Showing posts with label Pendidikan anak-anak. Show all posts
Showing posts with label Pendidikan anak-anak. Show all posts

Sunday, February 21, 2010

Persoalan Agama: Jauhkan anak daripada maksiat

Bersama Ustaz Zahazam Mohamed

SAYA bimbang dengan gejala sosial yang membabitkan remaja sekarang. Sebagai ibu, saya mahukan anak saya menjadi baik dan bijak. Apakah ada doa atau ayat suci al-Quran yang boleh anak saya amalkan bagi memperkuatkan daya ingatan atau fikiran? Apakah ia boleh dimulakan seawal mungkin.

Aina,
Selangor.

APABILA kita menyebut soal anak, ia adalah suatu anugerah Allah SWT yang perlu disyukuri. Tidak semua pasangan yang berkahwin, dimudahkan Allah SWT memperoleh cahaya mata. Oleh itu, selepas memperolehnya, janganlah kita mempersia-siakan mereka dan didiklah mereka dengan iman dan takwa supaya mereka menjadi anak yang soleh dan solehah.

Anak yang soleh adalah punca ketenangan dan kegembiraan bagi ibu bapa di dunia dan di akhirat. Allah SWT berfirman pada ayat 52 dalam surah al-Hijr yang bermaksud: "Mereka (Malaikat) berkata (kepada Nabi Ibrahim): "Janganlah engkau takut, sebenarnya kami hendak menggembirakan kamu dengan berita bahawa engkau akan beroleh seorang anak lelaki yang bijak." Allah SWT juga menyebut mengenai Nabi Zakaria pada ayat 7 yang bermaksud: "Wahai Zakaria, sesungguhnya Kami menggembirakan kamu dengan anak yang bernama Yahya (Nabi Yahya as)."

Begitu juga Allah SWT mengkhabarkan kepada Maryam pada ayat 45 dalam surah Ali Imran yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menggembirakan kamu dengan perkataannya (anugerah-Nya) yang dinamakan Isa bin Maryam."

Hakikatnya, antara cara untuk menjadikan anak kita mempunyai ketinggian ilmu, hendaklah mendekatkan mereka ke tempat pengajian agama, terutama yang diadakan di masjid. Sebagai contoh, sebaik saja Saidina Ali dilantik menjadi khalifah, beliau terus berkunjung ke masjid dalam negara untuk memastikan perjalanannya.

Ada satu peristiwa ketika di Basrah, beliau berpeluang mendengar majlis ilmu yang disampaikan seorang budak lelaki kecil. Majlis itu dipenuhi dengan orang ramai. Selepas tamat majlis itu, Saidina Ali memanggil orang muda tadi lalu berkata, "Wahai budak, engkau sudah berkata dan engkau sungguh pandai dalam berkata-kata dan engkau seorang yang fasih, dan engkau menepati (kebenaran). Aku ada dua soalan, yang pertama apakah dia tiang agama? Jawabnya, 'warak.' Saidina Ali bertanya lagi: "Apakah perosak agama?" Jawabnya: 'Tamak.' Saidina Ali seterusnya berkata: "Teruskanlah wahai budak. Sesungguhnya engkau adalah sebaik-baik orang yang aku lihat."

Budak kecil itu ialah Hasan al-Basri. Budak kecil ini sampai ke peringkat ilmunya yang tinggi disebabkan pendidikan yang dilaluinya di masjid kerana kepemimpinan dan ilmu itu diperoleh di masjid.

Malah masjid juga bukan saja menjadi tempat meningkatkan ilmu tetapi juga sebagai tempat pemulihan akhlak. Pernah diceritakan seorang lelaki yang sudah puas cuba mengubati anaknya yang degil tetapi gagal. Dia dinasihatkan oleh seseorang untuk membawa anak itu ke masjid dan itulah yang dilakukannya tanpa rasa percaya terhadap usahanya itu. Anak tadi dengan izin Allah SWT berubah menjadi anak yang yang baik, berjaya dan berusaha mengatasi rakan-rakan yang sudah pandai, sedangkan di luar sana ada televisyen, radio dan wayang. Semuanya luas berpengaruh dengan adanya pelbagai cara menyebarkannya.

Untuk menjadikan anak bijak dan soleh hendaklah jauhi mereka daripada perkara maksiat. Ibnu Qayyim pernah menasihatkan: "Jauhilah anak daripada majlis lagha (melalaikan), maksiat dan mendengar percakapan kotor. Apabila dia mula berfikir mengenai perkara itu yang menyebabkannya teringat semuanya dan melekat dalam dirinya sehinggakan susah untuk ditinggalkan."

Imam Syafie pernah mengadu kepada gurunya Imam Waki' iaitu dalam sebuah syair yang masyhur: (Syakautu ila waki'i suu'a hifzi�Faarsyadani ila tarkil ma'aasi�wa akhbarani bianna ilma nuurun..wanurullahi la yuhda lil 'aasi..) Bermaksud: Aku mengadu kepada guruku Waki' akan lemahnya hafalanku..Lalu guruku menasihatiku agar meninggalkan maksiat. Dia memberitahuku bahawa ilmu itu cahaya...dan cahaya Allah itu tidak akan masuk kepada ahli maksiat."

Sebenarnya, peringkat mendidik anak sudah bermula sejak kelahiran bayi itu. Apabila bayi itu dilahirkan kita dianjurkan untuk mengazankan di telinga kanan dan qamat di telinga kiri supaya perkara yang mula-mula masuk dalam dirinya adalah kalimah kebesaran dan keagungan Allah SWT. Seterusnya memberi nama anak yang baik kerana nama yang baik itu suatu doa, mengkhatan, menyayanginya, tidak memukulnya serta menggalakkan adab-adab yang baik.

Pada usia kanak-kanak, Islam juga menganjurkan agar menerapkan keimanan kepada mereka. Kanak-kanak pada usia ini kerap

bertanya mengenai cara kewujudannya, gambaran mengenai Tuhannya. Seperti kata ulama, awal-awal agama ialah mengenal Allah. Kedua, hendaklah mengasuh mereka mencintai al-Quran. Ibu bapa yang baik akan mengajar anak mereka membaca al-Quran sejak kecil lagi. Ketiga, hendaklah mendidik mereka untuk mencintai keluarga Nabi dan para sahabat.

Di dalam buku, Anakku Hebat Anakku Soleh beberapa teknik mendidik anak disebut sebagai panduan. Ini termasuk:

# Hendaklah menunjukkan contoh teladan yang baik. Keluarga yang inginkan anak berakhlak mulia perlu mempraktikkan akhlak yang mulia. Kelakuan keluarga yang buruk akan menjadikan anak itu sendiri berkelakuan buruk.

# Merangsangkan (targhib) dan menakut-nakutkan (tarhib). Kalangan cendekiawan ilmu tarbiah bersepakat bahawa memberi galakan dan memberi ganjaran adalah perkara penting dalam pendidikan apabila anak melakukan perkara-perkara yang baik. Justeru, ibu bapa atau pendidik jangan menyempitkan konsep pemberian hadiah.

# Mencontohi dan mengikuti. Taklid nilai baik ialah mengikuti apa yang dilakukan oleh ibu bapa yang diterima oleh akal dan yang diyakini olehnya tetapi dia tidak dapat memberi dalil atas apa yang dibuatnya.

# Memberi pengajaran (nasihat). Al-Quran menyuruh ibu bapa mendidik anak-anak dengan kasih sayang. Inilah yang kita lihat diucap oleh Nabi alaihimussalam kepada anak-anak mereka walaupun anak-anak mereka kadangkalanya derhaka dan tidak mengikuti agama yang dibawa oleh ayah mereka. Contohnya firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 131 dan 132 bermaksud: "(Ingatlah ) ketika Tuhan berfirman kepadanya (Ibrahim), "Berserah dirilah (tunduk taat kepada agama)!" Dia menjawab, "Aku berserah diri kepada Tuhan seluruh alam." Dan Ibrahim berpesan (ucapan) itu kepada anak-anaknya, demikian pula Ya'kub: "Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah sudah memilih agama ini untuk kamu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan Muslim."

# Bercerita. Cara bercerita juga mungkin boleh dilaksanakan dalam tarbiah untuk menanam sifat baik dalam diri anak. Al-Quran banyak mengandungi cerita untuk diambil pengajaran dan teladan. Allah SWT berfirman dalam surah al-Kahfi ayat 13 yang bermaksud: "Kami ceritakan kepadamu (Muhammad), kisah mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka adalah pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka. Dan Kami teguhkan hati mereka ketika mereka berdiri lalu mereka berkata, "Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi, kami tidak menyeru tuhan selain Dia. Sungguh, kalau kami berbuat demikian tentu kami telah mengucapkan perkataan yang sangat jauh dari kebenaran."

Begitu juga kisah kalangan sahabat, sebagai contoh, ketika Abdullah bin al-Zubair berumur 12 tahun, pernah Saidina Umar lalu menghampirinya. Kanak-kanak lain yang sedang bermain dengannya bertempiaran lari kecuali Abdullah bin Zubair. Semuanya lari kerana takut dengan ketegasan Saidina Umar kecuali Abdullah yang memandang kepada Amirul Mukminin itu. Umar mengucapkan salam padanya kemudian beliau terus duduk di situ dan bermain sehingga Saidina Umar bertanya: "Kenapa kamu tidak lari seperti kawan-kawanmu?" Abdullah menjawab: "Aku bukan zalim lalu aku takut kepadamu dan jalan pun tidak sempit supaya aku beralih dan aku pun tidak buat dosa sehingga aku perlu lari." Umar gembira dengan keberanian pemuda sekecil itu dan mengusap kepala anak itu lalu berkata kepada sahabat-sahabatnya: "Anak ini akan hidup dengan kehebatan."

# Membuat perumpamaan. Antara cara pendidikan yang berjaya ialah dengan membuat perumpamaan dalam percakapan dengan anak dan dalam mendidiknya. Tidak ada syak cara ini juga ada digunakan oleh al-Quran dengan banyak sekali. Contohnya, Allah SWT membuat perumpamaan lemahnya aqidah yang batil itu seperti sarang labah-labah pada ayat 41 surah al-Ankabut yang bermaksud: "Perumpamaan orang yang mengambil pelindung selain Allah SWT adalah seperti labah-labah yang membuat rumah (sarang). Dan sesungguhnya rumah yang paling lemah ialah rumah labah-labah, sekiranya mereka mengetahui."

