Showing posts with label Alam Sekitar. Show all posts
Showing posts with label Alam Sekitar. Show all posts

Sunday, February 7, 2010

Ulul Albab: Fikah alam sekitar patut diajar di sekolah

Bersama Abdurrahman Haqqi

Bab tanggungjawab manusia pulihara bumi boleh diserap dalam subjek agama

KEPERLUAN mendesak umat manusia hari ini ialah bagaimana memulihara alam sekitar di bumi yang kita hidup di atasnya. Beberapa isu yang sedang menjadi perbincangan hangat masyarakat antarabangsa hari ini ialah pemanasan sejagat, perubahan iklim dan pemuliharaan kehijauan. Di seluruh pelosok bumi dan pada setiap kesempatan isu berkenaan dibincangkan, dibahas dan dikaji kerana masyarakat antarabangsa menyedari keburukan yang menunggu mereka dan generasi akan datang jika tidak dicarikan penyelesaiannya hari ini. Dalam istilah mereka change now or never change then. Islam sebagai agama rahmatan lil'alamin, rahmat bagi semua makhluk, sebenarnya menetapkan panduan abadi yang jika diterima dan dilaksanakan dengan saksama, manusia tidak perlu risau dan takut dengan istilah pemanasan sejagat, perubahan iklim dan pemuliharaan kehijauan yang menghantui mereka.

Setidak-tidaknya ada 750 ayat daripada lebih 6,000 ayat al-Quran (12.28 peratus) yang menyentuh permasalahan alam sekitar secara eksplisit atau implisit. Bahkan 14 daripada 114 jumlah surah al-Quran atau 12.28 peratus ialah nama fenomena alam sekitar seperti matahari, malam, lembu, gempa bumi dan gajah. Ada apa dengan alam sekitar dalam al-Quran? Ternyata ia melebihi ayat yang berkaitan dengan hukum hakam yang hanya 200 ayat atau bahkan 500 ayat.

Jika dalam sistem pendidikan, termasuk keagamaan kita mempelajari subjek berhubung perundangan Islam seperti fikah keluarga, perlembagaan, kontrak dan jinayah, bukankah sudah selayaknya fikah alam sekitar juga dijadikan satu subjek? Jika permasalahan hukum fikah membahas hubungan manusia dengan penciptanya dan hubungan sesama mereka, maka fikah alam sekitar membincangkan hubungan manusia dengan alam sekitar dan persekitarannya.

Walaupun kita tidak menemukan bab khas membincangkan alam sekitar atau al-bi'ah dalam kitab fikah, tidak sedikit perkara berkaitan alam sekitar sudah dibahas di dalamnya pada setiap bab.

Dalam bab solat sebagai contoh, dibincangkan masalah air dan tanah; dalam bab zakat dibincangkan harta yang wajib dizakat dan pertumbuhan; bab puasa membincangkan masalah pemakanan; bab jual beli membincangkan masalah benda dan bab hubungan antarabangsa membincangkan peraturan perang yang mesra alam sekitar. Bukankah perbahasan alam sekitar ada dalam setiap bab fikah?

Melihat kepentingan ini, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (Unissa) Brunei, tempat penulis bekerja sedang menganjurkan seminar serantau mengenai fiqh al-bi'ah atau fikah alam sekitar bermula semalam dan berakhir hari ini di Bandar Seri Begawan.

Dalam senario global hari ini dengan bandar bertukar menjadi metropolitan dan megapoles, maka sesuailah pengamatan Ibn Khaldun mengenai sifat penduduknya yang menjadi punca kewujudan 'hantu' pemanasan sejagat, perubahan iklim dan pemuliharaan kehijauan. Ibn Khaldun menulis dalam bukunya Muqaddimah: "Kegiatan tidak bermoral, salah laku, tidak jujur, dan penipuan, untuk tujuan mencari sumber kehidupan sama ada secara benar atau tidak, meningkat di kalangan masyarakat bandar. Penduduk bandar suka berbohong, judi, mencuri, menipu, sumpah bohong dan rasuah.

"Disebabkan bertambahnya keinginan dan keseronokan akibat kemewahan, mereka mahir melakukan perbuatan tidak bermoral; mereka bercakap secara terbuka mengenainya tanpa segan silu, walaupun di hadapan keluarga terdekat. Bandar dipenuhi mereka yang rendah budi pekertinya. Mereka berhadapan dengan persaingan dari generasi lebih muda yang pendidikannya diabaikan dan mereka terpinggir. Jadi golongan ini terpengaruh dengan kualiti persekitaran dan kawan, walaupun mereka berasal daripada keluarga dan keturunan terhormat." (2:293-294)

Ibn Khaldun menuliskan pengamatannya ini selepas beliau menetapkan ada dua faktor yang mempengaruhi pembentukan persekitaran kondusif yakni faktor kema-nusiaan dan faktor geografi.

