Showing posts with label (B) Ulul Albab. Show all posts
Showing posts with label (B) Ulul Albab. Show all posts

Sunday, February 28, 2010

Ulul Albab: Rasulullah inspirasi utama tempa kejayaan

Abdurrahman Haqqi

Kepemimpinan terdahulu wajar dijadikan contoh untuk memangkin keunggulan Islam

ALLAH SWT berfirman maksudnya: "Nabi Muhammad ialah Rasul Allah dan orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaan-Nya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang salih) ada pada muka mereka - daripada kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang disebut dalam Kitab Taurat, dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dantunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengagumkan orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat Nabi Muhammad dan pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Dia hendak menjadikan orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki - dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang yang beriman dan beramal salih daripada mereka, keampunan dan pahala yang besar." (Surah al-Fath: 29)

Ayat yang menyifatkan perihal keadaan Nabi Muhammad SAW dan sahabat baginda di atas datang sesudah ayat yang menyatakan maksudnya: "(Allah yang menyatakan kebenaran itu) Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya (Muhammad) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala bawaan agama yang lain, dan cukuplah Allah menjadi Saksi (mengenai kebenaran apa yang dibawa oleh Rasul-Nya itu). (Surah al-Fath: 28)

Ketika memberi komentar kalimat 'supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala bawaan agama yang lain', Sheikh Abdullah Basmeih dalam Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menulis: "Apa yang dijanjikan oleh Allah Taala mengenai kejayaan agama Islam mengatasi agama yang lain telah ternyata kebenarannya kerana hanya dalam masa yang singkat saja Islam telah tersebar di merata-rata dunia dan telah menyebabkan umat Islam mencapai zaman yang keemasan, manakala ilmu pengetahuan Islam pula memberikan sumbangan yang besar dalam pembentukan tamadun dunia.

Agama Islam masih berjaya mengatasi agama lain sekalipun sesudah susutnya kuasa politiknya daripada sebahagian besar daerah yang telah dikuasainya �terutama di benua Eropah - dan sesudah susutnya kekuatan umatnya di seluruh dunia berbanding dengan kekuatan umat lain zaman sekarang yang telah muncul di timur dan di barat.

Ya! Agama Islam - menurut keadaannya sebagai agama - masih dan tetap berjaya mengatasi agama yang lain kerana bawaannya sesuai dengan tabiat semula jadi manusia dan undang-undang alam, serta dapat memberikan apa yang diperlukan oleh roh dan akal, dan apa yang diperlukan oleh pembangunan dan kemajuan, juga apa yang diperlukan oleh pelbagai masyarakat daripada segala lapisan."

Nabi Muhammad SAW dan sahabat Baginda adalah pangkal permulaan sebaik-baik umat yang telah dikeluarkan oleh perut bumi sepanjang sejarahnya menerusi kesaksian ayat 110 Surah Ali Imran kemudian ia ditegaskan Nabi dengan sabdanya yang diriwayatkan Imam Muslim bermaksud: "Sesungguhnya orang yang terbaik di antara kamu ialah yang hidup pada zaman kurunku (sahabat), kemudian orang yang hidup sesudah kurunku (tabi'in), kemudian orang yang hidup sesudah mereka (tabi' al-tabi'in), kemudian orang yang hidup sesudah mereka." Nabi Muhammad SAW dan sahabat Baginda ra telah memenuhi kriteria suatu umat manusia yang ideal seperti yang dikehendaki Allah SWT sehingga mereka layak untuk mendapat pujian. Umat ideal itu adalah umat yang cinta Allah, bersifat lemah lembut sesama umat beriman, bersifat tegas gagah terhadap orang kafir, berjuang di jalan Allah dan pemberani. Al-Quran menjelaskan maksudnya: "Wahai orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah daripada agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah lembut terhadap orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya kerana Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi Meliputi Pengetahuan-Nya." (Surah al-Maidah: 54)

Dakwah Islamiah telah pun melahirkan satu generasi manusia, generasi sahabat Rasulullah SAW iaitu suatu generasi yang paling istimewa di dalam sejarah Islam dan di dalam sejarah kemanusiaan seluruhnya. Generasi itu tidak pernah muncul dan timbul lagi sesudah itu, walaupun terdapat juga beberapa peribadi dan tokoh tertentu di sepanjang sejarah, tetapi tidaklah lahir lagi segolongan besar manusia, di satu tempat yang tertentu pula, seperti yang telah muncul dan timbul di dalam peringkat pertama daripada penghidupan dakwah ini.

Ini adalah satu fakta dan kenyataan yang terang dan memanglah telah berlaku, mempunyai maksud tertentu yang perlu kita perhatikan dan sayugia kita merenungnya bersungguh-sungguh, agar dapat kita menyelami rahsianya.

Al-Quran yang menjadi sumber dakwah ini masih berada bersama-sama kita. Hadis Rasulullah SAW dan petunjuk-petunjuk daripada perjalanan hidup dan sirahnya yang mulia itu juga masih ada di samping kita seperti juga kedua-duanya telah ada bersama-sama dengan generasi yang terdahulu itu, tidak jejas oleh perjalanan sejarah dan tidak lapuk oleh perkembangan zaman; hanya diri peribadi Rasulullah SAW saja yang telah tiada lagi bersama-sama kita sekarang.

Nabi Muhammad SAW dan sahabat Baginda adalah contoh masyarakat cemerlang yang mengkedepankan keharmonian, perpaduan dan persaudaraan.

Masyarakat yang tersebar di antara mereka satu ajaran Nabi yang bermaksud: "Allah Azza wajalla mewajibkan tujuh hak kepada seorang mukmin terhadap mukmin lainnya, iaitu melihat saudara seimannya dengan rasa hormat dalam pandangan matanya; mencintainya di dalam hatinya; menolong dengan hartanya; tidak menggunjingnya atau mendengar penggunjingan terhadap kawannya; menjenguknya bila sakit; melawat jenazahnya dan tidak menyebut kecuali kebaikannya sesudah dia wafat." (Hadis riwayat Ibnu Babawih)

Sebagai generasi penerus yang ingin menempah kejayaannya masa kini dalam menjunjung tinggi agama Islam, sudah semestinya kita mencontohi generasi utama pendahulu kita. Imam Malik pernah berkata bahawa sesuatu umat tidak akan berhasil menempah kejayaannya kecuali dengan cara yang dilakukan oleh generasi awal dalam menempah kejayaan yang sama. La yasluh qaumun illa bima saluha bihi al-awwalun, ujarnya yang menjadi ristaan sejarah Islam, sedangkan Syed Qutb menyebutkan punca kejayaan generasi terdahulu adalah "sumber pokok yang diceduk oleh generasi pertama itu ialah al-Quran, hanya al-Quran saja. Hadis Rasulullah SAW dan petunjuk beliau adalah semata-mata adalah pentafsiran kepada sumber utama itu."

Akhirnya, sempena Maulidurrasul ke-1484 tahun ini kita semakin yakin bahawa sifat keteladanan Nabi Muhammad SAW dan sahabat Baginda yang digambarkan oleh al-Quran adalah satu inspirasi utama untuk kembali menempah kejayaan umat Islam. Allahumma salli ala Muhammad wa'ala alihi wasahbihi wasallam.

Sunday, February 21, 2010

Ulul Albab: Mencari khalifah berjiwa Mu'tashim

Oleh Abdurrahman Haqqi

Contohi pemimpin terdahulu pertahan umat Islam ditindas penjajah luar

KEJADIANNYA sangat sederhana dan remeh tetapi hasilnya di luar jangkaan bahkan luar biasa. Ada seorang wanita Muslim dari Bani Hashim yang sedang berbelanja di sebuah pasar di kawasan negeri di bawah kuasa kerajaan Romawi di utara benua Asia, kota Ammuriah, kawasan Turki hari ini. Ketika dia sedang berjalan, seorang lelaki berbangsa Romawi mengganggunya dengan hanya menyentuh hujung jilbab atau tudungnya sehingga dia secara spontan berteriak "Wa Mu'tashamah". (Tolonglah aku wahai Mu'tashim)

Selepas berita ini sampai ke telinga Khalifah Al-Mu'tashim Billah daripada Khalifah Abbasiyyah, puluhan ribu tentera dikejarkan ke Baghdad untuk menolong wanita berkenaan sekali gus membebaskan kota berkenaan daripada jajahan Barat.

Dikisahkan dalam buku rujukan sejarah Islam termasuk kitab al-Kamil fi al-Tarikh karangan Ibn Al-Athir jilid 3 muka surat 197 perihal kejadian pada tahun 223 Hijrah dalam tajuk Penaklukan Kota Ammuriah. Ketika mendengar berita itu, Khalifah Mu'tashim sedang memegang gelas mahu minum kemudian dibatalkan niatnya itu dan berseru kepada panglima tenteranya untuk bersiap-siap menuju Ammuriah tempat wanita berteriak meminta pertolongannya.

Ribuan tentera Muslim bergerak pada April 838 Masihi dari Baghdad menuju Ammuriyah dan selepas berlaku pertempuran sengit di antara tentera Khalifah dan tentera Romawi yang membawa kepada pengepungan kota oleh tentera Islam selama lima bulan sehingga akhirnya kota itu jatuh kembali ke tangan tentera Islam pada 13 Ogos 838M.

Seorang wanita Muslim yang lemah berteriak kerana diganggu oleh lelaki penjajah orang Romawi yang bukan Islam. Dalam teriaknya dia meminta pertolongan khalifah yang sedang berkuasa pada masa itu iaitu Khalifah al-Mu'tashim Billah yang memerintah Kerajaan Abbasiyah selepas abangnya, Khalifah al-Ma'mun meninggal dunia pada 10 Ogos 833 hingga 5 Januari 842M.

Khalifah tersentuh hati dan terbakar ghairah keIslamannya sehingga dia membuat keputusan untuk melancarkan serangan dan mencetuskan peperangan walaupun dia di dalam negerinya sedang menghadapi dugaan yang berat untuk menumpas kelompok penganut ajaran sesat yang bermaharajalela di kawasan Azeirbaijan di bawah pimpinan Babak al-Kharmi yang berpendapat adanya inkarnasi dan menghalalkan amalan seks bebas.

Mu'tashim Billah termasuk antara khalifah yang meninggalkan kenangan indah pada masa kepemimpinannya. Beliau menggantikan kekhalifahan daripada kedua-dua abangnya Al-Amin dan Al-Ma'mun yang digelar dengan khalifah yang cendekiawan.

Walaupun berbeza dengan kedua-dua abangnya dari segi kepintaran tetapi Al-Mu'tashim membuktikan keperkasaan jasmaninya. Diberitakan bahawa Al-Mu'tashim termasuk orang yang tidak pandai membaca dan menulis tetapi dia menundukkan banyak singa dan mengangkut seribu liter air. Bagaimanapun, kehidupan ilmiah dan sastera pada zamannya tidak jauh berbeza daripada zaman sebelumnya.

Kejadian sama banyak berlaku pada hari ini, bahkan ia lebih parah lagi. Kita dengar umat Islam diganggu, dihina, dicedera, dihalau, dijadikan suspek, dianggap penjenayah, dianggap pengganas bahkan dibunuh seorang-seorang mahupun beramai-ramai tetapi tiada sesiapa tersentuh hatinya dan tercabar ghairah keIslamannya.

Umat Islam ingin melaksanakan ajarannya secara kaffah atau menyeluruh di negeri asing tetapi disulitkan, bahkan dilarang walaupun mereka mendakwa bahawa negara mereka demokrasi di mana kebebasan beragama adalah dilindungi oleh negara. Mereka melarang tudung digunakan oleh wanita Muslim, bagaimanapun umat Islam diam. Mereka melarang azan dikumandangkan, umat Islam tidak bergerak. Mereka melarang restoran hanya menyediakan makanan halal, umat Islam pun tidak berganjak.

Hal yang terakhir disebut ini baru berlaku pertengahan minggu ini di Perancis. Ahli politik Perancis mengkritik keputusan jaringan makanan segera Quick untuk hanya menghidangkan makanan halal di seluruh 350 cawangannya di seluruh negara. Mereka berpendapat bahawa keputusan itu tidak boleh diterima kerana ia amalan memaksa cukai Islam ke atas pelanggannya.

Malah, seorang datuk bandar yang berpendirian sosialis mengancam akan membawa syarikat berkenaan ke mahkamah kerana ada diskriminasi dalam keputusan syarikat terhadap pelanggan yang tidak mahu makanan halal.