Banyak lagi panduan serta teknik mendidik anak yang dapat diperoleh daripada buku itu supaya anak menjadi hebat dan soleh. Kesimpulannya, anak adalah amanah Allah SWT yang perlu dididik mengikut cara didikan Islam supaya keperibadian mereka dicorakkan dengan corak Islam seterusnya menjadi anak yang soleh atau solehah. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 138 bermaksud: "Sibghah (celupan) Allah, siapakah yang lebih baik sibghahnya daripada Allah". Maksud sibghatallah ialah celupan Allah SWT yang akan mencorakkan keseluruhan kehidupan orang beriman dengan corak Islam. Kesilapan dalam mendidik akan menjadikan anak itu liar disebabkan mereka tidak mengenali Tuhan dan tidak mengenal tujuan hidup.

Tuesday, December 1, 2009

Doa ibu bapa wahana berkesan bentuk peribadi anak

Oleh Wan Hishamudin Wan Jusoh

SEMPENA cuti persekolahan sekarang, waktu begitu terluang bagi anak-anak berada di rumah. Justeru, ibu bapa perlu mengambil peluang ini bagi mendekati dan memahami, sekali gus mendidik anak mereka dengan penuh kasih sayang. Ini kerana, dengan pendidikan langsung daripada ibu bapa, anak akan rasa dihargai dan diberi perhatian.

Lantas, tindakan ini akan dapat mengelakkan mereka daripada membuang masa tanpa arah dan tujuan. Dalam konteks pendidikan anak-anak, ibu bapa harus berfikiran terbuka dan sentiasa mengharapkan keredaan Allah SWT dalam setiap tindakan yang mereka lakukan, bukannya menegur anak dalam keadaan merasakan merekalah yang terbaik.

Justeru, sebagai ibu bapa mereka sewajarnya mempunyai ciri-ciri sebagai seorang pendidik yang baik. Mereka perlu menjadi contoh ikutan kepada anak-anak. Apatah lagi, sebagai orang yang sentiasa bersama dengan anak-anak, mereka perlu menunjukkan reaksi positif terhadap segala perkara yang berlaku di persekitaran.

Ini kerana, contoh ikutan adalah satu wahana yang amat berkesan membimbing seseorang ditambah pula kanak-kanak suka meniru apa yang orang lain lakukan.

Kanak-kanak akan melihat apa yang dilakukan oleh orang dewasa, semuanya adalah benar terutama ibu bapa mereka. Jadi, ibu bapa harus mengatur kehidupan mereka dengan sebaik mungkin untuk menjadi contoh dan ikutan terbaik.

Ibu bapa harus menunjukkan sifat kasih sayang dan saling memaafkan kerana ia adalah asas dalam pendidikan anak-anak. Ini kerana, kanak-kanak tidak memahami dan belajar erti kasih sayang sekiranya ibu bapa sentiasa menunjukkan kemarahan dan kekasaran dalam mendidik mereka.

Jika seseorang kanak-kanak dizalimi, sudah pasti ini akan melahirkan rasa permusuhan dalam lingkungan adik-beradik mereka. Justeru itu, menjadi tanggungjawab kepada ibu bapa supaya tidak menyemai rasa hasad di kalangan anak-anak serta membesarkan dan mendidik mereka dengan penuh persamaan dan keadilan.

Satu lagi aspek ialah berkongsi sesuatu yang dialami. Peluang sebegini perlu diambil untuk memberitahu kepada mereka perkara positif yang hendak disampaikan. Misalnya, walaupun Rasulullah SAW sibuk dengan urusan orang Islam, jihad, pentadbiran negara dan sebagainya, baginda meluangkan masa untuk bersama cucu baginda bagi menceritakan pengalaman hidup dan mengajar perkara asas di dalam agama.

Ini kerana, hasil pendedahan awal sebegini akan mematangkan mereka dalam melayari kehidupan. Begitu juga, Rasulullah SAW mengetahui bahawa kanak-kanak tidak mampu untuk menilai kehidupan dengan akal semata-mata, namun mereka belajar sesuatu perkara daripada apa yang mereka lihat.

Ibu bapa hendaklah bergaul dan mengasah minda anak mereka dengan perkara bermanfaat sebagai persediaan menempuh kehidupan lebih mencabar.

Sewajarnya mendidik anak ialah dengan penuh kebijaksanaan dan menggunakan kaedah pendekatan yang dapat diterima dengan mudah.

Ini bermakna, jika ibu bapa ingin mengarahkan sesuatu perkara kepada anak-anak, perlulah dilihat apakah suasana dan situasi mereka. Dalam hal ini, ibu bapa mestilah prihatin terhadap keadaan bagaimana dan di mana anak mereka berada.

Jika larangan atau suruhan daripada ibu bapa kepada anak dibuat secara melulu dan dengan kekerasan, ini akan mengurangkan kesan ketaatan kepada ibu bapa bahkan anak-anak juga akan membantah dengan penuh emosi. Malah, dengan melakukan kekerasan terhadap anak, berkemungkinan akan mencederakan mereka sekali gus menambahkan lagi konflik di antara ibu bapa dan anak.

Berdoa kepada Allah SWT kerana ia adalah wahana yang amat berkesan dalam pembentukan peribadi anak-anak. Apatah lagi, Allah SWT adalah pemilik segala-galanya. Tambahan pula, jika dirujuk semula perjalanan hidup rasul-rasul terdahulu, mereka adalah manusia yang paling banyak berdoa kepada Allah SWT.

Mereka akan memohon agar Allah SWT melimpahi rahmat ke atas anak-anak mereka. Buktinya, Nabi Ibrahim AS berdoa agar baginda dan keturunannya dijauhkan daripada menyembah berhala serta mensyirikkan Allah SWT. Iaitu firman Allah, bermaksud ; "Dan (ingatkanlah) tatkala Nabi Ibrahim AS berdoa dengan berkata "Wahai Tuhanku, jadikanlah negeri Makkah ini negeri yang aman, dan jauhkanlah daku dan anak-anakku daripada perbuatan menyembah berhala". (Surah Ibrahim (14) : 35)

Daripada contoh di atas jelas menunjukkan berdoa adalah cara yang amat berkesan dalam mendidik anak-anak untuk menjadi generasi berilmu, beriman dan bertakwa, ibu bapa perlu bijak dalam dalam mencorak generasi pelapis ini.

Jika mereka komited dengan tanggungjawab, sudah tentu generasi awalan yang ada sekarang berupaya menjadi umat contoh yang berjaya membina peradaban tersendiri suatu hari nanti.

Penulis ialah pensyarah Jabatan Usuluddin, Universiti Darul Iman Malaysia, Kampus Kusza, Kuala Terengganu yang kini mengikuti pengajian peringkat PhD di Universiti Malaya.

Monday, May 25, 2009

Didikan seimbang jamin kekuatan akidah, kemuliaan akhlak anak

ANAK anugerah Allah cukup berharga kepada ibu bapa serta amanah untuk dipelihara dengan sempurna termasuk memastikan keselamatan di dunia dan akhirat. Amanah ini akan ditanya Allah di akhirat nanti, apakah kita sudah menunaikannya dengan sebaiknya ataupun mengkhianatinya.

Islam tampil sebagai model terbaik memberi bimbingan dan panduan kepada manusia untuk melahirkan sebuah keluarga bahagia, dirahmati serta diredai. Ibu bapa sentiasa mengharapkan dikurniakan anak salih yang bakal menjadi penyejuk mata dan penawar hati.

Anak bukan saja dapat membantu ketika di dunia bahkan diharap dapat membantu hingga ke alam akhirat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Apabila mati seorang anak Adam, maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak salih yang mendoakan kepadanya."

Jika berhasrat dan mengidamkan untuk mendapat zuriat terbaik dan salih, maka ibu bapa mestilah memberikan pendidikan sempurna kepada anak dengan ilmu fardu ain serta fardu kifayah.

Antara perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa dalam proses melahirkan zuriat yang salih ialah sentiasa berdoa kepada Allah kerana ia adalah amalan dilakukan nabi dan rasul.

Firman Allah yang bermaksud: "Wahai tuhan kami kurniakanlah kepadaku dari sisimu zuriat keturunan yang baik, sesungguhnya engkau sentiasa mendengar (menerima) doa permohonan." (Surah Ali-Imran, ayat 38)

Nabi dan rasul mengutamakan zuriat yang salih dalam kehidupan mereka, walaupun zuriat itu belum dilahirkan lagi, mereka berdoa kepada Allah supaya dikurniakan zuriat keturunan yang baik. Ini memberi gambaran dan contoh kepada manusia untuk diamalkan.

Di samping berdoa, hendaklah kita memberi pelajaran sempurna dari segi fardu ain dan kifayah semoga mereka dapat membangunkan diri, masyarakat serta negara.

Akidah adalah asas yang perlu diberi perhatian dan keutamaan, kerana akidah yang mantap mampu menjamin kebahagiaan serta kecemerlangan hidup manusia di dunia dan akhirat. Anak yang mempunyai pegangan akidah mantap tidak akan mudah menyeleweng atau diselewengkan.

Penekanan daripada sudut ibadah yang sempurna melambangkan sifat kepatuhan dan ketaatan kepada Allah. Selain itu, sebagai tanda penyempurnaan jalinan hubungan dengan Allah sepanjang masa dengan sentiasa menyerahkan segala jiwa dan raganya terhadap setiap suruhan, meninggalkan segala larangannya pada setiap masa.

Melakukan ibadah kepada Allah dapat menyedarkan anak sifat manusia sebagai hamba bersesuaian firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam." (Surah al-An'am, ayat 162)

Memiliki akhlak terpuji lambang kecemerlangan dan keindahan terhadap keperibadian seorang Muslim sejati. Akhlak terpuji menyebabkan seseorang itu dihormati dan akhlak mulia adalah amalan paling berat dalam timbangan di akhirat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak ada sesuatu yang lebih berat diatas neraca timbangan seseorang hamba di hari kiamat selain dari akhlak yang mulia."

