)

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Mana-mana lelaki yang bersabar di atas keburukan perangai isterinya, Allah akan berikannya pahala seperti diberikan kepada Ayyub kerana bersabar di atas bala yang menimpanya. Mana-mana isteri yang bersabar di atas keburukan perangai suaminya, Allah akan berikannya pahala seperti yang diberikan kepada Asiah binti Muzahim, isteri Firaun.”

Oleh Maznah Daud. Prof Madya Maznah Daud ialah bekas pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam yang boleh dihubungi di e-mel wanitajim0@yahoo.com

Renungi kisah seorang lelaki mengunjungi Umar bin al-Khattab untuk mengadu perangai isterinya. Dia berdiri di luar pintu, menunggu Umar keluar. Tiba-tiba dia terdengar isteri Umar sedang meleterinya sedangkan Umar diam tidak menjawab walau sepatah pun. Maka lelaki itupun beredar sambil berkata kepada dirinya sendiri: “Jika beginilah keadaan Umar, seorang Amirul-Mukminin yang selalu keras dan tegas, maka bagaimana dengan aku?

Selepas itu Umar keluar dari rumahnya dan melihat lelaki tadi sudah beredar. Umar memanggilnya dan bertanya tujuan kedatangannya. Lelaki itu berkata: “Wahai Amirul-Mukminin, aku datang untuk mengadu perangai isteriku yang buruk dan suka berleter di hadapanku. Tadi aku mendengar isteri anda pun begitu juga. Lalu aku berkata kepada diriku, jika beginilah keadaan Amirul-Mukminin dengan isterinya, maka bagaimana dengan aku.

Umar berkata kepadanya: “Wahai saudaraku, sesungguhnya aku bersabar mendengar leterannya kerana dia mempunyai hak ke atasku. Sesungguhnya dia memasak makananku, mengadun roti untukku, membasuh pakaianku dan menyusui anakku, padahal semua itu tidak diwajibkan ke atasnya. Dia juga menenangkan hatiku daripada melakukan perbuatan yang haram (zina). Sebab itulah aku bersabar dengan kerenahnya?

Lelaki itu menjawab: “Wahai Amirul-Mukminin, demikian jugalah isteriku? Umar pun berkata kepadanya: “Maka bersabarlah wahai saudaraku. Sesungguhnya kerenahnya itu tidak lama, hanya seketika saja.”

Oleh Prof Madya Maznah Daud ialah bekas pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam yang boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com

Thursday, March 6, 2008

Hak Muslim: Wanita ada hak pertahan maruah di sisi suami

ADIK perempuan saya sudah berkahwin selama lima tahun bersama seorang anggota beruniform. Sejak tahun lepas, beliau selalu mengadu bahawa suaminya mempunyai hubungan luar dan mereka sering bergaduh. Katanya, apabila dia bertanyakan mengenai perempuan itu, suami akan memarahinya, memanggilnya dengan panggilan kasar seperti perempuan tidak sedar diri, perempuan pelacur dan sebagainya. Ada juga mereka bergaduh sehingga pukul memukul. Minggu lalu, saya membawa adik ke klinik kerana dipukul teruk dan ditampar di pipi sehingga lebam. Saya kasihankan adik tetapi tidak tahu apa yang patut dilakukan. Apatah lagi adik saya risau jika ibu bapa mengetahui rumah tangganya bermasalah kerana mereka berkahwin dulu atas dasar suka sama suka. Apakah yang boleh saya lakukan?

Kak Long,
Selangor.

PUAN prihatin terhadap adik yang bermasalah. Adik puan wajar bersyukur dan berterima kasih kerana mempunyai tempat untuk mengadu. Adik puan berdepan pelbagai masalah yang bermula daripada isu hubungan luar suami dengan perempuan lain.

Permasalahan dan pergaduhan serta pukul memukul adalah rentetan yang berlaku sebagai kesinambungan perselisihan atas isu itu.

Perkahwinan memang selalu diselang-seli dengan perselisihan, tetapi apabila membabitkan pergaduhan besar seperti maki hamun, menggunakan perkataan menghina yang tidak sepatutnya, apatah lagi pukul memukul, maka ia bukan perkara biasa lagi.

Suami adik puan sudah melakukan tindakan yang tidak wajar dan berlawanan dengan prinsip peranan, tanggungjawab serta penunaian hak di antara suami isteri. Saya menasihatkan supaya puan memberi bantuan moral di samping sokongan lain sebagai orang terdekat supaya adik mampu berusaha menyelesaikan masalah dengan baik.

Jika puan berpendapat adik ipar puan boleh dibawa berbincang, saya sarankan puan mengambil peranan itu. Kemungkinan ada perubahan yang boleh berlaku, Nasihat adik ipar dengan baik, ingatkan dia dosa yang dilakukan dan kedudukan adik puan sebagai isterinya yang sah.

Puan boleh mengingatkannya bahawa perkahwinan adalah hubungan kasih sayang atau mawaddah dan rahmah. Jika tujuan perkahwinan sudah tidak dapat dicapai dan mungkin menimbulkan mudarat kepada pihak sama ada isteri atau suami, maka pada ketika itu, kemungkinan perceraian adalah jalan terakhir yang wajar disarankan.

Oleh kerana adik puan dan suami selalu bergaduh, pukul memukul apabila isu hubungan luar ditimbulkan, bahkan membawa kepada maki hamun dengan perkataan tidak baik, sudah tentu sebarang usaha untuk menasihati suami jika dilakukan oleh adik puan secara sendiri akan berakhir dengan pergaduhan juga.

Jika puan sebagai kakak tidak mampu menasihati suami, puan boleh mencadangkan kepada adik tadi supaya berusaha meminta bantuan daripada pihak ketiga seperti kenalan rapat suami, keluarga suami, pakar kaunseling di tempatnya bekerja atau sesiapa saja yang suami hormati.

Ibu bapa puan sewajarnya mengetahui masalah ini kerana mungkin mereka boleh menolong mengatasinya dengan lebih baik. Bagaimanapun, adik puan perlu berhati-hati memilih perantara supaya ia tidak akan diperbesar dan menimbulkan kekecohan.

Perantara itu mestilah orang yang boleh dipercayai dan tidak menghebohkan perkara itu kepada orang lain. Perantara juga perlu tahu peranan yang hendak dimainkan dan boleh memberikan nasihat kepada suami secara berkesan.