Pandangan aneh ahli politik Perancis sebenarnya mencerminkan keresahan dan kekhuatiran Perancis secara am kepada kemaraan Islam di sana. Mereka dibayangi Perancis akan menjadi Muslim. Dalam kes makanan halal ini, dilaporkan bahawa pasar makanan halal di sana semakin meningkat di mana dicatatkan pada tahun lalu pasaran halalnya mencecah AS$7.46 bilion. Salah satu sebabnya adalah belia Muslim di Perancis untuk menggunakan produk halal dalam kehidupan mereka.

Dengan satu kenyataan pada hari ini yang mana umat manusia sedang dijajah oleh satu kelompok berpengaruh dunia yang memiliki kekuatan dan kekuasaan yang luar biasa dan selubung seperti selubungnya iblis daripada pandangan manusia, maka diperlukan satu kelompok lagi yang boleh menangkis balik dakyah mereka dan membawa kembali umat manusia ke jalan yang benar seperti misi kalangan nabi dan rasul terdahulu.

Nabi dan rasul sudah meninggal dunia tetapi musuh mereka, iblis, masih hidup dan sedang dipuja dan disembah oleh kelompok berpengaruh dunia berkenaan.

Menurut Syed Qutb, sebuah masyarakat yang dalamnya manusia berkumpul dan berorganisasi berdasarkan kemerdekaan dan kebebasan kemahuan fitrah kemanusiaan itulah masyarakat yang bertamadun.

Sebuah masyarakat yang di dalamnya manusia berkumpul berdasarkan sesuatu di luar kemerdekaan dan kebebasan fitrah kemanusiaan, maka masyarakat itu adalah sebuah masyarakat yang songsang atau mengikut istilah Islam, masyarakat itu ialah masyarakat Jahiliah.

Sesungguhnya masyarakat Islam sajalah sebuah masyarakat yang anggotanya berkumpul berdasarkan kemerdekaan dan kebebasan. Ia juga sebuah masyarakat yang menganggap akidah sebagai rupa bangsa yang mengumpulkan orang berkulit putih, hitam, merah dan kuning, mengumpulkan orang Arab, Romawi, Parsi, kulit hitam dan seluruh bangsa manusia di muka bumi ini menjadi satu umat yang bertuhankan Allah, yang memuja dan menyembah-Nya saja. Orang yang paling mulia dan dihormati di dalam masyarakat itu ialah orang yang paling bertakwa dan yang selainnya setaraf saja dalam menjunjung hukum dan perintah Allah SWT.

Apabila nilai kemanusiaan atau moral kemanusiaan yang menjadi asas hidup umat manusia, berkuasa di dalam sebuah masyarakat, nescaya masyarakat itu akan menjadi sebuah masyarakat, yang bertamadun, dan nilai moral kemanusiaan itu bukanlah suatu perkara yang sukar, tidak pula menjadi satu perkara yang berubah dan tidak mantap serta tidak punya asas, seperti yang dituduh oleh tafsiran ala benda atas sejarah atau seperti yang dituduh oleh para penganut sosialisme saintifik.

Sesungguhnya nilai yang dimaksudkan itu ialah nilai yang menggalakkan pertumbuhan ciri-ciri yang menjadi milik manusia saja dan tidak dimiliki oleh haiwan, nilai yang menonjolkan sudut yang membezakan manusia dengan haiwan, bukanlah nilai yang menggalakkan pertumbuhan ciri dan sudut yang menyamakan manusia itu dengan haiwan.

Sejarah Islam membuktikan bahawa pemimpinlah yang berjaya membuat umat mencapai kemuncak kedudukannya. Pemimpin itu dalam istilah politik Islam disebut khalifah dan adakah seorang khalifah yang berjiwa al-Mu'tashim pada hari ini? Wallahu alam.

Sunday, February 14, 2010

Ulul Albab: Penyucian jiwa antara amalan paling utama

Oleh Abdurrahman Haqqi

Penyakit hati faktor insan jauh daripada rahmat Tuhan, terjerumus ke neraka

DARIPADA 110 kali perkataan 'qulub', kata jamak 'qalb' yang dalam bahasa kita diterjemah menjadi 'hati' yang disebutkan dalam al-Quran, sebahagian besar penyebutannya dikonotasikan negatif dengan pengertian bahawa hati dalam keadaan sakit yang memerlukan pengubatan.

Ini lain halnya dengan penyebutan 'qalb', kata tunggal 'qulub' yang dalam bahasa kita menjadi 'kalbu'. Walaupun ia disebut sebanyak 16 kali tetapi semua penyebutannya berkonotasikan positif dengan pengertian bahawa hati itu dalam keadaan sihat tidak sakit.

Penyebutan hati dalam bentuk kata tunggal ini perinciannya adalah tanpa imbuhan (qalb) disebut dua kali; dengan imbuhan orang pertama (qalbi) sekali; dengan imbuhan orang kedua (qalbuka) tiga kali; dengan imbuhan orang ketiga (qalbuhu) lapan kali dan (qalbuha) sekali; dan 'muthanna' (qalbain) sekali.

Untuk 'qulub', contohnya, dalam al-Quran ada disebut maksudnya: "(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah meteraikan atas hati mereka serta pendengaran mereka." (Surah al-Baqarah: 7) dan ayat bermaksud: "Dalam hati mereka (golongan orang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka." (Surah al-Baqarah: 10), manakala untuk 'qalb', contohnya adalah firman Allah bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesiapa memusuhi Jibril maka sebabnya ialah Jibril itu menurunkan al-Quran ke dalam hatimu dengan izin Allah." (Surah al-Baqarah: 97)

Imam al-Ghazali, Abu Hamid Muhammad ibn Muhammad, yang wafat pada 505 Hijrah dalam kitab ulungnya Ihya' Ulumiddin menulis secara panjang lebar perihal hati ini.

Kitab yang berjumlah empat jilid besar itu, dalam jilid 3 dan 4 dikhaskan untuk mengupas secara menyeluruh keajaiban hati yang mana jilid 3 dikhaskan untuk membincangkan muhlikat atau pemusnah hati yang dibahagikan kepada 10 bab dan jilid 4 dikhaskan untuk membincangkan munjiyat atau penyelamat hati.

Pada permulaan jilid 3 itu, Imam al-Ghazali terlebih dulu menjelaskan perbezaan empat istilah yang menurutnya 'kebanyakan kekeliruan mengenainya adalah disebabkan oleh ketidaktahuan mengenai pengertian sebenar keempat-empat istilah iaitu jiwa, ruh, hati dan akal.

Beliau kemudian menjelaskan makna hati terlebih dulu dengan membahagikannya kepada dua jenis iaitu hati yang berbentuk 'love' berketulan merah yang ia adalah termasuk kajian ahli perubatan, manakala hati yang ingin dibincangkan oleh al-Ghazali ialah hati yang ditakrifnya dengan 'latifah rabbaniyyah ruhaniyyah" (halus ketuhanan yang bersifat rohani).

Dalam penjelasannya, al-Ghazali berkata: "Ia mempunyai hubungan dengan hati jasmani (hati tabi'i). Kehalusan itulah hakikat sebenar seorang manusia. Hati itu adalah yang membuat manusia menjadi tahu, berilmu dan arif.

Hati itu juga yang menjadi objek seruan agama yang ia akan dihukum, dicerca atau dicela dan diminta pertanggungjawabannya. Ia mempunyai hubungan dengan hati jasmani. Walaupun demikian ia membuat kebanyakan makhluk menjadi keliru dalam mencari hubungan di antara kedua-duanya."

Sebagai makhluk Allah yang diberi amanah untuk melaksanakan ajaran al-Quran, manusia mempunyai dua tugas utama yakni melaksanakan hukum-hakam amali zahir dan hukum-hakam amali batin.

Hukum-hakam amali di atas boleh dalam bentuk perintah dan larangan. Contoh perintah bagi tugas pertama seperti solat, puasa, haji, jual beli dan perkahwinan manakala contoh larangan adalah membunuh, berjudi, berzina dan mencuri.

Pada pihak lain, contoh perintah bagi tugas kedua ialah iman kepada Allah, malaikat-Nya, ikhlas, reda dan syukur manakala larangannya adalah kifur, nifaq, riak dan hasad dengki.

Tugas kedua adalah berkaitan dengan hati atau kalbu dan ia lebih utama daripada tugas pertama walaupun kedua-duanya tidak boleh dipisahkan. Hati adalah asas fikiran dan menjadi sumber aspek zahir pada diri manusia. Jika ia rosak, maka rosaklah semua dan jika ia baik maka baiklah semua. Sebuah hadis riwayat Imam al-Bukhari menyebutkan maksudnya: "Ingatlah sesungguhnya dalam jasad ada seketul darah, jika ia baik maka baiklah seluruh jasad, jika ia rosak maka rosaklah pula seluruh jasad. Ingatlah, seketul darah itu adalah hati."

Dalam sebuah hadis yang masyhur ada dikatakan maksudnya: "Sesungguhnya Allah tidak memandang pada jasad dan rupamu. Tetapi Allah memandang pada hatimu."

Imam al-Ghazali menetapkan bahawa fardu ain hukumnya bagi setiap mukmin untuk mempelajari ilmu berkaitan dengan hati dan mengenal penyakitnya seperti hasad dengki, iri hati, takbur dan riak.

Oleh itu, membersihkan hati dan menyucikan jiwa termasuk amalan fardu paling utama dan menjadi kewajipan Ilahi di sebalik perintah-Nya seperti kita dapati dalam firman-Nya yang bermaksud: "Katakanlah: "Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang besar." (Surah al-A'raf: 33)

Penyakit hati adalah faktor utama yang menjauhkan manusia daripada Allah yang mengakibatkan jauhnya diri daripada syurga dan menjerumuskannya ke dalam neraka selepas dijajah oleh kuasa syaitan pimpinan iblis. Pelepasan diri daripada jajahan syaitan ini lebih mustahak daripada pelepasan diri daripada jajahan sesama manusia kerana jika diri sudah terlepas daripada jajahan syaitan, maka jalan di hadapannya semakin luas dan nyata, dan dengan sendirinya dia akan menyedari untuk menghancurkan semua belenggu buatan syaitan. Di sinilah letak salah satu rahsia ucapan Baginda SAW yang menyebutkan bahawa mereka sudah kembali daripada jihad ashghar yakni berperang kepada jihad akbar yakni jihad melawan hawa nafsu. Peperangan hanya berlaku pada satu-satu masa, sedangkan melawan hawa nafsu berlaku pada setiap masa termasuk dalam peperangan.

Ulama membahagikan senjata melawan musuh nyata manusia yang berada dalam diri dan di luarnya dengan tiga cara iaitu zikr al-jahr atau zikir nyata dengan melafazkan ucapan zikir dengan lisan; zikr al-khafi atau zikir secara senyap dengan hati; dan zikir al-sirr atau zikir secara rahsia yang mana hubungan terjalin antara hamba dan Allah SWT secara rahsia.

Dalam bab ke-10 jilid 3 itu Imam al-Ghazali membuat kesimpulan yang diambil daripada ayat al-Quran yang sangat menarik yang bermaksud: "Maka orang cerdik dan yang memiliki fikiran tajam hati mereka seperti sebuah misykat (lubang) yang berisi sebuah lampu; lampu itu ada dalam geluk kaca (kandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak daripada pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan saja disinari matahari ketika naiknya dan bukan saja ketika turun (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu dengan sendirinya memancarkan cahaya bersinar walaupun ia tidak disentuh api, cahaya berlapis cahaya. Sebaliknya, orang yang tertipu oleh hiruk-pikuk keduniaan, hati mereka adalah umpama keadaan gelap-gelita di lautan yang dalam, diliputi ombak bertindih ombak; di sebelah atasnya pula awan tebal; gelap gelita berlapis-lapis apabila orang itu mengeluarkan tangannya, dia tidak dapat melihatnya sama sekali.

"Sesiapa yang tidak dijadikan Allah mendapat petunjuk, maka dia tidak akan beroleh sebarang petunjuk hidayah." Di mana kedudukan kita?

