Showing posts with label Suami Isteri. Show all posts
Showing posts with label Suami Isteri. Show all posts

Thursday, November 12, 2009

Persefahaman suami isteri pupuk rumah tangga bahagia

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh
salidasuhaila99@yahoo.com

BANYAK kali penulis berkongsi rasa dengan isteri yang ditinggalkan suami, sering ditinggal suami dan akan ditinggal suami, penulis selalunya akan menasihati mereka supaya berubah, bersabar dan berdoa untuk kebahagiaan yang akan muncul juga akhirnya.

Insaf bahawa syurga dan neraka itu di bawah tapak kaki suami, kebanyakan mereka tidak menolak untuk menjadi lebih baik bagi suami. Jika mereka kekurangan, ada yang menyesal kerana buruk sangka, tidak kurang juga yang nekad untuk berpisah.

Yang paling membuatkan hati tersentuh ialah ada isteri merayu supaya tidak diceraikan suami sehinggakan sanggup menjadi orang gaji kepada isteri baru suami, semuanya demi zuriat yang mereka kongsi.

Hari ini banyak rumah tangga runtuh disebabkan pihak yang tidak mempunyai status dalam keluarga, bukan kerana suami, isteri mahupun anak, tetapi orang lain yang ingin merampas kebahagiaan sesebuah keluarga. Akibat tidak memahami poligami, sama ada suami mahupun isteri, maka mereka tidak mahu berkongsi kasih.

Apa yang berlaku, suami terpaksa membuat pilihan antara dua kerana cintakan nafsu, isteri yang sah dan anak ditinggalkan juga. Itulah yang menyedihkan, apabila ramai wanita teraniaya kerana berkahwin, sedangkan perkahwinan itu boleh menenangkan jiwa, mententeramkan hati dan memberi kedamaian batin kerana dapat hidup bersama dengan pasangan yang saling mengasihi, menyayangi dan saling melengkapi antara satu sama lain dengan penuh akrab.

Sudah tentu orang yang berakhlak baik tidak cuba memporak perandakan rumah tangga orang lain. Apatah lagi mendoakan perceraian, agar dapat mengahwini dengan bekas suami atau isteri orang. Rasulullah SAW melarang keras perbuatan itu melalui hadis Imam Bukhari dan Abu Hurairah: "Jangan kalian saling menipu dan jangan seseorang membeli barang yang akan dibeli saudaranya, jangan pula orang mukim membeli barang daripada orang kampung. Juga tidak pula seseorang melamar wanita yang sudah dilamar saudaranya. Seseorang wanita itu tidak boleh mengharapkan perceraian wanita lain dengan tujuan ia dapat menggantikan tempatnya."

Hari ini, kegagalan rumah tangga tidak menjadi aib kepada masyarakat, malah ada yang berbangga meruntuhkan `masjid` yang dibina. Hakikat ini mungkin kerana perceraian bukan lagi perkara luar biasa sebaliknya berlaku kepada sesiapa saja. Suami yang tidak beriman melafazkan talak dengan begitu mudah semata-mata kerana ingin berkahwin lain dan meninggal-kan segala masalah yang timbul sesudahnya.

Sekiranya ingin berpoligami seperti dituntut sunnah, perkara seperti ini tidak akan berlaku kerana antara tujuan poligami ialah untuk membantu wanita yang tiada perlindungan, lebih-lebih lagi perlindungan agama dan mereka ini pastinya dialu-alukan menjadi ahli keluarga yang sedia ada.

Sesebuah rumah tangga yang terbina dengan kasih sayang dan cinta antara suami dan isteri pastinya tidak akan tergugat andai ditimpa apa juga masalah pun. Kegagalan komunikasi yang memungkinkan keretakan perhubungan juga tidak akan timbul sekiranya suami tahu peranan sebagai seorang ketua dan pembimbing dalam rumah tangga.