Carilah perantara yang sesuai bagi membantu menyelamatkan rumah tangga. Apa yang penting, adik puan sendiri tidak boleh duduk menangisi apa yang berlaku tanpa sebarang usaha untuk membaikinya kerana Allah tidak akan mengubah nasib kita jika kita tidak berusaha membaikinya.

Jika segala daya usaha sudah dijalankan, tetapi keadaan masih tidak berubah atau menjadi lebih negatif dan membawa mudarat lebih besar, maka kami cadangkan supaya adik puan memikirkan kebajikan dirinya dan anak jika terus bertahan dalam rumah tangga sebegini.

Adik puan wajar mendapatkan nasihat undang-undang daripada mana-mana orang yang ahli seperti peguam syarie. Apabila beliau selalu dipukul, ditampar dan dihina dengan panggilan tidak munasabah seperti dinyatakan, maka ia adalah alasan yang diterima syarak untuk perkahwinan itu dipisahkan.

Puan boleh merujuk kepada Seksyen 53 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 di mana alasan itu diterima sebagai dasar untuk memohon fasakh. Jika adik puan masih ingin bertahan dalam rumah tangga itu, maka mungkin ada beberapa cadangan lain yang boleh difikirkan olehnya.

Contohnya jika suami layak dan berkemampuan serta boleh berlaku adil, mungkin adik puan mungkin boleh menyarankan suaminya berkahwin lain dengan syarat tertentu seperti diperuntukkan dalam Undang-Undang Keluarga Islam.

Selepas berusaha, berserah kepada Allah. Ajaklah adik puan untuk selalu mendekatkan diri dengan Allah dan berdoalah kepada-Nya bagi membuka hati suami dan menanam benih kesedaran dalam jiwanya untuk berubah. Allah tidak akan menguji hamba-Nya melainkan apa yang mampu dihadapi olehnya saja.

Kami menasihati adik puan dan wanita lain supaya mengambil tahu dan mempunyai ilmu mengenai hak masing-masing di sisi undang-undang syariah supaya kebajikan dan keselamatan terpelihara.

Jika keadaan menjadi lebih berbahaya dan adik puan berasa khuatir keselamatannya akan terancam, beliau boleh memohon kepada Mahkamah Syariah untuk mendapat perintah tegahan bagi menghalang suami daripada mengganggu, memukul atau mencederakannya.

Kami juga menasihati beliau supaya membuat laporan polis dan mendapatkan rawatan serta laporan perubatan apabila keadaan memerlukan. Ia mungkin berguna sebagai bahan bukti untuk dikemukakan kepada mahkamah pada kemudian hari.

Kesimpulannya, jika matlamat perkahwinan itu tidak dapat dicapai selepas segala usaha dilakukan dan keselamatan terancam, mungkin jalan terbaik ialah berpisah. Namun, berusahalah sedaya upaya terlebih dulu untuk mencari jalan terbaik menjernihkan suasana dan kembali kepada syariat. Semoga masalah beliau dapat diatasi dengan baik.

Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Nurhidayah Muhd Hashim. Semua persoalan boleh dikirim ke excopgsm@yahoo.com dan boleh layari http://peguamsyarie.blogspot.com

Wednesday, March 5, 2008

Peguam Syarie Menulis: Wanita wajib taat suami selagi tak langgar syarak

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

KISAH segelintir wanita sudah berkahwin yang sanggup diusung lelaki lain untuk berhibur hingga ke bilik tidur yang didedahkan akhbar begitu mengejutkan. Malah, mereka sanggup bertukar pasangan antara satu sama lain, sentiasa terbuka menerima kenalan baru untuk dijadikan pasangan.

Ini perkara serius yang tidak wajar dipandang ringan walaupun ia dikatakan sebagai kes terpencil. Walau apa alasan mereka seperti tidak puas atau tidak menerima nafkah batin daripada suami, perlakuan sedemikian bukan jalan singkat yang perlu diambil bagi menyelesaikan masalah.

Menurut tokoh agama, Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz, tempat seorang isteri adalah di sisi suami dan isteri yang menjalin hubungan bersama lelaki lain tidak sepatutnya berlaku. Beliau berkata, perbuatan itu bukan saja tidak bermoral, malah lebih teruk daripada nusyuz iaitu tidak menghormati atau ingkar kepada suami. Seorang isteri sewajarnya tidak memandang lelaki lain selain suaminya.

Seorang isteri perlu taat kepada suami kerana wujudnya ikatan pernikahan, walau bagaimanapun tanggungjawab itu bukanlah mutlak tanpa batas sempadan. Antara syarat yang mewajibkan isteri mentaati suami ialah suami juga perlu menjalankan sepenuhnya tanggungjawabnya terhadap isteri.

Segala hak dan tanggungjawab saling bertimbal balik. Hak isteri adalah tanggungjawab suami. Sementara hak suami pula adalah tanggungjawab isteri. Antara lain yang mewajibkan isteri mentaati suami adalah arahan yang diberi suami tidak bertentangan dengan Islam.

Jika arahan suami bertentangan dengan ajaran Islam, arahan itu bukan saja tidak wajib dipatuhi, malahan suami patut diperbetulkan dengan cara bijaksana.

Mengenai tanggungjawab isteri mentaati suami boleh difahami daripada sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sekiranya aku (boleh) menyuruh manusia menyembah manusia nescaya aku akan menyuruh isteri menyembah suaminya." (Hadis riwayat Abu Daud)

Oleh itu, dapat dilihat di sini pentingnya isteri mentaati suami selagi ketaatan itu tidak terkeluar daripada landasan syarak.

Nusyuz daripada sudut hukum syarak bermaksud derhaka iaitu bermaksud isteri yang menderhakai dan tidak mentaati suami seperti diwajibkan Allah. Firman Allah bermaksud: "Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan derhaka (nusyuz). Hukum nusyuz bagi seorang isteri adalah haram. Ia adalah satu dosa besar bagi seorang isteri yang nusyuz terhadap suaminya." (Surah an-nisa', ayat 33)

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Jika seseorang lelaki mengajak isterinya ke tempat tidur, isterinya tidak datang dan suaminya tidur dalam keadaan marah, malaikat akan melaknat isteri berkenaan sehingga subuh."

Tidak ada peruntukan khusus dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam atau pun Akta Undang-undang Keluarga Islam terhadap dakwaan nusyuz. Cuma dinyatakan mengenai aspek peruntukan nafkah terhadap isteri yang nusyuz mengikut Seksyen 60 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003 memperuntukkan:

"Tertakluk kepada hukum syarak dan pengesahan mahkamah seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya, iaitu antara lain;

Apabila dia menjauhkan diri daripada suaminya;

Apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya; atau

Apabila dia enggan bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain, tanpa apa-apa sebab sah mengikut hukum syarak."