Sunday, February 7, 2010

Ulul Albab: Fikah alam sekitar patut diajar di sekolah

Bersama Abdurrahman Haqqi

Bab tanggungjawab manusia pulihara bumi boleh diserap dalam subjek agama

KEPERLUAN mendesak umat manusia hari ini ialah bagaimana memulihara alam sekitar di bumi yang kita hidup di atasnya. Beberapa isu yang sedang menjadi perbincangan hangat masyarakat antarabangsa hari ini ialah pemanasan sejagat, perubahan iklim dan pemuliharaan kehijauan. Di seluruh pelosok bumi dan pada setiap kesempatan isu berkenaan dibincangkan, dibahas dan dikaji kerana masyarakat antarabangsa menyedari keburukan yang menunggu mereka dan generasi akan datang jika tidak dicarikan penyelesaiannya hari ini. Dalam istilah mereka change now or never change then. Islam sebagai agama rahmatan lil'alamin, rahmat bagi semua makhluk, sebenarnya menetapkan panduan abadi yang jika diterima dan dilaksanakan dengan saksama, manusia tidak perlu risau dan takut dengan istilah pemanasan sejagat, perubahan iklim dan pemuliharaan kehijauan yang menghantui mereka.

Setidak-tidaknya ada 750 ayat daripada lebih 6,000 ayat al-Quran (12.28 peratus) yang menyentuh permasalahan alam sekitar secara eksplisit atau implisit. Bahkan 14 daripada 114 jumlah surah al-Quran atau 12.28 peratus ialah nama fenomena alam sekitar seperti matahari, malam, lembu, gempa bumi dan gajah. Ada apa dengan alam sekitar dalam al-Quran? Ternyata ia melebihi ayat yang berkaitan dengan hukum hakam yang hanya 200 ayat atau bahkan 500 ayat.

Jika dalam sistem pendidikan, termasuk keagamaan kita mempelajari subjek berhubung perundangan Islam seperti fikah keluarga, perlembagaan, kontrak dan jinayah, bukankah sudah selayaknya fikah alam sekitar juga dijadikan satu subjek? Jika permasalahan hukum fikah membahas hubungan manusia dengan penciptanya dan hubungan sesama mereka, maka fikah alam sekitar membincangkan hubungan manusia dengan alam sekitar dan persekitarannya.

Walaupun kita tidak menemukan bab khas membincangkan alam sekitar atau al-bi'ah dalam kitab fikah, tidak sedikit perkara berkaitan alam sekitar sudah dibahas di dalamnya pada setiap bab.

Dalam bab solat sebagai contoh, dibincangkan masalah air dan tanah; dalam bab zakat dibincangkan harta yang wajib dizakat dan pertumbuhan; bab puasa membincangkan masalah pemakanan; bab jual beli membincangkan masalah benda dan bab hubungan antarabangsa membincangkan peraturan perang yang mesra alam sekitar. Bukankah perbahasan alam sekitar ada dalam setiap bab fikah?

Melihat kepentingan ini, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (Unissa) Brunei, tempat penulis bekerja sedang menganjurkan seminar serantau mengenai fiqh al-bi'ah atau fikah alam sekitar bermula semalam dan berakhir hari ini di Bandar Seri Begawan.

Dalam senario global hari ini dengan bandar bertukar menjadi metropolitan dan megapoles, maka sesuailah pengamatan Ibn Khaldun mengenai sifat penduduknya yang menjadi punca kewujudan 'hantu' pemanasan sejagat, perubahan iklim dan pemuliharaan kehijauan. Ibn Khaldun menulis dalam bukunya Muqaddimah: "Kegiatan tidak bermoral, salah laku, tidak jujur, dan penipuan, untuk tujuan mencari sumber kehidupan sama ada secara benar atau tidak, meningkat di kalangan masyarakat bandar. Penduduk bandar suka berbohong, judi, mencuri, menipu, sumpah bohong dan rasuah.

"Disebabkan bertambahnya keinginan dan keseronokan akibat kemewahan, mereka mahir melakukan perbuatan tidak bermoral; mereka bercakap secara terbuka mengenainya tanpa segan silu, walaupun di hadapan keluarga terdekat. Bandar dipenuhi mereka yang rendah budi pekertinya. Mereka berhadapan dengan persaingan dari generasi lebih muda yang pendidikannya diabaikan dan mereka terpinggir. Jadi golongan ini terpengaruh dengan kualiti persekitaran dan kawan, walaupun mereka berasal daripada keluarga dan keturunan terhormat." (2:293-294)

Ibn Khaldun menuliskan pengamatannya ini selepas beliau menetapkan ada dua faktor yang mempengaruhi pembentukan persekitaran kondusif yakni faktor kema-nusiaan dan faktor geografi.

Kita lihat hari ini apa yang dilakukan masyarakat metropolitan dan megapoles ke atas Afghanistan, Iraq dan terbaru, Yaman. Mereka, dalam istilah Ibn Khaldun seperti dalam petikan di atas: "Disebabkan bertambahnya keinginan dan keseronokan akibat kemewahan, mereka didapati mahir melakukan perbuatan tidak bermoral."

Apakah fiqh al-biah atau alam sekitar? Dari sudut bahasa fikah adalah pemahaman dan biah adalah hal dan keadaan. Dalam penggunaan bahasa semasa biah diterjemah menjadi environment atau alam sekitar dan persekitaran.

Al-Quran dan hadis menggunakan lafaz yang diambil daripada biah dan ditafsirkan dengan sesuatu yang berhubungan dengan tempat dan keadaan. sebagai contoh ayat al-Quran yang bermaksud: "Dan mereka ditimpa dengan kehinaan dan kemiskinan dan kembali membawa kemurkaan daripada Allah," (Surah al-Baqarah: 61) dan bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami sudah menempatkan Bani Israil di tempat kediaman yang benar (yang terpuji serta terpilih) dan Kami memberi mereka rezeki daripada yang baik. Maka mereka tidak berselisih kecuali selepas datang kepada mereka pengetahuan. Sesungguhnya Tuhan kamu akan memutuskan antara mereka di hari kiamat mengenai apa yang mereka perselisihkan." (Surah Yunus: 93)

Dalam hadis masyhur pula disebutkan maksudnya: "Apabila seseorang berkata kepada saudaranya: Wahai kafir. Maka kembali kata itu kepada salah seorang daripada kedua, jika kata-kata itu betul maka ia seperti dia katakan, jikalau tidak betul, kata-kata itu kembali ke atasnya.

Ada juga hadis bermaksud: "Siapa mereka dusta dengan sengaja terhadapku, maka hendaklah dia mengambil tempatnya di neraka."

Dalam penggunaan bahasa Arab semasa, biah ditakrifkan dengan beberapa pendekatan seperti 'skop atau ruang tempat yang manusia hidup padanya bersama bentuk alam semula jadi atau bentuk yang dilakukan manusia yang dia menerima kesan daripadanya atau memberi kesan padanya."

Antara sandaran asas kajian alam sekitar bagi umat manusia ialah ayat al-Quran yang bermaksud: "(Dialah Tuhan) yang menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan, dan Dia mengadakan bagi kamu padanya jalan; dan Dia juga menurunkan hujan dari langit. Maka Kami keluarkan dengannya berjenis tanaman dan buah-buahan yang berlainan keadaannya. Makanlah kamu daripadanya dan berilah makan binatang ternak kamu; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda yang membuktikan kemurahan Allah, bagi orang berakal fikiran. Dari bumilah Kami ciptakan kamu dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu, dan darinya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi". (Surah Taha: 53-55)

Sebenarnya penyelesaian Qurani untuk pemanasan sejagat, perubahan iklim dan pemuliharaan kehijauan atau sejenisnya ada pada ayat bermaksud: "Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah diperbaikannya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau tak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang melakukan kebaikan." (Surah al-A'raf: 56)

Tidakkah indah ajaran al-Quran mengenai alam sekitar dan kewajipan serta tanggungjawab manusia ke atasnya? Ia semua bertujuan untuk keselesaan dan keseronokan hidup umat manusia. Alhamdulillah!

Sunday, January 31, 2010

Ulul Albab: Pengetahuan dimiliki manusia sangat terbatas


Menerima apa jua ketentuan Allah di situ letaknya keilmuwan, menolak ketetapan bererti kejahilan

SEPERTI biasa, sebelum menulis artikel dalam ruangan ini, penulis pada setiap Jumaat pagi kerana di Brunei Jumaat dan Ahad adalah hari libur bagi perkhidmatan awam, membaca akhbar langganan penulis, Borneo Bulletin. Di muka surat 29 akhbar berkenaan pada Jumaat lalu ada satu laporan Reuters yang menyebut Presiden Argentina, Christina Fernandez menemukan satu alternatif untuk menggantikan ubat viagra bagi kepentingan 'urusan' rumah tangga. Yang menjadi perhatian penulis ialah alternatif yang dimaksudkan Presiden itu ialah 'khinzir' sehingga membuat penulis untuk berucap qul a antum a'lamu amillah (Katakanlah (wahai Muhammad): "Adakah kamu yang lebih mengetahui atau Allah?") sepotong ayat al-Quran dalam Surah al-Baqarah ayat 140.

Presiden dalam laporan itu berkata: "I've just been told something I didn't know; that eating pork improves your sex life...I'd say it's a lot nicer to eat a bit of grilled pork than take viagra." Beliau menyatakan kenyataan ini selepas beliau mengiktiraf selalu berasa seronok menjalani hujung minggu bersama suaminya selepas menikmati barbeku khinzir. Subhanallah!

Kita tidak akan membincangkan apa yang berlaku selepas itu di sebuah negara Amerika Latin, negara asal Maradona. Tetapi yang akan disentuh di sini ialah inti ucapan Presiden yakni daging khinzir sebagai alternatif padahal menurut Pencipta seluruh makhluk termasuk Presiden itu yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak dapati dalam apa yang telah didakwahkan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi � kerana sesungguhnya ia adalah kotor, atau sesuatu yang dilakukan secara fasik iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain daripada Allah." (Surah al-An'am: 145)

Allah SWT bersifat Maha Mengetahui dan pengetahuan Allah meliputi segala sesuatu, tiada yang tersembunyi daripada-Nya. Dia mengetahui apa yang berlaku, sedang berlaku, dan yang akan berlaku. Dalam al-Quran, sifat maha tahu Allah disebut sebanyak 162 kali dan pengertian 'ilm' atau 'mengetahui' menurut ahli bahasa menjangkau sesuatu sesuai dengan keadaan sebenarnya.

Saidina Ali ra dalam Nahj al-Balaghah menyatakan: "Tidaklah ada yang tersembunyi daripada pengetahuan Allah meskipun setitis air, tidak pula bintang di langit, hembusan angin di angkasa, rambatan semut pada waktu malam yang kelam. Sesungguhnya Allah mengetahui daun-daun yang berguguran dan tersembunyinya gerakan mata."

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Adakah kamu yang lebih mengetahui atau Allah?" difirmankan Allah untuk menolak dakwaan orang Yahudi dan Nasrani yang mengatakan bahawa nabi dan rasul sebelum Rasulullah beragama Yahudi atau Nasrani. Secara utuh ayatnya berbunyi maksudnya: "Atau patutkah kamu mengatakan bahawa Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, Nabi Ishak dan Nabi Yaakob berserta anak-anaknya, mereka semua adalah orang Yahudi atau Nasrani, (padahal agama mereka telahpun ada sebelum adanya agama Yahudi atau agama Kristian itu)?" Katakanlah (wahai Muhammad): "Adakah kamu yang lebih mengetahui atau Allah? Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya?" Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah kamu lakukan."

Pengetahuan Allah meliputi segala sesuatu seperti ditegaskan dalam satu ayat yang bermaksud: "(Sesungguhnya) pengetahuan Tuhanku meliputi setiap sesuatu, tidakkah kamu (insaf) mengambil pelajaran?" (Surah al-An'am: 80)

Pengetahuan Allah meliputi segala aktiviti zahir dan batin. Dia mengetahui pandangan mata yang khianat dan apa yang disembunyikan oleh hati. Bahkan Dia mengetahui segala sesuatu yang akan berlaku sebelum ia berlaku. Demikian luasnya pengetahuan Allah sehingga tidak satu makhluk pun yang boleh mengukur atau mengira ilmu-Nya. Allah berfirman bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambah lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan." (Surah al-Kahfi: 109)

Sebaliknya, pengetahuan yang dimiliki manusia sangat terbatas. Bahkan pengetahuan itu adalah kurnia pemberian Allah SWT. Kita selalu membaca sebuah ayat yang diucapkan malaikat yang bermaksud: "Maha Suci Engkau (Ya Allah) Kami tidak mempunyai pengetahuan, selain daripada apa yang Engkau ajarkan kepada kami, sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." (Surah al-Baqarah: 32).

