Showing posts with label (A) Masmawi Abdullah. Show all posts
Showing posts with label (A) Masmawi Abdullah. Show all posts

Monday, May 25, 2009

Gejala sosial dikira ancaman jahiliah era moden

Oleh Masmawi Abdullah

Kerajaan perlu menambah baik sistem pendidikan untuk bentuk sahsiah generasi muda

BENARKAH jahiliah masih membelenggu pemikiran dan pengalaman umat Islam masa kini? Apakah kita faham pengertian jahiliah dalam erti kata sebenarnya? Jahiliah adalah perkara penting untuk kita fahami kerana ia musuh Islam sepanjang masa.

Pastinya orang yang hidup dalam zaman moden dan serba canggih hari ini mengakui dirinya Islam tetapi secara tiada sedar masih melakukan amalan jahiliah disebabkan tidak mengenal konsep dan ciri jahiliah sebenarnya baik melalui al-Quran, hadis atau bahan sejarah.

Saidina Umar al-Khatab pernah menjelaskan: "Sesungguhnya ikatan Islam yang kukuh akan terungkai satu demi satu apabila di kalangan umat Islam tidak mengenal apa itu jahiliah."

Jahiliah bererti bodoh, sesat, biadap, dungu, tidak mengetahui, tidak berilmu, keliru atau melakukan sesuatu tanpa pengertian dan pengetahuan. Tanggapan umum pula, jahiliah ialah keadaan yang berlaku sebelum kedatangan Islam atau dikenali sebagai zaman pra-Islam.

Ini biasanya ditujukan kepada masyarakat Arab di Semenanjung Arab sebelum Rasulullah SAW diutuskan. Umumnya membatasi pengertian jahiliah pada gejala syirik atau paganisme (tanpa agama), primitif, krisis keruntuhan akhlak yang melanda masyarakat Arab pada ketika itu.

Menurut pendapat Muhammad al-Qutb dalam bukunya, Jahiliah Abad ke-20 menggambarkan konsep jahiliah bukan berdasarkan masa, tempoh atau zaman tertentu, tetapi disebabkan individu atau masyarakat tidak mengakui Islam sebagai syariat hidup yang cukup sempurna.

Sayyid Qutb pula dalam bukunya, Petunjuk Sepanjang Jalan menyebut: "Masyarakat jahiliah ialah masyarakat yang tidak tulis pengabdiannya kepada Allah. Ini bermaksud pengabdian yang menjelma dalam kepercayaan atau keyakinan dalam syiar, lambang, peribadatan dan dalam peraturan serta undang-undang."

Usaha memperjelaskan pengertian jahiliah dalam erti kata sebenarnya, al-Quran menggambarkan beberapa ciri untuk menjadi panduan sifat dan ciri-ciri jahiliah itu.

Firman Allah yang bermaksud: "(Ingatlah dan kenangkanlah ihsan Tuhan kepada kamu) ketika orang kafir itu menimbulkan perasaan sombong angkuh yang ada dalam hati mereka (terhadap kebenaran Islam) perasaan sombong angkuh secara jahiliah (yang menyebabkan kamu panas hati dan terharu)." (Surah al-Fath, ayat 26)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Sesudah itu, patutkah mereka berkehendakkan lagi kepada hukum jahiliah? Padahal kepada orang yang penuh keyakinan tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah." (Surah al-Maidah, ayat 50)

Beberapa ciri jelas untuk mengkategorikan beberapa golongan dalam erti kata masih jahiliah iaitu:

# Tidak mengikut hidayah Allah.

Alim ulama menyatakan dalam aspek ini, golongan itu terdiri daripada orang yang tidak beriman kepada Allah. Mereka sentiasa menyengutukan Allah dan seterusnya tidak melaksanakan syariat Islam. Keadaan ini seterusnya melahirkan manusia syirik, kufur, kafir serta orang tidak mempunyai pegangan hidup.

# Hidup mengikut hawa nafsu.

Orang hidup di dunia berdasarkan hawa nafsu yang membawa keburukan tanpa kawalan. Golongan itu tidak mempunyai ciri keperibadian Muslim dalam kehidupannya sebagai hamba Allah. Allah sudah memberi peringatan yang tepat bagi golongan ini.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu menetapkan hukum seperti diturunkan oleh Allah dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu." (Surah al-Maidah, ayat 49)

Jika manusia mengikut kehendak nafsu, mereka terdorong melakukan perkara keji. Penilaian yang dibuat adalah berdasarkan akal fikiran semata-mata dan tidak berteraskan kebenaran. Ini sekali gus menjadikan manusia semakin jauh daripada hidayah Allah.

# Adanya golongan pemusnah Islam.

Golongan itu sentiasa berusaha memusnah kesucian agama Islam melalui pelbagai cara sama ada secara fizikal, mental atau spiritual. Musuh Islam sentiasa berusaha menjatuhkan kekuatan umat Islam secara bersepadu. Jika umat Islam tidak mempunyai keimanan dan keyakinan kepada Allah sudah tentu terjerumus ke arah kebinasaan dan Islam musnah.

Justeru, orang Islam yang tidak menyedari diri mereka sudah diperguna dan diperalatkan golongan itu menjadi faktor terhadap keruntuhan Islam seluruhnya. Bagi orang yang jahil sudah tentu mereka tidak dapat membezakan dengan jelas perkara ini.

# Gejala keruntuhan akhlak.

Memang tidak dapat disangkal lagi gejala keruntuhan akhlak dan moral adalah ciri orang jahiliah. Lantaran demikian, beberapa keadaan berlaku di sekeliling kita sedikit sebanyak memberikan `tempias' terhadap perkara itu.

Ternyata sekali kualiti masyarakat semakin merosot. Pelbagai gejala keruntuhan akhlak seperti pergaulan bebas, bohsia, dadah, rempit, zina, bohjan, pengkid, lepak, judi, hiburan yang mengasyikkan, arak, khalwat dan dadah melanda remaja mutakhir ini.

Berdasarkan faktor itu, ternyata ciri jahiliah sedang merebak dan meresap dalam diri umat Islam. Tindakan segera merangkumi aspek kesedaran dan pendidikan perlu dilaksanakan kerana kejahilan akan memberi kesan terhadap manusia.

Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya Islam and Secularism, krisis berlaku dalam masyarakat berpunca daripada tiga faktor iaitu kekeliruan dalam ilmu pengetahuan, kehilangan adab dan lahirnya pemimpin Islam yang tidak berkelayakan, tidak mempunyai nilai moral, intelektual dan kerohanian yang tinggi.

Oleh demikian, usaha kita untuk menyelesaikan pengaruh jahiliah perlu bersandarkan kepada maruah, sejarah serta identiti tersendiri kerana Al-Maududi menyarankan: "Masalah utama yang perlu diselesaikan ialah kedudukan dan status manusia di alam ini."

Penghapusan jahiliah di kalangan manusia daripada aspek pemikiran, pengalaman dan daya tindak adalah perlu. Ini juga memerlukan satu sistem pendidikan Islamik yang mampu menggarap manusia sebagai insan mempunyai rohani, fikiran, perasaan serta keseimbangan. Kesedaran semula umat Islam mestilah tepat bagi membentuk kesedaran menyeluruh dalam segenap aspek kehidupan sama ada ekonomi, politik, sosial dan budaya.

Saturday, April 11, 2009

Komunikasi berkesan jamin kejayaan organisasi

Oleh Masmawi Abdullah

Islam tuntut pemimpin berhemah, bijak salur maklumat agar mudah kakitangan bertindak

KEPEMIMPINAN adalah cabang proses pendidikan manusia supaya sistem pentadbiran organisasi mahupun negara selari dengan petunjuk Allah. Salah satu prasyarat menjadikan organisasi itu berjaya ialah komunikasi yang berkesan antara pemimpin dan orang bawahan.

Setiap pentadbir atau pemimpin organisasi perlu memberi perhatian terhadap usaha mewujudkan sistem komunikasi berkesan. Kegagalan berkomunikasi boleh menimbulkan banyak masalah yang menjejaskan kecekapan dan kelicinan perjalanan organisasi.

Komunikasi adalah proses pertukaran maklumat demi mewujudkan suasana saling memahami dan hubungan manusia dengan baik. Proses komunikasi dianggap sistem yang membolehkan maklumat disampaikan secara berkesan antara ahli dalam organisasi.

Komunikasi kepemimpinan adalah gaya, kaedah dan strategi komunikasi yang digunakan pemimpin ketika menjalankan tugas formal dan tidak formal dalam organisasi. Tugas itu termasuk memberi arahan, taklimat dan penjelasan, pada masa sama mendapatkan maklum balas kakitangan.