Berdasarkan peruntukan itu, seorang isteri adalah tidak berhak menerima nafkah daripada suaminya jika beliau enggan mengikut perintah sah suaminya dengan melakukan satu atau semua perkara di atas. Namun demikian, mengikut peruntukan sama, seorang isteri tidak dikatakan nusyuz melainkan perbuatannya disahkan mahkamah terlebih dulu.

Bagaimanapun, Seksyen 60 (3) Enakmen yang sama memperuntukkan: "Selepas saja isteri itu bertaubat dan menurut kemahuan dan perintah sah suaminya, maka isteri itu tidaklah lagi menjadi nusyuz."

Oleh itu, walaupun isteri nusyuz atau enggan mengikuti perintah sah suaminya, tetapi kemudian dia bertaubat dan menurut semula kehendak suaminya, tidaklah dianggap nusyuz lagi dan dalam keadaan ini suami wajib memberi nafkah kepada isterinya.

Tindakan dilakukan wanita yang menjalin hubungan dengan lelaki lain sebenarnya lebih teruk daripada nusyuz kerana isteri sudah menduakan suami tanpa pengetahuan suami, malah yang lebih teruk lagi mereka mencampakkan diri ke lembah kehinaan dengan melakukan perzinaan.

Perilaku itu sewajarnya dibendung bukan di kalangan isteri saja, malah kepada pasangan mereka. Perbuatan mereka memberi kesan buruk kepada diri, agama dan masyarakat dan permasalahan ini akan menjadi lebih rumit jika isteri tadi mengandung serta melahirkan anak di luar nikah.

Adalah diingatkan kepada mereka, pulanglah ke pangkuan suami serta ke jalan yang benar. Jika sudah terlanjur, maka kembalilah kepada Allah dengan bertaubat nasuha serta berniat dengan bersungguh-sungguh untuk tidak mengulanginya.

Zina sangat besar dosanya dan memberi kesan buruk kepada masyarakat. Firman Allah bermaksud: "Dan jangan kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu perbuatan yang keji dan satu jalan jahat (yang membawa kerosakan." (Surah al-Isra, ayat 32)

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia

Thursday, February 21, 2008

Hak Muslim: Isteri boleh mohon kemuka saman menerusi iklan

SAYA sudah berkahwin selama 10 tahun dan ada tiga anak. Bagaimanapun, suami sudah meninggalkan saya sejak dua tahun lalu tanpa sebarang berita dan setahu saya dia tidak lagi berada di Selangor. Apabila saya hubungi ibu mentua, mereka tidak mahu bekerjasama dan memberitahu secara kasar bahawa suami saya tidak balik ke kampung. Saya tidak pernah bercerai sebelum ini dan sampai sekarang masih lagi menjadi isterinya. Saya sudah tidak dapat bersabar lagi atas apa yang dilakukan suami terhadap saya. Sudahlah ditinggalkan tanpa berita, suami juga tidak pernah mengirim wang untuk perbelanjaan kami sekeluarga. Saya ingin memohon cerai taklik, malangnya tidak tahu di mana alamat suami tinggal sekarang. Saya sudah memfailkan kes tetapi baru-baru ini kes saya ditangguhkan kerana saman tidak dapat disampaikan oleh Mahkamah Syariah kepada suami. Saya tidak suka kes ditangguhkan begini, di mana keadilan untuk saya sebagai isteri yang teraniaya. Apa yang perlu saya lakukan.

ISTERI TERANIAYA
Selangor

Saya mendoakan puan sabar dalam menghadapi ujian dan jangan berputus asa untuk berusaha mencapai hak puan. Secara umumnya, semua perjalanan di mahkamah atau dipanggil tatacara di mahkamah perlu mengikut cara dan kaedah ditetapkan.

Apabila kita memulakan sesuatu kes di mahkamah seperti kes mendapatkan cerai taklik, ia mesti dimulakan dengan saman dan penyata tuntutan. Dalam penyata tuntutan itu diletakkan latar belakang pasangan, fakta kes, berapa tahun ditinggalkan tanpa nafkah dan sebagainya.

Pada asasnya setiap saman dan penyata tuntutan perlu diserahkan kepada defendan bagi memberi peluang kepada defendan menjawab atau membela tuntutan yang difailkan terhadapnya. Mahkamah perlu mendengar pendirian dan keterangan daripada kedua-dua pihak sebelum dapat menjatuhkan penghakiman yang adil.

Tidak boleh kita beranggapan apabila isteri ke mahkamah, maka sudah semestinya suami bersalah dan hakim mesti memutuskan segera walaupun belum mendengar keterangan suami. Oleh itu, saman dan penyata tuntutan perlu sampai dulu ke tangan suami sebagai defendan sebelum kes diteruskan. Prinsip umum ini terpakai kepada semua kes yang dibawa ke mahkamah melainkan kes tertentu.

Saman itu mesti disampaikan kepada defendan dalam beberapa cara. Pertama, penyampaian saman dan penyata tuntutan secara kediri iaitu dengan menyerahkan saman bermaterai kepada suami atau defendan dan diperiksa olehnya. Oleh itu, alamat lengkap defendan perlu diketahui dengan tepat supaya saman berjaya diserahkan dengan baik.

Jika defendan enggan menerima saman itu, ia boleh ditinggalkan berhampiran dengannya dan perhatiannya diarahkan kepada saman berkenaan.

Saman juga perlu disampaikan atau diserahkan kepada defendan dalam tempoh 12 bulan daripada tarikh pengeluarannya. Ini bermakna puan perlu menyerah atau menyebabkan diserah saman itu kepada suami dalam tempoh dinyatakan.

Jika tidak berjaya diserahkan dan tempoh itu, maka puan hendaklah dengan segera membuat permohonan di mahkamah bagi melanjutkan tempoh kesahan saman itu.

Keadaan menjadi rumit apabila defendan tidak diketahui di mana tempat tinggalnya atau tiada alamat yang pasti di mana defendan berada. Untuk pengetahuan puan, bilangan kes suami meninggalkan isteri dan tidak diketahui di mana alamat berada seperti ini bukan sedikit.

Dalam keadaan ini, puan boleh memohon kepada Mahkamah Syariah untuk mendapatkan suatu perintah yang dinamakan perintah penyampaian ganti.