Mana mungkin suami tidak bertegur sapa dengan isteri, sedangkan suara hati perlu diluahkan melalui senyuman dan kata-kata yang indah. Teguran dan nasihat yang baik juga perlu sentiasa disampaikan kepada isteri supaya bimbingan berterusan terlaksana seperti diperintahkan Allah SWT ke atas setiap suami.

Justeru, sekiranya suami dan isteri saling memahami peranan masing-masing seperti digariskan oleh agama, sudah pasti tiada masalah berlaku dalam rumah tangga, apatah lagi terjatuh cinta dengan orang lain sedangkan sudah ada pasangan yang halal didampingi.

Paling penting, jangan ada yang mengharapkan supaya rumah tangga yang dibina orang lain runtuh akhirnya kerana nafsu serakah yang jahat. Sebaiknya, doakan kerukunan rumah tangga sesiapa berpanjangan kerana sesungguhnya tiada tempat paling bahagia di dunia ini melainkan di dalamnya ada suami, isteri dan anak.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang dan Syariah, Universiti Sains Islam Malaysia

Thursday, May 7, 2009

Hak Muslim: Wanita boleh semak nikah suami di pejabat agama

Soalan:

BAGAIMANA saya boleh menyemak pernikahan suami dengan isteri keduanya? Mereka bernikah tanpa pengetahuan saya. Minggu lalu saya terjumpa catatan lafaz taklik yang dibuat isteri kedua suami di komputer beliau. Lafaz taklik itu berbunyi: "Wahai suamiku. Aku isterimu membuat lafaz taklik terhadap dirimu jika aku mendapati engkau sengaja membuat hubungan sulit, berlaku curang terhadap diriku dengan perempuan di luar, sama ada berhubungan melalui telefon atau SMS dan juga jika engkau balik rumah binimu di Kedah dengan niat berjumpa dengannya bukan atas urusan kerja, maka dengan itu engkau melanggari akan lafaz taklikku ini, dengan serta-merta maka jatuh talak satu terhadap diriku." Adakah lafaz taklik itu sah?

Isteri duka,
Kedah.

Jawapan:

Persoalan pertama, puan boleh menghubungi pejabat agama Islam tempat asal isteri kedua suami atau pejabat agama tempat suami tinggal. Jika pernikahan itu didaftarkan, pihak berkenaan akan menyimpan rekod. Cuma dikhuatirkan pernikahan itu secara sindiket atau dibuat di luar negara. Jika demikian, sukar menyemak status pernikahan mereka.

Berhubung persoalan kedua, pada asasnya lafaz talak adalah hak suami. Firman Allah yang bermaksud: "Wahai Nabi! Apabila kamu (engkau dan umatmu) hendak menceraikan isteri (kamu) maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan edahnya." (Surah at-Talaq, ayat 1)

Lafaz taklik adalah lafaz talak taklik (talak tergantung) yang dilafazkan apabila suami mengaitkan talak dengan sesuatu sifat atau syarat sama ada mempunyai hubungan dengan isterinya, suami sendiri atau orang lain.

Hikmah dijadikan talak di tangan suami dan bukan isteri bagi menjaga hubungan perkahwinan dan tidak diputuskan sewenang-wenangnya tanpa sebab yang wajar kerana lelaki membayar mahar dan membiayai nafkah isteri serta menyediakan tempat tinggal.

Kebiasaannya suami lebih berhati-hati membuat pertimbangan dengan memikirkan akibat buruk perceraian. Wanita lebih dipengaruhi emosi. Apabila berlaku talak, diikuti beberapa perkara bersifat harta seperti mahar, nafkah edah dan mutaah. Semua bebanan ditanggung lelaki dan ini membuatkan dia berfikir panjang sebelum menjatuhkan talak.

Wanita sejak awal lagi sudah menerima perkahwinan dengan talak berada dalam kekuasaan lelaki, sedangkan dia juga boleh mensyaratkan kuasa talak pada tangannya sejak permulaan akad perkahwinan lagi jika lelaki bersetuju berbuat demikian.

