Showing posts with label (A) Nik Salida Suhaila Nik Saleh. Show all posts
Showing posts with label (A) Nik Salida Suhaila Nik Saleh. Show all posts

Thursday, March 4, 2010

Ubah perspektif elak wanita jadi mangsa kekejaman

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh

KETIKA Hari Wanita disambut di seluruh dunia tidak lama lagi, negara masih tidak sepi daripada penganiayaan terhadap golongan ini yang dianggap sebagai lumrah kepada yang lemah. Walaupun Barat meraikan kemenangan wanita dengan mewujudkan Hari Wanita Sedunia sejak 1911, Islam terlebih dulu memulihkan status kaum hawa yang terhina kerana amalan jahiliah, hatta memberi hak kesamarataan dalam soal ibadah.

Ketika Barat merangka undang-undang yang menolak diskriminasi terhadap wanita, Islam sudah lama memuliakan mereka dalam jaminan yang terkandung dalam Al-Quran. Bahkan sejak 15 abad lalu, Al-Quran merakamkan nas yang qat'i yang menyamakan kedudukan antara lelaki dan wanita dalam menjalankan kewajipan insani berbanding Revolusi Perancis yang berlaku di penghujung abad ke-18 dengan deklarasi piagam hak asasi manusia yang jelas mendiskriminasi wanita.

Firman Allah dalam Surah Ali 'Imraan, ayat 195 bermaksud: "Sesungguhnya aku tidak mensia-siakan amal orang yang beramal di antara kamu, baik lelaki mahupun perempuan (kerana) sebahagian kamu adalah turunan dari sebahagian yang lain."

Dan Allah juga berfirman dalam Surah An-Nahl yang mafhumnya: "Barang siapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya kami akan berikan kepadanya kehidupan yang baik. Dan sesungguhnya kami akan beri balasan kepada mereka dengan pahala lebih baik dari apa yang mereka kerjakan."

Wanita hari ini bukan seperti isteri yang dijual suami di Barat sebelum 1930-an, bukan juga seperti di Jazirah Arab di era jahiliah yang menjadi objek hinaan dan celaan serta punca keaiban keluarga. Malah wanita yang melahirkan bayi perempuan menanggung rasa bersalah yang tidak terhingga, begitu juga suaminya.

Sambutan Hari Wanita pada tahun ini pasti melonjakkan agenda pemerkasaan wanita seperti dilakukan pada tahun-tahun sebelum ini. Tiada siapa berani menafikan, apatah lagi menidakkan rencana ke atas wanita kerana umum mengetahui kecemerlangan wanita hari ini tidak boleh diragui dan terbukti.

Hampir semua undang-undang sedia ada, khususnya Perlembagaan Persekutuan, mengiktiraf kesaksamaan gender dan menolak sebarang diskriminasi terhadap wanita, melainkan wujud beberapa peruntukan yang perlu dimurnikan agar konsisten dengan peruntukan undang-undang dalam Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskiminasi Terhadap Wanita (Konvensyen Wanita) dan prinsip syariah yang sebenar.

Sekiranya wanita dianggap sebagai khalayak yang mulia seperti makhluk Allah lain, sudah tentulah mereka tidak dianiaya semata-mata untuk memuaskan nafsu buas sehingga terpaksa mengandungkan anak dengan susah payah sembilan bulan lamanya.

Selepas itu, melahirkan dan membunuh zuriatnya sendiri kerana tidak sanggup ditohmah masyarakat. Cabaran kini ialah mengubah perspektif bahawa fizikal manusia ialah sama, maka tiada siapa menjadi mangsa kekejaman.

fizikal kepada sesiapa. Walaupun tidak mudah direalisasi, banyak hakikat membuktikan wanita perkasa kerana percaya mereka berupaya.

Wujud peruntukan undang-undang yang masih tidak bersifat adil terhadap wanita kerana memberi kesamarataan hak tanpa mengambil kira kesamarataan matlamat yang hendak dicapai. Wawasan, gagasan dan seruan negara direalisasikan melalui pelbagai suara agar wanita dihormati dan dipelihara, melindungi mereka dengan menyempurnakan tanggungjawab serta membahagiakan mereka, sama ada mereka seorang ibu, isteri, anak mahupun pekerja dan rakyat jelata.

Sungguhpun begitu, ia tidaklah begitu ketara menganiaya wanita berbanding amalan dalam budaya dan sosial masyarakat yang memandang wanita sebelah mata sekali gus menjadikan mereka mangsa jenayah seksual dan pembunuhan.

Ini adalah pembawaan jahiliah yang masih tidak berkurangan, malah hari ini kerana dizalimi juga, wanita sanggup membunuh anak yang baru lahir ke dunia kerana takut mendepani masyarakat akibat perbuatan berzina yang terang-terangan terbukti dengan kelahiran zuriat dari darah dagingnya, manakala si bapa haram pula hilang entah ke mana.

Sekiranya wanita dianggap sebagai khalayak yang mulia seperti makhluk Allah lain, sudah tentulah mereka tidak dianiaya semata-mata untuk memuaskan nafsu buas sehingga terpaksa mengandungkan anak dengan susah payah sembilan bulan lamanya. Selepas itu pula, melahirkan anak sendirian dan membunuh zuriatnya sendiri hanya kerana tidak sanggup menghadapi tohmah masyarakat.

Tambahan pula, teori konstruktif sosial meneguhkan kepercayaan bahawa wanita dan kanak-kanak adalah makhluk yang lemah, sedangkan tidak semua mereka lemah, begitu juga tidak semua lelaki kuat. Tetapi kerana masyarakat umum terbina dengan pengaruh sosial dan budaya begitu, maka realiti membenarkan bahawa wanita dan kanak-kanak adalah lemah dan boleh dibelasah.

Cabaran terkini ialah mengubah perspektif bahawa fizikal manusia ialah sama, maka tiada siapa yang akan menjadi mangsa kekejaman fizikal kepada sesiapa. Walaupun tidak mudah direalisasi, banyak hakikat membuktikan wanita perkasa kerana percaya mereka berupaya.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pengajian di United Kingdom.

Thursday, February 18, 2010

Logo halal jadi alat perdaya pengguna

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh


PENGGUNA mesti waspada ketika memilih tempat menjamu selera dan membeli-belah untuk elak terpedaya dengan helah peniaga yang menggunakan logo halal sesuka hati. - Gambar hiasan


Peniaga guna helah pamer ayat Al-Quran, 'Assalamualaikum' untuk kelirukan pembeli


APABILA ada pemalsuan sijil dan logo halal untuk produk makanan dan gunaan, ia adalah strategi pihak pengeluar barangan terbabit untuk menguasai pasaran Muslim, bukan saja di Malaysia, malah seluruh dunia. Mereka tidak mengambil kira faktor hukum halal dan haramnya kerana menganggap pulangan material lebih utama berbanding dosa dan pahala.

Isu yang sudah bertahun menjadi perdebatan ini akhirnya mendapat perhatian sewajarnya apabila kekangan undang-undang dirungkai untuk memperkasa pengeluaran sijil dan logo halal Malaysia. Akta Perihal Dagangan 1972 (APD 72) yang akan dipinda hanya memberi kuasa kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan melantik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) untuk tujuan itu.

Di sebabkan hal berkaitan agama berada di bawah bidang kuasa negeri, maka tentulah rakyat mengharapkan agar setiap Jain memberi persetujuan untuk merealisasikan penyeragaman sistem, standard dan sijil halal, sekali gus menghapuskan kepelbagaian 'cara' menghalalkan produk pasaran yang mengelirukan pengguna Muslim.

Pelbagai rupa logo halal juga menguntungkan pengeluar dan penjual yang berpeluang menggunakan kelonggaran berkenaan untuk mempamerkan logo mengikut kreativiti masing-masing tanpa mempunyai sijil yang dikeluarkan mengikut peraturan APD 72. Kebanyakan pengguna tidak meminta sijil halal daripada penjual kerana percaya penjual Islam tidak akan menipu pembeli dengan mempamerkan logo halal yang haram.

Buat masa sekarang, sesiapa saja boleh mengeluarkan sijil halal atau menggunakan helah sehingga pengguna beranggapan sesuatu produk itu halal dengan melabelkan perkataan 'makanan orang Islam', 'ditanggung halal' atau dengan meletakkan lukisan ayat Al-Quran di dinding premis, hatta kalimah 'Assalamualaikum' dan 'Bismillahirrahmanirrahim', walhal, barangan yang dijual tidak menepati maksud halal sama sekali.

Begitu juga dengan produk tidak mendapat pengesahan halal yang dinamakan dalam bahasa Arab bermula dengan perkataan 'al'. Keadaan ini lebih merumitkan kerana undang-undang mungkin hanya menguatkuasakan sijil dan logo, bukannya nama produk. Di sinilah letaknya kebijaksanaan umat Islam menilai setiap barangan makanan atau gunaan yang dipasarkan, bukannya menyerahkan tanggungjawab itu kepada pihak yang berautoriti semata-mata.

Banyak sebab mengapa di negara majoriti umat Islam pengguna Muslim tidak begitu mengambil berat soal halal dan haram setiap makanan yang dimakan atau produk yang diguna. Salah satunya kerana mereka percaya penjual atau pengeluar Muslim tidak tergamak menipu pengguna seagama.

Selain itu, pengguna mempunyai banyak pilihan, jadi mereka tidak mengendahkan jika benar produk yang tidak halal tetapi dianggap halal oleh pengguna masih dijual di pasaran. Mereka beranggapan sesiapa yang mengambil berat pasti tidak akan membeli, begitulah sebaliknya.

Apa yang berlaku, produk itu kekal di pasaran tanpa ada laporan dibuat kepada pihak polis atau autoriti lainnya. Kewujudan gerai menjual barangan basah seperti ayam dan daging yang dijual dalam kuantiti yang kecil juga diragukan status halal dan haramnya. Pembeli haruslah peka dengan keadaan ini supaya usaha kerajaan mengatasi masalah produk halal di negara ini berjaya dilakukan, bukan saja dengan meminda undang-undang, malah dengan kesedaran pengguna keseluruhannya.

Di negara yang mempunyai sejumlah kecil umat Islam yang mempunyai bekalan produk halal terhad, pengguna Muslim amat berhati-hati memilih barangan yang ingin dibeli, sehingga berjam-jam lamanya masa diambil untuk membeli-belah. Mereka terpaksa membawa senarai nama bahan tidak halal yang mungkin digunakan dalam produk makanan yang ingin dibeli memandangkan hampir semua barangan tidak mempunyai logo halal.

Di United Kingdom contohnya, jika ingin membeli ayam atau daging mentah, penulis hanya membeli di kedai yang mempamerkan sijil halal dikeluarkan oleh 'Halal Food Authority (HFA)' saja dan mereka turut mengambil kira faktor makanan haiwan itu serta memenuhi standard penyembelihan seperti haiwan diberi minum sebelum disembelih, haiwan berkenaan tidak melihat haiwan lain disembelih sebelumnya, saiz pisau sembelihan adalah empat kali lebih besar daripada saiz leher haiwan dan tajam serta posisi penyembelih dan haiwan sembelihan yang menghadap kiblat.

Penyembelihan juga dilakukan di tempat penyembelihan berlesen saja dan dilakukan dengan pengawasan pegawai veterinar. Di sekolah rendah pula, pelajar Muslim yang tidak membawa bekalan dari rumah akan membuat bayaran secara harian, mingguan atau bulanan kepada pihak sekolah dan akan diberi makanan halal yang diluluskan oleh HFA juga.

Di sini, makanan halal dan berkhasiat yang diambil pelajar Muslim lebih mudah dipantau pihak sekolah memandangkan sekolah rendah tidak mempunyai kantin atau gerai yang menjual makanan ringan di luar pagar sekolah.

Sebaliknya, mereka hanya perlu mengambil menu yang sihat seperti susu, salad, buah-buahan dan makanan berasaskan tumbuhan saja dan disediakan mengikut garis panduan makanan halal di dewan makan sekolah. Keadaan ini sekali gus menyelamatkan setiap peringkat usia pengguna Muslim di UK daripada mengambil makanan yang tidak diketahui status halalnya dan membahayakan kesihatan.

