Showing posts with label Muallaf. Show all posts
Showing posts with label Muallaf. Show all posts

Wednesday, December 2, 2009

Peguam Syarie Menulis: Seksyen 51 nafi hak mualaf bubar perkahwinan

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip


JIKA salah seorang pasangan suami isteri bukan Islam memeluk Islam, perkahwinan itu boleh terbatal dengan sendirinya jika pihak satu lagi tidak turut masuk Islam dalam tempoh edah. - Gambar hiasan


Mahkamah Sivil hanya benar pasangan bukan Islam fail petisyen batal ikatan suami isteri


UNDANG-UNDANG perkahwinan dan perceraian di negara ini ditadbir dua kod berbeza yang merujuk kepada Islam dan bukan Islam. Bagi orang Islam, mereka tertakluk kepada enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri masing-masing.

Bagi bukan Islam pula dikawal selia di bawah Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) atau dikenali dengan 'Law Reform Act'.

Seksyen 51 Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 memperuntukkan jika satu pihak memeluk Islam, maka pihak satu lagi boleh membuat petisyen di mahkamah untuk membubar perkahwinan.

Mahkamah boleh membuat perintah kepada isteri atau suami bagi menjaga kepentingan anak jika ada, atau meletakkan syarat apabila membubarkan perkahwinan itu. Mahkamah dimaksudkan ialah Mahkamah Sivil.

Jika meneliti Seksyen 51 Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, peruntukan seksyen hanya memberi hak kepada pihak yang tidak memeluk Islam memfailkan petisyen pembubaran perkahwinannya di mahkamah. Sementara pihak yang memeluk Islam tiada hak membubarkan perkahwinan.

Merujuk Seksyen 46 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, jika salah satu pihak bukan Islam memeluk Islam, perbuatan demikian tidak boleh sendirinya berkuat kuasa membubarkan perkahwinan itu sehingga Mahkamah Syariah mengesahkannya.

Jelaslah di sini ada percanggahan antara dua undang-undang itu. Bagaimanapun pihak yang masuk Islam boleh memohon membubarkan perkahwinan di Mahkamah Syariah melalui Seksyen 46 (2) enakmen berkenaan, tetapi perintah dikeluarkan Mahkamah Syariah tidak mengikat pihak yang tidak memeluk Islam.

Kebiasaan yang berlaku, sering kali perintah Mahkamah Syariah tidak dihiraukan dan dipandang sepi oleh pihak tidak memeluk Islam kerana mereka berpendirian perkahwinan didaftarkan melalui kaedah sivil. Mahkamah Sivil satu-satunya medan berhak membubarkan perkahwinan itu, bukannya Mahkamah Syariah.

Mengikut Seksyen 51 Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, pihak memeluk Islam tidak mempunyai cara untuk membubarkan perkahwinan dan ini tidak adil bagi pasangan yang memeluk Islam.

Berdasarkan pelaksanaan sekarang, pihak yang memeluk Islam dinafikan haknya untuk hidup mengikut kepercayaan agamanya, kerana beliau dianggap masih suami isteri di sisi undang-undang jika pihak tidak memeluk Islam tidak memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan.

Kebanyakan kes yang dibawa ke mahkamah di negara kita adalah mengenai kesan pemelukan Islam oleh salah satu pihak daripada perkahwinan bukan Islam. Mengikut undang-undang Islam, jika salah seorang pasangan bukan Islam memeluk Islam dan pihak satu lagi tidak mengikutinya memeluk Islam dalam masa edah, perkahwinan itu dengan sendirinya terbatal.

Tetapi di Malaysia, seseorang yang memeluk Islam masih terikat dengan undang-undang sivil.

Jabatan Peguam Negara sudah mengemukakan beberapa cadangan bagi mengatasi konflik bidang kuasa syariah dan sivil, antaranya pindaan seksyen 51 Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 bagi memberi hak kepada orang Islam mempetisyen pembubaran perkahwinan di Mahkamah Sivil.

Pada masa sama, Jabatan Peguam Negara mencadangkan pindaan terhadap Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984. Cadangan dikemukakan Jabatan Peguam Negara bagi mengatasi konflik bidang kuasa antara syariah dan sivil.

Turut dicadangkan, perkahwinan sivil seorang mualaf dibubarkan secara automatik selepas tiga bulan disahkan sebagai Islam. Cadangan itu selari undang-undang Islam iaitu jika seseorang suami mahupun pihak isteri yang berkahwin di bawah undang-undang bukan Islam kemudian memeluk agama Islam dan pihak satu lagi tidak mengikutinya memeluk Islam dalam masa edah, perkahwinan itu dengan sendirinya terbatal.

