Showing posts with label Ibu Bapa. Show all posts
Showing posts with label Ibu Bapa. Show all posts

Wednesday, February 17, 2010

Kelahiran anak ujian dunia buat ibu bapa

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki


ANAK adalah amanah Allah yang dipertanggungjawabkan kepada setiap ibu bapa untuk mendidik dan mengasuh mereka supaya menjadi insan berguna. - Gambar hiasan

Zuriat bukan sekadar penyambung warisan tetapi bukti kekuasaan Allah

ANAK anugerah Allah yang amat istimewa bagi suami isteri dalam kehidupan berumahtangga. Malah, setiap pasangan berkeluarga memang impikan anak untuk menyerikan institusi rumah tangga mereka. Itu sudah menjadi satu keinginan semula jadi yang Allah ciptakan dalam sudut hati setiap manusia.

Firman Allah yang bermaksud: "Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia kesukaan kepada benda yang diingini oleh nafsu ialah perempuan dan anak pinak, harta benda yang banyak berpikul-pikul daripada emas dan perak, kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan ternakan serta kebun. Semuanya ialah kesenangan hidup di dunia." (Surah Ali-Imran, ayat 14)

Oleh itu, tidak hairanlah anak dianggap penyejuk hati dan mata ibu bapa di kala suka serta duka dalam menelusuri kehidupan. Alangkah sepinya ibu bapa yang tidak memiliki anak untuk mewarnai hidup mereka.

Bagaimanapun, mereka tetap mempunyai pilihan lain iaitu dengan mengambil anak angkat sebagai penghibur dan penawar.

Islam tidak pernah mengatakan ada dosa yang dibawa oleh bayi sejak lahir walaupun anak itu adalah anak luar nikah. Ini kerana setiap bayi dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah dan putih bersih serta suci daripada sebarang dosa.

Akan tetapi, dalam Islam dosa itu mula mencemari kesucian hati seseorang apabila dia meninggalkan perintah Allah dan melanggar segala larangan-Nya.

Perlu ditegaskan, kelahiran seorang anak yang diharap akan menyambung warisan kekeluargaan sebenarnya mengungkap banyak makna dan pengertian yang tersurat sebagai bahan renungan untuk menginsafkan kita sebagai hamba Allah.

Pertamanya, kelahiran anak sudah memadai sebagai bukti paling mudah mengisyaratkan kekuasaan dan keagungan Allah mengatasi segala-galanya di alam maya ini. Sebelum lahirnya anak itu melalui pelbagai peringkat yang berbeza di alam rahim selama sembilan bulan 10 hari sehingga tercipta seorang manusia yang sempurna kejadiannya.

Semua itu diceritakan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)." (Surah Al-Tin, ayat 4)

Namun, di sebalik kesempurnaan sifat manusia sebenarnya daif dan kerdil kerana sentiasa bergantung harap kepada Allah. Oleh sebab itulah, setiap insan diwajibnya beriman kepada Allah untuk menikmati kesejahteraan di dunia dan akhirat di bawah keredaan Ilahi.

Kedua, anak adalah amanah Allah yang dipertanggungjawabkan kepada setiap ibu bapa. Justeru, lahirnya seorang anak bukannya sebagai satu keseronokan hidup atau satu bebanan yang tidak tertanggung. Sebaliknya, anak adalah ujian Allah kepada ibu bapa.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jugalah pahala yang besar." (Surah Al-Anfal, ayat 28)

Setiap ibu bapa berkewajipan mendidik dan mengasuh anaknya. Tetapi malangnya, sejak akhir-akhir ini jumlah bayi dilahirkan akibat perzinaan terus meningkat dan lebih menyedihkan, ada antara mereka dibuang dan didera sehingga menemui ajal.

Maka, tidak hairan Al-Sheikh Muhammad Qutb menganggap peristiwa berlaku dalam masyarakat Islam mutakhir ini ibarat kembali kepada zaman jahiliah terdahulu yang sanggup menanam hidup-hidup anak perempuan mereka kerana tidak sanggup menanggung malu.

Jadi tidak ada bezanya sama sekali antara perbuatan menanam bayi dan membuang anak dengan niat membunuh kerana kedua-dua perbuatan itu dilarang Allah.

Perlu diinsafi, mendidik dan mengasuh anak termasuk dalam ibadah kerana setiap ibu bapa akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang dilakukan anaknya. Lebih-lebih lagi anak itu umpama helaian kertas putih yang belum diwarnai dan dicorakkan lagi.

Maka ibu bapalah yang akan mencorakkannya berdasarkan cita rasa masing-masing. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang di bawah pimpinan kamu; seorang pemerintah adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap rakyatnya; seorang lelaki adalah pemimpin kepada anggota keluarganya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anggota keluarganya; seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anak-anaknya dan pimpinannya; dan khadam adalah diamanahkan terhadap harta tuannya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang berada di bawah amanahnya." (Hadis riwayat Bukhari)

Anak sebagai amanah Allah perlu diberi perhatian supaya mereka menjadi insan bertakwa dan berguna kepada agama, bangsa serta negara. Alangkah beruntungnya ibu bapa memiliki anak soleh yang doanya berterusan kepada kedua ibu bapanya.

Friday, January 22, 2010

Patuh mahkamah selagi tiada permohonan ubah perintah

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

ADA bapa atau bekas suami yang bukan sengaja tidak mahu melaksanakan perintah nafkah dikeluarkan Mahkamah Syariah tetapi sikap ibu tidak membenarkan bapa berjumpa anak menjadi punca perintah itu diabaikan.

Timbalan Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata alasan menyebabkan perintah mahkamah tidak dilaksanakan itu diketahui apabila kedua-dua pihak dipanggil untuk sesi khidmat nasihat.

Katanya, bagi kes seumpama itu selalunya dapat diselesaikan cara baik selepas pegawai BSK meminta supaya ibu bapa patuh kepada undang-undang dan hukum agama yang pastinya memberi kebaikan kepada semua pihak terutama anak.

“Memang ada kes bukan bapa tidak mahu bayar nafkah tetapi apabila tidak dibenarkan jumpa anak, buat apa mereka nak bagi nafkah. BSK akan menasihatkan ibu walau apa terjadi, hubungan bapa dan anak tidak boleh putus.

“Kita juga jelaskan hukum agama siapa yang memutuskan hubungan bapa dan anak tidak akan masuk syurga. Jadi selain melaksanakan perintah mahkamah, BSK juga beri kesedaran agama. Jika isu tanggungjawab ditekankan, secara tidak langsung hak disempurnakan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, tidak dinafikan ada bekas suami yang memang sengaja tidak mahu membayar nafkah kerana perasaan seronok kononnya dapat mengatasi undang-undang apabila tidak mematuhi perintah mahkamah.

Bagi kes sebegitu katanya, BSK akan mengambil tindakan penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang dengan mendapat perintah mahkamah untuk menahan, merampas, melelong dan menjual harta bekas suami yang ‘tegar’ itu.

Mohd Na’im berkata, kefahaman mengenai undang-undang penting terutama bagi melaksanakan perintah mahkamah kerana perintah yang dikeluarkan wajib dilaksanakan tetapi boleh diubah apabila berlaku situasi yang membenarkan.

Antaranya, apabila pihak yang sepatutnya memberi sejumlah bayaran nafkah tidak mampu melaksanakan perintah itu atau pihak yang mendapat bayaran ingin menambah jumlah atas alasan bapa berkemampuan.

“Bagi kes nafkah anak, perintah bayaran yang diputuskan mahkamah berdasarkan status pihak terbabit ketika itu. Ada bapa yang selepas bercerai disahkan bankrap dan tidak mampu membayar nafkah, undang-undang membenarkan pihak berkenaan datang untuk ubah perintah.

“Ada juga yang selepas bercerai menjadi kaya raya dan bekas isteri boleh datang mahkamah minta ubah jumlah nafkah terdahulu kerana merasakan bekas suami mampu memberi lebih untuk nafkah anak.