Golongan dewasa tentulah lebih prihatin dalam soal pengambilan produk halal yang diiktiraf tetapi kanak-kanak dan remaja agak terbuka dalam hal ini memandangkan mereka kurang berpengetahuan dan terlalu banyak ruang yang ada untuk diperdaya.

Justeru, undang-undang saja masih belum cukup untuk membasmi longgokan produk yang tidak menepati piawaian halal tanpa kesedaran dan pendidikan yang menyeluruh.

Tambahan pula produk kosmetik, farmasuetikal, pakaian, khidmat perbankan dan kewangan, logistik dan juga perniagaan pantas jutawan dan pelaburan yang semakin rambang di arena maya jarang yang berlogo halal.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pengajian di United Kingdom

Thursday, February 11, 2010

Proses pendidikan perlu disertai asas agama kukuh

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh
salidaruhaila99@yahoo.com


KEJAYAAN tidak akan datang tanpa sokongan daripada ibu bapa, kecemerlangan pendidik serta usaha sendiri. - Gambar hiasan


Ibu bapa, pendidik bersama laksana strategi lahirkan generasi cemerlang

MENCERNA modal insan menjadi satu fizikal yang upaya dalam segenap segi memerlukan strategi teratur dan berhierarki. Begitulah juga dalam soal membangunkan sahsiah dan akademik permata negara yang diharap silaunya memberi cahaya kepada agama juga.

Usaha Kementerian Pelajaran menggubal silibus khusus untuk murid pintar Tahun Satu di Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) tentulah bertujuan memanfaatkan kebijaksanaan anak ini semaksimum mungkin.

Namun begitu, usaha ini bukan saja membabitkan pihak sekolah khususnya dan kementerian amnya, malah perlu mendapat kerjasama ibu bapa, terutama dalam memastikan nilai-nilai murni dan tonggak peribadi anak yang cemerlang seiring dengan prestasi akademik.

Secara umumnya, tiada insan kecil yang ingin gagal dan dipinggirkan. Walaupun tidak 'luar biasa', mereka pasti mahu berjaya. Ada kanak-kanak yang lambat matang, menjadikan mereka tidak galak membuktikan kecemerlangan, tetapi sifat tekun dan berakhlak mulia menjadikan mereka istiqamah menuntut ilmu.

Sebab itulah ibu bapa perlu mengenal pasti tahap kecenderungan anak-anak dan memantau prestasi supaya mereka tetap pendirian dan tahu keutamaan. Tambahan pula, pendidikan pertama bermula dari rumah, tetapi ia tidak berlanjutan begitu kerana sistem pendidikan rasmi menjadualkan setiap orang wajib bersekolah apabila berusia tujuh tahun.

Waktu berkualiti yang sedikit ketika berada di rumah tentulah tidak mengizinkan proses pembelajaran berlaku dengan sempurna. Malah, ramai ibu bapa mempunyai komitmen kepada kerjaya, lantas mengharapkan pengorbanan guru di sekolah atau pusat pendidikan lainnya mentarbiyah anak-anak mereka sebaik mungkin, sehingga mereka berjaya dan cemerlang.

Setiap pelajar mengharapkan diri mereka berjaya, malangnya ada yang tidak menyedari bagaimana caranya untuk mencapai cita-cita. Segelintir mereka diserahkan bulat-bulat kepada guru untuk dibimbing, dididik menjadi orang berguna, sehinggalah apabila mereka mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan, ibu bapalah orang yang paling gembira dan mendabik dada sehingga terlupa bagaimana anak mereka dicanai berguna.

Tetapi malangnya apabila tidak lagi menghuni 'sekolah', anak begini akan membawa haluan sendiri, mencorak masa depan sesedap hati, sehingga akhirnya mempertaruhkan ilmu yang dicari dengan apa juga yang mengulit diri tanpa ada 'guru' yang membimbing lagi.

Ada ramai pula ibu bapa yang menyedari pentingnya perhatian dan keprihatinan mereka terhadap setiap anak-anak, mereka membantu guru memperkasakan sekolah dan persatuan, mengambil tahu kegiatan dan aktiviti anak-anak di sekolah serta tidak lokek masa untuk menjengok anak dan teman mereka di sekolah.

Pusat tarbiah insan ini tentunya tidak sama dengan tempat lain, yang mungkin infrastrukturnya sama, organisasinya hampir sama, pentadbirannya juga tidak jauh berbeza tetapi hasil yang akan dikeluarkan adalah tidak sama, kerana sekolah melahirkan manusia yang terdidik dan berilmu, tidak sama seperti kilang pengeluaran yang menitikberatkan penghasilan menepati piawai yang boleh diukur dengan standard kualiti zahirnya, iaitu mesti tiada cacat cela yang boleh dikategorikan sebagai kualiti kelas kedua.

Firman Allah SWT dalam Surah Ali-Imran, ayat 110 yang bermaksud: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara buruk dan keji, serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benarnya)

Tetapi manusia tidak boleh diukur dengan keserupaan fizikal mereka untuk menentukan mereka berkualiti. Cacat cela zahirnya pula tidak mengesahkan mereka bodoh dan tidak berakhlak. Itulah susahnya menjadi pendidik yang perkasa di pusat pentarbiahan insan, kerana mereka mesti melahirkan manusia yang mempunyai mental dan peribadi berkualiti tinggi, yang tidak boleh diukur dengan pandangan mata.

Firman Allah yang dalam Surah al-Alaq, ayat 1-5 bermaksud: Bacalah dengan nama Tuhan-Mu yang menjadikan sekalian makhluk. Tuhan yang menjadikan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dengan nama Tuhan-Mu yang maha pemurah. Tuhan yang mengajar manusia menulis dengan kalam. Tuhan yang mengajar manusia apa yang manusia tidak mengetahuinya.

Daripada ayat di atas, jelaslah bahawa dalam konteks manusiawi, pendidikan bermula daripada proses penerokaan (mengguna akal) yang perlu disertai dengan asas agama yang kukuh. Orang yang mencari ilmu atau melakukan apa juga perbuatan, jika dimulakan dengan nama Allah SWT, insya-Allah akan dapat mengelak terpesong daripada matlamat sebenar mereka.

Kesedaran ibu bapa dalam memulakan pendidikan anak pada peringkat awal mereka mengenali dunia dengan mengenalkan mereka kepada Yang Maha Mencipta adalah sebaik-baik cara yang sepatutnya mereka lakukan. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud: "Menuntut ilmu itu adalah fardu kepada semua orang Islam." Justeru, kefarduan itu perlu dimulakan dengan sesempurna mungkin supaya diberkati Allah SWT.

Guru yang bakal meneruskan tarbiah kepada anak yang terdidik dengan permulaan yang baik tentunya tidak mempunyai masalah kerana cabaran kehidupan dan sosial yang semakin meruntun tidak akan menggugat peribadi dan sikap yang baik.

Tambahan pula, mencari ilmu adalah tuntutan besar agama kerana ia adalah aset dan bekalan kepada setiap individu dalam mengharungi kehidupan yang penuh liku. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang ingin kebahagiaan di dunia, maka perlu berilmu. Sesiapa yang inginkan akhirat, maka perlu dia berilmu. Dan sesiapa yang inginkan dunia dan akhirat, maka perlulah dia berilmu." (Hadis riwayat Muslim).

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pengajian di United Kingdom

Thursday, February 4, 2010

Amanah perisai hindari amalan rasuah

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh


KAKITANGAN awam perlu bijak kendali tugas agar tidak terjebak kes rasuah. - Gambar hiasan


Memberi dan menerima sogokan didorong sifat tamak yang boleh menghancurkan ummah

HARI ini, kepemimpinan dan pentadbiran goyah dengan amalan rasuah. Ini satu contoh amalan 'mata pencarian' yang tidak halal dan daripada sumber haram. Malangnya, ia berlaku di mana-mana lantaran kurang keinsafan segelintir manusia mengenai akibat makan sesuatu yang tidak baik dan menjaga keselamatan dirinya di akhirat kelak.

Disebabkan fitrah manusia yang pelupa, kita perlu diingatkan supaya tidak terus leka. Halangan dalam kehidupan kadangkala tidak tertanggung, apatah lagi yang memerlukan wang di depan mata, baginya segala boleh saja. Itulah yang gawat dalam organisasi, akauntabiliti tidak dipandang lagi, kredibiliti tidak bererti, yang tinggal hanya janji yang bakal dimungkiri.

Suruhan Allah SWT supaya mencari rezeki daripada sumber halal ada sebabnya. Amalan rasuah contohnya, adalah perbuatan memberi sogokan berbentuk 'hadiah' sama ada wang, imbuhan, perkhidmatan atau faedah lain untuk membolehkan sesuatu dihajati diperoleh. Perbuatan itu dikeji Allah kerana mengambil harta orang dengan cara mengingkari perintah-Nya.

Firman Allah bermaksud: "Dan janganlah kamu makan atau mengambil harta orang lain antara kamu dengan jalan salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan atau mengambil sebahagian daripada harta manusia dengan berbuat dosa, padahal kamu menge-tahui salahnya." (Surah al-Baqarah, ayat 188)

Perbuatan memberi sogokan untuk mendapatkan 'sesuatu' sifat yang diwarisi daripada syaitan. Implikasinya juga besar iaitu manusia boleh berbohong, menyatakan yang salah dan menidakkan yang benar kerana mengharapkan sesuatu memihak kepada dirinya.

Pihak memberi rasuah tidak mengambil kira maksud hukum syarak dan menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam.

Allah berfirman bermaksud: "Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan ialah musuh yang terang nyata bagi kamu." (Surah al-Baqarah, ayat 168)

Rasulullah SAW melaknat pemberi dan penerima rasuah dalam hadis Baginda diriwayatkan Al-Imam At-Tarmizi bermaksud: "Daripada Abdillah Amru ia berkata: Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah."

Orang yang tidak bersyukur kepada Allah SWT juga mudah mengikut jejak langkah syaitan yang fungsinya menghancurkan keimanan umat Islam. Sifat memberi dan menerima rasuah adalah tamak haloba yang meminggirkan hukum agama dalam menjalankan urusan harian. Firman Allah bermaksud: "Wahai orang beriman! Makanlah daripada benda yang baik, halal, yang Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah jika betul kamu hanya beribadat kepada Allah." (Surah Al-Baqarah, ayat 172)

Antara tonggak yang boleh menghalang daripada berlaku rasuah ialah sifat amanah. Tidak semudah menyebutnya, amanah adalah sifat terpuji yang ditonjolkan Rasulullah SAW, khulafa al-Rasyidin dan sahabat yang sentiasa mendampingi dan mengikuti akhlak Baginda.

Dengan sikap amanah, era kepemimpinan Rasulullah SAW diangkat paling mulia untuk diteladani. Sifat pemimpin pada masa itu yang adil serta bijaksana mengatur strategi dakwah dengan menonjolkan kepemimpinan amanah berjaya mendidik pihak yang dipimpin.

Bukan sekadar memberi peringatan, Rasulullah SAW mendidik umat untuk mencontohi watak Baginda yang merendah diri tetapi besar hatinya, sikit harta tetapi banyak ilmu, tenang bicara tetapi dalam maknanya dan kecil jajahan tetapi satu dunia sempadannya.

Kepemimpinan yang cemerlang ini menakutkan orang kafir Quraisy yang akhirnya menawarkan sesuatu kepada Rasulullah SAW supaya Baginda dapat bekerjasama dengan mereka tetapi ditolak.

Realitinya kehidupan orang tidak amanah pasti porak-peranda, kucar-kacir dan tidak mempunyai hala tuju dalam menuju masa depan yang cemerlang.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila hilang amanah maka tunggulah kedatangan Hari Kiamat. Bertanya seorang lelaki: Bagaimana hilangnya amanah itu? Sabda Rasulullah SAW: apabila sesuatu urusannya diserahkan kepada bukan ahli, maka tunggulah kerosakan dan kebinasaan." (Hadis riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pengajian di United Kingdom

Thursday, January 28, 2010

Jujur insafi kematian, reda hadapi kehilangan

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh
salidasuhaila99@yahoo.com

Tangisi pemergian insan tersayang secara keterlaluan perlakuan orang jahiliah, haram

HAMPIR sebahagian besar di antara kita pernah merasai kehilangan insan tersayang. Ada yang bersedia, ada tidak menduga, yang pasti tiada siapa gembira kerana pemergian mereka yang dikasihi adalah kepulangan yang hakiki dan tidak akan kembali ke dunia lagi.