Setiap ibu bapa perlu memastikan setiap makanan yang diberikan kepada anak daripada sumber yang halal serta menjauhi sumber subahat, apatah lagi daripada sumber haram seperti rasuah, riba dan penipuan.

Rezeki halal bukan saja membawa keberkatan, juga dapat melahirkan zuriat yang pintar dan sihat, akhirnya mendorong seseorang ke arah melakukan kebaikan di dunia serta mendapat rahmat Allah di akhirat.

Firman Allah yang bermaksud: "Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang ada di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu." (Surah al-Baqarah, ayat 168)

Marilah bersama memberikan pendidikan sempurna kepada anak demi melihat generasi terbaik pada masa depan. Korbankan sedikit masa dan harta untuk mereka, berikan kasih sayang serta tunjukkan contoh terbaik.

Tuesday, April 28, 2009

Perspektif Ikim: Galak anak belajar sains melalui kegiatan di rumah

Oleh Azrina Sobian

SEDAR atau tidak, soal pendidikan anak kini lebih banyak dibebankan atas bahu orang lain termasuk mendidik minat anak terhadap sains. Sedangkan pendidikan sains bukan tanggungjawab guru saja kerana kesedaran dan minat awal anak terhadap sains seharusnya bermula daripada rumah.

Seterusnya, minat itu dikembangkan di sekolah dan ia menunjukkan bahawa kerjasama membentuk minat anak terhadap bidang sains adalah tanggungjawab bersama. Ia juga mengiyakan ungkapan ibu bapa adalah guru pertama anak.

Menanam minat terhadap bidang sains, peranan ibu bapa sangat penting. Dalam hal ini, ibu bapa hendaklah menyediakan atau membentuk satu suasana pembelajaran sains di rumah iaitu merangkumi kegiatan penerokaan, pemerhatian, pengkajian dan penilaian.

Anak hendaklah digalakkan untuk bertanya banyak soalan dan soalan itu perlu dijawab ibu bapa. Jika tidak berupaya menjawab soalan anak, maka ibu bapa boleh mencari jawapan bersama anak di internet atau buku yang banyak di pasaran.

Di rumah juga, dalam usaha membentuk minat terhadap sains, ada banyak kegiatan yang boleh dilakukan bersama anak. Contohnya, ketika memasak, ibu boleh mengambil kesempatan itu untuk menarik minat anak memerhati dan berfikir.

Ketika menjerang air, tanyalah kepada anak kenapa wap panas keluar apabila air sudah masak. Atau ketika menggunakan soda bikarbonat untuk membuat kek, tanyakan kepada anak kenapa kek itu naik atau mengembang.

Uji kaji mudah itu juga boleh dikembangkan supaya anak merasakan keseronokan kegiatan dilakukan. Sekali lagi, bahan yang ada didapur boleh digunakan. Cubalah campurkan cuka dan soda bikarbonat. Saksikan bagaimana kedua-dua bahan itu bertindak balas.

Anak akan seronok melihat buih keluar daripada tindak balas dua bahan tadi. Terangkan kepada anak kenapa itu terjadi dan biarkan pula si anak mencubanya sendiri. Namun, jangan lupa, setiap kegiatan hendaklah dilakukan dengan berhati-hati dan diawasi ibu bapa.

Pelbagai kegiatan sains boleh dijalankan di rumah. Bukan saja di dapur, kegiatan sains itu juga boleh dijalankan semasa berkebun di laman rumah atau ketika mencuci kereta. Malah, kegiatan sains boleh dilakukan ketika bercuti ke pantai atau melancong ke pelbagai tempat menarik.

Apa yang ibu bapa boleh lakukan adalah mencari maklumat kegiatan untuk dilakukan bersama keluarga di internet atau buku. Perancangan awal terhadap kegiatan ingin dilakukan adalah penting.

Guru juga mempunyai tugas besar membentuk sikap dan pemikiran saintifik pelajar. Sikap dan pemikiran itu perlu dipupuk dengan menanam minat pelajar terhadap sains. Pelajar hendaklah dididik mempelajari dan meminati sains kerana sains penting dalam hidup manusia.

Sains secara asasnya bermula untuk menyelesaikan masalah seharian manusia. Inilah hakikat perlu difahami semua pihak. Ia bermakna sains berkaitan dengan kegiatan harian manusia dan bukannya untuk mendapat markah tinggi atau peluang pekerjaan yang baik saja.

Sebagai guru, mereka seharusnya bijak dan kreatif merancang kegiatan pembelajaran sains dengan lebih menarik. Kegiatan pembelajaran itu hendaklah meliputi ciri kegiatan sains iaitu pemerhatian, penerokaan, percubaan uji kaji, penilaian dan laporan kajian.

Pelajar hendaklah digalakkan dan diberi peluang bertanya serta mencuba sendiri uji kaji yang dijalankan. Ia penting kerana mempelajari sains tanpa berpeluang mencuba atau melakukan kajian sendiri adalah ibarat lagu tanpa irama. Kegiatan melakukan sendiri penting dalam pendidikan sains.

Pembelajaran sains juga tidak sewajarnya terhad dalam kelas semata-mata. Pelajar harus diberi peluang belajar di luar kelas. Malah, pembelajaran luar kelas ini memberi pelajar lebih peluang untuk meneroka dan memerhati. Guru boleh membawa pelajar menyelidik persekitaran sekolah. Semasa kegiatan ini, pelajar boleh membuat inventori serangga yang ada di kawasan sekolah.

Atau, pelajar boleh mengumpul pelbagai jenis daun di sekolah dan disusun dalam buku skrap. Daun serta serangga tadi boleh disusun dan ditulis namanya. Lebih menarik lagi jika pelajar disuruh mencari nama saintifik serangga atau tumbuhan yang dikumpul.

Selain itu, guru boleh mengatur kegiatan lawatan ke pelbagai tempat yang ada kaitan dengan dunia sains. Di Malaysia, ada banyak tempat seperti Pusat Sains Negara, Planetarium Negara, Petrosains dan Kompleks Falak Al-Khawarizmi.

Lawatan itu tidak terhad kepada tempat rasmi tetapi boleh ke tapak pelupusan sampah, kawasan sungai, pembinaan atau taman bunga. Malah, guru boleh menjemput ahli sains ke sekolah untuk berkongsi pengalaman mereka dengan pelajar.

Pendek kata, guru harus menggunakan kreativiti dan kepakaran mereka dalam pengajaran sains dan mereka hendaklah terus menerima latihan dalam membangunkan kaedah pengajaran sains dengan lebih menarik.

Hasrat membentuk golongan muda yang cintakan sains memerlukan kerjasama semua termasuk ibu bapa, pihak sekolah, guru dan saintis yang bersama menyumbang tenaga. Semua pihak hendaklah yakin bahawa kegiatan sains boleh dilakukan dan ia sememangnya menarik.

Guru pula memberikan alasan ‘banyak kerja’ atau ‘tiada masa’ untuk menjalankan kegiatan sains. Sikap sama mungkin ditunjukkan ahli sains. Jika semua orang menunjukkan sikap sebegini maka sampai bila pun usaha melahirkan masyarakat Malaysia mempunyai sikap dan pemikiran saintifik tidak akan berhasil. Oleh itu, berubahlah dan inilah kata kunci yang perlu kita pegang.

Penulis ialah Felo Pusat Sains dan Teknologi Institut Kefahaman Islam Malaysia

Monday, April 27, 2009

Ibu bapa alpa laksana amanah antara punca anak derhaka

Oleh Hashim Ahmad

ALLAH memerintahkan kita berbakti kepada kedua orang tua dan berbuat baik terhadap anak serta bersungguh dalam mendidik mereka kerana perbuatan itu termasuk sebahagian daripada menunaikan amanah Allah.

Melalaikan hak ibu bapa dan anak termasuk perbuatan khianat terhadap amanah Allah. Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya." (Surah an-Nisa, ayat 58)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Hai orang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanah diberi kepercayaan kepadamu, sedang kamu mengetahui." (Surah al-Anfal, ayat 27)

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Barang siapa diberi amanah oleh Allah untuk memimpin lalu ia mati (sedangkan pada) hari kematiannya dalam keadaan mengkhianati amanahnya itu, nescaya Allah mengharamkan syurga baginya." (Hadis riwayat Bukhari)

Meskipun ibu bapa mengetahui mendidik anak adalah tanggungjawab besar, masih ramai yang lalai dan menganggap remeh perkara itu. Kemudian, apabila anak derhaka, melawan orang tua atau menyimpang daripada aturan agama baru mereka menyalahkan anak.

Sedihnya, ramai tidak sedar sebenarnya ibu bapa juga menjadi penyebab utama sikap derhaka. Ada kelalaian atau kesilapan dalam mendidik anak yang tanpa disedari memberi saham kepada munculnya kenakalan remaja serta sikap durhaka kepada orang tua antaranya:

# Menumbuhkan rasa takut pada anak ketika mereka menangis dengan harapan berhenti dengan gambaran hantu, jin atau suara angin. Akibatnya, anak menjadi penakut seperti takut kepada bayang sendiri dan takut pada sesuatu yang sebenarnya tidak perlu ditakuti.

Contohnya, takut ke bilik mandi dan tidur sendiri kerana mendengar cerita hantu, jin. Ibu bapa tidak sepatutnya menakutkan anak.

# Mendidik anak menjadi sombong dengan niat supaya mereka menjadi berani. Berani tidak harus dengan bersikap sombong atau bongkak kepada orang lain.

# Membiasakan anak hidup berfoya-foya dan bermewah kerana yang mendorong mereka suka bersenang-senang, mementingkan diri dan tidak peduli keadaan orang lain. Mendidik anak seperti ini merosak fitrah, membunuh sikap bersederhana dan bersyukur.

# Selalu memenuhi permintaan anak kerana ada ibu bapa yang sedaya upaya menunaikan semua kehendak anak mereka. Sedangkan, tidak setiap yang diinginkan anak itu bermanfaat atau sesuai dengan usia serta keperluannya.