Bagaimanapun, ijmak ulama mengharuskan suami menyerahkan talak kepada isterinya atau mewakilkan kepada orang lain. Contoh, suami menyerahkan talak kepada isteri dengan berkata: "Awak talaklah diri awak sendiri".

Nabi SAW pernah memberi pilihan kepada isterinya sama ada terus tinggal bersama Baginda sebagai isteri atau berpisah kerana turunnya ayat yang bermaksud: "Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, jika kamu semua mahukan kehidupan dunia (yang mewah) dan perhiasannya (yang indah) maka marilah supaya aku berikan kepada kamu pemberian mutaah (sagu hati) dan aku lepaskan kamu dengan cara sebaik-baiknya." (Surah al-Ahzab, ayat 28)

Menurut pendapat golongan Syafie, penyerahan talak adalah memberi milik kuasa bagi seseorang mengikut pendapat baru (qaul jadid). Syarat dikenakan bagi isteri segera menjatuhkan talak dan apabila isteri memiliki dirinya sendiri, maka pemilikan itu tidak boleh ditarik balik.

Sementara menurut pendapat golongan Hambali, orang yang diwakilkan talak itu berhak menjatuhkan talak pada bila-bila masa dikehendaki melainkan jika suami mengehadkan tempoh tertentu.

Orang yang diwakilkan itu tidak boleh menjatuhkan talak lebih daripada satu melainkan suami menyatakan sebaliknya. Jika suami mewakilkan talak kepada isteri dengan syarat, maka talak akan jatuh sebaik saja syarat itu dipenuhi. Ini berbeza dengan pendapat golongan Syafie yang mensyaratkan ia perlu dilaksanakan dengan segera tanpa bersyarat.

Merujuk persoalan puan, ia tertakluk ketentuan dan persetujuan antara suami puan dengan isteri keduanya. Jika suami ada atau tidak mewakilkan atau menyerahkan kuasa talak kepada isteri keduanya itu, maka si isteri berhak menceraikan dirinya sendiri.

Cuma jika memegang kepada pendapat golongan Syafie, isteri perlu menjatuhkan talak ke atas dirinya dengan segera, tidak boleh digantung atau ditaklikkan dengan syarat.

Jika suami tidak menyerahkan kuasa talak kepada isteri keduanya, lafaz taklik dibuat isteri kedua itu berkemungkinan besar tidak sah menurut hukum syarak.

Cuma dalam persoalan ini, ia adalah antara suami dan isteri keduanya. Mereka yang perlu memanjangkan perkara itu ke Mahkamah Syariah untuk pengesahan.

Jawapan disediakan Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang. Sila layari http://peguamsyarie.org.

Wednesday, March 12, 2008

Peguam Syarie Menulis: Laknat menimpa jika berdusta ketika li'an

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

KEBELAKANGAN ini banyak timbul isu atau kes di Mahkamah Syariah berkaitan kecurangan suami mahupun isteri dan kesan daripada kecurangan itu menyebabkan kebanyakan daripada mahligai yang dibina musnah atau hancur di pertengahan jalan.

Kesan daripada kecurangan itu juga menyebabkan kepercayaan pada pihak suami atau isteri akan tergugat sehingga timbul kes di mana seorang suami sanggup menuduh isterinya melakukan zina atau menafikan kandungan yang dikandung isteri bukan darah dagingnya.

Tuduhan seorang suami bahawa isterinya berzina atau menuduh anak yang bakal dilahirkan itu adalah bukan darah dagingnya satu tuduhan yang serius dan amat berat dalam Islam.

Jika berlaku, suami perlu membuktikan isterinya sudah berzina dan ini menjadi beban kepadanya melainkan beliau sendiri nampak dengan mata kepalanya atau dapat mengemukakan saksi di mahkamah yang boleh memberi bukti isterinya melakukan zina.

Sebaliknya, jika suami tidak melihat kejadian itu ataupun tiada saksi yang menyaksikan isteri berzina, suami diharuskan oleh hukum syarak untuk menuduh isterinya berzina atau menafikan nasab yang dikandung adalah anaknya dengan cara berli'an.