Kematian, iaitu berpisah nyawa daripada roh dan jasad adalah satu penghijrahan abadi dari alam dunia ke alam barzakh, iaitu satu penempatan yang dipenuhi dengan roh orang yang sudah meninggal dunia dan sedang menunggu untuk dibangkitkan semula dan berkumpul di Padang Mahsyar.

Di situlah nanti perhitungan akan dilakukan untuk menentukan kehidupan yang kekal, yang tiada akhirnya lagi. Setiap Muslim perlu memahami bahawa kematian adalah sesuatu yang pasti, malah setiap kejadian di muka bumi ini akan musnah apabila tiba masanya. Tidak ada apa yang kekal di dunia melainkan Yang Maha Pencipta kerana Dialah yang berkuasa atas segala-galanya.

Allah SWT berfirman dalam Surah Ali Imraan, ayat 185 yang bermaksud: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada Hari Kiamat sajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga, maka sesungguhnya ia sudah berjaya. Dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya.”

Tangisan bukanlah luar biasa untuk menzahirkan kesedihan, malah itulah yang sedikit sebanyak meredakan kepiluan tetapi umat Islam tidak boleh meratapi kematian.

Diriwayatkan daripada Anas bahawa apabila Rasulullah SAW melihat Ibrahim, putera kesayangan baginda menghembuskan nafas yang terakhir, air mata Rasulullah mengalir deras. Lalu Abdurrahman bin Auf pun bertanya: “Mengapa engkau menangis wahai Rasulullah?”, Baginda menjawab: “Wahai Ibnu Auf, ia adalah air mata rahmat”. Kemudian Rasulullah SAW menyambung: “Sesungguhnya mata itu dapat menitiskan air, hati dapat bersedih dan kami tidak mengatakan sesuatu kecuali yang diredai oleh Allah. Kami sangat bersedih kerana berpisah denganmu wahai Ibrahim (Muttafaq ‘alaih).”

Sering kali apabila mengetahui mengenai sesuatu kematian, kita akan menziarahi keluarga si mati dan sudah tentulah kita mendoakan agar roh si mati dicucuri rahmat, keluarga dan kaum kerabatnya dilimpahi pahala yang berganda serta digantikan dukacita itu dengan sebaik-baik hiburan. Antara ucapan yang sering diucapkan ialah “mudah-mudahan Allah Taala membalas kepadamu dengan pahala yang berganda-ganda dan diperelokkan dukacita dengan sebaik-baik hiburan serta diampunkan akan si mati daripada keluarga kamu.”

Perlu diingatkan bahawa meratapi dan menangisi kematian secara keterlaluan seperti tidak meredai apa yang ditakdirkan Allah SWT adalah satu perlakuan orang jahiliah dan diharamkan dalam Islam. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Dari Abdullah r.a katanya: Telah bersabda Nabi SAW: “Tidak termasuk golongan kami orang yang memukul-mukul pipi, mengoyak-ngoyak baju dan berteriak-teriak seperti berteriaknya orang jahiliah.” (Riwayat Al-Imam Bukhari).

Tidak sia-sia orang yang turut berkongsi duka dan mengucapkan takziah kepada keluarga si mati kerana Allah SWT turut memberi ganjaran sama seperti orang yang sedang bersedih kerana kehilangan ahli keluarga.

Yang lebih baik, dihadiahkan bacaan ayat Al-Quran dan Yasin serta tahlil kepada si mati semoga Allah mengurniakan rahmat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Dari Abdullah r.a katanya: Telah bersabda Rasulullah SAW: “Siapa yang mengucapkan takziah kepada orang yang ditimpa musibah, maka dia memperoleh pahala seperti pahala orang yang mendapat musibah.” (Riwayat Al-Imam Ibnu Majah).

Orang yang bersabar menghadapi kematian adalah orang yang sentiasa berada di bawah perlindungan Allah. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 156-157 yang bermaksud: “Orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang yang dilimpahi dengan pelbagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya. Dan mereka itulah orang yang dapat petunjuk hidayahNya.”

Yang masih hidup, kematian sepatutnya menjadi iktibar untuk a sentiasa beringat mengenai kehidupan yang sementara, cuma tiada apa yang dibanggakan dengan kehidupan dunia, sebaliknya ibadah dan takwa juga yang merencanakan kebahagiaan di akhirat sana.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pengajian di United Kingdom

Thursday, January 21, 2010

Pertahan agama jika sayangkan negara

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh


HANYA mereka yang mempunyai jati diri kental mampu bertanggungjawab dan rela berkorban demi negara. - Gambar hiasan


Warga tanah air perlu kental jiwa, rohani elak penjajahan minda asing tamak kuasa

SEJAK awal pembinaan tamadun, sejarah sudah membuktikan bahawa bangsa asing akan meninjau sesebuah penempatan sebelum mula menapak untuk membina empayar keluarga, ekonomi, politik malah hubungan antarabangsa sehingga akhirnya mereka menuntut hak sama dengan warga asal sesuatu penempatan yang diteroka.

Pelbagai cara boleh digunakan untuk mempertahankan negara dan tanah air tercinta daripada gangguan dan pencerobohan luar yang tamakkan kuasa, tetapi paling penting ialah jangan gadaikan agama. Tuntutan yang melampaui batasan sehingga mempersendakan mana-mana agama sudah tentu menjadi ancaman baru yang tidak terampun dengan mudah.

Hal ini bukan luar biasa, cuma senario hari ini tidak sama dengan apa yang dibuktikan oleh sejarah. Yang ada ialah pencerobohan minda, membuatkan kita lupa asal usul dan kepayahan menuntut kebebasan daripada penjajahan.

Justeru, tidak hairanlah apabila kita membaca kisah sahabat Rasulullah SAW yang syahid di medan perang dengan darah merah segar mengalir deras tanpa henti dan baunya sewangi kasturi yang boleh dihidu berbatu jauhnya.

Untuk mempertahankan negara kita bukan saja dibentuk oleh agama agar mempunyai semangat juang tinggi malah juga kekentalan rohani. Keampuhan jiwa inilah yang menjadikan seseorang itu pejuang sebenar di jalan Allah SWT.

Mereka mampu bertahan dalam apa juga keadaan, tidak mudah mengaku kalah walau ditawarkan pelbagai habuan agar mempertaruhkan tanah air kepada kuasa luar. Tentera Islam dulu kala juga kuat dan teguh kerana ketaatannya kepada Allah SWT yang juga ditonjolkan dengan mentaati pemimpinnya.

Adalah menjadi kewajipan orang yang dipimpin mentaati ketua mereka selagi perkara yang diarahkan tidak melanggar hukum Islam. Inilah yang dapat membentuk angkatan tentera yang benar-benar bertanggungjawab dan rela berkorban demi negara. Bayangkan jika mereka berbalah sesama sendiri kerana tamakkan kuasa, sudah tentulah ia boleh memecah-belahkan perpaduan dan persefahaman serta merobohkan benteng dan kekuatan yang dibina dengan susah payah.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Anfaal ayat 45 yang mafhumnya: "Wahai orang yang beriman. Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan musuh, maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapi dan sebutlah serta ingatlah Allah SWT dengan banyakkan berdoa, supaya kamu berjaya mencapai kemenangan."

Islam tidak mengajar umatnya menceroboh atau memerangi sesiapa saja yang menolak agama Allah SWT, tetapi umat Islam dituntut mempertahankan negara kerana agama. Allah SWT meminta kita berlaku adil kepada setiap warga negara meskipun berlainan agama dengan mengamalkan cara hidup damai dan makmur selagi umat Islam tidak dimusuhi kerana agama mereka dan selagi mereka tidak diusir dari tanah air mereka.

Bukan mudah mempertahankan negara, apatah lagi ia menuntut komitmen semua pihak daripada setiap lapisan masyarakat. Kalau angkatan bersenjata menggunakan semua kelengkapan pertahanan yang ada untuk menghalang segala ancaman dan pencerobohan musuh yang menggugat keamanan dan kedaulatan negara, bagaimana pula dengan yang lain?

Kepada seorang pendekar, negara dibela dengan mata pedangnya, pemimpin dengan menunaikan tanggungjawabnya kepada rakyat dengan penuh wibawa dan kesungguhan, pendidik dengan suluhan ilmu yang menjadi perisai kepada setiap yang berfikir agar membuat pertimbangan waras apabila menghadapi kemelut dan konflik.

Imam dan cerdik pandai agama dengan mengentalkan jiwa dan rohani setiap warga tanah air agar sentiasa waja mempertahankan negara daripada penjajahan minda dan budaya yang boleh menggadaikan agama dan setiap individu pula perlu menanam rasa kasih serta cinta kepada tempat tumpah darahnya, jangan sampai tergadai kerana diulit mimpi yang indah-indah.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pengajian di United Kingdom

Thursday, January 14, 2010

Nafkah sementara lindungi keluarga teraniaya

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Salleh


MELAKUKAN aktiviti bersama keluarga bukti ibu bapa sentiasa mengutamakan keharmonian dalam rumah tangga. - Gambar hiasan


Kelulusan dana RM15 juta bukti kerajaan peka keperluan isteri dalam proses bercerai


APABILA perintah nafkah zahir secara automatik kepada bekas isteri dalam edah dan anak yang belum mampu menanggung diri sendiri dicadangkan beberapa tahun dulu, banyak yang menyokong idea itu. Malah, ramai yang menggesa supaya pihak yang berkenaan berbuat sesuatu agar saranan itu menjadi kenyataan seberapa segera, sama ada melalui undang-undang atau bantuan sementara oleh kerajaan.

Antara usul menarik ialah agar setiap keluarga Muslim mempunyai 'insurans nafkah' supaya jika berlakunya perceraian atau suami gagal memberi nafkah, isteri dan semua anak tidak teraniaya dan dizalimi. Walaupun masih banyak perkara yang perlu dimurnikan, hal itu tentulah bertujuan memberi keadilan kepada wanita dan anak kecil seperti diperintahkan agama.

Tidak dapat dinafikan, hari ini ramai isteri bekerjaya dan mampu menanggung keluarga jika suami gagal menunaikan tanggungjawab. Malah trend berpoligami untuk menghimpun nafkah daripada isteri juga mengundang perhatian pemimpin dan pertubuhan wanita di negara kita dan hakikat ini sedikit sebanyak mencalarkan keizinan syarak kerana poligami bertujuan membela wanita yang dalam kesusahan, bukannya menganiaya wanita.

Undang-undang Islam memutuskan nafkah adalah tanggungjawab setiap suami dan menafikan hak mana-mana lelaki untuk berumahtangga sekiranya tidak mampu memberi nafkah kerana perkahwinan yang menyebabkan isteri dizalimi wajib dihalang.

Suami adalah qawwam (pemimpin) yang bertanggungjawab terhadap isteri seperti disebut dalam firman Allah SWT dalam Surah An-Nisaa', ayat 34 yang bermaksud: "Golongan lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap wanita."

Adalah amat penting untuk mengetahui sama ada bakal suami atau keturunan sebelah bapanya mampu menunaikan tanggungjawab memberi belanja asas untuk kesenangan ahli keluarga yang bakal bertambah kerana jika suami tidak memberi nafkah, maka bapa atau datuknya wajib berbuat demikian.

Di atas budi bicara isteri yang merelakan suami untuk tidak menunaikan tanggungjawab, masalah ini akan lebih meruncing apabila menuju perceraian kerana isteri akan memohon nafkah yang tertunggak seperti dibenarkan dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri. Membayangkan bayaran itu yang mungkin mencecah ratusan ribu kerana nafkah bukan hanya wang untuk membeli keperluan dapur, malah juga tempat tinggal, pakaian, pembantu dan kemudahan asas lain, menyebabkan ramai suami tidak mahu melepaskan isteri kerana tidak mampu membayar hutang.

Proses memohon perceraian oleh isteri pula memakan masa selain memerlukan kerjasama suami yang kebanyakannya melarikan diri. Dalam tempoh inilah isteri dan anak digantung tidak bertali selain terpaksa pula membayar hutang yang dipusakakan oleh suami yang hilang. Jarang pula yang sanggup meminta nafkah daripada keluarga suami walaupun itu yang sepatutnya mereka lakukan.