Jika mahkamah berpuas hati atas apa-apa alasan yang mencukupi kenapa saman itu tidak dapat disampaikan secara kediri, mahkamah boleh memerintahkan supaya saman itu disampaikan dengan cara lain.

Antaranya, dengan cara menampalkan suatu salinan pada papan kenyataan mahkamah dan di tempat yang mudah dilihat pada alamat terakhir defendan atau cara lain difikirkan patut oleh mahkamah.

Mahkamah juga boleh membuat perintah supaya penyampaian ganti dibuat melalui iklan dalam akhbar tempatan seperti difikirkan patut oleh mahkamah.

Bagi penyampaian ganti ini, walaupun secara fizikalnya defendan tidak membaca notis tampalan atau iklan dalam akhbar, kesannya di sisi undang-undang adalah sama seperti penyampaian ke diri. Undang-undang akan menganggap seolah-olah defendan sudah menerima saman itu secara ke diri.

Apabila sempurna penyampaian ganti itu, mahkamah hendaklah menyifatkan saman sudah disampaikan kepada defendan.

Setelah penampalan dan pengiklanan dibuat, puan hendaklah memfailkan afidavit penyampaian bagi membuktikan bahawa penyampaian ganti itu sudah dilakukan seperti diperintahkan mahkamah.

Jika suami tinggal di luar Selangor, puan perlu memohon perintah penyampaian di luar bidang kuasa.

Jika puan sudah mendapat perintah penyampaian ganti dan melakukan penyampaian seperti diperintahkan, maka kes puan tidak perlu ditangguhkan lagi. Puan boleh memohon kes dibicarakan.

Perkara membabitkan praktikal seperti bagaimana tatacara dan kaedah yang menepati undang-undang selalunya memerlukan peguam untuk membuatnya. Jika puan dapat memahami dengan baik, puan sendiri boleh melakukan tanpa perlu mendapatkan khidmat peguam syarie.

Pada tarikh perbicaraan, puan hendaklah memberi keterangan bagi menyokong tuntutan dengan membawa dokumen sokongan serta saksi yang mengetahui mengenai pemergian suami dan suami tidak pernah memberi nafkah. Ini penting untuk menguatkan tuntutan dan membolehkan taklik disabitkan.

Dalam keadaan tertentu, mungkin puan perlu menjalankan sumpah al-istizhar untuk membuktikan bahawa segala keterangan yang diberikan adalah benar. Dengan cara ini nilai keterangan puan akan menjadi lebih kuat lagi.

Secara ringkas, puan perlu memastikan saman diserahkan, atau memohon perintah penyampaian ganti daripada mahkamah bagi mempercepatkan penyelesaian kes. Penangguhan kes itu untuk memberi ruang puan mengikuti tatacara ditetapkan.

Ia adalah sebahagian daripada perjalanan prosiding mahkamah dan bukan bertujuan menganiaya puan atau mana-mana pihak. Oleh itu puan jangan beranggapan mahkamah tidak mempedulikan kesusahan puan. Semoga puan berjaya dalam tuntutan itu.

Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Nurhidayah Muhd Hashim. Sebarang persoalan boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com

Friday, February 1, 2008

Bicara Kalbu: Tinggal berasingan elak krisis mentua, menantu

Jawapan oleh Endok Sempo M Tahir
www.bicarakalbu.blogspot.com

SAYA sudah berumah tangga selama tiga tahun dan ada seorang anak. Sejak berkahwin hingga sekarang kami masih tinggal bersama mentua. Suami saya bekerja di sebuah syarikat swasta dengan gaji yang kecil di bandar. Suami pulang ke kampung seminggu sekali. Pada awal perkahwinan mentua sangat positif dan menerima dengan baik dan berasa cukup selesa tinggal sebumbung.

Namun sejak akhir-akhir ini hubungan saya dengan ibu mentua mulai dingin dan kurang baik. Beliau sering menunjukkan sikap sinis terhadap saya dan menunjukkan perilaku yang tidak menyenangkan seolah-olah ia tidak suka dengan kehadiran saya. Beliau selalu menunjuk-nunjuk kelebihan anak lain dan membanggakan anak dan menantunya yang yang semuanya tinggal di bandar. Bukan sekali dua mentua saya itu membandingkan gaji suami saya dengan gaji anak-anaknya yang lain yang jauh lebih tinggi.

Di samping itu, ibu mentua saya juga selalu menceritakan kebaikan menantu lain. Beliau mesti memuji melambung dan memberi penghargaan melangit dan perhatian yang sengaja menunjuk-nunjuk di depan saya. Ini membuat saya berasa pengabdian saya terhadap mentua selama ini tidak pernah dihargai. Kekecewaan ini saya adukan kepada suami. Tetapi aduan saya seolah olah tidak dapat diterima oleh suami dan kami bertengkar. Berilah sedikit nasihat apakah langkah terbaik buat kami untuk menghindari perkara itu atau adakah lebih baik jika kami pindah ke tempat lain?

Suhana
Muar Johor

PUAN berasa kecewa dengan perilaku mentua kerana beliau selalu membanding-bandingkan dan membanggakan anak serta menantu yang lain. Di samping itu berasa jerih payah puan selama ini kurang dihargai. Ibu mentua lebih menghargai pengorbanan menantu yang pulang sekali sekala. Berbincanglah dengan cara yang paling baik dan berdiplomasi kepada suami dan luahkan rasa isi hati puan.

Mungkin puan tidak membenci mentua. Mungkin juga mentua puan tidak bermaksud untuk menyakiti puan.. Apa yang berlaku ialah adanya pelbagai perbezaan sudut pandang dan nilai dipegang. Mungkin ini menyebabkan salah faham antara menantu dan mentua. Jika tidak diurus dengan baik dan dicari penyelesaian segera, kita bimbang perkara yang kecil sebegini boleh berkembang dan menjadi masalah yang sangat kompleks.

Mungkin beberapa langkah boleh mengelakkan pertengkaran lebih besar:

Mengajak suami menilai semula keputusan tinggal berasingan

Keputusan untuk tidak tinggal bersama diambil, puan sebagai isteri tinggal di kampung dan suami tinggal di bandar. Keputusan ini sudah tentu berdasarkan pertimbangan ekonomi dan hubungan baik menantu-mentua pada peringkat awal.

Selepas beberapa lama hidup bersama mentua, ada pula keluhan dan perasaan tidak puas hati. Ini adalah perkara yang wajar dan dijangka berlaku dalam hubungan mentua yang hidup sebumbung.

