Showing posts with label Perpaduan. Show all posts
Showing posts with label Perpaduan. Show all posts

Tuesday, December 22, 2009

Tajdid Iman: Nilai perpaduan hilang dalam persaudaraan

Umat Islam masih lagi bermusuh, memperbesarkan isu remeh, mementingkan diri sendiri

PENDUDUK Iraq pernah bertanya fatwa kepada Abdullah bin Umar mengenai hukum terkena darah nyamuk pada waktu ihram. Beliau membidas mereka yang suka bertanya sesuatu yang tidak penting secara berlebih-lebihan padahal mereka yang membunuh cucu Rasulullah SAW, Saidina Husin. Abdullah bin Umar berkata, "Mereka bertanya mengenai darah nyamuk padahal mereka menumpahkan darah cucu Rasulullah SAW."

Api kecil boleh membakar dengan ganas dan memusnahkan segala-gala dibina sekian lama. Begitu perpecahan di kalangan umat Islam berpunca dari sikap memaksakan pendapat suatu golongan dan menafikan golongan lain. Masalah kecil diperbesar-besarkan, isu khilaf yang menjerat umat hingga memfasik dan mengkafir sesama mereka, perbezaan metode dan wasilah dalam gerakan dakwah dan politik juga memberi tekanan pada ukhuwah yang diikat atas nama Allah dan yang paling teruk dengan menghalalkan darah saudaranya sendiri demi agenda peribadi.

Sikap bermusuhan, tuduh menuduh, gelar menggelar, mengaibkan dan menghina sesama Muslim menjadi isu sensasi akhir-akhir ini, walaupun sejarah pernah menyimpan cerita pertumpahan darah, namun ia tidak dijadikan sempadan dan peringatan. Bahkan diulang tayang dengan bebasnya, melagakan kembali Muslim dengan Muslim, gerakan dakwah ini dengan gerakan dakwah itu, politik sana dan politik sini akhirnya tumpuan umat tidak lagi fokus kepada pembangunan, perjuangan global, pembanterasan isu moral dan bahaya ketinggalan dari umat lain.

Malangnya negara Islamlah yang sentiasa menjadi sorotan penduduk dunia, kerana lahirnya pengganas agama yang menghalalkan darah sesama saudara Islam. Fahaman yang berbeza membawa kebencian sehingga begitu hodohnya wajah Islam di mata dunia. Jika orang kafir membentuk kesepakatan bersama dalam membangunkan negara masing-masing, dunia Islam pula sebaliknya.

Tidak dinafikan bahawa manusia sering berselisih pendapat, kerana majmuk umat yang terdiri dari pelbagai fikrah, latar belakang politik dan kecenderungan sosiobudaya yang pelbagai. Tetapi tidak mustahil menggesa umat kepada kesatuan matlamat walaupun berbeza manhaj (kaedah). Perselisihan yang dilarang adalah yang membawa kepada permusuhan dan kehancuran umat. Sementara perselisihan yang tidak disertai permusuhan bagaimanapun tidak dapat dihindari kerana ia fitrah manusia yang berbeza pandangan.

Sebagaimana perkataan Khalifah Umar bin Abdul Aziz, "Aku tidak suka jika para sahabat Rasulullah SAW tidak berselisih pendapat, seandainya mereka tidak berselisih nescaya tidak ada rukhshah (keringanan) bagi kita." (Diriwayatkan oleh al-Baihaqi di dalam Al-Madkhal sebagaimana di dalam Faidhul Qadir (1/209) dan Ibn Abdil Barr di dalam Jami'ul Bayanil Ilmi (2/80) terbitan al-Mimbariyah)

Sikap menjaga ukhuwah sebagai satu tuntutan iman semestinya lebih diutamakan daripada berbalah. Bekerjasama dalam masalah yang disepakat lebih baik daripada mencari perbezaan yang menimbulkan perpecahan. Isu solat membaca surah Al-Fatihah mengikut imam atau tidak, qunut dan zikir selepas solat atau tidak menjadi isu lapuk yang sentiasa diperbaharui menjadi sensasi zaman berzaman. Jika tidak selesai pun timbul pula isu akidah mengenai siapa Ahli sunnah Wal Jamaah sebenar. Tuduh menuduh Wahabi, sesat, kafir dengan menyatakan hujah tidak beradab memfitnah sesama Muslim. Sampai bilakah semua ini berakhir?

Ingatan mengenai bersatunya hati-hati Muhajirin dan Ansar di bawah asuhan wahyu sedikit sebanyak menyentuh kesedaran orang yang pernah berselisih. Dalam hati mereka sebenarnya membenci perbalahan, rindukan kasih sayang, hormat menghormati dan saling memahami perbezaan sebagai suatu rahmat. Kebahagiaan hidup, ketenangan dan ketenteraman hati manusia bergantung dengan dua ikatan. Ikatan kepada Allah SWT dan ikatannya dengan sesama makhluk. Belumlah pasti bahagia jika seseorang hanya taat kepada Allah tetapi suka bermusuh dengan sesiapa yang mengenalinya. Urusan dengan makhluk mesti diselesaikan terlebih dulu sebelum dia menghampiri Allah, jika hati masih diliputi aura tak sihat maka tidaklah nikmat menghadap-Nya.

Rasulullah SAW bersabda dalam hal ini, "Mahukah aku tunjukkan kepada kamu sesuatu yang lebih baik dari pahala solat, puasa dan bersedekah? Para sahabat menjawab, "Tentu, wahai Rasulullah SAW". Nabi SAW bersabda, "Memperbaiki hubungan sesama saudara kerana rosaknya persaudaraan adalah pencukur. Aku tidak bermaksud pencukur rambut tetapi pencukur agama." (Tirmizi dan Abu Daud)

Hentikan membaca dan bersurailah supaya tidak menimbulkan keburukan dan kekacauan. Lihatlah betapa kasih sayang dan persaudaraan lebih penting daripada ibadah jika sekiranya tiada ketulusan dalam ibadah itu. Agaknya tiada seorang pun yang terlepas dari mengata orang, menyakiti hati bahkan menzalimi saudaranya oleh itu setiap Muslim diingatkan untuk sentiasa menyematkan kalimah istighfar dalam hatinya, selain memohon keampunan kepada Allah hendaklah dia juga meminta maaf dari orang yang pernah dizalimi. Tidaklah mudah memaafkan seorang musuh tetapi ia tidak mungkin dilakukan melainkan kerana kita akur dan taat kepada seruan Allah SWT.

Perselisihan yang membawa kehancuran umat adalah maksiat manakala perbezaan sudut pandang yang tidak membawa kerosakan menunjukkan Islam agama yang menghormati pemikiran, perasaan dan sikap manusia yang berbeza-beza asalkan mereka masih tulus mengaku Muslim yang menjunjung tinggi ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Tiada siapapun yang boleh menilai kesempurnaan iman dan ilmu seseorang melainkan Allah SWT.

Penulis ialah Mufti Perlis

Sunday, September 20, 2009

Ulul Albab: Semangat Aidilfitri kukuh perpaduan umat

SELAMA 13 tahun tinggal di beberapa negara di Asia Barat untuk menimba ilmu, melancong mahupun mengunjungi saudara-mara, penulis tidak pernah mendapat ucapan atau kad raya seperti lazimnya di Nusantara dengan budaya khasnya ‘Maaf Zahir dan Batin’. Di sana yang ada antaranya ‘Kullu ‘Am wa Antum Bikhair’ (Semoga sepanjang tahun anda berada dalam kebaikan), ‘Asakum min ‘Awwadah (yang ini lebih kurang sama dengan ‘minal ‘aidin wal faizin), atau ucapan taqabbalallahu ta’atakum (semoga Allah berkenan menerima segala ketaatan anda).

Di Nusantara ada budaya mengucap maaf zahir dan batin yang jika ingin diterapkan di Asia Barat canggung untuk menterjemahkannya menjadi ‘al-‘afwu zahiran wa batinan’ atau ‘samihni zahiran wa batinan’. Jika ia berlaku, sudah tentu mereka akan menanyakan maknanya. Mungkin dalam masyarakat lain juga kita tidak jumpa kata-kata ucapan Aidilfitri ‘maaf zahir dan batin’. Dalam bahasa Inggeris yang lazim hanya kata-kata ‘Happy ‘Ied. Tidak kita jumpa ucapan ‘Forgive me open and secret atau explicitly and implicitly’, mungkin.