Persoalan kepemimpinan dianggap sama penting dengan komunikasi dalam Islam. Islam mengakui perlunya pemimpin dalam setiap sistem sosial. Abu Dawud meriwayatkan daripada Abu Said dan Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila ada tiga orang bermusafir maka hendaklah mereka melantik seorang daripada mereka untuk menjadi ketua atau amir."

Pemimpin diperlukan untuk membolehkan sistem sosial berfungsi. Dengan kata lain, pemimpin mempunyai tanggungjawab mengawal, mengurus dan mentadbir individu dalam sistem sosial itu.

Oleh itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Setiap seseorang daripada kamu ialah pemimpin. Setiap kamu bertanggungjawab terhadap mereka di bawah pimpinan kamu."

Pemimpin wajib ditaati, tetapi dalam Islam taat setia itu adalah bersyarat. Saidina Abu Bakar As-Siddiq dalam ucapan ketika dilantik menjadi Khalifah Islam pertama berkata: "Taatilah aku selama aku mentaati Allah dan Rasul-Nya. Apabila aku menderhakai Allah dan Rasul-Nya maka tidak wajib bagi kamu mentaati aku."

Pemimpin harus menjadi contoh kepada yang dipimpin. Teladan yang perlu ditunjukkan bukan saja dari segi kaedah dan strategi berkomunikasi, tetapi juga berkaitan akhlak serta amal ibadat.

Seseorang yang baik dalam komunikasi, tetapi kurang akhlak dan ibadat belum boleh dianggap pemimpin yang baik. Islam meragui kebolehan seseorang untuk menjadi pemimpin yang baik jika akhlaknya buruk dan kurang amalan.

Seorang pemimpin menurut kaca mata Islam harus mematuhi syarat yang perlu dijadikan panduan:

l Sentiasa bersifat mahmudah (terpuji) seperti berilmu, adil, berani, bermoral, pemurah, pemaaf, bertimbang rasa, menepati janji, benar, tegas bijaksana, waras berfikir, merendah diri (tawaduk).

l Memelihara hubungan baik dengan Allah sesuai firman bermaksud: "Dan ingatlah Aku tidak menjadikan jin dan manusia melakukan untuk mereka beribadat kepada Ku." (Surah az-Zariyat, ayat 56)

l Memelihara hubungan baik dengan manusia. Firman Allah bermaksud: "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai." (Surah Ali Imran, ayat 103)

l Memelihara hubungan baik dengan alam sekitar iaitu tumbuh-tumbuhan dan binatang sesuai hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Kasihanilah kepada setiap penghuni (makhluk) di bumi semoga kamu dikasihani mereka yang di langit."

Islam menetapkan prinsip komunikasi yang wajar diikuti pemimpin antaranya bercakap lemah lembut, menggunakan perkataan baik, menggunakan hikmah dan nasihat baik dan bercakap benar.

Pemimpin juga perlu berbahas dengan lebih baik, menyesuaikan bahasa dan isi percakapan dengan tingkat kecerdasan pendengar, menyebut perkara penting berulang kali, mengotakan apa yang dikata dan mengambil kira pandangan serta fikiran orang lain.

Fungsi komunikasi adalah menyalurkan keperluan mencapai sesuatu matlamat organisasi. Setiap pemimpin bertanggungjawab menentukan komunikasi dengan anggota bawahan sentiasa terkawal dan tidak menyimpang kepada suasana yang menyulitkan keadaan. Tujuannya semata-mata untuk menjamin keharmonian bersama, baik untuk diri keluarga, organisasi dan negara.

Monday, March 9, 2009

Sambutan Maulidur Rasul perlu menjurus amalan ditunjukkan Nabi

Oleh Masmawi Abdullah

SAMBUTAN Maulidur Rasul bukanlah upacara menyambut hari kelahiran seperti difahami kebanyakan orang Kristian menyambut kelahiran Nabi Isa al-Masih. Sesungguhnya perayaan Maulidur Rasul ialah mengingati serta mengenang jasa Rasulullah SAW membawa risalah untuk umat seluruhnya.

Sebenarnya Nabi SAW sendiri tidak pernah mengadakan atau mengarahkan umatnya bersusah payah menubuhkan kumpulan marhaban, berzanji atau perarakan besar-besaran bagi membesarkan Baginda SAW.

Namun begitu, demi cinta dan kasih umat Nabi Muhammad SAW terhadap Baginda SAW, maka majlis Maulidur Rasul diadakan setiap kali tibanya Rabiulawal. Ini semua bertujuan memperingati sejarah kelahiran dan episod unggul perjuangan Rasulullah SAW.

Sesungguhnya di sebalik peristiwa kelahiran Nabi Muhammad SAW pada 12 Rabiulawal tahun Gajah itu, tersirat satu simbol pembebasan umat sejagat. Ia melambangkan berakhirnya zaman kegelapan jahiliah dan kebejatan moral yang akan diganti era cahaya iman dan keluhuran pekerti manusia.

Kelahiran itu sekali gus menggegarkan dunia kezaliman dan keruntuhan akhlak sistem masyarakat jahiliah. Keputeraan Nabi yang maha agung ini juga diatur khusus oleh Allah SAW untuk mengeluarkan manusia daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak-akhlak yang mulia."

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Tidaklah aku utuskan engkau (Muhammad) melainkan untuk memberi rahmat untuk sekalian alam." (Surah al-Anbiya', ayat 107)

Walau bagaimanapun, di sebalik rasa cinta umat Islam terhadap pemimpinnya Rasulullah SAW, ada kala kita melakukan kesilapan besar terhadap ajaran Rasul itu sendiri. Ada juga sesetengah masyarakat meraikan keputeraan Nabi SAW secara berlebihan menyebabkan pembaziran tenaga, masa dan wang.

Ada sesetengah masyarakat menjadikan sambutan Maulidur Rasul sebagai satu adat turun temurun, jika tidak diadakan maka ia boleh memberikan suatu keaiban kepada masyarakat. Perkara ini sudah tentu lari daripada konsep menyambut Maulidur Rasul itu sebenarnya.

Jika Rasulullah SAW masih hidup sudah tentu Baginda akan murka atas penyelewengan seperti ini. Baginda mungkin akan menangis melihat kejahilan umat akhir zaman meraikan Maulidur Rasul hingga melanggar batas diperuntukkan syarak.

Sewajarnya sambutan Maulidur Rasul menjurus kepada amalan kebaikan seperti ditunjukkan Rasulullah SAW sepanjang hayat Baginda SAW menegakkan agama Allah SWT melalui contoh teladan dipamerkan melalui perkataan serta perbuatan.

Kasih sayang Rasulullah SAW kepada umatnya perlu dihargai dengan memastikan setiap ajaran dipegang dan disampaikan kepada generasi akan datang supaya kelangsungan perjuangan Rasulullah terus subur dalam jiwa umat Islam.

Sesungguhnya di saat pemergiannya, lebih kurang 1400 tahun lalu, Rasulullah SAW pernah mengulang-ulang perkataan "Ummati, ummati...", kerana mengenang apa akan berlaku kepada umatnya nanti.

Sekarang tiba masanya umat Nabi Muhammad SAW membuktikan bahawa mereka menghayati setiap ajaran Baginda SAW dengan menterjemahkan dalam kehidupan supaya umat Islam mencapai kecemerlangan seperti dicapai mereka yang memegang teguh peninggalan Rasulullah SAW.

Saturday, September 27, 2008

Kesabaran menahan lapar mampu bentuk sikap ketika memandu

Oleh Masmawi Abdullah

UMAT Islam melahirkan rasa kesyukuran kepada Allah kerana berjaya mengakhiri ujian Ramadan tahun ini dengan cemerlang. Kegembiraan dan kesyukuran hakiki tidak dapat dirasai kecuali bagi mereka yang berjaya memantapkan keimanan dan ketakwaan selepas menjalani ibadat puasa.

Harapan kita, semua nilai yang ada dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Ramadan itu pada awalnya rahmat, pada pertengahannya keampunan dan pada akhirnya bebas daripada api neraka, diperoleh mereka yang berpuasa."

Menjadi kebiasaan masyarakat Islam di negara ini untuk pulang bercuti ke kampung pada Aidilfitri terutama bagi mereka yang bertugas di perantauan. Seolah-olah tidak lengkap jika tidak berhari raya di kampung bersama ibu bapa serta sanak saudara.

Bagi mereka yang tidak berkesempatan kerana terpaksa bertugas seperti pasukan beruniform, sumbangan kuih-muih sewajarnya disegerakan sebagai tanda ingatan dan penghargaan atas pengorbanan mereka.

Namun, dalam keghairahan merasai suasana 'balik kampung', kadang-kadang kita tidak sedar ada pihak yang cuba mengaut keuntungan daripada semangat orang ramai yang ingin balik kampung.

Ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menjual tiket pengangkutan awam dengan harga tidak munasabah.

Mereka memanipulasikan keadaan itu dengan membeli tiket dalam jumlah banyak dan menjual balik dengan harga berlipat ganda. Perbuatan itu bertentangan dengan semangat dan tanggungjawab untuk membantu memeriahkan suasana berhari raya.

Selain itu, sikap pemandu dan pengguna jalan raya juga kadang-kadang menyimpang daripada semangat hari raya iaitu bertimbang rasa, hormat menghormati dan kasih sayang. Sering kali kegopohan, ego dan mementingkan diri sendiri ketika memandu menjadi punca menyumbang kepada kecelakaan jalan raya.

Kita hendaklah sentiasa berwaspada, hati-hati dan bersabar ketika berada di jalan raya kerana angka kecelakaan sering meningkat pada musim perayaan.

Sebaiknya nasihat daripada pihak berkuasa diberi perhatian selain memberi kerjasama dengan memandu secara berhemah.

Matlamat diadakan program peringatan mengenai keselamatan di jalan raya adalah tuntutan fardu kifayah demi memastikan keselamatan pengguna terjamin selain mendisiplinkan pemandu supaya menghormati undang-undang serta hak pemandu lain.

Usaha murni pihak berkuasa juga bertujuan melancarkan perjalanan pengguna jalan raya yang sudah mula sibuk merancang perjalanan balik kampung memandangkan sekolah sudah mula bercuti mulai Isnin depan.

Walaupun negara kita memiliki sistem lalu lintas yang terbaik, namun ketika musim perayaan seperti ini jalan raya yang besar dan luas tidak lagi dapat menampung limpahan lalu lintas yang serentak menyerbu jalan raya untuk ke destinasi masing-masing.

Berita kemalangan atau tragedi menimpa pengguna jalan raya seperti tahun lalu hendaklah dijadikan iktibar kerana pastinya kita tidak mahu kegembiraan ahli keluarga untuk menyambut Aidilfitri bertukar sedih kerana sikap tidak berhati-hati kita.

Oleh itu, dalam semangat berkobar-kobar untuk menyambut Aidilfitri dan bertemu keluarga di kampung, jangan hilang fokus.

Di jalan raya tidak kurang dugaannya dan hendaklah dihadapi dengan ketenangan serta kesabaran.

Puasa mendidik kita bersabar menahan lapar dan sepatutnya kesabaran itu dikekalkan ketika memandu.

Biar lambat asalkan selamat hendaklah menjadi pegangan setiap pengguna jalan raya sepanjang musim perayaan ini.

Firman Allah yang bermaksud: "Usahlah kamu mendedahkan diri kamu kepada kebinasaan." Jika kita leka, lalai, gelojoh, bermakna kita membawa diri kita ke arah kebinasaan iaitu maut.

Memandu terlalu laju, menggunakan jalan raya secara tidak berhemah, mementingkan emosi serta perasaan sendiri tanpa mempertimbangkan orang lain adalah antara yang menempah kepada kebinasaan.

INFO:

Sikap berhemah di jalan raya

Pemandu dan pengguna jalan raya mesti bertimbang rasa, hormat menghormati dan kasih sayang.

Elak bersikap gopoh, ego dan mementingkan diri sendiri ketika memandu bagi mengelak menjadi punca menyumbang kepada kecelakaan jalan raya.

Sentiasa berwaspada, hati-hati dan bersabar ketika berada di jalan raya kerana angka kecelakaan sering meningkat pada musim perayaan.

Saturday, September 13, 2008

Islam tuntut umat kejar kemajuan

Oleh Masmawi Abdullah

Taksub adat resam lapuk sebab utama tak mahu perubahan

SIFAT taksub, kebekuan pemikiran, cengkaman adat resam lapuk menjadi sebab utama mengapa manusia tidak mahu berubah ke arah kemajuan. Mereka yang mempunyai sifat demikian rela tinggal dalam tempurung atau kepompong kejahilan, kemiskinan dan kemunduran.

Sebenarnya Islam sentiasa mendesak umatnya supaya berlumba mengejar perubahan ke arah kebajikan.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan bagi tiap-tiap umat ada arah kiblatnya sendiri yang mereka mengadap ke arahnya (ketika solat). Oleh itu, berlumbalah kamu mengerjakan kebaikan, kerana di mana saja kamu berada pasti Allah akan menghimpunkan kamu semua (pada hari kiamat untuk menerima balasan). Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap sesuatu." (Surah al-Baqarah, ayat 148)

Kebajikan dan kebaikan bukanlah setakat bersedekah wang ringgit. Membina jalan raya, hospital, sekolah, menyediakan saluran paip, elektrik dan kemudahan awam adalah kebajikan bagi sebuah negara.

Taksub kepada pegangan nenek moyang digambarkan oleh al-Quran terhadap orang yang tidak mahu menerima perubahan baru yang dibawa Nabi Muhammad SAW melalui wahyu. Mereka menjawab: "Malah kami akan hanya mengikuti apa yang sudah kami dapati dari nenek moyang kami. Walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengerti apa untungnya mengamalkan ajaran usang." (Surah al-Baqarah: ayat 70)

Kecaman Allah terhadap sikap taksub seperti itu menunjukkan bahawa manusia perlu menilai secara positif sesuatu yang baru yang boleh merubah kehidupan ke arah lebih baik.

Malah Allah menegaskan dalam firman yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak akan merubah apa yang ada pada sesuatu kaum itu sehingga mereka sendiri mengubah apa yang ada pada kelompok mereka." (Surah ar-Ra'd, ayat 11)

Kebekuan pemikiran adalah disebabkan manusia tidak mempergunakan segala nikmat pancaindera yang dianugerahkan Allah untuk menilai kebesaran dan nikmat-Nya. Lantaran itu mereka tetap dalam lubuk kegelapan dan sukar menerima perubahan.

Gagal mempergunakan pancaindera untuk menilai perubahan yang akan mendapat kutukan Allah.

"Sesungguhnya Kami sediakan neraka Jahanam itu untuk jin dan manusia yang mempunyai hati tetapi mereka tidak cuba memahami, mempunyai mata tetapi tidak berusaha melihat (nikmat Allah), mempunyai mata tetapi tidak berusaha melihat (nikmat Allah), mempunyai telinga tetapi tidak mendengar. Mereka umpama haiwan, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai." (Surah al-Aqraf, ayat 79)

Ayat itu jelas mengutuk orang yang bersikap beku, tidak tahu melihat dan menilai nikmat Allah dan perubahan yang berlaku. Sikap taksub, fanatik dan kebekuan pemikiran ini menghalang sesetengah pihak untuk melihat nikmat yang diperoleh hasil pimpinan yang dedikasi dan komited kepada Islam.

Adakah mereka hendak menafikan nikmat keamanan, kesejahteraan, kemudahan mendapatkan pendidikan secara percuma untuk anak mereka di negara ini. Tidakkah mereka berasa bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada pihak yang mengusahakannya.

Allah berfirman yang bermaksud: "Jika kamu bersyukur terhadap nikmatku, nescaya Aku tambahkan lagi, sekiranya kamu kufur (ingkar), sesungguhnya azabKu adalah sangat pedih." (Surah Ibrahim, ayat 7)

Taksub, fanatik dan ekstrem adalah kelompok sifat yang menghalang keterbukaan pemikiran. Sebahagian besarnya berpunca daripada kurang ilmu atau jahil. Lantaran itu al-Quran sering menonjolkan ilmu sebagai alat penting untuk manusia berfikiran maju. Tentu tidak sama darjat orang berilmu dengan orang yang jahil.

Firman Allah yang bermaksud: (Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadah pada waktu malam dengan bersujud dan berdiri kerana takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna." (Surah az-Zumar, ayat 9)

Untuk mendapat ganjaran tinggi dari Allah, seseorang itu mestilah sentiasa menambahkan usaha dan meningkatkan amal. Ini membuktikan adanya perubahan. Dan setiap perubahan itu mestilah ke arah yang lebih baik. Allah memberi jaminan bahawa segala yang dilakukan itu akan disaksikan bukan saja oleh Allah dan rasulnya, tetapi juga orang mukminin lain.

Monday, September 8, 2008

Mohon dihindari kufur selepas dikurniakan nikmat

Oleh Masmawi Abdullah

Ada manusia dapat rezeki banyak jadi bakhil, kikir dan menjauhkan diri daripada beribadah

SAHABAT Nabi Muhammad SAW bersama Sya'labah bin Hathib sangat rajin beribadat dan berjemaah di masjid bersama Baginda. Akan tetapi, akhirnya beliau menjadi munafik, mungkir janji, meninggalkan Jumaat dan tidak membayar zakat hingga menjadi seorang yang ingkar.

