Showing posts with label Hukuman Sebat. Show all posts
Showing posts with label Hukuman Sebat. Show all posts

Wednesday, February 24, 2010

Peguam Syarie Menulis: Perbezaan hukuman kelirukan ummah


PESALAH disebat dalam keadaan menutup aurat membuktikan Islam menyanjung tinggi maruah umat.


Undang-undang syariah wajar diseragamkan di semua negeri

PADA 9 Februari lalu adalah tarikh yang mencatatkan sejarah baru dalam sistem perundangan syariah tanah air apabila pelaksanaan hukuman sebat kali pertama ke atas wanita dilaksanakan di negara ini, dalam suasana harmoni dan penuh kerahmatan.

Tiga pesalah wanita disabitkan mengikut Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan luar nikah) yang dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara Disember 2009 hingga Januari lalu. Selain itu, ada empat pesalah lelaki turut menjalani enam kali sebatan pada hari berkenaan atas kesalahan sama.

Walaupun timbul polemik isu sebatan ke atas pesalah wanita, Kartika Sari Dewi Shukarno sejak 20 Julai 2009, tiga wanita yang dijatuhkan hukuman kemudian daripada Kartika Sari, menjalani hukuman lebih awal. Syabas kepada Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Penjara kerana melatih penyebat wanita menjalankan sebatan syariah, dan sebelum itu dikatakan tidak wujud jawatan seumpamanya.

Sebaik saja hukuman dilaksanakan, timbul bantahan dan kritikan golongan tertentu, kononnya memperjuangkan hak wanita dan hak asasi manusia. Tetapi hakikatnya, golongan ini cuba mengukur undang-undang jenayah Islam dari perspektif undang-undang sivil.

Walhal, peruntukan dalam Kanun Acara Jenayah yang diterima pakai di Mahkamah Sivil, tidak wajar dijadikan kayu pengukur dalam menilai pelaksanaan undang-undang jenayah syariah. Undang-undang jenayah syariah yang ada pada hari ini bukanlah cabang undang-undang Sivil, tetapi ia bertunjangkan atas paksi tersendiri, berasaskan semangat perlembagaan yang diberikan oleh Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan dan prosiding di Mahkamah Syariah tidak tertakluk kepada Mahkamah Sivil. Sebarang hukuman atau keputusan dijatuhkan Hakim Mahkamah Syariah adalah hukuman yang sah, berdasarkan peruntukan undang-undang diluluskan Badan Perundangan Negeri dan diperkenankan Sultan negeri berkenaan, dan bagi Wilayah Persekutuan, diluluskan oleh Parlimen dan diperkenan Yang di-Pertuan Agong.

Hujah dikemukakan golongan ini bahawa hukuman sebat ke atas pesalah wanita bertentangan dengan peruntukan Seksyen 289 (a) Kanun Acara Jenayah yang melarang hukuman sebat dijatuhkan ke atas wanita adalah hujah lemah dan dangkal.

Ini kerana seksyen itu hanya terpakai dalam kes jenayah mengikut bidang kuasa Mahkamah Sivil. Peruntukan itu tidak mengikat Mahkamah Syariah, kerana Mahkamah Syariah mempunyai Akta/Enakmen Tatacara Jenayahnya sendiri. Undang-undang Syariah tidak membezakan hukuman antara pesalah lelaki atau wanita.

Golongan ini sepatutnya berasa malu, kerana mereka boleh menyaksikan sendiri cara pelaksanaan hukuman sebatan syariah yang tersangat ringan, tidak mencederakan dan bukanlah zalim seperti didakwa. Pesalah disebat dalam keadaan menutup aurat, membuktikan Islam menyanjung tinggi maruah mereka sebagai wanita, walaupun mereka melakukan jenayah.

Tiga pesalah wanita yang menjalani hukuman sebat itu mengakui mereka langsung tidak berasa sakit dengan sebatan berkenaan, sebaliknya berasa insaf dan bertaubat. Tarikh 9 Februari itu, bukan saja menjadi titik tolak perubahan hidup tiga wanita terbabit ke arah kehidupan lebih baik, malah juga terhadap perkembangan perundangan syariah negara.