Dengan sifat manusia yang memiliki semua keterbatasan, maka sudah sewajarnya mereka tidak menyombong diri, berasa kuat dan megah bahkan meremehkan ketentuan dan peraturan Allah. Sebagai manusia, kita mesti reda dengan qada dan qadar Ilahi yang mengetahui baik buruknya apabila ia mengenai kita. Saidina Umar pernah berkata: "Inilah aku. Tidak pernah aku menuntut, malah aku menikmati apa yang sudah ditetapkan dalam qada."

Peraturan dan ketetapan Allah dalam apa jua aspek kehidupan manusia mesti kita junjung tinggi dan menerimanya dengan keterbukaan dan lapang dada. Sebagai contoh, dalam aspek penyerahan diri manusia sepenuhnya kepada Allah ketika ditimpa musibah ada baiknya kita melihat apa yang berlaku terhadap Urwah bin Zubair, seorang sahabat Nabi. Ketika kaki beliau dipotong dan pada masa sama anaknya meninggal dunia, beliau berkata: "Yang Allah, segala puji bagi-Mu. Jika hari ini Engkau mengambil, maka sebenarnya dulu Engkau telah memberi. Jika kini Engkau mendatangkan cubaan, maka sesungguhnya dulu Engkau telah memberikan keselamatan. Engkau telah kurniakan empat anggota tubuh kepadaku (kaki dan tangan), namun Engkau hanya mencabut satu daripadaku. Engkau kurniakan padaku empat orang anak dan Engkau hanya mengambil seorang di antaranya."

Seorang mukmin yang mampu memahami dan meneladani sifat Maha Mengetahui Allah dalam kehidupan seharian akan memiliki sejumlah karakter positif antaranya: Memiliki semangat belajar yang tinggi. Dia akan selalu haus terhadap ilmu pengetahuan kerana dia sedar bahawa belajar adalah keperluan hidupnya. Bahkan belajar adalah ibadat yang bernilai pahala; Tidak menjadi ilmuwan yang sombong kerana dia menyedari bahawa ilmunya adalah anugerah Allah yang mesti dimanfaatkan. Dia menyedari hadis Nabi bermaksud: "Siapa yang menuntut ilmu untuk bermegah-megah/menunjuk-nunjuk kebolehannya di hadapan ilmuwan atau untuk berbantah-bantahan dengan yang jahil, maka dia di neraka." (Hadis riwayat al-Tirmizi); Menjadi manusia yang bermanfaat dan berguna bagi masyarakat. Dia tidak akan mensesiakan ilmunya melainkan dengan mengamalkannya seperti Baginda Rasulullah dalam doanya yang bermaksud: "Ya Allah! Aku berlindung kepada-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, dari diri yang tidak kenyang; dan dari doa yang tidak dimakbulkan." (Hadis riwayat Muslim)

Akhirnya, ketika kita menerima apa jua ketentuan Allah di situlah letaknya keilmuwan kita. Tetapi sebaliknya, ketika kita menolak apa jua ketetapan Allah di situlah letak kejahilan kita. Pythagoras pernah berkata: "Jika engkau tidak sanggup menahan penat belajar, engkau harus menanggung pahitnya kebodohan." Wallahualam

Sunday, January 24, 2010

Ulul Albab: Kedegilan, ego tutup kebenaran Islam

Abdurrahman Haqqi

Agama disebar Nabi Muhamad dirasai asing jika tiada iltizam

FAKTOR Islam dalam kehidupan masyarakat antarabangsa sejak dibawa oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW 1,441 tahun lalu hingga hari ini sangat menarik untuk diperhati dan dikaji.

Bahkan ia tidak saja bermula dari zaman Baginda Rasulullah tetapi bermula sejak seruan pertama Nabi Nuh seperti diungkapkan al-Quran yang bermaksud: "Dia pun (menyeru mereka dengan) berkata: "Wahai kaumku! Sesungguhnya aku ini diutus kepada kamu, sebagai pemberi ingatan dan amaran yang nyata. Iaitu sembahlah kamu akan Allah dan bertakwalah kepada-Nya, serta taatlah kamu kepadaku." (Surah Nuh: 2-3)

Perhatian dan kajian saksama diperlukan kerana dengan memahami ajaran Islam yang satu-satunya ajaran Ilahi yang ditujukan kepada umat jin dan manusia, maka kehidupan manusia akan berjalan seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Firman-Nya dalam al-Quran bermaksud: "Apa yang kamu sembah, yang lain daripada Allah, hanyalah nama-nama yang kamu menamakannya, kamu dan datuk nenek kamu, Allah tidak pernah menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya. Sebenarnya hukum (yang menentukan amal ibadat) hanyalah bagi Allah. Dia memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia. Yang demikian itulah agama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya." (Surah Yusuf: 40) Ayat sama juga boleh dibaca pada Surah al-Rum ayat 30.

Faktor Islam dalam kehidupan masyarakat antarabangsa adalah faktor dagang, asing, janggal, aneh atau pelik, oleh itu dalam kedagangan, keasingan, kejanggalan, keanehan dan kepelikan itulah keberuntungan berada. Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis bermaksud: Bersabda Rasulullah saw: "Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing) dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang yang asing".

Bagaimana tidak asing? Ketika semua manusia tidak menghiraukan waktu berjumpa dengan al-Khaliq, Pencipta, malah umat Islam mempunyai kewajipan untuk menghadap-Nya sebanyak lima kali sehari. Bagaimana tidak asing? Ketika semua manusia tidak mengendahkan halal dan haramnya makanan dan minuman malah umat Islam mempunyai kewajipan untuk tidak memakan dan minum benda haram.

Bagaimana tidak asing? Ketika semua manusia tidak ambil kisah mengenai tutup aurat, malah umat Islam berkewajipan untuk melakukannya. Bagaimana tidak asing? Ketika semua manusia tidak mengambil peduli kedudukan hartanya sama ada diperoleh melalui riba mahu pun tidak, umat Islam dilarang untuk menceburkan hartanya dalam lautan darah riba. Bukankah itu satu keasingan?

Al-Banjari menulis: "Islam mulai tersebar di Makkah dengan keadaan yang sangat asing dan dagang. Sangat sedikit penganut dan pendukungnya kalau dibandingkan dengan penentangnya. Kemudian setelah itu Islam tersebar ke seluruh pelosok dunia sehingga dianuti oleh ramai penduduk dunia.

Kemudian Islam kembali asing dan dirasa ganjil dari pandangan dunia, bahkan pada pandangan orang Islam sendiri. Sebahagian daripada Islam berasa ganjil dan pelik apabila melihat orang Islam yang iltizam (komitmen) dengan Islam dan cuba mengamalkan tuntutan Islam yang sebenar.

Seorang yang iltizam dengan Islam dipandang sepi oleh masyarakat dan terlalu susah untuk diterima sebagai individu yang sihat. Contohnya, kalau ada sesuatu program kemasyarakatan kemudian masuk waktu sembahyang, tiba-tiba ada seorang yang meminta diri untuk menunaikan sembahyang, maka tindakan ini dianggap tidak sopan dan kurang wajar, sedangkan orang yang tidak bersembahyang sambil bersenda-senda ketika orang lain bersembahyang tidak dianggap sebagai perbuatan yang salah dan terkutuk.

Faktor Islam adalah penentu antara yang hak dan yang batil. Sepanjang sejarah dakwah Islam selalu ada gerakan yang disebutkan al-Quran yang bermaksud: "Dan mereka pula melarang orang ramai daripada mendengar al-Quran dan mereka juga menjauhkan diri daripadanya, padahal mereka (dengan perbuatan yang demikian) hanyalah membinasakan diri sendiri (dengan bala bencana dan azab yang disediakan untuk mereka di dunia dan di akhirat kelak), sedang mereka tidak menyedarinya." (Surah al-An'am: 26)

Dalam era dakwah zaman Rasulullah SAW, pemuka zalim Quraisy melakukan gerakan di atas seperti kita baca daripada sebab diturunkan Surah al-An'am sebanyak 165 ayat sekali gus dalam satu malam. 'Silent majority' (majoriti senyap) penduduk Makkah sebenarnya tidak mendustakan Baginda bahkan mahu menerimanya. Hatta, Abu Jahal pun sebenarnya membenarkan kenabian baginda SAW seperti yang kita baca dalam kisah berikut dalam Tafsir Ibnu Kathir.

Pada satu malam Abu Jahal sengaja ingin mendengarkan bacaan al-Quran Rasulullah. Dia pergi secara senyap ke rumah Rasulullah pada malam itu. Pada masa sama, Abu Sufyan dan al-Akhnas bin Shuraiq juga melakukan perbuatan yang sama dan terjadilah pengintaian rumah baginda bersama-sama pada malam itu tetapi satu sama lain tidak menyedarinya.

Apabila Subuh hampir, masing-masing meninggalkan tempat mengintai dan mereka akhirnya bertembung dalam perjalanan pulang dan masing-masing saling bertanya dari mana. Mereka menjawab dengan jujur datang dari mendengarkan bacaan Muhammad.

Ini adalah perkara yang sangat berbahaya, bagaimana boleh pemuka Quraisy dengan secara senyap mendengarkan bacaan Muhammad. Jika diketahui masyarakat Quraisy pasti akan memicu keresahan mereka. Akhirnya mereka bertiga berjanji untuk menyimpan rahsia mereka dan tidak akan mengulanginya lagi.

Malangnya, kejadian sama berulang selama dua malam berikutnya. Setelah beberapa hari berlalu daripada malam terakhir kejadian mengendap itu, Al-Akhnas datang kepada Abu Sufyan dan berkata: "Apa pendapatmu, wahai Abu Hanzalah mengenai yang kamu dengar malam itu?" Abu Sufyan menjawab: "Demi Allah wahai Abu Tha'labah, aku telah mendengar sesuatu yang pernah aku dengar dan memahaminya dan aku juga telah mendengar sesuatu yang belum pernah aku dengar dan tidak memahaminya." Al-Akhnas berkata: "Aku pun demikian."

Dia juga pergi untuk berjumpa dengan Abu Jahal dan berkata kepadanya: "Wahai Abu al-Hakam? Apa pendapatmu mengenai yang kamu dengar daripada Muhammad pada malam itu?" Abu Jahal menjawab: "Kami berlumba-lumba kedudukan selama ini menentang puak Abu Manaf, mereka memberi makan (kepada jemaah haji), kami pun demikian; mereka memilik panji kebesaran, kami pun demikian; mereka menjadi pemurah kami pun demikian. Tetapi ketika kami berhadapan dengan mereka dan kami seperti penunggang kuda yang perkasa kemudian mereka mendakwa bahawa mereka memiliki seorang nabi, sedangkan kami tidak. Maka demi Allah, kami tidak akan mempercayainya selama-lamanya." Al-Akhnas pun meninggalkan Abu Jahal setelah mendengarkan apa yang dikatakannya. Dalam perang Badar, Abu Jahal pernah mengaku kepada al-Akhnas bahawa Muhammad adalah benar dan dia tidak pernah berbohong. Tetapi apalah guna pengakuannya seandainya tidak dibuktikan dengan keimanan. Abu Jahal terbunuh dalam perang Badar ini.

Kedegilan Abu Jahal untuk tidak menerima hakikat kenabian Muhammad yang membawa faktor Islam dalam kehidupan masyarakat Quraisy berpunca daripada sifat ego yang membabi buta sehingga tidak mahu menerima kebenaran padahal seperti dikatakan al-Quran yang bermaksud: "(maka janganlah engkau berdukacita) kerana sebenarnya mereka bukan mendustakamu, tetapi orang zalim itu mengingkari ayat keterangan Allah (disebabkan kedegilan mereka semata-mata." (Surah al-An'am: 33)

Jika kita hubungkaitkan kewujudan faktor Islam dalam masyarakat Quraisy pada zaman Nabi dengan faktor Islam dalam masyarakat antarabangsa pada hari ini, penulis melihat tidak jauh bezanya. Wallahualam.

Sunday, January 17, 2010

Ulul Albab: Perhambaan diri, taat setia kunci ibadat

Abdurrahman Haqqi


TIDAK ada lain yang berhak disembah atau diperhambakan diri kepadanya selain daripada Allah, demikian juga tidak ada tempat lain kita memohon pertolongan selain daripada Allah.