Jika anak biasa dipenuhi segala permintaannya, mereka tumbuh menjadi anak yang tidak peduli nilai wang dan kesusahan mencari rezeki. Mereka juga tidak tahu membelanjakan wang dengan baik.

# Mengalah dengan anak semata-mata tidak tahan mendengar tangisan mereka juga perlu difikirkan semula ibu bapa. Memang memberi apa diminta akan menghentikan tangisan tetapi ia menggalakkan sifat mengugut dengan menggunakan tangisan sebagai senjata.

# Terlalu berkeras juga tidak baik seperti memukul atau memarahi dengan suara tinggi. Ada ibu bapa menggunakan bahasa kasar ketika memarahi anak dan ada kalanya sikap itu menyebabkan anak kecil hati dan ada yang menyimpan dendam kerana tidak suka dimarah atau ditengking.

# Ada juga ibu bapa yang kedekut sehingga anak berasa tidak disayangi apabila permintaan atau keperluan tidak dipenuhi. Jangan terkejut jika disebabkan sikap kedekut ibu bapa, anak mula mencuri demi memenuhi keinginan mereka.

# Tidak memberi perhatian serta kasih sayang menyebabkan mereka mencari kasih sayang di luar rumah. Keadaan ini banyak terjadi dan menyebabkan anak terjerumus dalam pergaulan bebas. Anak yang tidak mendapat perhatian keluarga senang berpaling kepada rakan sebaya.

Jika tersalah pilih kawan, mereka akan rosak. Justeru, ibu bapa perlu mengambil perhatian mengenai pemilihan rakan anak takut memberi pengaruh negatif dan paling penting memberi kasih sayang secukupnya bagi membina keluarga bahagia.

# Ada juga ibu bapa yang terlalu menumpukan keperluan material anak sehingga terlupa kepentingan rohani sedangkan yang penting bagi memastikan pembinaan sahsiah seimbang dari aspek keperluan duniawi dan ukhrawi.

# Ibu bapa perlu ada rasa syak wasangka terhadap anak tetapi perasaan itu biar bertempat serta berasas kerana ada ibu bapa terpedaya dengan kebaikan anak hingga tidak dapat menerima hakikat bahawa anak mereka terbabit dengan aktiviti tidak baik.

Ibu bapa yang sangat percaya kepada anak tetapi tiba-tiba mendapati anaknya terbabit dadah, pasti akan terkejut dan tertanya-tanya kenapa perkara itu boleh berlaku. Berwaspada lebih baik daripada menyesal pada kemudian hari.

Itu antara kesalahan dilakukan ibu bapa sama ada antara sedar atau tidak. Justeru, ibu bapa bertanggungjawab meningkatkan pengetahuan dengan ilmu keibubapaan supaya dapat mendidik anak serta melayari kehidupan keluarga yang dipenuhi kasih sayang.

Monday, April 20, 2009

Promosi tingkah laku positif cara berkesan

IBU bapa memikul amanah Allah antaranya mendidik anak menjadi manusia berjaya.

Suasana masyarakat yang sangat materialistik memberi cabaran hebat kepada ibu bapa mendidik anak menjadi mukmin yang berperanan dalam Islam. Firman Allah bermaksud: "Wahai orang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu." (Surah at-Tahrim, ayat 6)

Ibu bapa perlu sedar mereka sedang menyediakan generasi baru yang mesti menjadi insan yang memberi kesan positif terhadap insan lain.

Secara langsung, nilai dan gaya hidup ibu bapa mempengaruhi tarbiah anak. Anak melakukan apa yang mereka lihat dan mengingatinya untuk dicontohi. Apa yang nyata, anak melihat ibu bapanya menipu tidak akan belajar menjadi orang yang jujur.

Oleh itu, ibu bapa perlu berhati-hati dalam perbuatan, perkataan serta tingkah laku kerana mereka adalah teladan kepada anak. Bak kata pepatah ' bapa borek anak rintik. Ia merujuk perilaku negatif ibu bapa yang menjadi ikutan anak.

Kita ingin perkara baik dilakukan anak yang menjadi biasan kepada ibu bapa supaya kena dengan pepatah, di mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi. Ibu bapa hari ini perlu kembali kepada ajaran al-Quran dan sunnah dalam usaha mendidik serta membesarkan anak supaya menjadi insan yang menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.

Banyak riwayat merujuk kisah teladan Rasulullah SAW mentadbir dan menguruskan rumah tangga antaranya:

# Mempromosikan dan menghayati hidup beragama dalam rumah tangga.

# Mewujudkan suasana keluarga yang sihat

# Mewujudkan sifat belas kasihan, ihsan, lemah lembut dan kasih sayang

# Memahami tahap keperluan anak mengikut proses pembesarannya.

Hakikatnya pencegahan kes juvana dan gejala moral lain bermula di rumah. Bagaimanapun sumbangan penting pihak berkuasa seperti polis amat besar dalam mencegah jenayah.

Firman Allah bermaksud: "Wahai orang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)." (Surah al-Anfal, ayat 27)

Wednesday, February 18, 2009

Iqra: Panduan sempurna bina sahsiah anak


Judul: Pesona Didik Anak Cara Sunnah
Penulis: Sheikh Musa Ahmad Olga
Penerbit: Pustaka Azhar
Pengulas: Jami'ah Shukri
Harga: RM13

ANAK adalah anugerah Tuhan yang amat bernilai kerana ia penyambung zuriat generasi sekarang dan akan datang. Institusi kekeluargaan tampak lebih lengkap dengan kehadiran anak.

Ibu bapa pula mempunyai tanggungjawab besar untuk membesar dan mendidik anak menjadi insan sempurna di dunia dan akhirat. Nabi Muhammad SAW memiliki akhlak paling mulia dan terpuji. Secara umumnya, semua ibu bapa tidak kira apa juga agama dan keturunan mengimpikan anak berakhlak baik.

Anak ibarat kain putih dan ibu bapa yang bertindak mencorakkan masa depannya. Sejak kebelakangan ini masyarakat di seluruh dunia termasuk umat Islam berhadapan pelbagai cabaran terutama agenda Barat yang sentiasa ingin menyesatkan manusia.

Justeru, buku ini boleh dijadikan panduan lengkap meliputi pengetahuan, pengalaman dan kaedah terbaik dalam mendidik. Ibu bapa wajib mendidik anak mengikut cara Islam yang sebenar.

Malah, pendidikan yang berunsurkan sunnah adalah kaedah paling sempurna kepada anak yang boleh dilakukan sejak dalam kandungan ibu dan disusuli dengan setiap peringkat usianya.

Sepanjang perjalanan anak itu mereka perlu dididik dalam pelbagai aspek. Persekitaran dan gaya hidup ibu bapa sendiri juga boleh mempengaruhi kelakuan anak. Jika mahu melahirkan anak yang bercirikan keislaman, ibu sendiri perlulah mengamalkan kehidupan Islam.

Pendidikan secara Sunnah itu meliputi pemakanan, cara berpakaian, kebersihan, sopan santun, hormat menghormati sesama insan khususnya ibu bapa sendiri dan sentiasa mentaati suruhan Allah seperti bersembahyang, berpuasa, bersedekah dan meninggalkan segala kemungkaran dalam apa juga bentuk. Ini adalah asas penting yang mampu membina disiplin, akhlak dan moral yang terpuji.

Ibu bapa juga seharusnya menggunakan pelbagai pendekatan dalam mendidik seperti memperdengarkan cerita atau kisah menarik daripada tokoh unggul dalam Islam. Kerap mendedahkan mengenai keperibadian dan kehidupan Rasulullah SAW selain menjelaskan siapakah Baginda supaya bercambah dalam segenap aura bagi menyemarakkan Sunnah. Keberanian dan semangat yang ada dalam banyak kisah nabi, sahabat-Nya serta orang yang salih itu penting sebagai pendidikan, pembinaan akhlak dan menanam perasaan mencintai Islam serta membuka mata dan hati untuk mencontohi sifat mereka.

Dengan semua penerapan nilai Islam dan Sunnah sudah pasti mampu membina generasi yang soleh. Apabila seorang anak Adam meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak salih.

Tuesday, October 21, 2008

Disiplin, kasih sayang tidak seimbang pincangkan proses mendidik anak

Oleh Noor Shakirah Mat Akhir

KASIH sayang mempunyai kesan amat kuat dalam pendidikan, khususnya bagi pembinaan keluarga. Pendidikan menggunakan kekerasan hanya mengundang padah lebih dahsyat. Pendekatan yang sama disarankan Islam dalam mendidik jiwa seseorang. Dalam konteks pendidikan kanak-kanak, pendidikan jiwa perlu diutamakan. Jiwa yang mengenal Allah, beriman dan menyembah-Nya serta bebas daripada syirik adalah matlamat pendidikan rohaniah.

Keadaan ini jelas difahami dalam al-Quran. Maksud firman Allah: "Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: "Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar." (Luqman: 13)

Akidah kukuh lagi mantap mesti melahirkan insan beramal salih dan berakhlak mulia. Pendidikan berasaskan kasih sayang dan bertanggungjawab bererti kasih sayang rasional dan masih disertakan dengan ketegasan. Kasih sayang rasional melahirkan usaha mendidik berterusan dan tanpa putus asa daripada pendidik. Kasih sayang yang bertanggungjawab merujuk kepada niat dan matlamat pendidikan untuk melahirkan insan beriman lagi bertakwa dan beramal salih serta berakhlak mulia.

Oleh itu, ia tidak bermakna kasih sayang membuta tuli memberi fokus kepada aspek material semata-mata mahupun aspek emosi saja. Tindakan ini membabitkan aspek pendidikan spiritual yang berlandaskan syariat. Seorang kanak-kanak perlu dididik bukan saja aspek fizikal, namun spiritualnya lebih perlu diambil kira. Namun, keseimbangan kedua-dua aspek ini penting demi memastikan perkembangan individu sejahtera. Pendidikan rohani termasuk menekankan kasih sayang antara ibu bapa dan anak. Kasih sayang adalah senjata utama dalam memastikan keberkesanan didikan kerana kepatuhan mudah terhasil daripada rasa cinta dan sayang. Kecintaan kepada Allah menjadikan kita hamba yang patuh dan taat.

