Showing posts with label Maulidur Rasul. Show all posts
Showing posts with label Maulidur Rasul. Show all posts

Saturday, February 27, 2010

Anugerah Maulidur Rasul rangsang semangat

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my


PELAJAR dan guru Sekolah Rendah Islam Kafa Masjid Az -Zubair Ibnul Awwam bergambar selepas diumumkan johan pertandingan perarakan Kategori Sekolah dan IPTA pada Sambutan Maulidur Rasul di Putrajaya, semalam.


Kerajaan beri penghormatan individu cemerlang beri manfaat untuk negara

"TIDAK terjangkau tinggi pekertimu, tidak tergambar indahnya akhlakmu, tidak terbatas segala jasamu, sesungguhnya engkau Rasul pilihan. Cekalnya hatimu menempuh dugaan, mengajar erti kesabaran, menjulang tinggi kemenangan, terpahat namamu di dalam al-Quran."

Bait indah dendangan lagu nasyid menggambarkan keperibadian serta kelebihan Nabi Muhammad SAW yang menjadi contoh sepanjang zaman sememangnya menimbulkan kekaguman dan pada masa sama, melahirkan rasa takut.

Mungkin itu yang cuba diluahkan pemenang Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1431 Hijrah/2010 Masihi, Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid, ketika dikelilingi media yang ingin mendapatkan maklum balas beliau pada Majlis Sambutan Maulidur rasul Peringkat Kebangsaan di Masjid Putra, Putrajaya, semalam.

Selain rasa malu atas anugerah diterima itu, Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa (Istac) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu melahirkan rasa takut jika pengiktirafan diterima tidak setimpal khidmat disumbangkan.

"Nabi Muhammad sebagai individu sudah meninggalkan kita tetapi Baginda sebagai misi dan visi terus hidup. Apabila saya diberi anugerah Maulidur Rasul ini, saya tertanya sama ada mampu bawa masyarakat kepada misi dan visi sebenar.

"Ini buat saya rasa kecil dan takut soal pengiktirafan yang belum tentu dapat saya sempurnakan. Lagipun, masih ramai yang berwibawa dan banyak menabur bakti di luar sana tidak ditonjolkan. Saya rasa malu, takut anugerah ini tidak tepat dengan realiti," katanya.

Bagaimanapun katanya, beliau tetap bersyukur, gembira dan rasa berkewajipan menerima pengiktirafan berkenaan selain berharap untuk terus berbakti kepada masyarakat dengan memberi pandangan yang boleh diterima serta sesuai mengikut keperluan masyarakat.

Anugerah disampaikan Timbalan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah. Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Anugerah Perdana Maulidur Rasul mula diperkenalkan tahun lalu dan penerima anugerah menerima wang tunai RM50,000, sebuah plak, sijil dan hadiah iringan. Penerima pertama anugerah ini ialah Profesor Pendidikan di Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Sidek Baba.

Anugerah Maulidur Rasul mula diperkenalkan pada 1413 Hijrah (1992 masihi) dan pencalonan terbuka kepada lelaki serta perempuan Islam dan bukan Islam yang terbabit dalam tugas serta perkhidmatan mencabar, berisiko tinggi, kritikal yang memberi kebaikan kepada rakyat dan negara. Penerima menerima hadiah wang tunai RM22,000 berserta hadiah iringan.

Penerima kali ini ialah bekas Pengarah Kesihatan yang aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan, Datuk Dr Abdul Razak Kechik; pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 yang mendapat 21A dan kini sedang melanjutkan pengajian di Jordan, Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamel; Pengarah Urusan Syarikat Faiza Sdn Bhd, Faiza Bayumi Syed Ahmad; pendakwah dan penceramah bebas, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz.

Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal Universiti Putra Malaysia, Prof Dr Yaacob Che Man dan satu-satunya penerima bukan Islam, Pegawai Penyelidik Pusat Penyelidikan Padi dan Tanaman Industri Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Dr Tan Swee Lian.

Dr Tan berkata, pengiktirafan diterima hasil kerjanya di Mardi selama lebih 30 tahun itu diharap menjadi pendorong kepada penyelidik muda untuk menghasilkan penyelidikan yang membawa faedah kepada masyarakat serta negara.

Beliau yang berjaya mendapat hak milik intelektual bagi lima jenis ubi kayu dan empat jenis ubi keledek mengakui semangat 1Malaysia membolehkan rakyat mendapat pengiktirafan hasil sumbangan mereka serta menjadi pendorong kepada orang lain menyumbang untuk negara.

"Saya tidak boleh bandingkan diri saya dengan Nabi Muhammad tetapi saya berharap dengan anugerah Maulidur Rasul ini saya dapat menjadi contoh kepada penyelidik muda untuk bekerja lebih rajin demi negara," katanya.

Sementara itu, Dr Yaacob yang diiktiraf sebagai saintis pertama menerima Anugerah Saintis Halal di World Halal Research Summit 2009, mengharapkan usaha dilakukan untuk mempertingkatkan kepentingan logo halal Malaysia.

Katanya, status halal Malaysia sangat berwibawa dan dipandang tinggi termasuk oleh Pertubuhan Negara Islam (OIC) tetapi berdepan masalah dalam negara seperti kebanjiran logo halal digunakan disebabkan kelemahan undang-undang.

"Ini kelemahan tetapi menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal agama sudah mengambil usaha memastikan isu ini dapat diselesaikan. Kita harap apabila ada akta lebih kuat nanti tiada lagi berlaku penipuan logo halal atau isu logo yang pelbagai.

"Selain standard yang bagus, kita perlu ada undang-undang tegas selain penguatkuasaan berkesan untuk mengawal penggunaan logo halal," katanya yang banyak menjalankan penyelidikan bagi membangunkan industri halal.

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1431 Hijrah mengekalkan tradisi berarak sambil berselawat oleh kira-kira 100 kontinjen yang mengambil bahagian sebagai manifestasi kecintaan kepada Rasulullah SAW dan menonjolkan semangat serta syiar Islam.

Perarakan sejauh 2.5 kilometer itu bermula dari Masjid Tuanku Mizan menuju Masjid Putra, Putrajaya. Kontinjen terbabit dalam perarakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1431 Hijrah turut diadili bagi menentukan johan dan naib johan berdasarkan kategori.

Lima kategori dipertandingkan iaitu kategori agensi kerajaan, badan berkanun, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi (IPT) dan institut latihan dan sekolah. Pemenang menerima plak, sijil dan hadiah iringan.