Kehebatan, kemuliaan 'Lafz al-jalalah' diungkapkan dalam al-Quran sebanyak 2,696 kali

LAILAHAILALLAH adalah kalimah tauhid yang berkaitan dengan umat Islam yang mana umat manusia lain tidak pernah mengucapkannya kecuali jika mereka memeluk agama Islam dan mengakui keesaan Allah SWT.

Pengabdian diri kepada Allah SWT adalah akar tunjang dan rukun pertama dalam akidah Islamiah yang dijelmakan di dalam pengakuan: Tiada Tuhan Melainkan Allah, manakala menerima pengajaran daripada Rasulullah SAW mengenai cara menjalankan dan melaksanakan pengabdian itu adalah bahagian yang kedua daripadanya, dijelmakan di dalam pengakuan: Muhammad itu ialah Utusan Allah, Muhammadur-Rasulullah.

Lailahaillallah ialah simbol umat tauhid untuk mengesakan Allah Azzawajalla yang dibawa oleh semua nabi dan rasul. Dalam Surah al-Anbia ayat 25 Allah menegaskan yang bermaksud: "Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahikan kepadanya: "Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku; oleh itu, beribadatlah kamu kepada-Ku."

Pengertian ibadat secara am dapat diertikan sebagai menunjukkan rasa taat setia dan perhambaan diri kepada Allah yang dikenang limpah kurnia kebaikan-Nya serta dirasai dalam hati nurani akan kehebatan kekuasaan-Nya.

'Taat setia dan perhambaan diri kepada Allah', siapa Allah? 'Allah' ialah nama khas bagi Zat Yang Wajib al-Wujud, yang berhak disembah dengan sebenarnya. Kalimah 'Allah' ini disebut 'Lafz al-jalalah' yakni kalimah yang menunjukkan kebesaran Allah, dan juga disebut 'Sultan al-asma' iaitu 'Raja segala nama Tuhan'.

Al-Quran menyebut kalimah Allah sebanyak 2,696 kali dengan perincian penyebutan kalimah 'Allahu' (dammah, di depan) sebanyak 974 kali; kalimah 'Allahi' (kasrah, di bawah) sebanyak 1131 kali; dan 'Allaha' (fathah, di atas) sebanyak 591 kali.

Tidak ada satu kata benda atau kata kerja pun yang disebut al-Quran lebih daripada kata Allah. Ini membuktikan betapa hebat dan mulianya 'Lafz al-jalalah'.

Menerusi al-Quran sebagai mukjizat terakhir yang kekal, Allah ingin memperkenalkan diri-Nya kepada umat manusia, ciptaan-Nya. Manusia diseru melalui al-Quran untuk beriman kepada-Nya; mempercayai malaikat, kitab dan rasul-Nya, serta hari akhirat dengan segala ilmu dan keyakinan yang berkaitan dengan ketauhidan, keesaan Allah SWT.

Sebaliknya, satu-satunya jalan untuk manusia bagi menyatakan iman dan takwa kepada Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Kuasa, yang menguasai hari pembalasan ialah dengan beribadat atau memperhambakan diri kepada-Nya dengan penuh rasa ikhlas dan tawaduk.

Tidak ada lain yang berhak disembah atau diperhambakan diri kepadanya selain daripada Allah; demikian juga tidak ada tempat lain kita memohon pertolongan selain daripada Allah.

Allah dengan sifatnya sempurna, tiada kekurangan sedikit pun. Secara nakli, setiap yang wujud memiliki sifat sama ada sifat itu sempurna mahupun tidak.

Memberi sifat Allah dengan kekurangan seperti mempunyai sekutu dan anak adalah kebatilan kerana Dia yang paling berhak memiliki sifat kesempurnaan untuk disembah. Oleh itu, Allah menegaskan bahawa menganggap berhala sebagai tuhan yang melekat segala kelemahan dan kekurangan adalah batil.

Secara fitrah, jiwa yang bersih pasti tertarik untuk menyintai Allah, mengagungkan dan menyembah-Nya. Kita tidak mungkin menyintai dan mengagungkan kecuali terhadap sesuatu yang disifatkan dengan sifat kesempurnaan yang patut dengan rububiyah dan uluhiyyah, manakala sifat yang menunjukkan kekurangan dan kelemahan (tidak sempurna), pasti dilarang untuk ditujukan kepada Allah.

Ulama ilmu tauhid membahagikan sifat Allah kepada dua bahagian iaitu sifat thubutiyah dan sifat salbiyah. Yang pertama disebut adalah apa yang ditetapkan Allah pada diri-Nya seperti dijelaskan dalam al-Quran dan hadis.

Semua sifat ini adalah sifat Allah yang sempurna ditinjau dari sudut mana pun, manakala yang kedua disebut sifat yang dinafikan oleh Allah sesuai dengan al-Quran dan hadis. Semua sifat ini menunjukkan kekurangan dan kelemahan.

Sifat thubutiyah Allah contohnya adalah seperti al-hayah (hidup), al-'ilm (mengetahui), dan al-qudrah (berkuasa), al-ahad (esa), lam yalid wa lam yulad (tiada beranak dan tidak diperanakkan). Dalam perkara ini kita wajib menetapkan Allah secara substantial dengan cara yang patut dan sesuai.

Sifat salbiyah Allah contohnya adalah seperti al-maut (mati), al-jahl (tidak mengetahui, jahil), al-'ajz (tidak berkuasa), thalith al-thalahah (salah satu daripada tiga tuhan) dan lahu walad (mempunyai anak). Dalam perkara ini, kita dilarang menyematkan kekurangan atau kelemahan terhadap sifat-Nya.

Semakin banyak dan beragam indikasi, dilalah yang nampak dalam sifat Allah, semakin jelaslah kesempurnaan-Nya. Oleh kerana sifat thubutiyah yang disampaikan Allah mengenai diri-Nya lebih banyak daripada sifat salbiyah.

Sifat salbiyah sangat jarang disebutkan kecuali dalam tiga hal yakni menjelaskan kesempurnaan-Nya secara umum; menafikan tuduhan pendusta yang diarahkan kepada-Nya; dan menolak keraguan kesempurnaan-Nya dalam perkara tertentu.

Kemudian, ulama tauhid membahagikan lagi sifat thubutiyah kepada dua bahagian iaitu zatiyah dan fi'liyah. Sifat zatiyah ialah sifat Allah yang sentiasa melekat pada-Nya seperti al-'ilm, al-qudrah, al-sam'u (mendengar), dan al-bashar (melihat), Manakala sifat fi'liyah adalah sesuatu yang berkaitan dengan kehendak-Nya. Jika Allah berkehendak maka Dia lakukan, dan jika Dia tidak berkehendak maka tidak Dia lakukan.

Untuk mengetahui dasar tauhid atau keesaan Allah dan menggambarkan dengan indahnya kebesaran, kekuasaan dan keluasan ilmu Allah yang mencipta dan mentadbir sekalian alam, umat Islam disedari atau tidak sudah terbiasa dengan melafazkan ayat Kursi dalam pelbagai kesempatan. Ayat Kursi adalah penghulu ayat-ayat al-Quran.

Dalam ayat ini jelas digambarkan siapa Allah yang sebenar-benarnya kerana ia berbunyi yang bermaksudnya: "Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhluk-Nya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syufaat (pertolongan) di sisi-Nya melainkan dengan izin-Nya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedangkan mereka tidak mengetahui sesuatu pun daripada (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya) meliputi langit dan bumi serta tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dialah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaan-Nya), lagi Maha Besar (kekuasaan-Nya)." (Surah al-Baqarah: 255)

Dengan mengamalkan ayat Kursi di atas apatah lagi dengan mendalami maksudnya maka seorang Muslim akan terpelihara daripada bala bencana dan gangguan syaitan serta mendapat pahala yang besar.

Siapa Allah sudah dijelaskan secara ringkas dalam ayat Kursi amalan umat Islam ini. Allah menamakan diri-Nya dengan lafz al-jalalah, Allah, dan mempunyai sifat kesempurnaan yang disebut thubutiyah dan terpelihara daripada sifat kekurangan yang disebut salbiyah.

Betapa indahnya Allah, betapa sempurnanya Allah, tiada Tuhan selain daripada-Nya, yang terbebas daripada sifat yang menunjukkan kelemahan dan kekurangan buatan manusia. Radiytu billahi rabban.

Sunday, January 10, 2010

Ulul Albab: Bersikap ihsan bantu dekatkan diri kepada Allah

Oleh Abdurahman Haqqi

Senyuman bukan saja dapat membahagiakan diri tetapi juga gambarkan keikhlasan hati

SETIAP manusia melihat dunia ini sesuai dengan perbuatan, fikiran dan dorongan hidupnya. Ini bermakna bahawa apabila amal perbuatannya baik, fikirannya bersih dan motivasi hidupnya suci, maka dia akan melihat dunia ini bersih dan indah seperti dunia itu diciptakan. Begitu pula sebaliknya, apabila amal perbuatannya buruk, fikirannya kotor dan motivasinya ternoda, maka dunia ini akan terlihat gelap gelita dan dia melihat segala sesuatu berasa hitam pekat.

Di sinilah letak rahsia keistimewaan ihsan dalam proses pengajaran malaikat Jibril as yang datang kepada baginda Rasulullah SAW dalam hadis sahih riwayat Muslim yang bermaksud: "Daripada Umar ra, katanya: "Pada suatu hari sedang kami duduk di sisi Rasulullah SAW tiba-tiba datang kepada kami seorang lelaki yang sangat putih pakaiannya, sangat hitam rambutnya, tidak kelihatan atasnya tanda orang yang sedang dalam perjalanan, dan tidak seorang pun daripada kami yang mengenalnya sehingga ia duduk berdekatan kepada Nabi SAW lalu dia menyandarkan kedua-dua lututnya kepada dua lutut Nabi dan meletakkan kedua telapak tangannya ke atas dua paha Nabi. Kemudian ia berkata: "Wahai Muhammad, khabarkanlah kepadaku daripada hal Islam," maka Rasulullah menjawab: "Islam itu ialah bahawa engkau mengakui bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan bahawasanya Muhammad itu pesuruh Allah, dan engkau mendirikan sembahyang, dan engkau keluarkan zakat, dan engkau puasa Ramadan, dan engkau mengerjakan haji di Baitullah jika engkau sanggup pergi kepadanya". Dia berkata: "Benarlah engkau". Maka kami pun tercengang kerana dia yang bertanya dan dia pula yang membenarkannya.

Katanya lagi: "Maka khabarkanlah kepadaku daripada hal Iman?", Rasulullah menjawab: "Iman itu ialah bahawa engkau beriman kepada Allah dan malaikat-Nya dan segala kitab-Nya dan Rasul-Nya dan hari kemudian dan engkau beriman kepada takdir baiknya dan jahatnya". Dia berkata: "Benarlah engkau". Kemudian dia bertanya lagi: "Maka sekarang khabarkanlah kepadaku daripada hal ihsan?" Rasulullah menjawab: "Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, tetapi jika engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat engkau".

Akhirnya dia berkata meneruskan pertanyaannya lagi: "Maka khabarkanlah kepadaku daripada hal hari kiamat". Rasulullah menjawab: "Tidaklah yang ditanya daripadanya lebih tahu daripada orang yang bertanya". "Kalau begitu katanya, maka khabarkanlah kepadaku daripada tanda-tandanya saja." Rasulullah menjawab: "Tanda-tandanya itu ialah apabila hamba-hamba telah melahirkan tuannya dan engkau lihat orang yang tidak berkasut, tidak berpakaian, miskin, pengembala kambing (berbangga-bangga) menegak dan meninggikan binaannya."

Kemudian dia pun pergi, lalu aku terdiam beberapa lama. Setelah itu, Rasulullah berkata: "Wahai Umar, adakah engkau tahu siapakah orang yang bertanya itu?". Berkata aku: "Allah dan rasul-Nya yang lebih tahu." Rasulullah berkata: "Sesungguhnya itulah dia Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajarkan agama kamu."

Dalam Kamus Dewan ihsan dijelaskan dengan mengambil kira makna hadis di atas ketika menjelaskan maknanya dengan "beribadat kepada Allah dengan menyedari bahawa seseorang itu berhadapan dengan Allah Subhanahu Wataala yang sentiasa melihatnya."