Dalam usaha penambahbaikan sistem sedia ada, penulis mengajak pihak terbabit meninjau keseluruhan peruntukan Akta atau Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri. Setakat ini beberapa kesalahan tertentu diperuntukkan hukuman sebatan syariah ke atas pesalah, sebagai tambahan kepada hukuman denda atau penjara.

Hukuman itu juga ada dalam kesalahan yang berbeza antara satu sama lain dan juga berlainan antara satu negeri dengan negeri lain. Penulis mengambil contoh peruntukan kesalahan jenayah syariah yang boleh dihukum sebat di 10 negeri untuk tujuan perbandingan.

Sebagai contoh, bagi kesalahan doktrin palsu (ajaran sesat), Selangor, Wilayah Persekutuan, Pahang, Johor, Terengganu dan Pulau Pinang memperuntukkan pesalah boleh dihukum dengan sebatan Syariah, tetapi tidak di negeri lain. Di Selangor, perbuatan mencemar atau memusnahkan tempat ibadat boleh dihukum sebat, tetapi di negeri lain hanya dihukum didenda atau penjara saja, walaupun kategori kesalahan sama.

Pesalah tidak boleh dihukum sebat bagi kesalahan sumbang mahram, jika kesalahan berlaku di Kelantan, Sabah, dan Sarawak, tetapi boleh dihukum sedemikian jika kesalahan berlaku di negeri lain. Seorang bapa ayam (muncikari) tidak boleh dihukum sebat jika kesalahan berlaku di Kelantan, Pahang, Sabah dan Perak.

Hanya bagi kesalahan persetubuhan luar nikah (zina), kebanyakan negeri memperuntukkan hukuman sebat kecuali Terengganu. Bagi kesalahan persediaan melakukan persetubuhan luar nikah (muqaddimah zina), dan persetubuhan bertentangan hukum tabii, pesalah boleh disebat di Selangor dan Negeri Sembilan, tetapi di negeri lain pesalah tidak disebat.

Kesalahan meliwat boleh dihukum sebat di Wilayah Persekutuan, Kelantan, Johor, Sarawak dan Pulau Pinang tetapi hukuman sedemikian tidak ada di negeri-negeri lain. Lebih menghairankan, hanya Pahang dan Kelantan memperuntukkan perbuatan meminum arak boleh dikenakan sebatan syariah, tetapi tidak di negeri-negeri lain. Maksudnya jika seseorang itu meminum arak di Wilayah Persekutuan atau di Terengganu, dia tidak boleh dihukum sebat. Dia hanya denda atau penjara atau kedua-duanya.

Perbezaan peruntukan hukuman sebat di negeri-negeri ini menampakkan tidak selaras Badan Perundangan Negeri dalam memperuntukkan hukuman terhadap pesalah jenayah syariah, walaupun dalam kategori kesalahan sama. Kenapa tidak diseragamkan peruntukan kesalahan dan hukuman jenayah syariah ini?

Dengan syarat ia masih dalam bidang kuasa yang dibenarkan mengikut Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 (pindaan 1988), maka tidak mustahil idea ini direalisasikan. Adalah suatu keganjilan dan kejanggalan sebuah negara kecil seperti Malaysia mempunyai pelbagai peruntukan mengenai kesalahan syariah dan peruntukan hukuman yang berbeza-beza.

Monday, February 22, 2010

Hukuman sebat martabat syariah

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
zainul.rijal@abubakar.my


PENERANGAN mengenai hukuman sebatan syariah perlu diperluaskan bagi menepis tanggapan buruk terhadap pelaksanaannya. - Gambar hiasan


Usaha perkasa undang-undang Islam wajar disokong

NEGARA bagai dikejutkan dengan berita tiga wanita Islam disebat atas kesalahan melakukan hubungan luar nikah di Penjara Wanita Kajang baru-baru ini. Pasangan lelaki ketiga-tiga wanita terbabit turut disebat di penjara sama. Bagi saya, ia adalah khabar gembira bagi segenap masyarakat Islam yang ingin melihat undang-undang Islam dilaksanakan.