Disebutkan dalam al-Quran dalam ayat yang bermaksud: "Dan antara orang munafik itu, adalah seseorang yang berjanji kepada Allah, dengan ucapannya: Sesungguhnya jika Allah memberi rezeki padaku, nescaya aku akan bersedekah, akan tetap patuh beribadat kepada Allah terutama akan mengorbankan harta bendaku ke jalan amal yang baik." - (Surah at-Taubah, ayat 75-78)

Bagaimanapun, setelah mendapat rezeki dari Allah, dia menjadi bakhil, kikir dan menjauhkan diri daripada beribadah. Akhirnya ia dijadikan Allah seorang yang munafik dan penyakit nifak itu tertanam kuat dalam hatinya hingga akhir hayat disebabkan mungkir janji.

Sejarah hidup Sya'labah bin Hathib pernah dihuraikan ahli tafsir, Ahmad bin Muhammad Syamwi: "Sya'labah seorang yang rajin solat jemaah dengan Nabi SAW di masjid akan tetapi dilihat oleh Nabi dia sering cepat pulang ke rumahnya sebaik selesai solat. Nabi bertanya kepadanya: Kenapa kamu lekas pulang, sebagai kebiasaan orang munafik? Dia menjawab: Aku hidup miskin, kain yang kupakai solat ini dinantikan oleh isteriku di rumah untuk dipakainya bagi mengerjakan solat pula, kerana kain kami hanya sehelai ini saja, dipakai solat berganti-ganti. Ya, Rasulullah, doakanlah kepada Allah supaya melapangkan rezekiku.

Nabi SAW bersabda kepadanya: Aneh sekali kamu, wahai Sya'labah. Sesungguhnya harta benda yang sedikit, dengan penuh kesyukuran lebih baik daripada harta yang banyak, tetapi tidak sanggup melakukan kesyukuran.

Sya'labah yang sengsara hidupnya berkali-kali datang kepada Nabi SAW dengan permintaan sama, supaya Nabi SAW memohon doa kepada Allah dilapangkan rezekinya. Nabi pun menjawab seperti mana sabdanya di awal tadi juga.

Akhirnya Sya'labah meminta, melafazkan janji bersumpah. Dia berkata: Demi Allah, Tuhan yang telah mengurus engkau dengan sebenarnya, aku berjanji, bahawa jika aku diberi rezeki oleh Allah nescaya akan aku penuhi segala kewajipan yang bersangkut dengan harta benda itu.

Maka Nabi SAW pun mendoakan dengan ucapannya: Ya Allah, berilah Sya'labah rezeki dengan harta benda.

Maka Sya'labah mulai berternak kambing, dengan kudrat Allah ternakannya berkembang-biak seperti ulat. Akibatnya ia menjadi lebih sibuk, ia hanya pergi solat berjemaah dengan Nabi SAW pada waktu Zohor dan Asar saja, sedangkan Maghrib, Isyak dan Subuh, beliau solat di desanya.

Semakin hari ternakannya semakin banyak, sehingga terpaksa ia berpindah ke lain tempat yang jauh dari kota Madinah. Keadaan demikian membuat dia sibuk, tidak dapat lagi solat berjemaah dengan Nabi SAW, hanya sempat sekali seminggu saja pergi solat Jumaat bersama Nabi SAW.

Ternakannya semakin hari semakin berkembang-biak, sehingga ia terpaksa pindah lebih jauh lagi, Akibatnya ia tidak dapat lagi solat Jumaat, sekalipun hanya sekali seminggu.

Pada suatu hari Jumaat, Nabi SAW bertanya kepada orang ramai, bagaimana Sya'labah. Orang menjawab: "Wahai Rasulullah, Sya'labah sudah mempunyai ternakan kambing yang sangat berkembang-biak sehingga sudah kesempitan tempat. Nabi mengucapkan: Celaka Sya'labah, celaka Sya'labah."

Setelah datang perintah wajib berzakat, Nabi SAW mengutus dua orang utusannya, seorang daripada Bani Sulaiman dan seorang lagi daripada suku Bani Jahinah untuk memungut zakat ke desa di luar kota Madinah, dengan membawa surat perintah berzakat.

Kedua utusan itu lebih dulu datang kepada Sya'labah, meminta zakat ternakannya, membacakan surat perintah Nabi SAW. Maka Sya'labah berkata: "Ternakan ini hanya pajakan, bukan kepunyaanku. Pergilah kamu keduanya terlebih dulu kepada orang lain dan jika sudah selesai, kembali lagi kepadaku."

Kedua utusan Nabi SAW pergi kepada seorang yang menternak unta daripada golongan Suku Bani Sulaim. Orang itu setelah mendengar perintah Nabi SAW lalu diserahkannya zakat daripada ternakannya.

Kemudian kedua utusan itu pergi kepada orang lain yang layak mengeluarkan zakat.

Akhirnya, kedua utusan itu kembali menemui Sya'labah, Sya'labah minta surat perintah Nabi SAW dan dibacanya. Lalu katanya: "Ini hanya pajakanku. Pulanglah kamu keduanya, nanti aku fikir dulu."

Kedua utusan itu kembali kepada Rasulullah SAW. Belum mereka menyampaikan berita mengenai Sya'labah, Nabi SAW bersabda: Wah, celaka Sya'labah. Wah, celaka Sya'labah.

Lalu Nabi SAW mendoakan untuk kaum Bani Sulaim yang memilih unta yang baik sebagai zakat ternakan mereka, dengan doa kebaikannya. Kemudian kedua utusan itu menyampaikan berita penolakan Sya'labah sehingga turunlah ayat surah at-Taubah, ayat 75-78.

Kemudian Sya'labah datang kepada Nabi SAW menyerahkan zakatnya. Nabi SAW menjawab, al-Quran melarang untuk menerima zakat daripada Sya'labah. Maka Sya'labah berasa amat susah hati dan sedih sehingga dia siram kepalanya dengan tanah.

Nabi SAW bersabda: Inilah akibat perbuatan kamu sendiri, saya selalu perintahkan dulu, tapi hari itu kamu menolak, tidak mahu menurutinya. Tidak lama kemudian Nabi SAW wafat. Maka Sya'labah pergi kepada Abu Bakar, khalifah pertama untuk menyerahkan zakatnya. Abu Bakar menjawab, oleh kerana Rasulullah SAW menolak, ia tentu tidak dapat pula menerimanya.

Selepas Abu Bakar wafat, Sya'labah berulang-ulang menyerahkan zakatnya kepada Umar dan Usman. Kedua-dua khalifah itu pun menolak untuk menerima zakatnya, seraya berkata: Nabi SAW dan Abu Bakar sudah menolak, tentu kami tidak dapat pula menerimanya.

Begitulah Sya'labah yang mungkir janji sesudah berharta, berlimpah-ruah dan mewah, akhirnya dia meninggal di zaman khalifah Usman. Panjangnya umur Sya'labah kerana hidup di zaman Rasulullah SAW, zaman Khalifah Abu Bakar As-Siddiq, Khalifah Umar Ibnu Khattab dan meninggal di zaman Khalifah Usman.

Biarpun umurnya dipanjangkan, hartanya banyak berlimpah-ruah, tetapi kekayaan itu tidak diredai Allah. Maka, setiap insan beriman dianjurkan berdoa: "Jika Engkau panjangkan umurku berilah umur yang Engkau reda (umur yang engkau sukai), dan jika Engkau beri kekayaan berilah kekayaan yang Engkau reda."

Tuesday, August 26, 2008

Ummah kena gembleng tenaga kembalikan

Oleh Masmawi Abdullah

RASULULLAH SAW diutuskan sebagai obor yang membawa manusia menuju kebahagiaan. Kelahirannya tidak ada tolok bandingnya seperti dipaparkan dalam al-Quran yang menjadi panduan setiap lapisan masyarakat.

Firman Allah yang bermaksud: "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik." (Surah Al-Ahzab, ayat 21)

Jika selama ini kita berikrar serta mengiktiraf diri sebagai pesuruh Allah, sepatutnya mencontohi peribadi Rasulullah SAW yang suci murni. Masyarakat sekarang yang ketandusan kepemimpinan mewarisi jejak langkah Baginda supaya tidak tersasar dan dicap Muslim derhaka.

Malangnya, di Malaysia kebanyakan kita orang Islam hari ini tidak lagi mencerminkan keperibadian Muslim sepatutnya untuk menjadi contoh kepada bangsa lain. Sebaliknya, sikap lalai serta angkuh masih lagi penyakit.

