Showing posts with label (A) Dr Zahri Hamat. Show all posts
Showing posts with label (A) Dr Zahri Hamat. Show all posts

Monday, October 6, 2008

Ganjaran besar puasa enam Syawal

Oleh Zahri Hamat


PUASA enam Syawal adalah sunat dilakukan dan besar ganjaran pahala serta tambahan kepada kekurangan yang diimbangi dengan zakat fitrah.


Mukmin laksana amalan sunat mendapat kebaikan berganda

DUA jenis amalan menentukan peribadi seseorang Muslim iaitu amalan wajib dan amalan sunat. Wajib bermaksud sesuatu yang dituntut untuk melakukannya dan berdosa jika ditinggalkan seperti solat fardu, puasa pada Ramadan dan membayar zakat.

Sunat pula bermaksud sesuatu yang dianjurkan untuk melakukannya dan tidaklah berdosa jika ditinggalkan. Antara contoh amalan sunat ialah solat, mengucapkan amin apabila membaca fatihah dalam solat dan banyak lagi.

Walaupun meninggalkan amalan sunat tidaklah menyebabkan berdosa, ia adalah amalan sangat disukai Allah.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesungguhnya Allah berfirman yang maksudnya: "Sesiapa yang memusuhi wali-Ku, maka sesungguhnya aku mengisytiharkan perang terhadapnya. Dan tiada seorang hamba-Ku yang bertaqarrub (beramal) kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku cintai hanya dari ia menunaikan semua yang Aku fardukan ke atas dirinya. Dan hendaklah hamba-Ku sentiasa bertaqarrub dirinya kepada-Ku dengan nawafil (ibadat sunat) sehingga Aku mencintainya. Maka apabila Aku telah mencintainya, nescaya adalah Aku sebagai pendengarannya yang ia mendengar dengannya, dan sebagai penglihatannya yang ia melihat dengannya, dan sebagai tangannya yang ia bertindak dengannya, dan sebagai kakinya yang ia berjalan dengannya. Dan jika ia meminta kepada-Ku nescaya Aku berikan kepadanya, dan jika ia memohon perlindungan kepada-Ku nescaya Aku lindungi." (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Antara ibadat sunat yang amat digalakkan selepas puasa wajib Ramadan ialah puasa enam hari semasa Syawal. Persoalannya, bilakah waktu terbaik melakukannya, dan bagaimanakah cara untuk menunaikannya jika puasa wajib belum lagi diganti atau diqada?

Puasa enam hari pada Syawal sebenarnya amat besar ganjaran yang ditawarkan Allah. Ia disebut secara jelas oleh Rasulullah SAW.

Dilaporkan daripada Abu Ayyub al-Ansari bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesiapa berpuasa sepanjang Ramadan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari Syawal, maka seakan-akan dia berpuasa selama satu tahun." (Hadis riwayat Muslim, Abu Dawud, An-Nasa'i dan Ibnu Majah)

Ini bermakna dengan berpuasa sunat selama enam hari pada Syawal selepas berpuasa wajib pada Ramadan, seolah-olah mereka berpuasa sepanjang tahun.

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Allah telah menggandakan setiap kebaikan dengan sepuluh kali ganda. Puasa Ramadan setara dengan berpuasa sebanyak sepuluh bulan. Dan puasa enam hari Syawal yang menggenapkannya satu tahun." (Hadis riwayat An-Nasa'i dan Ibnu Majah)

Hadis ini mempamerkan bahawa ganjaran diberikan Allah itu sepuluh kali ganda. Ini bermakna jika kita berpuasa selama 30 hari pada Ramadan, maka digandakan menjadi 300 hari, manakala puasa enam hari pada Syawal digandakan menjadi 60 hari. Ganjaran Allah adalah sebanyak 360 hari.

Persamaan yang lain, jika berpuasa selama sebulan pada Ramadan akan menyamai 10 bulan, kemudian diikuti puasa selama enam hari pada Syawal akan menyamai dua bulan. Justeru genaplah berpuasa selama setahun.

Ada dua pendapat ulama mengenai hal ini. Majoriti ulama berpendapat, puasa enam dilakukan secara berturut-turut selepas Hari Raya. Ia dimulai pada hari raya kedua dan seterusnya sehingga genap enam hari. Sebahagian ulama pula berpendapat puasa enam itu boleh dilakukan secara berselang-seli atau tidak terus menerus sepanjang Syawal.

Justeru, kita mempunyai kebebasan untuk membuat pilihan sama ada melakukannya secara berturut-turut ataupun berselang seli.