Apabila Kabinet meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta untuk digunakan sebagai bayaran pendahuluan kepada mereka yang memperoleh perintah nafkah Mahkamah Syariah, ia bagaikan durian runtuh buat isteri dan anak yang tiada tempat bergantung. Walaupun ia bukan bonus tahunan, sedikit sebanyak dapat juga membantu mereka yang benar-benar perlukan wang untuk meneruskan hidup, sementara mendapat hak yang sepatutnya mereka peroleh tanpa diminta.

Perlu juga difahamkan nafkah bukan wajib selepas berlakunya perceraian saja, sebaliknya bermula saat pertama dilafazkan ijab dan kabul. Amatlah tidak wajar sekiranya suami hanya berkira untuk memberi nafkah atau isteri hanya ingin memohon nafkah selepas disahkan bercerai.

Ia akan merumitkan keadaan yang tidak akan menjadi selesa selepas pertelingkahan bermula. Bagaimanapun, bukan semua isteri layak diberi nafkah, melainkan yang taat pada suami kerana hak yang boleh dituntut oleh seorang isteri daripada suami mestilah seimbang dengan kewajipan ditunaikan terhadap suami.

Nafkah sementara ini memanglah tidak akan menyelesaikan masalah tetapi sebagai perlindungan daripada pemerintah yang peka terhadap keperluan golongan wanita dan kanak-kanak.

Perlu diingat, wanita dan kanak-kanak bukanlah manusia kelas kedua atau ketiga yang boleh dipinggirkan sesuka hati apabila tidak diperlukan sebaliknya berstatus sama rata sebagai manusia di sisi Allah dan wajib dimuliakan.

Justeru, menzalimi mereka adalah satu kekejaman yang tidak terlindung lagi. Kerajaan melalui mahkamah wajar mengisytiharkan suami yang gagal membayar hutang nafkah sementara kembali kepada kerajaan sebagai bankrap, agar menjadi iktibar untuk tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pengajian di United Kingdom

Thursday, January 7, 2010

Berjimat cermat bukan sampai jadi bakhil

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Salih


MANUSIA disaran berjimat cermat ketika berbelanja bagi mengelak pembaziran. - Gambar hiasan


Belanja secara sederhana, berhati-hati agar tidak menjadikan manfaat sebagai mudarat

DALAM menghadapi kegawatan ekonomi dunia, kita pula diseksa dengan harga gula yang naik mendadak. Pastinya, rakyat jelata bukan saja menghadapi masalah perbelanjaan, malah masalah lain yang timbul rentetan tekanan kewangan. Antara saranan yang klise supaya menerima hakikat itu ialah supaya berjimat cermat.

Ungkapan berjimat cermat dalam berbelanja bukanlah sesuatu yang baru didengari, malah ia adalah tuntutan dalam Islam, cuma tidak ramai yang mengendahkannya. Berjimat cermat ialah mempergunakan sesuatu dengan berhati-hati, penuh teliti dan bijaksana termasuk wang, masa dan peluang.

Saranan supaya sentiasa cermat dalam segala urusan bukanlah bermaksud supaya manusia bakhil dengan apa yang mereka ada tetapi berhati-hati agar tidak menjadikan manfaat sebagai mudarat.

Hari ini, ramai yang membazir kerana terlupa pesanan Allah SWT, mungkin kerana menganggap sikap boros adalah sifat semula jadi dan tiada siapa boleh menghalang, sedangkan bersederhana dituntut agama.

Allah SWT menyuruh kita berhati-hati dalam segenap perkara dan meninggalkan keinginan yang terlampau. Yang paling utama adalah bersederhana dalam berbelanja iaitu tidak boros dan tidak pula kedekut sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Furqan, ayat 67 yang bermaksud: "Dan orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak (pula) kikir dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian."

Yang perlu diingat ialah, kalau kita diberikan rezeki melebihi keperluan kita dan tanggungan, sedangkan pada masa sama, ada orang lain yang terlalu berhajat dengan keperluan hidup yang tidak mampu mereka peroleh, jangan pula kita menyorok tangan dengan tidak mengambil endah terhadap tanggungjawab sesama manusia.

Kadangkala kita hanyalah perantara yang dilantik oleh Allah SWT untuk membantu sesama makhluk. Tetapi tentunya kita berasa terkilan untuk membantu orang yang tidak tahu berjimat cermat dalam urusan hidupnya. Tiada wang simpanan untuk pendidikan anak, kehidupan pada usia tua, ketika kecemasan, ihsan kepada orang lain sebagai sedekah, untuk mengembangkan syiar agama dan sebagainya kerana terlalu bermewah dengan apa yang ada dan wang habis sekelip mata, sebaliknya tidak malu meminta wang dengan orang lain atas nama hutang untuk menanggung kehidupan.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Maka bergembiralah dan berharaplah terhadap apa yang mudah bagimu. Demi Allah, bukanlah kefakiran yang aku khuatirkan atas kamu, tapi aku mengkhuatirkan atas kamu kalau dibentangkan dunia untuk kamu sebagaimana yang pernah dibentangkan bagi orang sebelum kamu, lantas kamu berlumba-lumba merebutnya, lalu membinasakan kamu sebagaimana dulu membinasakan mereka." � Riwayat Bukhari dan Muslim.

Rasulullah sendiri tidak terlalu khuatir kalau-kalau umat Baginda akan menjadi fakir, tetapi Baginda takut kalau kita tertipu dengan dunia yang dihiasi dengan isinya yang sementara, yang semuanya hanyalah penyebab untuk kita ke neraka, dan itulah juga penyebab kita ke syurga, jika kita bijak membuat pilihan.

Cermat dalam membelanjakan wang dan masa adalah keutamaan umat Islam untuk dijadikan contoh kepada bukan Muslim, supaya mereka dapat menyedari bahawa moral yang sekecil itu boleh memberi untung yang besar kepada agama.

Tentulah umat Islam tidak rela terpedaya, kerana mereka diberikan petunjuk oleh Allah SWT agar menjauhi kesesatan. Orang yang terpedaya ialah orang yang tidak cermat dalam urusan dunia. Mereka tidak berjimat jika punya wang, mereka tidak rasa beruntung jika mempunyai masa, tidak berhati-hati apabila berbicara ketika orang ingin mendengar kata-katanya, tidak menghargai suami, isteri atau anak yang dianugerahkan Allah sehingga mempersiakan mereka, malah membazirkan semuanya tanpa rasa bersalah, akhirnya mereka tidak punya segala yang ada pada orang lain sama ada di dunia mahupun di akhirat.

Salman Al-Farisi pernah datang kepada Abu Bakar As Siddiq r.a. ketika beliau sakit dan menghadapi kematiannya. Lalu Salman berkata, "Berpesanlah kepadaku, wahai khalifah Rasulullah". Abu Bakar menjawab: "Sesungguhnya Allah membukakan dunia untukmu kerana itu janganlah sekali-kali salah seorang dari antara kamu mengambilnya kecuali sekadar bekal keperluannya saja."

Rasulullah dan sahabat menunjukkan contoh dan mengajarkan kepada umat Islam mengenai amalan berjimat cermat agar menjadi ikutan umat Islam seluruhnya sehingga ke akhir zaman demi kebajikan bersama.

Sifat boros berbelanja wang atau masa sememangnya patut dijauhi kerana ia adalah amalan syaitan. Allah berfirman dalam Surah Al-Israa' ayat 27 yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu sangat kufur kepada Rabb-Nya."

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pengajian di United Kingdom

Thursday, December 24, 2009

Akhlak penentu jatuh bangun tamadun

Nik Salida Suhaila Nik Saleh

Sifat sabar Rasulullah bolehkan syiar agama dapat dinikmati umat Islam seluruh dunia

ASAS yang dilakukan Rasulullah SAW ketika membina masyarakat Islam selepas peristiwa Hijrah ialah dengan membentuk akhlak mulia. Umum tahu bukan mudah menyatupadukan banyak hati, tetapi ia dilakukan Rasulullah dengan baik meskipun ada cabarannya kerana akhlak yang Baginda tonjolkan menjadi pengajaran paling berkesan berbanding keyakinan yang diberikan sahabat di sekelilingnya. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Ahmad dan Al-Hakim, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya aku diutus hanya untuk menyempurnakan akhlak yang mulia."

Sejarah membuktikan bahawa keperibadian yang mulia membentuk masyarakat yang cemerlang tamadunnya. Rahsia kejayaan Rasulullah SAW sehingga mampu membentuk barisan sahabat yang kukuh dan mantap dari segi sahsiah dan keperibadiannya adalah dengan menonjolkan akhlak yang mulia sejajar dengan keperibadian Muslim sebenar yang dipaparkan di dalam al-Quran. Tanpa apa-apa kepentingan di dunia, Baginda memimpin orang-orang kanannya dengan keluhuran Islam, ada wahyu Baginda sampaikan, ada kebuntuan Baginda sama berbincang.

Laba daripada inilah yang menjayakan sebuah kepemimpinan yang akhirnya dikagumi kerana integriti, bukan kepentingan diri.

Baginda tahu bahawa akhlak adalah asas pembinaan diri yang akan menentukan jatuh bangunnya agama dan tamadun, inilah sebab utama diutuskan Rasulullah SAW. Di dalam surah Al-Ahzab, Allah SWT berfirman di dalam ayat ke 21: "Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagi kamu. "Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud" "Tidak ada sesuatu yang lebih berat timbangannya selain daripada akhlak yang baik".

Satu cara untuk membentuk akhlak mulia ialah dengan pendidikan 'contoh teladan' yang baik. Setiap individu harus memiliki sifat amanah, dedikasi, komited pada tugas, ikhlas, sanggup berkorban masa dan tenaga, suka membantu serta membimbing dan berperanan sebagai model contoh. Antara aspek terpenting yang harus diambil perhatian ialah penampilan setiap individu Muslim, peribadi yang seimbang dalam pemikiran dan tindakan dan sikap terhadap konsep berilmu, beramal dan berakhlak yang sebenar.

Di antara akhlak mulia Rasulullah kepada sahabatnya ialah bersifat 'siddiq' atau benar. Sifat ini meliputi semua perbuatan, perkataan dan gerak hati. Tidak ada sekelumit pun dendam, niat jahat, bicara untuk menyakiti hati orang lain semata-mata atau melakukan sesuatu perbuatan yang bukan saja mengundang kesusahan dan penderitaan kepada orang lain tetapi juga kemurkaan Allah SWT.

Hari ini, kebanyakan kepincangan dalam urusan pentadbiran, hatta dalam institusi kekeluargaan sekalipun adalah disebabkan oleh sikap 'tidak benar' yang menjadi taruhan demi kemenangan di dunia.

Selain itu, sabar dalam semua keadaan adalah perkara yang paling mudah tetapi sukar dilakukan sekiranya hati kita tidak reda terhadap qada dan qadar Allah. Sifat sabar dibentuk oleh Rasulullah sehingga dikagumi sahabat dan musuh ketika hayatnya, bahkan tidak tergambar oleh kita hari ini kesabaran Rasulullah sebenarnya yang menyelamatkan agama dan usaha syiar Baginda dan akhirnya dapat dinikmati oleh seluruh Muslim pada hari ini.

Menghadapi fitnah dan ancaman musuh yang datang dari segenap ceruk tentulah sukar ditepis, apatah lagi fitnah terhadap Rasulullah, tetapi, daripada api yang asalnya sukar dihidupkan, fitnah akhirnya menjadi bara yang tidak padam-padam. Sehingga ke hari ini Rasulullah SAW masih menjadi bahan jenaka dan cacian golongan kuffar, tetapi Islam tetap rendang menaungi, kerana sikap sabar yang Baginda tinggalkan menjadi 'tuan' kepada khalayak nafsu.

Satu sifat yang mulia yang ditonjolkan oleh Rasulullah juga ialah sifat pemaaf terhadap kesilapan yang dilakukan sahabat dan musuh serta mudah bertolak-ansur dan tidak pernah marah melainkan kesalahan itu dilakukan kepada Allah SWT. Sifat ini tentulah pernah dilakukan oleh semua orang tetapi ada kala ia tidak dapat dilakukan dalam semua atau setiap kesalahan. Tetapi Rasulullah tidak pernah melemahkan diri dengan menghukum orang lain ataupun tenggelam oleh rasa marah yang mengawal akal. Ketenangan Baginda juga menggambarkan peribadi yang baik dan menunjukkan personaliti yang disukai ramai.