Saidina Ali Abi Talib berkata: "Akan datang suatu masa (pada akhir zaman) tidak tinggal Islam melainkan namanya saja. Masjid masa itu sangat besar dan tersergam indah, tetapi kosong daripada petunjuk Allah, manakala ulama Islam pada masa itu adalah ulama jahat. Daripada mereka terbit pelbagai fitnah dan kepada mereka juga fitnah itu akan kembali."

Kata-kata yang diluahkan itu sudah terlihat contohnya, di kalangan masyarakat hari ini diberi nama yang baik serta sedap didengar dan ada menggunakan nama nabi, tetapi tindak tanduknya bercanggah dengan Islam sebenar.

Malangnya ada pula memberi nama yang sedap bunyinya macam orang Arab, tetapi tidak sedikitpun mengambil perhatian mengenai maknanya seperti Sharul Bariah yang bermaksud 'orang yang sejahat-jahat'.

Pemakaian rantai leher seperti dipusakai orang Yahudi dan Kristian sudah diamalkan juga dikalangan pemuda kita yang mengakui dirinya Islam. Ini semua menimbulkan dilema perlu dipersoalkan demi menjaga keimanan. Apatah lagi jika dirujuk kepada hukumnya adalah haram.

Ia menunjukkan mereka menyadurkan diri dengan peradaban dan kebudayaan bukan Islam yang menjadi inspirasi musuh Islam dalam usaha menyesatkan setiap individu Muslim.

Dijelaskan dalam al-Quran, firman Allah yang bermaksud: "Orang Yahudi tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhamad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang terpesong itu)." (Surah al-Baqarah, ayat 120)

Fizikal umat Islam sudah diresapi jarum golongan anti-Islam dan perlu kita sedari hakikat itu. Cuma kita persoalkan adakah generasi seperti ini akan mengembalikan serta merealisasikan tamadun Islam kembali.

Tanpa kesedaran mendalam, selagi itulah pelbagai unsur dan corak haru biru akan menimpa. Kita perlu mengorak langkah menumpaskan musuh yang datang dalam pelbagai bentuk kerana jika tidak, masyarakat Islam akan terus ditelan arus dan gelombang fahaman kebendaan.

Sudah tiba masanya setiap umat Islam menggembleng tenaga dan bertanya kepada diri mereka apakah sumbangan yang sudah diberikan kepada Islam. Jika tiada satu usaha dilakukan, tekadkan niat untuk mengorak langkah sekarang memupuk kefahaman membanyakkan amal makruf.

Islam juga kini hanya tinggal tulisan apabila al-Quran dan buku agama hanya disimpan di dalam almari. Malah, masjid besar tersergam pengunjungnya tidak seramai mana. Semua ini perlu diberi perhatian dan tindakan sewajarnya supaya Islam terus dijulang dalam kehidupan umatnya.

Friday, August 15, 2008

Tokoh Islam cetus perubatan lengkap semua zaman

Oleh Masmawi Abdullah

KEKUATAN senjata kaum Muslimin pernah mengagumkan dunia Barat namun kesannya tidak kekal. Bagaimanapun, ilmu pengetahuan Islam dalam banyak hal sudah meresap ke dalam pemikiran orang Barat.

Bidang perubatan misalnya, Islam melahirkan ahli perubatan ternama seperti Ibn Sina, Abu Zakaria a-Razi, Abul Qasim dan ramai lagi yang menyumbangkan karya besar mereka sebagai warisan teks bagi dunia perubatan Islam serta Barat hingga ke abad ini.

Umat Islamlah yang pertama mendirikan hospital dengan penyusunan dan layanan baik, mengadakan farmasi sebagai tempat menjual ubat-ubatan dan mendirikan sekolah farmasi serta menghasilkan kitab farmakologi.

Sumber utama menghasilkan peradaban ilmu pengetahuan adalah al-Quran dan sunnah dan bidang perubatan tidak lepas daripada merujuk kepada kedua-dua sumber utama itu.

Banyak hadis yang mengisyaratkan perlunya didirikan balai perubatan khusus untuk merawat pesakit supaya terhindar daripada jangkitan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah seorang yang berpenyakit bercampur dengan yang sihat.”

Malah, Rasulullah SAW pernah mengisyaratkan supaya didirikan balai perubatan khusus untuk penyakit kusta dengan sabdanya yang bermaksud: “Jauhilah orang berpenyakit kusta sebagaimana engkau menjauhi seekor singa.” (Hadis riwayat Bukhari dan Abi Hurairah)

Bertolak daripada itu, khalifah Islam tergerak untuk mendirikan pusat perubatan terutama bagi penyakit berjangkit. Seperti dicatatkan, hospital kusta pertama dalam Islam didirikan pada tahun 88 Hijrah/706 Masihi atas gagasan khalifah Walid Abdil Malik.

Ia adalah hospital yang lengkap dengan pelbagai kemudahan, kakitangan, wad dan ubat-ubatan yang serba percuma. Semua keperluan harian pesakit ditanggung pemerintah.

Muhammad bin Jarir Atthohari melalui bukunya bertajuk Tarikh Rusul Muluk mengungkapkan, “Bagi penduduk Syam, Walid bin Abdil Malik adalah khalifah utama. Beliau mendirikan masjid, hospital khususnya bagi pesakit kusta dengan layanan dan perawatan intensif dan serba percuma.

Sejarawan ada mencatatkan bahawa tatkala terjadinya perang Khandak, kaum Muslimin mendirikan sebuah khemah atas gagasan Rasulullah SAW sendiri sebagai saranan untuk mengubati tentera Muslim yang terluka.

Dituliskan oleh Ibnu Hisham dalam bukunya yang masyhur Sirah Ibnu Hisyam bahawa Rasulullah SAW mendapatkan Sa’ad bin Mu’ad dalam khemah itu ketika Baginda terluka dengan didampingi oleh jururawat khusus mengubati tentera Muslim yang cedera.

Di samping klinik bergerak, dibina hospital tetap di bandar seperti didirikan oleh Walid bin Abdil Malik di Damsyik, Harun ar-Rasyid di Baqhdad dan tempat lain yang jumlahnya mencapai 34 pada abad kesembilan.

Dr Mustafa as-Sibaie mengungkapkan dalam bukunya Rowaie Hadhratina bahawa hospital itu terbuka untuk umum. Wad lelaki dan wanita dipisahkan. Ada ruang khas untuk pembedahan pesakit mental, perut, mata dan pelbagai penyakit berjangkit.

Pesakit mendapat layanan dan rawatan ubat-ubatan serta makanan di bawah pengawasan doktor secara percuma selama tempoh rawatan. Selepas pesakit yang miskin sembuh, dia akan diberi beberapa helai pakaian dan wang mencukupi keperluan ketika tempoh rehatnya di rumah sehingga kembali bekerja.

Sementara pesakit yang meninggal, seluruh perbelanjaan pengurusan mayat pesakit ditanggung oleh yayasan negara. Uniknya, dengan adanya layanan serba percuma itu ialah mengundang khalayak ramai yang berpura-pura sakit untuk bersenang di dalamnya.

Sistem pembedahan mempunyai sejarah perkembangannya yang panjang bagi dunia perubatan Islam. Abul Qsim az-Zahrawi, ahli bedah yang bekerja di istana Cordova menghasilkan buku farmakologi Kitabuttasyrif Lima Ajaza Anitta’lif yang menjadi sumber terpenting ilmu pembedahan hingga abad ke-17.

Di dalamnya tertulis sistem pembedahan dilengkapi peralatan pembedahan dan gambar anatomi tubuh manusia. Operasi yang pernah beliau lakukan antara lain ialah mengikat saluran darah, mengeluarkan batu-batu kecil daripada perut pesakit dan operasi aliran pernafasan.

Selain menjadi pusat rawatan, hospital juga bertindak sebagai sekolah perubatan. Kemudahan pengajaran cukup memadai dengan adanya sebuah dewan besar untuk kuliah, makmal lengkap dengan peralatannya dan perpustakaan mengandungi sumber rujukan lengkap, sekali gus pesakit menjadi objek praktikal pelajarnya.

Kaedah demonstrasi adalah acara paling banyak digunakan di sekolah perubatan itu. Hasil praktikal seseorang pelajar harus dikemukakan untuk dibahas bersama. Dengan cara itu, tidak hairanlah jika ada penemuan baru. Sumber yang banyak digunakan di awal abad itu adalah karangan Galien (seorang doktor Yunani, Ibnu Sina dan Ibnul Majusi)

Dengan bantuan orang kaya, mereka dapat membangunkan sekolah khusus farmasi untuk mempelajari ilmu perubatan.

Sejak zaman pemerintahan Al-Ma’mum pengamal perubatan diwajibkan menjalani ujian. Demikian pula seorang doktor tidak diizinkan membuka klinik sendiri kecuali selepas lulus ujian di hadapan doktor terkemuka untuk mempertahankan hasil kerjayanya. Apabila berjaya dan diberi ijazah, barulah berhak mengamalkan ilmunya.