Friday, February 26, 2010

Contohi perjalanan hidup, perjuangan Rasulullah

Oleh Ibrahim Abdullah


SAMBUTAN Maulidur Rasul yang diadakan setiap tahun tanda ingatan umat Islam kepada Nabi Muhammad SAW. - Gambar hiasan


Nabi Muhammad miliki sifat terpuji, tokoh kepemimpinan yang wajar diteladani

SEWAJARNYA acuan hidup Rasulullah sebagai gambaran penampilan diri yang amat istimewa sentiasa dicontohi umat Islam. Secara fizikal, tingkah laku, sikap, tutur kata, pemikiran, emosi hingga keikhlasan hati dan keluhuran jiwa baginda terserlah sekali gus mencerminkan bentuk keperibadian yang nyata. Ia menyentuh dan membekas begitu mendalam pada sanak saudara, sahabat, tetangga dan kawan.

Tidak hairan selepas Rasulullah wafat, sahabat bertanya kepada Aisyah bagaimanakah gambaran baginda selama hidupnya? Aisyah tidak mampu menahan linangan air mata sambil berkata: "Segalanya begitu menakjubkan bagiku," dan pada waktu lain Aisyah menjawab: "Sesungguhnya akhlak baginda adalah al-Quran."

Secara fizikal, Rasulullah digambarkan sebagai lelaki yang kuat, gagah, berani, dada bidang dan itu ditandakan dengan kuatnya baginda melakukan banyak ibadat, mengerjakan pekerjaan biasa sebagai lelaki dan bahkan turut berperang. Tidak ada pilihan terbaik dalam mencontohi penampilan diri kecuali apa-apa yang Rasulullah ajarkan.

Al-Quran menginformasikan Rasulullah adalah teladan utama bagi umat manusia. "Sungguh ada pada diri Rasulullah itu suri teladan baik bagi kamu sekalian iaitu bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan kedatangan hari kiamat dan yang banyak mengingati Allah." (Surah Al-Ahzab: 21).

Keteladanan Rasulullah tidak hanya terbatas sejak baginda diangkat menjadi nabi dan rasul bahkan sejak baginda dilahirkan hingga wafat. Seluruh perjalanan hidup dan perjuangan baginda menjadi uswah hasanah dan teladan yang baik bagi umat manusia.

Dalam istilah agama, perjalanan hidup dan perjuangan baginda dinamakan as-sunnah. Secara bahasa, perkataan as-sunnah bererti kebiasaan atau tradisi. Namun dalam istilah agama, as-sunnah adalah apa yang menjadi kebiasaan Nabi Muhammad, perkataan, perbuatan mahupun persetujuan baginda mengenai suatu perbuatan yang dilakukan sahabat, sejak diangkat menjadi nabi dan rasul mahupun sebelumnya.

Ringkasnya as-sunnah adalah sirah atau perjalanan hidup baginda sejak lahir hingga wafat keseluruhannya adalah uswah, teladan agung bagi umat manusia.

Contoh uswah keteladanan, keunggulan, ketrampilan Rasulullah dalam kehidupan baginda dari remaja sehingga menjadi nabi dan rasul, juga pemimpin negara dan pemerintahan dapat dilihat meskipun baginda lahir sebagai anak yatim kerana kehilangan ibunda tercinta sejak berusia empat tahun. Baginda membesar sebagai remaja yang cerdas (fatanah), jujur dan boleh dipercayai (amanah), serta benar (siddiq) dalam ucapan dan perbuatan.

Ketika diangkat menjadi nabi dan rasul, terpadu secara simfoni dengan sifat tabligh (menyampaikan) dengan empat sifat itu adalah sifat wajib mesti ada secara rasional pada diri seorang nabi dan rasul sebagai utusan Allah.

Muhammad Husain Haikal, penulis sirah (biografi) terkenal dari Mesir menyatakan, rahsia kejayaan Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib tidak hanya ditentukan oleh empat sifat yang menjadi kredibiliti seorang nabi dan rasul tetapi juga kerana baginda sejak remaja memiliki kebiasaan ta'ammulat, mengamati, memikirkan, merenungkan keadaan sekitar, alam maya, geografi, sosial, politik dan kebudayaan termasuk adat istiadat masyarakat Arab waktu itu.

Hasil proses ta'ammulat yang dilakukan secara tekun dan teliti itu menjulang baginda menjadi remaja yang mempunyai teladan dan peribadi cemerlang. Baginda juga dapat menyelesaikan masalah berbangkit antara kabilah di Makkah ketika meletakkan Hajaral Aswad di tempat asalnya di Kaabah. Kehadiran baginda menjadi rumusan bagi pelbagai masalah dengan kreatif, inovatif dan cerdas pemikiran mahupun tindakan.

Dalam rumusan yang diusulkan baginda ada nilai kearifan, kecerdikan dan kepintaran yang boleh menjadi inspirasi bagi pejuang perdamaian, keadilan dan kemanusiaan. Bahkan dalam kata hikmah disebutkan 'yadullah maal jamaah' (tangan Allah berada dalam jemaah kebersamaan).

Jelas, banyak lagi contoh teladan boleh diambil untuk mencontohi dan mengikuti jejak langkah yang ditampilkan Rasulullah dalam kehidupan harian bagi kaum Muslimin bersempena sambutan Maulidur Rasul, hari ini.

Firman Allah bermaksud: "Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam." (Al-Anbiyya': 107).

Soal Jawab Agama: Sambutan Maulidur Rasul harus selagi tak bertentangan syariat

Islam galak rai hari berkenaan sebagai tanda kasih kepada Rasulullah


SAYA pernah mendengar hadis menyebut: "Sesiapa memuliakan hari kelahiranku (hari Maulidur Rasul) akan mendapat syafaatku, dan sesiapa mendermakan satu dirham pada hari itu akan mendapat ganjaran sebesar bukit Uhud fi sabilillah." Bagaimana dengan sambutan Maulidur Rasul dan cara terbaik meraikannya. Apakah pendapat ustaz dalam hal ini.

Jejaka Muslim

SESUNGGUHNYA keagungan junjungan besar Nabi Muhammad tidak dapat diukur dan dinilai melainkan Allah. Apa yang pasti, Baginda adalah insan terpilih di kalangan umat dan kehadiran Baginda adalah rahmat bagi sekalian alam.