Kita lihat hari ini apa yang dilakukan masyarakat metropolitan dan megapoles ke atas Afghanistan, Iraq dan terbaru, Yaman. Mereka, dalam istilah Ibn Khaldun seperti dalam petikan di atas: "Disebabkan bertambahnya keinginan dan keseronokan akibat kemewahan, mereka didapati mahir melakukan perbuatan tidak bermoral."

Apakah fiqh al-biah atau alam sekitar? Dari sudut bahasa fikah adalah pemahaman dan biah adalah hal dan keadaan. Dalam penggunaan bahasa semasa biah diterjemah menjadi environment atau alam sekitar dan persekitaran.

Al-Quran dan hadis menggunakan lafaz yang diambil daripada biah dan ditafsirkan dengan sesuatu yang berhubungan dengan tempat dan keadaan. sebagai contoh ayat al-Quran yang bermaksud: "Dan mereka ditimpa dengan kehinaan dan kemiskinan dan kembali membawa kemurkaan daripada Allah," (Surah al-Baqarah: 61) dan bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami sudah menempatkan Bani Israil di tempat kediaman yang benar (yang terpuji serta terpilih) dan Kami memberi mereka rezeki daripada yang baik. Maka mereka tidak berselisih kecuali selepas datang kepada mereka pengetahuan. Sesungguhnya Tuhan kamu akan memutuskan antara mereka di hari kiamat mengenai apa yang mereka perselisihkan." (Surah Yunus: 93)

Dalam hadis masyhur pula disebutkan maksudnya: "Apabila seseorang berkata kepada saudaranya: Wahai kafir. Maka kembali kata itu kepada salah seorang daripada kedua, jika kata-kata itu betul maka ia seperti dia katakan, jikalau tidak betul, kata-kata itu kembali ke atasnya.

Ada juga hadis bermaksud: "Siapa mereka dusta dengan sengaja terhadapku, maka hendaklah dia mengambil tempatnya di neraka."

Dalam penggunaan bahasa Arab semasa, biah ditakrifkan dengan beberapa pendekatan seperti 'skop atau ruang tempat yang manusia hidup padanya bersama bentuk alam semula jadi atau bentuk yang dilakukan manusia yang dia menerima kesan daripadanya atau memberi kesan padanya."

Antara sandaran asas kajian alam sekitar bagi umat manusia ialah ayat al-Quran yang bermaksud: "(Dialah Tuhan) yang menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan, dan Dia mengadakan bagi kamu padanya jalan; dan Dia juga menurunkan hujan dari langit. Maka Kami keluarkan dengannya berjenis tanaman dan buah-buahan yang berlainan keadaannya. Makanlah kamu daripadanya dan berilah makan binatang ternak kamu; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda yang membuktikan kemurahan Allah, bagi orang berakal fikiran. Dari bumilah Kami ciptakan kamu dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu, dan darinya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi". (Surah Taha: 53-55)

Sebenarnya penyelesaian Qurani untuk pemanasan sejagat, perubahan iklim dan pemuliharaan kehijauan atau sejenisnya ada pada ayat bermaksud: "Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah diperbaikannya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau tak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang melakukan kebaikan." (Surah al-A'raf: 56)

Tidakkah indah ajaran al-Quran mengenai alam sekitar dan kewajipan serta tanggungjawab manusia ke atasnya? Ia semua bertujuan untuk keselesaan dan keseronokan hidup umat manusia. Alhamdulillah!

Tuesday, March 31, 2009

Perspektif Ikim: Pertahan kemurnian alam sekitar tanda bersyukur

Oleh Rosmidzatul Azila Mat Yamin

Manusia perlu sedar kepentingan makhluk lain bagi jamin kesejahteraan ekosistem

SIKAP segelintir pihak menidakkan hak hidupan liar untuk terus bermandiri serta berbakti kepada alam dan umat manusia demi kepentingan kebendaan semata-mata sangat dikesali. Sungguhpun banyak kempen kesedaran pentingnya hidupan liar terhadap keseimbangan alam sekitar dan ekosistem, ia seolah-olah tidak memberi kesan disebabkan sikap tamak haloba yang beraja di hati.

Buktinya, laporan media berhubung kes pemburuan haram dan penyeludupan spesies hidupan liar terutama spesies terancam tidak pernah surut, malah semakin berleluasa. Melihat keadaan ini, seolah-olah tiada petanda kegiatan tidak bertanggungjawab ini akan berakhir.