Itulah budi bahasa masyarakat Nusantara yang diwarisi sejak zaman berzaman. Bahkan jika seseorang terinjak kaki di dalam bas atau keramaian, dia yang akan meminta maaf, ‘maaf, kaki saya terinjak’, bukan orang yang menginjak meminta maaf, ‘maaf, saya menginjak kaki anda”.

Indahnya berbudi bahasa masyarakat Nusantara mempunyai kelainan tersendiri jika dibandingkan dengan masyarakat lainnya di mana ada kalanya ia disalah faham oleh mereka.

Budi bahasa yang dimiliki masyarakat Nusantara adalah satu kebesaran Allah yang termaktub dalam ayat al-Quran bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.” (Surah al-Hujarat: 13)

Berbudi bahasa sepatutnya bahkan suatu kewajipan yang mesti dimiliki oleh setiap Muslim. Rasulullah SAW menegaskan maksudnya: “Sesungguhnya Allah mewajibkan (kalian) berbuat baik terhadap segala sesuatu, maka bila kalian hendak membunuh orang (dalam peperangan ataupun yang lainnya), bunuhlah dengan cara yang baik, dan bila kamu menyembelih (binatang), maka sembelihlah dengan cara yang baik, hendaklah kalian menajamkan pisau dan memperlakukan binatang sembelihan dengan lembut.” (Riwayat Muslim)

Demikianlah Islam memerintah berbuat ihsan termasuk di dalamnya berbudi bahasa kepada binatang dan menunjukkan contoh amalinya. Maka ihsan kepada yang lebih mulia kedudukannya daripada pada binatang tentu lebih diperintahkan dan lebih dijelaskan contohnya. Oleh kerana itu tuntutlah ilmu sebanyak-banyaknya mengenai ihsan kepada Allah, kepada sesama makhluk baik yang berakal atau tidak berakal. Sungguh rahmat Allah dekat dengan orang muhsin.

Dalam hadis yang lain, Baginda bersabda maksudnya: “Sesungguhnya seorang mukmin mengambil (melaksanakan) budi bahasa (adab) dari Allah. Jika Allah meluaskan budi bahasa baginya maka akan luas budi bahasanya dan (jika Dia) menyempitkannya (menahan dan tidak memberinya budi bahasa) maka sempitlah budi bahasanya.” (Riwayat al-Hakim).

Keindahan bermaaf-maafan pada Aidilfitri adalah satu perkara yang disukai Allah SWT seperti diperoleh maknanya daripada sebuah hadis maksudnya: “Sesungguhnya Allah indah dan suka kepada keindahan. Bila seseorang ke luar untuk menemui kawan-kawannya hendaklah merapikan dirinya. (Hadis riwayat al-Baihaqi).

Budaya saling memaafkan adalah sinar yang terpancar dari diri seorang muslim yang berakhlak mulia. Nabi bersabda maksudnya: “Kamu tidak akan memperoleh simpati semua orang dengan hartamu tetapi dengan wajah yang menarik dan dengan akhlak yang baik. (Hadis riwayat Abu Ya'la dan al-Baihaqi)

Melalui saling maaf memaafkan pada Aidilfitri kita akan dapat memperkukuh perpaduan kita dengan menghilangkan permusuhan dan dendam dan menghapuskan semua kesalahan sesama kita.

Ada baiknya, dalam suasana kemeriahan dan kesyahduan Aidilfitri yang mana kita semua dalam keadaan fitrah atau suci dan bersih daripada segala dosa berkat Ramadan, kita merapatkan barisan kita yang selama ini menjadi celah untuk diganggu oleh musuh-musuh kita agar kita selalu bermusuhan.

Ada baiknya, dalam suasana yang penuh keberkatan ini kita bertafakur dan merenungi ayat al-Quran berikut demi memperkukuh perpaduan umat kerana sebab perbalahan, perseteruan, pertelingkahan dan permusuhan di antara umat Islam tidak terlepas daripada maksud yang terkandung di dalamnya. Allah berfirman bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang yang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada kaum dengan sebab kejahilan kamu sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan.

Dan ketahuilah! Bahawa di antaramu ada Rasulullah; kalaulah ia menurut kehendakmu dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu mengalami kesukaran; akan tetapi Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta dihiaskannya dalam hatimu, dan menjadikan kekufuran dan kefasikan serta kederhakaan itu perkara yang kamu benci; mereka itulah orang yang tetap menurut jalan yang lurus. Sebagai kurnia dan nikmat pemberian daripada Allah dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Jika dua puak dari orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah keduanya dengan adil, dan berlaku adillah kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.

Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.

Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak merendah-rendahkan puak yang lain, mungkin puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula kaum wanita ke atas kaum wanita yang lain, mungkin puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri; dan jangan kamu panggil-memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. Amatlah buruknya sebutan nama fasik sesudah ia beriman. Sesiapa yang tidak bertaubat maka merekalah orang yang zalim. Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah kamu suka makan daging saudaranya yang mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Hujarat: 6-12)

Tidak ada ruginya jika kita mendahulukan perpaduan walaupun dengan mengorbankan kepentingan peribadi mahupun kelompok tetapi banyak ruginya jika kita mengetepikannya walaupun dengan sebab sekecil apa pun juga. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.

Wednesday, April 29, 2009

Perpaduan kukuh asas bentuk bangsa cemerlang

Oleh Mohd Shahrizal Nasir

Rapatkan segera saf untuk jadi ummah terbilang, angkat martabat Islam di mata dunia

PERPADUAN menjadi asas pembentukan negara, bangsa dan ummah terbilang. Rasulullah SAW menjadikan perpaduan asas pembentukan negara Islam Madinah dengan menyatukan kaum Aus serta mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar.

Ini antara resipi kejayaan Baginda dalam proses membentuk negara Islam contoh, seterusnya melahirkan ummah terbaik.

Bermula daripada penyatuan individu kepada penyatuan warga negara Madinah dan umat Islam seluruhnya daripada segenap pelosok dunia. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Orang mukmin bagi orang mukmin yang lain itu laksana satu binaan yang sebahagiannya memperkuatkan sebahagian yang lain." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Tidak dapat dinafikan sikap saling menolong dan membantu boleh memperkuatkan perpaduan ummah. Jika dilihat dalam konteks sejarah pembentukan negara Islam Madinah, persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar didasari semangat tolong-menolong sesama Muslim dalam memenuhi keperluan memulakan kehidupan baru.

Kehidupan lebih bermakna dan bahagia daripada tekanan dan cabaran dilalui oleh Muhajirin ketika di bumi Makkah. Semangat ini yang perlu diteruskan dalam keadaan masa kini bagi mendepani cabaran zaman kian hebat.

Ada 1001 faktor yang boleh menyebabkan perpaduan umat Islam menjadi lemah dan tergugat. Dalam keadaan terkini, politik keterlaluan menjadi antara faktor utama mengancam perpaduan umat Islam di kebanyakan negara Islam di seluruh dunia.

Hakikatnya, politik tidak dapat dipisahkan dengan Islam sebagai agama bersifat syumul (sempurna) menggariskan panduan lengkap dalam segenap perkara membabitkan urusan dunia dan akhirat.

Jika umat Islam terus berpolitik tanpa menghiraukan batasan ditetapkan Islam, akan tercetus perpecahan ummah yang secara langsung melemahkan kekuatan Islam sebagai agama suci dan tinggi.

Lebih teruk jika perjuangan politik hanya untuk kepentingan peribadi dan poket sendiri tanpa memahami kepentingan politik dalam menjamin kestabilan ummah serta ketinggian agama Islam.

Perbezaan ideologi yang ketara mengenai perkara furuk (sampingan) menyebabkan semangat perpaduan sesama umat Islam terus terancam. Kesannya, muncul pelbagai keadaan negatif seperti budaya fitnah memfitnah, prasangka buruk, cabar-mencabar, hasad dengki, fitnah, dendam dan mendedah keaiban orang lain yang membawa kepada bibit persengketaan dan perpecahan.