“Perintah dikeluarkan mahkamah wajib dilaksanakan dan selagi tiada permohonan ubah perintah, ketetapan itu terus berjalan. Itu yang kita beritahu kepada pihak yang datang ketika sesi khidmat nasihat kerana kita mahu pastikan perintah mahkamah dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, BSK memikul cabaran besar sebagai badan penguatkuasa untuk memastikan perintah nafkah dikeluarkan mahkamah dilaksanakan dan kepentingan anak terjamin untuk meneruskan kehidupan.

Walaupun ditubuhkan 20 Oktober 2008, pegawai dan kakitangan BSK hanya mula dihantar bertugas di negeri April lalu selepas menjalani latihan serta pendedahan tugas di JKSM. Seramai enam pegawai dan kakitangan BSK ditempatkan di mahkamah di setiap negeri.

Sejak beroperasi dengan dana sebanyak RM500,000 sumbangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), seramai 37 penerima mendapat bayaran pendahuluan BSK membabitkan jumlah RM100,000. Kes mereka juga sudah difailkan untuk penguatkuasaan.

Mohd Na’im berkata, perundangan saja tidak boleh menyelesaikan masalah kerana undang-undang adalah sebahagian mekanisme untuk memastikan kestabilan masyarakat dan perlu ada badan sokongan bagi memenuhi kekosongan yang ada.

Katanya, penubuhan BSK dilihat sebagai harapan kepada ibu dan anak mendapat hak nafkah yang selama ini diabaikan oleh bapa kerana tidak patuh perintah dikeluarkan mahkamah.

“Harapan saya, masyarakat umum memberi peluang kepada BSK untuk menyelesaikan perintah nafkah yang tidak dilaksanakan. Jika dulu tidak ada pihak boleh membantu, kini BSK ada untuk mendapatkan hak supaya dapat diberi kepada yang berhak.

“Pada masa sama, BSK memenuhi tanggungjawab menyalurkan bantuan melalui pembayaran pendahuluan bagi meringankan beban ibu tunggal yang menghadapi kepayahan membesarkan anak disebabkan suami tidak mematuhi perintah mahkamah,” katanya.

Oleh itu katanya, masyarakat perlu memahami fungsi serta matlamat utama penubuhan BSK dan memberi sokongan kepada badan itu melaksanakan tanggungjawab menegakkan undang-undang syariah dan meningkatkan imej Mahkamah Syariah.

Peranan Bahagian Sokongan Keluarga:

# Meleraikan konflik dihadapi wanita serta ibu tunggal yang berdepan masalah mendapatkan nafkah seperti diperintahkan mahkamah.

# Melaksanakan penguatkuasaan ke atas perintah mahkamah khususnya dalam kes nafkah dan saraan.

# Memberi khidmat nasihat perundangan Islam kepada orang awam.

# Menyalurkan bantuan kewangan sara hidup sementara melalui sumber dana kewangan yang diharuskan hukum syarak kepada keluarga yang menghadapi masalah tuntutan nafkah.

Thursday, December 3, 2009

Hak Muslim: Ibu bapa ada hak ambil balik harta yang diberi kepada anak

Soalan:

SAYA mempunyai ibu bapa angkat yang sudah uzur. Kedua-duanya tinggal di rumah orang tua sejak setahun lalu. Menurut ibu bapa angkat saya, mereka ada seorang anak perempuan namun tidak pernah datang menjenguk sejak setahun yang lalu.

Ibu bapa angkat saya sebenarnya memiliki banyak rumah dan tanah, tetapi semuanya sudah diberikan kepada anak perempuan dan suaminya kerana mereka pernah berjanji akan menjaga ibu bapa jika semua harta diberikan.

Sebaliknya ibu bapa angkat dihantar ke rumah orang tua. Saya kecewa dengan tindakan anak perempuan yang bukan saja derhaka malah kejam dan zalim mengabaikan ibu bapanya sendiri setelah semua harta dibolot. Bolehkah ibu bapa angkat saya menuntut balik hak mereka?

Karim Ahmad

Jawapan:

IBU bapa adalah manusia paling berjasa di dunia ini dan Islam mewajibkan setiap anak melayan ibu bapa dengan baik dan melaknat anak yang menderhaka apatah lagi menzalimi ibu bapa.

Dalam kes ini, ibu bapa angkat saudara sebenarnya berhak menarik balik pemberiannya dengan beberapa syarat.

Harta itu sememangnya diperoleh anak melalui hibah daripada ibu bapanya. Justeru bapa perlu membuktikan bahawa harta yang ingin dituntutnya itu adalah harta yang dihibahkan kepada anaknya.

Harta masih wujud. Jika harta itu sudah habis digunakan anak, maka ibu bapa angkat saudara tidak boleh menuntutnya kembali.

Harta itu hendaklah masih dalam milikan si anak. Jika harta sudah dipindah milik kepada orang lain, maka ibu bapa angkat saudara tidak boleh membuat tuntutan. Oleh demikian, tindakan tepat sekarang adalah meminta ibu bapa angkat saudara memasukkan kepentingannya ke dalam harta itu dengan cara mendaftarkan kaveat di pejabat tanah, melantik pemegang amanah, penama atau wasi.

Harta itu tidak diperoleh semula oleh anak dengan cara lain contohnya hartanah berkenaan pernah berpindah milik, kemudian diperoleh semula oleh anak melalui transaksi baru seperti hadiah, pembelian atau pusaka daripada orang lain, maka ia tidak boleh dituntut.

Saya menasihatkan ibu bapa angkat saudara mendapatkan perintah menarik balik atau membatalkan hibah itu dengan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah berdekatan tempat tinggal ibu bapa angkat saudara.

Dengan perintah itu, ibu bapa angkat saudara akan mendapat balik hak mereka terhadap rumah dan harta berkenaan. Bagi tujuan permohonan, ibu bapa angkat saudara dikehendaki mengemukakan kepada mahkamah saksi serta dokumen menunjukkan harta itu kepunyaannya seperti geran tanah, sijil saham atau perjanjian jual beli dan dokumen berkaitan bagi menyokong permohonan mereka.

Saya juga menasihatkan saudara melantik peguam syarie bertauliah bagi pihak ibu bapa angkat untuk melicinkan permohonan itu. Jika ibu bapa angkat saudara tidak mampu mengupah peguam swasta, saudara boleh mendapatkan khidmat Biro Bantuan Guaman, Pusat Bantuan Guaman dan Biro Bantuan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Saya mendoakan semoga niat saudara diberkati Allah dan ibu bapa angkat saudara berjaya mendapatkan semula hak mereka sebagai pengajaran kepada anak menantunya yang tidak mengenang budi.

Tuesday, December 1, 2009

Doa ibu bapa wahana berkesan bentuk peribadi anak

Oleh Wan Hishamudin Wan Jusoh

SEMPENA cuti persekolahan sekarang, waktu begitu terluang bagi anak-anak berada di rumah. Justeru, ibu bapa perlu mengambil peluang ini bagi mendekati dan memahami, sekali gus mendidik anak mereka dengan penuh kasih sayang. Ini kerana, dengan pendidikan langsung daripada ibu bapa, anak akan rasa dihargai dan diberi perhatian.

Lantas, tindakan ini akan dapat mengelakkan mereka daripada membuang masa tanpa arah dan tujuan. Dalam konteks pendidikan anak-anak, ibu bapa harus berfikiran terbuka dan sentiasa mengharapkan keredaan Allah SWT dalam setiap tindakan yang mereka lakukan, bukannya menegur anak dalam keadaan merasakan merekalah yang terbaik.

Justeru, sebagai ibu bapa mereka sewajarnya mempunyai ciri-ciri sebagai seorang pendidik yang baik. Mereka perlu menjadi contoh ikutan kepada anak-anak. Apatah lagi, sebagai orang yang sentiasa bersama dengan anak-anak, mereka perlu menunjukkan reaksi positif terhadap segala perkara yang berlaku di persekitaran.