Allah berfirman maksudnya: "Tidak Aku utuskan engkau wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam". (Surah Al-Anbiya', ayat 107)

Firman Allah lagi bermaksud: "Katakanlah (Muhammad) dengan rahmat Allah dan kurnia-Nya hendaklah mereka bergembira". (Surah Yunus, ayat 58).

Hadis yang saudara dengar ada dalam kitab Madarijus Suud karangan seorang ulama Indonesia. Bagaimanapun, ia sudah diperbetulkan oleh ulama terkenal, Syekh Ismail Othman Zin dan penulis sudah memohon maaf atas keterlanjuran itu atau mungkin ia adalah cetusan rasa penulis yang tidak wajar diketengahkan kepada masyarakat umum.

Sebenarnya hadis itu dan lafaz yang sama dengannya adalah rekaan semata-mata atau khayalan orang tertentu yang boleh mengelirukan masyarakat Islam. Jika benar kata-kata itu nescaya sahabat terlebih dulu berlumba melakukannya tetapi sejarah tidak pernah melakarkan perkara berkenaan.

Oleh itu, segala disandarkan kepada Rasulullah khususnya hadis, perlu dikaji dan diteliti terlebih dulu kesahihannya kerana dibimbangi kita akan termasuk golongan yang mendustakan Baginda.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Sesiapa yang mendustakan aku dengan sengaja maka tempatnya adalah dalam neraka." (Al-Hadis)

Tiada hadis memerintahkan supaya kita menyambut Maulidur Rasul. Namun, ulama berpendapat memperingati hari berkenaan sebagai tanda kasih kepada Baginda adalah harus selama mana tiada unsur bertentangan syariat Islam.

Pengarang kitab Yasalunaka Fid Din, Syeh As-Syarbusi, berkata semua amalan kebajikan pada hari Maulidur Rasul dengan niat mendekatkan diri kepada Allah dan tanda kasih kepada Rasulullah seperti solat, membaca al-Quran, selawat dan seumpamanya adalah harus.

Perbuatan itu sebenarnya mendapat ganjaran di sisi Allah. Pendapat saya, itulah cara terbaik untuk umat Islam menyambut kelahiran Rasulullah. Sabda Baginda bermaksud: "Sesiapa berselawat ke atasku sekali maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali." (Al-Hadis)

Ulama berpendapat, selawat Allah kepada hamba-Nya ialah rahmat dan keampunan.

Thursday, February 25, 2010

Maulidur Rasul dekatkan generasi muda dengan Nabi Muhammad

Oleh Abdul Razak Idris

PERARAKAN sempena sambutan Maulidur Rasul kali ini menimbulkan pertikaian kerana ada pihak bersetuju tradisi itu diteruskan dan ada juga melarang program itu dianjurkan sebagai menterjemahkan perasaan kasih sayang terhadap junjungan besar Nabi Muhammad.

Sejak berzaman, perarakan sempena Maulidur Rasul dianjurkan umat Islam di negara ini tanpa ada pandangan sinis masyarakat majmuk.

Ia adalah ekspresi terhadap kasih sayang umat Islam sempena lahirnya pembawa kalamullah.

Rasulullah adalah kekasih umat Islam. Tetapi bagi pihak yang lebih suka bercerita mengenai budaya agama lain, membicarakan mengenai Nabi Muhammad mungkin dianggap sebagai kurang menarik perhatian.

Kita semua jangan terpedaya dengan psikologi songsang yang dibicarakan orientalis sejak dulu. Kepada yang masih kabur kenapa kita wajar menzahirkan kasih serta ingatan terhadap Nabi Muhammad, banyak perkara perlu diberi perhatian.

Adalah menyedihkan apabila isu perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul dijadikan modal politik dengan dilihat seperti upacara tarik tali dan langsung tidak menyumbang kepada kesyumulan Islam sebagai agama rasmi Malaysia.

Apakah budaya dan agama dianggap perkara remeh oleh pihak terbabit. Buka mata kepada perkembangan semasa yang menakutkan apabila bayi dibuang secara berleluasa dan dibakar seperti sampah dan dalam masa yang sama kita menganggap amalan agama tidak penting serta tidak mendatangkan kebaikan.

Tanpa amalan agama disemarakkan dalam masyarakat, apa akan jadi kepada anak yang bakal menjadi pewaris kepemimpinan negara. Apa garis panduan boleh dijadikan sempadan kepada mereka apabila berhadapan dengan isu keagamaan.

Isu membabitkan kepentingan umat Islam terutama perkara berkaitan akidah serta amalan keagamaan tidak boleh dipandang remeh apatah lagi usaha penghapusan program yang memberi kesedaran terhadap nilai murni Islam. Agama bukan soal kecil yang boleh diperbetulkan seperti mengganti minyak hitam dalam enjin kereta atau seperti menambah nilai talian pra-bayar.

Umat Islam perlu sedar, Malaysia yang aman ini kerana agama Islam progresif yang menjadi akidah selama ini.

Bukan kerana kemajuan dan wawasan dibuat tanpa ada asas agama di dada. Oleh itu, pemimpin perlu lantang mempertahankan amalan agama yang menjadi sebahagian syiar Islam.

Berarak atau tidak bukan isu tetapi natijah daripada amalan itu yang menunjukkan penghormatan terhadap insan idola umat Islam yang banyak memberi panduan daripada perkataan dan perbuatan dalam membentuk kehidupan baik di dunia serta akhirat.

Alangkah sedihnya jika generasi akan datang bertanyakan kepada kita siapa Muhammad bin Abdullah sedangkan kita mempunyai banyak peluang memperkenalkan nama hebat itu sama ada secara langsung atau tidak.

Sekurang-kurangnya sambutan meraikan kelahiran Nabi Muhammad setiap tahun menyemarakkan ingatan serta menjawab persoalan yang menjurus kepada riwayat hidup Baginda yang penuh warna dan sumber pendidikan kepada semua lapisan masyarakat.

Wednesday, February 24, 2010

Iqra: Buku riwayat hidup Rasulullah panduan terbaik untuk Muslim


KOLEKSI buku riwayat hidup Rasulullah sebagai bahan panduan dan rujukan umat Islam.


SEMPENA sambutan Maulidur Rasul, syarikat penerbitan PTS Publications & Distributors Sdn Bhd menyediakan buku bertemakan kehidupan dan perjuangan Rasulullah SAW.

Pilihan merangkumi peribadi Baginda sebagai pahlawan, ahli perniagaan, pemimpin, pemerintah, kisah cinta dengan Khadijah dan perjalanan hidupnya sebagai nabi yang wajar dicontohi umat Islam pelbagai peringkat umur.