Sebagai ummah unggul, umat Islam perlu berusaha menjauhi perkara itu dan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi merapatkan kembali perpaduan ummah. Firman Allah bermaksud: "Sebenarnya orang beriman itu bersaudara, maka damaikan antara dua saudara kamu (yang bertelingkah itu)." (Surah al-Hujuraat, ayat 10)

Jika dilihat secara mendalam, tanggungjawab umat Islam amat besar dalam membantu sesama umat Islam yang berada dalam keadaan memerlukan.

Tidak dinafikan umat Islam turut berperanan dan bertanggungjawab membantu bukan Islam atas dasar kemanusiaan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Seorang Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain, tidak menzaliminya dan tidak membiarkan ia dizalimi. Siapa berusaha memenuhi hajat saudaranya, maka Allah akan membantu dan mempermudahkan hajatnya." (Hadis riwayat Muslim)

Mendepani keadaan semasa yang semakin mencabar ketika ini, umat Islam khususnya di negara ini harus merapatkan saf demi memelihara keutuhan ummah dan berusaha mencari jalan bagi memelihara kesucian agama serta kedaulatan negara.

Ketepikan buat sementara perbezaan khususnya politik bagi mengeratkan silaturahim. Jangan terus berpolitik sedangkan masalah umat Islam meruncing tanpa berkesudahan.

Lihat umat Islam yang dilanda masalah seperti di Palestin, Afghanistan, Iraq dan Selatan Thailand, pasti umat Islam di negara itu mengharapkan bantuan serta pertolongan saudara Islam.

Perbalahan sesama umat Islam menjadikan mereka lemah semangat dan hilang kekuatan. Perkara ini yang amat membimbangkan lebih-lebih lagi jika pertelingkahan itu semakin parah dan sampai ke kemuncaknya.

Allah mengingatkan menerusi firman-Nya bermaksud: "Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantah (berselisih), jika tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu." (Surah al-Anfal, ayat 46)

Perbalahan dan perpecahan membuatkan Yahudi dan Nasrani ditolak oleh Allah. Mereka saling berbantah dan berselisih dalam banyak perkara khususnya berkaitan agama.

Firman Allah bermaksud: "Dan jangan kamu menjadi seperti orang (Yahudi dan Nasrani) yang bercerai-berai dan berselisih (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh nabi Allah). Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar." (Surah Ali-'Imran, ayat 105)

Sesungguhnya tiada cara lain untuk mengeratkan lagi tali persaudaraan dan perpaduan umat Islam selain berpegang teguh kepada ajaran Islam, agama yang menjamin kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia serta akhirat.

Penulis ialah Felo Akademik Fakulti Bahasa Dan Komunikasi Universiti Darul Iman Malaysia.

Saturday, March 14, 2009

Abai ajaran al-Quran punca umat Islam berpecah

Oleh Mohd Shukri Hanapi

Sikap Muslim terlalu bergantung kepada nilai Barat memporak-perandakan kehidupan bermasyarakat

PERPADUAN adalah tuntutan agama dan nilai diperlukan dalam menghadapi rintangan serta cabaran. Saat ini banyak dugaan melanda sama ada serangan dunia luar atau daripada umat Islam sendiri. Sepatutnya umat Islam berpadu tenaga menangani masalah ini.

Perpaduan adalah keperluan utama bagi mempertahankan kedudukan ummah. Oleh itu, sebagai benteng untuk menyekat penguasaan musuh terhadap kekayaan umat Islam dari segi sumber alam dan ilmu pengetahuan, kekuatan semangat bersatu padu perlu dikembalikan.

Secara teorinya, perpaduan bukan sukar diwujudkan. Al-Quran dan hadis menggariskan cara mewujudkan perpaduan. Namun, secara praktiknya, untuk mewujudkan perpaduan terpaksa menghadapi pelbagai masalah terutama sikap umat Islam sendiri.

Penerimaan umat Islam terhadap al-Quran sebagai asas perpaduan ummah masih menjadi persoalan besar. Meskipun Rasulullah SAW menjelaskan asas perpaduan sebenar umat ialah al-Quran dan hadis, namun umat Islam masih bergantung kepada nilai Barat.

Mereka teragak-agak untuk mendapatkan petunjuk daripada al-Quran, walaupun al-Quran sudah menjelaskan ia adalah kitab petunjuk yang tidak patut diragui sesiapa pun. Firman Allah bermaksud: "Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan, padanya petunjuk bagi mereka yang bertakwa." (Surah al-Baqarah, ayat 2)

Ketiadaan pegangan dan kepatuhan secara mutlak terhadap ajaran dan hukum al-Quran, menyebabkan umat Islam kehilangan arah. Dalam beberapa keadaan tertentu mereka boleh disifatkan orang yang separuh beriman.

Perkara paling penting perlu diberi perhatian berhubung al-Quran dalam konteks perpaduan ummah ialah kedudukannya sebagai asas perpaduan. Ia jelas dilihat pada sifatnya dan ajaran yang terkandung dalamnya.

Antara yang paling penting ialah sifatnya sebagai sumber asas pegangan hidup seluruh umat Islam. Berhubung perkara ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Aku sudah tinggalkan di kalangan kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya, (iaitu) al-Quran dan al-Sunnah Rasul-Nya." (Hadis riwayat Imam Malik)

Jelas perpaduan ummah yang dicita-citakan umat Islam boleh dicapai dengan senang jika berpegang teguh dengan al-Quran dan hadis. Dengan bersikap sedemikian mereka sudah di jalan benar. Secara tidak langsung, perpecahan sesama sendiri yang berlaku sekarang tidak akan timbul.

Sifat sebagai asas pegangan hidup seluruh umat Islam diperoleh daripada al-Quran atas kedudukannya sebagai kitab petunjuk kepada seluruh umat manusia. Perkara ini dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: "Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus." (Surah al-Isra', ayat 9)

Orang yang berpegang teguh dengan ajaran al-Quran bererti ia sudah menerima petunjuknya sebagai asas atau perlembagaan hidup yang tunggal dan unggul. Sehubungan itu, Allah berfirman bermaksud: "Dan tidak patut bagi lelaki Mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang Mukmin apabila Allah dan Rasul-Nya sudah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) mengenai urusan mereka. Siapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya dia sudah sesat secara nyata." (Surah al-Ahzab, ayat 36)

Di samping berpegang teguh bahawa al-Quran itu perlembagaan hidup bersifat tunggal dan unggul, penerimaan itu juga harus menyeluruh, bukan menerima dalam sesetengah perkara dan menolak dalam perkara lain.

Sikap seperti ini sudah ditegur dan diingatkan Allah. Firman-Nya bermaksud: "Apakah kamu beriman kepada sebahagian al-Kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang bertaubat demikian daripadamu melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada seksa yang sangat berat." (Surah al-Baqarah, ayat 85)

Antara sebab utama berlaku perpecahan umat Islam pada hari ini ialah kegagalan mereka menjadikan al-Quran sebagai pegangan hidup yang tunggal dan unggul. Suatu perkara yang mendukacitakan, apabila ada umat Islam menafikan peranan al-Quran dan ada pula yang menerimanya secara berpilih mengikut kesesuaian cara hidupnya.

Ini bererti penyatuan ummah pada dasarnya lebih banyak terhenti atas kejayaan atau sebaliknya menjadikan al-Quran sebagai perlembagaan hidup yang tunggal.

Kepekaan terhadap hubungan antara al-Quran dan perpaduan umat disedari generasi pertama Islam dulu, sehinggakan mendorong mereka mengambil langkah membukukan ayat suci al-Quran dalam mushaf dan menentukan hanya satu mushaf yang diiktiraf iaitu mushaf Uthman.

Seperti tercatat dalam sejarah Islam, langkah seperti itu diambil antaranya bertujuan menjamin kesatuan ummah dengan mengelak perpecahan pendapat yang mendalam antara mereka berhubung susunan ayat suci al-Quran dan tatacara membacanya.

Peperangan yang sedang sengit berlaku suatu ketika dulu antara golongan Saidina Ali Abi Talib dan Mu'awiyah dapat dileraikan dan gencatan senjata boleh dilakukan serta-merta apabila al-Quran ditonjolkan sebagai asas penyelesaiannya.

Meskipun sejak mula Saidina Ali mengesyaki ada sesuatu di sebalik tawaran gencatan senjata yang dibuat Mu'awiyah, beliau tetap menerimanya demi menghormati al-Quran sebagai asas perdamaian dan penyatuan semula ummah.