Ini kerana, contoh ikutan adalah satu wahana yang amat berkesan membimbing seseorang ditambah pula kanak-kanak suka meniru apa yang orang lain lakukan.

Kanak-kanak akan melihat apa yang dilakukan oleh orang dewasa, semuanya adalah benar terutama ibu bapa mereka. Jadi, ibu bapa harus mengatur kehidupan mereka dengan sebaik mungkin untuk menjadi contoh dan ikutan terbaik.

Ibu bapa harus menunjukkan sifat kasih sayang dan saling memaafkan kerana ia adalah asas dalam pendidikan anak-anak. Ini kerana, kanak-kanak tidak memahami dan belajar erti kasih sayang sekiranya ibu bapa sentiasa menunjukkan kemarahan dan kekasaran dalam mendidik mereka.

Jika seseorang kanak-kanak dizalimi, sudah pasti ini akan melahirkan rasa permusuhan dalam lingkungan adik-beradik mereka. Justeru itu, menjadi tanggungjawab kepada ibu bapa supaya tidak menyemai rasa hasad di kalangan anak-anak serta membesarkan dan mendidik mereka dengan penuh persamaan dan keadilan.

Satu lagi aspek ialah berkongsi sesuatu yang dialami. Peluang sebegini perlu diambil untuk memberitahu kepada mereka perkara positif yang hendak disampaikan. Misalnya, walaupun Rasulullah SAW sibuk dengan urusan orang Islam, jihad, pentadbiran negara dan sebagainya, baginda meluangkan masa untuk bersama cucu baginda bagi menceritakan pengalaman hidup dan mengajar perkara asas di dalam agama.

Ini kerana, hasil pendedahan awal sebegini akan mematangkan mereka dalam melayari kehidupan. Begitu juga, Rasulullah SAW mengetahui bahawa kanak-kanak tidak mampu untuk menilai kehidupan dengan akal semata-mata, namun mereka belajar sesuatu perkara daripada apa yang mereka lihat.

Ibu bapa hendaklah bergaul dan mengasah minda anak mereka dengan perkara bermanfaat sebagai persediaan menempuh kehidupan lebih mencabar.

Sewajarnya mendidik anak ialah dengan penuh kebijaksanaan dan menggunakan kaedah pendekatan yang dapat diterima dengan mudah.

Ini bermakna, jika ibu bapa ingin mengarahkan sesuatu perkara kepada anak-anak, perlulah dilihat apakah suasana dan situasi mereka. Dalam hal ini, ibu bapa mestilah prihatin terhadap keadaan bagaimana dan di mana anak mereka berada.

Jika larangan atau suruhan daripada ibu bapa kepada anak dibuat secara melulu dan dengan kekerasan, ini akan mengurangkan kesan ketaatan kepada ibu bapa bahkan anak-anak juga akan membantah dengan penuh emosi. Malah, dengan melakukan kekerasan terhadap anak, berkemungkinan akan mencederakan mereka sekali gus menambahkan lagi konflik di antara ibu bapa dan anak.

Berdoa kepada Allah SWT kerana ia adalah wahana yang amat berkesan dalam pembentukan peribadi anak-anak. Apatah lagi, Allah SWT adalah pemilik segala-galanya. Tambahan pula, jika dirujuk semula perjalanan hidup rasul-rasul terdahulu, mereka adalah manusia yang paling banyak berdoa kepada Allah SWT.

Mereka akan memohon agar Allah SWT melimpahi rahmat ke atas anak-anak mereka. Buktinya, Nabi Ibrahim AS berdoa agar baginda dan keturunannya dijauhkan daripada menyembah berhala serta mensyirikkan Allah SWT. Iaitu firman Allah, bermaksud ; "Dan (ingatkanlah) tatkala Nabi Ibrahim AS berdoa dengan berkata "Wahai Tuhanku, jadikanlah negeri Makkah ini negeri yang aman, dan jauhkanlah daku dan anak-anakku daripada perbuatan menyembah berhala". (Surah Ibrahim (14) : 35)

Daripada contoh di atas jelas menunjukkan berdoa adalah cara yang amat berkesan dalam mendidik anak-anak untuk menjadi generasi berilmu, beriman dan bertakwa, ibu bapa perlu bijak dalam dalam mencorak generasi pelapis ini.

Jika mereka komited dengan tanggungjawab, sudah tentu generasi awalan yang ada sekarang berupaya menjadi umat contoh yang berjaya membina peradaban tersendiri suatu hari nanti.

Penulis ialah pensyarah Jabatan Usuluddin, Universiti Darul Iman Malaysia, Kampus Kusza, Kuala Terengganu yang kini mengikuti pengajian peringkat PhD di Universiti Malaya.

Friday, June 5, 2009

Memuliakan warga emas amalan terpuji

Oleh Amran Zakaria

Berusaha jaga hati ibu bapa di samping beri bantuan moral, kewangan

WARGA emas menjadi sebahagian aset penting negara dan kehadiran mereka wajar dimanfaatkan. Kelebihan yang ada pada mereka ialah mampu memberi sumbangan kepada agama dan negara, terutama membabitkan aspek pembangunan diri, keluarga dan masyarakat.

Pengalaman dan kepakaran dimiliki warga emas tidak ada nilainya walaupun kemungkinan dari segi teorinya, golongan muda boleh belajar di mana-mana pusat pengajian yang menyediakan kajian mengenai mereka.

Justeru, generasi muda jangan bersifat bongkak dan sombong apabila berdepan warga emas. Hormatilah mereka kalau kita minta dihormati apabila sampai masanya nanti. Hidup di dunia laksana roda yang berpusing. Yang muda tidak akan muda selama-lamanya.

Oleh itu, golongan muda jangan alpa ketika meniti kehidupan pada usia puncak yang menyeronokkan. Mahu atau tidak kita akan menempuhi hari tua yang amat mencabar dan cukup sensitif. Episod senja ini kalau drama kehidupan, adalah episod terakhir dalam kehidupan manusia yang begitu berharga untuk dilalui.

Daripada 26 juta rakyat Malaysia, tujuh peratus atau 1.75 juta adalah warga tua atau warga emas. Mereka yang berumur 60 tahun ke atas dikategorikan sebagai warga emas. Mengikut definisi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), warga emas adalah di kalangan mereka berusia 65 tahun ke atas.

Negara ini akan mengalami penuaan penduduk pada 2020 apabila peratusan penduduk warga emas berumur 65 tahun ke atas akan meningkat kepada tujuh peratus atau 2.1 juta daripada jumlah penduduk 33.4 juta.

Sementara jangka hayat penduduk tempatan juga terus meningkat dengan lelaki meningkat daripada purata 66.5 tahun pada 1980 kepada 70.8 tahun pada 2003. Jangka hayat wanita pula dari 71.0 tahun kepada 75.5 tahun dalam tempoh sama.

Pada 2020, jangka hayat lelaki diunjurkan 75.4 tahun dan wanita 80.4 tahun. Ini bererti jumlah penduduk wanita akan melebihi lelaki. Justeru, keperluan sosial serta ekonomi mereka perlu diambil kira dalam perancangan dasar yang lebih peka kepada kesan penuaan yang berbeza bagi warga emas lelaki dan wanita.

Warga emas dianggap aset penting negara dan hakikat ini tidak boleh ditolak, sebaliknya perlu dimanfaatkan. Walaupun sudah semakin berusia, sumbangan bagi pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara menerusi pengalaman, kepakaran serta kemampuan boleh terus dihulurkan.

Golongan berkenaan memang kaya dengan pelbagai pengalaman yang diperoleh dan dipupuk melalui pendidikan awal, hidup berkeluarga, berkerjaya dan bersosial. Pada usia emas ini kita akan merasakan sesuatu perasaan yang tidak pernah dirasai sebelum ini.