Ihsan juga bererti kebaikan, kebajikan, kemurahan hati (lawan bakhil) seperti dalam Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan atau ihsan juga bererti perbuatan (derma dan sebagainya) yang baik, kebaikan, kemurahan hati, kebajikan, kedermawanan seperti dalam Kamus Bahasa Melayu Nusantara.

Dalam al-Quran perkataan al-ihsan asalnya daripada perkataan: ahsana, yuhsinu, ahsin, ihsanan dan setidaknya ada 12 ayatnya yang mengandungi lafaz ihsan/ihsanan yang menunjukkan kepada perbuatan baik dan kebaikan yang lebih daripada yang sepatutnya atau yang sama maksudnya. Ada kira-kira sebanyak 38 ayat lagi menunjuk kepada pujian dan penghargaan tinggi kepada pelakunya dengan lafaz muhsin, muhsinun, muhsinin, muhsinat. Selanjutnya ada pula lafaz lain yang juga berkaitan dengan al-ihsan itu. Semuanya membawa pengertian menurut konteks ayat yang difirmankan oleh Allah Subhanahu Wataala. (al-Mu'jam al-Mufahras li Alfa al-Quran).

Konteks ihsan kepada sesama makhluk sangat luas dalam al-Quran dan ia sangat jelas dalam ayatnya bermaksud: "Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): Janganlah kamu menyembah melainkan Allah dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak yatim, serta orang miskin dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan yang baik dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat. Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil daripada kamu; dan sememangnya kamu orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya". � (Surah al-Baqarah: 83)

Bahkan perbuatan ihsan diperintahkan Allah dengan tegas dalam firman-Nya bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya." � (Surah al-Nahl: 90)

Satu daripada bukti wujudnya ihsan dalam diri manusia adalah senyum yang selalu melekat pada bibir seseorang kerana senyuman adalah bunga daripada perbuatan, fikiran dan motivasi yang baik. "Senyummu kala bertemu saudaramu bernilai sedekah", seperti dalam hadis menunjukkan bahawa senyum berakar daripada ihsan kerana sedekah tidak akan diberikan kecuali oleh orang yang bersih hati dan perbuatan.

Senyum yang tulus bukti kebahagian diri yang dihasilkan oleh kandungan ihsan pada diri manusia. Ahmad Amin dalam Faid al-Kathir menulis: "Orang yang murah dengan senyuman dalam menjalani hidup ini bukan saja orang yang paling mampu membahagiakan diri sendiri, tetapi juga orang yang berkemampuan lebih dalam mengerjakan pelbagai urusan, lebih bertanggungjawab ketika memikul tugas, orang yang paling kuat menghadapi kesulitan dan memecahkan persoalan dan lebih profesional dalam memikul urusan penting yang bermanfaat bagi diri mereka dan masyarakat. Seandainya saya disuruh memilih di antara harta yang banyak atau kedudukan yang tinggi dengan jiwa yang tenteram damai dan selalu tersenyum, pastilah saya memilih yang kedua. Sebabnya ialah, apa ertinya harta yang banyak bila wajah selalu muram? Apa ertinya pangkat dan kedudukan sekiranya jiwa sering cemas?"

Allah menyukai orang yang berbuat ihsan, dan ia disebutkan dalam beberapa ayat al-Quran. Jika kesukaan Allah sudah berada pada diri manusia maka senyum adalah tandanya. Di samping itu, rahmat Allah sangat dekat dengan orang yang sentiasa berbuat ihsan. Allah berfirman maksudnya: "Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang muhsinin (orang yang memperbaiki amalannya." � (Surah al-A'raf: 5) Jika begini adanya dalam al-Quran, tidakkah kita ingin sentiasa dekat dengan rahmat Allah?

Sunday, January 3, 2010

Ulul Albab: Apabila tahun baru sekadar pertukaran angka

Oleh Abdurahman Haqi


KITA perlu sentiasa bersyukur dengan kurnia Allah SWT kerana masih berpeluang menyambut tahun baru. Namun sebagai umat Islam, kita hendaklah sentiasa merenung masa lalu bagi menginsafi dan memotivasikan diri. - Gambar hiasan

Umat yang tak menghargai, mengenal nilai masa tidak akan jadi manusia berjaya

JIKA kita memerhati penggantian angka dari 2009 kepada 2010 kita hanya melihat satu makna. Tetapi jika kita memerhati penggantian makna dari 2009 kepada 2010 kita akan melihat banyak angka. Ini sama seperti kita melihat atau membaca satu ayat al-Quran tetapi banyak di dalamnya pelbagai tafsiran.

Dari sudut perangkaan penggantian dari 9 kepada 10 adalah perkara yang tidak lazim bukan seperti penggantian angka sebelumnya. Jika penggantian angka sebelumnya adalah kepada angka baru seperti 1 menjadi 2 dan 8 menjadi 9, maka penggantian angka 9 menjadi 10 adalah satu titik mula kembali kepada asal. Sebelum ditemukan angka 0, permulaan angka adalah 1 dan diakhiri dengan 9. Ketika saintis Muslim menemukan angka 0 yang sama dengan 'titik' dalam perangkaan Hindi, maka pengiraan angka mempunyai wadah atau tempat. Penemuan saintis Muslim dalam sistem angka inilah era digital pada hari ini berhutang budi. 10 adalah angka keramat seperti pernah disentuh sebelum ini. Ia adalah permulaan dua digit yang berkesudahan pada angka 99 dan gabungan antara angka mati dan permulaan angka hidup.

2009 yang penuh dengan suka duka baru saja berlalu dan 2010 juga akan dipenuhi dengan suka duka juga baru saja menjelma. Yang telah berlalu tidak akan kembali dan yang akan datang kita belum tahu apa yang akan terjadi.

Untuk memikirkan apa yang akan kita lakukan pada masa hadapan adalah sesuatu yang dituntut agar kita selalu dimotivasikan untuk membuat perkara positif yang membawa faedah kepada kita. Tetapi, memikirkan apa yang telah berlalu kemudian terkongkong dengan imaginasinya, maka ia tidak akan membawa kepada sebarang perubahan bahkan ia akan memudaratkan diri sendiri.

Pada suatu hari Saidina Umar ibn al-Khattab sedang berkumpul dan berbincang dengan sahabatnya. Untuk memecahkan suasana perbincangan beliau berkata: "Berangan-anganlah kamu sekalian. Salah seorang daripada mereka berkata: "Aku berangan-angan seandainya rumah ini dipenuhi oleh emas untuk aku nafkahkannya di jalan Allah." Lalu Umar berkata, "Berangan-anganlah kamu sekalian." Yang lain pula berkata: "Aku berangan-angan sekiranya rumah ini dipenuhi dengan permata agar aku boleh mendermakannya ke jalan Allah dan bersedekah dengannya."

Kemudian Umar berkata lagi: "Berangan-anganlah kamu sekalian." Mereka lalu berkata: "Kami tidak tahu lagi apa yang harus kami katakan wahai Amirul Mukminin." Umar berkata: "Aku justeru berangan-angan seandainya ada orang seperti Abu Ubaidah ibn al-Jarrah, Mu'az ibn Jabal dan Salim Mawla Abu Huzaifah agar aku dapat meninggikan kalimat Allah dengan bantuan mereka." Lain yang dilihat oleh Khalifah Umar, lain pula yang dilihat oleh beberapa orang sahabatnya dan kedua-duanya tidak salah dari sudut pandang Islam. Oleh itu tidak ada acara saling salah-menyalahkan dalam sesi perbincangan itu. Yang ada hanyalah penambahan minda hadirin dengan hujah yang dikemukakan.

Saidina Umar tidak melihat kepada kebendaan dalam memajukan dakwah demi peninggian agama Islam, i'la kalimatillah. Yang beliau utamakan ialah sumber manusianya.

Manusia lebih penting daripada benda kerana benda diadakan Allah untuk kepentingan manusia. Kemanfaatan seseorang manusia dilihat tanda arasnya daripada kepanjangan umurnya yang digunakan untuk faedah alam sekitarnya. Selagi ia berbuat baik kepada persekitarannya, sebanyak itu pula dia mendapat kebaikan bahkan dilipatgandakan oleh Allah. Begitu pula sebaliknya, jika kejahatan mendominasi kepanjangan hidupnya maka keburukan pula yang akan diterimanya.

Ketika Rasulullah SAW ditanya: "Siapakah manusia terbaik?" Baginda menjawab: "Orang yang panjang usianya dan baik pula amalnya." Baginda kemudian ditanya lagi: "Lalu, siapakah manusia terburuk?" Jawab Nabi: "Orang yang panjang usianya tetapi buruk amalnya." (Hadis riwayat Tirmizi)

Jika kita melihat penggantian 2009 kepada 2010 dari sudut sebutan angka saja, maka kita tidak akan melihat makna di dalamnya. Oleh itu kita mesti melihatnya dari sudut pandang makna kehidupan kita agar kita akan menghargainya kerana ia akan penuh makna. Makna yang paling menonjol ialah menghormati masa dan menggunakannya dengan sebaik-baiknya agar tidak termasuk insan yang rugi.

Masa adalah anugerah adil yang dikurniakan Allah SWT kepada makhluknya. Sesiapa yang bersyukur yakni dengan menggunakan sesungguhnya maka Allah akan tambahkan nikmat-Nya, tapi barang siapa ingkar maka azab Allah amatlah pedih.

Pendakwah yang disebut sebagai 'televangelist' Muslim semasa, Amr Khalid dalam buku Ghayyir Nafsak (Rubah Dirimu) ada menulis bahawa apabila kita membaca al-Quran, kita akan dapati bahawa Allah sering bersumpah dengan masa. Tuhan sememangnya tidak akan bersumpah melainkan sesuatu itu penting dan mempunyai nilai berharga. Allah swt berfirman maksudnya: "Demi malam apabila menutupi (cahaya siang) dan siang apabila terang benderang." (Surah al-Lail: 1-2) "Demi waktu Dhuha dan demi malam apabila telah sunyi." (Surah al-Dhuha: 1-2) "Demi fajar dan malam yang sepuluh." (Surah al-Fajr: 1-2) "Demi matahari dan cahayanya di pagi hari dan bulan apabila mengiringinya." (Surah al- Syams: 1-2) "Demi masa." (Surah al-Ashr: 1) "Maka sesungguhnya Aku bersumpah dengan cahaya merah pada waktu senja." (Surah al- Insyiqaq: 16)

Apakah yang menarik di sebalik masa ini hinggakan Allah bersumpah dengannya. Kembali kepada tujuan al-Quran diturunkan, maka Allah menginginkan kita supaya memerhatikan perkara ini agar mendapat pengajaran. Begitu banyak sumpah-Nya berkaitan dengan waktu. Maka umat yang tidak mengenal harga nilai masa tidak akan menjadi umat yang maju dan berjaya.

Ketika kita membaca: "Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia." Hati kita pasti terkesan dengan sebutan umat terbaik akan tetapi keadaannya sangat menyedihkan. Pada asasnya, seseorang umat akan menjadi terbaik dan berjaya hanya jika mampu memanfaatkan kurnia Allah sebaik-baiknya dan tidak menyalahgunakannya. Maka apatah lagi bagi kita umat Islam. Dapatkah kita memahami betapa pentingnya masa yang sering kita sia-siakan?

Penemuan pertama kaum Muslimin awal masa keemasannya adalah jam. Pada waktu itu mereka mengembangkan dan meletakkannya di tempat awam dan di ruang istana. Mereka begitu membanggakannya. Mengapa? Sungguh mereka berjaya kerana memerhatikan masa. Sungguh agung umat ini.

Namun kini kita tidak begitu. Seorang yang taat beragama sepatutnya menghargai waktu dalam kehidupannya. Apatah lagi da'i yang mengajak manusia ke arah perjuangan Islam. Kisah berikut adalah kisah benar yang berlaku kepada seorang tokoh Muslim yang berjumpa dengan warga asing. Muslim itu terlambat beberapa minit. "Anda muslim?" tanya warga asing itu. "Ya." "Anda solat?" tanyanya lagi. "Ya." "Berpuasa pada Ramadan?" "Ya." "Anda sudah menunaikan haji?" "Ya, tentu." "Anda solat Jumaat tepat waktu?" "Sudah tentu." "Sungguh aneh orang Islam. Agama mereka mengajarkan prinsip agung, sayang mereka tidak mengendahkannya."

Amma ba'du, masihkah kita menjadikan penggantian tahun ini hanya sebuah penggantian angka saja dengan tetap mengutamakan foya-foya? Wallahu alam.