Ini kerana al-Quran dihayati dengan sempurna dan peranannya sebagai sumber ilham dan petunjuk kepada semua kegiatan hidup diterima. Bagaimanapun kepekaan ini kemudian menjadi semakin lemah sehingga sampai kepada peringkat al-Quran diabaikan.

Al-Quran tidak lagi dilihat sebagai sesuatu yang boleh memainkan peranannya menyatukan seluruh umat Islam kerana tidak lagi menjadi sumber ilham dan petunjuk bagi kehidupan masyarakat Islam.

Oleh itu, usaha perlu dilakukan supaya wahyu dalam kitab Allah itu menjadi titik pertembungan yang menyatukan semua umat Islam dan semoga kesatuan yang dicapai membolehkan umat Islam dan Islam menghadapi setiap cabaran yang datang dalam satu semangat.

Perpaduan antara nikmat paling besar patut disyukuri rakyat

DARIPADA Amir Saad daripada bapanya katanya: "Pada suatu hari Rasulullah SAW datang dari daerah perbukitan. Ketika Baginda sampai di Masjid Bani Mu'awiyah, Baginda masuk ke masjid itu lalu solat dua rakaat. Kami pun solat bersama. Baginda berdoa kepada Tuhan panjang sekali. Selepas berdoa Baginda berpaling kepada kami lalu bersabda: Aku memohon kepada Tuhan tiga perkara. Dia memperkenankan dua perkara dan menolak satu perkara. Aku memohon kepada Tuhan supaya jangan membinasakan umatku dengan musim susah yang panjang. Maka diperkenankan. Aku memohon supaya umatku jangan dibinasakan dengan bencana tenggelam (seperti banjir besar yang melanda umat Nabi Nuh atau seperti tentera dan Raja Firaun yang ditenggelamkan di lautan), permohonanku itu diperkenankan-Nya juga. Aku memohon supaya umatku jangan dibinasakan kerana pertentangan sesama mereka. Permohonan ini tidak diperkenankan." (Hadis riwayat Bukhari)

Malaysia selaku negara yang merdeka dan berdaulat dengan Islam dijadikan sebagai agama rasmi dan umatnya sebagai penduduk majoriti adalah nikmat terbesar yang harus disyukuri umat Islam di negara ini.

Bagi mengekalkan keamanan dan kemerdekaan itu, semangat perpaduan antara umat Islam adalah faktor terpenting malah ia senjata paling ampuh dalam memastikan kedudukan Islam tidak terpinggir, ditelan arus kemajuan dan pemodenan dipenuhi segala kenikmatan melalaikan.

Bahkan selaku umat terbaik kita perlu sentiasa tegas dan berpegang pada prinsip Islam yang mahukan umatnya maju dan merdeka dalam segala aspek termasuk merdeka daripada sebarang perkara menyesatkan jiwa dan minda.

Akidah umat Islam juga jangan terjajah dan minda tidak terpengaruh ideologi sesat. Maka dengan wujudnya keutuhan ummah dalam sebuah negara Islam yang merdeka, agama Islam juga hendaklah didaulatkan supaya berkembang selari dengan keadaan dan zaman.

Ini penting supaya kemakmuran negara makin bertambah dan mendapat keredaan daripada Allah, sesuai dengan ciri disebutkan dalam al-Quran yang maksudnya: "Negeri yang baik (aman dan makmur) dan mendapat pengampunan Allah." (Surah Saba', ayat 15)

Lebih daripada itu, segala apa yang berlaku di negara Islam lain yang menghadapi tragedi peperangan, penderitaan akibat kebuluran, pecah belah dan huru hara harus diambil pengajaran oleh kita semua supaya tidak ditimpa nasib yang sama.

Sumber Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Friday, March 6, 2009

Maulidur Rasul titik tolak perkukuh perpaduan ummah kesatuan

Oleh Hasliza Hassan
bhnews@bharian.com.my


PERARAKAN Maulidur Rasul meningkatkan lagi hubungan sesama umat.


Perarakan sambutan hari kelahiran Rasulullah SAW lambang kesatuan

DATARAN Merdeka bakal melihat perhimpunan terbesar umat Islam, Isnin ini sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1430 Hijrah yang dijangka dihadiri 100,000 hadirin termasuk kontinjen yang akan berarak sambil berselawat memohon kesejahteraan ke atas junjungan Rasulullah SAW.

Perhimpunan sempena memperingati hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW itu bertujuan memperlihatkan penyatuan umat Islam yang secara tidak langsung menjurus kepada perpaduan masyarakat di negara ini.

Ini dikuatkan dengan tema 'Wahdah Pemangkin Khaira Ummah' atau penyatuan pemangkin ummah terbaik sebagai elemen penting untuk kelangsungan ummah kerana pepatah Arab menyatakan: "Tidak dapat dicapai kemenangan melainkan dengan kekuatan dan tidak dapat dicipta kekuatan melainkan dengan penyatuan (perpaduan)."

Kesedaran mengenai pentingnya penyatuan dan semangat perpaduan sudah disemai dan dibaja subur Rasulullah SAW kepada sahabat Baginda demi mencapai matlamat penyatuan umat Islam ketika itu.

Antara usaha digerakkan Baginda SAW ialah menyatukan suku kaum dengan penuh hikmah, menggubal perlembagaan bagi menjamin perpaduan, melaksanakan prinsip syura, memperkenalkan dasar ekonomi adil, penubuhan pasukan tentera, melaksana metodologi dakwah dan diplomatik berstrategi.

Selain itu, Baginda SAW membangunkan masyarakat Islam bermoral supaya dapat dijadikan panduan bagi melahirkan ummah terbaik terutama umat Islam hari ini supaya kesinambungan daripada misi itu dapat diteruskan.

Meletakkan sasaran dan matlamat menjadi khaira ummah memerlukan komponen teras seperti penguasaan ilmu dan kemahiran dengan dipimpin iman serta takwa yang mantap daripada setiap individu, masyarakat, organisasi serta negara.

Era globalisasi penuh cabaran serta provokasi menuntut umat Islam melahirkan lebih ramai insan dan ilmuwan berjiwa besar, bersemangat kental dan mempunyai keyakinan untuk mencapai status khalifah Allah yang sejati.

Menjelaskan lebih lanjut sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz, berkata perarakan dan perhimpunan besar-besaran kali ini bertujuan menonjolkan syiar Islam yang mementingkan semangat kesatuan.

"Perhimpunan itu juga adalah untuk satukan ummah Islam dari segi pemikiran dengan cara berpersatuan dan bergerak dalam masyarakat untuk menghadapi serta menangani cabaran mendatang.

"Dalam konteks Malaysia ini, perpaduan umat Islam menjadi teras kepada perpaduan dan keamanan negara. Justeru, menjadi harapan kita sambutan kali ini turut dihadiri rakyat berbilang bangsa serta pelancong asing," katanya.

Beliau berkata, sambutan Maulidur Rasul adalah acara negara dan terbuka kepada umum untuk bersama menghayati semangat kesatuan serta perpaduan yang sekian lama menjadi sebahagian daripada faktor keamanan serta keharmonian dikecapi negara.

Malah, konsep sambutan yang menghimpunkan semua lapisan masyarakat juga menjurus kepada acara kekeluargaan dan orang ramai dijemput menghadirinya bersama keluarga.

Berbeza dengan majlis sambutan sebelum ini, perarakan kontinjen akan bermula daripada lapan masjid membabitkan kontinjen terdiri daripada kakitangan kerajaan, swasta, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi dan pelajar sekolah.

Masjid terbabit ialah Masjid Negara, Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid Jamek Kuala Lumpur, Masjid Bukit Aman, Masjid India, Masjid Jamek Kampung Baru, Masjid Pakistan dan Masjid As-Syakirin KLCC.

Perarakan kontinjen didahului barisan kenamaan sambil berselawat dimulakan dari Masjid Negara ke Dataran Merdeka diikuti perarakan kontinjen dari tujuh masjid lain yang dijangka akan turut disertai orang awam yang berada di sekitarnya.

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan dijangka dihadiri Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak serta menteri Kabinet dijadual hadir pada majlis itu.

Tahun ini, enam penerima dipilih untuk Anugerah Maulidur Rasul bagi mengiktiraf mereka yang melaksanakan tugas serta perkhidmatan fardu kifayah yang menjurus kepada kepentingan dan kemakmuran rakyat.