Pelbagai persoalan timbul di benak, sampai bilakah nasib hidupan liar akan terus dicabul haknya tanpa pembelaan? Di mana silapnya sehinggakan begitu mudah hidupan liar 'bolos' ke luar negara untuk di pasarkan ke pasaran gelap?

Dikhuatiri jika masalah ini terus berlanjutan, ia akan memberi tekanan lebih parah kepada hidupan liar yang selama ini banyak menderita akibat pencerobohan habitat mereka untuk kepentingan ekonomi semata-mata.

Lebih malang dan menyedihkan lagi apabila ada sebahagian hidupan liar yang diburu mengalami kecederaan, kecacatan kekal, serta terpaksa meneruskan sisa hidup dengan keupayaan terbatas akibat penggunaan jerat. Jika keadaan ini tidak dibendung segera, tidak mustahil suatu masa spesies hidupan liar terbabit akan pupus.

Jika hari ini, spesies harimau Malaya di Malaysia begitu terancam dan daripada perangkaan dilaporkan, dianggarkan 80 peratus daripada jumlah yang masih tinggal akan mengalami kepupusan dalam tempoh 50 tahun lagi.

Tidak mustahil, suatu masa spesies lain turut menerima nasib sama dengan harimau Malaya yang kini terpaksa bertarung demi meneruskan sisa hidup masih berbaki dalam suasana perit lantaran habitat semakin terganggu.

Timbulnya konflik dengan manusia secara berterusan memburukkan lagi keadaan. Justeru, sanggupkah kita melihat spesies hidupan liar yang lain mengikut jejak harimau Malaya yang semakin menyusut bilangannya hari ini?

Pemburuan dan penyeludupan terhadap sesuatu spesies hidupan liar dilihat bermusim mengikut permintaan semasa. Laporan media di Temerloh bulan lalu menunjukkan tiga spesies hidupan liar yang semakin terancam dan giat diburu, iaitu burung hantu, tenggiling dan biawak untuk diseludup dan dipasarkan ke Indochina sebagai hidangan eksotik.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, Datuk Abdul Rasid Samsudin, ketiga-tiga spesies itu mendapat permintaan tinggi di pasaran gelap ekoran begitu digemari penggemar makanan eksotik di sana sehingga harga mencecah RM200 seekor.

Daripada laporan yang dibuat, kerja pemburuan dan penyeludupan hidupan liar menjadi lebih mudah kerana mendapat kerjasama masyarakat Orang Asli dan penduduk setempat sebelum diseludup ke luar negara melalui jalan laut dan darat.

Faktor itu menjadikan usaha membanteras kegiatan pemburuan haram hidupan liar bertambah rumit. Justeru, kesedaran masyarakat setempat perlu bagi menangani masalah penyeludupan spesies haiwan yang dilindungi supaya tidak berhadapan dengan ancaman kepupusan.

Keadaan menjadi bertambah meruncing apabila kegiatan pembalakan dilakukan tanpa kawalan menyebabkan semakin banyak habitat hutan yang menjadi tempat perlindungan hidupan liar musnah.

Daripada perangkaan yang dilaporkan, dunia kini sedang kehilangan lebih daripada 170,000 kilometer persegi hutan daripada permukaan bumi.

Mengimbas kembali kurun ke-19, hutan hujan tropika yang kita miliki masih lagi meliputi hampir 90 peratus di seluruh Semenanjung. Namun, menjelang 1957, kawasan yang dilitupi hutan berkurang kepada 74 peratus dan kebanyakan kawasan tanah rendah ditukar statusnya bagi menggiatkan lagi sektor pertanian.

Keadaan bertambah buruk apabila jumlah hutan yang kita miliki semakin berkurang kepada 61 peratus pada 1970-an, manakala hanya tinggal 47 peratus saja kawasan dilitupi hutan pada 1980-an.

Dalam setahun, dianggarkan negara kita kehilangan kira-kira 7,000 kilometer persegi kawasan hutan asli. Selari penyusutan kawasan hutan, jumlah hidupan liar termasuk harimau juga turut berkurang ekoran kitaran makanan dalam ruang lingkup habitat yang semakin mengecil. Keadaan ini sekali gus menyebabkan kadar populasi hidupan liar menyusut secara membimbangkan.

Masih mampukah kita menyelamatkan habitat hutan dan hidupan liar supaya tidak pupus daripada muka bumi ini. Bagi mengatasi masalah ini, kita perlulah mencari jalan penyelesaian terbaik untuk menyeimbangkan antara membolos sumber alam dengan keperluan manusia.

Contohnya, menanam semula hutan, mengawal populasi hidupan liar, menggantikan petrol dengan hidrogen dan kuasa elektrik, mengitar semula bahan buangan serta mengadakan perdamaian dengan alam juga hidupan liar.