Li'an adalah sumpah seorang suami apabila dia menuduh isterinya melakukan zina tanpa saksi atau menafikan kandungan isterinya bukan daripada benihnya dan isterinya bersumpah menafikan tuduhan suaminya.

Li'an adalah jalan terbaik jika suami yakin bahawa anak yang bakal dilahirkan isterinya bukan daripada darah dagingnya. Dengan itu, suami perlu bersumpah di hadapan mahkamah bahawa anak itu bukan anaknya dan jika ia berbohong maka Allah akan melaknatnya.

Sumpah dibuat dengan nama Allah dan si suami menyebut: "Saya naik saksi atas nama Allah bahawa isteri saya sudah melakukan zina" atau "Saya naik saksi atas nama Allah bahawa anak yang dikandung bukan dari benih saya."

Sumpah itu hendaklah diulang sebanyak empat kali berturut-turut dan akhir sekali si suami akan melafazkan: "Sesungguhnya Allah melaknat saya jika saya berdusta" dan sumpah ini hanya diulang sekali saja.

Bagaimanapun, tuduhan suami hanya akan bersabit selepas isteri tidak mahu bersumpah. Jika isteri sanggup bersumpah maka segala tuduhan suami dengan sendirinya akan tertolak. Sama seperti suami, isteri perlu bersumpah dan sumpah dibuat dengan nama Allah.

Isteri menyebut: "Saya bersaksi kepada Allah, saya tidak berzina" atau "Saya bersaksi kepada Allah, kandungan ini dari benih suami saya." Sumpah itu juga hendaklah diulang sebanyak empat kali berturut-turut dan akhir sekali si isteri akan melafazkan: "Bahawa suami saya berdusta, dan kemurkaan Allah ke atas saya jika suami saya bercakap benar" dan sumpah ini hanya diulang sekali saja.

Dari segi hukum syarak, li'an memberi impak besar kepada hubungan suami isteri di mana hubungan mereka sebagai suami isteri akan berakhir dan mereka tidak boleh merujuk semula. Disebabkan ia termasuk dalam kategori bain kubra ia adalah satu bentuk perceraian yang tidak boleh dirujuk sampai bila-bila.

Selain daripada itu, anak tidak boleh dinasabkan kepada suami dan hendaklah dinasabkan semata-mata kepada ibunya. Suami juga tidak diwajibkan membayar nafkah anak.

Daripada sudut jinayat syariyah pula, suami akan gugur had qazaf (tidak dikenakan 80 kali sebatan atas tuduhan itu) jika beliau bersumpah, manakala bagi si isteri pula wajib dikenakan had zina (rejam) jika isteri tidak sanggup untuk bersumpah.

Allah berfirman yang bermaksud: "Orang-orang yang menuduh isterinya (dengan berzina) tetapi mereka tiada mempunyai saksi kecuali dirinya sendiri maka kesaksiannya ialah empat kali bersumpah dengan Allah bahawa ia seorang yang benar. Dan yang kelima bahawa laknat Allah atas dirinya jika ia dusta. Dan hukuman dapat tertolak dari isteri jika ia bersumpah empat kali dengan Allah bahawa suaminya itu dusta. Dan yang kelima bahawa kemurkaan Allah atas dirinya jika suaminya yang benar." (Surah al-Nur, ayat 6-9)

Seksyen 51 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 memperuntukkan: "Jika pihak-pihak kepada sesuatu perkahwinan telah mengangkat sumpah dengan cara li'an mengikut hukum syarak di hadapan Hakim Syarie, apabila penghakiman, maka Hakim Syarie itu hendaklah memerintahkan mereka difaraqkan, dipisahkan dan hidup berasingan selama-lamanya."

Hakikatnya, bagi mengelakkan hal ini daripada berlaku adalah lebih baik suami tidak terus menuduh isteri berzina jika tiada bukti yang kukuh atau menafikan nasab anak dikandung isterinya. Jika beliau berasakan tiada sefahaman lagi selepas pelbagai usaha dilakukan untuk menyelamatkan perkahwinan, talak adalah diharuskan dan bukannya terus menuduh dan kemudian berli'an.