Oleh itu puan dan suami perlu melihat, menimbang dan menilai kembali keputusan lalu. Mungkin masanya tiba untuk keluarga puan berpindah ke rumah sendiri, mengikut suami tinggal di bandar. Fitrah wanita sentiasa mengharap menjadi permaisuri di rumahnya sendiri. Jika masih menumpang di rumah mentua, mentua sebenarnya yang menjadi permaisuri rumah itu.

Cari masa sesuai dan waktu yang tepat untuk memulakan perbincangan. Fokuskan perbincangan kepada keputusan untuk tinggal bersama. Jelaskan kepada suami fitrah kehidupan adalah perubahan. Dunia berubah dan kita juga berubah, demikian juga hubungan suami isteri juga perlukan perubahan kepada yang lebih baik. Puan perlu keintiman hubungan yang lebih. Perubahan adalah satu kemestian.

Berbincang berasa semakin sukar dan tertekan dengan hidup yang berjauhan suami yang memisahkan keintiman kasih keluarga, antara suami dan isteri serta ayah dengan anak. Katakan kepada suami tiga tahun adalah satu masa yang lama untuk hidup berjauhan dan berpisah. Masalah ekonomi mungkin tidak timbul lagi kerana suami telah bekerja beberapa lama dan gaji juga meningkat.

Sampaikan kepada suami dan mentua ada perbezaan sudut pandang dan nilai dipegang dan ini menimbulkan salah faham antara puan dan mentua. Kalau tidak ditangani dengan bijak pemasalahan itu mungkin boleh merebak dan menjadi masalah sangat kompleks.

Tekankan kepadanya kadangkala seorang isteri tidak bertujuan menyakiti perasaan mentuanya, tetapi kerana adanya perbezaan sudut pandang suatu perbuatan atau perkataan yang tidak bertujuan menghina boleh diertikan sebagai perilaku menghina.

Begitu juga sebaliknya, mentua mungkin tidak bermaksud mencemuh atau merendah menantunya, tetapi kerana cara beliau mengekspresikannya kurang tepat atau kadang-kadang terlebih kata, ini menyebabkan menantu tersinggung. Contohnya ada mentua yang sangat baik kepada menantunya tetapi cepat marah bila sesuatu yang bersifat peribadi ditanyakan kepadanya.

Puan masih dalam proses belajar mengenali mentua. Tunjukkan kepada suami berusaha untuk tidak mudah tersinggung dengan sikap mentua itu, apalagi yang didasarkan pada prasangka. Puan perlukan masa bertenang untuk melakukan ini.

Jangan mengkritik ibu mentua

Menantu yang peka terhadap perasaan suami tidak sekali kali mengkritik ibunya (mentua) di depan suami. Walau bagaimana buruknya perangai ibu ia tetap ibu kandungnya. Perlu diingat pertalian darah tidak akan hilang sampai bila-bila dan kasih ibu anak tidak boleh dipisahkan.

Kata-kata negatif mengenai ibu kandungnya hanya akan membuat suami puan defensif dan semakin menjauhi. Jika ada tingkah laku mentua tidak menyenangkan hati, puan boleh saja minta suami untuk 'menegur' ibu kandungnya. Teguran itu mestilah dengan kata-kata yang sesuai dan sopan. Kalau anaknya sendiri yang menegurnya, sudah tentu si ibu mentua akan cepat memaafkan dan melupakannya. Lain halnya jika puan yang mengatakannya sendiri kepada ibu mentua. Kemungkinan hubungan puan dengan dia akan bertambah rumit dan setiap kata-kata puan itu mungkin akan dibawa sampai mati.

Kenali mentua

Walaupun ibu mentua bukan sahabat, tetapi puan cuba selami dirinya dan fahami cara fikirannya. Apabila anda anda masuk ke dalam kehidupan suami ini bermakna 'memisahkan' ia dengan anak yang dicintainya. Cuba bayangkan puan menjadi dia, tiba-tiba anak lelaki meninggalkan puan, apakah perasaan puan? Sabar adalah kata kunci mengambil hati mentua. Jika puan dapat lebih bersabar, selalu memberi perhatian dan sikap positif terhadap ibu mentua, lama-lama akan lembut hatinya. Apabila perbuatan negatif dibalas tindakan negatif maka selalunya hasil tidak menggembirakan.

Muhasabah diri

Suasana hati menjadi lebih tenang dan dapat berfikir dengan lebih jernih, puan cuba periksa diri mengapa agaknya mentua bersikap demikian. Tanyakan pada diri sendiri apakah selama ini puan selalu merasa betul dan tidak boleh ditegur? Adakah puan melihat sesuatu permasalahan secara secara objektif? Tidak adakah perkara positif atau masa indah yang dilalui bersama-sama? Apakah untung ruginya jika puan berterusan bermasalah dengan mentua?

Lakukan muhasabah diri secara mendalam. Ingatlah setiap perselisihan pasti membabitkan lebih dari satu orang dan dalam hal ini tidak ada yang tidak bersalah. Jika sebelum ini puan cenderung memikirkan perkara berkaitan mentua secara negatif dan selalu menyalahkan orang lain. Puan perlu mengubah minda dan pola berfikir puan. Belajar melihat permasalahan secara objektif dan positif. Ingatlah ungkapan yang mengatakan: change your thoughts and you change your world.

Selain itu cuba belajar untuk tidak menghakimi atau menilai mentua dengan nilai yang ada dalam diri sendiri. Sebab jika cara seperti itu yang puan gunakan maka sukar bagi puan memulakan inisiatif penyelesaian masalah dengan mentua. Mother Teresa pernah mengatakan If you judge people, you have no time to love them.

Beri dorongan kepada suami

Selepas dapat mengendalikan diri sendiri dalam menghadapi kekecewaan, suami pula menampakkan sifat keterbukaan dan melihat permasalahan dalam rumah tangga beberapa penilaian, maka puan perlu berikan dorongan kepada suami untuk berani mengambil tindakan. Perlu kuatkan tekad suami, pilihan sama ada pindah atau tidak masing-masing ada kesan positif dan negatifnya. Pertimbangkan dengan fikiran jernih pilihan mana yang lebih banyak kesan positifnya, Setelah dapat memutuskan dengan pertimbangan akal sihat, berilah dorongan semangat kepada suami untuk menguatkan diri melangkah ke depan mengikuti keputusan terbaik yang dibuat.