Rasulullah mendidik sahabat menurut tatacara akhlak yang ditentukan Allah dan itulah yang membentuk sebuah masyarakat Islam yang begitu unggul sifatnya, beriman dan bertakwa serta cenderung dan mencintai kebaikan. Kegagalan dalam membentuk masyarakat yang berakhlak mulia samalah seperti mengakibatkan kehancuran pada bumi ini, seperti mana firman Allah SWT di dalam Surah Al-Rumi ayat 41 yang bermaksud: "Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia. (Timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merosakkan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)".

Dalam menghadapi arus kemajuan dan cabaran abad baru, keperluan terhadap pembentukan akhlak mulia semakin mendesak memandangkan masalah sosial timbul selari dengan perkembangan ekonomi dan kepesatan kemajuan dunia. Masyarakat dan bangsa yang memiliki akhlak mulia adalah penggerak ke arah pembinaan tamadun dan kejayaan yang diredai oleh Allah SWT. Seperti kata pepatah seorang penyair Mesir, Syauqi Bei: 'Hanya saja bangsa itu kekal selama berakhlak. Bila akhlaknya telah lenyap maka lenyap pulalah bangsa itu'.

Penulis ialah Pensyarah Kanan di Universiti Sains Islam Malaysia

Thursday, December 3, 2009

Berdakwah kepada Orang Asli tuntut kesabaran

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh


BERDAKWAH kepada Orang Asli adalah satu kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan walaupun banyak keutamaan lain yang harus didahulukan. - Gambar hiasan


Wajib bagi orang Islam mengutuskan nasihat sesama insan, terutama yang memerlukan

PENEMPATAN 200 pegawai agama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di semua perkampungan Orang Asli di negara ini bagi memastikan masyarakat itu mengenali agama Islam dan cara hidup Islam yang sebenar boleh memperkasakan program dakwah yang sudah lama dilakukan di negara ini.

Ia menjadi agenda dakwah yang utama di era globalisasi selain tuntutan mengembalikan akidah dan akhlak yang tercalar di kalangan umat Islam moden, yang kurang mengamalkan cara hidup Islam kerana pengaruh sosial dan budaya yang mengatasi syarak.

Berdakwah kepada Orang Asli adalah satu kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan walaupun banyak keutamaan lain yang harus didahulukan. Setelah mereka menyatakan syahadah, mereka perlu dibimbing dan dibantu, tambahan pula cara hidup asal yang jauh menyimpang daripada agama baru yang mereka anuti sudah sebati dalam diri mereka dan menjadi ikutan sejak berzaman lamanya.

Pengalaman berkampung di salah sebuah pos Orang Asli di Gua Musang lebih 10 tahun lalu mengingatkan penulis mengenai tugas wajib setiap individu Muslim dalam mengutuskan nasihat sesama insan, lebih-lebih lagi yang amat memerlukan panduan dan pedoman dalam melayari kehidupan berpaksikan agama yang satu.

Merentasi perjalanan jauh dari Kuala Lumpur ke destinasi yang asing bagi penulis menimbulkan tanda tanya kerana penganjur membawa bekalan minyak masak, beras, susu tepung, gula, sabun mandi, mancis, sayur-sayuran, ikan bilis, rempah ratus dalam jumlah yang begitu besar.

Telahan penulis, ia untuk diagihkan kepada setiap keluarga Orang Asli yang akan kami lawati. Dengan menaiki trak milik Kementerian Kesihatan, kami meredah jalan tanah merah yang berdebu.

Perjalanan jauh ke dalam hutan tebal menggusarkan tetapi pemandu kenderaan yang sudah acap kali merentas denai yang sama meyakinkan penulis bahawa tiada apa yang perlu dibimbangkan.

Sebaik tiba, deretan Orang Asli mula datang menyambut kami yang kali pertama mengunjungi mereka, mengeratkan talian kasih dari jauh di kota batu ke penempatan yang terlalu luar biasa untuk kami. Kebanyakan mereka datang untuk meminta sabun dan mancis, tetapi kami dilarang mengagihkannya.

Namun, mereka diminta supaya datang sebelum Maghrib ke surau yang dibina di setiap pos untuk kemudahan 'saudara baru' menunaikan solat dan mengadakan aktiviti keagamaan. Surau itu jugalah menjadi tempat tinggal kami sepanjang seminggu berada di pos Orang Asli. Walaupun tiada kemudahan seperti surau lain, kami cukup teruja memanfaatkan setiap saat bersama mereka, terutama yang belum menerima hidayah Allah SWT, tetapi tetap ingin tahu mengenai agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW ini.

Aktiviti berbentuk solat jemaah, membaca Muqaddam, qiyamullail dan Fardhu Ain menjadi rutin setiap kali Orang Asli dikunjungi pegawai agama atau pelajar institusi pengajian tinggi, yang mencuri peluang menunaikan kewajipan berdakwah terhadap saudara baru sewaktu cuti semester. Biarpun sukar berkomunikasi kerana bahasa berbeza, ia tidak sedikit pun membuatkan penulis berputus asa, sebaliknya masa yang terlalu singkat menjadi sebab untuk tidak mensia-siakan peluang yang ada.

Aktiviti paling menyeronokkan buat mereka ialah sukaneka, kerana mereka akan diberikan hadiah berupa hamper berisi makanan dan minuman yang langsung tidak pernah mereka jamah sebelum ini.

Pada hari terakhir, penulis dan teman sama-sama mengadakan kenduri kesyukuran di atas silaturrahim yang terbina dan ia sangat menyeronokkan, apabila Orang Asli di situ datang membawa pisang hutan untuk dimasak lemak bersama terung pipit dan buah-buahan yang mereka tanam.

Walaupun jauh beratus batu, perjalanan pulang terasa amat singkat apabila kami saling menghimbau kenangan sewaktu berada di pos Orang Asli yang tidak pernah terbayang sebelum ini, lebih-lebih lagi apabila kami ke sungai untuk mandi dan mengambil wuduk sebelum azan subuh berkumandang.

Yang paling manis, apabila beberapa orang saudara baru dapat menghafal beberapa surah pendek yang diajar sepanjang kami berada di sana.

Pegawai agama yang perlu bermukim di pos-pos Orang Asli tentulah luar biasa semangat dakwahnya kerana tidak mudah mengarifkan mereka yang sifar langsung mengenai agama ini, tambahan pula ada di kalangan Orang Asli hanya memahami bahasa mereka sahaja dan juga fobia terhadap kehadiran'orang luar'.

Bagaimanapun, tiada apa yang mustahil dalam urusan dakwah kerana menyeru kepada haq adalah satu kewajipan, bukannya pilihan.

Thursday, November 12, 2009

Persefahaman suami isteri pupuk rumah tangga bahagia

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh
salidasuhaila99@yahoo.com

BANYAK kali penulis berkongsi rasa dengan isteri yang ditinggalkan suami, sering ditinggal suami dan akan ditinggal suami, penulis selalunya akan menasihati mereka supaya berubah, bersabar dan berdoa untuk kebahagiaan yang akan muncul juga akhirnya.

Insaf bahawa syurga dan neraka itu di bawah tapak kaki suami, kebanyakan mereka tidak menolak untuk menjadi lebih baik bagi suami. Jika mereka kekurangan, ada yang menyesal kerana buruk sangka, tidak kurang juga yang nekad untuk berpisah.

Yang paling membuatkan hati tersentuh ialah ada isteri merayu supaya tidak diceraikan suami sehinggakan sanggup menjadi orang gaji kepada isteri baru suami, semuanya demi zuriat yang mereka kongsi.

Hari ini banyak rumah tangga runtuh disebabkan pihak yang tidak mempunyai status dalam keluarga, bukan kerana suami, isteri mahupun anak, tetapi orang lain yang ingin merampas kebahagiaan sesebuah keluarga. Akibat tidak memahami poligami, sama ada suami mahupun isteri, maka mereka tidak mahu berkongsi kasih.

Apa yang berlaku, suami terpaksa membuat pilihan antara dua kerana cintakan nafsu, isteri yang sah dan anak ditinggalkan juga. Itulah yang menyedihkan, apabila ramai wanita teraniaya kerana berkahwin, sedangkan perkahwinan itu boleh menenangkan jiwa, mententeramkan hati dan memberi kedamaian batin kerana dapat hidup bersama dengan pasangan yang saling mengasihi, menyayangi dan saling melengkapi antara satu sama lain dengan penuh akrab.

Sudah tentu orang yang berakhlak baik tidak cuba memporak perandakan rumah tangga orang lain. Apatah lagi mendoakan perceraian, agar dapat mengahwini dengan bekas suami atau isteri orang. Rasulullah SAW melarang keras perbuatan itu melalui hadis Imam Bukhari dan Abu Hurairah: "Jangan kalian saling menipu dan jangan seseorang membeli barang yang akan dibeli saudaranya, jangan pula orang mukim membeli barang daripada orang kampung. Juga tidak pula seseorang melamar wanita yang sudah dilamar saudaranya. Seseorang wanita itu tidak boleh mengharapkan perceraian wanita lain dengan tujuan ia dapat menggantikan tempatnya."

Hari ini, kegagalan rumah tangga tidak menjadi aib kepada masyarakat, malah ada yang berbangga meruntuhkan `masjid` yang dibina. Hakikat ini mungkin kerana perceraian bukan lagi perkara luar biasa sebaliknya berlaku kepada sesiapa saja. Suami yang tidak beriman melafazkan talak dengan begitu mudah semata-mata kerana ingin berkahwin lain dan meninggal-kan segala masalah yang timbul sesudahnya.

Sekiranya ingin berpoligami seperti dituntut sunnah, perkara seperti ini tidak akan berlaku kerana antara tujuan poligami ialah untuk membantu wanita yang tiada perlindungan, lebih-lebih lagi perlindungan agama dan mereka ini pastinya dialu-alukan menjadi ahli keluarga yang sedia ada.

Sesebuah rumah tangga yang terbina dengan kasih sayang dan cinta antara suami dan isteri pastinya tidak akan tergugat andai ditimpa apa juga masalah pun. Kegagalan komunikasi yang memungkinkan keretakan perhubungan juga tidak akan timbul sekiranya suami tahu peranan sebagai seorang ketua dan pembimbing dalam rumah tangga.

Mana mungkin suami tidak bertegur sapa dengan isteri, sedangkan suara hati perlu diluahkan melalui senyuman dan kata-kata yang indah. Teguran dan nasihat yang baik juga perlu sentiasa disampaikan kepada isteri supaya bimbingan berterusan terlaksana seperti diperintahkan Allah SWT ke atas setiap suami.

Justeru, sekiranya suami dan isteri saling memahami peranan masing-masing seperti digariskan oleh agama, sudah pasti tiada masalah berlaku dalam rumah tangga, apatah lagi terjatuh cinta dengan orang lain sedangkan sudah ada pasangan yang halal didampingi.

Paling penting, jangan ada yang mengharapkan supaya rumah tangga yang dibina orang lain runtuh akhirnya kerana nafsu serakah yang jahat. Sebaiknya, doakan kerukunan rumah tangga sesiapa berpanjangan kerana sesungguhnya tiada tempat paling bahagia di dunia ini melainkan di dalamnya ada suami, isteri dan anak.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang dan Syariah, Universiti Sains Islam Malaysia

Thursday, June 4, 2009

Ilmu kekeluargaan wajar diajar di sekolah

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Salleh
salidasuhaila99@yahoo.com

Pendidikan dapat elak remaja terbiar, tertekan akibat rumah tangga bergolak

PENDIDIKAN mengenai rumah tangga dan kekeluargaan tidak boleh dianggap asing dalam sistem pendidikan negara dan ia wajar dijadikan sukatan pelajaran di sekolah menengah sama ada diserapkan dalam beberapa mata pelajaran sedia ada seperti Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Sains, Biologi, Kesihatan dan Bahasa Melayu atau sebagai mata pelajaran baru.