Sunday, December 27, 2009

Ulul Albab: Kuasa besar dunia khianati penduduk Gaza

Oleh Abdurrahman Haqqi



PENCEROBOHAN tentera Israel ke atas Gaza di Palestin sejak setahun yang lalu menyebabkan kemusnahan besar bumi itu. Sekurang-kurangnya 1,400 penduduk Palestin terbunuh berbanding 13 tentera Israel terkorban.

Selepas setahun pencerobohan, masyarakat antarabangsa gagal kekang kekejaman Israel

BERTEPATAN hari ini, 27 Disember, setahun lalu tentera Israel memulakan pencerobohannya ke kota Gaza di Palestin. Pencerobohan yang berlangsung hingga 18 Januari tahun berikutnya membunuh 1,400 penduduk Palestin dan hanya 13 tentera Israel. Sejak itu bermulalah sekatan ke atas Gaza dan 1.5 juta penduduknya oleh rejim haram Israel.

Setahun berlalu tetapi di Gaza tiada perubahan, malah kesengsaraan bermaharajalela. Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Christophen Gunnes di Gaza menyatakan bahawa operasi pengagihan makanan akan tamat Khamis lalu kecuali jika rejim haram Israel membenarkan gandum, daging, susu dan minyak goreng dibawa masuk ke Gaza tanpa penundaan.

Gunnes berkata: "Ini hukuman fizikal dan mental bagi penduduk Gaza, ibu dan orang tua yang mahu memberi makan anak-anaknya, serta bagi orang kebuluran. Sekatan ini benar-benar gambaran adanya tindakan orang gasar yang tidak berperikemanusiaan."

Di samping itu, Pengarah Eksekutif Oxham International, Jeremy Hobbs ada menyatakan: Pemimpin dunia gagal, bahkan mereka mengkhianati penduduk Gaza. "Oxham International adalah gabungan 16 kumpulan hak asasi manusia antarabangsa yang memerhati penduduk Gaza. Masyarakat antarabangsa juga menggesa Israel untuk menarik sekatan tidak bertamadun berkenaan."

Apakah yang menyebabkan kedegilan Israel? Apakah Israel sebuah negara kuat? Atau ada sesuatu yang meletakkan Israel adalah negara kuat iaitu bangsa Yahudi antarabangsa.

Kita mesti membezakan antara Israel dan Yahudi sehingga logik kita akan mengatakan bahawa Yahudi bukanlah Israel tetapi Israel adalah sebahagian daripada Yahudi. Israel adalah negara Yahudi tetapi Yahudi bukanlah negara Israel. Yahudi adalah agama rasmi Israel tetapi Israel bukanlah agama rasmi Yahudi. Bagaimanapun, antara kedua-duanya tidak boleh dipisahkan.

Masyarakat antarabangsa boleh mengecam Israel tetapi kecaman itu akan berbalik menjadi pembelaan tidak lama kemudian. Masyarakat antarabangsa boleh menghina Israel tetapi hinaan itu akan berbalik menjadi sanjungan. Masyarakat antarabangsa boleh mengucilkan Israel tetapi kucilan itu akan berbalik menjadi pengagungan seperti yang berlaku selama ini sejak penubuhannya lebih 60 tahun lalu. Perkara ini tidak berlaku kerana Israel kuat tetapi bangsa Yahudi yang kuat.

Masyarakat antarabangsa sepanjang zaman sememangnya muak dengan perangai bangsa Yahudi, bahkan pernah terjadi pengusiran besar-besaran bangsa Yahudi dari Eropah pada 1492 oleh Raja Katholik Ferdinand dan Ratu Isabella bersamaan dengan pengusiran umat Islam dari Sepanyol. Begitu pula perburuan Adolf Hitler ke atas bangsa Yahudi pertengahan abad lalu. Tetapi kemuakan mereka malah menjadi keseronokan di bawah sedar kerana kehidupan masyarakat antarabangsa hari ini tidak boleh lepas daripada kebergantungan mereka kepada inovasi kehidupan politik, sosial, dan ekonomi mereka.

Masyarakat antarabangsa mana yang tidak mengenal Nokia, Dell, Starbuck dan sejenis dengannya? Masyarakat antarabangsa mana yang sanggup melepaskan kebergantungan mereka ke atas jenama berkenaan dan juga semua produk 'keyahudian' seperti yang diseru dalam boikot produk Yahudi.

Masyarakat antarabangsa mana yang sedar duit yang mereka keluarkan untuk membeli produk itu akan digunakan untuk kepentingan 'keyahudian' antarabangsa. Kehebatan bangsa Yahudi masa kini tidak terlepas daripada apa yang disebut keluarga Rothschild sebagai tokoh Zionis seperti yang sedang heboh dibincangkan oleh kalangan ilmiah dan popular masyarakat antarabangsa hari ini.

Rothschild adalah dinasti Yahudi Bavaria (Jerman) yang bererti Perisai Merah. Dalam bahasa Inggeris disebut 'Red-Shield'. Dinasti Rothschild yang legenda dan sangat berkuasa hingga kini berawal dari sejarah Eropah pada abad ke-18 Masihi dengan kelahiran seorang bayi Yahudi Jerman yang kemudian diberi nama Mayer Amshell Bauer.

Mayer Amshell Bauer lahir pada 1743 di sebuah perkampungan Yahudi di Frankfurt, Bavaria. Ayahnya, Moses Amschell Bauer yang bekerja sebagai along dan tukang emas yang berpindah dari satu tempat ke tempat lain, dari kota yang satu ke kota lainnya. Bakat Moses sebagai along akan diteruskan dan dikembangkan oleh anak cucunya.

Kelahiran Mayer membuat Moses menghentikan aktiviti perniagaan yang selalu berpindah-pindah dan menetap di sebuah rumah agak besar di persimpangan Judenstrasse (Jalan Yahudi) di kota Frankfurt. Di rumah itu, Moses membuka usaha simpan-pinjam wangnya. Di pintu masuk kedainya, Moses menggantungkan sebuah perisai merah sebagai tanda dagangnya: Rothschild.

Sejak kecil Mayer Amshell dikenali sebagai anak yang cerdas. Dengan tekun si ayah mengajar Mayer segala pengetahuan mengenai perniagaan berasaskan ribanya. Moses juga sering menceritakan pengalaman dan pengetahuan yang diperolehnya dari pelbagai sumber. Pada 21 September 1769, upayanya mendekati pemerintah Inggeris membuahkan hasil. Pembesar negara, Wilhelm dengan senang hati memberikan restu atas kedainya. Rothschild pun memasang lambang principalitas Hess-Hanau di depan kedainya sebagai lambang restu dan perlindungan istana. Lambang itu bertuliskan huruf emas dengan kalimat 'M A Rothschild'. Dengan limpahan kurnia ditunjuk sebagai abdi istana daripada pembesar negara, Wilhelm von Hanau.

Pada 1770, ketika berusia 27 tahun, Rothschild menikahi Guetele Schnaper yang berusia 17. Daripada perkahwinannya, mereka dikurniakan 10 anak. Anaknya bernama Amshell III, Salomon, Nathan, Karlmann (Karl) dan Jacob (James). Kepada anak-anaknya, selain mendidik mereka dengan keras soal pengetahuan perbankan dan aneka pengalamannya, Rothschild I juga menanamkan kepada mereka keyakinan Talmudian (bukan Taurat) dengan intensif.

Frederich Morton, penulis biografi Dinasti Rothschild menulis, "Setiap Sabtu malam, selepas ibadat di Sinagoga, Amshell mengundang seorang rabbi ke rumahnya. Sambil duduk membongkok di kerusi hijau, mengunyah anggur, mereka berbincang sampai larut malam. Bahkan pada hari kerja pun Amshell sering dilihat membaca Talmud dan seluruh keluarga harus duduk dan mendengarkan dengan tertib?

Rotschild adalah keluarga Yahudi yang berpandangan Talmudian. Mereka sangat percaya bahawa tuhan, sesuai keyakinan dalam ayat Talmud yang memilih bangsa Yahudi sebagai manusia hebat, satu-satunya bangsa manusia, sedangkan orang lain yang bukan Yahudi adalah bangsa yang darjatnya sama dan setara dengan haiwan. Mereka sama sekali tidak peduli dengan orang lain, dan hanya peduli dengan kepentingan sesama Yahudi Talmudian. Kehebatan bangsa Yahudi disebut al-Quran dalam Surah al-Isra, ayat 6 yang bermaksud: "Kemudian Kami berikan kepadamu giliran untuk mengalahkan mereka kembali dan Kami membantumu dengan harta kekayaan dan anak-anak dan Kami jadikan kamu kelompok yang lebih besar." Kita alami kebenaran ayat al-Quran ini dan kita perhatikan bagaimana kekayaan dunia berada di tangan bangsa Yahudi dan semua kelompok berpengaruh di dunia hari bersatu mahupun bernaung di bawah panji keyahudian disedari atau tidak disedari. Salah satu buktinya adalah penduduk Gaza masih dipenjara oleh rejim Israel yang Yahudi. Wallahualam.

Sunday, December 20, 2009

Ulul Albab: Abdul Rahman 'Auf tokoh hijrah contoh

Oleh Abdurrahman Haqqi


KETIKA hayatnya, Abdul Rahman Auf sering menyedekahkan sebahagian besar harta kekayaannya untuk jihad fisabilillah. Oleh itu umat Islam digalakkan mencontohi sifat mulia beliau supaya mendapat keredaan Allah. - Gambar hiasan


Hartawan Islam mantapkan jaringan sosial, ekonomi penduduk Madinah dengan hartanya

KEBANYAKAN konglomerat Madinah sepanjang sejarah permulaan Islam berasal dari kota Makkah atau yang disebut sebagai Muhajirin, orang yang berhijrah sebagai saudara kepada penduduk asal Madinah yang disebut Ansar. Antara mereka ialah Khalifah Othman bin 'Affan, al-Zubeir bin 'Awwam, al-Abbas bin Abdul Mutallib dan Abdul Rahman bin 'Auf..

Apabila kita mengira jumlah harta kekayaan mereka, kita akan berasa takjub dan terkesima sehingga akan banyak pertanyaan dalam minda kita. Kita akan lebih takjub dan tercengang apabila kita perhatikan sepak terajang mereka dalam menafkahkan harta mereka di jalan Allah demi untuk mendapatkan keredaan Allah SWT.

Kekayaan yang melimpah ruah yang dimiliki kaum Muhajir itu adalah bukti kebenaran ayat al-Quran yang bermaksud: "Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya dia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur." (Surah al-Nisa: 100)

Mereka dalam kesempitan hidup ketika berada di Makkah demi perjuangan membela Islam dan mereka kemudian menemukan tempat hijrah yang sesuai sehingga boleh mengumpulkan rezeki yang banyak lalu sempat mensyukurinya. Abdul Rahman bin 'Auf adalah satu contoh Muhajir yang berjaya.

Abdul Rahman bin Auf membangunkan jaringan sosial dan ekonomi yang kukuh di Madinah sehingga dengan kekayaannya yang luar biasa boleh menstabilkan perekonomian Madinah demi kepentingan penduduknya.

Ketika beliau meninggal dunia, antara harta warisnya ialah 1,000 unta (RM3 juta), 100 kuda (RM1 juta), 3,000 kambing (RM900,000), beliau mempunyai empat isteri dan masing-masing mendapatkan pembahagian khusus 80,000 dinar (RM 40.8 juta). Beliau memerdekakan sejumlah besar budak-budak yang dimilikinya. Kemudian diwasiatkannya supaya memberikan 400 dinar (RM204,000) kepada masing-masing bekas pejuang Perang Badar. Mereka berjumlah 100 orang, dan semua mengambil bahagiannya masing-masing (RM20.4 juta). Subhanallah.

Di samping itu masih ada peninggalannya berupa emas dan perak, yang jika beliau membahagikannya kepada ahli warisnya dengan mengapak, maka potongannya cukup menjadikan seorang ahli warisnya menjadi kaya raya.

Beliau juga berwasiat supaya memberikan hartanya yang paling mulia untuk Ummahat al-Mukminin, Aisyah ra sering mendoakannya: "Semoga Allah memberikannya minum dengan minuman dari telaga salsabil."

Beliau pernah menyedekahkan hartanya untuk kepentingan jihad sebanyak 40,000 dinar (RM20.4 juta), menyerahkan 500 kuda (RM5 juta) dan 1,500 unta (RM4.5 juta) kepada pejuang.