Mungkin mulai hari ini galakkan suami membelikan atau hadiah yang menyukakan hati ibunya, misalnya suami belikan kain batik yang kualitinya sama dengan kain batik yang dibelikan untuk puan. Perlu juga sekali sekala suami membalas budi orang tuanya.

Selalu bersabar dan berdoa

Bersabar dan berdoa adalah gandingan amal yang al-Quran sebut dalam surah al- Baqarah was taiinu bissabri wassalah, mintalah perlindungan dengan solat sabar dan solat. Bersabarlah melayani kerenah mentua dan dalam masa yang sama jangan putus asa berdoa.

Kita semua diuji Allah dengan cara berbeza. Ada yang diuji dengan banjir, kematian, kesakitan, kecurian, manakala puan diuji dengan permasalahan keluarga. Puan boleh mengamalkan doa orang yang diuji ketika menghadapi urusan yang sukar Moga ia boleh meringankan beban puan. Allahumma laa sahla illa maa ja'altahu sahlaa, wa anta taj 'alul hazna idza shi'ta sahlaa Ya Allah, maksudnya:

Tiada yang mudah melainkan apa yang Engkau jadikannya mudah. Engkau yang menjadikan kesedihan itu (lenyap) apabila Engkau hendak jadikannya mudah. - (Riwayat Ibn Hibban). As alullah hal 'adhim Rabbal 'Arshil 'adhim ayyash fik (7 kali) - Bermaksud: "Aku memohon kepada Allah yang Maha Agung, Tuhan yang Menguasai Arasy yang Agung supaya Dia menyembuhkanmu." - (Riwayat Tarmidhi & Abu Dawud)

Jawapan disediakan oleh Endok Sempo M Tahir , AJK Wanita JIM. Semua permasalahan yang lalu serta jawapannya boleh di layari di www.bicarakalbu.blogspot.com

Thursday, January 10, 2008

Wajib bayar mutaah walaupun isteri tuntut cerai

SAYA ingin kemukakan beberapa soalan berkaitan hak yang diberikan kepada bekas suami iaitu:

l Apakah bekas suami wajib membayar mutaah, edah dan nafkah kepada isterinya selepas cerai sedangkan isteri yang menuntut cerai? Apakah nafkah tertunggak juga wajib dibayar sedangkan tiada perintah mahkamah sebelum ini?

l Apakah bekas suami boleh menuntut haknya terhadap kereta dibeli menggunakan nama isteri, tetapi bayaran bulanan dibayar oleh suami sedangkan selepas bercerai, kereta itu diambil isteri dengan alasan menggunakan namanya.

l Sebelum bercerai, isteri menuntut supaya baki bayaran hantaran dijelaskan sebagai syarat untuk melepaskan segala kelengkapan rumah yang dibeli suami, namun atas dasar keselesaan anak, suami memulangkan semula kelengkapan rumah, walaupun baki hantaran sudah dijelaskan. Bagaimanakah untuk mendapatkan semula barang itu memandangkan bekas isteri enggan memulangkan barang berkenaan? Apakah barang itu dikira sebagai harta sepencarian

Bekas suami,

Kuala Lumpur.

Menjawab persoalan pertama, bekas suami tetap wajib membayar mutaah kepada bekas isterinya walaupun perceraian dituntut oleh isteri berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Dan isteri-isteri yang diceraikan, berhak mendapat mutaah (pemberian sagu hati) dengan cara yang patut sebagai satu tanggungan yang wajib ke atas orang-orang bertakwa.” (Surah al-Baqarah ayat 241)

Ulama Shafie juga menyatakan mutaah sebagai harta wajib dibayar oleh lelaki kepada isterinya yang diceraikan. Hanya nafkah edah yang wajib dibayar kepada bekas isteri iaitu selama tempoh tiga kali suci bekas isteri daripada haid atau jika dia hamil, tempohnya sehingga dia melahirkan kandungannya.

Selepas tempoh edah itu, nafkah bulanan seperti masih suami isteri yang sah tidak wajib dibayar. Menurut kitab al Ahwal as Sakhsiyah oleh Muhammad Abu Zahrah, semua fuqaha setuju nafkah bagi isteri yang dalam edah talak raji’i (talak yang boleh dirujuk) adalah wajib.

Jika talak tiga, fuqaha setuju diberi nafkah jika dia hamil, tetapi jika tidak hamil, mazhab Syafie berpendapat tidak berhak mendapat nafkah edah, tetapi berhak mendapat tempat tinggal saja.

Berkaitan nafkah tertunggak, Dr Abd Karim Zaidan dalam kitabnya al Mufassal Fi Ahkam al Mar’ah menyatakan, pendapat jumhur wajib beri nafkah kepada isteri apabila wujudnya sebab kewajipan itu dalam apa bentuk.

Ia menjadi hutang dari waktu suami enggan membayar nafkah tanpa perlu ada perintah mahkamah atau keredaan keduanya sebelum itu. Dalam masalah anda, nafkah tertunggak wajib dibayar, walaupun tiada perintah mahkamah sebelum bercerai.

Mengenai kereta pula, suami boleh menuntut hak terhadap kereta itu kerana apa-apa harta yang dibeli ketika dalam tempoh perkahwinan adalah harta sepencarian. Walaupun kereta didaftarkan atas nama isteri, tetapi ia bukanlah syarat mutlak menjadikan kereta itu hak milik isteri sepenuhnya.

Hal ini kerana suami turut memberikan sumbangan dengan membayar ansuran bulanan kereta itu. Ia selaras firman Allah yang bermaksud: “Orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan orang perempuan ada bahagian dari apa yang mereka usahakan.” (Surah an Nisaa’, ayat 32)

Anda perlu membuat permohonan injunksi dengan kadar segera di Mahkamah Syariah untuk menegah bekas isteri daripada melupuskan atau memindah milik kereta itu sehingga kes harta sepencarian diselesaikan. Oleh itu, anda perlu membuktikan di mahkamah kelak berkaitan pembayaran bulanan anda sumbangkan ketika memiliki kereta berkenaan.

Sebarang harta termasuk kelengkapan rumah yang dibeli dalam tempoh perkahwinan adalah harta sepencarian. Namun, anda sudah memulangkan kelengkapan itu kepada bekas isteri. Walaupun ketika memulangkan kelengkapan demi keselesaan anak, ia dikira sebagai pemberian daripada anda kepada bekas isteri.