Antaranya, Biografi Muhammad bin Abdullah, Sejarah Khalifah Rasulullah, Bukti Sains dan Sejarah Kerasulan Muhammad, Peribadi Bisnes Muhammad bin Abdullah, Muhammad bin Abdullah: Peribadi Seorang Pahlawan, Bagaikan Khadijah di Hati Rasulullah dan Khadijah Cinta Abadi Kekasih Nabi.

Sebagai insan memiliki keperibadian mulia serta sifat terpuji, usaha menelusuri sejarah dan pencapaian Nabi Muhammad melalui bahan bacaan menyingkap kisah Baginda mampu membawa perubahan kepada umat Islam.

Kehidupan hari ini dengan pelbagai cabaran menuntut masyarakat mencari contoh supaya permasalahan mampu diatasi dengan berkesan. Kisah hidup Rasulullah SAW rujukan terbaik untuk pemimpin, ulama, pendidik, ketua keluarga dan hamba Allah.

Perjalanan hidup Baginda adalah ensiklopedia lengkap menerangkan bagaimana semangat perpaduan menyatukan masyarakat pelbagai bangsa, amanah memajukan perniagaan dan keikhlasan membawa kebahagiaan di akhirat.

Ramai keliru dan tidak mengenal Islam, tetapi melalui pembacaan melingkari perjalanan hidup Muhammad bin Abdullah, umat Islam hari ini akan mengakui kehebatan mencintai Baginda.

Pengetahuan mengenai Muhammad SAW adalah pendekatan kreatif bagi mendekatkan kanak-kanak kepada sejarah Islam dan senjata berkesan buat ibu bapa menerapkan pendidikan dalam keluarga.

Buku mengenai Nabi Muhammad SAW membina kerangka pemikiran umat Islam sepatutnya tidak hanya dibelek semasa sambutan Maulidur Rasul sebaliknya menjadi teman sepanjang masa kerana kita pasti ingin dikenali sebagai sahabat kepada pilihan pertama The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History.

Saturday, March 21, 2009

Cinta kepada Rasulullah melebihi perasaan kepada orang lain

Oleh Wan Aminurrashid Abd Hamid

SAMBUTAN Maulidur Rasul sudah berlalu tetapi ingatan dan perasaan cinta terhadap Baginda sentiasa menebal dan mekar dalam setiap jiwa umat Islam dengan mengamalkan keseluruhan ajaran yang dibawanya.

Allah berfirman: "Dan tiadalah Kami mengutus kamu (Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam" (Surah al-Anbiya' ayat 107). Inilah faktor keunggulan dan kecemerlangan umat Islam dulu kerana pegangan utuh kepada al-Quran dan al-Sunnah.

Memang sangat hebat kedudukan seseorang yang benar-benar kasihkan Nabi. Baginda bersabda bermaksud: "Sesiapa kasih kepadaku, aku sayang kepadanya, sesiapa yang aku sayang kepadanya, ia akan bersamaku di dalam syurga".

Kecintaan kepada Rasulullah sebenarnya bukan sekadar ucapan di bibir, berceramah, berselawat, mengadakan perarakan dan pelbagai forum serta jamuan sebagai meraikan kelahiran Baginda. Kita memang berkemampuan berbuat demikian walaupun dengan biaya yang besar. Namun, apakah penghaya-tannya sehebat majlis diadakan?

Betulkah umat Islam akhir zaman ini benar-benar cintakan Rasulullah? Kerana cinta itu selalunya memerlukan pembuktian, dalam erti kata bukan hanya ucapan bibir dan melalui pelbagai program yang diadakan. Jika tidak, cinta dan keimanan kita tidak akan diiktiraf Allah dan Rasul.

Beberapa perkara membuktikan kita benar-benar kasihkan Rasulullah:

Setiap kali nama Nabi Muhammad disebut, adakah secara spontan kita mengucapkan selawat kepada Baginda (dengan menyebut sallallahu 'alaihi wasallam)? Jika lidah kita berat, bermakna kita belum benar-benar kasihkan baginda.

Sabdanya: "Manusia yang bakhil itu adalah orang disebut namaku di sisinya, tetapi dia tidak mengucapkan selawat padaku" (Riwayat al-Tirmizi). Sabda baginda lagi: "Manusia paling mulia pada hari kiamat adalah yang paling banyak berselawat untukku" (riwayat al-Tirmizi).

Adakah kita mengamalkan keseluruhan akhlak mulia Nabi SAW sepanjang hidup dan perjuangan Baginda. Rasulullah menonjolkan akhlak terpuji dalam segenap aspek kehidupan. Baginda paling takwa, paling tekun beribadah kepada Allah, sangat pemaaf, pemurah, sabar, adil, berlemah lembut, malu malah semua akhlak terpuji terkumpul pada diri baginda.

Kalau benar kita meneladani kemuliaan akhlak itu melalui penampilan peribadi yang cukup agung, berpegang pula kepada ajaran Islam yang menyeru kita berbuat baik dan mencegah berbuat mungkar, sudah tentu ramai umat Islam tidak rosak moral seperti sekarang, di mana kerapuhan iman dan keruntuhan akhlak umat ini semakin parah.

Hakikatnya kita belum benar-benar sayangkan Nabi kerana akhlak umatnya hari ini banyak bertentangan dengan kemuliaan akhlak Baginda. Kemungkaran, maksiat, minum arak, perzinaan, buang anak, merosak harta awam, penagihan dadah, pembunuhan dan pelbagai kejahatan lagi sentiasa berlaku di mana-mana.

Untuk diiktiraf cinta kita kepada Nabi SAW, perlu meletakkan cinta kepada Baginda kepada manusia lain. Apakah hal ini wujud dalam kehidupan kita hari ini. Demi memastikan kesempurnaan iman, maka cintakan Rasulullah hendaklah melebihi kecintaan kita kepada orang lain.

Rasulullah sendiri belum mengiktiraf cinta Saidina Umar al-Khattab, kerana Umar meletakkan diri sendiri sebagai paling dicintai, kemudian baru Rasulullah. Tetapi kemudian Umar menukar pendiriannya, di mana Rasulullah lebih dicintainya daripada diri sendiri. Maka, barulah Nabi mengiktiraf cinta Umar al-Khattab. Jadi, apakah benar kita menyintai Nabi jika hari ini kita lebih banyak meletakkan kasih kita kepada ibu bapa, anak, isteri atau lain-lain manusia?