Wan Mohamad berkata, 100 pencalonan diterima dan daripada jumlah itu lapan calon disenarai pendek sebelum enam dipilih sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1430 Hijrah.

Tahun ini juga buat julung kalinya Anugerah Perdana diperkenalkan dan penerima anugerah akan menerima wang tunai RM50,000, sebuah plak, sijil dan hadiah iringan, sementara lima penerima lain akan menerima RM22,000 setiap seorang berserta hadiah iringan.

Anugerah Maulidur Rasul mula diperkenalkan pada 1413 Hijrah (1992 masihi) dan pencalonan terbuka kepada lelaki serta perempuan Islam dan bukan Islam yang terbabit dalam tugas serta perkhidmatan mencabar, berisiko tinggi, kritikal yang memberi kebaikan kepada rakyat dan negara.

Tahun lalu, lima calon dipilih menerima anugerah berkenaan termasuk Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan pelajar cemerlang kurang upaya, Nor Umairah Ahmad Jamhari.

Majlis sambutan turut diserikan dengan persembahan khas berkonsepkan hiburan bermesej yang mengimbau kehidupan masyarakat Arab sebelum kelahiran Rasulullah SAW, kelahiran Baginda, cabaran dihadapi semasa mengembangkan dakwah dan penyatuan umat Islam sebagai khaira ummah.

Kumpulan al-Gebra, Nakasutra, Akhil Hayy, Waheeda, Yassin dan pencerita Sabri Yunus bersama Ebby Saiful diiringi 60 pelaku gerak dan 40 kanak-kanak bakal menampilkan persembahan yang turut dimeriahkan dengan pukulan kompang.

Sebagai menghayati serta menghargai semangat kesatuan yang digerakkan Rasulullah SAW dan disambung sahabat Baginda serta kepemimpinan dulu, di Dataran Merdeka pada jam 7.30 pagi untuk menyambut Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1430 Hijrah.

Malah, perhimpunan di Dataran Merdeka kali ini juga sungguh bererti untuk mengenang kembali keberkesanan sambutan dipulihkan semula pada 1992 selepas perarakan menyambut Maulidur Rasul diberhentikan sejak 1979.

Ikuti seruan Rasulullah perkuat perpaduan ummah

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Wujudkan suasana keharmonian dalam hidup bermasyarakat di bawah lembayung Islam

JATUH dan bangunnya sesebuah negara berkait rapat dengan perpaduan dan kesatuan ummah yang menjadi teras kepada kestabilan negara. Ini adalah satu hakikat tidak boleh dinafikan dari segi realiti kehidupan dan kewarasan logik akal.

Pepatah Melayu juga ada berkata, "Bersatu teguh bercerai roboh". Ini diperkuatkan lagi dengan sejarah tamadun manusia yang banyak menyaksikan jatuh dan bangunnya sesebuah negara di dunia sejak zaman berzaman.

Apabila merenung kembali dan menginsafi keadaan umat Islam sekarang ini, kita dapati umat Islam masih lagi tidak bersatu dalam segala hal dan keadaan menjadi bertambah buruk apabila umat Islam saling bercakaran yang akhirnya mengakibatkan padah buruk kepada umat Islam sendiri.

Padahal umat Islam sedia maklum bahawa Islam adalah agama yang menganjurkan kepada kesatuan dan perpaduan ummah seperti pernah dibina Rasulullah SAW sendiri kepada masyarakat Arab terdiri kaum Muhajirin dan Ansar.

Justeru, mereka mampu dan berjaya mencipta keunggulan serta kejayaan dalam segala aspek kehidupan selaras dengan kedudukan mereka sebagai khaira ummah.

Banyak nas yang menganjurkan umat Islam sentiasa memelihara kesatuan dan perpaduan ini antaranya firman Allah yang bermaksud: "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai berai; dan kenangkanlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (ketika jahiliah dulu), lalu Allah menyatukan antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara." � (Surah Ali-Imran, ayat 103)

Rasulullah SAW pernah melukiskan mengenai kesatuan dan perpaduan dengan sabdanya yang bermaksud: "Ibarat seorang mukmin dengan mukmin yang lain ialah sebuah binaan yang terdiri daripada bahan yang saling menyokong antara satu sama lain sehingga tercipta sebuah binaan." � (Hadis riwayat Bukhari)

Suasana perpaduan ini dibuktikan sendiri oleh generasi Rasulullah SAW dan sahabatnya sehingga mereka mampu melakarkan sejarah sebagai umat terbaik. Ini bukanlah suatu perkara mustahil bagi kita untuk mengulangi kembali lipatan sejarah dengan syarat kita kembali kepada Islam yang fitrah.

Menyedari akan kepentingan perpaduan ini bagi menjamin kestabilan dan keutuhan satu-satu umat dalam mengharungi gelombang hidup ini, adalah wajar bagi kita menjana kesatuan dan perpaduan yang utuh di kalangan orang Islam sendiri.

Allah memberi peringatan supaya kita memelihara perpaduan dan kesatuan ummah serta menjauhkan sama sekali sebarang permusuhan dan perbalahan yang boleh mengakibatkan perpecahan yang bisa menghancurkan negara.

Allah berfirman bermaksud: "Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan jangan kamu berbantah-bantahan; jika tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang yang bersabar." � (Surah al-Anfal, ayat 46)

Umat Islam perlu dan semestinya memupuk unsur membawa kepada perpaduan dan kesatuan ummah yang kukuh seperti bersaudara atas dasar Islam, berkasih sayang, saling nasihat menasihati, bantu membantu dan ziarah menziarahi.

Ini penting bagi umat Islam, lebih-lebih lagi kita sekarang berada pada alaf baru yang menuntut lebih banyak persediaan serta kesungguhan dalam menobatkan kembali kegemilangan dan kecemerlangan dalam segala aspek kehidupan.

Sehubungan itu, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Jangan kamu berdendam kesumat, jangan kamu berhasad dengki, jangan kamu berpaling muka, jangan kamu pulau memulau, sebaliknya hendaklah kamu bersaudara. Adalah tidak harus bagi seseorang Muslim tidak bertegur sapa dengan saudaranya melebihi tiga hari." � (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW ada menyediakan resipi ke arah mengukuhkan perpaduan ummah dengan bersabda yang bermaksud: "Demi nyawaku di bawah genggaman Allah! Kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman. Kamu tidak akan beriman sehinggalah kamu berkasih sayang. Mahukah kamu kalau aku tunjukkan kepada kamu akan satu perbuatan, bila kamu lakukannya kamu akan berkasih sayang iaitu ucapkan salam sesama kamu." � (Hadis riwayat Muslim)

Justeru, Rasulullah SAW memberikan tips ke arah mewujudkan suasana keharmonian dalam hidup bermasyarakat di bawah lembayung Islam. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sebarkanlah salam, perkuatkanlah silaturahim, kasihanilah golongan fakir miskin dan jangan tinggalkan solat malam." � (Hadis riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis itu, Rasulullah SAW menyampaikan empat pesanan penting ke arah pengukuhan dan pemantapan institusi masyarakat harmoni dan bersatu. Lebih-lebih lagi seruan hadis itu menemui momentumnya selari keadaan mutakhir yang berdepan pelbagai kemelut mencengkam ummah.

Kita sebagai umat Islam dapat menyaksikan kedamaian dan keharmonian semakin tergugat dan berkocak disebabkan longgarnya kesatuan ummah di samping tali silaturahim sesama manusia pun semakin terungkai simpulannya.

Biarpun kedengaran suara supaya kembali kepada Islam dan akhlak Islam namun bagaikan air dicurahkan di daun keladi.

Marilah bersama berusaha untuk merealisasikan cita-cita mencipta perpaduan dan kesatuan ummah seperti pernah dikecapi generasi umat Islam terdahulu. Oleh itu, kita perlu mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.

Pada masa sama, mestilah memelihara perpaduan dan kesatuan ummah supaya terus utuh sepanjang masa berbekalkan ilmu yang mantap dan sinaran penghayatan keagamaan tidak pernah pudar.

Thursday, February 26, 2009

Berbalah tamakkan kuasa roboh perpaduan

Nik Salida Suhaila Nik Saleh


TANGGUNGJAWAB mempertahankan negara dengan apa juga cara pun besar ganjarannya di sisi Allah, apatah lagi yang sanggup mengorbankan nyawa kerana tanah air tercinta. - Foto hiasan


Semangat jihad tinggi, kekentalan rohani mampu pertahan tanah air daripada dijajah

PELBAGAI cara boleh digunakan untuk mempertahankan negara dan tanah air tercinta daripada gangguan serta pencerobohan luar yang tamak kuasa untuk menguasai segala-galanya di sesebuah negara.

Sejak awal pembinaan tamadun lagi sejarah membuktikan bahawa bangsa asing akan meninjau sesebuah penempatan sebelum mula menapak untuk membina empayar keluarga, ekonomi, politik malah hubungan antarabangsa sehingga akhirnya mereka menuntut hak sama dengan warga asal sesuatu penempatan diteroka.

Hal ini bukanlah luar biasa, cuma senario hari ini tidak sama dengan apa yang dibuktikan sejarah. Tiada lagi kapal layar berlabuh meletak sauh atau rempah ratus yang menjadi boneka dagangan, yang ada ialah pencerobohan minda mengkhayalkan sehingga kita lupa asal usul dan kepayahan menuntut kebebasan daripada penjajahan.

Kadangkala kita lupa menyelak latar belakang dan asal kejadian kerana lali dengan kuasa serta kemewahan sehingga sanggup berperang sesama saudara, akhirnya orang lain yang menang.

Tugas mempertahankan negara dengan apa juga cara pun besar ganjarannya di sisi Allah, apatah lagi yang sanggup mengorbankan nyawa kerana tanah air tercinta.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa berperang di jalan Allah walaupun sekejap, iaitu sekadar tempoh orang memerah susu unta, maka wajib baginya syurga. Dan barang siapa memohon kepada Allah dengan sungguh-sungguh untuk berjihad kemudian ia meninggal dunia atau dibunuh, maka sesungguhnya baginya adalah balasan syahid.

"Dan barang siapa terluka atau ditimpa kemalangan di jalan Allah, maka ia datang pada hari kiamat sederas darah yang mengalir ketika ia luka, warnanya seperti za'faran dan baunya bagaikan wangian kasturi." (Hadis riwayat Imam Abi Daud daripada Muaz)

Justeru, tidak hairanlah apabila kita membaca kisah para sahabat Rasulullah SAW yang syahid di medan perang, darahnya merah segar mengalir deras tanpa henti dan baunya sewangi kasturi yang boleh dihidu berbatu jauhnya.

Bahkan syuhada di Gaza juga sudah ditunjukkan Allah akan kekuasaan-Nya, di mana mereka yang terbunuh bagaikan tidak sabar menghuni syurga diwajibkan bagi mereka. Yang hidup pula bagaikan tidak sabar mengikut jejak mereka yang terpilih oleh Allah dan sentiasa berdoa supaya masanya tiba buat mereka turut syahid kerana mempertahankan negara demi agama.

Untuk mempertahankan negara, kita bukan saja dibentuk oleh agama supaya mempunyai semangat juang yang tinggi malah juga kekentalan rohani. Keampuhan jiwa inilah menjadikan seseorang itu pejuang sebenar di jalan Allah.

Mereka mampu bertahan dalam apa juga keadaan, tidak mudah mengaku kalah walau ditawarkan pelbagai habuan sebagai balasan mempertaruhkan tanah air kepada kuasa luar. Tentera Islam dulu kala juga kuat dan teguh kerana ketaatan kepada Allah yang ditonjolkan dengan mentaati pemimpin.

Menjadi kewajipan orang yang dipimpin mentaati ketua selagi perkara yang diarahkan tidak melanggar hukum Islam. Inilah yang dapat membentuk angkatan tentera benar-benar bertanggungjawab dan rela berkorban demi negara.

Bayangkan jika mereka berbalah sesama sendiri kerana tamakkan kuasa, sudah tentu ia boleh memecah-belahkan perpaduan dan persefahaman serta merobohkan benteng serta kekuatan yang dibina dengan susah payah.

Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai orang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan musuh maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapi dan sebutlah serta ingatlah Allah dengan banyakkan berdoa, supaya kamu berjaya mencapai kemenangan." (Surah al-Anfaal, ayat 45)

Ia dibuktikan dalam Peperangan Uhud, apabila tentera pemanah keluar dan turun dari tempat pertahanan mereka dan melanggar perintah Rasulullah SAW supaya bertahan di lereng bukit Uhud walaupun apa terjadi dengan mendakwa mereka tahu apa yang perlu dibuat dan akhirnya pasukan tentera Islam berpecah belah kerana keliru antara perintah ketua serta dorongan perasaan.

Mujur semangat jihad tinggi yang tidak ada pada tentera musuh menyebabkan mereka masih dapat bertahan menghadapi serangan walaupun akhirnya ramai yang syahid. Islam tidak mengajar umatnya menceroboh atau memerangi sesiapa saja yang menolak agama Allah tetapi umat Islam dituntut mempertahankan negara kerana agama.

Allah meminta kita berlaku adil kepada setiap warga negara meskipun berlainan agama dengan mengamalkan cara hidup yang damai dan makmur selagi mana umat Islam tidak dimusuhi kerana agama mereka dan selagi tidak diusir dari tanah air mereka.

Tetapi Allah melarang orang Islam berbaik dengan orang yang memusuhi mereka kerana mereka beragama Islam apatah lagi yang menolak hukum Allah ke atas umat Islam sendiri.

Allah berfirman yang bermaksud: "Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang yang zalim." (Surah al-Mumtahanah, ayat 8 dan 9)

Bukan mudah mempertahankan negara, bahkan ia menuntut komitmen semua pihak daripada setiap lapisan masyarakat. Jika angkatan bersenjata menggunakan semua kelengkapan pertahanan yang ada untuk menghalang segala ancaman dan pencerobohan musuh yang menggugat keamanan dan kedaulatan negara, bagaimana pula dengan yang lainnya?

Kepada seorang pendekar, negara dibela dengan mata pedangnya, pemimpin dengan menunaikan tanggungjawabnya kepada rakyat penuh wibawa dan kesungguhan, pendidik dengan suluhan ilmu menjadi perisai kepada setiap yang berfikir supaya membuat pertimbangan waras apabila menghadapi kemelut dan konflik.

Imam dan cerdik pandai agama dengan mengentalkan jiwa dan rohani setiap warga tanah air supaya sentiasa waja mempertahankan negara daripada penjajahan minda serta budaya yang boleh menggadaikan agama.

Sementara setiap individu pula perlu menanam rasa kasih dan cinta kepada tempat tumpah darahnya, jangan sampai tergadai kerana diulit mimpi yang indah-indah.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Malaysia (Usim)

Wednesday, July 30, 2008

Peguam Syarie Menulis: Perpaduan Islam wajar teras muzakarah

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

CAPAI KESEPAKATAN: Perbincangan secara baik untuk mencari penyelesaian mengenai sesuatu amat dituntut Islam. - Gambar hiasan


Pertemuan Pas-Umno perlu kesatuan akidah disertai keikhlasan hati

PERSATUAN Peguam Syarie Malaysia (PGSM) gembira apabila pelbagai pihak mula membincangkan mengenai muzakarah antara Pas dengan Umno. Ia bermakna sesi percambahan fikiran sedang diadakan.

Kebaikan dan keburukan perkara ini diperhalusi semua pihak yang akhirnya akan membuahkan suatu keputusan jitu lagi padu pada kedua-dua belah pihak. Selepas semua perbincangan diadakan, terserahlah kepada Pas dan Umno membuat keputusan berhubung isu ini selepas mengambil kira semua pertimbangan serta faktor semasa.

Cakap-cakap politik mengenai perkara ini terus rancak berhubung pertemuan Pas dengan Umno dalam rangka kerjasama demi menjaga kepentingan agama Islam dan bangsa Melayu. Perkara ini terus diperkatakan pada peringkat pimpinan Pas dan Umno. Malah, Parti Keadilan Rakyat (PKR), MCA dan DAP turut memberi ulasan masing-masing.

Menangani isu politik negara, kita harus menerima hakikat bahawa kedudukan parti politik di Parlimen ketika ini ialah tiada satu pun parti politik yang mempunyai kelebihan majoriti. Daripada 222 kerusi di Parlimen, pembahagian kedudukan kerusi ialah Umno (79), PKR (31), DAP (28), Pas (22), MCA (15), MIC (tiga) dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) memiliki 14 kerusi.