Bertunjangkan perkembangan manusia, perhubungan, perkahwinan dan keluarga, kemahiran kendiri, kesihatan dan tingkah laku seksual dan masyarakat serta budaya, pendidikan seksualiti dan ilmu kekeluargaan boleh menghindari 'jahil ilmu' sehingga menyebabkan ramai gadis remaja terjebak zina walaupun mendakwa dirogol.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Isra', ayat 32 bermaksud: "Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu ialah satu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang amat buruk."

Antara perlu dijawab dalam isu ini ialah adakah remaja belasan tahun yang masih bersekolah mengamalkan seks bebas kerana jahil ilmu kekeluargaan? Adakah mereka tidak mengetahui kesan hubungan seks tanpa nikah atau hukumnya menurut agama yang dianuti?

Tidakkah pernah ibu bapa mengajar anaknya bahaya gejala sosial yang boleh menyebabkan zina dan melahirkan anak luar nikah? Jika peranan ini perlu dimainkan pendidik yang rasmi di institusi pendidikan, tentu banyak pula implikasinya.

Walaupun boleh diserapkan dalam mata pelajaran lain, pendidikan perkahwinan dan kekeluargaan lebih baik diajar dalam sukatan pelajaran yang khusus tanpa menumpang mana-mana subjek sedia ada. Mata pelajaran berkenaan adalah bab luas dan memerlukan masa panjang. Sekiranya berlaku timbunan bab dalam garis panduan mata pelajaran, kemungkinan skopnya tidak menyeluruh.

Banyaknya kes zina dan rogol di kalangan pelajar seawal usia 11 tahun sungguh mengaibkan dan menjatuhkan maruah golongan dewasa, lantaran kegagalan menghalang mereka daripada berkelakuan sedemikian rupa.

Mereka mungkin ingin mencuba atau kerana tidak arif dosa dan pahala, malah mungkin kerana kurang memahami ilmu kekeluargaan kerana tiada yang mendidik mereka sehingga tidak sedar wanita dicipta untuk menjadi isteri dan ibu yang melahirkan generasi rabbani, yang menyenangkan suami, bukan pemuas nafsu yang tidak halal pada awal usia remaja dan belia.

Dalam Surah Ar Rum, ayat ke 21 Allah SWT berfirman bermaksud: "Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda bagi kaum berfikir.'

Pembelajaran formal dan khusus amat penting dalam membentuk peribadi lebih harmoni kepada setiap generasi. Pendidikan seksualiti dan ilmu kekeluargaan adalah dua cabang ilmu berbeza. Walaupun kesesuaian diperkenalkan kepada pelajar peringkat menengah tidak seiring, ia tidak boleh dipinggirkan langsung.

Ilmu kekeluargaan dianggap lebih luas dan amat penting diperkenalkan sebagai sukatan mata pelajaran wajib. Antara lain menekankan aspek pembinaan keluarga mengikut lunas agama, faktor asas membina sebuah keluarga harmoni, ciri-ciri perlu ada dalam mempertahankan kebahagiaan keluarga dan tanggungjawab setiap ahli keluarga dalam menjamin keseimbangan toleransi dan kepercayaan menjurus kepada kepentingan institusi keluarga, perkahwinan dan komitmen sepanjang hayat serta keibubapaan.

Kes perceraian semakin meningkat dewasa ini adalah rentetan jalan pintas yang diambil oleh pasangan suami isteri dalam menyelesaikan konflik keluarga. Segala rasional dan diplomasi dianggap sesuatu yang remeh temeh, tambahan pula kebergantungan hidup kepada suami semakin berkurangan.

Isteri mula menafsir tanpa ketua keluarga, mereka masih boleh meneruskan hidup, malah lebih baik. Masalah rumah tangga mungkin boleh diselesaikan dengan perceraian, tetapi masalah pembesaran dan masa depan anak, juga kesan psikologi lantaran perebutan kuasa pemilikan ke atas mereka di samping proses pertumbuhan minda yang kurang sihat akan menzalimi kehidupan anak itu sendiri.

Konflik rumah tangga antara ibu bapa sering kali dilihat sebagai masalah yang tidak boleh ditangani di rumah. Walhal, anak adalah teras paling penting dalam menjamin keharmonian rumah tangga. Persoalannya, dapatkah anak memainkan peranan sepatutnya dalam membantu menyelesaikan konflik antara ibu bapa sekiranya tidak dibekalkan ilmu sepatutnya.

Mengenai ilmu perkahwinan, masyarakat hari ini mempunyai pengetahuan yang sangat cetek mengenai hukum mendirikan perkahwinan, memelihara malah berkaitan dengan pembubarannya. Ekoran pemahaman yang amat sedikit ini, mungkin ada suami mentalakkan isteri tetapi kerana urusan pendaftaran cerai tidak dilakukan seperti termaktub dalam peruntukan Undang-Undang Keluarga Islam, maka mereka tetap meneruskan kehidupan sebagai suami isteri walaupun tiada niat dan keinginan untuk rujuk.

Pengetahuan asas hukum perkahwinan perlu dimaklumi setiap orang kerana ia membabitkan nasab bakal menyambung generasi. Kursus praperkahwinan yang disyaratkan kepada bakal pengantin pula sebenarnya tidak mencukupi dan tempoh kursus yang amat singkat hanya mengizinkan ilmu asas menghadapi perkahwinan didedahkan. Ilmu kekeluargaan sebenarnya melangkau peranan yang harus dimainkan suami dan isteri.

Tidak boleh dinafikan, ilmu kekeluargaan harus disebatikan dalam setiap diri individu. Ia adalah ilmu paling mudah diamalikan memandangkan setiap pelajar mempunyai keluarga. Melalui pendidikan seksualiti dan kekeluargaan saja setiap individu diberi bimbingan secara rasmi mengenai amalan kehidupan, hak dan tanggungjawab yang tergalas di bahu mereka sebagai ahli keluarga dan masyarakat yang baik.

Bangunkan mentaliti rakyat Malaysia hari ini bahawa keluarga teguh adalah asas negara utuh. Rumpun keluarga harmoni dan berteraskan agama menjadi paksi kukuh bangsa bermaruah tinggi.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Thursday, May 28, 2009

Islam garis langkah terbaik selesai konflik perkahwinan

Oleh Nik Salida Suhaila

Pasangan harus mengetahui punca krisis, urus perdamaian sebelum memilih untuk bercerai

HARI ini, kegetiran rumah tangga bukan saja berlaku kepada pasangan baru berkahwin, tetapi juga yang hampir melewati setengah abad. Puncanya, tiada persefahaman, akibat masalah yang mungkin remeh-temeh atau tiada masalah langsung, tetapi itulah berlaku apabila jodoh tidak berpanjangan.

Ada yang mengadu suami jatuh cinta lagi dan tidak mampu membahagi kasih, lalu isteri terpaksa memberi laluan kepada cinta baru suami, dan anak pula tiada pilihan melainkan reda dengan kehilangan seorang ayah yang mereka dambakan kasih sayangnya sehingga dewasa.

Keluarga adalah institusi paling kecil, tetapi utama dalam pembinaan tamadun. Asas kukuh menjadi tunjang kepada peradaban yang sihat dalam sesebuah masyarakat. Oleh itu, keutuhan dan kerukunan perlu dicapai setiap unit keluarga bagi membolehkan membina tamadun manusia. Pincang institusi itu bermakna akan ada pelbagai bentuk kerosakan di muka bumi.

Permulaan untuk membina unit asas institusi kekeluargaan adalah perkahwinan. Antara objektif perkahwinan, menghalalkan perhubungan antara lelaki dan wanita, memenuhi fitrah kehidupan manusia mengingini kasih sayang serta ketenangan terhasil daripada ikatan yang suci.

Ia juga untuk memanjangkan generasi sedia ada dengan pertambahan zuriat keturunan sebagai penyambung tugas dan tanggungjawab sebagai khalifah Allah di bumi di samping mengelakkan masalah sosial yang semakin meruncing akibat hubungan terlarang antara manusia.

Asas kepada perkahwinan ialah rasa cinta, kasih sayang, melaksanakan tanggungjawab, saling mempercayai, hormat menghormati, belas kasihan dan bertolak ansur. Persoalan mengenai penganiayaan dan kezaliman terhadap wanita rentetan daripada perkahwinan tidak timbul langsung dalam Islam kerana isteri mempunyai hak mendapat kebahagiaan. Jika hak itu dinafikan oleh suami, isteri berhak menuntut perceraian.

Antara penyebab berlakunya konflik dalam rumah tangga adalah tekanan ekonomi, masalah komunikasi, memberi ruang kepada kehadiran orang ketiga, penyakit atau kematian, kesunyian dan tidak menyandarkan hubungan suci itu kepada tiang agama.

Konflik sebegini tidak seharusnya diakhiri dengan perceraian. Lagi pun, talak perkara paling dibenci Allah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Perkara halal yang paling dibenci oleh Allah ialah perceraian." (Hadis riwayat Abu Dawud)

Langkah mengembalikan hubungan yang tegang seperti sedia kala adalah dengan memulakan sebuah kehidupan baru. Pasangan harus mengetahui penyebab kepada krisis berlanjutan. Jalan penyelesaian juga mesti dibincangkan bersama dan jangan melengahkan masa untuk memulakan sistem pembinaan semula perkahwinan yang bahagia.

Islam menganjurkan setiap individu Muslim hidup bahagia dan jika ada masalah yang mengganggu keharmonian, ia hendaklah diselesaikan seberapa upaya. Untuk menguruskan perdamaian akibat perbalahan antara pasangan, pelbagai cara boleh digunakan seperti mendapatkan nasihat daripada orang yang lebih dihormati.

Pasangan juga perlu berbincang dari hati ke hati dengan meluahkan apa terbuku bagi mengelakkan sebarang salah faham yang boleh berlarutan. Tetapi, ini hanya boleh berlaku jika masih wujud perasaan hormat antara suami isteri, jika sebaliknya, maka tiada perdamaian 'hati' yang boleh diusahakan lagi.

Selain itu, suami boleh memulihkan keadaan dengan tujuan memberi pengajaran mungkin dalam bentuk teguran, amaran atau pukulan yang tidak menyakitkan. Jika salah satu pihak cuai menjalankan tanggungjawab menyebabkan konflik dalam perkahwinan, suami atau isteri boleh membuat aduan dan tindakan mahkamah. Jika mahkamah menjatuhkan hukuman, maka hukuman ini bolehlah juga dikatakan sebagai amaran.

Tiada perhatian daripada ibu bapa yang bermasalah mengakibatkan anak mencari kebahagiaan lain, jurang komunikasi pula menidakkan ajaran dan bimbingan dalam sebuah keluarga, akhirnya wujudlah anak menagih perhatian di jalanan.

Asalnya, dulu mereka melepak untuk menghabiskan masa terluang dan ia sangat menyeronokkan, tetapi hari ini mereka menjadi samseng jalanan untuk membina 'jati diri' menghadapi kemungkinan kemudian hari. Akhirnya rumah tangga bermasalah menjadi semakin punah kerana ibu bapa tidak tegar menghadapi kerenah anak yang lebih mengusutkan.

Akhir-akhir ini juga banyak konflik perkahwinan membawa kepada krisis yang besar sehingga pasangan bertindak untuk tinggal berasingan. Ia berlaku mungkin disebabkan pasangan tidak langsung cuba menyelesaikan masalah.

Pasangan juga mungkin boleh meredakan kemarahan dengan berjauhan antara satu sama lain dalam tempoh tertentu. Ia tidak digalakkan kerana boleh menyebabkan masalah lain yang timbul seperti nusyuz, pengabaian nafkah zahir dan batin.

Islam membenarkan pengasingan sementara jika ia adalah jalan terbaik untuk meredakan keadaan dan melindungi mana-mana pihak daripada kemudaratan lebih besar. Apabila seseorang lelaki bersumpah untuk menjauhkan diri daripada isterinya, al-Quran menjelaskan bahawa mereka perlu diberi tempoh untuk bertenang dan dapat berfikir semula secara waras.