Ramai umat Islam membaca al-Quran, iaitu kitab hidayah dan pedoman hidup untuk kebahagiaan dunia dan akhirat, penyembuh hati manusia sehingga terjauh daripada kesesatan.

Apakah kita mengamalkan ajarannya? Mengamalkan ajaran al-Quran bermakna kita mengamalkan ajaran yang dibawa oleh Baginda banyak berkorban dan berjuang menegakkan Islam dalam keadaan pahit getir.

Pembuktian cinta terhadap Nabi SAW selain banyak berselawat dan bersyahadah ialah keberanian kita membela dan menegakkan sunnah Baginda apa lagi ketika sedang berada dalam kelompok umat yang sedang rosak kerana bidaah, khurafat, syirik dan rosak akhlak.

Cintakan Rasulullah tidak bererti jika sekadar bermain kata-kata sedangkan hati tidak menerima atau mengikut ajarannya, sehingga selepas setiap kali peringatan Maulid, tiada kesan positif dan penghayatan untuk pembangunan ummah.

Kita amat beruntung menjadi umat Nabi Muhammad. Tetapi keistimewaan itu bergantung pada kesediaan melaksanakan berbakti kepada Allah dan kerelaan mengamalkan ajaran disampaikan Rasul.

Tuesday, March 10, 2009

Perarakan Maulidur Rasul lambang kesatuan ummah

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my


PERARAKAN Sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Sembilan didahului Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Seremban, semalam.


Hujan tak jejas kehadiran 100,000 peserta sambutan peringkat kebangsaan di Dataran Merdeka


HUJAN rahmat pada pagi semalam, 12 Rabiulawal 1430 Hijrah di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur tidak sedikitpun melunturkan semangat 100,000 hadirin yang berkumpul sempena memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Berserta paluan kompang diiringi bacaan selawat memohon kesejahteraan ke atas Rasulullah SAW oleh 167 kontinjen yang mengambil bahagian, semangat penyatuan terserlah pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1430 Hijrah/2009 Masihi.

Berlindung sementara di kawasan persekitaran, hadirin kembali memenuhi padang Dataran Merdeka untuk menyaksikan kemuncak acara iaitu majlis pengurniaan Anugerah Maulidur Rasul kepada enam penerima termasuk tokoh Anugerah Perdana yang julung kali diperkenalkan tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perarakan kontinjen dari lapan masjid yang mengambil bahagian menuju ke satu arah adalah simbolik kepelbagaian dalam kumpulan Islam yang mungkin ada perbezaan pendapat, tetapi bersatu kerana agama.

"Penyatuan umat Islam di negara ini menampakkan kesan positif dan diharap berterusan. Perbezaan pendapat boleh ada tetapi jangan sehingga membawa perpecahan," katanya pada sidang media selepas majlis itu, semalam.
PESERTA yang mengambil bahagian sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan berarak di Dataran Merdeka, semalam.


Majlis sambutan Maulidur Rasul 1430 Hijrah/2009 Masihi bertemakan 'Wahdah Pemangkin Khaira Ummah' atau Penyatuan Pemangkin Ummah Terbaik bermula dengan perarakan kumpulan kenamaan diketuai Ahmad Zahid dari Masjid Negara menuju Dataran Merdeka.


Ini diikuti perarakan membabitkan kontinjen kakitangan kerajaan, swasta, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi dan pelajar sekolah dari lapan masjid yang mengambil bahagian.

Masjid terbabit ialah Masjid Negara, Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid Jamek Kuala Lumpur, Masjid Bukit Aman, Masjid India, Masjid Jamek Kampung Baru, Masjid Pakistan dan Masjid As-Syakirin KLCC.

Majlis dirasmikan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin. Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak.

Pada majlis itu, Yang di-Pertuan Agong turut menyampaikan Anugerah Maulidur Rasul kepada penerima sebagai pengiktirafan sumbangan mereka melaksanakan tugas serta perkhidmatan fardu kifayah yang menjurus kepada kepentingan negara dan rakyat.

Mereka ialah Penerima Anugerah Perdana, Profesor Pendidikan di Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Sidek Baba; Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Dr Ma'amor Osman; Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia Cawangan Sarawak, Mortadha Lau Abdullah dan Yang Dipertua Persatuan Pengasih Malaysia, Mohd Yunus Pathi Mohd.

Dua penerima muda yang turut dipilih ialah johan kategori bacaan/suara terbaik Musabaqah Hafazan al-Quran 30 juzuk pada Anugerah al-Quran peringkat Antarabangsa Dubai 2008, Muhamad Ahmad Zahid dan kanak-kanak orang kurang upaya (OKU), Muhammad Haziq Samrat.

Penerima Anugerah Perdana menerima hadiah wang tunai RM50,000, plak dan sijil penghargaan, sementara lima penerima lain menerima RM22,000 setiap seorang berserta plak dan sijil penghargaan.

Menyentuh pemilihan dua penerima muda itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Muhammad Sheikh Abdul Aziz, berkata mereka berjaya menampilkan semangat sebagai personaliti dicontohi.

"Adik Muhammad berjaya menghafaz al-Quran pada usia 10 tahun ini pencapaian yang boleh dicontohi mereka sebayanya. Muhammad Haziq pula yang mengalami kecacatan kekal boleh meneruskan kehidupan secara normal tanpa rasa kecewa.

"Semangat ini dapat dilihat dalam sirah Rasulullah SAW yang dilahirkan sebagai anak yatim dan dalam keadaan tertekan pada zaman jahiliah berjaya menghadapi dugaan seterusnya menjadi teladan. Inilah semangat yang kita ingin ada dalam umat Islam hari ini," katanya.

Mengakui anugerah yang diterima itu terlalu tinggi buat dirinya dan datang sebagai amanah, Muhammad yang bersyukur dengan kurniaan itu berazam meningkatkan ilmu dalam bidang hafazan serta terus meningkatkan akhlak yang baik.

Baginya, status sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul bukan satu tekanan, sebaliknya pendorong untuk mencetuskan sesuatu yang baik yang boleh dijadikan contoh supaya remaja sebayanya terarah kepada kegiatan bermanfaat untuk diri, keluarga, agama serta negara.

Sementara Muhammad Haziq mengharapkan, kegembiraan terpilih sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul akan menguatkan semangat kanak-kanak kurang upaya yang lain untuk menerima kekurangan mereka secara positif.