Secara lumrahnya pada ketika itu, kita akan berada dalam serba kekurangan berbanding masa muda sama ada dari segi kekuatan fizikal, daya ingatan dan juga emosi. Oleh itu, seeloknya bagi mereka yang dikurniakan umur panjang agar dapat memanfaatkan nikmat usianya dengan sebaik-baiknya untuk terus berusaha memperbaiki diri dengan berbuat ketaatan dan melakukan amal perbuatan yang diredai Allah.

Semakin bertambah umur manusia itu bererti semakin kurang jangka hayatnya dan semakin hampir pula kepada ajalnya. Dalam melalui hari-hari tua, kita perlu mengubah sikap ke arah kebaikan dan menghindari dari kelalaian.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Dari Abdul Rahman bin Abi Bakraah daripada bapanya, sesungguhnya seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam katanya: Wahai Rasulullah, manusia bagaimanakah yang baik sifatnya? Sabda Rasulullah, siapa yang panjang umurnya dan baik amalannya, pemuda itu bertanya lagi: Manusia bagaimanakah yang buruk sifatnya? Sabda Baginda: Siapa yang panjang umurnya dan buruk amalannya". (Hadis Riwayat At-Tirmizi).

Banyak amalan baik untuk diamalkan oleh mereka yang dikurniakan umur panjang. Antaranya ialah sentiasa mengingati mati kerana ia akan mendorong kita untuk sentiasa mengerjakan amal salih dan meninggalkan perkara sia-sia.

Di samping itu, warga tua juga digalakkan agar memperbanyakkan taubat dan istighfar kerana taubat dan istighfar itu adalah jalan ke arah mendekatkan diri kepada Allah yang mendorong manusia untuk membuat segala amal bakti dan kebajikan, seperti disebutkan dalam sebuah hadis yang bermaksud:

“Daripada Jabar bin Abdullah katanya Rasulullah SAW berkhutbah kepada kami, sabdanya: “Wahai manusia! Bertaubatlah kamu kepada Allah sebelum kamu mati dan segeralah kamu mengerjakan amal salih sebelum kamu sibuk dan adakanlah perhubungan antara kamu dengan Tuhan kamu dengan memperbanyakkan zikir kepada-Nya". (Hadis Riwayat Ibnu Majah).

Sebenarnya, peringatan sebegini ada benarnya kerana diakui hati orang tua itu lebih kepada berangan-angan dan bernafsu untuk mengumpulkan seberapa banyak harta. Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: "Daripada Abi Hurairah RA menyatakan bahawa telah bersabda Rasulullah SAW “ Hati orang tua itu mudah untuk mencintai dua perkara iaitu panjang angan-angan (harapan) dan suka membanyakkan harta." (Hadis Riwayat At-Tirmizi).

Orang yang berangan-angan panjang itu akan merasakan diri mereka seolah-olah kekal hidup di dunia ini yang akan menyebabkan mereka lalai untuk mengingati Allah. Mereka yang dilanda penyakit ini akan lalai untuk menyediakan bekalan untuk menuju akhirat, sentiasa mengikut hawa nafsu dan sering lupa kepada mati sehingga bertangguh-tangguh dalam mengerjakan amal salih.

Mereka yang panjang angan-angan ini selalunya lebih mengutamakan kepentingan dunia daripada kepentingan akhirat.

Sesungguhnya warga tua mempunyai hak untuk mendapat kasih sayang dan penghormatan. Dalam hal ini Rasulullah SAW memerintahkan umatnya untuk menghormati orang tua dan menganjurkan untuk menjaga hak mereka.

Perkara ini dijelaskan dalam sebuah hadis Baginda yang bermaksud Dari Anas bin Malik katanya telah bersabda Rasulullah SAW: “Tiada seorang pemuda yang menghormati dan memuliakan seseorang yang tua usianya melainkan Allah akan menentukan baginya orang lain yang akan menghormati kelak apabila dia pula mencapai usia tua." (Hadis Riwayat At-Tirmizi).

Sememangnya perhatian terhadap warga emas adalah satu kewajipan yang tidak boleh diabaikan, yang akan menjadikan kita sebagai orang yang mengenang budi, yang akan menjadikan harapan sepanjang zaman. Tanpa mereka, hidup kita mungkin menjadi sia-sia kerana restu dan reda mereka akan menjadi sebahagian keberkatan dan kerahmatan Allah terhadap kita.

Dengan apa daya sekalipun kita hendaklah berusaha untuk menjaga hati mereka di samping memberi bantuan moral dan kewangan. Hendaknya kita melakukan yang terbaik untuk mereka ketika mereka melalui sisa-sisa hidup yang sedikit berbaki itu.

Menjadi amalan yang ditarbiyah oleh agama untuk kita berterusan menghormati dan menjaga kebajikan mereka. Biarlah kasih sayang yang dicurahkan kepada warga tua dirasai mereka dengan sempurna. Jangan sesekali mengabaikan dan mensia-siakan mereka.

Penulis adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dewan Amal Islam Hadhari (Damai)

Saturday, May 9, 2009

Derhaka terhadap ibu bapa hampiri dosa syirik

Oleh Mohd Shukri Hanapi


PERHATIAN dan kasih sayang anak lebih penting kepada ibu bapa berbanding wang ringgit. - Gambar hiasan


Islam anjur hormat, taat selagi suruhan mereka tidak melanggari hukum syariat

GANDINGAN dan keserasian antara ibu bapa berjaya mendidik serta membesarkan anak mereka. Ibu bapa sanggup mengorbankan kepentingan diri dan mengharungi pelbagai cabaran demi memastikan kesenangan hidup anak.

Jika dilihat hari ini, sesetengah ibu bapa terpaksa keluar rumah seawal pagi semata-mata untuk mencari rezeki bagi menampung keperluan keluarga. Pengorbanan itu sepatutnya dibalas dengan anak menghormati, mentaati dan berbuat baik kepada ibu bapa.

Ini sebagai suatu penghargaan tertinggi anak membalas jasa ibu bapa. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan tuhanmu memerintahkan supaya engkau tidak menyembahkan melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan 'uuh', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mana mereka mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." (Surah al-Israk, ayat 23-24)

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Masud: "Aku pernah bertanya Rasulullah SAW: Apakah amalan yang paling utama? Baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua orang tua. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah. Kemudian aku bertanya lagi kepada Baginda, semata-mata ingin menemani dan menjaga perasaan Baginda." (Hadis riwayat Muslim)

Sebenarnya kewajipan menghormati ibu bapa tidak terhenti walaupun kedua-dua mereka sudah meninggal dunia. Walaupun ibu bapa sudah meninggal dunia anak dikehendaki berdoa supaya mereka sentiasa bahagia di sisi Allah. Selain itu, anak digalakkan menziarahi kubur ibu bapa mereka.

Jelaslah menghormati, mentaati dan berbuat baik kepada ibu bapa adalah suatu amalan utama serta berterusan sepanjang masa. Perintah Islam supaya menghormati dan mentaati ibu bapa ini berbentuk umum tidak kira sama ada mereka beragama Islam atau tidak.

Cuma, bagi ibu bapa bukan beragama Islam, perintah menghormati dan mentaati itu dengan bersyarat iaitu selagi mana ibu bapa tidak menyuruh anaknya yang beragama Islam melakukan perkara mensyirikkan Allah.

Diriwayatkan daripada Sa'id bin Abu Waqqas bahawa Ummu Sa'ad adalah seorang kafir. Kerana terlalu benci kepada Rasulullah SAW, pada suatu hari Ummu Sa'ad berkata kepada anaknya, "Bukankah Allah menyuruh engkau berbuat baik kepada ibu bapamu? Demi Allah, aku tidak akan makan dan minum sehingga aku mati atau engkau kufur (kepada Nabi Muhammad SAW)." (Hadis riwayat Muslim)

Berikutan peristiwa itu, Allah menurunkan ayat yang bermaksud: "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau menyekutukan Aku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kamu semua kembali, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang telah kamu kerjakan." (Surah al-Ankabut, ayat 8)

Peristiwa di atas dikuatkan lagi dengan wasiat Luqman al-Hakim kepada anaknya dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah juga tempat kembali (untuk menerima balasan). Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau menyekutukan Aku (Allah) dengan sesuatu yang engkau � dengan akal fikiranmu - tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal salih). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu kerjakan." (Surah Luqman, ayat 14-15)

Inilah cara pergaulan dengan ibu bapa yang dianjurkan Islam. Hormat dan taatilah ibu bapa selagi suruhan mereka itu tidak melanggari syariat Islam. Mengingkari perintah supaya berbuat baik kepada ibu bapa termasuk dalam dosa besar.