Firman Allah bermaksud: "Kepada orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri mereka diberikan tempoh empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 226)

Bukan tiada caranya untuk menangani konflik rumah tangga, tetapi jika tidak kembali kepada ajaran-Nya, tentulah masalah menjadi semakin runcing, suami mesti sentiasa menjadi pemimpin, isteri setia dibimbing, anak pula jangan dikesamping.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Thursday, May 14, 2009

Manusia rugi jika umur panjang tidak dimanfaat

Nik Salida Suhaila Nik Salleh

NIKMAT kehidupan yang dikurniakan adalah gambaran bahawa Allah amat mengasihi dan menyayangi hamba-Nya. Kesusahan hilang dengan kesenangan, kejahilan lenyap dengan pengetahuan, kesakitan terhapus dengan kesihatan dan kegelapan berganti gemerlapan.

Terlalu banyak nikmat dilimpahkan kepada isi dunia, tinggal lagi kita memanfaatkan setiap satunya dengan harapan untuk mendapat keberkatan daripada-Nya. Ada manusia cuba menghitung nikmat, membandingkannya dengan kesusahan hidup dihadapi, lalu ternyata kemewahan Allah kurniakan tidak terkira dengan jari.

Nikmat melihat, mendengar, merasa, berfikir malah berkongsi kehidupan dengan penuh kasih sayang sesama makhluk Allah lainnya tidak akan diperoleh jika tiada kuasa yang menganugerahkan. Tentulah kita tidak boleh menyesali kepayahan dan kesukaran hidup di dunia, malah anggaplah ada hikmah menanti sementara iman diuji, tetapi berusahalah untuk mencari kesenangan.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu, tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah An-Nahl, ayat 18)

Ada kala kita tidak sedar apa yang dimiliki hari ini adalah nikmat bukannya sedia ada untuk setiap manusia kerana ada yang tidak dapat merasainya. Sebab itulah kita tidak harus lupa mensyukuri kemurahan hati Allah menganugerahkan kehidupan lengkap buat makhluk-Nya, cuma ada kemudahan yang Allah sediakan tidak dapat dimanfaatkan akibat sikap manusia tidak tahu menghargai nikmat.

Sikap manusia yang mudah lalai dan lupa juga menyebabkan nikmat dikurniakan tidak memberi apa-apa faedah kepada manusia sendiri. Usia yang panjang sepatutnya diisi dengan kebajikan dan faedah kepada diri sendiri serta orang lain tetapi ada pula menghabiskan kehidupan dari awal hingga saki bakinya dengan judi dan zina.

Tidak pula terkilan dengan kezaliman serta kejahatan meragut dan merompak, bahkan ada kehidupan orang lain yang terkesan dengan kejahilan itu.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak berganjak kedua-dua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga ia disoal mengenai umurnya pada perkara apakah ia habiskan, dan ilmunya untuk apakah ia gunakan, dan harta bendanya dari manakah ia peroleh dan pada apakah ia belanjakan, dan juga tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan dan kecergasannya.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Adanya tenaga dan akal, gunalah untuk mencari rezeki halal. Apa salahnya berasa nikmat yang Allah berikan percuma untuk dilaburkan bagi mendapat nikmat lainnya. Buat orang yang berhati-hati menjaga amanah Allah, mereka tidak akan alpa dengan kemewahan dunia kerana mereka tahu semuanya adalah pinjaman saja.

Sebaliknya, mereka berusaha meningkatkan limpahan rahmat dan nikmat itu supaya nikmat Allah yang ada padanya dapat dikongsi dengan orang lain yang kurang berkemampuan, memanfaatkan nikmat yang Allah kurniakan kerana pelbagai sebab.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan ingatlah bahawa kehidupan dunia ini meliputi segala kesenangan dan kemewahan, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan: Dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya, kalaulah mereka mengetahui hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat.” (Surah al-Ankabut, ayat 64)

Orang yang tidak melupakan hari akhirat walaupun dunia ini menjanjikan seribu kemewahan adalah orang yang tidak membazirkan nikmat Allah dengan keangkuhannya sebagai manusia. Memusnahkan imbangan alam, mengotorkan sumber air, membiarkan tanah tanpa tanaman dan menzalimi sesama makhluk Allah lainnya untuk nikmat sementara adalah petanda orang yang tidak mengetahui hakikat kurniaan nikmat dunia untuk menuju kehidupan akhirat yang lebih senang dan mewah.

Sambutan ulang tahun kelahiran saban tahun diraikan haruslah dijadikan kayu pengukur sama ada nikmat usia dikurniakan benar-benar kita hargai. Antaranya, jantung yang masih berdegup, adakah kita terus menjadi hamba yang taat atau ingkar, adakah kita menjaga hubungan sesama insan dengan baik atau kita menyusahkan orang lain, adakah kita banyak memanfaatkan kurniaan Allah atau kita membinasakannya dan adakah kita berbaloi diizinkan terus bernafas?

Daripada Abdul Rahman bin Abi Bakrah daripada ayahnya, seorang lelaki berkata: “Wahai Rasulullah! Siapakah sebaik-baik manusia? Berkata Rasulullah: Sebaik-baik manusia ialah orang yang dipanjangkan umurnya dan umur itu dipergunakan untuk berbuat kebaikan. Berkata lelaki itu lagi: Siapakah sejahat-jahat manusia? Rasulullah berkata: Sejahat-jahat manusia ialah orang yang dipanjangkan umurnya tetapi digunakannya untuk berbuat kejahatan.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Usia yang panjang adalah satu nikmat tidak ternilai, dengannya kita terus dapat beribadat, merasai kehidupan, berkongsi kebahagiaan dan merencana masa depan. Jika nikmat usia diambil semula pemiliknya, maka kita tiada peluang untuk terus menjadi hamba yang taat dan bersyukur.

Sebab itulah jika kita beringat bahawa setiap yang bermula itu ada akhirnya, maka usia adalah satu peringatan sangat bermakna. Firman Allah yang bermaksud: “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh yang sudah ditetapkan, maka apabila datang tempohnya, tidak dapat dikemudiankan walau sesaat pun dan tidak dapat pula mereka didahulukan.” (Surah al-‘Araaf, ayat 34)

Justeru, jika kita mengerti bahawa nikmat Allah yang satu ini tidak boleh dirayu jika Allah menghendakinya semula, apalah daya kita. Sedangkan bertahun-tahun lamanya Dia berikan kita peluang dan ruang untuk memanfaatkannya demi kehidupan lebih abadi.

Janji kosong juga tidak mampu menukar qada’ dan qadar-Nya, dan kita sepatutnya tersedar dari awal dan tahu bahawa kematian adalah pengakhirnya. Sedang pintu taubat sentiasa terbuka, janganlah kita longlai usaha untuk menjadi insan.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan mereka menjerit-jerit di dalam neraka itu sambil merayu: Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari azab ini, kami akan mengerjakan amal soleh yang lain dari apa yang kami pernah kerjakan. Lalu Allah menempelak mereka, bukankah Kami sudah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat? Dan kamu pula sudah didatangi oleh Rasul Kami yang memberi amaran. Oleh itu, rasalah azab seksa kerana orang yang zalim tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat memberikan pertolongan.” (Surah Faathir, ayat 37)

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Thursday, May 7, 2009

Kebersihan jiwa mampu tangani kemusnahan alam

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh
salidasuhaila99@yahoo.com


LANGKAH pencegahan wabak Influenza A turut dilakukan di dalam kelas. - Gambar hiasan


Influenza A berlaku angkara alpa tanggungjawab sebagai khalifah

KEHIDUPAN dan kematian adalah ketentuan Allah. Dalam dunia serba fana, semua ada kepada yang berusaha, mampu memiliki apa dianugerahkan kepada makhluk semesta tetapi yang selalu dilupa ialah kehidupan dunia hanya sementara, tiba masanya perlu meninggalkan segala-galanya. Tambahan, apa yang ada di dunia ini menyebabkan manusia lalai dan lupa. Justeru, Allah mengutuskan Rasul dan Nabi sebagai penyampai peringatan daripada-Nya supaya manusia yang alpa kembali kepada fitrah. Ada yang menentang, ada juga yang taat.

Apabila ditimpa bencana dan wabak menguji manusia, ia bukan bertujuan menghukum atau mendera atas kesalahan dilakukan tetapi sebagai amaran kita melewati batas dan harus sentiasa beringat ujian untuk menguji keimanan.

Oleh itu, orang yang mengakui hakikat keesaan Allah harus menerima qada dan qadar di samping meningkatkan ketahanan diri daripada tipu daya serta berusaha memantapkan diri kerana setiap ujian itu ada hikmah di sebaliknya.

Namun, kesombongan juga boleh membuatkan manusia menghadapi bencana sebagai tanda kita harus akur dan mematuhi perintah-Nya serta insaf terhadap perilaku yang mencabar kekuasaan-Nya.

Firman Allah bermaksud: "Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia. Timbulnya yang demikian kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka sudah lakukan supaya mereka kembali insaf dan bertaubat." (Surah ar-Ruum, ayat 41)

Benar juga bahawa aksi dan lagak manusia adalah permainan serta hiburan. Firman Allah bermaksud: "Dan tidak dinamakan kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan melalaikan." (Surah al-An'aam, ayat 32)

Hari ini dunia digemparkan dengan wabak Influenza A yang virusnya begitu rakus menyerang manusia di beberapa negara dan ia penyakit berjangkit yang boleh menyebabkan kematian. Sesiapa saja boleh terdedah kepada virus itu walaupun pelbagai cara dilakukan untuk mengelak ia berlarutan. Langkah pemantauan serta usaha awal menghadapi kemungkinan dijangkiti wabak dilakukan dengan pantas dan berkesan.

Namun, kita trauma dengan apa yang sedang berlaku sehingga selesema dan demam biasa pun menimbulkan kerisauan yang bukan sedikit. Itulah akibat tidak menjaga kebersihan dan tidak adil terhadap imbangan alam. Ia boleh dielak dengan pencegahan seperti mengelak kekotoran di ladang ternakan, tidak makan makanan memudaratkan kesihatan serta mengamalkan hidup berhemah. Firman Allah bermaksud: "Dan Allah mengasihi orang yang membersihkan diri mereka zahir dan batin." (Surah at-Taubah, ayat 108)

Dalam Islam, membersihkan diri tidak cukup dengan yang zahirnya saja, tetapi mencakupi kesucian akidah daripada syirik dan kufur. Perbuatan menjurus kepada mempercayai kuasa lebih besar daripada Allah menandakan akidah sudah tercemar dengan anasir mengganggu kesucian hati serta jiwa.

Kita juga harus membersihkan diri daripada dikotori nafsu yang bersifat zalim kepada diri serta orang lain. Nafsu memusnahkan hidup manusia dan membuatkan mereka ketagih kehidupan sia-sia sedangkan mereka tahu ada kehidupan sesudah itu yang kekal abadi.

Selain itu, kita boleh mengelakkan wabak dan bencana yang menghancurkan umat Islam dengan menjaga kebersihan akal daripada terlalu bebas sehingga mengetepikan wahyu dan sunnah yang diutus sebagai panduan hidup di dunia.

Ada penyakit yang menimpa jasad manusia akibat mengamalkan seks bebas, minum arak, makan makanan haramkan dan yang berpunca daripada akal dikotori pemikiran bebas, bukan berteraskan perintah serta larangan Ilahi.

Kehidupan sosial yang terjaga mengikut batasan syarak dan bersih daripada anasir melampaui keizinan hukum serta syariat akan menjamin kehidupan lebih baik. Bukan saja hubungan sosial secara umum juga membabitkan pergaulan antara suami dan isteri yang ada sempadannya.

Banyak bencana berlaku terhadap manusia kerana tidak berpegang teguh kepada perintah dan panduan disediakan. Selain itu, bersih daripada sifat keji antara cara mencegah kebinasaan manusia. Lalai mengingati Allah dan suka menzalimi manusia antara sifat bermukim di hati manusia yang sudah kotor dengan dosa.

Musuh manusia bukan iblis dan syaitan saja tetapi juga manusia memusuhi Penciptanya dan kotor jiwa sehingga sanggup melakukan perbuatan jahat seperti fitnah serta membunuh. Cabaran dan dugaan melanda dunia hasil tangan makhluk Allah ternyata menjadi pengajaran kepada orang yang berfikir. Kemusnahan manusia dan alam tidak berlaku tanpa sebab dan manusia perlu memohon pertolongan-Nya supaya bumi serta isinya selamat.

