Oleh Alias Othman
SEBILANGAN kita memandang ringan mengenai hal kejiranan apalagi yang berkaitan dengan jiran bukan Islam. Walhal Allah dan Rasul-Nya amat mengambil berat mengenai hubungan itu dan melihat ia sebagai satu kekuatan membina tamadun.
Allah mewahyukan Rasul mengenai pentingnya menjaga psikologi kejiranan untuk melahirkan masyarakat penyayang dan prihatin.
Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat beliau hendaklah memuliakan jirannya dan siapa yang beriman dengan Allah dan hari kiamat beliau hendaklah menghormati tetamunya.”
Sabda baginda lagi yang bermaksud: “Jiran itu tiga, jiran yang baginya satu hak dan dia adalah jiran paling minimum haknya, jiran baginya dua hak dan jiran yang baginya tiga hak dan dialah jiran paling istimewa haknya. Adapun jiran yang baginya satu hak ialah jiran dikongsi tanpa (hubungan) rahim, baginya hak kejiranan. Ada pun jiran yang baginya dua hak adalah jiran Muslim, hak sebagai Muslim dan hak sebagai jiran. Adapun yang baginya tiga hak adalah jiran Muslim yang ada hubungan rahim, baginya hak sebagai Muslim, keluarga dan jiran.”
Hubungan kejiranan dalam masyarakat tiada batasan agama. Semua mereka yang tinggal berhampiran rumah kita, Islam atau bukan Islam adalah jiran kita.
Oleh itu, dalam masyarakat Islam hak kejiranan antara orang Islam dan bukan Islam adalah sama. Ia merangkumi perkara membabitkan material, emosional dan spiritual.
Antara hak kejiranan ialah memuliakan jiran serta mengambil berat mengenai kebajikan mereka seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jibril sentiasa berwasiat kepada saya mengenai jiran, sehingga saya sangka jiran akan mewarisi jirannya.”
Ambil berat terhadap jiran dapat dilakukan dengan pelbagai cara antara lain tolong mengawasi keselamatan rumah jiran, memberi pertolongan kepada jiran dalam menghadapi kesukaran, menjadi pendengar yang baik dan sokongan emosi untuk memelihara hubungan secara psikologi.
Jiran yang baik juga berkongsi kesusahan jirannya. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Di akhirat kelak jiran yang miskin bergantung kepada jirannya yang kaya dan berkata: Wahai Tuhanku, tanyalah dia ini, kenapa dia menghalang aku daripada kebaikannya dan menutup pintunya dariku.”
Selain itu, jiran hendaklah berkongsi kegembiraan, memberi tahniah atas kejayaan, melakukan sesuatu yang menggembirakan jiran, maafkan kesalahan jiran, menziarah jiran yang sakit dan tidak menyakiti jiran dengan perbuatan atau perkataan.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga jirannya selamat daripada kejahatannya.”
Menyusahkan jiran boleh berlaku dalam pelbagai cara yang mungkin kebanyakan dilakukan kita sama ada dengan sedar atau tidak seperti cara meletak ampaian pakaian terutama di rumah bertingkat, meletak kenderaan di tepi jalan atau hadapan rumah.
Malah, cara meletak pasu bunga, pokok hiasan ada kalanya menimbulkan rasa kurang senang di hati jiran apatah lagi bunyi bising daripada alat hiburan yang mengganggu ketenteraman terutama bagi jiran yang mempunyai anak kecil.
Jika selama ini kita tidak terfikir untuk mengambil hati jiran bukan Islam, mungkin inilah masa terbaik untuk memulakan hubungan dengan menghulurkan salam kejiranan. Masih belum terlambat untuk kita meluaskan skop hubungan kejiranan dengan bukan Islam.
Apabila tiba saatnya nanti, Allah bertanya kepada kita di akhirat kelak, apakah sumbangan yang kita berikan untuk Islam? Sekurang-kurangnya kita boleh menjawab kita sudah mempamerkan akhlak kejiranan Islam yang cantik kepada jiran bukan Islam.
Penulis ialah mantan pensyarah di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya dan bekas Naib Presiden JIM. Beliau boleh dihubungi di e-mel wanitajim0@yahoo.com
Showing posts with label (A) Alias Othman. Show all posts
Showing posts with label (A) Alias Othman. Show all posts
Friday, February 15, 2008
Subscribe to:
Posts (Atom)