Jika menyebut ungkapan 'uh' atau 'ah' pun sudah dikira menyakiti dan menderhaka, apatah lagi jika ada antara anak yang mencerca, memaki dan memukul ibu bapa mereka.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin al-'As: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca kedua orang tuanya. Sahabat Baginda bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun kedua orang tuanya? Rasulullah SAW menjawab: Ya. Seorang lelaki yang memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga jika seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Menderhaka kepada ibu bapa adalah dosa besar selepas syirik. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, Nabi SAW pernah menceritakan mengenai dosa besar. Baginda bersabda yang bermaksud: "Menyekutukan Allah, menderhaka kedua-dua ibu bapa, membunuh dan berkata dengan kata-kata palsu." (Hadis riwayat Muslim)

Selain itu, banyak peristiwa dan kejadian menimpa orang yang menderhaka ibu bapanya. Salah satunya ialah peristiwa yang menimpa Alqamah, sahabat yang kuat beribadah kepada Allah tidak dapat melafazkan kalimah tauhid di saat kematiannya kerana mengguris hati ibunya.

Betapa beratnya dosa menyakiti ibu bapa, lidah Alqamah seakan-akan terkunci. Tiada sepatah perkataan pun terkeluar dari mulutnya. Azab menimpa Alqamah berakhir setelah ibunya memaafkan kesalahan dilakukannya.

Peristiwa itu menjelaskan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Reda Tuhan (Allah) ada dalam reda kedua-dua ibu bapa dan kemurkaan-Nya ada dalam kemurkaan kedua-duanya." (Hadis riwayat al-Tabrani)

Oleh itu, jadikanlah peristiwa Alqamah sebagai pengajaran dan iktibar bahawa ibu bapa itu wajib dihormati dan dipatuhi. Janganlah kerana suatu perkara remeh, seseorang anak sanggup melupai dan menderhaka terhadap ibu bapa.

Biar bagaimana juga keadaan ibu bapa, tidak sepatutnya seorang anak menghantar ibu bapa mereka yang lanjut usia ke rumah orang tua dengan alasan menyusahkan atau membebankan. Ketika usia semakin lanjut itulah, mereka amat memerlukan layanan, perhatian, belaian dan kasih sayang anak.

Balas segala kesusahan dan kepayahan ibu bapa menjaga serta memelihara kita dengan sesuatu yang menggembirakan mereka. Perhatian dan kasih sayang anak lebih penting kepada ibu bapa berbanding wang ringgit.

Friday, May 8, 2009

Mengenang jasa ibu bapa tuntutan sepanjang hayat

Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

IBU bapa mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah sehingga Allah memerintahkan kita berbuat baik kepada mereka selepas perintah mengabdikan diri kepada-Nya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Tuhanmu memerintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.” (Surah al-Isra’, ayat 23)

Islam menyanjung tinggi kedudukan ibu sehingga memberi penghargaan istimewa terhadap pengorbanan ibu kepada anak. Ibu insan paling banyak menanggung penderitaan demi kelangsungan hidup anak.

Pengorbanan wanita bergelar ibu tidak boleh dinilai dengan wang ringgit atau harta benda. Segala kesusahan ketika hamil dan kesakitan melahirkan sukar digambarkan, tetapi tiba-tiba boleh menjadi kegembiraan apabila mendengar tangisan pertama anak.

Apakah memadai jasa dan pengorbanan ibu dihayati dan dikenang tatkala menyambut hari ibu? Sudah tentu tidak kerana sikap ini tidak menggambarkan kasih sayang sepanjang hayat tetapi hanya budaya sekali setahun.

Namun hari ibu yang disambut pada 10 Mei setiap tahun tidak bermakna ia harus dibiarkan berlalu tanpa pengisian bermakna. Sebagai anak, kita dituntut mengenang jasa dan pengorbanan ibu.

Firman Allah bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa. Ibunya mengandung dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. (Dengan demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada ibu bapamu. Hanya kepada-Ku tempat kembalimu.” (Surah Luqman, ayat 14)

Jasa ibu melahir dan membesarkan anak tidak dapat dibalas kerana pengorbanan memastikan kesejahteraan mereka amat besar sehingga meletakkan kedudukan syurga bagi anak di bawah tapak kaki ibunya.

Kisah Alqamah yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW menjadi cerita yang terus diulang sebagai iktibar kepada generasi hari ini supaya menghormati serta menghargai ibu tidak kira dalam apa keadaan.

Alqamah ialah pemuda yang baik dan taat, rajin mendirikan solat, banyak berpuasa serta bersedekah, namun dia lebih mengutamakan isteri berbanding ibunya yang makan hati berulam jantung dengan perbuatan Alqamah.

Akibatnya dia tidak mampu mengucap dua kalimah syahadah pada penghujung hayatnya sehingga Rasulullah SAW bertindak untuk membakar Alqamah apabila ibunya yang berkecil hati enggan memaafkan anak itu.

Tindakan Rasulullah SAW menyebabkan ibunya segera memaafkan Alqamah yang kemudian dengan mudah mengucapkan dua kalimah syahadah. Selepas dimandi, dikafan, disolat dan dikebumikan, Rasulullah SAW berdiri di tepi kuburnya lalu bersabda yang bermaksud: “Wahai kaum Muhajirin dan Ansar! Sesiapa yang lebih mengutamakan isterinya daripada ibunya, nescaya akan ditimpa kepadanya laknat Allah dan juga tidak diterima daripadanya taubat dan tebusannya.” (Hadis riwayat Abu al-Laith)

Walaupun hatinya kecewa, kasih sayang ibu mengatasi segalanya sehingga sanggup melupakan perbuatan anak semata-mata untuk melihat mereka mendapat keredaan Allah. Oleh itu, anak sepatutnya sanggup berkorban apa saja demi ibu.

Islam mewajibkan anak menunaikan segala hak dan melayani ibunya dengan baik. Islam juga mengharamkan anak melakukan sesuatu yang boleh menyakitkan dan menyinggung perasaan ibunya. Pendek kata, ibu ialah insan paling berhak mendapat layanan terbaik daripada anak selaras pengorbanan yang dilakukannya.

Rasulullah SAW pernah ditanya seorang lelaki: “Ya Rasulullah! Siapakah yang lebih berhak saya berbuat baik? Jawab Rasulullah: Ibumu. Lelaki itu bertanya lagi: Kemudian siapa lagi? Ujar Baginda: Ibumu. Lelaki itu bertanya sekali lagi: Kemudian siapa lagi? Jawab Baginda: Ibumu. Lelaki itu bertanya lagi: Siapa lagi? Baginda menjawab: Bapamu.”

Hadis Rasulullah SAW mengangkat kedudukan istimewa ibu sehingga berbakti kepada ibu mengatasi berbakti kepada orang lain walau kepada bapa sekalipun.

Alangkah sedihnya melihat masyarakat hari ini apabila ada anak sanggup mendera, membiarkan malah mencederakan ibu bapa apabila kehendak hati tidak dipenuhi atau disebabkan nasihat untuk kebaikan diberi.

Anak yang menderhaka terhadap ibu bapa kerana hilang nilai keimanan dalam diri dan jiwa dikuasai hasutan nafsu. Tekanan hidup hari ini juga menjadikan hubungan kekeluargaan kian jauh dan institusi keluarga makin rapuh.