Secara mudahnya, perdamaian dapat dibentuk apabila kita bermuhasabah diri dan mendidik jiwa supaya tidak melakukan kemusnahan terhadap alam, berlaku adil terhadap hidupan liar yang sama-sama berkongsi persekitaran dengan kita dan menghormati hak hidupan liar.

Setiap lapisan masyarakat perlu sedar bahawa jika sesuatu spesies pupus, ia akan memberi kesan besar ke atas kitaran dan kestabilan ekosistem kita. Hari ini, kita dapati banyak kepincangan berlaku terhadap ekosistem lantaran sikap memandang enteng akan kepentingan setiap ciptaan Ilahi tanpa mensyukurinya.

Sedangkan, banyak amaran dan peringatan diberi Allah namun manusia tetap tamak sehingga mengabaikan kepentingan ekosistem demi keuntungan duniawi semata-mata yang seterusnya merugikan kita sendiri.

Justeru, mulai saat ini marilah sama-sama kita mengubah sikap dan mensyukuri nikmat Allah kurniakan di samping muhasabah diri dengan penuh kesedaran terhadap kepentingan makhluk lain supaya alam menjadi tempat lebih majmuk dan selamat untuk semua pihak.

Penulis ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Sains dan Teknologi Institut Kefahaman Islam Malaysia

Thursday, February 7, 2008

Lupa amanah punca manusia abai alam sekitar

PUNCA utama berlaku kerosakan dan kemusnahan alam ini ialah sikap manusia yang lupa tanggungjawab diamanahkan Allah terhadap mereka supaya memelihara serta memanfaatkan anugerah ciptaan Allah.

Disebabkan sikap alpa itu, manusia berhadapan dengan kesan daripada pengabaian tanggungjawab memelihara dan memulihara alam ini. Akibatnya, berlaku bencana alam hingga membawa kepada kehilangan jiwa, tempat tinggal, harta benda, habitat haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Sebenarnya Islam tidak melarang manusia menggunakan segala benda serta nikmat yang ada di atas dan dalam perut bumi. Lagipun, tujuan Allah menjadikan semua itu untuk kegunaan dan kesenangan manusia sendiri.

Walaupun begitu, dalam mengejar kemajuan atau pembangunan, kita dilarang memusnahkan alam sekitar hingga lupa akan tanggungjawab memastikan pusingan alam semula jadi terus seimbang dan tidak terjejas.

Sikap manusia yang tidak menunaikan tanggungjawab diamanahkan Allah untuk mengurus alam ini dan kerakusan melakukan kemusnahan, kerosakan dan pelbagai bencana alam yang lain akhirnya mendatangkan masalah besar kepada mereka.

Perbuatan memusnah dan merosakkan alam dilarang Allah berdasarkan firman-Nya bermaksud: “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya. Dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang jika tidak diterima dan juga dengan perasaan terharap-harap supaya makbul. Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang memperbaiki amalannya.” (Surah al-A‘raf, ayat 56)

Ayat di atas menjelaskan bahawa penjagaan alam semula jadi adalah sesuatu yang penting. Perbuatan memusnah dan merosakkan alam bukan saja mendatangkan kerugian kepada manusia, malah ia sama sekali ditegah.

Sikap segelintir manusia yang tidak mentaati perintah Allah menyebabkan makhluk di bumi ditimpa bala tidak disangka seperti berlakunya kejadian tanah runtuh, banjir kilat, kemarau berpanjangan, dan pemanasan global.

Firman Allah bermaksud: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan yang dilakukan oleh tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan (buruk) mereka, supaya mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Surah al-Rum, ayat 41)

Jelasnya, setiap kerosakan dibuat manusia hanya akan merugikan mereka baik dari segi keselamatan, aspek kesihatan, keselesaan hidup dan ketenangan jiwa yang boleh dinikmati jika manusia sentiasa berhati-hati dalam tindak balas mereka terhadap alam sekitar.

Allah berfirman bermaksud: “Orang yang mencabuli perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya dan memutuskan perkara yang disuruh Allah supaya dihubungkan dan mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi, maka mereka itu ialah orang yang amat rugi.” (Surah al-Baqarah, ayat 27)

Justeru, marilah kita sama-sama berusaha meninggalkan segala perbuatan yang merugikan dan memastikan keindahan, kehijauan alam serta keselamatan bumi dijaga oleh tangan-tangan manusia yang mendiami dunia ini.

Peringatan ini bukan untuk masyarakat hari ini saja, tetapi ditujukan juga kepada generasi akan datang supaya berazam untuk tidak melakukan kerosakan dan sentiasa mengambil tanggungjawab bersama memelihara serta memulihara alam sekitar.