Allah berfirman yang bermaksud: "Talak itu dua kali, maka hendaklah kamu pegang atau kamu lepaskan." (Surah al-Baqarah, ayat 229)

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Perkara halal yang dibenci oleh Allah adalah talak." (Hadis riwayat Abu Daud)

Berkaitan dengan kandungan pula, jika ingin dinafikan kandungan itu sewajarnya dibuat ujian DNA untuk mengetahui sama ada suami adalah bapa biologi kepada anak itu. Ini penting bagi mengelakkan adanya perasan curiga mencurigai antara satu sama lain.

Mengikut peruntukan undang-undang, seseorang lelaki boleh berli'an menafikan anak yang lahir daripada bekas isterinya itu sebagai anaknya dalam tempoh empat tahun selepas perceraiannya dengan syarat bekas isteri tidak berkahwin lain dalam tempoh empat tahun itu. Jika lelaki itu tidak berli'an, maka anak hendaklah dinasabkan kepadanya.

Peruntukan ini termaktub dalam seksyen 111 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor, 2003 yang memperuntukkan: "Jika seseorang perempuan yang berkahwin dengan seorang lelaki melahirkan seorang anak lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinannya itu atau dalam masa empat tahun qamariah selepas perkahwinannya itu dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab perceraian, dan perempuan itu pula tidak berkahwin semula, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu, tetapi lelaki itu boleh dengan cara li'an atau kutukan, menafikan anak itu sebagai anaknya di hadapan mahkamah."

Walaupun li'an dibenarkan oleh hukum syarak bagi menjaga nasab serta maruah suami, sewajarnya hendaklah direnung dulu sebelum sebarang tindakan untuk melakukannya dibuat kerana kesan atau impak dari li'an ini amat serius.

Masalah akan timbul apabila apa yang dituduh tidak benar, sudah tentu kesan buruk adalah lebih daripada baiknya. Tambahan, laknat Allah akan menimpa jika tuduhan dibuat secara palsu. Ingatlah laknat Allah amat berat dan bukan saja di akhirat malah, di dunia jika Allah mengkehendaki.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia

Friday, March 7, 2008

Balasan pahala jika suami bersabar sikap buruk isteri

Maznah Daud

ALLAH yang Maha Pengasih lagi Penyayang memerintahkan hamba-Nya supaya kasih mengasihi antara satu sama lain. Seseorang hamba hanya akan memperoleh kasih sayang daripada-Nya apabila dia mengasihi makhluk-Nya.

Jika ada dua orang sahabat berkasih sayang antara satu sama lain, maka yang lebih disayangi Allah antara keduanya ialah yang paling kasih kepada sahabatnya. Manusia yang memiliki sifat kasih sayang paling tinggi dan paling agung ialah Rasulullah SAW.

Baginda sangat mengasihi umatnya sehinggakan perasaan kasihnya yang mendalam itu dirakamkan Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya sudah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri, yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan ditanggung kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu, ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang yang beriman.” (Surah at-Taubah, ayat 128)

Kasih sayang sesama insan akan membuahkan sikap bertolak ansur, hormat menghormati serta sedia berkorban demi kebahagiaan insan tersayang. Dalam hubungan suami isteri, kedamaian dan kasih sayang adalah teras utama.

Allah menjadikan perasaan kasih mesra antara suami isteri sebagai sunnah yang ada padanya tanda kekuasaan dan keagungan-Nya.

Firman Allah bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri daripada diri kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya antara kamu perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan menimbulkan kesedaran bagi orang yang berfikir.” (Surah ar-Rum ayat 21)

Selaras dengan ayat itu, Rasulullah SAW sering menasihati suami sebagai ketua keluarga supaya melayani isteri dengan sebaiknya. Baginda menegaskan, suami yang terbaik itu ialah yang berlaku baik terhadap isterinya.