Ia dianggap sebagai hibah iaitu pemberian daripada pemilik barang di mana pada mulanya bekas isteri memberikan kepada anda dengan syarat baki hantarannya dijelaskan, tetapi anda memulangkan semula kepadanya selepas menjelaskan baki hantaran.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak halal bagi seorang lelaki yang sudah memberikan satu pemberian atau sudah menghibahkan satu hibah menuntut balik sesuatu pemberian atau barang yang dihibahkan kepada orang lain, kecuali penarikan balik oleh bapa terhadap pemberian yang diberi kepada anaknya.”

Merujuk masalah anda, anda menyatakan sudah memulangkan kepada bekas isteri dan bukannya memberikan harta itu kepada anak anda. Oleh itu, anda dianggap memberikan hak anda kepada bekas isteri dan ia tidak boleh dituntut kembali.

Jelaslah, kerana anda sudah memulangkan kepada bekas isteri, anda hendaklah menunaikan janji itu. Jika anda ingin menuntut kembali, ia boleh dianggap sebagai mengingkari janji. Orang yang mengingkari janjinya boleh dikira sebagai munafik dan orang munafik dilaknat Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka.” (Surah an Nisaa, ayat 145)

Jika anda tetap yakin pemberian itu adalah kerana salah faham dan sebagainya, anda boleh menuntutnya dan membawa keterangan serta bukti yang menyokong tuntutan anda.

Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Siti Razasah Abd Razak. Sebarang persoalan boleh dihantar ke exco_pgsm@yahoo.com

Friday, January 4, 2008

Isteri orang mahu kahwin bekas kekasih

SAYA berumur 36 tahun, berpendidikan tinggi dan bekerja di syarikat swasta yang agak terkenal. Saya sudah berkahwin dan mempunyai empat anak. Suami saya seorang yang panas baran dan tidak pernah memberi nafkah sejak mula berkahwin hingga kini. Saya sudah tidak tahan dengan sikap suami dan kami kini dalam proses perceraian. Suami bersetuju menceraikan saya dan kini peguam kami sedang membincangkan isu nafkah anak. Ketika proses perceraian ini, secara kebetulan saya terjumpa kekasih lama selepas hampir 20 tahun terpisah. Awalnya saya cuba mengelak daripada berhubungan dengan bekas kekasih saya itu, tetapi akhirnya hubungan kami menjadi rapat. Kebetulan, bekas suami saya juga memberitahu bahawa rumah tangganya turut berhadapan masalah. Walaupun tinggal berjauhan kami berhubungan menerusi telefon dan khidmat pesanan ringkas. Akhirnya kami mengakui masih saling menyayangi. Malah, saya terfikir apabila proses perceraian selesai, saya sanggup menjadi isteri kedua kepada bekas kekasih saya itu kerana tidak mahu merosakkan rumah tangganya. Masalahnya sekarang perasaan saya jadi keliru kerana saya tidak yakin dapat berkongsi kasih dengan isteri bekas kekasih saya dan pada masa sama, saya tidak mahu kehilangan bekas kekasih saya itu. Apa yang perlu saya lakukan?

Nur Zamzam,

Melaka.

Kasih sayang, cinta dan rindu adalah emosi manusia yang sukar untuk diubahkan. Sama juga benci dan dendam. Seolah macam tidak dapat hendak dikawal. Namun, kita semua tahu bahawa mengawal perasaan dan tidak bertindak ikutkan perasaan adalah wajib untuk menjadi manusia yang waras dan adil serta lurus di jalan Allah.

Justeru, dalam berusaha menahan diri daripada melakukan perkara tidak sepatutnya, saya nasihatkan puan supaya memastikan pergaulan dengan bekas kekasih itu tidak melampaui batasan pergaulan dalam Islam.

Berdasarkan status, puan masih isteri orang sehingga kes perceraian selesai. Jika ingin berhubungan, jangan bercakap perkara yang melanggar syariah atau menjurus kepada perbincangan yang tidak sepatutnya.

Mengadakan perhubungan dengan lelaki yang sudah berkahwin adalah berdosa jika membawa kepada perbuatan sumbang dan dilarang. Sebaiknya tunaikan solat istikharah supaya diberi petunjuk oleh Allah mengenai jodoh yang sesuai. Sukacita diingatkan bahawa jodoh seseorang itu adalah ketentuan Tuhan dan kita hendaklah berikhtiar.

Usah pula rasa bersalah atas niat untuk berkahwin dengan suami orang, tetapi biarlah jalannya mengikut peraturan yang ditetapkan syarak dan pihak berkuasa. Cerita daripada kekasih hanya cerita sebelah pihak saja.

Berjumpa dengan isteri kekasih untuk mendengar penjelasan beliau pula. Takut-takut keluar mulut harimau masuk mulut buaya kerana kekasih bukan lagi orang yang puan kenal dulu dan peristiwa dilalui sejak zaman persekolahan boleh mengubah tingkah laku beliau.

Poligami adalah sesuatu yang dibenarkan. Ia juga mempunyai hikmat dan manfaat besar kepada umat Islam khususnya dan manusia umumnya. Sama ada cintakan suami orang itu boleh membawa kebahagiaan atau tidak, bergantung kepada sistem pengurusan keluarga.

Beberapa tip untuk persediaan mental ke arah mengamalkan poligami, langkah pertama ialah menghapuskan mitos bahawa mencintai suami orang itu satu tindakan merampas, poligami akan membawa kepada ketidakadilan atau sukar untuk membahagikan kasih sayang.

Sebenarnya kasih sayang ibarat hujan. Ia tidak dibahagikan tetapi semua orang akan basah jika ditimpa hujan walaupun berada di tempat berlainan. Bukan bererti dua orang yang berada di suatu padang akan basah separuh saja apabila ditimpa hujan.

Langkah kedua ialah mendapat persetujuan semua pihak. Isteri pertama jangan menganggap bahawa dia lemah, tidak pandai menjaga suami apabila suaminya berkahwin lagi. Dan paling penting, suami yang mempunyai lebih daripada satu keluarga mestilah berlaku adil.

Walaupun tidak mudah untuk berlaku adil tetapi tidak mustahil, jika dimulakan dengan niat atas dasar iman. Adil bukan maksudnya semuanya sama tetapi setiap pihak mendapat haknya mengikut keperluan dan kedudukan.

Semua pihak perlu ada kesepakatan untuk menangani masalah di masa depan. Banyak konflik besar bermula daripada konflik kecil yang tidak dikendalikan dengan baik. Apatah lagi jika emosi menjadi perkasa ketika konflik.