Friday, August 1, 2008

Nabi sedih ramai wanita penghuni neraka

Oleh Masmawi Abdullah

Rasulullah ceritakan pengalaman saksi balasan dahsyat ketika israk mikraj

SAIDINA Ali berkata: "Saya dengan Fatimah pergi menghadap Rasulullah SAW. Kami dapati beliau sedang menangis, lalu kami bertanya kepadanya, apakah yang menyebabkan ayahanda menangis, ya Rasulullah?"

Baginda SAW menjawab: "Pada malam aku diisrak hingga ke langit, di sana aku melihat perempuan dalam keadaan amat dahsyat. Dengan sebab itu aku menangis mengenangkan azab yang diterima mereka."

Ali bertanya: "Apakah yang ayahanda lihat di sana?" Rasulullah SAW menjawab: "Aku lihat ada perempuan digantung rambutnya, otak kepalanya menggelegak. Aku lihat perempuan digantung lidahnya, tangannya diikat ke belakang dan timah cair di-curah ke dalam halkumnya (tekak).

"Aku lihat perempuan yang digantung kedua kakinya terikat, tangannya diikat ke ubun-ubunnya, disuakan ular dan kala. Aku lihat perempuan yang memakan dagingnya sendiri, di bawahnya dinyalakan api neraka. Aku lihat perempuan mukanya hitam dan memakan tali perutnya sendiri.

"Aku lihat perempuan yang telinga pekak dan matanya buta, diisikan ke dalam peti yang diperbuat daripada api neraka, otaknya keluar daripada lubang hidung, badan bau busuk kerana penyakit kusta dan sopak.

"Aku lihat perempuan yang kepalanya seperti babi, badannya seperti himar berbagai kesengsaraan dihadapinya. Aku lihat perempuan yang rupanya seperti anjing, kala dan ular masuk ke kemaluannya, mulut dan pelepasnya (punggung). Malaikat memukulnya dengan corong api neraka."

Fatimah pun bertanya kepada ayahandanya: "Ayahanda yang dikasihi, beritakanlah kepada anakanda, apakah kesalahan yang dilakukan oleh perempuan itu?"

Rasulullah menjawab: "Fatimah, adapun perempuan tergantung rambutnya itu adalah perempuan yang tidak menutup rambut daripada bukan muhrimnya. Perempuan tergantung lidahnya ialah perempuan yang menggunakan lidahnya untuk memaki dan menyakiti hati suaminya.

"Perempuan yang digantung susunya adalah perempuan yang menyusukan anak orang lain tanpa suaminya. Perempuan kedua kakinya tergantung itu ialah perempuan yang keluar dari rumahnya tanpa izin suaminya.

"Perempuan tidak mahu mandi daripada suci haid nan nifas ialah perempuan yang memakan badannya sendiri, juga kerana ia berhias untuk lelaki bukan suaminya dan suka mengumpat orang.

"Perempuan yang memotong badannya sendiri dengan gunting api neraka kerana ia memperkenalkan dirinya kepada orang asing, bersolek dan berhias supaya kecantikannya dilihat lelaki lain.

"Perempuan diikat kedua kakinya dan tangannya ke atas ubun-ubunnya, disuakan ular dan kala kepadanya kerana ia boleh sembahyang tetapi tidak mengerjakannya dan tidak mandi janabah.

"Perempuan kepalanya seperti babi dan badannya seperti himar ialah ahli pengumpat dan pendusta. Perempuan rupanya seperti anjing ialah perempuan yang suka membuat fitnah dan membenci suaminya.

Seterusnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Perempuan menyakit hati suami dengan lidahnya pada hari kiamat nanti Allah jadikan lidahnya sepanjang 70 hasta kemudian diikat di belakang tengkoknya."

Abu Bakar as-Sidik mengatakan, aku dengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Perempuan menggunakan lidah untuk menyakiti hati suaminya ia akan dilaknat dan kemurkaan Allah."

Usamah bin Zaid menceritakan, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Aku berdiri di atas syurga, kebanyakan yang masuk ke dalamnya adalah golongan miskin dan orang kaya tertahan di luar pintu syurga kerana dihisab. Selain daripada itu ahli neraka diperintahkan masuk ke dalam neraka, dan aku berdiri di atas pintu neraka, ku lihat kebanyakan yang masuk ke dalam neraka adalah perempuan."

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Aku lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya aku saksikan kebanyakan ahli neraka adalah perempuan."

Rasulullah SAW ditanya, mengapa ya Rasulullah? Baginda SAW menjawab: "Perempuan mengkufurkan suaminya dan mengkufurkan ihsannya, Jika engkau membuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia belum berpuas hati dan cukup." (Hadis riwayat Bukhari)

Friday, March 7, 2008

Rasional memilih pemimpin unggul

Oleh Masmawi Abdullah

PILIHAN raya adalah proses politik yang cukup penting dalam sesebuah negara demokrasi. Semua rakyat harus terbabit secara rasional dan aktif dalam proses pemilihan ini kerana kuasa penentu ada di tangan rakyat.

Oleh kerana, rakyat yang memiliki kuasa penentu, maka sewajarnya rakyat tidak mempersiakan peluang berharga ini untuk menentukan bakal pemimpin yang akan meneraju negara untuk lima tahun akan datang.

Justeru, parti politik perlu menghormati kewibawaan rakyat untuk menentukan pilihan mereka akan datang dengan mengelak perbuatan tuduh-menuduh yang tidak bernas kerana ia adalah antara kerja tercela serta tidak bertamadun.

Biarlah rakyat diberi peluang dan ruang seluas-luasnya untuk menentukan pendirian terhadap siapakah pemimpin yang ingin mereka pilih. Rakyat sudah semakin matang dalam soal memilih pemimpin. Mereka tidak lagi boleh diigaukan dengan mimpi pada siang hari tanpa berpijak di bumi nyata.

Rakyat mahukan pemimpin yang bakal dipilih benar-benar mampu memimpin diri dan keluarga serta berupaya pula membangun tamadun hidup rakyat ke arah lebih mulia dan mewujudkan kebahagiaan dalam kehidupan sejagat.

Pemimpin yang mempunyai ciri-ciri takwa, keimanan dan akhlak yang tinggi saja sepatutnya diketengahkan supaya rakyat tidak akan kecewa pada kemudian hari. Suasana masyarakat sekarang yang sangat mendesak memerlukan pemimpin yang mampu menjana pembangunan negara seiring pembinaan jati diri bersandarkan nilai murni.

Islam sudah menetapkan bahawa tanggungjawab memilih pemimpin adalah suatu proses untuk meletakkan orang paling sesuai di tempat yang layak dengannya. Tanggungjawab ini adalah tanggungjawab umat seluruhnya dalam menentukan pemimpin mereka.

Dalam hubungan ini, Allah memerintahkan supaya menunaikan tanggungjawab ini dengan sebaik-baiknya seperti firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia (Allah menyuruh) kamu menghitung dengan adil.” (Surah an-Nisa’, ayat 58)

Amanah memilih bermaksud membulatkan hati, membersihkan perasaan (jiwa), ikhlas hati daripada sifat riak, penakut dan munafik serta mempunyai ilmu pengetahuan dalam menentukan orang yang terbaik dipilih menjadi pemimpin.

Pemilihan pemimpin yang tidak didasarkan kepada konsep syura boleh melahirkan pendapat benar dan ikhlas serta memilih mereka yang tidak layak dipilih, samalah halnya dengan mereka yang menjadi saksi palsu (dusta) dan inilah di antara kezaliman tersembunyi dan akan melenyapkan kebenaran dan menyembunyikan unsur keadilan.

Sedangkan Allah sudah memberi amaran keras terhadap orang yang menjadi saksi dusta dan menyamakan mereka dengan penyembah berhala. Firmannya bermaksud: “Maka jauhi kekotoran orang syirik yang disebabkan oleh penyembah berhala serta jauhilah perkataan yang dusta.”

Oleh itu tanggungjawab memilih pemimpin sememangnya memerlukan penumpuan sepenuhnya dan mesti mengelakkan daripada sebarangan sentimen serta menjauhkan diri daripada sebarang bentuk kepentingan hawa nafsu demi melahirkan kebenaran dan keadilan sejati.

Abu Dzar pernah meriwayatkan dalam sebuah hadis bermaksud: “Wahai Abu Dzar, sesungguhnya engkau adalah seorang yang lemah dan jawatan itu adalah suatu amanah.”