Baginda SAW juga berpesan kepada suami dengan sabdanya bermaksud: “Hendaklah kamu ingat memperingati supaya berbuat baik kepada wanita (isteri). Sesungguhnya mereka adalah seperti tawanan di sisi kamu. Kamu tidak memiliki apa-apapun daripada mereka kecuali hak menikmati hubungan kelamin antara kamu berdua. Tetapi, apabila isteri kamu melakukan kejahatan yang nyata, maka tinggalkan tempat tidur mereka, dan pukullah dengan cara yang tidak terlalu menyakitkan. Jika mereka kembali mentaatimu, maka janganlah kamu mencari jalan untuk menyakitkan mereka. Ingatlah bahawa kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu dan isteri kamu juga ada hak ke atas kamu. Hak kamu ialah tidak membenarkan mana-mana lelaki tidur di atas tilam kamu dan tidak mengizinkan sesiapa yang kamu tidak suka memasuki rumah kamu. Adapun hak isteri ke atas kamu ialah kamu memberi yang terbaik kepada mereka pakaian dan makanan mereka.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Walaupun kehidupan isteri terikat dengan suami laksana seorang tawanan, mereka tidak boleh dianggap sebagai hamba yang boleh diperlakukan sesuka hati. Isteri mempunyai hak mendapat layanan sebaiknya.

Suatu ketika, ramai isteri datang menemui isteri Rasulullah SAW mengadu mengenai layanan buruk diterima daripada suami mereka. Apabila Rasulullah SAW mengetahuinya, Baginda bersabda bermaksud: “Sesungguhnya ramai wanita datang menemui isteriku mengadu mengenai suami mereka. Sesungguhnya suami kepada wanita itu bukanlah orang yang terbaik daripada kalangan kamu.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Tidak dinafikan, sebagai manusia masing-masing ada kelemahan dan kekurangan sama ada isteri mahupun suami. Cara terbaik mengatasinya ialah dengan bersabar serta tidak membesarkan kelemahan itu. Firman Allah bermaksud: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (berasa) benci kepada mereka (kerana tingkah lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya) kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedangkan Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak untuk kamu.” (Surah an-Nisaa’, ayat 19)

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Mana-mana lelaki yang bersabar di atas keburukan perangai isterinya, Allah akan berikannya pahala seperti diberikan kepada Ayyub kerana bersabar di atas bala yang menimpanya. Mana-mana isteri yang bersabar di atas keburukan perangai suaminya, Allah akan berikannya pahala seperti yang diberikan kepada Asiah binti Muzahim, isteri Firaun.”

Oleh Maznah Daud. Prof Madya Maznah Daud ialah bekas pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam yang boleh dihubungi di e-mel wanitajim0@yahoo.com

Renungi kisah seorang lelaki mengunjungi Umar bin al-Khattab untuk mengadu perangai isterinya. Dia berdiri di luar pintu, menunggu Umar keluar. Tiba-tiba dia terdengar isteri Umar sedang meleterinya sedangkan Umar diam tidak menjawab walau sepatah pun. Maka lelaki itupun beredar sambil berkata kepada dirinya sendiri: “Jika beginilah keadaan Umar, seorang Amirul-Mukminin yang selalu keras dan tegas, maka bagaimana dengan aku?

Selepas itu Umar keluar dari rumahnya dan melihat lelaki tadi sudah beredar. Umar memanggilnya dan bertanya tujuan kedatangannya. Lelaki itu berkata: “Wahai Amirul-Mukminin, aku datang untuk mengadu perangai isteriku yang buruk dan suka berleter di hadapanku. Tadi aku mendengar isteri anda pun begitu juga. Lalu aku berkata kepada diriku, jika beginilah keadaan Amirul-Mukminin dengan isterinya, maka bagaimana dengan aku.