Namun, apa juga cabaran, itu bukan alasan untuk menidakkan hak ibu atau membolehkan anak melupakan tanggungjawab kepada ibu bapa mereka. Ada kala, ibu tidak memerlukan wang ringgit tetapi cukup perhatian diberi anak mereka.

Anak yang derhaka kepada ibunya pasti menghadapi pelbagai kesulitan hidup ketika di dunia dan akhirat. Selain itu, menderhaka kedua ibu bapa bererti menderhaka kepada Allah.

Daripada Abdullah Amru, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Keredaan Allah daripada keredaan ibu bapa dan kemurkaan Allah daripada kemurkaan ibu bapa.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Wednesday, April 29, 2009

Hak ibu bapa tak terputus jika anak peluk Islam

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Keputusan jemaah menteri belum jadi peraturan, sedia terima pandangan

KEPUTUSAN Kabinet bahawa kanak-kanak mesti kekal menganut agama asal ketika ibu bapanya berkahwin walaupun selepas seorang daripada pasangan itu menukar agamanya, diterima dengan rasa terkejut dan perasaan cemas 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam.

Keputusan Kabinet itu mengundang pelbagai reaksi termasuk daripada NGO Islam, mufti serta pakar perundangan Islam. Dalam kenyataan bersama serta beberapa pandangan mufti dan badan profesional, menyarankan keputusan itu dikaji semula kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, keputusan Mahkamah Persekutuan serta hukum syarak.

Keputusan Kabinet mengecewakan NGO Islam kerana ia diambil tanpa perbincangan dengan pihak yang mungkin terkesan daripada pengumuman. Sebagai NGO Islam yang terbabit secara langsung dengan masalah berkaitan proses pemelukan Islam oleh penganut agama lain, sewajarnya maklum balas mereka diambil kira.

Hakikatnya, bantahan NGO terhadap keputusan itu bersandarkan kepada alasan merujuk kepada Perlembagaan Malaysia serta Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505).

Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan: "Agama seseorang di bawah 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapa atau penjaganya". Berdasarkan peruntukan itu persetujuan satu pihak memadai dalam penentuan status agama kanak-kanak bawah umur 18 tahun, atau ditetapkan penjaganya jika kanak-kanak itu tidak mempunyai ibu bapa.

Perkataan 'parent or guardian' pada perkara 12 (4) bermaksud ibu atau bapa atau penjaga, bukan ibu bapa atau penjaga. Ia bermakna ibu atau bapa sudah cukup untuk menentukan status agama anak.

Peruntukan itu diterjemahkan dalam kes Teoh Eng Huat lawan Kadi Pasir Mas (1990) 2 MLJ 300 dan keputusan Mahkamah Tinggi (1986) 2 MLJ 228. Dalam kes itu, seorang bapa membawa tindakan terhadap kadi yang mengislamkan anak perempuannya yang dilahir dan dibesarkan sebagai penganut Buddha ke mahkamah.

Seseorang belum mencapai 18 tahun tidak ada hak untuk memilih agamanya sendiri tanpa kebenaran ibu atau bapa atau penjaganya. Dalam membuat keputusan, mahkamah merujuk kepada laporan suruhanjaya dan menekankan soal keharmonian agama.

Perlu ditegaskan walaupun Islam ditetapkan agama Persekutuan mengikut Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan, hak penganut agama lain tetap dijaga mengikut Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Penentuan status agama anak apabila ibu bapa memeluk Islam perlu dilihat kepada aspek hukum syarak dan perundangan Islam. Seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) memperuntukkan kanak-kanak belum mencapai umur 18 tahun boleh memeluk Islam jika ibu atau bapa atau penjaga mengizinkannya.

Peruntukan akta itu jelas bahawa ibu atau bapa atau penjaga mempunyai kuasa untuk membenarkan seorang anak bawah umur 18 tahun memeluk Islam tertakluk kepada keizinan bapa atau ibu atau penjaga anak itu.

Kes R Subashini lawan T Saravanan juga menjadi rujukan kepada NGO Islam untuk meminta Kabinet menilai semula keputusan kerana Mahkamah Persekutuan iaitu mahkamah tertinggi negara memutuskan bapa kanak-kanak itu mempunyai kuasa mengislamkan anaknya berdasarkan perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan peruntukan itu, agama seseorang bawah 18 tahun hendaklah ditetapkan ibu atau bapa atau penjaganya. Justeru, dalam kes ini suami berhak mengislamkan anaknya walaupun ibu tidak bersetuju dengan pengislaman anaknya.

Mengikut hukum syarak jika bapa atau ibu yang menganuti Islam, anak mereka dengan sendirinya menganut Islam kecuali jika anak sudah berumur 15 tahun dan boleh memilih agamanya sendiri.

Ibu atau bapa tidak Islam seharusnya tidak bimbang jika pihak satu lagi memeluk Islam dan mengislamkan anak mereka bawah 18 tahun kerana hak mereka terhadap anak itu tidak terputus. Walaupun anak memeluk agama Islam, hubungan dengan ibu atau bapanya tidak akan terputus.

Seseorang yang masuk Islam adalah soal hidayah Allah. Persoalan sama ada seseorang memeluk Islam atas tujuan lain di luar batas kita untuk menentukannya kerana ia membabitkan soal niat atau hati.

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) bersama NGO Islam lain berharap keputusan dinilai semula dengan maklum balas daripada pihak terbabit secara langsung dalam proses pemelukan Islam penganut agama lain serta pakar seperti mufti dan pengamal undang-undang syariah.

Keputusan jemaah menteri belum lagi menjadi peraturan atau undang-undang, justeru masih ada ruang untuk mengkaji semula apa yang diputuskan demi menjaga kemaslahatan umat Islam dan pada masa sama mengekalkan semangat hormat menghormati antara pelbagai agama di negara ini.

Memetik kata-kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, bahawa kerajaan bersedia mendengar sebarang pandangan masyarakat mengenai keputusan berkenaan bagi kebaikan semua pihak, diharap suara PGSM dan 100 NGO Islam lain mendapat perhatian sewajarnya.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Monday, April 27, 2009

Ibu bapa alpa laksana amanah antara punca anak derhaka

Oleh Hashim Ahmad

ALLAH memerintahkan kita berbakti kepada kedua orang tua dan berbuat baik terhadap anak serta bersungguh dalam mendidik mereka kerana perbuatan itu termasuk sebahagian daripada menunaikan amanah Allah.

Melalaikan hak ibu bapa dan anak termasuk perbuatan khianat terhadap amanah Allah. Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya." (Surah an-Nisa, ayat 58)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Hai orang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanah diberi kepercayaan kepadamu, sedang kamu mengetahui." (Surah al-Anfal, ayat 27)

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Barang siapa diberi amanah oleh Allah untuk memimpin lalu ia mati (sedangkan pada) hari kematiannya dalam keadaan mengkhianati amanahnya itu, nescaya Allah mengharamkan syurga baginya." (Hadis riwayat Bukhari)

Meskipun ibu bapa mengetahui mendidik anak adalah tanggungjawab besar, masih ramai yang lalai dan menganggap remeh perkara itu. Kemudian, apabila anak derhaka, melawan orang tua atau menyimpang daripada aturan agama baru mereka menyalahkan anak.

Sedihnya, ramai tidak sedar sebenarnya ibu bapa juga menjadi penyebab utama sikap derhaka. Ada kelalaian atau kesilapan dalam mendidik anak yang tanpa disedari memberi saham kepada munculnya kenakalan remaja serta sikap durhaka kepada orang tua antaranya:

# Menumbuhkan rasa takut pada anak ketika mereka menangis dengan harapan berhenti dengan gambaran hantu, jin atau suara angin. Akibatnya, anak menjadi penakut seperti takut kepada bayang sendiri dan takut pada sesuatu yang sebenarnya tidak perlu ditakuti.