Namun demikian cadangan itu mendapat tentangan kerana dikatakan tidak memberi keadilan kepada pasangan bukan Islam.

Persoalannya, apakah Parlimen mempunyai kuasa meminda undang-undang kepada orang Islam saja kerana kuasa perundangan individu dan keluarga Islam adalah hak eksklusif kerajaan negeri.

Seperti termaktub dalam Senarai 1 Senarai Persekutuan perkara 4 (e)(i) dan (ii), Kerajaan Persekutuan/Parlimen mempunyai kuasa membuat undang-undang diri dan keluarga bagi orang bukan Islam.

Bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan boleh membuat undang-undang diri dan keluarga Islam untuk tujuan penyeragaman dengan persetujuan Majlis Raja-Raja.

Pindaan yang dicadangkan itu akan memberi kesan terhadap undang-undang syariah antaranya Seksyen 46 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam dipadamkan bagi meraikan pindaan Seksyen 51 Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.

Seterusnya, ia memberi kuasa kepada Mahkamah Sivil untuk menentukan pembubaran perkahwinan yang sudah wujud dalam Jadual Kesembilan Senarai 2 - senarai negeri (perkara 1). Pindaan itu menyempitkan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Saturday, April 25, 2009

Wujud gerakan rosak akidah, tarik Muslim kepada murtad

Oleh Hasliza Hassan
bhnews@bharian.com.my


ANN Wan Seng menunjukkan buku bertajuk Murtad Jangan Pandang Sebelah Mata.


Mualaf perlu diberi sokongan supaya dapat sesuaikan diri

SUSAHNYA mendapat hidayah Allah SWT dan sukarnya untuk menukar agama, tetapi selepas memeluk Islam tiba-tiba ingin keluar pula. Itu bagi yang mualaf atau penganut agama lain yang kemudian memeluk Islam. Bagaimana pula yang dilahirkan Islam, tiba-tiba membuat keputusan untuk menganut agama lain.

Keadaan yang berlaku dalam masyarakat hari ini tetapi dilihat sebagai sesuatu yang endah tidak endah saja, mendorong saudara baru atau saudara Muslim, Ann Wan Seng untuk menghasilkan buku membincangkan mengenai isu murtad berjudul Murtad Jangan Pandang Sebelah Mata yang dilancarkan oleh Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, baru-baru ini.

Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) itu berkata, sikap masyarakat hari ini terutama umat Islam sendiri yang tidak berani membicarakan secara terbuka isu murtad menguatkan lagi tekadnya untuk menyedarkan mereka.

"Saya asal bukan Islam dan saya sudah rasa susahnya hendak masuk Islam. Jadi, kenapa orang Islam begitu mudah hendak keluar Islam. Itu yang menimbulkan tanda tanya kepada saya kerana jika masalah murtad tidak diatasi dengan berkesan akan membantutkan dakwah Islamiah.

"Oleh itu, saya berasakan menjadi tanggungjawab setiap umat Islam bersama mencari jalan untuk mengatasi masalah ini. Bagi saya isu murtad yang membabitkan akidah kini menjadi tanggungjawab orang Islam untuk mempertahankannya," katanya.

Beliau berkata, walaupun isu murtad bukan perkara baru tetapi sikap masyarakat yang menyepikan diri seolah-olah perkara itu tidak berlaku hanya akan merugikan umat Islam dan sudah tiba masanya perkara itu diberi perhatian serius supaya dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Katanya, adalah bertentangan jika kita berusaha mempromosikan Islam dan menunjukkan kecantikan ajaran agama itu, sedangkan pada masa sama ramai orang Islam yang keluar daripada agama suci ini.

Justeru, beliau mengharapkan maklumat yang dimuatkan dalam buku Murtad Jangan Pandang Sebelah Mata dapat memberi gambaran jelas kemelut melanda umat Islam dan langkah yang perlu diambil bagi memastikan akidah umat Islam terus terjaga.

Sebagai memberi hujah lengkap dan seimbang, Pengerusi Perkim Cawangan Putra Wilayah Persekutuan itu turut mengambil tulisan pakar intelektual, ulama serta mereka terbabit secara langsung menangani isu murtad untuk dimuatkan dalam karyanya.