Ibu bapa berperanan sebagai pendidik utama kepada anak sebelum gurunya. Kasih sayang yang terjalin atas dasar ibu bapa dan anak paling berkesan bagi memastikan segala ajaran dipatuhi. Perasaan kasih sayang juga akan lebih kukuh jika pelaksanaan tugas mendidik itu disertai dengan rasa tanggungjawab dan ikhlas serta sedar bahawa ia adalah amanah dari Allah.

Didikan dengan penuh kasih sayang tidak bermakna mengabaikan aspek disiplin yang tetap penting dilaksanakan, namun atas dasar kasih dan sayang untuk menyelamatkan seorang kanak-kanak daripada salah didikan. Disiplin yang disertakan dengan kasih sayang amat berbeza dengan berbentuk penaklukan dan pemerintahan. Dalam proses pendidikan, disiplin yang disertakan dengan kasih dan sayang serta niat melaksanakan amanah Allah tentu menghasilkan natijah baik. Salah faham antara disiplin dan kasih sayang menjadikan proses didikan tidak seimbang.

Jika masyarakat semakin tidak menitikberatkan keperluan rohani iaitu kasih sayang, maka pincang pembentukan sesebuah masyarakat. Gejala sosial seperti vandalisme, rogol, buli, penderaan dan pembunuhan menunjukkan rohani manusia semakin jauh daripada perasaan kasih sayang.

Semua jenayah terhadap makhluk lain hanya dilakukan jika diri seseorang kosong daripada kasih sayang. Perasaan ini perlu ada dalam diri manusia yang merangkumi kepada Allah, diri sendiri, sesama manusia dan makhluk lain. Didikan yang penuh dengan paksaan dan kekerasan tidak menghasilkan natijah yang baik.

Memandangkan kepentingan kasih sayang dalam pendidikan individu seterusnya masyarakat, maka dalam mengkaji permasalahan melanda sekarang perlu dihalusi punca berhubungkait dengan unsur kasih sayang.

Manusia yang kekurangan kasih sayang dan perhatian menjadi ganas dan tidak berperikemanusiaan. Tambahan pula jika tidak diiringi fahaman dan pegangan agama yang kukuh, manusia begini terus hanyut tanpa pertimbangan. Kasih sayang sepatutnya menjadi teras kepada pembinaan akhlak kanak-kanak yang bermula dari rumah.

Monday, October 20, 2008

Usaha Ibu bapa bimbing remaja semakin mencabar

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

Didikan agama benteng kukuh elak anak terjebak pengaruh rakan sebaya lakukan maksiat

MENJADI ibu bapa pada zaman yang sangat pesat berkembang dan berubah bukan mudah. Ibu bapa menghadapi banyak cabaran dan dugaan dalam usaha untuk membesar dan mendidik serta membentuk sahsiah dan akhlak anak mereka.

Peringkat yang paling sukar sekali bagi ibu bapa ialah peringkat peralihan daripada zaman kanak-kanak kepada remaja apabila anak mula menunjukkan perubahan dalam tingkah laku, dalam pergaulan, minat, pilihan kawan, peningkatan nafsu syahwat, gaya berpakaian dan sebagainya.

Ia peringkat yang penuh dengan pelbagai pengaruh serta tekanan luar dan kebanyakannya membawa pengaruh tidak baik iaitu yang melekakan, menyeleweng akidah dan akhirnya merosakkan akhlak serta menyebabkan pelbagai salah laku dan jenayah remaja.

Dengan pembangunan sosioekonomi yang berlaku begitu pesat, minda, ketahanan iman dan jati diri mudah tergugat kerana pengaruh pemikiran diimport, budaya dan nilai luaran yang mencemari serta menghakis keperibadian, nilai dan budaya timuran dan Islam.

Kemewahan dan kekayaan dinikmati hasil usaha pembangunan ekonomi sedikit demi sedikit mula menghakis dan mencemari pemikiran, nilai dan budaya kita.

Akhirnya ketahanan diri remaja lentur dan pupus menyebabkan sebahagian daripada mereka terjebak dalam penagihan dadah, jenayah, lepak, pengangguran dan maksiat.

Patutkah dipertanggungjawabkan segala masalah dan gejala itu ke atas bahu ibu bapa? Mungkinkah ada kuasa lain yang boleh membendung atau mengawal daripada merebaknya penyakit sosial di kalangan masyarakat kita?

Ketika kanak-kanak, mereka manja, suka disayangi, dipeluk cium dan sangat menghiburkan ibu bapa. Apabila menjangkau ke peringkat remaja, mereka berubah laku, tidak suka berkomunikasi dengan ibu bapa. Remaja lebih suka berinteraksi dengan rakan sebaya.

Jika mereka pilih rakan yang mengajak kepada kebaikan atau amal maaruf, bersyukur kita. Ramai daripada mereka lebih suka mengajak kepada kemungkaran dan maksiat. Sedikit demi sedikit tabiat buruk meresap ke dalam jiwa remaja dan akhirnya mereka berubah kepada keburukan.

Remaja lebih suka menghadap televisyen, radio dan komputer daripada bersemuka dengan ibu bapa dan adik beradik. Ini mempunyai kesan negatif kerana dengan keasyikan itu, mereka mengabaikan pelajaran. Mereka tidak menyahut panggilan ibu bapa untuk makan, bersembahyang dan aktiviti bersama.

Tugas harian mereka seperti mengemas bilik, membasuh pakaian, membuat kerja rumah dan mengulangkaji pelajaran semuanya terganggu dan terbiar. Akhirnya mereka mengalami masalah dalam proses pendidikan dan ada yang kecundang.

Pergaulan dengan rakan sebaya menyebabkan mereka mempelajari tabiat negatif. Anak bermula merokok, minum arak dan dengan sedikit demi sedikit mereka terdedah kepada maksiat seperti ke kelab malam dan ramai terperangkap dalam perzinaan atau seksual di luar nikah. Kita perlu meningkatkan kefahaman Quran dari semasa ke semasa, memperbaiki amalan yang dituntut Allah SWT dan ini dikerjakan bersama keluarga diketuai bapa. Malangnya pada zaman yang begitu mewah, kebanyakan kita leka dan memandang rendah kegiatan keagamaan.

Islam saja boleh menyelamatkan anak kita daripada segala gejala dan penyakit sosial.

Remaja suka mengikuti apa yang dilakukan ibu bapa dan juga pemimpin negara. Kita sebagai ibu bapa dan pemimpin patut memberi contoh terbaik seperti dilakukan Rasulullah saw.

Pemerintah pula perlu menyediakan peraturan dan undang-undang terkini ke arah membendung dan jika boleh membasmi maksiat yang kini sedang bermaharajalela.

Kawal dan sentiasa mengawasi tempat maksiat seperti pusat perjudian, pelacuran dan karaoke. Hentikan atau tarik lesen jika mereka melanggar arahan.

Insya-Allah dengan kerjasama dan komitmen padu oleh semua pihak, nescaya, kita mampu melahir generasi remaja yang memenuhi ciri warga negara seperti dihasratkan dalam Wawasan 2020. Berguna untuk duniawi dan ukhrawi.

Thursday, August 7, 2008

Kemanusiaan kita semakin hilang


Penderaan, pembunuhan bukti sifat belas kasihan tidak wujud dalam jiwa


MASYARAKAT negara ini terkenal di serata dunia dengan budaya hidup serta budi pekerti yang lemah lembut dan bersopan santun. Inilah juga yang memikat banyak hati sehingga ada yang mengambil keputusan tinggal di sini kerana tautan yang tidak boleh dirungkai lagi.

Keadaan itu menepati ajaran Islam yang menganjurkan umatnya menghiaskan diri mereka dengan sifat terpuji. Cuma sejak akhir-akhir ini kita dikejutkan dengan pelbagai kisah mengaibkan, kekasaran, penindasan, pembunuhan, penyalahgunaan dan kekejaman yang tidak kita reda sama sekali.

Rentetan itu sudah cukup membimbangkan dan menggambarkan betapa segelintir masyarakat Malaysia kini semakin ketandusan sifat kemanusiaan dalam sudut hati mereka disebabkan tiada belas kasihan sesama insan.

Bagi umat Islam, perbuatan penderaan dan penganiayaan dilarang keras kerana Islam adalah agama bersifat rahmat iaitu belas kasihan. Jika kita benar-benar menghayati agama, Insya-Allah tiada kepincangan dalam hubungan kemasyarakatan bahkan Rasulullah SAW juga menunjukkan cara sebaik-baiknya untuk berakhlak dengan tetangga dan ahli masyarakat.

Ditegaskan Allah dalam firman yang bermaksud: "Kami tidak mengutuskan engkau (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat kepada alam sejagat." (Surah al-Anbia', ayat 107)

Menjadi orang yang membawa kebaikan kepada alam sejagat bukanlah mudah dan kerana itu Rasulullah SAW mengajarkan perbuatan baik untuk dilakukan kepada orang lain supaya Baginda tidak berseorangan dalam urusan ini sebaliknya dibantu dan disokong oleh sahabat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Kamu sekali-kali tidak akan dianggap beriman sehingga kamu bersifat rahmat. Ujar sahabat: Kami semua sememangnya bersifat rahmat. Lantas Baginda SAW menjawab: Bukan itu maksudku, rahmatmu kepada kawan kamu, sebaliknya maksudku ialah rahmatmu kepada umum (alam sejagat)." (Hadis riwayat Tabarani)

Dimaksudkan dengan rahmat adalah apa juga perkara yang membawa kebaikan dan Islam satu-satunya agama membawa misi keamanan, kedamaian, keharmonian, kemesraan dan rahmat kepada seluruh isi alam termasuk binatang.

Oleh itu, bagi menjamin kedamaian dan rahmat terlaksana Islam memerintahkan umatnya menghias diri mereka dengan sifat belas kasihan yang turut menjadi bukti kepada kesempurnaan iman seseorang kepada Allah.