Sesungguhnya pada hari kiamat kelak jawatan sebagai pemimpin akan menjadi satu penyesalan kecuali bagi mereka yang benar-benar bertanggungjawab dan melaksanakan amanah mereka dengan sempurna.

Justeru, pakar psikologi menetapkan, pemimpin perlu mempunyai sifat berikut:

l Pemimpin mestilah seorang yang mampu dan berkeupayaan menjalankan tugas.

l Menumpukan sepenuh daya usaha dan tenaganya terhadap tugas secara berterusan.

l Sentiasa bersiap sedia menerima sebarang arahan pucuk pimpinan dan kehendak rakyatnya.

l Mampu menahan perasaan terutama ketika menghadapi suasana kritikal.

l Sentiasa berusaha memperbaiki keperibadian dan sikapnya.

l Tegas serta boleh dipercayai.

l Mengelak daripada terbabit dalam sebarang skandal yang boleh menjejaskan identitinya sebagai seorang yang dipercayai.

Sifat pemimpin unggul yang memiliki personaliti dan ketrampilan sebagai pemimpin yang bertanggungjawab terhadap mereka yang di bawah pimpinannya dapat dilihat dalam diri Rasulullah SAW.

Baginda SAW adalah contoh terbaik dalam semua aspek kepemimpinan. Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah SAW adalah contoh ikutan terbaik, iaitu orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati Alah.” (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Thursday, February 7, 2008

Wanita cemerlang sejak zaman Rasulullah

Oleh Masmawi Abdullah

WANITA masa kini sudah mencapai kejayaan memberangsangkan dalam pendidikan. Realitinya yang tidak boleh dinafikan, ada yang lebih berjaya daripada lelaki dalam bidang diceburi dan pencapaian itu mendorong lebih ramai wanita turut serta dalam pekerjaan.

Malah, ada yang terbabit dalam bidang yang sebelum ini dikuasai lelaki lantaran kebolehan dimiliki untuk berhadapan pelbagai cabaran di sektor swasta, mahu pun kerajaan.

Mereka juga mampu menjawat jawatan tinggi atau berpangkat melebihi lelaki. Ini menyebabkan masa mereka lebih banyak di luar rumah demi menguruskan tugas serta tanggungjawab bidang pekerjaan.

Dalam konteks ini, Islam tidak melarang atau menghalang, malah membenarkan wanita bekerja di luar rumah dengan syarat pekerjaan itu mestilah pekerjaan yang baik lagi halal, diredai Allah serta mendapat ganjaran baik.

Firman Allah bermaksud: "Sesiapa beramal salih daripada lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan." (Suruh an-Nahl, ayat 97)

Sejarah Islam membuktikan bagaimana peranan wanita yang turut serta dalam pekerjaan di luar rumahnya berjaya membantu ke arah kecemerlangan Islam, malah orang yang pertama gugur syahid dalam Islam juga daripada kalangan wanita iaitu Saiyidah Sumayyah.

Pembantu Rasulullah SAW iaitu Laila al-Ghafariyah turut membantu Rasulullah SAW dalam peperangan dengan merawat tentera Islam yang cedera sakit.

Dalam bidang perniagaan pula, isteri Rasulullah SAW, Khadijah Khuwailid dengan beraninya menerokai bidang itu hingga menjadi saudagar kaya dan dikenali sebagai 'Tahirah' yang bermaksud suci disebabkan beliau amat memelihara diri, kehormatan serta sifat peribadinya sebagai seorang wanita.

Saidatina Aisyah Abu Bakar, isteri Rasulullah SAW adalah wanita contoh dalam bidang pendidikan. Beliau mempunyai ilmu yang luas dalam bidang fiqh, kemasyarakatan dan politik. Beliau menjadi pakar rujuk ilmu hadis, seorang pemidato dan sasterawan. Urwah ibni al Zubir menyifatkan Aisyah wanita paling alim dalam ilmu al-Quran, fiqh, syair dan hadis.

Isteri Harun al Rasyid, Sayidah Zubaidah, adalah seorang pahlawan Islam dan puteri dari Bani Nasyim. Beliau mempunyai kedudukan tinggi ketika hayatnya kerana dengan arahannya penduduk Makkah dapat menikmati air minum bersih daripada mata air terkenal iaitu mata air Zubaidah.

Beliau juga memerintah supaya dibina semula bandar Iskandariah yang musnah dihancurkan tentera Bizantiyum. Saiyidah Zubaidah terkenal dengan penulisan ayat yang baik serta mempunyai pendapat bernas dalam bidang politik dan pentadbiran.

Dalam bidang perubatan, kitab Tahaqat al Atibba karya Ibni Abi Usaybiah, menyebut Zainab sebagai doktor dalam bidang perubatan mata, manakala seorang lagi bernama Ummul Hassan binti al-Qadi Abi Jaafar Atangali sebagai doktor pakar dalam pelbagai bidang perubatan sementara dua anak perempuannya juga doktor pakar dalam bidang sakit puan.

Sebenarnya ramai wanita sejak daripada dulu terbabit dalam kerja di luar rumah dan mereka berjaya apabila dapat menghadapi segala cabaran yang datang, di samping menjaga akhlak serta sifat sebagai wanita muslim.

Ada banyak cabaran kepada wanita yang bekerja di luar rumah antaranya untuk menyesuaikan dan mengatur masa menunaikan tanggungjawab isteri, ibu di rumah dan pada masa sama berperanan sebagai pekerja atau majikan di luar rumah.

Tugas utama wanita adalah sebagai isteri, ibu dan pendidik kepada anaknya. Oleh itu, apabila wanita bekerja, dia perlu menyesuaikan diri dengan suasana di mana dia perlu menyelesaikan kerja rumah sebelum memberi tumpuan kepada tugas pejabat.

Wanita yang bekerjaya tidak digalakkan membawa beban tugas atau masalah pejabat ke rumah kerana dikhuatiri akan menyebabkan hilang tumpuan kepada rumah tangga hingga anak terabai dan tidak terurus.

Prof Dr Miqdad Yaljan pernah menyatakan, kita pada adatnya menganggap suri rumah sepenuh masa adalah wanita yang tidak bekerja, sedangkan hakikatnya suri rumah adalah tugas kemasyarakatan, ekonomi, pendidikan dan psikologi.

Beberapa negara maju membayar gaji kepada suri rumah yang bekerja sebagai suri rumah sepenuh masa. Dr Miqdad turut menjangkakan suatu masa nanti, wanita berada antara dua persimpangan untuk memilih antara kerjaya atau keluarga.

Beliau percaya wanita pada masa itu akan memilih anak dan duduk di rumah untuk mendidik mereka. Oleh itu, kita perlu ada kesungguhan dalam menilai dan menghargai peranan wanita serta memahami perasaan, jiwa dan kerohanian yang ada pada setiap wanita.

Syeikh Muhamad al-Ghazali berpendapat, jika ada 100,000 guru, tidak ada halangan bagi wanita menjadi sebahagian daripada bilangan itu, tetapi yang penting dalam masyarakat ialah pelaksanaan akhlak dan tingkah laku yang baik selaras dengan syariat.

Dalam hal itu, perkara utama perlu dipelihara setiap individu wanita yang bekerja di luar rumah ialah kehormatan diri dan ketakwaan kepada Allah. Walau dalam apa juga keadaan, setiap wanita jangan terlalu ghairah mencari persamaan dengan lelaki hingga membelakangkan ajaran Islam.

Pada masa sama, wanita bekerja tidak boleh mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Sesungguhnya alangkah bahagia wanita yang dapat menyumbang kepada kesejahteraan serta kebahagiaan suami, anak, keluarga, masyarakat dan negara.

INTI PATI

Islam tidak melarang atau menghalang, malah membenarkan wanita bekerja di luar rumah dengan syarat pekerjaan itu mesti pekerjaan halal, diredai Allah serta mendapat ganjaran baik.


Sejarah Islam membuktikan bagaimana peranan wanita yang turut serta dalam pekerjaan di luar rumahnya berjaya membantu ke arah kecemerlangan Islam.


Apabila wanita bekerja, dia perlu menyesuaikan diri dengan suasana di mana dia perlu menyelesaikan kerja rumah sebelum memberi tumpuan kepada tugas pejabat.


Setiap individu wanita yang bekerja di luar rumah perlu menjaga kehormatan diri dan ketakwaan kepada Allah.

Saturday, February 2, 2008

Masjid perlu dijadikan ukuran mutu ummah

Oleh Masmawi Abdullah

PENAMPILAN kita dan isi masjid mencerminkan darjat hubungan antara manusia dengan Allah dan hubungan antara manusia dengan manusia. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tempat paling dikasihi Allah di sesuatu negeri atau qariah ialah masjid.”