Umar berkata kepadanya: “Wahai saudaraku, sesungguhnya aku bersabar mendengar leterannya kerana dia mempunyai hak ke atasku. Sesungguhnya dia memasak makananku, mengadun roti untukku, membasuh pakaianku dan menyusui anakku, padahal semua itu tidak diwajibkan ke atasnya. Dia juga menenangkan hatiku daripada melakukan perbuatan yang haram (zina). Sebab itulah aku bersabar dengan kerenahnya?

Lelaki itu menjawab: “Wahai Amirul-Mukminin, demikian jugalah isteriku? Umar pun berkata kepadanya: “Maka bersabarlah wahai saudaraku. Sesungguhnya kerenahnya itu tidak lama, hanya seketika saja.”

Oleh Prof Madya Maznah Daud ialah bekas pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam yang boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com

Thursday, February 21, 2008

Hak Muslim: Isteri boleh mohon kemuka saman menerusi iklan

SAYA sudah berkahwin selama 10 tahun dan ada tiga anak. Bagaimanapun, suami sudah meninggalkan saya sejak dua tahun lalu tanpa sebarang berita dan setahu saya dia tidak lagi berada di Selangor. Apabila saya hubungi ibu mentua, mereka tidak mahu bekerjasama dan memberitahu secara kasar bahawa suami saya tidak balik ke kampung. Saya tidak pernah bercerai sebelum ini dan sampai sekarang masih lagi menjadi isterinya. Saya sudah tidak dapat bersabar lagi atas apa yang dilakukan suami terhadap saya. Sudahlah ditinggalkan tanpa berita, suami juga tidak pernah mengirim wang untuk perbelanjaan kami sekeluarga. Saya ingin memohon cerai taklik, malangnya tidak tahu di mana alamat suami tinggal sekarang. Saya sudah memfailkan kes tetapi baru-baru ini kes saya ditangguhkan kerana saman tidak dapat disampaikan oleh Mahkamah Syariah kepada suami. Saya tidak suka kes ditangguhkan begini, di mana keadilan untuk saya sebagai isteri yang teraniaya. Apa yang perlu saya lakukan.

ISTERI TERANIAYA
Selangor

Saya mendoakan puan sabar dalam menghadapi ujian dan jangan berputus asa untuk berusaha mencapai hak puan. Secara umumnya, semua perjalanan di mahkamah atau dipanggil tatacara di mahkamah perlu mengikut cara dan kaedah ditetapkan.

Apabila kita memulakan sesuatu kes di mahkamah seperti kes mendapatkan cerai taklik, ia mesti dimulakan dengan saman dan penyata tuntutan. Dalam penyata tuntutan itu diletakkan latar belakang pasangan, fakta kes, berapa tahun ditinggalkan tanpa nafkah dan sebagainya.

Pada asasnya setiap saman dan penyata tuntutan perlu diserahkan kepada defendan bagi memberi peluang kepada defendan menjawab atau membela tuntutan yang difailkan terhadapnya. Mahkamah perlu mendengar pendirian dan keterangan daripada kedua-dua pihak sebelum dapat menjatuhkan penghakiman yang adil.

Tidak boleh kita beranggapan apabila isteri ke mahkamah, maka sudah semestinya suami bersalah dan hakim mesti memutuskan segera walaupun belum mendengar keterangan suami. Oleh itu, saman dan penyata tuntutan perlu sampai dulu ke tangan suami sebagai defendan sebelum kes diteruskan. Prinsip umum ini terpakai kepada semua kes yang dibawa ke mahkamah melainkan kes tertentu.

Saman itu mesti disampaikan kepada defendan dalam beberapa cara. Pertama, penyampaian saman dan penyata tuntutan secara kediri iaitu dengan menyerahkan saman bermaterai kepada suami atau defendan dan diperiksa olehnya. Oleh itu, alamat lengkap defendan perlu diketahui dengan tepat supaya saman berjaya diserahkan dengan baik.

Jika defendan enggan menerima saman itu, ia boleh ditinggalkan berhampiran dengannya dan perhatiannya diarahkan kepada saman berkenaan.