Belas kasihan ini bukan saja kepada sahabat terdekat tetapi alam seluruhnya, lebih-lebih tetangga dan tetangga dalam Islam termasuklah orang yang hampir dengan kita kerana rumahnya berdekatan atau hampir kerana hubungan nasab mahupun agama.

Sebagai umat Islam, kita perlu berbuat baik terhadap mereka paling hampir dengan kita terlebih dulu sehingga apabila ingin memberi sedikit juadah kepada tetangga, Rasulullah SAW mengajar supaya diberi kepada jiran pintunya paling hampir dengan rumah kita, bukan yang paling rapat.

Sifat belas kasihan membuatkan kita mudah tersentuh apabila melihat kesusahan menimpa orang lain dan begitu juga sebaliknya. Jika perasaan seumpama itu tidak wujud dalam diri manusia, maka ia menurunkan taraf manusia lebih teruk daripada binatang, seperti sanggup membunuh anak sendiri sedangkan binatang masih lagi memiliki perasaan belas kasihan terhadap anaknya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Allah menjadikan rahmat 100 bahagian, satu bahagian daripadanya sudah diturunkan ke bumi. Daripada bahagian satu inilah, sekalian makhluk dapat berbelas kasihan sesama sendiri antara satu sama lain hinggakan ada seekor binatang yang mengangkat kakinya kerana takut terpijak anaknya sendiri." (Hadis riwayat Bukhari)

Ibu bapa yang mempunyai anak memikul tanggungjawab berat dalam pendidikan anak. Ibu bapa perlu mempunyai sifat kasihan belas dalam proses pendidikan anak. Jika mereka melakukan kesalahan, hendaklah ditegur dan betulkan dengan kasih sayang, bukan memukul dengan kekerasan.

Dalam tahap pendidikan pada awal usia, anak perlu dibelai, ditatang serta diasuh dengan penuh kasih sayang, bukannya dengan kekerasan yang hanya akan menyebabkan anak semakin liar dan nakal. Perlu diingat gejala sosial yang semakin membarah dalam masyarakat berpunca daripada kepupusan perasaan kasihan belas serta kemesraan dalam rumah tangga.

Justeru, apabila berlaku kesilapan atau kesalahan oleh anak, ibu bapa perlu menilai kemungkinan itu berpunca daripada kesilapan mereka yang gagal mewujudkan keharmonian rumah tangga seperti dituntut Islam dan bukannya bermula daripada masalah sosial yang dilalui selepas besar panjang.

Dalam konteks kekeluargaan pula, suami isteri perlu bertolak ansur dan berbelas kasihan antara satu sama lain menguruskan serta melancarkan perjalanan rumah tangga mereka. Ia selaras objektif perkahwinan untuk menyuburkan bibit kasih sayang dan kemesraan antara suami isteri bagi mengecapi kebahagiaan sejati.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan." (Surah al-Rum, ayat 21)

Justeru, warga Malaysia yang harmoni, paksikan tatacara kehidupan dengan moral dan akhlak tinggi, zahirkan kasih sayang yang syarie, belas kasihan tanpa malu dan sangsi, semata-mata kerana rahmat dari Ilahi, pasti tidak ada bencana terjadi, apatah lagi kekejaman melanggar hak asasi.

Sunday, August 3, 2008

Persoalan Agama: Tangani konflik identiti anak sejak kecil

Bersama Jakim

Soalan:

SAYA hairan kerana ada perempuan yang personaliti mereka seperti lelaki; berambut pendek, berpakaian lelaki dan lagak kasar. Pada masa sama, ada pula lelaki berlagak seperti perempuan. Persoalannya adakah mereka hanya bermain dengan perasaan atau secara semula jadi memang begitu.

Saya mempunyai saudara lelaki yang pada mulanya kelihatan lembut tetapi tidaklah sehingga bersolek dan berperwatakan wanita. Bagaimanapun, dia kini berubah sehingga seperti wanita. Apakah pandangan Islam terhadap perbuatan begitu dan pendekatan menanganinya.

Hassanuddin Malik,
Petaling Jaya, Selangor.

Jawapan:

ISLAM melarang perbuatan lelaki menyerupai wanita atau wanita menyerupai lelaki. Larangan ini berdasarkan hadis diriwayatkan Abu Hurairah ra, Nabi SAW bersabda yang bermaksud;

"Empat golongan berada dalam kemurkaan Allah pada pagi dan petang, iaitu lelaki yang menyerupai perempuan, perempuan yang menyerupai lelaki, mereka yang melakukan persetubuhan dengan binatang dan mereka yang melakukan persetubuhan sesama lelaki (homoseksual)."( Riwayat Ibnu Majah, At- Tirmizi, An- Nasa`ie)

Pendekatan psikologi dan kaunseling adalah kaedah terbaik bagi menangani konflik identiti ini. Oleh itu, ibu bapa sebagai guru pertama kepada anak, perlu memainkan peranan penting. Mereka perlu lebih prihatin dalam memantau pembesaran anak agar perubahan yang berkaitan dengan konflik identiti ini dapat ditangani pada peringkat awal lagi.

Antaranya ialah mendidik mereka dengan iman dan akhlak Islam seperti memastikan cara mereka berpakaian, berhias, bercakap, berjalan dan bergaul.

Pengurusan sekolah juga perlu berperanan dalam menangani konflik ini dengan mengadakan aktiviti yang menghalang mereka daripada terjebak dengan kegiatan tidak bermoral seperti mengadakan ceramah mengenai bahaya dan implikasi perbuatan itu. Begitu juga masyarakat, agensi kerajaan dan agensi bukan kerajaan perlu saling bekerjasama bagi menyelesaikan pemasalahan berkenaan.

Selain itu, mereka boleh didakwa melakukan kesalahan mengikut peruntukan undang-undang, contohnya mengikut Seksyen 28, Akta Kesalahan Syariah (Wilayah–wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) Bahagian IV iaitu kesalahan yang berhubungan dengan kesusilaan.

Sesungguhnya, Allah SWT menciptakan manusia lelaki dan perempuan yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Bagi mereka yang sudah terlanjur melakukan perkara diharamkan ini, wajib kembali ke pangkal jalan.

Firman Allah Surah al- Nisa' 4:27 ada menyebut yang bermaksud: "Dan Allah hendak (membersihkan kamu daripada dosa dengan) menerima taubatmu, sedangkan (orang fasik) yang menurut keinginan hawa nafsu (yang diharamkan oleh Allah itu) hendak mendorong kamu supaya kamu menyeleweng (daripada kebenaran) dengan penyelewengan yang besar bahayanya".

Saturday, August 2, 2008

Ibu 'sekolah pertama' setiap anak

Oleh Hashim Ahmad

ABU Hurairah berkata, seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW. Dia berkata: "Ya Rasulullah, siapa orang yang paling berhak mendapat kebaikanku? Rasulullah SAW menjawab: Ibumu. Dia bertanya: Kemudian siapa? Rasulullah SAW menjawab: Ibumu. Dia bertanya: Kemudian siapa? Rasulullah SAW menjawab: Ibumu. Dia bertanya: Kemudian siapa? Rasulullah SAW menjawab: "Kemudian bapamu."

Sebahagian ulama berkata: "Hal itu terjadi kerana ibu memiliki tiga perkara sangat mahal yang tidak dimiliki bapa iaitu mengandung, melahirkan dan menyusukan."

Firman Allah bermaksud: "Ibunya mengandungnya dengan susah payah dan melahirkannya dengan susah payah (pula). Mengandungnya sampai menyusuinya adalah tiga puluh bulan." (Surah al-Ahqaf, ayat 15)

Satu hakikat lagi yang tidak diperdebatkan ialah masa diperlukan oleh seorang anak untuk berdikari daripada zaman kanak-kanaknya lebih panjang berbanding makhluk lain. Ibu yang melatih anaknya untuk duduk, berdiri dan berjalan.

Hakikat inilah yang melahirkan ungkapan bahawa 'ibu adalah sekolah pertama' bagi setiap anak. Ibu adalah sekolah pertama sementara pendidikan menjadi tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Abu Hurairah berkata, Nabi SAW bersabda bermaksud: "Wanita dinikahi kerana empat perkara, hartanya, kedudukannya, kecantikannya dan agamanya. Pilihlah pemilik agama nescaya kamu beruntung." (Hadis riwayat Muttafaq alaihi)

Oleh kerana ibu sekolah pertama maka dia dituntut memiliki kemahiran asas supaya dapat memainkan peranan secara positif dan bererti kepada anaknya. Antara kemahiran perlu ada pada ibu ialah:

l Kemampuan memberi asas agama khususnya berkaitan dengan ibadah yang menjadi harian seperti wuduk, solat dan doa untuk setiap amalan.

l Kemampuan asas membaca, menulis, mengira disertai pengetahuan mengenai cara pengajarannya kepada anak.

l Kemampuan asas bermain secara mendidik kerana dunia anak adalah dunia bermain dan tidak semua permainan memiliki nilai positif. Di sinilah tanggungjawab ibu memilih dan memantau.

l Pengetahuan asas mengenai akhlak yang baik dan cara penamaan pada anak.

l Pengetahuan asas mengenai perkembangan anak. Hal ini untuk mengoptimumkan pertumbuhan anak sehingga dia menjadi anak yang sihat fizikal serta mental.

Justeru, ibu sebagai sekolah pertama anak perlu mempersiapkan diri dengan semua kemahiran supaya dapat melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna dan jangan serahkan urusan itu sepenuhnya kepada pembantu rumah.

Kerjaya bukan alasan membolehkan ibu menafikan tugas di rumah termasuk mendidik anak.

Peranan dan kedudukan ibu tidak boleh diganti oleh nenek lebih-lebih pembantu. Islam menyeru wanita Muslimah supaya sentiasa memberi perhatian kepada tugas mendidik dan membimbing anak dan bagi yang bekerja, perlu bijak membahagikan masa.

Walau sesibuk mana, masa serta perhatian ibu hendaklah tetap di rumah seperti mana seruan Islam melalui firman Allah bermaksud: "Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu." (Surah al-Ahzab: Ayat 33)

Seruan ini selain mengingatkan ibu akan tanggungjawab mereka, ia juga bagi membantu masyarakat mengelak daripada berlaku gejala tidak sihat disebabkan kesibukan ibu bapa hingga terlupa akan tanggungjawab menjaga serta mendidik anak.