Ia menggambarkan inisiatif kerajaan yang bukan hanya mahu undang-undang sebatan Islam ini hanya tinggal sebagai tulisan malah dipraktikkan. Namun, seperti dijangka muncul beberapa golongan yang menentang keras pelaksanaan sebatan ini atas pelbagai alasan. Mereka mengeluarkan dalil, hujah, fatwa dan pelbagai tanggapan serong terhadap pelaksanaan sebatan syariah ini.

Saya merujuk kepada kenyataan akhbar beberapa pihak seperti Sisters-in-Islam (SIS), Awam, Majlis Peguam dan beberapa pihak lain yang mempertikaikan pelaksanaan sebatan syariah ke atas tiga pesalah syariah wanita baru-baru ini. Saya hairan kenapa masih ada golongan yang tidak memahami dwisistem perundangan diamalkan di negara kita.

Malah, bantahan ini menggambarkan seolah-olah apa saja yang dibuat oleh pihak berkuasa berkaitan agama Islam, ada saja yang tidak kena. Perlu ditegaskan sekali lagi di sini bahawa sebatan syariah jauh berbeza daripada sebatan sivil. Sebatan syariah tidak mencederakan mahupun melukakan pesalah berbanding sebatan sivil yang meninggalkan parut dan kesan dalam jangka masa dua tahun.

Sebatan syariah adalah umpama bapa atau guru yang merotan anak yang melakukan kesilapan. Sudah banyak rencana, makalah dan kajian dibuat mengenai pelaksanaan hukuman sebat dalam Islam ini diadakan. Malah pelbagai bengkel, seminar dan forum juga digarap ke arah memberi pemahaman mengenai hukuman ini.

Tidak ketinggalan juga beberapa demonstrasi sebatan syariah dibuat, namun inisiatif ini langsung tidak diambil kira oleh golongan yang menentang sebatan syariah ini secara membuta tuli. Terbaru demonstrasi yang ditunjukkan oleh pegawai penjara yang disiarkan di dalam televisyen serta temu bual dengan pesalah syariah wanita yang disebat itu, menzahirkan tentangan golongan ini langsung tidak berasas dan bersumberkan kepada anggapan semata-mata.

Dalam perjuangan SIS mendapatkan hak sama rata, kenapa pula wanita tidak boleh disebat secara syariah sama seperti lelaki? Logiknya, jika semuanya ingin disamaratakan, hukuman pun hendaklah disamaratakan dan tidak mendiskriminasi golongan lelaki. Adakah kesamarataan yang diperjuangkan oleh SIS ini ialah sama rata sekiranya memberi manfaat kepada wanita saja?

Menggambarkan sebatan syariah sebagai zalim dan kejam adalah amat keterlaluan dan tidak mempunyai asas perundangan dan hukum syarak. Malah saya percaya pegawai SIS sendiri tidak pernah menyaksikan pelaksanaan sebatan syariah yang dilabelkan sebagai kejam dan zalim itu.

Pada masa sama, saya bersetuju sebatan sivil itu adalah kejam dan perlu dihapuskan. Sebatan sivil itu juga tidak Islamik. Pandangan yang sama ini juga dikeluarkan Persatuan Ulama Malaysia yang mana saya mempersetujuinya.

Sebatan yang mencederakan dan mengerikan itulah yang patut dihapuskan kerana melanggar hak asasi manusia. Namun sebatan syariah mempunyai falsafahnya yang tersendiri dan berakar umbi daripada sumber hukum Islam yang utama seperti al-Quran dan al-Sunnah. Mempertikaikan efektif atau tidaknya hukuman sebatan Islam ini samalah seperti mempertikaikan hikmah dan mukjizat al-Quran dan Rasul Allah SAW.

Sebatan yang melanggar hak asasi manusia ialah sebatan sivil bukan sebatan syariah. Malah Resolusi Majlis Peguam yang diluluskan beberapa tahun lalu juga memberi penekanan aspek kekejaman sebatan sivil.