Saman juga perlu disampaikan atau diserahkan kepada defendan dalam tempoh 12 bulan daripada tarikh pengeluarannya. Ini bermakna puan perlu menyerah atau menyebabkan diserah saman itu kepada suami dalam tempoh dinyatakan.

Jika tidak berjaya diserahkan dan tempoh itu, maka puan hendaklah dengan segera membuat permohonan di mahkamah bagi melanjutkan tempoh kesahan saman itu.

Keadaan menjadi rumit apabila defendan tidak diketahui di mana tempat tinggalnya atau tiada alamat yang pasti di mana defendan berada. Untuk pengetahuan puan, bilangan kes suami meninggalkan isteri dan tidak diketahui di mana alamat berada seperti ini bukan sedikit.

Dalam keadaan ini, puan boleh memohon kepada Mahkamah Syariah untuk mendapatkan suatu perintah yang dinamakan perintah penyampaian ganti.

Jika mahkamah berpuas hati atas apa-apa alasan yang mencukupi kenapa saman itu tidak dapat disampaikan secara kediri, mahkamah boleh memerintahkan supaya saman itu disampaikan dengan cara lain.

Antaranya, dengan cara menampalkan suatu salinan pada papan kenyataan mahkamah dan di tempat yang mudah dilihat pada alamat terakhir defendan atau cara lain difikirkan patut oleh mahkamah.

Mahkamah juga boleh membuat perintah supaya penyampaian ganti dibuat melalui iklan dalam akhbar tempatan seperti difikirkan patut oleh mahkamah.

Bagi penyampaian ganti ini, walaupun secara fizikalnya defendan tidak membaca notis tampalan atau iklan dalam akhbar, kesannya di sisi undang-undang adalah sama seperti penyampaian ke diri. Undang-undang akan menganggap seolah-olah defendan sudah menerima saman itu secara ke diri.

Apabila sempurna penyampaian ganti itu, mahkamah hendaklah menyifatkan saman sudah disampaikan kepada defendan.

Setelah penampalan dan pengiklanan dibuat, puan hendaklah memfailkan afidavit penyampaian bagi membuktikan bahawa penyampaian ganti itu sudah dilakukan seperti diperintahkan mahkamah.

Jika suami tinggal di luar Selangor, puan perlu memohon perintah penyampaian di luar bidang kuasa.

Jika puan sudah mendapat perintah penyampaian ganti dan melakukan penyampaian seperti diperintahkan, maka kes puan tidak perlu ditangguhkan lagi. Puan boleh memohon kes dibicarakan.

Perkara membabitkan praktikal seperti bagaimana tatacara dan kaedah yang menepati undang-undang selalunya memerlukan peguam untuk membuatnya. Jika puan dapat memahami dengan baik, puan sendiri boleh melakukan tanpa perlu mendapatkan khidmat peguam syarie.

Pada tarikh perbicaraan, puan hendaklah memberi keterangan bagi menyokong tuntutan dengan membawa dokumen sokongan serta saksi yang mengetahui mengenai pemergian suami dan suami tidak pernah memberi nafkah. Ini penting untuk menguatkan tuntutan dan membolehkan taklik disabitkan.

Dalam keadaan tertentu, mungkin puan perlu menjalankan sumpah al-istizhar untuk membuktikan bahawa segala keterangan yang diberikan adalah benar. Dengan cara ini nilai keterangan puan akan menjadi lebih kuat lagi.

Secara ringkas, puan perlu memastikan saman diserahkan, atau memohon perintah penyampaian ganti daripada mahkamah bagi mempercepatkan penyelesaian kes. Penangguhan kes itu untuk memberi ruang puan mengikuti tatacara ditetapkan.

Ia adalah sebahagian daripada perjalanan prosiding mahkamah dan bukan bertujuan menganiaya puan atau mana-mana pihak. Oleh itu puan jangan beranggapan mahkamah tidak mempedulikan kesusahan puan. Semoga puan berjaya dalam tuntutan itu.

Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Nurhidayah Muhd Hashim. Sebarang persoalan boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com