Tuesday, July 29, 2008

Mendidik anak dengan kasih sayang adalah amanah

Oleh Aminudin Mansor

IBU bapa disaran supaya mendidik anak sejak dari dalam rahim, selepas lahir, remaja hingga dewasa. Proses pendidikan ini biarlah berjalan mengikut perkembangan dan berterusan dalam kehidupan seseorang.

Ada beberapa pendapat menjelaskan mengenai pendidikan anak antaranya, Hamka pernah berkata, “Anak yang tidak diberi didikan sederhana dan tidak dididik dengan sikap percaya kepada dirinya sendiri, tidak ubah bagaikan burung yang tidak tumbuh bulunya.”

Jelaslah pendidikan penting dilakukan sejak seseorang anak itu masih kecil, membesar dan remaja bagi mengelak mereka terjebak gejala negatif boleh merosakkan diri.

Ali bin Abi Thalib menegaskan, didiklah anakmu melebihi pendidikan yang pernah engkau lalui, kerana mereka akan hidup pada zaman yang tidak sama dengan zamanmu.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Didiklah anak kamu atas tiga sifat iaitu: cintakan Nabi mereka, cintakan keluarga Nabi dan membaca al-Quran.”

Selain itu, didiklah juga anak dengan sifat pemurah, adil, benar, sabar, pemaaf, kasih sayang, cinta, kesopanan, zuhud dan tawaduk. Sifat ini adalah sifat nabi dan keluhuran hati Rasulullah SAW yang patut diteladani dalam menjalani kehidupan ini bagi kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Selain itu, hati anak hendaklah dididik dengan sifat mahmudah seperti sabar dengan ujian, takut dan harap pada Allah, ikhlas serta selalu mengingati mati.

Anak juga mestilah dididik dengan adab kerana melalui pendidikan mereka akan sentiasa menjaga adab dan kesopanan serta maruah diri.

Tokoh Islam, Hamid Abd al-Khaliq Hamid pernah berkata, perhatikanlah anakmu supaya hatimu dipenuhi keimanan sebelum kamu mengasuhnya, sehingga dapat menumbuhkan kasih sayang dalam jiwanya.

Menurutnya lagi, tataaturan yang keras dalam keluarga membuat peribadi anak bersikap ragu-ragu dalam melakukan segala hal dan rasa takut serta salah selalu menghantui dirinya.

Tugas ibu bapa mendidik anak adalah suatu amanah dan ibadah. Didiklah anak dengan cinta, kasih sayang dan kesopanan dengan lembut dan berhemah. Pendidikan adalah suatu usaha yang bertujuan melayani, memelihara pertumbuhan jiwa, hati, perasaan dan budi pekerti.

Tuesday, February 19, 2008

Ufuk Minda: Kerap bersoal 'mengapa' bimbing anak mengenal hikmah

Bersama Prof Dr Sidek Baba

GENERASI muda memerlukan pendekatan bersepadu dalam membangun kecemerlangan ilmu dan watak. Zaman kritikal pembentukan kesantunan dan adab anak ialah daripada hari pertama lahirnya hingga akil baligh perlu didekati dengan bijaksana menerusi teladan.

Institusi keluarga adalah asas bagi membangunkan generasi. Ibu bapa sewajarnya mempunyai ilmu dan kemahiran asas bagaimana pendidikan harus berlaku pada masa kini. Ketrampilan komunikasi dan kaunseling, memahami pertumbuhan jiwa dan perkembangan tabiat adalah amat perlu.

Upaya kasih sayang dan belaian yang dimiliki ibu seharusnya menjadi pemangkin terhadap pembinaan diri anak. Pada tahap ini, rasa ingin tahu anak adalah tinggi, naluri ingin dihargai dan disantuni segar dan mencontohi sesuatu terhadap yang lebih dewasa amat subur.

Mendekati anak dengan rangsangan positif adalah perlu. Pendedahan anak dengan rangsangan media cetak dan elektronik serta pengaruh rakan sebaya harus diimbangi dengan keupayaan ibu bapa memberikan pendekatan alternatif yang dapat membentuk jalan berfikir serta sikap yang betul supaya pendewasaan berada dalam pimpinan dan bimbingan yang terarah.

Asas binaan anak di rumah adalah amat penting bagi mengelakkan kekontangan jiwa dan kelompangan emosi berlaku. Anak yang sudah terbina asas potensinya bakal menjadi cemerlang dan menyumbang terhadap sekolah. Kurikulum pengajaran dan pembelajaran dinamik harus dibekalkan kepada mereka secara bersepadu supaya setiap subjek diajarkan terkandung asas nilai yang jelas.

Metodologi pengajaran dan pembelajaran sewajarnya merangsang minat anak untuk belajar supaya pemahamannya meningkat, upaya berfikirnya berkembang dan daya penyerapan nilai menjadi kuat. Oleh itu, sukatan ilmu harus mampu meraikan yang cerdik, sederhana dan lemah.

Pengajaran sains umpamanya, tidak hanya mendidik mereka mengenai 'apa' tetapi harus didekati dengan persoalan 'mengapa'. Air yang diciptakan secara saintifiknya menemukan hidrogen dan oksigen.

Menimbulkan persoalan 'mengapa' membimbing anak mengenai hikmah di sebalik diciptakan air. Tanpa air, kehidupan tidak akan berlaku. Hikmah di sebalik kewujudan air menyebabkan kehidupan berlaku, pohon tumbuh menghasilkan buah, ikan dan haiwan membiak untuk rezeki manusia.

Ia membangkitkan kesedaran mempelajari sains, mengenai keadaan kejadian mendekatkan pelajar dengan Pencipta. Begitu juga pengajaran geografi yang dulu dikenal sebagai ilmu alam. Memahami maksud alam tidak saja memberi fokus kepada alam tofografik dan fizikal. Amat penting dikaji mengenai alam angkasa yang ada kaitan dengan bumi dan alam ghaib.

Mengkaji faktor ghaibiyyat seperti Allah berkait rapat dengan alam nyata dan alam benda. Adanya yang nyata kerana wujudnya yang ghaib. Tubuh badan tidak akan bergerak, otak tidak akan berfikir, hati tidak akan berasa jika faktor ghaib iaitu roh tiada di dalam diri seseorang. Menghidupkan jasad yang nyata berpunca daripada roh yang menghasilkan hayat. Jasad tidak akan memberi makna apa-apa jika roh tercabut daripadanya.

Mendidik pelajar mengenai alam ghaib iaitu Pencipta, berkait dengan alam nyata dan benda sebagai limpah rahmah dan nikmat daripada-Nya. Menginsafi bahawa benda di dunia ini sebagai amanah Penciptanya iaitu Allah, maka pengurusan benda berlaku dengan adil bagi mewujudkan kesejahteraan.

Hal sama apabila pelajar diajar mengenai sejarah. Al-Quran menyatakan, banyak kisah manusia terdahulu dan jatuh bangunnya sesuatu tamadun. Ia bermaksud memberikan teladan kepada manusia kini dan masa depan bahawa sifat sejarah dan peristiwa yang berlaku resamnya berulang.

Sirah Rasulullah SAW memberikan manusia sempadan yang sifatnya jahiliah dan batasan yang dilandasi akidah. Memahami batasan itu, manusia harus mampu hidup, maju dan bertamadun berasaskan sempadan ini.

Ilmu yang diambil daripada tradisi Barat dan Timur adalah sesuatu yang boleh memberi manfaat. Ilmu yang tumbuh daripada sikap berfikir terhadap tamadun Islam harus mampu menemukan ilmu berbanding yang berguna dan sistem nilai jelas secara dinamik supaya faktor rohaniah menampilkan nilai amanah, jujur, adil, telus dan tulus dapat berperanan secara berkesan dalam membangun peribadi unggul Islami.

Ia menuntut penyelarasan pendidikan secara bersepadu bagi mencetuskan keinsafan bahawa di mana pun kita berperanan dan apa sektor pun kita berada, amanah pendidikan dan penyuburan nilai murni menjadi sesuatu yang penting.

Tuesday, January 29, 2008

Ufuk Minda: Didikan awal bina kekebalan jiwa, pemikiran anak

Bersama Prof Dr Sidek Baba

SEBAHAGIAN generasi muda kini amat rapuh dengan pengaruh yang cenderung membawa kerosakan diri dan akhlak. Mereka memberontak terhadap tradisi dan kelaziman, malah setengahnya menolak kepentingan agama untuk memandu jalan kehidupan. Perkara buruk mudah dicontohi, perkara baik selalu dicemuh dan tidak dijadikan amalan.

Islam menganjurkan pendekatan pencegahan lebih baik daripada mengubati. Hari ini pendekatan mengatasi masalah generasi muda lebih banyak kepada pendekatan natijah terakhir (end result). Bila nasi sudah menjadi bubur, tidak banyak yang boleh dilakukan. Bila ketagihan dadah mula bertapak agak payah untuk diubati. Bila merokok sudah menjadi tabiat terlalu sukar untuk diatasi.

Pencegahan bermakna memberi asas kekebalan pada hati dan pemikiran menerusi asuhan dan teladan. Anak pada asalnya kosong daripada sudut pemikiran dan tingkah laku. Ia terisi dan terbentuk akibat pengaruh sekitar, didikan ibu bapa dan pengaruh rakan sebaya. Sesuatu yang baik diulang lakukan, nilai yang berguna dilazimkan dalam amalan, teladan yang baik sering dijadikan pedoman adalah asas penting dalam pembentukan akhlak anak.

Dua tahun tempoh kelahiran bayi diberikan suntikan untuk menjaga kesihatan jasmaninya. Kekebalan perlu ada pada dirinya daripada penyakit kancing gigi, cacar, hepatitis B dan sebagainya. Bila kekebalan diri sudah ada, penyakit tidak mudah menjangkiti dan kesihatan diri akan berpanjangan. Hal yang sama diperlukan kepada kekebalan akhlak dan tingkah laku.