Umumnya, wajah masjid akan bergantung kepada taraf keimanan manusia. Makin tinggi iman maka makmurlah masjid itu dan sebaliknya, makin rendah iman makin sunyilah masjid itu.

Dapat dikatakan bahawa aktiviti dan penampilan masjid penggerak yang dapat memberikan petunjuk apakah umat manusia dalam keadaan tebal atau tipis imannya.

Allah berfirman bermaksud: “Jika Allah tidak mendorong sesetengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat pertapaan serta gereja kaum Nasrani dan tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid yang sentiasa disebut nama Allah dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamanya (Islam). Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Kuasa.” (Surah al-Haj, ayat 40)

Masjid di negara kita makin berkembang jumlahnya serta mutu bangunannya bertambah cantik, indah dan menarik. Ada masjid yang mewah dan meriah serta makmur, dan ada juga yang mewah tetapi sunyi sepi. Ada pula yang daif bangunannya tetapi aktif dengan kegiatan.

Masalah sekarang ialah sejauh manakah masjid digunakan sesuai dengan peranan sebagai tempat ibadat, tempat belajar, tempat berdakwah dan sebagainya.

Masjidil Haram di Makkah al-Mukarramah, Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis dan Masjid Nabawi di Madinah Al-Munawwarah, mengalami pembaikan dan pembesaran bangunannya dari semasa ke semasa tanpa menjejaskan kedudukan sebagai pusat ibadat, kebudayaan, pengembangan ilmu dan pembinaan ummah.

Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya orang yang suka memakmurkan masjid hanya orang yang beriman kepada Allah dan percaya kepada hari akhirat, mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan orang yang tidak takut selain Allah. Mudah-mudahan itulah orang mendapat petunjuk Ilahi.” (Surah at-Taubah, ayat 18)

Pada zaman kegemilangan Islam, umatnya menjadikan masjid sebagai markas pelaksanaan hubungan antara manusia dengan Allah dan hubungan manusia dengan manusia berlangsung sejak abad keenam Masihi hingga abad ke-13 Masihi sehingga kita dapat menyaksikan peninggalan sejarah kegemilangan umat Islam melampaui batas ruang dan waktu hingga kini.

Sejak abad ke-14 Masihi kita menyaksikan pergeseran mengenai peranan masjid apabila masjid hanya menjadi tempat ibadat semata-mata dan antara sedar atau tidak, ia menyebabkan peranan masjid menjadi sempit.

Keadaan itu tambah dengan perilaku sesetengah umat Islam sendiri, apabila berada di masjid bertuhankan Allah dan di luar masjid pula bertuhankan harta, wanita, pangkat dan kuasa.

Kerana harta ia korbankan halal haram, kerana wanita ia lupa daratan tidak nampak tuhan, kerana pangkat dan kuasa ia menolak kebenaran Islam, pada hal inilah sebenarnya punca keruntuhan yang menghancur leburkan iman seseorang.

Kita harus mengembalikan peranan masjid secara utuh kukuh ke arah satu paradigma baru, iaitu sebagai tempat ibadat dan muamalah yang berpedomankan kepada al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

Al-Quran banyak menceritakan mengenai ibadat, muamalah, kemasyarakatan, ekonomi, pengadilan, hubungan si kaya dengan si miskin dan lain-lain. Dengan demikian, kesungguhan mengembalikan peranan masjid dengan suatu paradigma baru amat penting.

Apabila kegiatan fardu kifayah tidak bertolak kepada roh masjid, maka akan ada penyelewengan yang menyimpang daripada landasan Islam, terpesong daripada naungan al-Quran dan ajaran Rasulullah SAW, kerana akhirnya umat Islam dipengaruhi sistem yang tidak secocok dengan Islam.

Tuesday, January 22, 2008

Sahabat sepakat Muharam permulaan takwim Islam

Oleh Masmawi Abdullah

HIJRAH adalah sunnah yang sudah diamalkan sejak dulu. Nabi terdahulu sudah melakukan hijrah sebelum peristiwa hijrah yang dilakukan Khatamul Anbiya’, Nabi Muhammad SAW. Nabi yang mula-mula sekali melakukan hijrah ialah Saidina Ibrahim diikuti Nabi Luth, Nabi Musa dan Nabi Isa.

Sementara itu, amalan hijrah sangat disukai dan digalakkan oleh Allah terutama kepada mereka yang dizalimi. Bahkan, Allah bermurah hati untuk memberi ganjaran dan menempatkan mereka di dalam syurga sebaris dengan nabi, siddiqin, syuhada dan salihin.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah sesudah mereka dianiayai, pasti Kami akan memberikan tempat yang bagus kepada mereka di dunia. Sesungguhnya pahala di akhirat adalah lebih besar, jika mereka mengetahui.” (Surah an-Nalh, ayat 41)

Oleh itu, hijrah mengandungi erti kesabaran, ketabahan, pengorbanan, ganjaran baik dan pahala. Dalam pada itu, hijrah Nabi SAW ke Madinah Munawwarah adalah satu peristiwa penting yang belum pernah berlaku dalam sejarah dakwah Islam.

Peristiwa hijrah itu juga menunjukkan sebaik-baik contoh pertolongan Allah kepada Islam dan umatnya selain terbentuknya sebuah negara Islam pertama di Madinah. Oleh itu, tidak hairan jika peristiwa penting ini dijadikan asas dan titik tolak kepada permulaan takwim Islam.

Imam Bukhari dalam kitabnya Sahih Bukhari mengadakan bab khusus mengenai permulaan takwim Islam di bawah tajuk, ‘Daripada mana mereka membuat penarikhan takwim Islam?’

Mengulas mengenai metod yang dilakukan Imam Bukhari, al-Hafiz ibnu Hajar berkata, bahawa Imam Bukhari seolah-olah ingin menarik perhatian kita kepada beberapa pendapat dalam memulakan penarikhan takwim Islam.

Sementara itu, al-Hakim meriwayatkan daripada al-Zuhriy dalam ‘al-Iklilnya’ bahawa Nabi SAW tatkala sampai di Madinah, baginda memerintah supaya dibuat satu takwim. Maka dicatatkan pada Rabiulawal.

Pendapat itu sukar diterima kerana ada pendapat lain yang mengatakan sebaliknya dan pendapat itu lebih masyhur.

Diceritakan bahawa Au Musa menulis surat kepada Khalifah Umar tidak bertarikh. Saidina Umar memanggil semua ahli sejarah untuk membincangkan perkara ini.

Sebahagian mereka berpendapat supaya permulaan bulan takwim dimulakan dengan kebangkitan Rasulullah SAW menjadi Rasul, manakala sebahagian yang lain pula berpendapat supaya dimulakan dengan peristiwa hijrah.

Justeru Saidina Umar menerima pendapat yang kedua kerana katanya hijrah itu memisahkan perkara yang hak daripada perkara batil.

Tatkala mereka sependapat dengan cadangan itu, sebahagian lain pula mencadangkan supaya dimulakan dengan Ramadan.

Umar berkata, “Tidak, kita mulakan dengan Muharam kerana bulan ini orang ramai berpisah dengan ibadat haji mereka. Mereka pun menerima pendapat itu.

As-Suhaili menambah: “Sahabat memulakan penarikhan dengan peristiwa hijrah berpandu firman Allah yang bermaksud: “Janganlah kamu bersembahyang dalam masjid itu selama-lamanya, Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (masjid Quba’) sejak hari pertama adalah lebih patut kamu bersembahyang di dalamnya.” (Surah al-Taubah, ayat 108)

Sesungguhnya hari pertama yang dimaksudkan di sini bukanlah hari pertama seperti kita maklum, tetapi hari pertama yang dimaksudkan ialah suatu perkara yang tersirat di sebalik itu iaitu seawal masa yang dimulakan oleh Islam.

Pada hari itu, Nabi SAW dapat melakukan ibadat dengan aman tanpa sebarang gangguan. Pada hari itu juga sebuah masjid mula dibina.

Berasaskan hakikat itu, sahabat bersependapat bahawa permulaan penarikhan takwim bermula pada hari itu.

Dan kita faham daripada tindakan mereka memahami firman Allah, “Sejak hari pertama” bahawa hari pertama penarikhan takwim Islam.

Al-Hafiz berkata: “Boleh difahami maksud ‘Hari Pertama’ iaitu hari pertama Nabi dan sahabat memasuki kota Madinah.

Walaupun begitu, mereka menganjakkan lebih awal lagi daripada Rabiulawal iaitu bermula dengan Muharam kerana permulaan suruhan hijrah adalah pada Muharam.

Maka kerana Baiatul Aqabah berlaku pada Zulhijjah iaitu permulaan hijrah, anak bulan pertama bermula bulan itu selepas. Maka, munasabah menjadikan Muharam sebagai permulaan bulan takwim Islam.