"Saya rasa buku ini lengkap kerana merangkumi keseluruhan isu berkaitan murtad dari sudut pandangan Islam, perundangan termasuk mengambil kes dan kejadian murtad yang pernah menjadi isu hangat supaya pembaca mendapat gambaran sebenar," katanya.

Berdasar kajian serta hasil penulisan buku itu, antara punca dikenal pasti mendorong seseorang itu keluar daripada agama Islam ialah wujud gerakan menyesatkan umat Islam walaupun tindakan itu menyalahi Perlembagaan negara.

Selain itu, orang Islam sendiri perlu mengubah persepsi terhadap saudara baru yang memeluk Islam dan memberi sokongan kepada mereka supaya proses menyesuaikan diri dapat dilakukan dengan sempurna termasuk memantapkan iman mereka.

Kegagalan umat Islam khususnya orang Melayu berbuat demikian akan menyebabkan golongan saudara baru berasa terpinggir dan kehadiran mereka tidak dialu-alukan. Keadaan itu tidak dapat ditolak menjadikan saudara baru kecewa hingga ada mengambil keputusan kembali ke agama asal.

Hakikatnya, banyak lagi punca seperti perasaan kecewa di kalangan saudara baru yang memeluk Islam dan berkahwin dengan pasangan beragama Islam tetapi diabaikan atau tidak diberi bimbingan sepatutnya.

Apa pun alasannya menurut Wan Seng, perkara itu perlu dibendung memandangkan cabaran dihadapi umat Islam hari ini kian getir termasuk berhadapan serangan daripada pelbagai unsur serta kaedah pihak musuh memesongkan mereka ke arah menyesatkan.

Beliau juga tidak setuju dengan tanggapan bahawa murtad adalah isu sensitif kerana membabitkan sensitiviti penganut agama lain kerana yang diserang ialah Islam dan akidah yang sepatutnya tidak ada tolak ansur.

"Ada yang kata isu murtad sensitif dan kadang-kadang ada yang tidak mahu bercakap di khalayak kerana takut timbul rasa kurang senang penganut agama lain. Saya rasa itu tidak sepatutnya berlaku; sebab ini membabitkan akidah, perkara berkaitan akidah tidak ada kompromi.

"Jika rosak akidah umat Islam, bermakna segala amalan dibuat sebelum ini akan tertolak, perkara berkaitan akidah dijaga Rasulullah dan diwariskan pada kita. Ia amanah yang perlu kita pikul dan laksanakan. Ia juga sebab mengapa saya membangkitkan isu murtad," katanya.

Mengakui kegiatan dakwah dan perbincangan mengenai isu murtad perlu dilakukan secara berhemah, anak jati Klang yang memeluk Islam sejak 13 tahun lalu menggalakkan supaya perkara itu ditangani secara diplomasi bukan emosi.

Penjelasan, katanya perlu diberi dari semasa ke semasa bukan saja kepada bukan Islam tetapi umat Islam, jangan hanya menanti apabila timbul isu baru hangat diperkatakan kerana tidak dinafikan ada orang Islam yang murtad dalam diam.

Pada masa sama, katanya usaha pemulihan akidah kepada mereka yang ingin keluar daripada Islam atas apa juga sebab perlu dilakukan secara konsisten dan penuh iltizam supaya dapat menarik mereka kembali kepada mentauhidkan Allah.

Selain melalui sistem perundangan, gerakan menarik saudara Islam yang ingin kembali kepada agama asal atau orang Islam daripada menganut agama lain ialah menggunakan pendekatan psikologi kerana keadaan kes adalah berbeza.

"Kita perlukan golongan yang memahami psikologi orang murtad dan boleh berdepan dengan golongan murtad menggunakan kaedah yang boleh membalikkan hati mereka. Kita perlukan orang yang biasa buat dakwah Islamiah dan berdepan dengan golongan bukan Islam.

"Untuk tarik orang Cina yang keluar Islam elok gunakan Cina Muslim, orang India keluar Islam pula gunakan kalangan India Muslim yang lebih faham hati budi cita rasa dan latar belakang. Pendekatan harus sesuai kerana tidak ada kaedah yang boleh digunakan secara menyeluruh," katanya.

Wan Seng berkata, pengalaman memberi kaunseling kepada saudara baru yang murtad ada kala mendatangkan kerisauan kerana memikirkan bagaimana hendak mengelak mereka yang sudah mendapat hidayah tidak mensia-siakannya.