Usia awal hingga ke aqil baligh adalah tempoh kritikal memberikan tapak perangai dan jalan tingkah laku kepada anak. Naluri suka meniru, berkawan, ingin tahu yang ada pada mereka menyebabkan anak mudah terikut-ikut dengan apa yang ada di sekitarnya.

Jika yang mempengaruhi itu adalah hal baik ia adalah berguna. Jika ibu bapa membiarkan anak dalam keadaan kelompangan hati dan kekosongan teladan, pengaruh buruk mudah mendatangi. Jika keadaan ini berterusan, kerapuhan jiwa dan fikir mudah terjadi.

Kekebalan jiwa dan pemikiran anak perlu dilakukan menerusi pupukan kasih sayang, membina keyakinan dengan asas maklumat dan pengetahuan mudah difahami, ajaran mengenai nilai, adab dan kesantunan, proses pembina teladan baik supaya akhirnya anak dengan kelaziman dan kebiasaan baik dapat membezakan sesuatu yang berfaedah atau sebaliknya.

Pada hari ini, sebahagian anak gagal mengenal dan membezakan sesuatu yang memberi guna atau sebaliknya kerana pedoman dan bimbingan tidak diberi pada tahap awal kehidupannya. Keputusan dibuat, sikap diteladani, gelagat dibentuk hasil daripada rangsangan cita rasa keanak-anakan atau remaja yang tidak matang dan menyebabkan pelanggaran nilai serta agama hingga menyebabkan nafsu melulu mengambil tempat.

Pengaruh media cetak dan elektronik umpamanya memberi kesan kepada generasi muda. Apa ditonton dan dibaca berperanan membentuk jalan berfikir dan bertindak anak. Kecuali kesedaran awal membezakan sesuatu itu baik atau buruk diberi. Lazimnya pengaruh persekitaran berlaku sepanjang masa.

Anak yang aktif fizikal dan pemikirannya mudah terpengaruh dengan sesuatu diminati dan disukainya tanpa banyak berfikir akibatnya. Keseronokan sering menjadi faktor yang mendorong perlakuan dan tabiat.

Perlakuan buruk dilakukan berulang-ulang menyebabkan sesuatu itu menjadi lazim. Untuk mengubahnya bukanlah satu hal yang mudah. Jika pendekatan pencegahan dibuat pada peringkat awal ia boleh menjadi benteng dalam menghadapi gelagat dan perlakuan negatif.

Selalunya pendekatan pencegahan dilakukan dengan memberi nasihat keagamaan. Amalan bercakap benar, menghormati ibu bapa dan orang tua, berkawan dengan rakan sebaya yang baik, suka menolong orang, menepati waktu dan menjaga kebersihan, suka membaca dan berbincang adalah contoh perkara baik yang perlu bagi anak khususnya remaja.

Pendekatan ini hanya berkesan dan dapat dijadikan amalan sekiranya ia dilakukan menerusi teladan. Rasional harus diberitahu kepada mereka mengapa amalan baik itu patut berlaku kepada diri mereka. Apakah kesan sebaliknya akan berlaku jika teladan baik itu tidak dijadikan pedoman hidup.

Interaksi sebegini penting dan dilakukan secara fitrah iaitu menerusi kasih sayang, belaian, didikan, tunjuk-ajar dan teladan. Keperluan anak hari ini tidak saja sifatnya makan pakai, hiburan dan hal bersifat kebendaan.

Kes juvana atau salah laku yang terjadi apabila diselidik membawa kepada kesimpulan mengenai anak yang terbiar, ibu bapa tidak menjadi teladan baik, nilai agama diketepikan, rakan sebaya yang tidak membantu, keciciran di rumah dan sekolah.

Oleh itu, kekebalan hati dan pemikiran perlu dipupuk dengan asas teladan, contoh dan maklumat yang sesuai dengan umur dan pengalaman hidup anak. Proses ini harus berlaku berterusan supaya keremajaan dan kedewasaannya nanti memiliki kekebalan yang tinggi.

INTI PATI

Jika ibu bapa membiarkan anak dalam keadaan kelompangan hati dan kekosongan teladan, pengaruh buruk mudah mendatangi. Jika keadaan ini berterusan, kerapuhan jiwa dan fikir mudah terjadi.

Kekebalan jiwa dan pemikiran anak perlu dilakukan menerusi pupukan kasih sayang, membina keyakinan dengan asas maklumat dan pengetahuan mudah difahami, ajaran mengenai nilai, adab dan kesantunan, proses pembina teladan baik supaya akhirnya anak dengan kelaziman dan kebiasaan baik dapat membezakan sesuatu yang berfaedah atau sebaliknya.

Untuk mengubah perlakuan buruk anak bukanlah satu hal yang mudah. Jika pendekatan pencegahan dibuat pada peringkat awal ia boleh menjadi benteng dalam menghadapi gelagat dan perlakuan negatif.

Kekebalan hati dan pemikiran perlu dipupuk dengan asas teladan, contoh dan maklumat yang sesuai dengan umur anak.

Tuesday, January 8, 2008

Perspektif Ikim: Memahami penting belajar galak anak dahaga ilmu

Oleh Azrina Sobian

MINGGU ini adalah minggu kedua untuk 2008. Rasanya masih belum terlewat membicarakan antara perkara penting berkait dengan tahun baru iaitu permulaan musim persekolahan yang sudah bermula.

Namun, perbincangan ini tidak sama sekali merujuk kepada persediaan kebendaan oleh ibu bapa, guru dan anak dalam menghadapi musim baru persekolahan. Perbincangan lebih kepada usaha membentuk anak yang kita hantar ke sekolah untuk menjadi orang berilmu, seterusnya melahirkan masyarakat Malaysia berilmu.

Apabila anak dihantar ke sekolah, apakah sebenarnya yang mereka fikirkan? Apa pula yang diharapkan ibu bapa? Adakah kita pernah bertanyakan soalan ini? Adakah kita, sebagai ibu bapa pernah benar-benar memikirkan harapan kita menghantar anak ke sekolah?

Jika soalan itu ditanyakan kepada ibu bapa, pelbagai jawapan akan kita terima, itupun jika mereka ada jawapan kepada soalan berkenaan. Umumnya, jawapan diberikan adalah hampir sama walaupun hadir dalam ayat berbeza.

Semua ibu bapa mahu anak menjadi pandai. Bagi masyarakat kita, menjadi pandai selalunya dikaitkan dengan lulus cemerlang dalam peperiksaan. Seterusnya anak itu layak masuk ke universiti dan akhirnya apabila lulus, mereka boleh mendapat pekerjaan baik dengan gaji lumayan.

Dalam proses disebutkan itu, terselit juga harapan lain. Contohnya, dalam usaha menjadi pandai, ibu bapa berharap anak juga boleh menjadi ahli masyarakat berguna dengan kembali menyumbang kepada masyarakat.

Jika kaedah disebut di atas benar, maka nyatalah bahawa usaha pembudayaan ilmu dalam masyarakat kita amat cetek sifatnya. Andai anak menganggap ke sekolah hanya untuk lulus peperiksaan, masuk universiti dan mendapat kerjaya hebat, maka ini bermakna usaha membentuk insan yang mencintai dan membudayakan ilmu dalam hidupnya sebenarnya tidak kesampaian.

Justeru, pemikiran bagaimana yang perlu ditanamkan dalam kotak fikiran anak kita? Sewajarnya, anak yang memulakan persekolahan diingatkan tujuan utama ke sekolah adalah untuk mencari dan mencintai ilmu serta menggunakan ilmu dengan cara betul.

Selepas itu, barulah kita mengajar anak itu bahawa jika mereka berjaya mencari, mencintai dan menggunakan ilmu dengan baik, maka pada ketika itulah mereka akan dianggap sebagai manusia yang pandai lagi berjaya. Tidak kurang pentingnya, anak perlu diingatkan bahawa usaha itu akan mendekatkan diri mereka dengan Allah.

Apabila anak muda sudah jelas tujuan mereka menuntut ilmu, maka tidak akan timbul lagi persoalan belajar bila perlu. Anak kita akan sentiasa dahagakan ilmu dan mencari ilmu demi mendapat keredaan Maha Pencipta.

Oleh itu, anak dididik untuk berpegang pada pencarian ilmu yang lengkap tentunya boleh dibezakan dengan mereka yang dangkal ilmu.

Pada saat ini, ilmu yang akan membezakan anak kita. Seperti disebut Prof Wan Mohd Noh Wan Daud dalam penulisannya, "perbezaan insan bukanlah semata-mata merujuk kepada unsur jasmani dan genetik (keturunan), tetapi paling penting merujuk kepada unsur rohani dan akhlak. Dalam hal ini pastinya pemilikan ilmu tinggi dalam diri manusia termasuk dalam kerangka rohani dan akhlak."

Permulaan persekolahan anak dengan pemikiran sebegini adalah penting. Jika mereka memulakan alam persekolahan dengan hanya memikirkan memperoleh ilmu, maka besar kemungkinan pembudayaan ilmu dalam masyarakat kita akan berjaya. Tetapi jika pemikiran salah ditanamkan dalam kotak fikiran pelajar muda itu, maka selamanya mereka tidak jelas sebab sebenar mereka belajar atau menuntut ilmu.

Sebenarnya, usaha membetulkan pemikiran anak agak sukar. Kesukaran berlaku kerana sebahagian besar ibu bapa dan ahli masyarakat tidak memahami tujuan menuntut ilmu. Jika yang dewasa gagal memahami, apakah harapan yang hendak kita letakkan kepada anak kecil ini?

Hasilnya, anak ke sekolah hanya untuk mengejar keputusan cemerlang atau cukup sekadar lulus peperiksaan dan boleh menjawab soalan ditanyakan guru. Oleh itu, dalam usaha membudayakan ilmu, seluruh lapisan masyarakat perlu melakukannya dan memahami matlamatnya.

Maka, fikirkanlah dan mulalah mengambil tindakan. Pembudayaan ilmu harus berlaku dalam setiap lapisan masyarakat, namun jika usaha ini dilakukan seawal mungkin iaitu kepada anak, maka kita akan mengecapi nikmat berpanjangan.

Oleh Azrina Sobian ialah Felo Pusat Sains dan Teknologi, Institut Kefahaman Islam Malaysia