Saturday, April 25, 2009

Wujud gerakan rosak akidah, tarik Muslim kepada murtad

Oleh Hasliza Hassan
bhnews@bharian.com.my


ANN Wan Seng menunjukkan buku bertajuk Murtad Jangan Pandang Sebelah Mata.


Mualaf perlu diberi sokongan supaya dapat sesuaikan diri

SUSAHNYA mendapat hidayah Allah SWT dan sukarnya untuk menukar agama, tetapi selepas memeluk Islam tiba-tiba ingin keluar pula. Itu bagi yang mualaf atau penganut agama lain yang kemudian memeluk Islam. Bagaimana pula yang dilahirkan Islam, tiba-tiba membuat keputusan untuk menganut agama lain.

Keadaan yang berlaku dalam masyarakat hari ini tetapi dilihat sebagai sesuatu yang endah tidak endah saja, mendorong saudara baru atau saudara Muslim, Ann Wan Seng untuk menghasilkan buku membincangkan mengenai isu murtad berjudul Murtad Jangan Pandang Sebelah Mata yang dilancarkan oleh Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, baru-baru ini.

Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) itu berkata, sikap masyarakat hari ini terutama umat Islam sendiri yang tidak berani membicarakan secara terbuka isu murtad menguatkan lagi tekadnya untuk menyedarkan mereka.

"Saya asal bukan Islam dan saya sudah rasa susahnya hendak masuk Islam. Jadi, kenapa orang Islam begitu mudah hendak keluar Islam. Itu yang menimbulkan tanda tanya kepada saya kerana jika masalah murtad tidak diatasi dengan berkesan akan membantutkan dakwah Islamiah.

"Oleh itu, saya berasakan menjadi tanggungjawab setiap umat Islam bersama mencari jalan untuk mengatasi masalah ini. Bagi saya isu murtad yang membabitkan akidah kini menjadi tanggungjawab orang Islam untuk mempertahankannya," katanya.

Beliau berkata, walaupun isu murtad bukan perkara baru tetapi sikap masyarakat yang menyepikan diri seolah-olah perkara itu tidak berlaku hanya akan merugikan umat Islam dan sudah tiba masanya perkara itu diberi perhatian serius supaya dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Katanya, adalah bertentangan jika kita berusaha mempromosikan Islam dan menunjukkan kecantikan ajaran agama itu, sedangkan pada masa sama ramai orang Islam yang keluar daripada agama suci ini.

Justeru, beliau mengharapkan maklumat yang dimuatkan dalam buku Murtad Jangan Pandang Sebelah Mata dapat memberi gambaran jelas kemelut melanda umat Islam dan langkah yang perlu diambil bagi memastikan akidah umat Islam terus terjaga.

Sebagai memberi hujah lengkap dan seimbang, Pengerusi Perkim Cawangan Putra Wilayah Persekutuan itu turut mengambil tulisan pakar intelektual, ulama serta mereka terbabit secara langsung menangani isu murtad untuk dimuatkan dalam karyanya.

"Saya rasa buku ini lengkap kerana merangkumi keseluruhan isu berkaitan murtad dari sudut pandangan Islam, perundangan termasuk mengambil kes dan kejadian murtad yang pernah menjadi isu hangat supaya pembaca mendapat gambaran sebenar," katanya.

Berdasar kajian serta hasil penulisan buku itu, antara punca dikenal pasti mendorong seseorang itu keluar daripada agama Islam ialah wujud gerakan menyesatkan umat Islam walaupun tindakan itu menyalahi Perlembagaan negara.

Selain itu, orang Islam sendiri perlu mengubah persepsi terhadap saudara baru yang memeluk Islam dan memberi sokongan kepada mereka supaya proses menyesuaikan diri dapat dilakukan dengan sempurna termasuk memantapkan iman mereka.

Kegagalan umat Islam khususnya orang Melayu berbuat demikian akan menyebabkan golongan saudara baru berasa terpinggir dan kehadiran mereka tidak dialu-alukan. Keadaan itu tidak dapat ditolak menjadikan saudara baru kecewa hingga ada mengambil keputusan kembali ke agama asal.

Hakikatnya, banyak lagi punca seperti perasaan kecewa di kalangan saudara baru yang memeluk Islam dan berkahwin dengan pasangan beragama Islam tetapi diabaikan atau tidak diberi bimbingan sepatutnya.

Apa pun alasannya menurut Wan Seng, perkara itu perlu dibendung memandangkan cabaran dihadapi umat Islam hari ini kian getir termasuk berhadapan serangan daripada pelbagai unsur serta kaedah pihak musuh memesongkan mereka ke arah menyesatkan.

Beliau juga tidak setuju dengan tanggapan bahawa murtad adalah isu sensitif kerana membabitkan sensitiviti penganut agama lain kerana yang diserang ialah Islam dan akidah yang sepatutnya tidak ada tolak ansur.

"Ada yang kata isu murtad sensitif dan kadang-kadang ada yang tidak mahu bercakap di khalayak kerana takut timbul rasa kurang senang penganut agama lain. Saya rasa itu tidak sepatutnya berlaku; sebab ini membabitkan akidah, perkara berkaitan akidah tidak ada kompromi.

"Jika rosak akidah umat Islam, bermakna segala amalan dibuat sebelum ini akan tertolak, perkara berkaitan akidah dijaga Rasulullah dan diwariskan pada kita. Ia amanah yang perlu kita pikul dan laksanakan. Ia juga sebab mengapa saya membangkitkan isu murtad," katanya.

Mengakui kegiatan dakwah dan perbincangan mengenai isu murtad perlu dilakukan secara berhemah, anak jati Klang yang memeluk Islam sejak 13 tahun lalu menggalakkan supaya perkara itu ditangani secara diplomasi bukan emosi.

Penjelasan, katanya perlu diberi dari semasa ke semasa bukan saja kepada bukan Islam tetapi umat Islam, jangan hanya menanti apabila timbul isu baru hangat diperkatakan kerana tidak dinafikan ada orang Islam yang murtad dalam diam.

Pada masa sama, katanya usaha pemulihan akidah kepada mereka yang ingin keluar daripada Islam atas apa juga sebab perlu dilakukan secara konsisten dan penuh iltizam supaya dapat menarik mereka kembali kepada mentauhidkan Allah.

Selain melalui sistem perundangan, gerakan menarik saudara Islam yang ingin kembali kepada agama asal atau orang Islam daripada menganut agama lain ialah menggunakan pendekatan psikologi kerana keadaan kes adalah berbeza.

"Kita perlukan golongan yang memahami psikologi orang murtad dan boleh berdepan dengan golongan murtad menggunakan kaedah yang boleh membalikkan hati mereka. Kita perlukan orang yang biasa buat dakwah Islamiah dan berdepan dengan golongan bukan Islam.

"Untuk tarik orang Cina yang keluar Islam elok gunakan Cina Muslim, orang India keluar Islam pula gunakan kalangan India Muslim yang lebih faham hati budi cita rasa dan latar belakang. Pendekatan harus sesuai kerana tidak ada kaedah yang boleh digunakan secara menyeluruh," katanya.

Wan Seng berkata, pengalaman memberi kaunseling kepada saudara baru yang murtad ada kala mendatangkan kerisauan kerana memikirkan bagaimana hendak mengelak mereka yang sudah mendapat hidayah tidak mensia-siakannya.

No comments: