Showing posts with label YaPEIM. Show all posts
Showing posts with label YaPEIM. Show all posts

Wednesday, November 5, 2008

Pemuda berakhlak pewaris bangsa tonggak kemakmuran negara

Oleh Penulis Khas YaPEIM

ALLAH berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah takut kepada Allah, orang yang jika mereka meninggalkan keturunan yang lemah di belakang yang mereka khuatir terhadap kesejahteraannya. Oleh sebab itu, hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan supaya mereka berbicara dengan perkataan yang benar.” (Surah an-Nisa’, ayat 9)

Ayat ini mengajar kita sentiasa mempersiapkan pewaris bangsa atau generasi pemuda yang berkeperibadian tinggi, berakhlak mulia dan sihat.

Apakah ciri yang harus dimiliki generasi muda supaya tidak termasuk golongan lemah. Kriteria pemuda berkeperibadian mulia seperti digambarkan dalam lapan perkara diwasiatkan Lukman kepada anaknya diceritakan al-Quran.

Lapan perkara itu ialah larangan mempersekutukan Allah yakni keimanan yang teguh kepada Allah; berbuat baik kepada kedua orang tua; memperbanyakkan amal kebajikan walau kecil sekalipun; mendirikan solat; menyuruh yang makruf dan mencegah mungkar; bersabar; tidak sombong dan angkuh serta bersikap sederhana dan lemah lembut dalam tutur kata.

Mempersekutukan Allah adalah dosa besar atau juga disebut sifat zalim yang maha besar. Allah tidak akan mengampuni dosa syirik dan Allah mengampuni dosa selain itu bagi siapa yang Dia kehendaki.

Pada era ini, pelajar atau mahasiswa sebagai generasi pemuda yang bakal memimpin negara perlu berwaspada terhadap penyusupan unsur pengaburan akidah melalui pelbagai pendekatan.

Paling tidak generasi yang lemah atau dangkal tafsirannya mudah terlena dengan buaian serta umpanan nafsu.

Serangan itu bukan saja melemahkan, malah menjadikan generasi muda meninggalkan kegiatan yang jelas makruf seperti solat, belajar dan perkara positif lain sebaliknya mengutamakan perkara melalaikan serta merosakkan pemikiran. Allah melarang kita tunduk kepada hawa nafsu kerana boleh membawa kepada perbuatan syirik yang akhirnya tertutup daripada hidayah Allah.

Umpan ditabur bukan hanya bertujuan memesongkan akidah dan pemikiran, malah kandangkala memberikan sedikit kekeliruan yang boleh membuatkan generasi muda mulai mempertikaikan nilai Islam, sunnah Rasulullah SAW dan hukum agama yang jelas termaktub dalam al-Quran.

Jangan kerana terpana dengan teori diperkenalkan atas nama Barat dan moden, kita tersesat secara sedar atau tidak. Paling membimbangkan ialah ini boleh menjerumuskan kita kepada syirik yang akhirnya tidak akan mendapat pengampunan Allah.

Satu perbuatan jelas makruf yang diperintahkan Allah adalah berbuat baik kepada kedua orang tua kerana pengorbanan mereka mendidik dan membesarkan kita tidak ternilai harganya.

Setinggi mana pun pencapaian serta kedudukan, kita tentu tidak terlepas daripada sokongan dan dukungan orang tua. Oleh itu, hendaklah berbuat baik, mematuhi nasihat, membahagiakan serta mendoakan ibu bapa walaupun mereka sudah tiada.

Firman Allah bermaksud: “Tuhanmu memerintah supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada kedua-duanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka jangan engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘Ah’, dan jangan engkau menengking mereka tetapi ucapkan kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan santun).” (Surah al-Isra’, ayat 23)

Memperbanyakkan amal kebajikan sangat luas maknanya. Bagi remaja, amal paling pokok adalah menuntut ilmu di samping ibadah yang menjadi kewajipan semua seperti solat dan puasa.

Bagi mereka yang mampu, wajib mengeluarkan zakat dan menunaikan haji ke Baitullah. Berdasarkan keilmuan, keimanan dan ketakwaan yang kukuh dan mantap, maka baru generasi muda menjadi pewaris bermanfaat kepada masyarakat. Ditambah apabila kita berbuat sesuatu semata-mata kerana Allah bukan kerana ujub, riak dan takbur, pasti Allah mengangkat darjat seseorang beriman lagi berilmu pengetahuan beberapa darjat lebih tinggi daripada lain.

Pemuda yang sentiasa terpaut hatinya kepada masjid antara golongan yang mendapat perlindungan Allah di hari kiamat kelak, pada hari itu tidak ada perlindungan kecuali perlindungan Allah. Kenapa Allah masukkan pemuda ini ke dalam golongan istimewa?

Sudah tentu apabila menjadi ahli masjid, mereka akan menjadi jemaah solat lima serta amalan lain seperti belajar agama, al-Quran dan iktikaf. Apabila mereka istiqamah dalam solat, ia mempengaruhi perilaku sekali gus mencegah perbuatan keji dan mungkar.

Oleh itu, antara pendekatan berkesan membentuk keperibadian baik di kalangan pemuda adalah menjadikan mereka Muslimin dan Muslimat yang istiqamah.

Usaha paling efektif untuk mengubah akhlak pemuda tentu datang di kalangan generasi itu sendiri. Pemuda cemerlang mampu menyampaikan dakwah amar makruf nahi mungkar (mengajak kepada kebajikan dan mencegah mungkar) dalam kelompok mereka sendiri.

Menerusi dakwah dan mengingatkan orang lain ke jalan lurus, pendakwah termasuk pemuda memberikan manfaat kepada orang lain. Apabila ini diamalkan, pemuda tergolong sebaik-baik manusia kerana selalu bermanfaat kepada manusia lain.

Generasi pemuda cemerlang juga memerlukan gandingan amalan yang dilaksanakan secara berkelompok atau berjemaah. Gerakan secara berjemaah mewujudkan kesatuan fikiran yang mampu mencorakkan perjalanan generasi muda atas nama iman dan amal.

Kesatuan fikiran bukan saja melahirkan watak dan imej, malah mempersiapkan generasi muda untuk menghadapi apa juga cabaran. Allah sentiasa menguji keimanan dan ketakwaan seseorang dengan rasa takut, kelaparan dan kekurangan harta. Mereka yang sabar memperoleh rahmat, pengampunan dan petunjuk dari Allah.

Pemuda yang mengamalkan seluruh nasihat Lukman di atas, pasti menjadi tulang belakang pembangunan negara pada masa depan. Semakin banyak pemuda berkeperibadian tinggi dan berakhlak mulia, semakin cepat negara menjadi makmur dan sentiasa dalam pengampunan serta reda Allah, insya-Allah.

Tuesday, September 30, 2008

Syawal kesinambungan tarbiah jiwa sepanjang Ramadan

Oleh Penulis Khas YaPEIM

SAHABAT Rasulullah SAW, Anas pernah menceritakan bagaimana Rasulullah SAW mendapati penduduk Madinah bergembira dalam dua hari. Lantas Baginda SAW bertanya kepada mereka mengenai dua hari itu.

Mereka menjawab bahawa mereka menyambut perayaan dan bergembira pada hari itu mengikut amalan jahiliah. Baginda SAW menyatakan bahawa Allah sudah menggantikan dua hari itu dengan hari yang lebih baik iaitu Hari Raya Korban dan Hari Raya Fitrah.

Perkataan hari raya disebut juga dengan ‘ayd’ yang merujuk kepada suatu keadaan di mana seseorang itu kembali mengecapi suasana kegembiraan setiap tahun dan memastikan bahawa ia sentiasa mengulang-ulang kegembiraan tersebut. Jadi apabila digandingkan kalimah `ayd al-fitrah ia memberi maksud kembali kepada fitrah yang suci.

Dengan kata lain, seseorang itu menyatakan kegembiraannya mengecapi sesuatu yang fitrah, suci dalam dirinya. Ia adalah kesinambungan daripada proses pentarbiahan dan penyucian jiwa sepanjang bulan Ramadan dengan melakukan segala ketaatan kepada Allah.

Kedatangan hari raya menjadikan umat Islam dapat bergembira atas taufik Allah yang dikurniakan kepadanya. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan yang mereka rayakan iaitu kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhannya dengan membawa bersama puasanya.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim daripada Abu Hurairah)

Ia menunjukkan apabila mereka berbuka puasa setiap hari, mereka akan bergembira. Begitu juga apabila selesai menyempurnakan fardu puasa selama sebulan pada Ramadan dan menyambut hari raya, mereka bergembira buat kali kedua.

Kegembiraan yang disambut itu bagaimanapun adalah kegembiraan bersumberkan taufik Ilahi kepada mereka yang menjunjung titah perintah Allah sepanjang Ramadan. Nikmat ketaatan itu terzahir pada peluang dan ruang dikurniakan Allah kepada mereka untuk mengerjakan ibadah puasa dan menunaikan solat sunat pada waktu malam Ramadan yang mulia.

Justeru, kemunculan hari raya adalah untuk menyempurnakan kegembiraan yang baru saja selesai mengerjakan ibadah puasa pada Ramadan. Maka tidak hairanlah pada hari lebaran, orang mukmin akan bergembira dengan taufik Allah.

Ini bertepatan firman Allah yang bermaksud: “Katakan dengan kelebihan dan nikmat Allah, dengan itu maka bergembiralah kamu. Ia adalah lebih baik dari apa harta yang kamu kumpulkan.” (Surah Yunus, ayat 58)

Walau bagaimanapun, umat Islam tidak boleh bergembira secara solo atau bersendirian pada hari yang mulia sebaliknya, kegembiraan itu perlu dikongsi dengan orang lain terutama yang bertaraf miskin dan fakir.

Justeru, Islam mensyariatkan zakat fitrah yang wajib bagi setiap individu Muslim, anak dan isteri yang termasuk di dalam tanggungannya walaupun dia juga dikategorikan sebagai miskin. Islam mengkehendaki setiap Muslim membiasakan diri untuk menafkahkan hartanya sama ada ketika susah atau senang dan membiasakan diri menjadi penyumbang. Walaupun dia sendiri fakir, tetapi tetap menjadi penyumbang.

Nabi SAW bersabda bermaksud: “Zakat diberikan orang kaya akan digunakan Allah untuk membersihkan dirinya dari dosa. Manakala zakat orang miskin akan dikembalikan kepadanya oleh Allah dengan jumlah yang lebih banyak dari apa yang diberikannya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Imam Abu Daud)

Pada hari raya, setiap individu Muslim yang berjaya menyempurnakan perintah Allah pada Ramadan layak bergembira. Kegembiraan dan kesyukuran yang dirayakan itu, bagaimanapun, tidak boleh disambut dengan melakukan perkara bercanggah ajaran Islam.

Sambutan hari raya dalam Islam tidak perlu dimeriahkan dengan program berlandaskan tuntutan hawa nafsu. Hari raya perlu dimulakan dengan takbir dan solat sunat hari raya. Ia menunjukkan hari raya mempunyai hubungan rapat dengan makna dan tuntutan ibadah dalam Islam.

Pada hari raya itu mempunyai makna rabbani, hubungan dengan Allah. Bukanlah ertinya hari raya yang sebenar jika ada beranggapan boleh melakukan apa saja tanpa mengira batasan agama. Pada hari raya juga tidak bermakna seseorang Muslim memutuskan hubungan dengan Allah.

Kita perlu membetulkan suatu kefahaman bahawa tamatnya bulan Ramadan, maka tamatlah hubungan mereka dengan masjid, solat berjemaah, solat sunat dan membaca al-Quran.

Barangkali inilah yang dikatakan oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi ketika menyindir kelakuan sesetengah umat Islam yang beranggapan sedemikian dengan katanya: “Sesiapa yang menyembah Ramadan, maka Ramadan telah pergi. Tetapi sesiapa yang menyembah Allah maka Dia sentiasa hidup tanpa mati.”

Justeru, tidak hairanlah kita melihat fenomena di tanah air apabila berada pada awal Ramadan, masjid dan surau penuh sesak dengan jemaah yang datang beribadah, tetapi apabila Ramadan mula melabuhkan tirainya, makin susut pengunjung masjid.

Jika kita menginsafi bahawa Ramadan adalah bulan terbaik untuk mentarbiah diri dan hati dengan makna keimanan, ketakwaan dan mencari kelebihan yang ada di sisi Allah, kita tidak akan dapati seseorang itu boleh memutuskan hubungannya dengan Allah walaupun Ramadan berlalu pergi.

Dia percaya bahawa latihan yang diterima pada Ramadan menjadikan dirinya terus membuat hubungan dengan Allah selepas Ramadan. Dia tidak akan memutuskan hubungan mesranya dengan Penciptanya.

Barangkali ada benarnya kata-kata salafussoleh bahawa seburuk-buruk kaum ialah kaum yang hanya kenal Allah pada Ramadan saja. Kita hendaklah menjadi rabbani sepanjang masa dan waktu, bukan menjadi orang yang melakukan ketaatan hanya pada Ramadan.

YaPEIM mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir Batin kepada semua muslimin dan muslimat, marilah kita menyambut hari raya dengan penuh kesyukuran dan keinsafan, mudah-mudahan Allah menambah lagi nikmat kepada kita, keluarga, masyarakat dan negara tercinta.

Wednesday, September 24, 2008

Sahabat YaPEIM tingkat usaha beramal jariah

Oleh Penulis Khas YaPEIM

ALHAMDULILLAH, selamat berjumpa lagi dalam Ruangan Bersama YaPEIM yang dianjurkan dengan kerjasama Berita Harian. Terlebih dulu kepada semua muslimin dan muslimat, YaPEIM mengucapkan Selamat Berpuasa dan Selamat Menyambut Aidilfitri. Mudah-mudahan, Ramadan tahun ini lebih baik daripada sebelumnya.

Pelbagai perkembangan memberangsangkan sudah dan sedang berlaku di YaPEIM. Semuanya berkat bantuan Allah serta sokongan dan dokongan muslimin dan muslimat di seluruh negara yang sentiasa bersama YaPEIM bagi membantu meningkatkan taraf sosioekonomi ummah di negara ini.

Antaranya, penubuhan Majlis Pemuafakatan Sahabat YaPEIM (Sahabat YaPEIM) yang membabitkan kira-kira 300,000 keahlian. Sahabat YaPEIM adalah daripada Rakan Kongsi YaPEIM (penyumbang tetap Skim Amal Jariah YaPEIM); Panel Perunding /Forum Pengurusan Islami (pakar, pemikir dan tokoh dalam bidang berkaitan); Kelab Maya Sahabat Ar-Rahnu (Peserta Ar-Rahnu YaPEIM yang terbabit secara langsung dalam bidang perniagaan); Kelab Pengurusan Muda Islam (golongan muda yang berminat dengan Pengurusan Islami).

Tidak ketinggalan, Kelab Santun (peserta Skim Anugerah Kecemerlangan Anak/Yatim Miskin Nasional); Sahabat Skim Khairat (penerima manfaat Skim Khairat dalam bidang perniagaan); kelompok melalui program/skim lain; jabatan/agensi kerajaan serta wakil media yang bertanggungjawab terhadap program pembangunan sosioekonomi.

Sahabat YaPEIM dilancarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 4 Ogos lalu di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Hadir sama, Ketua Pengarah YaPEIM, Dr Abd Malek Awang Kechil.

Sahabat YaPEIM menjadi ruang bagi YaPEIM memaklumkan perkembangan semasa, terkini dan perancangan masa depan institusi dalam rangka untuk mewujudkan kesatuan fikiran dan tindakan kepada semua kelompok terbabit.

Menjadi harapan YaPEIM supaya Sahabat YaPEIM akan merapatkan saf kepelbagaian kelompok sedia ada serta melahirkan pasukan yang mempunyai persefahaman tinggi dan saling melengkapi bagi merealisasikan misi besar YaPEIM – Membangun Ummah Melalui Budaya Beramal Jariah.

Ini selaras firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berperang untuk membela agama-Nya dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh." (Surah as-Saff, ayat 4)

Bersempena itu juga, YaPEIM melancarkan Skim Sumbangan Amal Jariah melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) sebagai saluran mudah kepada pelbagai lapisan masyarakat untuk memberi sumbangan bagi Program Amal Jariah YaPEIM.

Skim baru dengan kerjasama syarikat telekomunikasi itu membantu memantapkan lagi penyediaan saluran beramal jariah menerusi YaPEIM selaras dengan kedudukannya sebagai institusi amal jariah utama di negara ini.

YaPEIM berharap rakyat Malaysia menyambut baik skim SMS ini dan bersama menyumbang bagi membantu meningkatkan taraf sosioekonomi golongan yang memerlukan di negara kita.

Pengguna hanya perlu mendail AJ1 atau AJ2 atau AJ3 atau AJ4 atau AJ5 dan hantarkan ke nombor 32728. Sebarang pertanyaan sila hubungi hotline YaPEIM 1 300 88 1006.

Di samping itu, YaPEIM turut melancarkan Kad Privilege YaPEIM untuk Sahabat YaPEIM yang memberi pelbagai kelebihan termasuk khairat kematian, diskaun rawatan perubatan dan kesihatan, membeli-belah dan pelancongan.

Ahmad Zahid menyifatkan kemudahan baru diperkenalkan YaPEIM bakal menggalakkan lagi penyertaan kelompok masyarakat dalam program serta skim anjuran YaPEIM dan menjadi satu lagi pencapaian produk anjuran YaPEIM.

Daripada sudut pengurusan, pendekatan YaPEIM ini boleh disifatkan sebagai usaha mesra pengguna yang bakal mendekatkan lagi YaPEIM dengan 300,000 Sahabat YaPEIM serta kumpulan sasar yang bakal menjadi Sahabat YaPEIM.

Memetik kata-kata Mahatma Ghandi:

Seperti kata-kata tokoh pengurusan: "Pelanggan adalah raja dan kita memerlukan mereka bukan mereka yang memerlukan kita."

Sementara itu, penulis buku Berani Gagal, Billie Lim berkata: "Untuk mengekalkan hubungan pelanggan ialah dengan memberikan keistimewaan kepada mereka."

Insya-Allah, mudah-mudahan Ramadan al-Mubarak ini menjadi madrasah terbaik untuk kita bermuhasabah diri ke arah mewujudkan umat lebih kuat dan mantap pada masa depan.

Monday, January 28, 2008

Hamizah pemenang Kuiz Bersama YaPEIM

KUIZ Bersama YaPEIM yang disiarkan setiap Rabu dalam ruangan agama Berita Harian bermula 26 September dan berakhir 12 Disember 2007, mendapat sambutan menggalakkan daripada pembaca akhbar ini apabila kira-kira 10,000 penyertaan diterima.

Pembaca perlu menjawab lapan soalan dalam kuiz terkumpul itu berdasarkan rencana yang disiarkan pada hari sama serta melengkapkan slogan tidak melebihi 20 perkataan pada borang terakhir.

Minggu lalu, saringan menyenarai pendek pemenang daripada 3,000 yang dipilih berdasarkan jawapan betul serta cogan kata menarik perhatian juri, diadakan di Bangunan YaPEIM, Jalan Kampung Attap, Kuala Lumpur.

Pemilihan dilakukan oleh panel juri yang dipengerusikan Pengurus Kanan Jabatan Amal Jariah YaPEIM, Zamri Zakaria.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang akan diadakan pada satu tarikh yang akan diumumkan pihak penganjur.

Berikut adalah senarai pemenang pertandingan kuiz itu:

Hadiah pertama (Pakej Umrah/Ziarah bernilai RM4,500 x 2 orang, wang tunai RM2,000 serta buku terbitan YaPEIM):

Hamizah Mohd Rashid, Kg Batu 5, Mambau, Seremban, Negeri Sembilan.

Hadiah kedua (Wang tunai RM3,000 dan buku terbitan YaPEIM).
Norpisah Abd Manap, 5687, Taman Pantai Mas, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Hadiah ketiga (Wang tunai RM1,000 dan buku terbitan YaPEIM).
Mohd Adnan Mat Yazid, Lot 4363, Lorong Singer, Kolam Abu, 18500 Machang, Kelantan.

30 pemenang hadiah sagu hati (Wang tunai RM100 dan buku terbitan YapEIM).

1. Hasni Husin, 4A Bunga Emas, Simpang Empat, Perlis.
2. Ismail Hussin, Sekolah Kebangsaan Sungai Nibong, Sekinchan, Selangor.
3. Haszalina Ghazali, No 3566, Jalan Kebaya Utama, Taman Kebaya, Paya Datuk, Alor Gajah, Melaka.
4. Musa Dun, No 38, Dataran Rapat Baru 4, Taman Sri Rapat, Ipoh, Perak.
5. Azizum Hashim, No 23, Laluan Chepor Damai 9, Taman Chepor Damai, Chemor, Perak.
6. Hamizan Mohomed, 1172 Blok A8, Felda Adela, Kota Tinggi, Johor.
7. Suhaibatutasalamiah Omar, No 18, Jalan Adenium 2E/3, Bandar Baru Bukit Beruntung, Rawang, Selangor.
8. Razana Ghazali, Bahagian Audit, LPP, Blok C Utara, Pusat Bandar Damansara, Kuala Lumpur.
9. Safrina Sharif, 17, Jalan RP 10/5, Rawang Perdana 2, Rawang, Selangor.
10. Norhizan Mohd Ali , No 12, Jalan Akik, Bandar Mas, Kota Tinggi, Johor.
11. Rohana Abdul Wahab, Kg Agam, Pejabat Pos Kota, Kota, Rembau, Negeri Sembilan.
12. Ishak Ismail, SMK (P) Bukit Kuda, Jalan Perak, Klang, Selangor.
13. Mohd Norhusairi Mat Hussin, Lot 1778 Kg Pasir Bandar, Pulai Chondong, Kelantan.
14. Anim Ali, Kelinik Kesihatan Tapah, Tapah, Perak.
15. Arzrai Ahmad Aripin, No 10 Jalan SS4B/14, Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor.
16. Abdul Rauf Baharuddin, C 8464 Kampung Bukit Pulau, Bukit Baru, Melaka.
17. Abdullah Muhammad, 4940-C Jalan Sungai Keladi, Kota Bharu, Kelantan.
18. Abdullah Embong, 192, Blok 9, Felda Air Tawar 5, Kota Tinggi, Johor.
19. Sarimah Surip, No 22, Jln Impian Murni 1/7, Saujana Impian, Kajang, Selangor.
20. Rosnani Said Fikri, Sekolah Kebangsaan Sungai Leman, Sekinchan Selangor.
21. Zahara Md Noor, 29, Lorong Nilam 1, Bandar Mas, Kota Tinggi, Johor.
22. Mohd Rahimi Sahdan, No 211 Kota Gelanggi 2, Jerantut, Pahang.
23. Zanudin Achil, 30, Jalan 9, Taman Serai Permai, Bagan Serai, Perak.
24. Syamsul Effandi Ismail, 13, Jalan Zuhrah U5/160, Taman Subang Murni, Seksyen U5/160, Shah Alam, Selangor.
25. Roslina Shafie, 9009, Kg Pulau Samak, Batu Berendam, Melaka.
26. Hasnah Abd Rahman, 17, Lorong 6, Taman Peruda, Sungai Petani, Kedah.
27. Zuraini Ariffin, No 515, Jalan Cengal 1/16, Taman Cengal Indah 2, Kulim, Kedah.
28. Suzana Samsi, No 17, Jalan 7/9, Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor.
29. Nurul Amin Badrul, No 9, Jln P11 K/2 Precint 11, Putrajaya.
30. Shariana Samsuri, 40, Kg Parit Unas Darat, Jalan Temenggong Ahmad, Muar, Johor.

Monday, January 14, 2008

10,000 sertai Kuiz Bersama YaPEIM

Oleh Hasliza Hassan

KUIZ Bersama YaPEIM yang disiarkan setiap Rabu dalam ruangan agama Berita Harian bermula 26 September dan berakhir 12 Disember 2007, mendapat sambutan baik daripada pembaca akhbar ini apabila kira-kira 10,000 penyertaan diterima.

Pembaca perlu menjawab lapan soalan dalam kuiz terkumpul itu berdasarkan rencana yang disiarkan pada hari sama serta melengkapkan slogan tidak melebihi 20 perkataan pada borang terakhir.

Jumaat lalu, saringan untuk menyenarai pendek pemenang daripada 3,000 yang dipilih berdasarkan jawapan betul serta cogan kata menarik perhatian juri, diadakan di Bangunan YaPEIM, Jalan Kampung Attap, Kuala Lumpur.

Pemilihan dilakukan oleh panel juri yang dipengerusikan Pengurus Kanan Jabatan Amal Jariah YaPEIM, Zamri Zakaria.

Kuiz bersama YaPEIM menawarkan hadiah berjumlah RM20,000 merangkumi hadiah pertama iaitu pakej umrah dan ziarah bernilai RM11,000 (untuk dua orang) dan wang tunai RM2,000, wang tunai RM3,000 (kedua); RM1,000 (ketiga) dan RM100 (30 pemenang sagu hati).

Pemilihan pemenang dilakukan dalam masa dua minggu dan majlis penyampaian hadiah dijangka diadakan 28 Januari ini. Majlis bakal disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Kuiz Bersama YaPEIM, Izman Ismail berkata, pihaknya terharu dan menghargai inisiatif serta kesungguhan ditunjukkan peserta melalui borang penyertaan yang kreatif selain ada yang menghantar hingga berpuluh-puluh penyertaan.

Beliau berkata, kebanyakan peserta menjawab dengan betul dan ini membuktikan mereka melakukan penyelidikan serta membaca artikel yang disiarkan di Berita Harian kerana kebanyakan soalan adalah berdasarkan penulisan panel penulis khas YaPEIM.

“Walaupun ada satu dua soalan yang agak mengelirukan tetapi peserta boleh menjawab dengan tepat. Maknanya mereka membaca rencana yang disiarkan dan bagi kami itu sudah baik kerana peserta bukan saja dapat hadiah, juga ilmu pengetahuan.

“Malah, sejak rencana serta Kuiz Bersama YaPEIM disiarkan, kita menerima banyak jemputan memberi ceramah dan panggilan telefon daripada pelajar universiti ingin mendapatkan maklumat untuk menyiapkan tesis atau kertas kerja,” katanya.

Katanya, YaPEIM berterima kasih kepada Berita Harian yang bekerjasama dalam penganjuran kuiz bermatlamat membina semangat serta mendidik masyarakat membantu ummah melalui amalan amal jariah.

Kesungguhan peserta mencari ilham kreatif supaya jawapan yang dihantar bukan saja tepat, malah berjaya menarik minat juri dapat dilihat melalui borang penyertaan yang dihantar dalam pelbagai bentuk seperti kain rentang, kain sulaman berlabuci serta kadbod besar. Pemilihan 33 pemenang yang bertuah berdasarkan semua jawapan betul dan slogan terbaik.

Penganjuran Kuiz Bersama YaPEIM bertujuan memberi nilai tambah kepada rencana kolum Bersama Yapeim yang mengetengahkan rencana mengenai yayasan itu di Ruangan Agama Berita Harian.