Bagaimanakah pula kaedah menunaikan puasa sunat pada Syawal jika puasa Ramadan masih belum diganti atau qada? Persoalan itu juga mempunyai beberapa pandangan. Pendapat pertama mengatakan adalah memadai seseorang yang ingin melakukan puasa qada dan puasa enam dengan berniat hanya puasa qada pada Syawal. Mereka akan mendapat dua ganjaran sekali gus dengan syarat dia perlu berniat puasa qada terlebih dulu. Ini kerana puasa qada adalah wajib dan puasa enam adalah sunat.

Hal yang sama berlaku ke atas solat tahiyatul masjid. Jika seseorang memasuki masjid dan terus melakukan solat fardu, maka dia akan diberi ganjaran dua pahala sekali gus.

Pendapat kedua ialah jika seseorang melakukan kedua-duanya secara berasingan akan mendapat kelebihan di sisi Allah kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah, maka memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan antara yang wajib dengan sunat lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba.

Ada juga ulama berpendapat bahawa puasa enam seharusnya didahulukan kerana ia hanya boleh diamalkan pada bulan Syawal saja. Bagi puasa qada, ia boleh dilakukan dalam tempoh 10 bulan berikutnya sebelum tibanya Ramadan akan datang.

Lakukan ibadat sunat ini sama ada berpuasa secara berturut-turut atau berselang-seli. Begitu juga dengan puasa qada. Lakukanlah sama ada secara digabungkan puasa enam dengan puasa qada ataupun secara berasingan.

Terpulanglah kepada diri kita sendiri berdasarkan kemampuan masing-masing. Hal ini kerana ganjaran ditawarkan Allah amat besar. Ia juga adalah tambahan kepada kekurangan yang diimbangi oleh zakat fitrah.

Penulis ialah pensyarah Pusat Kajian pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) Universiti Sains Malaysia

Friday, September 19, 2008

Menilai semula kaedah perakaunan zakat

Oleh Dr Zahri Hamat

Harta diperoleh daripada sumber baru patut dinilai dari segi jumlah dan tempoh

KETIKA mengutuskan Muaz bin Jabal ke Yaman, Rasulullah SAW berpesan kepada beliau yang bermaksud: "Ajaklah mereka bersyahadah bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan bahawasanya aku adalah utusan Allah, jika mereka mentaatinya maka hendaklah engkau memberitahu mereka bahawa Allah mewajibkan ke atas mereka solat lima waktu sehari semalam. Maka jika mereka mentaatinya, hendaklah engkau memberitahu mereka bahawa Allah mewajibkan kepada mereka zakat yang diambil daripada orang kaya dan dikembalikan kepada orang miskin dalam kalangan mereka." – (Hadis riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis, rumusan yang boleh dibuat ialah zakat adalah rukun Islam ketiga selepas syahadah dan solat. Kaedah pelaksanaan zakat dengan mengambil kekayaan daripada golongan kaya dan diberikan kepada golongan miskin dan zakat itu sebenarnya mengembalikan hak golongan miskin daripada kekayaan golongan kaya.

Zakat diwajibkan ke atas setiap kekayaan yang dimiliki orang Islam. Dengan kata lain, sesiapa saja yang termasuk dalam golongan kaya, mereka perlu membayar zakat.

Persoalannya, apakah bentuk kekayaan yang diwajibkan zakat? Adakah zakat diwajibkan ke atas hanya kekayaan sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah. Bagaimanakah pula dengan pelbagai kekayaan yang ada pada zaman ini?

Hal ini memerlukan satu penilaian semula terhadap kaedah perakaunan zakat yang sedang diamalkan kerana ada pelbagai kekayaan yang sedang dan akan dimiliki oleh orang Islam.

Kekayaan yang diwajibkan zakat disebut Allah dalam dua bentuk. Pertama ialah bentuk umum dan kedua, bentuk khusus. Bentuk umum, al-Quran hanya menyebut perkataan sebahagian harta seperti firman Allah yang bermaksud: "Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka dengannya kamu membersihkan dan menyucikan mereka." – (Surah al-Taubah, ayat 103)

Dalam ayat lain, al-Quran menyebut harta. Contohnya, firman Allah yang bermaksud: "Dan pada harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian." – (Surah al-Zariyat, ayat 19)

Zakat dalam bentuk khusus pula, al-Quran menyebut kekayaan seperti emas dan perak. Firman Allah yang bermaksud: "Dan orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menafkahkannya pada jalan Allah maka beritahulah kepada mereka (bahawa mereka akan mendapat) seksa yang pedih." – (Surah al-Taubah, ayat 34)

Zakat dalam bentuk pendapatan pula antaranya ialah seperti pendapatan daripada pertanian. Firman Allah yang bermaksud: "Makanlah dari buahnya (yang bermacam-macam itu) apabila ia berbuah dan tunaikanlah haknya di hari memetik hasilnya." – (Surah An'am, ayat 141)