Thursday, January 3, 2008

Isteri kerap suruh suami buat kerja rumah

SAYA berkahwin empat tahun lalu dan dikurniakan sepasang cahaya mata. Tahun lalu, isteri saya berhenti kerja kerana majikannya berpindah ke luar negara. Secara kasar, dengan pendapatan yang ada, saya masih mampu menampung keperluan rumah tangga serta membayar ansuran rumah, kereta dan motosikal. Isteri hanya menjaga anak bongsu kerana anak sulung dijaga ibu saya sejak kecil. Masalahnya, isteri saya belum dapat menyesuaikan diri menjadi suri rumah sepenuh masa dan selalu menyuruh saya membuat kerja rumah yang boleh dilakukannya hanya kerana dia berasa bosan. Apabila saya enggan melakukannya, beliau akan bercakap secara kasar hingga bilik tidur. Saya tahu kerja suri rumah tiada hentinya, tetapi wajarkah isteri menyuruh saya? Ia mendatangkan tekanan kepada saya yang mengharapkan kebahagiaan dalam perkahwinan. Saya berusaha meringankan bebannya dengan menguruskan makan pakai sendiri dan membelikan keperluan dapur. Saya tidak faham apa yang disibukkan isteri kerana rumah kami kecil saja. Kami selalu bertengkar dan saya selalu mengingatkan isteri supaya bercakap lembut dengan suami. Saya tidak pernah memukulnya dan tidak pernah mengadukan hal ini kepada sesiapa demi menjaga maruahnya. Namun, saya takut akan hilang sabar suatu hari nanti. Apa yang harus saya lakukan.

Suami Makan Hati,

Kuala Lumpur.

Terima kasih atas soalan saudara dan semoga ia menjadi iktibar untuk semua pasangan lain. Kami berpendapat, saudara sebagai suami mesti berbual dan berbincang dengan isteri berkaitan masalah ini dari hati ke hati.

Niat anda mengharapkan kebahagiaan adalah suatu yang baik. Secara jujur, isteri yang pernah berkerja dan kemudian berhenti untuk menjadi suri rumah sepenuh masa akan mudah berasa bosan apabila melakukan kerja sama setiap hari.

Apatah lagi jika suami pulang dari kerja, tiada langsung bertanyakan khabarnya. Saudara wajar memahami keadaan itu.

Sebenarnya, cara berkomunikasi penting dalam sesebuah perkahwinan. Masalah yang sering berlaku dalam rumah tangga hari ini ialah pasangan gagal berkomunikasi. Suami pula selalu beranggapan isteri tinggal di rumah hanya membuat kerja rumah senang, wajar duduk diam dan tidak boleh bersuara. Pandangan sebegini perlu diubah.

Apabila perkahwinan masuk tahun keempat, kebiasaannya kasih sayang yang tidak disuburkan akan semakin pudar dan mula mencari kesilapan satu sama lain. Perasaan kasih sayang seharusnya dibina setiap hari, walaupun sekadar ucapan terima kasih atas apa yang isteri lakukan.

Isteri yang tidak bekerja jarang mengharapkan hadiah mahal, tetapi ucapan terima kasih dan ucapan selamat sudah cukup mengubat kepenatan seharian menguruskan rumah tangga. Suami perlu kerap bertanyakan khabar, bercerita dan membiarkan isteri meluahkan perasaannya.

Cubalah bawa isteri bersiar-siar di tempat yang disukainya atau menghadiahkan sesuatu supaya isteri sentiasa rasa dihargai.

Amalkan bersolat secara berjemaah, membaca al-Quran dan makan bersama isteri dan anak. Kadang kala ada isteri yang ingin suaminya turut sama memasak, mengemas rumah dan bermain dengan anak apabila suami ada di rumah.

Layan kemahuannya sekadar yang munasabah. Saudara juga wajar memberi jalan dan menggalakkan isteri ke majlis ilmu seperti kuliah agama hujung minggu untuk wanita di masjid tempat tinggal anda. Ia akan meluaskan pandangannya di samping menambah ilmu dan kawan baru. Semua ini dapat mengurangkan tekanan yang dihadapinya.

Amalan solat berjemaah dan bersama-sama melakukan sesuatu aktiviti amat digalakkan dalam Islam kerana boleh menanamkan rasa hormat dan kasih sayang antara suami isteri. Rumah tangga dibina bukan demi memenuhi tuntutan nafsu dan kasih sayang semata-mata, tetapi sebagai satu ibadat untuk mendidik isteri ke jalan Allah.

Isteri yang berasa dihargai dan selamat dalam naungan suaminya tidak akan bercakap kasar tanpa sebab munasabah kerana suami itu sendiri sudah menanamkan keimanan yang teguh di dalam hati isteri.

Sebagai teladan, Rasulullah SAW sangat sabar dan lembut dalam bergaul bersama isteri Baginda. Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Mukmin yang paling sempurna adalah mukmin yang baik akhlaknya dan paling lembut terhadap keluarganya.”

Baginda sentiasa berpekerti sopan, berbudi bahasa mulia dan menghormati wanita seperti sabda Baginda yang bermaksud: “Tidaklah orang yang memuliakan wanita kecuali orang yang mulia, tidaklah orang yang menghinakannya (wanita) kecuali orang yang hina.”

Walaupun Baginda SAW adalah pemimpin agung umat Islam, baginda turut membantu isteri membuat kerja rumah seperti pergi ke pasar, menjahit pakaian sendiri dan turut beriadah seperti berlumba lari dengan isteri Baginda.

Saidina Umar yang terkenal sebagai seorang sahabat Rasulullah SAW yang tegas dan garang juga tidak memberi maklum balas negatif atau mengherdik isterinya walaupun isterinya berleter dan meninggikan suara kerana beliau memahami tekanan serta psikologi isteri yang kepenatan seharian dengan urusan rumah tangga.

Jika semua cadangan di atas sudah anda lakukan, tetapi isteri masih tidak berubah, tegur dan nasihatkan isteri dengan berhikmah, bukan dimarahi dengan kasar di samping sentiasa berdoa untuk kebaikan bersama.

Asingkan tempat tidur dan jika sudah melampaui batas, pukul setakat untuk mengajarnya dengan menggunakan benda lembut untuk menginsafkannya. Bersabar dan berlembut dalam mendidik isteri kerana ia adalah amanah yang anda terima ketika menikahinya.

Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Siti Razasah Abd Razak. Sebarang persoalan boleh dihantar ke exco_pgsm@yahoo.com