"Pasti saya gembira menerima anugerah ini kerana saya tidak sangka dipilih sebagai seorang penerima.

"Kecacatan bukan kelemahan sebaliknya cabaran yang sepatutnya menguatkan lagi semangat untuk berjaya seperti mereka yang normal," katanya yang bercita-cita menjadi peguam.

Sambutan perhimpunan kali ini turut diserikan 1,430 peserta menaiki motosikal berkuasa tinggi dan motosikal berkuasa rendah yang menggabungkan kalangan profesional serta remaja dalam gerakan dakwah.

Hadirin juga dihiburkan dengan persembahan bermesej mengimbau kehidupan Rasulullah SAW oleh kumpulan al-Gebra, Nakasutra, Akhil Hayy, Waheeda, Yassin dan pencerita Sabri Yunus bersama Ebby Saiful diiringi 60 pelaku gerak dan 40 kanak-kanak.

Monday, March 9, 2009

Sambutan Maulidur Rasul perlu menjurus amalan ditunjukkan Nabi

Oleh Masmawi Abdullah

SAMBUTAN Maulidur Rasul bukanlah upacara menyambut hari kelahiran seperti difahami kebanyakan orang Kristian menyambut kelahiran Nabi Isa al-Masih. Sesungguhnya perayaan Maulidur Rasul ialah mengingati serta mengenang jasa Rasulullah SAW membawa risalah untuk umat seluruhnya.

Sebenarnya Nabi SAW sendiri tidak pernah mengadakan atau mengarahkan umatnya bersusah payah menubuhkan kumpulan marhaban, berzanji atau perarakan besar-besaran bagi membesarkan Baginda SAW.

Namun begitu, demi cinta dan kasih umat Nabi Muhammad SAW terhadap Baginda SAW, maka majlis Maulidur Rasul diadakan setiap kali tibanya Rabiulawal. Ini semua bertujuan memperingati sejarah kelahiran dan episod unggul perjuangan Rasulullah SAW.

Sesungguhnya di sebalik peristiwa kelahiran Nabi Muhammad SAW pada 12 Rabiulawal tahun Gajah itu, tersirat satu simbol pembebasan umat sejagat. Ia melambangkan berakhirnya zaman kegelapan jahiliah dan kebejatan moral yang akan diganti era cahaya iman dan keluhuran pekerti manusia.

Kelahiran itu sekali gus menggegarkan dunia kezaliman dan keruntuhan akhlak sistem masyarakat jahiliah. Keputeraan Nabi yang maha agung ini juga diatur khusus oleh Allah SAW untuk mengeluarkan manusia daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak-akhlak yang mulia."

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Tidaklah aku utuskan engkau (Muhammad) melainkan untuk memberi rahmat untuk sekalian alam." (Surah al-Anbiya', ayat 107)

Walau bagaimanapun, di sebalik rasa cinta umat Islam terhadap pemimpinnya Rasulullah SAW, ada kala kita melakukan kesilapan besar terhadap ajaran Rasul itu sendiri. Ada juga sesetengah masyarakat meraikan keputeraan Nabi SAW secara berlebihan menyebabkan pembaziran tenaga, masa dan wang.

Ada sesetengah masyarakat menjadikan sambutan Maulidur Rasul sebagai satu adat turun temurun, jika tidak diadakan maka ia boleh memberikan suatu keaiban kepada masyarakat. Perkara ini sudah tentu lari daripada konsep menyambut Maulidur Rasul itu sebenarnya.

Jika Rasulullah SAW masih hidup sudah tentu Baginda akan murka atas penyelewengan seperti ini. Baginda mungkin akan menangis melihat kejahilan umat akhir zaman meraikan Maulidur Rasul hingga melanggar batas diperuntukkan syarak.

Sewajarnya sambutan Maulidur Rasul menjurus kepada amalan kebaikan seperti ditunjukkan Rasulullah SAW sepanjang hayat Baginda SAW menegakkan agama Allah SWT melalui contoh teladan dipamerkan melalui perkataan serta perbuatan.

Kasih sayang Rasulullah SAW kepada umatnya perlu dihargai dengan memastikan setiap ajaran dipegang dan disampaikan kepada generasi akan datang supaya kelangsungan perjuangan Rasulullah terus subur dalam jiwa umat Islam.

Sesungguhnya di saat pemergiannya, lebih kurang 1400 tahun lalu, Rasulullah SAW pernah mengulang-ulang perkataan "Ummati, ummati...", kerana mengenang apa akan berlaku kepada umatnya nanti.

Sekarang tiba masanya umat Nabi Muhammad SAW membuktikan bahawa mereka menghayati setiap ajaran Baginda SAW dengan menterjemahkan dalam kehidupan supaya umat Islam mencapai kecemerlangan seperti dicapai mereka yang memegang teguh peninggalan Rasulullah SAW.

Saturday, March 7, 2009

Menjadi Muslim sejati sempena Maulidur Rasul

Oleh Nazri Hussein


MELALUI program perarakan yang diatur penuh hikmat dan tertib merentas lorong serta jalan menunjukkan umat Islam tetap bersatu. - Gambar hiasan


Anjur aktiviti berfaedah untuk remaja sempena ulang tahun kelahiran Rasulullah

SAMBUTAN Maulidur Rasul sudah disambut umat Islam sejak tahun 300 Hijrah lagi di beberapa daerah di Iraq dan Syria. Di negara kita, sambutan Maulidur Rasul secara tidak rasmi diadakan sejak ratusan tahun lampau khususnya di kampung yang mendukung kuat ajaran Islam.

Selepas kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, sambutan Maulidur Rasul mula menjadi upacara rasmi yang dihadiri pemimpin dan orang kenamaan melalui perarakan sambil membawa sepanduk di jalan raya sebagai acara kemuncak dan paling ditunggu-tunggu.

Hari ini, sambutan Maulidur Rasul terus mendapat tempat di hati masyarakat Islam dengan menganjurkan pelbagai aktiviti bermanfaat seperti perarakan, ceramah, dialog agama, pertandingan selawat dan berzanji oleh agensi kerajaan mahupun swasta.

Walaupun, tiada satu nas yang memetik mengenai keperluan mengadakan peringatan hari lahir Rasulullah SAW, ramai ulama muktabar menganggap sambutan Maulidur Rasul tidak bertentangan syariat mahupun akidah malah diharuskan kerana mempunyai pelbagai hikmah dan iktibar kepada umat Islam sejagat.