Pendapatan daripada perniagaan dan hasil galian adalah seperti firman Allah yang bermaksud: "Hai orang beriman, nafkahkanlah (di jalan Allah) sebahagian dari hasil usahamu yang baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu." – (Surah al-Baqarah, ayat 267)

Kekayaan yang diwajibkan zakat disebut oleh Rasulullah SAW juga dalam dua bentuk iaitu umumnya Rasulullah SAW hanya menyebut perkataan harta seperti sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Tunaikan zakat harta kamu." – (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Zakat dalam bentuk khusus, Rasulullah SAW menyebut kekayaan diwajibkan zakat iaitu emas dan perak, barang perniagaan, hasil pertanian seperti gandum, barli dan anggur, ternakan seperti kambing, lembu dan unta dan hasil galian.

Malah Rasulullah SAW menyebut kaedah perakaunan zakat ke atas kekayaan. Bagi zakat emas dan perak, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "…tidak diwajibkan atas kamu sesuatu pun pada emas sehingga ada bagi kamu dua puluh dinar; jika engkau ada dua puluh dinar, dan ia pula genap setahun lamanya dalam simpanan kamu, maka zakatnya ialah setengah dinar." – (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Dawud)

Untuk zakat perniagaan pula, dilaporkan perintah Rasulullah SAW yang bermaksud: "Rasulullah SAW memerintah kami supaya mengeluarkan zakat ke atas barang yang disediakan untuk dijual." – (Hadis riwayat Abu Dawud)

Kadar zakat ke atas hasil pertanian pula sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tanaman yang disiram dengan air hujan atau air mata atau tumbuh sendiri zakatnya satu persepuluh dan tanaman yang disiram dengan alat siraman zakatnya satu perdua puluh." – (Hadis riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW itu, kekayaan yang diwajibkan zakat boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu yang pertama ialah pendapatan yang peroleh. Kedua ialah kekayaan yang dimiliki.

Justeru, setiap orang Islam yang memperoleh pendapatan, maka mereka diwajibkan zakat. Begitu juga jika mereka memiliki kekayaan, mereka akan diwajibkan zakat.

Bagaimana pula kekayaan yang wujud dalam pelbagai bentuk pada masa sekarang seperti mereka yang mempunyai beberapa buah rumah kediaman yang tidak didiami atau yang didiami sekali sekala. Begitu juga dengan pemilikan bilangan kenderaan yang melampaui keperluan. Mengikut amalan sekarang, rumah dan kenderaan adalah harta tetap. Harta tetap tidak dikenakan zakat.

Mereka mempunyai beberapa buah rumah dan kenderaan itu sebenarnya terdiri daripada golongan kaya. Golongan kaya diwajibkan zakat ke atas kekayaan yang dimilikinya. Jika rumah dan kenderaan itu disewakan, maka zakat pendapatan sewaan akan diwajibkan.

Namun jika kaedah perakaunan zakat dilaksanakan berasaskan sama ada mengikut kategori pendapatan ataupun kategori kekayaan, maka harta tetap yang tidak digunakan atau didiami akan dikenakan zakat.

Dengan kata lain, hanya sebuah rumah yang dikecualikan daripada zakat, manakala rumah lain adalah diwajibkan zakat. Begitu juga dengan kekayaan lain seperti tanah terbiar yang tidak diusahakan, ia tidak terkecuali daripada zakat.

Hal ini sebenarnya tidak konsisten dengan aplikasi kaedah perakaunan zakat perhiasan wanita yang sedang diamalkan. Semua perhiasan wanita yang dipakai dikecualikan zakat jika tidak melebihi daripada uruf (kadar biasa dipakai sebagai perhiasan mengikut taraf dan kedudukan masyarakat).

Jika ia melebihi daripada kadar biasa mengikut pandangan masyarakat dan keadaan setempat, maka ia dikenakan zakat ke atas yang lebih daripada uruf.

Justeru, kaedah sama sepatutnya dipakai dalam menilai semula pendapatan dan kekayaan yang diwajibkan zakat kerana ini dengan sendirinya akan mempamerkan betapa peranan dana zakat akan sentiasa relevan. Ia tidak terbatas dengan sesuatu tempoh waktu dan sesuatu tempat.

Ini mempamerkan betapa kelestarian fiqh dalam Islam sentiasa berlaku. Hal ini akan lebih terserlah apabila adanya pendapatan baru yang diperoleh atau kekayaan baru ditemui.

Penulis ialah pensyarah Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) Universiti Sains Malaysia