Contohnya, takut ke bilik mandi dan tidur sendiri kerana mendengar cerita hantu, jin. Ibu bapa tidak sepatutnya menakutkan anak.

# Mendidik anak menjadi sombong dengan niat supaya mereka menjadi berani. Berani tidak harus dengan bersikap sombong atau bongkak kepada orang lain.

# Membiasakan anak hidup berfoya-foya dan bermewah kerana yang mendorong mereka suka bersenang-senang, mementingkan diri dan tidak peduli keadaan orang lain. Mendidik anak seperti ini merosak fitrah, membunuh sikap bersederhana dan bersyukur.

# Selalu memenuhi permintaan anak kerana ada ibu bapa yang sedaya upaya menunaikan semua kehendak anak mereka. Sedangkan, tidak setiap yang diinginkan anak itu bermanfaat atau sesuai dengan usia serta keperluannya.

Jika anak biasa dipenuhi segala permintaannya, mereka tumbuh menjadi anak yang tidak peduli nilai wang dan kesusahan mencari rezeki. Mereka juga tidak tahu membelanjakan wang dengan baik.

# Mengalah dengan anak semata-mata tidak tahan mendengar tangisan mereka juga perlu difikirkan semula ibu bapa. Memang memberi apa diminta akan menghentikan tangisan tetapi ia menggalakkan sifat mengugut dengan menggunakan tangisan sebagai senjata.

# Terlalu berkeras juga tidak baik seperti memukul atau memarahi dengan suara tinggi. Ada ibu bapa menggunakan bahasa kasar ketika memarahi anak dan ada kalanya sikap itu menyebabkan anak kecil hati dan ada yang menyimpan dendam kerana tidak suka dimarah atau ditengking.

# Ada juga ibu bapa yang kedekut sehingga anak berasa tidak disayangi apabila permintaan atau keperluan tidak dipenuhi. Jangan terkejut jika disebabkan sikap kedekut ibu bapa, anak mula mencuri demi memenuhi keinginan mereka.

# Tidak memberi perhatian serta kasih sayang menyebabkan mereka mencari kasih sayang di luar rumah. Keadaan ini banyak terjadi dan menyebabkan anak terjerumus dalam pergaulan bebas. Anak yang tidak mendapat perhatian keluarga senang berpaling kepada rakan sebaya.

Jika tersalah pilih kawan, mereka akan rosak. Justeru, ibu bapa perlu mengambil perhatian mengenai pemilihan rakan anak takut memberi pengaruh negatif dan paling penting memberi kasih sayang secukupnya bagi membina keluarga bahagia.

# Ada juga ibu bapa yang terlalu menumpukan keperluan material anak sehingga terlupa kepentingan rohani sedangkan yang penting bagi memastikan pembinaan sahsiah seimbang dari aspek keperluan duniawi dan ukhrawi.

# Ibu bapa perlu ada rasa syak wasangka terhadap anak tetapi perasaan itu biar bertempat serta berasas kerana ada ibu bapa terpedaya dengan kebaikan anak hingga tidak dapat menerima hakikat bahawa anak mereka terbabit dengan aktiviti tidak baik.

Ibu bapa yang sangat percaya kepada anak tetapi tiba-tiba mendapati anaknya terbabit dadah, pasti akan terkejut dan tertanya-tanya kenapa perkara itu boleh berlaku. Berwaspada lebih baik daripada menyesal pada kemudian hari.

Itu antara kesalahan dilakukan ibu bapa sama ada antara sedar atau tidak. Justeru, ibu bapa bertanggungjawab meningkatkan pengetahuan dengan ilmu keibubapaan supaya dapat mendidik anak serta melayari kehidupan keluarga yang dipenuhi kasih sayang.

Monday, April 20, 2009

Promosi tingkah laku positif cara berkesan

IBU bapa memikul amanah Allah antaranya mendidik anak menjadi manusia berjaya.

Suasana masyarakat yang sangat materialistik memberi cabaran hebat kepada ibu bapa mendidik anak menjadi mukmin yang berperanan dalam Islam. Firman Allah bermaksud: "Wahai orang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu." (Surah at-Tahrim, ayat 6)

Ibu bapa perlu sedar mereka sedang menyediakan generasi baru yang mesti menjadi insan yang memberi kesan positif terhadap insan lain.

Secara langsung, nilai dan gaya hidup ibu bapa mempengaruhi tarbiah anak. Anak melakukan apa yang mereka lihat dan mengingatinya untuk dicontohi. Apa yang nyata, anak melihat ibu bapanya menipu tidak akan belajar menjadi orang yang jujur.

Oleh itu, ibu bapa perlu berhati-hati dalam perbuatan, perkataan serta tingkah laku kerana mereka adalah teladan kepada anak. Bak kata pepatah ' bapa borek anak rintik. Ia merujuk perilaku negatif ibu bapa yang menjadi ikutan anak.

Kita ingin perkara baik dilakukan anak yang menjadi biasan kepada ibu bapa supaya kena dengan pepatah, di mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi. Ibu bapa hari ini perlu kembali kepada ajaran al-Quran dan sunnah dalam usaha mendidik serta membesarkan anak supaya menjadi insan yang menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.

Banyak riwayat merujuk kisah teladan Rasulullah SAW mentadbir dan menguruskan rumah tangga antaranya:

# Mempromosikan dan menghayati hidup beragama dalam rumah tangga.

# Mewujudkan suasana keluarga yang sihat

# Mewujudkan sifat belas kasihan, ihsan, lemah lembut dan kasih sayang

# Memahami tahap keperluan anak mengikut proses pembesarannya.

Hakikatnya pencegahan kes juvana dan gejala moral lain bermula di rumah. Bagaimanapun sumbangan penting pihak berkuasa seperti polis amat besar dalam mencegah jenayah.

Firman Allah bermaksud: "Wahai orang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)." (Surah al-Anfal, ayat 27)

Saturday, November 29, 2008

Berbakti kepada ibu bapa diberi ganjaran besar

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

Pengorbanan membesarkan, kasih sayang kepada anak tidak mungkin dapat dibalas

IBU bapa adalah sepasang insan yang paling istimewa dalam kehidupan kerana tanpa mereka, tidak adalah kita di dunia ini. Kedua mereka sanggup berkorban segala-galanya demi melihat kebahagiaan dan kesejahteraan kita.

Jasa serta pengorbanan mereka terlalu besar dan mustahil dapat seseorang anak itu untuk membalas atau membayarnya. Justeru, seseorang anak wajib menghormati serta mentaati mereka.

Menjaga dan memelihara semasa mereka tua adalah sesuatu amal yang sangat besar pahalanya di sisi Allah SWT. Kisah diriwayatkan pada zaman Nabi Sulaiman sewajarnya menjadi renungan untuk kesejahteraan dan keberkatan hidup di dunia ini,

Dikisahkan, Nabi Sulaiman sedang berkelana di antara langit dan bumi hingga tiba di satu samudera yang bergelombang besar. Untuk mencegah gelombang, ia cukup memerintahkan angin supaya tenang dan tenang pula samudera itu.

Nabi Sulaiman memerintahkan jin Ifrit menyelam ke samudera itu sampai ke dasarnya. Di sana jin Ifrit melihat sebuah kubah daripada permata putih yang tanpa lubang, kubah itu diangkatnya ke atas samudera dan ditunjukkannya kepada Nabi Sulaiman.

Melihat kubah tanpa lubang penuh permata dari dasar laut itu Nabi Sulaiman menjadi terlalu hairan. "Kubah apakah gerangan ini?" fikirnya. Dengan minta pertolongan Allah SWT, Nabi Sulaiman membuka tutup kubah. Betapa terkejutnya Baginda melihat seorang pemuda tinggal di dalamnya.

"Siapakah engkau ini? Kelompok jin atau manusia?" tanya Nabi Sulaiman kehairanan. "Aku adalah manusia," jawab pemuda itu perlahan. "Bagaimana engkau boleh memperoleh karomah semacam ini?" tanya Nabi Sulaiman lagi. Pemuda itu menceritakan riwayatnya hingga memperoleh karomah dari Allah SWT boleh tinggal di dalam kubah dan berada di dasar lautan.

