Showing posts with label Prasangka. Show all posts
Showing posts with label Prasangka. Show all posts

Wednesday, May 13, 2009

Iqra: Menjelaskan mengenai prasangka bukan Islam

Judul: Islam dan Jihad - Prasangka Atau Kenyataan
Penulis: AG Noorani
Penerbit: Institut Terjemahan Negara Malaysia
Pengulas: Jami'ah Shukri
Harga: RM35.

KREDIBILITI umat Islam tercalar akibat lemparan pelbagai tohmahan oleh dunia Barat berikutan tragedi serangan 11 September ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC), New York serta Pentagon di Washington.

Akibatnya, bekas Presiden Amerika Syarikat, George W Bush mengutuk keras sentimen anti-Islam dan anti-Arab yang memuncak di Amerika Syarikat.

Dalam suasana tuduhan melulu ini sewajarnya polemik berkaitannya diperjelaskan bagi mengelak salah faham berlarutan.

Kelahiran buku ini adalah untuk memberi kefahaman mengenai beberapa konsep asas bagi menangkis sangkaan buruk digembar-gemburkan cendekiawan Eropah sejak dulu terhadap umat Islam.

Buku setebal 125 muka surat ini sarat dengan misi penjelasan dengan mendedahkan muslihat kumpulan tertentu memperalatkan agama sebagai senjata politik.

Banyak teori palsu dikembangkan secara meluas sehingga memberi gambaran salah kononnya politik Islam secara semula jadi bersifat militan dan menghalang penerapan proses demokrasi dalam kebanyakan pemerintahan Islam.

Begitu juga dengan prasangka maksud jihad. Perkataan ini sebenarnya menunjukkan maksud positif yang menyatakan pentingnya kebenaran dalam agama.

Bagaimanapun bagi orang lain, khususnya Barat ia membawa maksud kekejaman agama yang tidak diingini.

Peperangan dimulakan pada dinasti pemerintahan Islam Ummayyah, Abbasiyyah, Fatimiyyah dan Uthamaniyyah bukanlah pelaksanaan jihad serta jenayah dianjurkan pelampau Islam atas Islam.

Penulis membandingkan dengan pemikir Islam progresif yang berusaha menangani persoalan yang tidak dapat dielakkan serta dilontarkan oleh duna moden terhadap Islam.

Saturday, February 21, 2009

Prasangka buruk cetus sengketa berpanjangan

PERBUATAN buruk sangka terhadap orang lain sebenarnya timbul daripada perasaan tidak puas hati dan dengki khianat atas sebab tertentu. Perbuatan itu melambangkan rendahnya moral si pelaku yang sanggup menghancurkan maruah orang lain kerana dikuasai nafsu marah dan dengki khianat.

Jika pun tuduhan itu ada kebenarannya, orang yang mengambil kesempatan berbuat demikian perlulah mengadakan bukti yang kukuh dan munasabah bagi membuktikan kebenarannya, bukannya dengan mencantumkan cerita yang dibawa dari mulut ke mulut untuk dijadikan modal menyebar tuduhan palsu.

Akibat daripada perbuatan sebegitu, sudah pasti perasaan dendam akan terus berpanjangan di antara yang menuduh dan yang kena tuduh, masing-masing ingin membuktikan tuduhan dibuat adalah benar dan satu pihak lagi berusaha menafikan segala tuduhan dilemparkan.

Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai orang beriman, jika datang kepadamu orang fasik yang membawa berita maka periksalah dengan teliti kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan musibah kepada sesuatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesali perbuatan kamu itu." (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Islam juga melarang umatnya daripada perasaan suka mengorek rahsia orang lain. Peribahasa Melayu ada menyebut, 'jangan jaga tepi kain orang'. Tetapi dalam hal membabitkan kebatilan dan perkara sumbang yang mengundang kemudaratan maka dibolehkan berbuat demikian dengan tujuan mencegah supaya tidak terus menular dalam hidup bermasyarakat.

Apa yang berlaku ialah perbuatan mencari rahsia orang lain bukan untuk mencegah berlaku perkara sumbang sebaliknya dijadikan umpan sebagai alat untuk membalas dendam terhadap orang berkenaan sedangkan Islam menyuruh supaya menyembunyikan keaiban orang lain.

Rasulullah SAW mengingatkan supaya sentiasa menjauhkan diri daripada terjerumus dalam perbuatan sengaja mencari aib orang lain kemudian menyebarkan dengan niat memalukannya di mata masyarakat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Awasilah diri kamu daripada buruk sangka kerana perbuatan itu adalah satu pembohongan besar. Janganlah mencari berita buruk, berhasad dengki, bermasam muka dan marah, sebaliknya jadikanlah diri kamu semua bersaudara-mara." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Telinga sebagai pancaindera mendengar yang dikurniakan Allah perlu dijaga dengan baik dan hendaklah diawasi supaya tidak mendengar berita atau khabar angin yang belum tentu kebenarannya.

Begitu juga mulut, jangan pula terlalu cepat menyampaikan apa yang didengar sebelum diselidik apakah maklumat itu fakta yang benar atau hanya fitnah disebarkan pihak tertentu bertujuan menjatuhkan air muka pihak difitnah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Beruntunglah orang yang sentiasa menyelidiki dan melihat keaiban sendiri." (Hadis riwayat Muslim)

Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: "Berhati-hatilah kamu terhadap hasad dengki kerana ia boleh merosakkan amal kebaikan kamu seperti api memakan sekam." (Hadis riwayat Muslim)

Kesan daripada fitnah yang disebarkan akan menimbulkan persengketaan antara dua pihak terbabit serta melahirkan perasaan benci apabila masing-masing mengeluarkan perkataan yang boleh menghiris perasaan serta menimbulkan keaiban.

Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai mereka yang beriman, jauhkan diri kamu daripada berburuk sangka kerana sesetengahnya boleh menjadi dosa, maka janganlah kamu mencari rahsia seorang lain serta memaki hamun kepada orang lain."

Dalam hal ini kesabaran menjadi asas utama yang diperlukan bagi mengelakkan hal lebih besar melanda manusia.

Oleh itu, bagi mengelakkan diri daripada tergelincir ke arah perlakuan suka menabur fitnah, eloklah beramal dengan ciri sifat mahmudah seperti disarankan Imam al-Ghazali.

Antaranya, sifat al-qanaah (cukup dengan apa yang diberikan), al-zuhd (tidak mementingkan duniawi), kitmanus-sir (merahsiakan rahsia), al-hilm (lambat marah ), as-syajaah (berani), al-iffah (pemaaf).