Sebatan syariah tidaklah sekejam yang digambarkan itu. Saya percaya ahli-ahli beragama Islam di dalam Majlis Peguam tidak bersetuju sebatan syariah dihapuskan kerana ia adalah sebahagian ajaran Islam, dengan Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Dewan Undangan Negeri dan Parlimen bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan mengadakan hukuman bagi sebarang kesalahan melanggar perintah agama.

Malah ada juga ahli-ahli Majlis Peguam yang tidak bersetuju dan mengasingkan diri daripada kenyataan Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan. Mereka ini termasuklah ahli yang beragama Islam dan tidak beragama Islam.

Sebenarnya Kanun Acara Jenayah yang menghalang wanita disebat yang dirujuk oleh Ragunath tidak terpakai di mahkamah syariah. Undang-undang yang terpakai di mahkamah syariah bagi pelaksanaan sebatan syariah ialah Akta Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah. Oleh yang demikian Presiden Majlis Peguam itu perlulah merujuk kepada akta terbabit terlebih dulu (yang juga diluluskan oleh Parlimen) sebelum membuat sebarang ulasan.

Janganlah menjadi bahan ketawa pula apabila merujuk kepada undang-undang yang tidak mempunyai kuat kuasa di mahkamah syariah. Malaysia adalah sebuah negara unik yang mempunyai dua sistem perundangan dan kedua-dua sistem ini haruslah melengkapi antara satu sama lain serta menghormati pihak yang satu lagi.

Tidak ada sesiapa boleh mempertikaikan Malaysia adalah sebuah negara berdaulat. Adalah menjadi peraturan asas bahawa rujukan kepada konvensyen antarabangsa bukanlah nas yang sahih di sudut perundangan negara selagi ia tidak dijadikan undang-undang.

Tidak timbul isu pelaksanaan hukuman sebatan syariah ini dibuat secara senyap-senyap. Jika kita lihat sebatan yang dilakukan oleh mahkamah sivil juga tidak diuar-uarkan kepada umum. Kenapa ini tidak dihebohkan? Adakah menjadi satu syarat sebatan itu perlu diumumkan terlebih dulu sebelum dilaksanakan?

Jika diumumkan maka berulanglah cerita Kartika Sari Dewi Shukarnor yang sehingga kini masih belum disebat lagi kerana mendapat bantahan golongan ini. Merekalah sebenarnya antara penyebab sebatan syariah ke atas Kartika tidak dapat dilaksanakan. Namun langsung tidak terdengar suara SIS apabila seorang lelaki disebat di Penjara Penor beberapa bulan lalu kerana kesalahan meminum arak.

Di manakah SIS dan Majlis Peguam menyorok diri. Adakah 'kekejaman' boleh dilakukan ke atas lelaki saja? Walaupun pada dasarnya hukuman sebat lebih utama dilakukan di khalayak awam, buat permulaan ini memadai dilakukan di dalam penjara disaksikan oleh sebahagian orang beriman. Apabila semua aspek sudah bersedia, maka bolehlah sebatan syariah dibuat di khalayak awam dan jumlah sebatan juga ditambah sejajar dengan undang-undang Islam.

Saya juga menyeru mana-mana hukuman sebatan syariah yang masih lagi belum dilaksanakan sebatan syariah di seluruh negara termasuklah kes Kartika, dilaksanakan dengan segera agar keadilan kepada pesalah syariah itu sendiri dapat dilakukan.

Janganlah ada lagi yang bercakap bagi pihak Kartika yang menentang pelaksanaan sebatan ini kerana Kartika sendiri memilih untuk disebat sebagai penebus kepada dosa yang dilakukannya itu. Sepatutnya apa yang perlu kita lakukan ialah berdoa agar Allah memberi hidayah kepada Kartika dan mengampunkannya bukan terkinja-kinja ke sana ke mari membantah pelaksanaan hukuman sebatan itu.

Saya menyokong usaha kerajaan memartabatkan perundangan syariah melalui sebatan syariah bagi pesalah yang disabitkan atas kesalahan yang membawa hukuman sebat.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan boleh dihubungi di zainul.rijal@abubakar.my