Banyak kitab menjadi rujukan umat Islam sejak dulu menganggap perayaan Maulidur Rasul tidak akan membawa masyarakat kepada kesesatan atau bidaah seperti mana tuduhan sesetengah pihak yang tidak bersetuju dengan sambutan itu.

Antara kitab tersohor ialah Kitab Maidat al-Fikri karangan Imam Mutawalli yang jelas memperakukan bahawa kegembiraan umat Islam mengingati ulang tahun kelahiran Rasulullah SAW menunjukkan manifestasi tanda cinta dan kasih kepada manusia agung itu melalui selawat, zikir, marhaban dan ucapan pujian buat kekasih Allah yang tiada tolak bandingnya.

Ini sesuai dengan hadis riwayat Alkatib daripada Umar yang menyebut: "Janganlah kamu mengagung-agungkan diriku sebagaimana orang Nasara mengagungkan Isa. Aku ini hamba Allah. Oleh itu, selalulah menyebut namaku sebagai hamba Allah dan Rasul-Nya."

Senario yang berlaku dewasa ini, ketika Islam dan umatnya diserang secara mental dan fizikal daripada segenap penjuru, penghayatan terhadap kecintaan kepada Rasulullah SAW serta ajaran dibawanya diharap dapat memulihkan kembali wajah sebenar Islam yang syumul dan saling melengkapi.

Justeru, sambutan Maulidur Rasul yang diadakan setiap tahun bukan sekadar satu upacara santai atau berseronok-seronok tetapi mempunyai agenda besar demi meletakkan Islam sebagai panduan hidup.

Tiada gunanya kita mengambil bahagian dalam setiap program diadakan jika sekadar untuk mengambil hati majikan atau menonjolkan populariti diri semata-mata.

Melihat konsep sebenar sambutan Maulidur Rasul yang jelas menggambarkan perasaan harmoni, tenang dan rasa syukur kepada Pencipta melalui kalimah zikrullah, selawat dan Thayibbah yang diucapkan, akan lahirkan perasaan rendah diri serta tawaduk sebagai insan kerdil di atas muka bumi ini yang tidak kekal abadi.

Melalui program perarakan yang diatur penuh hikmat dan tertib merentas lorong serta jalan menunjukkan bahawa umat Islam tetap bersatu dalam perpaduan ummah menuju matlamat satu iaitu garis takwa yang menjadi ukuran sebenar menilai kecemerlangan peribadi.

Sekurang-kurangnya ia menjadi cermin yang jelas kepada bukan Islam bahawa umat Islam walau berbeza warna kulit, bangsa dan keturunan serta fahaman politik tetap berganding bahu bersatu merealisasikan cinta serta kasih buat junjungan Rasulullah SAW.

Bagaimanapun, saban tahun perayaan Maulidur Rasul yang disambut dengan penuh meriah melalui pelbagai program, gagal menarik minat golongan muda untuk turut serta menzahirkan rasa cinta kepada pemimpin besar Rasulullah SAW.

Golongan yang bakal menentukan masa depan negara pada hari esok, seolah-olah dibiarkan terpinggir tanpa dibabitkan sama dengan aktiviti bermanfaat untuk mereka. Sudah tiba masanya, guru dan institusi pendidikan meletakkan sambutan Maulidur Rasul sebagai takwim utama dalam kalendar perayaan yang wajar disambut.

Di rumah, ibu bapa sebagai mentor kepada anak wajar mendidik mereka supaya mengenal sahsiah dan peribadi Baginda SAW yang boleh dijadikan contoh ikutan dalam kehidupan seharian.

Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud: "Sesungguhnya pada diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik...."

Senario yang berlaku pada hari ini, di mana anak-anak remaja Islam dilanda krisis identiti yang teruk dengan pelbagai kebejatan sosial yang mula mewarnai hidup mereka, sudah sewajarnya sambutan Maulidur Rasul segenap tahun perlu direformasikan selaras dengan minat dan kecenderungan mereka.

Sehubungan itu kita tidak boleh terlalu streotaip dengan mengadakan aktiviti atau program yang sama setiap tahun bagi mengelakkan rasa jemu dan bosan. Apa salahnya, sempena sambutan Maulidur Rasul di sesetengah tempat, diadakan program yang lebih menghiburkan seperti sukaneka, pertandingan busana muslimah, peraduan mencari harta karun, deklamasi sajak atau pentomen serta aktiviti bercorak kebudayaan di mana nilai pembangunan jiwa diterapkan sama.

Ketika masyarakat berdepan dengan gejala lumba haram oleh anak-anak remaja yang ditonjolkan sebagai mat rempit di jalan raya, mengapa tidak sempena ulang tahun memperingati kelahiran Rasulullah ini, diadakan konvoi bermotosikal membabitkan anak muda dengan iringan selawat dan marhaban serta program kebajikan lain sebagai usaha menyemai benih kasih remaja kepada baginda Rasulullah SAW.

Ringkasnya, sempena kedatangan bulan Rabiul Awal yang mulia ini, kita dituntut untuk membanyakkan amalan ibadat sebagai bekalan untuk hari akhirat. Pada masa sama, segala urusan keduniaan perlu diberi perhatian demi kelangsungan umat sejagat agar mengembalikan semula maruah umat yang sedikit tercalar angkara beberapa insiden yang berlaku disebabkan oleh salah faham golongan tertentu memahami ajaran Islam dalam konteks sempit dan jumud.

Segala kekeliruan dan perbezaan pendapat hendaklah dipadamkan dalam usaha mengembalikan kekuatan serta perpaduan ummah sebagai umat terbaik yang mampu membina kesejahteraan alam sejagat ini dan seluruh penghuni di dalamnya.

Kesimpulan terbaik sempena Maulidur Rasul tahun ini ialah bukan sekadar jasad daripada lidah yang bergema kuat bermarhaban dan berselawat memuji Rasulullah SAW tetapi jiwa dan rohani ikut sama membuat perubahan peribadi menjadi Muslim yang serba serbi cemerlang.

Friday, March 6, 2009

Maulidur Rasul titik tolak perkukuh perpaduan ummah kesatuan

Oleh Hasliza Hassan
bhnews@bharian.com.my


PERARAKAN Maulidur Rasul meningkatkan lagi hubungan sesama umat.