Diceritakan, ibunya dulu sudah tua dan tidak berdaya sehingga dialah yang memapah dan mengendongnya ke mana juga dia pergi. Si anak selalu berbakti kepada orang tuanya, dan ibunya selalu mendoakan anaknya.

Salah satu doanya itu, ibunya selalu mendoakan anaknya diberi rezeki dan perasaan puas diri. Semoga anaknya ditempatkan di suatu tempat yang tidak di dunia dan tidak pula di langit.

"Setelah ibuku wafat aku berkeliling di pantai. Dalam perjalanan aku melihat sebuah kubah diperbuat daripada permata. Aku mendekatinya dan terbukalah pintu kubah itu sehingga aku masuk ke dalamnya," tutur pemuda itu kepada Nabi Sulaiman.

Nabi Sulaiman kagum terhadap pemuda itu. "Bagaimana engkau boleh hidup di dalam kubah di dasar lautan itu?" tanya Nabi Sulaiman.

"Di dalam kubah itu sendiri, aku tidak tahu di mana berada. Di langitkah atau di udara, tetapi Allah SWT tetap memberi rezeki kepadaku ketika aku tinggal di dalam kubah," kata pemuda itu.

Nabi Sulaiman bertanya lagi, "Bagaimana Allah memberi makan kepadamu? Jawab pemuda itu: "Jika aku merasa lapar, Allah menciptakan pohon di dalam kubah dan buahnya yang aku makan. Jika aku merasa haus maka keluarlah air yang teramat bersih, lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu."

"Bagaimana engkau mengetahui perbezaan siang dan malam?" tanya Nabi Sulaiman yang berasa semakin hairan. Kata pemuda itu, "Apabila terbit fajar, maka kubah itu menjadi putih, dari situ aku mengetahui kalau hari itu sudah siang. Apabila matahari terbenam kubah akan menjadi gelap dan aku mengetahui hari sudah malam."

Selesai menceritakan kisahnya, pemuda itu lalu berdoa kepada Allah, maka pintu kubah itu tertutup kembali dan pemuda itu tetap tinggal di dalamnya. Itulah keromah bagi seorang pemuda yang berbakti kepada kedua orang tuanya.

Demikianlah berkat dan mulia hidup seseorang anak yang berbakti kepada kedua-dua ibu bapanya.

Jangan abaikan mereka walaupun kita kini sudah besar dan berjaya dalam kehidupan.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan sembahlah Allah, jangan menyekutukan-Nya dengan sesuatu apapun. Dan dengan kedua-dua orang tua (kamu) hendaklah berbuat baik." (Surah an-Nisa, ayat 36).

Manakala dalam surah al-Israk, ayat 23, Allah berfirman yang bermaksud: "Bilamana seorang

daripada mereka atau kedua-duanya sudah mencapai usia tua di sisi kamu, maka janganlah kamu katakan kepada mereka perkataan 'uh' dan janganlah kamu mengherdik mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah sayap kamu bagi mereka (merendah diri) sebagai tanda kasih sayang."

Monday, October 20, 2008

Usaha Ibu bapa bimbing remaja semakin mencabar

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

Didikan agama benteng kukuh elak anak terjebak pengaruh rakan sebaya lakukan maksiat

MENJADI ibu bapa pada zaman yang sangat pesat berkembang dan berubah bukan mudah. Ibu bapa menghadapi banyak cabaran dan dugaan dalam usaha untuk membesar dan mendidik serta membentuk sahsiah dan akhlak anak mereka.

Peringkat yang paling sukar sekali bagi ibu bapa ialah peringkat peralihan daripada zaman kanak-kanak kepada remaja apabila anak mula menunjukkan perubahan dalam tingkah laku, dalam pergaulan, minat, pilihan kawan, peningkatan nafsu syahwat, gaya berpakaian dan sebagainya.

Ia peringkat yang penuh dengan pelbagai pengaruh serta tekanan luar dan kebanyakannya membawa pengaruh tidak baik iaitu yang melekakan, menyeleweng akidah dan akhirnya merosakkan akhlak serta menyebabkan pelbagai salah laku dan jenayah remaja.

Dengan pembangunan sosioekonomi yang berlaku begitu pesat, minda, ketahanan iman dan jati diri mudah tergugat kerana pengaruh pemikiran diimport, budaya dan nilai luaran yang mencemari serta menghakis keperibadian, nilai dan budaya timuran dan Islam.

Kemewahan dan kekayaan dinikmati hasil usaha pembangunan ekonomi sedikit demi sedikit mula menghakis dan mencemari pemikiran, nilai dan budaya kita.

Akhirnya ketahanan diri remaja lentur dan pupus menyebabkan sebahagian daripada mereka terjebak dalam penagihan dadah, jenayah, lepak, pengangguran dan maksiat.

Patutkah dipertanggungjawabkan segala masalah dan gejala itu ke atas bahu ibu bapa? Mungkinkah ada kuasa lain yang boleh membendung atau mengawal daripada merebaknya penyakit sosial di kalangan masyarakat kita?

Ketika kanak-kanak, mereka manja, suka disayangi, dipeluk cium dan sangat menghiburkan ibu bapa. Apabila menjangkau ke peringkat remaja, mereka berubah laku, tidak suka berkomunikasi dengan ibu bapa. Remaja lebih suka berinteraksi dengan rakan sebaya.

Jika mereka pilih rakan yang mengajak kepada kebaikan atau amal maaruf, bersyukur kita. Ramai daripada mereka lebih suka mengajak kepada kemungkaran dan maksiat. Sedikit demi sedikit tabiat buruk meresap ke dalam jiwa remaja dan akhirnya mereka berubah kepada keburukan.

Remaja lebih suka menghadap televisyen, radio dan komputer daripada bersemuka dengan ibu bapa dan adik beradik. Ini mempunyai kesan negatif kerana dengan keasyikan itu, mereka mengabaikan pelajaran. Mereka tidak menyahut panggilan ibu bapa untuk makan, bersembahyang dan aktiviti bersama.

Tugas harian mereka seperti mengemas bilik, membasuh pakaian, membuat kerja rumah dan mengulangkaji pelajaran semuanya terganggu dan terbiar. Akhirnya mereka mengalami masalah dalam proses pendidikan dan ada yang kecundang.

Pergaulan dengan rakan sebaya menyebabkan mereka mempelajari tabiat negatif. Anak bermula merokok, minum arak dan dengan sedikit demi sedikit mereka terdedah kepada maksiat seperti ke kelab malam dan ramai terperangkap dalam perzinaan atau seksual di luar nikah. Kita perlu meningkatkan kefahaman Quran dari semasa ke semasa, memperbaiki amalan yang dituntut Allah SWT dan ini dikerjakan bersama keluarga diketuai bapa. Malangnya pada zaman yang begitu mewah, kebanyakan kita leka dan memandang rendah kegiatan keagamaan.

Islam saja boleh menyelamatkan anak kita daripada segala gejala dan penyakit sosial.

Remaja suka mengikuti apa yang dilakukan ibu bapa dan juga pemimpin negara. Kita sebagai ibu bapa dan pemimpin patut memberi contoh terbaik seperti dilakukan Rasulullah saw.

Pemerintah pula perlu menyediakan peraturan dan undang-undang terkini ke arah membendung dan jika boleh membasmi maksiat yang kini sedang bermaharajalela.

Kawal dan sentiasa mengawasi tempat maksiat seperti pusat perjudian, pelacuran dan karaoke. Hentikan atau tarik lesen jika mereka melanggar arahan.

Insya-Allah dengan kerjasama dan komitmen padu oleh semua pihak, nescaya, kita mampu melahir generasi remaja yang memenuhi ciri warga negara seperti dihasratkan dalam Wawasan 2020. Berguna untuk duniawi dan ukhrawi.