Thursday, April 23, 2009

Mukmin diingat supaya tak tangguh bertaubat

Nik Salida Suhaila Nik Saleh

Penyucian jiwa tuntut umat mohon keampunan, tekad tidak mengulangi dosa lalu

SUDAH namanya manusia, sering melakukan kesilapan dan kesalahan. Ada disengaja, ada pula tidak disedari, tetapi akhirnya membuatkan seseorang berasa disakiti. Tidak terkecuali ada yang suka mempersenda hukum Ilahi, terlupa tiba masanya kita perlu berserah pada Empunya segala-galanya.

Kala itu, usah berasa terlambat, kerana kita sememangnya ketinggalan daripada orang lain yang puas memungut rahmat dan berkat kehidupan untuk dibawa sebagai bekalan kemudian hari.

Kehidupan di dunia penuh dugaan dan cabaran memungkinkan kita berbuat apa saja untuk memuaskan nafsu tidak baik, kadangkala hasad dengki membelenggu hati hingga tidak dapat menerima hakikat kelebihan orang lain.

Dunia ini penuh dengan permainan melalaikan, walau cuba mengawal diri daripada tipu daya, ada kalanya kita tertewas juga apatah lagi jika balasannya lambat tiba, tidak berasa janji Allah itu akan sampai akhirnya.

Firman Allah bermaksud: "Dan tidak dinamakan kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Oleh itu tidakkah kamu mahu berfikir?" (Surah al-An'am, ayat 32)

Benar manusia boleh dibohongi tetapi bukan Dia Yang Maha Kuasa. Sebab itulah negeri akhirat itu pasti, kepada yang tidak mensia-siakan kehidupan di dunia dengan kezaliman terhadap diri sendiri, pastilah kegembiraan ditunggu bagai tidak sabar dirasai, tetapi jika sebaliknya tentulah balasannya tidak tertanggung.

Akal dikurniakan Allah untuk berfikir supaya kita tidak mengulangi kesalahan sama berulang kali, sehingga menggagalkan misi dan visi sebagai hamba di dunia ini. Mana yang hak dan mana yang batil, usaha sendiri memilihnya, apa yang halal dan apa yang haram pula jangan dikompromi sehingga menjadikan hati kita buta.

Walaupun mencuba menjadi hamba yang baik dan taat, kadangkala kita lalai serta terlupa. Kata hati rupanya tidak semuanya memihak kepada kebenaran, bahkan ada kalanya membuka pekung di dada. Justeru, segala keterlanjuran jangan sampai kita tidak bertaubat, jika di akhirat ingin selamat.

Menyesali dosa yang dilakukan dan berazam bersungguh-sungguh untuk tidak mengulanginya adalah usaha perlu dilakukan jika benar-benar ingin bertaubat. Usah dikenang masa lalu jika itu membuatkan kita terus 'merindui' kejahatan dan kemaksiatan, sebaliknya kenanglah ia sebagai pengajaran tidak mungkin berulang.

Allah berfirman bermaksud: "Wahai orang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan 'taubat nasuha', mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai." (Surah At-Tahriim, ayat 8)

Jangan pula taubat dipermainkan dengan mengulangi dosa dan kemungkaran. Sesiapa yang ingin bertaubat mesti menyesali dosa yang sudah dilakukan dan bertekad untuk tidak mengulanginya. Inilah dikatakan menyucikan diri, menghilangkan segala kotoran terlekat di hati mudah-mudahan kebaikan itu mendorong kepada pembersihan jiwa sebenar.

Kita juga harus berjanji mengelak daripada melakukan dosa selagi hidup melainkan jika tidak disedari. Seboleh-bolehnya hidup hendaklah dipandu dengan garis panduan dimuktamadkan Allah dan Rasul-Nya yang sememangnya membantu kita menggapai kebahagiaan hakiki serta abadi.

Segala bentuk maksiat dan ingkar terhadap perintah Allah hendaklah dimohon keampunan dengan taubat dan sebarang bentuk penganiayaan terhadap orang lain, walau apa juga bentuknya perlulah disertai kemaafan serta mengembalikan hak yang diambil.

Jika ia fitnah, bayarlah dengan membersihkan nama baiknya dan jika harta yang diambil, lunaskan dengan mengembalikan miliknya atau minta dihalalkan. Apabila hati sudah memperoleh cahaya, segala dosa ingin dibersihkan dengan rela, inilah masanya kita perlu terus berusaha.

Penangguhan akan memungkinkan seribu tragedi yang boleh menggagalkan hasrat pengampunan kita daripada Yang Esa. Usahlah ditangguh peluang, kerana ajal bila-bila masa akan datang dan syukurlah jika sempat menyedari dosa dan kejahilan serta tekad tidak akan mengulanginya.

Firman Allah bermaksud: "Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang yang selalu melakukan kejahatan hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah ia: Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini, sedang taubatnya itu sudah terlambat. Dan demikian juga halnya orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang yang demikian Kami sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya." (Surah an-Nisaa', ayat 18)

Mengingati bahawa hidup ini hanya sementara, maka perlulah berhati-hati apabila berbuat dan berkata, bimbang jika ada hati terluka. Bukan mudah meminta ampun atas segala dosa kerana hati yang disakiti lukanya sukar sembuh, bahkan parutnya pasti akan mengingatkan segala.

Sungguhpun begitu, selagi ada usia, selagi itulah pintu taubat sentiasa terbuka. Jangan kita sombong dan malu memohon ampun dan maaf daripada sesiapa, bahkan Allah Maha Pengampun terhadap hambanya.

Firman Allah bermaksud: "Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri dengan melakukan maksiat kemudian ia memohon ampun kepada Allah nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihani." (Surah an-Nisaa, ayat 110)

Paling penting, jangan berputus asa, jika kita benar-benar mengharapkan rahmat-Nya, lakukan seberapa terdaya, selagi tidak menutup mata, mohonlah keampunan-Nya kerana pintu taubat sentiasa terbuka.

Firman Allah bermaksud: "Dan Dialah Tuhan yang menerima taubat daripada hamba-Nya yang bertaubat serta memaafkan kejahatan yang mereka lakukan dan Ia mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan." (Surah Asy-Syuura, ayat 25)

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Thursday, April 16, 2009

Berusaha mencari rezeki halal adalah perjuangan

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh
salidasuhaila99@yahoo.com

DUNIA tanpa sempadan mengilhamkan pelbagai ruang dan peluang untuk mencari sumber kewangan bagi menampung keperluan hidup. Bagi yang rajin dan tekun, tiada yang mustahil, malah sesukar mana pun ranjau menghalang, mereka tetap cekal menggenapkan apa yang wajib dinafkahkan.

Apatah lagi bagi seorang suami dan bapa, walau tidak diminta, mereka wajib menyediakan seadanya supaya tiada tanggungan yang tidak terbela.

Malangnya, ada juga yang mengharapkan wang sekepuk tiba-tiba muncul depan mata tanpa perlu berbuat apa-apa. Lalu, mereka lakukan apa saja asalkan pulangannya lumayan dan tidak perlu berfikir, apatah lagi melaburkan tenaga.

Tambahan pula kecanggihan teknologi mencipta pelbagai wadah dan cara, lalu ramai yang mengambil kesempatan tanpa mengira halal haramnya.

Rezeki yang halal untuk disuapkan ke mulut anak adalah tanggungan seorang bapa, atau jika tidak berkemampuan, daripada waris si bapa.

Bukan soal senario semasa, keluhan apabila ada tanggungan dibiar kelaparan, tetapi soal segelintir kita yang sangat mudah bertimbang rasa dengan judi dan taruhan, curi dan rompakan, tipu dan rampasan, riba dan penindasan, apa saja asalkan ada wang dibawa pulang untuk anak.

Berjuang dalam kehidupan sebenarnya termasuk berusaha mendapatkan wang halal untuk menampung keperluan diri sendiri dan tanggungan serta tidak meminta dengan orang lain untuk menyuap mulut isteri dan anak.

Jika pencari rezeki tidak sanggup melakukannya, timbullah pelbagai cara 'mencari rezeki' yang mudah dan tangkas. Skim cepat kaya yang begitu cepat menular dan menarik minat pencari rezeki ingin pantas bergelar jutawan juga mudah membutakan hati hingga akhirnya bukan rezeki untuk anak dibawa pulang tetapi hutang keliling pinggang.

Setiap manusia dikurniakan kelebihan oleh Allah dan perlulah dimanfaatkan semaksimum mungkin supaya kemampuan itu dapat diwakafkan kepada ahli Islam lain yang tidak bernasib baik. Allah menyuruh kita mencari daripada apa yang disediakan dengan tidak menolak keimanan kepada-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: "Kemudian selepas selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi untuk menjalankan urusan masing-masing dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak dalam segala keadaan, supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)." (Surah al-Jumu'ah, ayat 10)

Sesuatu yang sering dilupakan bahawa pemberian Allah kepada setiap hamba-Nya ialah untuk sementara saja, segala kemewahan dan kesenangan bukanlah milik mutlak sesiapa melainkan Dia. Malah, berapa banyak ingin diberikan kepada yang berusaha dan berikhtiar juga tiada siapa berhak mempersoalkannya, apatah lagi mempertikaikan kelebihan rezeki orang lain.

Cuma, yang penting, setiap yang mencari rezeki haruslah berniat untuk memelihara agamanya walau apa juga bentuk pekerjaan halal dilakukan. Usah malu jika kita tidak semampu orang lain mengecap kemewahan dunia jika kita mencari rezeki halal.

Tetapi jika sebaliknya, perlu diingat aib yang akan dihadapi di akhirat kelak adalah lebih menakutkan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Dari Abi Hurairah berkata: Nabi SAW bersabda: Akan ada suatu zaman pada umat manusia yang seseorang itu tidak lagi mempedulikan apa yang diambilnya (rezeki yang diterima olehnya) apakah dari yang halal atau haram."

Hadis itu jelas memberikan peringatan kepada yang berfikir, bahawa mempedulikan rezeki yang dicari sangatlah penting untuk menjaga agama, sehingga Rasulullah SAW meyakini hal yang sedemikian akan berlaku suatu hari nanti dan ditakuti ia sangat menghampiri.

Bukan saja memakan benda haram itu besar akibatnya tetapi yang haram bercampur dengan halal juga menyebabkan kelangsungan tidak baik.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Dari Ibnu Umar katanya: Barang siapa yang membeli pakaian dengan harga 10 dirham, satu dirham daripadanya wang yang haram, maka Allah tidak akan menerima solatnya selama pakaian itu masih dipakainya.

Kemudian Ibnu Umar memasukkan kedua jarinya ke dalam dua telinganya, lalu berkata: Biarkanlah telinga ini tuli kerana tidak mahu mendengarkan kata-kata daripada Nabi SAW ini." (Hadis riwayat Bukhari)

Daripada peringatan itu tentulah kita memahami Islam tidak akan bertolak ansur dengan sumber pendapatan daripada cara tidak dibenarkan sama sekali.

Ketika Saidina Abu Bakar menjadi khalifah, pernah berlaku satu peristiwa terhadap dirinya yang menunjukkan beliau sangat bertegas terhadap sumber rezeki diperoleh dan menjadi darah daging.

Suatu hari, ketika Saidina Abu Bakar memakan suatu makanan, hambanya memberitahu makanan yang dimakannya itu adalah hasil diterimanya daripada pekerjaannya sebagai tukang tilik, sebelum dia masuk Islam.

Lantas Saidina Abu Bakar mengeluarkan semua makanan dari mulut dan perutnya seberapa yang boleh hinggakan memuntahkan semua makanan yang dimakannya, lalu beliau ditegur. Saidina Abu Bakar berkata dia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Badan yang tumbuh subur dengan makanan haram pasti akan merasai api neraka."

Oleh kerana itu aku memaksa makanan itu keluar, takut kalau-kalau ia menyuburkan badanku.

Hari ini ramai yang menipu dalam perniagaan, memberatkan timbangan yang ringan, memaklumkan fakta salah kepada orang lain untuk mendorong mereka membeli dan sebagainya tidak boleh dinafikan lagi.

Ia berlaku di mana-mana dan terjadi kepada sesiapa saja. Tanpa berhati-hati dan ketegasan terhadap sumber diperoleh, sesiapa saja boleh memakan rezeki yang haram, jika ia tumbuh subur di dalam tubuh badan pasti menyebabkan kemusnahan dan kebinasaan di akhirat kelak.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)