Perarakan sambutan hari kelahiran Rasulullah SAW lambang kesatuan

DATARAN Merdeka bakal melihat perhimpunan terbesar umat Islam, Isnin ini sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1430 Hijrah yang dijangka dihadiri 100,000 hadirin termasuk kontinjen yang akan berarak sambil berselawat memohon kesejahteraan ke atas junjungan Rasulullah SAW.

Perhimpunan sempena memperingati hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW itu bertujuan memperlihatkan penyatuan umat Islam yang secara tidak langsung menjurus kepada perpaduan masyarakat di negara ini.

Ini dikuatkan dengan tema 'Wahdah Pemangkin Khaira Ummah' atau penyatuan pemangkin ummah terbaik sebagai elemen penting untuk kelangsungan ummah kerana pepatah Arab menyatakan: "Tidak dapat dicapai kemenangan melainkan dengan kekuatan dan tidak dapat dicipta kekuatan melainkan dengan penyatuan (perpaduan)."

Kesedaran mengenai pentingnya penyatuan dan semangat perpaduan sudah disemai dan dibaja subur Rasulullah SAW kepada sahabat Baginda demi mencapai matlamat penyatuan umat Islam ketika itu.

Antara usaha digerakkan Baginda SAW ialah menyatukan suku kaum dengan penuh hikmah, menggubal perlembagaan bagi menjamin perpaduan, melaksanakan prinsip syura, memperkenalkan dasar ekonomi adil, penubuhan pasukan tentera, melaksana metodologi dakwah dan diplomatik berstrategi.

Selain itu, Baginda SAW membangunkan masyarakat Islam bermoral supaya dapat dijadikan panduan bagi melahirkan ummah terbaik terutama umat Islam hari ini supaya kesinambungan daripada misi itu dapat diteruskan.

Meletakkan sasaran dan matlamat menjadi khaira ummah memerlukan komponen teras seperti penguasaan ilmu dan kemahiran dengan dipimpin iman serta takwa yang mantap daripada setiap individu, masyarakat, organisasi serta negara.

Era globalisasi penuh cabaran serta provokasi menuntut umat Islam melahirkan lebih ramai insan dan ilmuwan berjiwa besar, bersemangat kental dan mempunyai keyakinan untuk mencapai status khalifah Allah yang sejati.

Menjelaskan lebih lanjut sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz, berkata perarakan dan perhimpunan besar-besaran kali ini bertujuan menonjolkan syiar Islam yang mementingkan semangat kesatuan.

"Perhimpunan itu juga adalah untuk satukan ummah Islam dari segi pemikiran dengan cara berpersatuan dan bergerak dalam masyarakat untuk menghadapi serta menangani cabaran mendatang.

"Dalam konteks Malaysia ini, perpaduan umat Islam menjadi teras kepada perpaduan dan keamanan negara. Justeru, menjadi harapan kita sambutan kali ini turut dihadiri rakyat berbilang bangsa serta pelancong asing," katanya.

Beliau berkata, sambutan Maulidur Rasul adalah acara negara dan terbuka kepada umum untuk bersama menghayati semangat kesatuan serta perpaduan yang sekian lama menjadi sebahagian daripada faktor keamanan serta keharmonian dikecapi negara.

Malah, konsep sambutan yang menghimpunkan semua lapisan masyarakat juga menjurus kepada acara kekeluargaan dan orang ramai dijemput menghadirinya bersama keluarga.

Berbeza dengan majlis sambutan sebelum ini, perarakan kontinjen akan bermula daripada lapan masjid membabitkan kontinjen terdiri daripada kakitangan kerajaan, swasta, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi dan pelajar sekolah.

Masjid terbabit ialah Masjid Negara, Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid Jamek Kuala Lumpur, Masjid Bukit Aman, Masjid India, Masjid Jamek Kampung Baru, Masjid Pakistan dan Masjid As-Syakirin KLCC.

Perarakan kontinjen didahului barisan kenamaan sambil berselawat dimulakan dari Masjid Negara ke Dataran Merdeka diikuti perarakan kontinjen dari tujuh masjid lain yang dijangka akan turut disertai orang awam yang berada di sekitarnya.

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan dijangka dihadiri Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak serta menteri Kabinet dijadual hadir pada majlis itu.

Tahun ini, enam penerima dipilih untuk Anugerah Maulidur Rasul bagi mengiktiraf mereka yang melaksanakan tugas serta perkhidmatan fardu kifayah yang menjurus kepada kepentingan dan kemakmuran rakyat.

Wan Mohamad berkata, 100 pencalonan diterima dan daripada jumlah itu lapan calon disenarai pendek sebelum enam dipilih sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1430 Hijrah.

Tahun ini juga buat julung kalinya Anugerah Perdana diperkenalkan dan penerima anugerah akan menerima wang tunai RM50,000, sebuah plak, sijil dan hadiah iringan, sementara lima penerima lain akan menerima RM22,000 setiap seorang berserta hadiah iringan.

Anugerah Maulidur Rasul mula diperkenalkan pada 1413 Hijrah (1992 masihi) dan pencalonan terbuka kepada lelaki serta perempuan Islam dan bukan Islam yang terbabit dalam tugas serta perkhidmatan mencabar, berisiko tinggi, kritikal yang memberi kebaikan kepada rakyat dan negara.

Tahun lalu, lima calon dipilih menerima anugerah berkenaan termasuk Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan pelajar cemerlang kurang upaya, Nor Umairah Ahmad Jamhari.

Majlis sambutan turut diserikan dengan persembahan khas berkonsepkan hiburan bermesej yang mengimbau kehidupan masyarakat Arab sebelum kelahiran Rasulullah SAW, kelahiran Baginda, cabaran dihadapi semasa mengembangkan dakwah dan penyatuan umat Islam sebagai khaira ummah.

Kumpulan al-Gebra, Nakasutra, Akhil Hayy, Waheeda, Yassin dan pencerita Sabri Yunus bersama Ebby Saiful diiringi 60 pelaku gerak dan 40 kanak-kanak bakal menampilkan persembahan yang turut dimeriahkan dengan pukulan kompang.

Sebagai menghayati serta menghargai semangat kesatuan yang digerakkan Rasulullah SAW dan disambung sahabat Baginda serta kepemimpinan dulu, di Dataran Merdeka pada jam 7.30 pagi untuk menyambut Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1430 Hijrah.

Malah, perhimpunan di Dataran Merdeka kali ini juga sungguh bererti untuk mengenang kembali keberkesanan sambutan dipulihkan semula pada 1992 selepas perarakan menyambut Maulidur Rasul diberhentikan sejak 1979.