Jika diteliti sebaiknya, kedudukan kerusi itu memang wajar mendesak kedua-dua pihak, iaitu Pas dan Umno untuk bersemuka bagi membincangkan kepentingan agama serta bangsa. Walau apa pun nama yang diberikan sama ada muzakarah (ingat mengingati), muqabalah (pertemuan), hiwar, musyawarah (bermesyuarat) atau muhadasah (perbincangan), tujuan utamanya adalah bagi membincangkan kepentingan agama Islam dan bangsa Melayu.

Sudah tentu pemimpin pelbagai peringkat kedua-dua parti akan berasa tidak selesa dan sedikit canggung dengan perkembangan terbaru ini kerana sejarah membuktikan bahawa renggangnya hubungan antara dua parti ini.

Kita sering melihat kedua parti ini saling bercakaran antara satu sama lain, bahkan kadang-kadang sampai ke tahap membimbangkan. Sering pula sesuatu strategi politik digarap bagi menjatuhkan parti satu lagi dan membiarkan parti lain tidak berteraskan Islam dan bangsa Melayu mempunyai ruang cukup untuk mengatur percaturan politik mereka. Natijahnya orang Islam tidak bersatu dan saling bercakaran antara satu sama lain.

Seperti diketahui umum, kerajaan Persekutuan tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen. Jika Pas menyokong usul kerajaan, maka kerajaan mempunyai kuasa lebih besar.

Begitu juga pada pihak Pakatan Rakyat. Jika terjadi tindakan melompat parti seperti dikatakan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi sekiranya Pas tidak menyertainya, maka kerajaan Pakatan Rakyat mungkin tidak akan dapat dibentuk.

Itulah senario kedudukan Pas sekarang. Walau apa pun kelebihan atau kekurangan, sepatutnya itu bukanlah faktor utama yang perlu diambil kira. Apa yang lebih penting ialah berbincang dan mencari jalan penyelesaian bagaimana dapat meletakkan Islam di tempat yang sebenar.

Reaksi diterima pada kedua-dua belah pihak adalah bercampur-campur. Ia dapatlah difahami kerana sejarah pertelingkahan antara kedua-dua pihak sukar dilupakan pihak pimpinan mahu pun ahli kedua-belah parti. Ketidakpuasan hati ini mungkin tidak dapat dipadamkan daripada memori pemikiran mereka.

Sebenarnya kerjasama sebegini hendaklah diteraskan kepada semangat Islam. Jika teras Islam itu diterima kedua belah pihak, maka akan lebih mudahlah ia mendatangkan keadilan kepada semua pihak.

Berbalik kepada muzakarah antara Pas dengan Umno, penulis berpendapat jika kedua-dua pihak ikhlas mahu mempertahankan Islam, maka ada baiknya setiap ruang dilihat bagi menilai sejauh mana kerjasama dapat dilakukan.

Walaupun kerajaan campuran tidak dibentuk, sekurang-kurang suatu tahap pemahaman dapat ditingkatkan antara kedua parti ini agar apa pun tindakan selepas ini, ia semestinya berteraskan kepada Islam.

Pertelingkahan yang terlalu lama antara Pas dan Umno tidak mudah dipadamkan dalam sekelip mata atau menerusi beberapa siri pertemuan. Tetapi langkah pertama itu sudah pun diambil bagi menuju ke arah ini.

Oleh itu, kedua-dua pihak mesti lebih berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataan atau membuat sebarang tindakan supaya selaras dengan hasrat menegakkan kalimah Allah di bumi Malaysia. Tanpa kesatuan aqidah disertai dengan keikhlasan hati, tidak mungkin sebarang kerjasama dapat diadakan.

Jika Pas dan Umno menoleh ke belakang, sudah tentu tidak akan dapat dicapai kata sepakat. Tetapi lihatlah ke depan. Namun kedua-dua belah pihak berhak berhati-hati dan berwaspada dalam semua tindakan kerana mungkin ada pelbagai helah yang akan memakan diri sendiri dari sudut politik.

Sudah sampai masanya orang Islam melihat sesuatu menjangkaui batasan siasah kepartian dan berusaha memastikan Islam itu terus dipertahankan.

Sebenarnya terlalu banyak perlu dilakukan untuk Islam, sama ada di Malaysia atau pada peringkat global. Orang Islam perlu mengorak langkah ke hadapan dan menjadi model kepada orang lain, bukan menjadi bahan cemuhan atau diperlekehkan.

Jika muzakarah ini tidak berjaya menghasilkan sesuatu dalam masa terdekat, kita semua tidak boleh berputus asa. Apa yang lebih penting ialah kesedaran mengenai perpaduan umat Islam dapat disemai pada kedua-dua belah pihak.

Mungkin masa belum sesuai lagi bagi merealisasikan impian, tetapi usaha ke arah itu hendaklah dimulakan sekarang. Selaku sebuah badan Islam, PGSM menyokong sepenuhnya sebarang usaha ke arah menjayakan muzakarah ini.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Layari http://peguamsyarie.blogspot.com

Tuesday, July 29, 2008

Hasad dengki hancurkan perpaduan ummah

Oleh Hashim Ahmad

PERASAAN hasad dengki sukar dihapuskan dalam jiwa kerana ia lahir di hati kecil tanpa pengetahuan orang lain. Ia bermula daripada perasan cemburu hingga merebak dan berkembang menjadi perasaan tidak tenang.

Akibatnya, seseorang yang dihinggapi penyakit dengki berusaha sedaya upaya untuk memenuhi hasrat hati yang sedang menekan perasaan jiwanya.

Sesungguhnya masalah hasad dengki menjadi punca fitnah besar yang merosakkan perhubungan hidup bermasyarakat sejak manusia mula bertapak di bumi. Perasaan dengki bermula dari anak Nabi Adam, Habil dan Qabil, hasil hasutan iblis.

Perasaan hasad dengki di kalangan umat manusia membawa kepada gejala buruk yang akan menghancurkan perpaduan dan kerana itu Islam benci mereka yang mempunyai hasad dengki dalam jiwa.

Sesungguhnya setiap kelebihan atau keistimewaan yang diperoleh seseorang adalah kurniaan Allah yang Maha Pemurah. Firman Allah yang bermaksud: "Apakah mereka mendendami manusia disebabkan suatu kelebihan yang Allah berikan kepada mereka?" – (Surah an-Nisa', ayat 54)

Apabila perasaan hasad dengki bercambah dan menyerap ke seluruh jiwa seseorang, dengan sendirinya keadaan hidup mereka menjadi tidak tenang.

Perasaan hati sering tergugat kerana melihat kebahagiaan orang lain. Maka hatinya mula timbul rasa resah dan benci lantas ia pun cuba membuat pelbagai fitnah untuk memburukkan orang dicemburui itu.

Hasad dengki membawa kehancuran perhubungan kasih mesra dalam masyarakat. Penyakit dengki susah diubati dan apabila seseorang itu diresapi dan ia dengan sendiri akan merosakkan sifat tolong menolong dalam masyarakat.

Hasad dengki paling kuat melanda kedudukan agama ialah daripada bukan Islam seperti berlaku pada zaman jahiliah.

Kedudukan Islam diancam pelbagai tipu daya dan fitnah untuk melemahkan keteguhan jiwa umat Islam. Namun mereka yang beriman, tetap teguh memperjuangkan Islam dengan menggadaikan harta dan nyawa demi agama.

Setiap perkara bertujuan baik akan musnah dan hancur jika timbul rasa dengki dan iri hati. Umat Islam yang mengamalkan sifat dengki boleh menyebabkan sinar keagamaan beransur pudar dan setiap gerak langkah mereka terkeluar daripada garis Islam.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jauhkanlah diri kamu daripada dengki kerana dengki itu memakan segala amalan kebajikan sebagaimana api memakan kayu." (Hadis riwayat Abu Daud)

Sesungguhnya dengki mendengki dan benci membenci sesama sendiri tidak sedikit pun memberi faedah atau keuntungan bahkan merugikan. Lagipun sifat hasad dengki bertentangan dengan dasar Islam dan boleh dianggap sebagai musuh paling ketat.

Untuk keteguhan hati dalam keimanan, kita mesti berpegang teguh kepada sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Janganlah kamu dengki mendengki. Jangan kamu putus memutus hubungan, janganlah kamu jauh menjauhi hati, janganlah kamu benci membenci; hendaklah kamu semua wahai hamba Allah hidup bersaudara dan haram bagi seorang Muslim itu menjadi saudaranya tidak bercakap selama tiga hari." (Hadis riwayat Bukhari, Ahmad dan Muslim)

Sunday, July 27, 2008

Persoalan Agama: Perbezaan pendapat wajar pererat persaudaraan

Bersama Jakim

BAGAIMANA hendak membina dan mempereratkan lagi tali persaudaraan umat Islam yang semakin berpecah belah sejak akhir-akhir ini?

Ahmad Hasnan
Kluang, Johor.

Umat Islam adalah bersaudara tanpa mengira latar belakang, warna kulit, adat, bangsa, bahasa dan sebagainya. Ia bertepatan dengan Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujuraat: Ayat 10 yang bermaksud:

"Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat".

Firman Allah dalam Surah al-Imran: ayat 103 bermaksud:

"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (ketika jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka dengan nikmat Allah itu jadilah kamu sebagai orang Islam yang bersaudara yang mana kamu dahulu berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu ketika jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayat-Nya."

Dalam ayat ini, Allah SWT memberikan beberapa pengajaran kepada hamba-Nya untuk menyatukan perpecahan di kalangan umat Islam. Pertama Allah menyuruh umat Islam supaya menjadi pendamai kepada golongan yang berpecah belah.

Kedua, Allah menyuruh umat Islam supaya berpegang teguh kepada tali Allah, iaitu menyedari dan memahami bahawa umat Islam wajib beriman kepada Tuhan yang satu dan syariat yang satu. Ketiga, mensyukuri nikmat diberikan Allah dalam menjalani kehidupan sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi ini dengan pelbagai keistimewaan tidak diberikan kepada makhluk lain.

Allah menganugerahkan rezeki kepada semua makhluk di bumi ini dan akan kembali ke tempat kekal abadi yang amalan dilakukan hambanya dihitung dan diberikan pembalasan sewajarnya. Keempat, kaum yang bermusuhan adalah kaum yang tidak mendapat petunjuk dari Allah.

Oleh itu, untuk apa kita berpecah belah kerana perkara yang kecil dan remeh temeh.

Setiap manusia, terutama umat Islam wajib memahami bahawa perbezaan pendapat bukan dicipta untuk mencetuskan permusuhan sesama sendiri, sebaliknya sebagai usaha untuk mencipta persefahaman dalam menyatukan ikatan persaudaraan sesama umat Islam.

Cara untuk mengembalikan perpaduan dan penyatuan umat Islam ialah melalui program seperti ceramah, forum, dialog, diskusi atau wacana minda kepada seluruh lapisan masyarakat. Perbezaan pendapat dibenarkan Islam sebagai kemudahan kepada umatnya untuk merancang dan memilih keputusan terbaik bukan untuk berpecah belah. Umat Islam wajib bersatu aqidah, hati dan fikiran dalam mencari keredaan Allah SWT.

Disediakan oleh Panel Soal Jawab Agama, Bahagian Dakwah Jakim

Tuesday, March 11, 2008

Al-Quran, hadis asas penyatuan masyarakat pelbagai kaum

Oleh Mohd Shukri Hanapi

PERPADUAN yang menjadi tuntutan agama adalah nilai dalaman yang penting untuk menghadapi rintangan serta pelbagai cabaran dari luar kerana perpaduan mampu menjadi tembok pertahanan kukuh.

Kehancuran boleh berlaku jika benteng menjadi longgar, begitu juga rakyat dan negara bakal berhadapan dengan kehancuran jika semangat bersatu padu sudah hilang terutama di kalangan masyarakat pelbagai bangsa.

Secara teorinya, perpaduan bukan sesuatu yang sukar untuk diwujudkan kerana al-Quran dan hadis sudah memberi panduan berhubung cara mewujudkan perpaduan. Namun, secara praktiknya, ia menjadi sukar disebabkan masalah umat itu sendiri.

Penerimaan umat Islam terhadap al-Quran sebagai asas perpaduan umat masih menjadi satu persoalan besar. Meskipun Rasulullah SAW sudah menjelaskan asas perpaduan umat Islam ialah al-Quran dan hadis, namun umat Islam masih bergantung kepada nilai yang dibentuk oleh Barat.

Mereka teragak-agak untuk mendapatkan petunjuk daripada al-Quran sedangkan Allah sudah menegaskan dalam firman yang bermaksud: "Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan, padanya petunjuk bagi mereka yang bertakwa." (Surah al-Baqarah, ayat 2)

Ketiadaan pegangan dan kepatuhan secara mutlak terhadap ajaran dan hukum al-Quran menyebabkan umat Islam kehilangan arah. Malah, dalam beberapa keadaan tertentu, mereka boleh disifatkan sebagai orang yang beriman sekerat-sekerat.

Sifat al-Quran yang mengandungi wahyu Allah sepatutnya menjadikan ia asas pegangan seluruh umat Islam dan menjadi penyebab kepada semangat bersatu padu. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Aku telah tinggalkan di kalangan kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya, (iaitu) al-Quran dan hadis." (Hadis riwayat Imam Malik)

Perpaduan umat yang dicita-citakan umat Islam boleh dicapai dengan senang jika masyarakat Islam berpegang teguh dengan al-Quran dan hadis. Menjadikan kitab Allah sebagai panduan secara tidak langsung mengelakkan perpecahan sesama sendiri.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus." (Surah al-Israk ayat 9)

Orang yang berpegang teguh dengan ajaran al-Quran bererti ia menerima petunjuknya sebagai asas atau perlembagaan hidup tunggal dan unggul.

Di samping berpegang teguh bahawa al-Quran itu perlembagaan hidup bersifat tunggal dan unggul, penerimaan itu juga seharusnya secara menyeluruh, bukan menerima dalam sesetengah perkara dan menolak dalam perkara lain.

Sikap seperti itu ditegur dan diingatkan oleh Allah dalam firman yang bermaksud: "Apakah kamu beriman kepada sebahagian al-Kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang bertaubat demikian daripadamu melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada seksa yang sangat berat." (Surah al-Baqarah, ayat 85)

Kesimpulannya, antara sebab utama berlakunya perpecahan umat Islam pada hari ini ialah kegagalan mereka sendiri menjadikan al-Quran sebagai pegangan hidup yang tunggal dan unggul.

Suatu perkara yang amat mendukacitakan, apabila didapati ada di antara umat Islam menafikan langsung peranan al-Quran yang agung ini dan ada pula yang menerimanya secara berpilih-pilih mengikut kesesuaian cara hidupnya.

Ini bererti bahawa penyatuan umat pada dasarnya lebih banyak terhenti atas kejayaan atau sebaliknya menjadikan al-Quran sebagai perlembagaan hidup yang tunggal.

Kepekaan terhadap hubungan antara al-Quran dan perpaduan umat disedari oleh generasi Islam dulu, sehinggakan mendorong mereka mengambil langkah membukukan ayat suci al-Quran dalam mushaf dan malah, menentukan bahawa hanya satu mushaf saja diiktiraf, iaitu mushaf Uthman.

Seperti tercatat dalam sejarah Islam, langkah itu bertujuan menjamin kesatuan umat dengan mengelak berlakunya perpecahan pendapat yang mendalam antara mereka berhubung dengan susunan ayat suci al-Quran dan tata cara membacanya.

Malah, peperangan sengit berlaku suatu ketika dulu antara golongan Sayyidina Ali dan Mu'awiyah boleh dileraikan dan gencatan senjata dilakukan dengan serta-merta apabila al-Quran ditonjolkan sebagai asas penyelesaiannya.

Meskipun sejak mula lagi Sayyidina Ali mengesyaki ada sesuatu di sebalik tawaran gencatan senjata dibuat Mu'awiyah itu, tetapi ia tetap menerimanya demi menghormati al-Quran sebagai asas perdamaian dan penyatuan semula umat.

Walaubagaimanapun kepekaan itu menjadi semakin lemah sehingga sampai kepada peringkat di mana al-Quran diabaikan begitu saja dan tidak lagi dilihat sebagai sesuatu yang boleh memainkan peranannya di bidang berkenaan.