Daripada buku yang mengisahkan kepahlawanan sahabat Rasulullah yang ditulis oleh Abdul Rahman Ra'fat Basya kita memperoleh susuk Abdul Rahman bin 'Auf yang menakjubkan dan perlu diteladani umat Islam.

Beliau termasuk lapan orang yang mula-mula masuk Islam; beliau juga termasuk 10 orang yang diberikan khabar gembira oleh Rasulullah masuk syurga; beliau termasuk enam sahabat yang bermusyawarah dalam pemilihan khalifah sesudah Umar bin Khattab RA; dan beliau adalah seorang mufti yang dipercayai Rasulullah SAW untuk berfatwa di Madinah ketika Baginda masih hidup di tengah-tengah masyarakat Islam.

Namanya pada masa Jahiliah ialah Abd Amr. Setelah masuk Islam Rasulullah menggantikannya dengan Abdul Rahman bin Auf. Beliau memeluk agama Islam sebelum Rasulullah SAW masuk ke rumah al-Arqam, iaitu dua hari sesudah Abu Bakar al-Siddiq memeluk Islam.

Dalam proses hijrah ke Madinah di mana Rasulullah mempersaudarakan kaum Muhajir dan kaum Ansar, Abdul Rahman bin Auf dipersaudarakan dengan Sa'ad bin Rabi' al- Anshari RA.

Pada suatu hari Sa'ad berkata kepada Abdul Rahman: "Wahai saudaraku Abdul Rahman. Aku termasuk orang kaya di antara penduduk Madinah. Hartaku banyak. Saya mempunyai dua bidang kebun yang luas, dan dua isteri. Pilihlah olehmu salah satu di antara kedua-dua kebun itu, kuberikan kepadamu mana yang kamu sukai. Begitu pula salah seorang di antara kedua-dua isteriku akan kuserahkan mana yang kamu sukai, kemudian aku nikahkan engkau dengan dia." Jawab Abdul Rahman bin Auf: "Semoga Allah melimpahkan berkat-Nya kepadamu, kepada keluargamu, dan kepada hartamu. Saya hanya akan minta tolong kepadamu untuk menunjukkan di mana letaknya pasar Madinah ini."

Sa'ad menunjukkan pasar tempat berjual beli kepada Abdul Rahman. Maka, mulailah beliau berniaga di sana, berjual beli, melaba dan merugi. Belum berapa lama dia berdagang, terkumpullah wangnya sekadar cukup untuk mahar menikah. Dia datang kepada Rasulullah memakai wangi-wangian. Baginda menyambut kedatangan Abdul Rahman seraya bersabda yang bermaksud: "Alangkah wanginya kamu, hai Abdul Rahman." Jawab Abdul Rahman: "Saya hendak menikah wahai Rasulullah." Tanya Rasulullah: "Apa mahar yang kamu berikan kepada isterimu?" Jawab Abdul Rahman: "Emas seberat biji kurma." Kata Rasulullah: "Adakan kenduri, walau hanya dengan menyembelih seekor kambing. Semoga Allah memberkati pernikahanmu dan hartamu." Kata Abdul Rahman: "Sejak itu dunia datang menghadap kepadaku (hidupku makmur dan bahagia). Hingga seandainya aku angkat sebuah batu, maka di bawahnya aku dapati emas dan perak."

Begitulah doa Rasulullah SAW untuk Abdul Rahman sehingga perniagaannya selalu meningkat dan berkembang. Kabilah dagangnya terus-menerus hilir mudik ke Madinah mengangkut gandum, tepung, minyak, pakaian, barang-barang pecah-belah, wangi-wangian dan segala keperluan penduduk.

Pada suatu hari iring-iringan kabilah dagang Abdul Rahman terdiri daripada tujuh ratus unta bermuatan penuh tiba di Madinah. Semua membawa makanan, pakaian dan barangan lain keperluan penduduk. Ketika mereka memasuki kota, bumi seolah-olah bergetar. Terdengar suara gemuruh dan hiruk-pikuk. Sehingga Aisyah bertanya, "Suara apa hiruk-pikuk itu?" Dijawab orang: "Kalifah Abdul Rahman dengan iring-iringan tujuh ratus unta bermuatan penuh membawa makanan, pakaian dan lain-lain." Kata Aisyah: "Semoga Allah melimpahkan berkat-Nya bagi Abdul Rahman dengan baktinya di dunia, serta pahala yang besar di akhirat. Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Abdul Rahman bin Auf masuk syurga dengan merangkak (kerana syurga sudah dekat sekali kepadanya)."

Sebelum menghentikan iring-iringan unta, seorang pembawa berita mengatakan kepada Abdul Rahman bin Auf berita gembira yang disampaikan Aisyah, bahawa Abdul Rahman bin Auf masuk syurga. Serentak mendengar berita itu, bagaikan terbang dia menemui Aisyah. Katanya: "Wahai ibu, apakah ibu mendengar sendiri ucapan itu diucapkan Rasulullah?" Jawab Aisyah: "Ya, saya mendengar sendiri." Abdul Rahman melonjak bahagia. Katanya: "Seandainya aku sanggup, aku akan memasukinya sambil berjalan. Sudilah ibu menyaksikan, kabilah ini dengan seluruh kenderaan dan muatannya, kuserahkan untuk jihad fisabilillah."

Cuba kita bayangkan, seandainya ada 700 kontena yang berisi penuh keperluan memasuki Kuala Lumpur sudah tentu akan membuat heboh penduduknya dan yang akan membuat lebih heboh lagi ialah semuanya berserta isinya disedekahkan kepada penduduk Kuala Lumpur. Nah, siapa yang sanggup mencontohi susuk Hijrah kita yang satu ini? Selamat Tahun Baru Hijrah 1431.

Sunday, December 6, 2009

Ulul Albab: Persaudaraan sesama Islam semakin kelam

Oleh Abdurrahman Haqqi

Seruan ukhwah hanya mainan bibir apabila kepentingan peribadi lebih diutamakan

WALAUPUN secara amnya persaudaraan umat Islam adalah baik dan terjalin kuat, tetapi dalam realitinya ia masih digugat salah faham apatah lagi jika ia dikaitkan dengan umat Islam yang berpuak-puak.

Setiap orang boleh menyeru persaudaraan Islam, tetapi apabila ia bertembung dengan keperluan dan hasrat peribadi, maka seruan persaudaraan itu akan hanya tinggal di bibir dan melayang di udara. Sesiapa pun boleh menghebahkan persaudaraan Islam tapi apabila ia bercanggah dengan kepentingan peribadi dan kelompok maka ia tinggallah dalam catatan kitab dan buku agama.

Inilah yang kita hadapi sekarang. Umat Islam mengetahui sebuah hadis yang maksudnya: "Janganlah kalian saling dengki mendengki, jangan saling tipu menipu, jangan saling benci membenci, jangan saling bela-kang membelakangi dan jangan membeli suatu barang yang (akan) dibeli orang. Jadilah kamu sekalian hamba Allah SWT yang bersaudara. Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim yang lainnya, tidak layak untuk saling zalim menzalimi, berbohong kepadanya dan tidak hirau kepadanya. Takwa itu ada di sini (sambil menunjuk dadanya tiga kali). Cukuplah seseorang dikatakan jahat jika dia menghina saudaranya sesama Muslim. Haram bagi seorang Muslim dari Muslim yang lainnya, darahnya, hartanya, dan harga dirinya." (Hadis riwayat Muslim).

Tapi sedarkah mereka untuk melaksanakan hadis di atas? Sedarkah mereka bahawa hasad adalah tidak suka melihat saudaranya mendapat kenikmatan. Hasad adalah akhlak yang sangat tercela. Selain penolakan terhadap takdir, ia juga buruk sangka kepada Allah SWT apabila menganggap nikmat itu tidak layak dimiliki saudaranya.

Sedarkah mereka bahawa kebencian kepada saudaranya ada dua bentuk, iaitu pertama, benci kerana agama. Kebencian seperti ini boleh bahkan wajib, iaitu membenci saudaranya kerana kejelekan agamanya. Kebencian seperti ini tidaklah kebencian secara mutlak, dalam erti di samping rasa benci, ada juga dalam hatinya rasa cinta kerana masih saudaranya.

Kedua, benci kerana dunia. Kebencian seperti ini haram hukumnya. Maka jika seseorang berasakan dirinya membenci saudaranya, maka hendaklah dia melihat kepada kebaikannya agar kebencian itu hilang. Sedarkah mereka bahawa perbuatan memulaukan saudaranya itu sebenarnya ada dua macam - memulau kerana alasan agama. Hukumnya boleh jika mendatangkan maslahah bagi yang memulau atau bagi yang dipulau.

Ketiga, memulau kerana alasan dunia. Hukumnya boleh jika saudaranya sudah menyakiti dirinya dengan batasan masa maksimum tiga hari. Namun, lebih baik dia memaafkan dan melupakan kesalahan saudaranya dan tidak memulaunya. Sedarkah mereka bahawa haram hukumnya bagi seseorang merendah-rendahkan saudaranya.

Kalangan sahabat Nabi sudah memberikan contoh penerapan ajaran Islam berkaitan persaudaraan sehinggakan kitab suci al-Quran turut merakamkannya dalam beberapa ayat-ayatnya.

Sahabat itu menyedari bahawa dalam persaudaraan mesti ada pengorbanan yang diutamakan. Al-Quran menjelaskan maksudnya: "Dan orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang sudah diberi kepada orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang yang berjaya." (Surah al-Hasyr: 9).

Sudah terbukti dalam sejarah bagaimana mereka berjaya dalam kehidupan sehingga menjadi umat terbaik yang dimiliki masyarakat antarabangsa. Kejayaan mereka menerapkan semangat persaudaraan tidak terlepas daripada sebuah hadis yang bermaksud: "Agama itu adalah nasihat." Kami (sahabat) bertanya: "Untuk siapa?" Baginda bersabda: "Untuk Allah, kitab-Nya, rasul-Nya, pemimpin umat Islam dan untuk seluruh Muslimin." (Hadis riwayat Muslim).

Kalangan sahabat Nabi saling mendoakan kebaikan untuk saudaranya begitu juga orang yang mengikuti jejak mereka seperti firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Ampunkan dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau amat melimpah belas kasihan dan rahmat-Mu." (Surah al-Hasyr: 10).

Jika sahabat berjaya membina tamadun berlandaskan persaudaraan saling menasihati dan berdoa tanpa buruk sangka yang sesuai dengan zaman mereka, maka tidak ada sebabnya kita tidak boleh mengikuti jejak mereka untuk membina tamadun sesuai dengan zaman kita yang berlandaskan nilai murni ini. Dalam doa, nasihat dan persaudaraan ada keberkatan Allah SWT. Walaupun pada amnya ia kelihatan mudah tapi pada hakikatnya ia amat sukar kecuali bagi orang pilihan Allah. Wallahu a'lam!

Sunday, November 8, 2009

Ulul Albab: Mukjizat al-Quran boleh dirasai semua

Oleh Abdurrahman Haqqi



KANDUNGAN kitab suci al-Quran terpelihara daripada sebarang perubahan.


Banyak kajian serta cubaan mengelirukan kebenaran kitab suci tetapi temui kegagalan

JIKA kita ingin mengetahui dan rasai kehebatan satu-satu mukjizat seperti yang pernah berlaku ke atas umat sebelum kita, kemudian kita mengisytiharkan keimanan serta-merta dan memeliharanya, sila perhatikan al-Quran al-Karim.

Al-Quran ialah mukjizat kekal sebagai bukti kebenaran bahawa Muhammad adalah Rasulullah SAW. Pengekalan mukjizat al-Quran akan tetap dirasai oleh seluruh manusia hingga ke akhir zaman. Ini berbeza dengan mukjizat seketika yang hanya dirasai oleh umat sebelum kita, bahkan mukjizat yang dirasai oleh sahabat nabi, selain al-Quran.

Sebagai contoh, Nabi Nuh AS dengan mukjizat taufan dan air bah yang hanya berlaku untuk dirasai umatnya saja. Nabi Saleh AS dengan mukjizat unta hanya berlaku untuk dirasai umatnya saja. Nabi Musa AS dengan mukjizat membelah air laut dan hanya berlaku untuk dirasai umatnya saja. Nabi Isa AS dengan mukjizat boleh menghidupkan yang mati atas izin Allah dan hanya berlaku untuk dirasai umatnya saja.

Tetapi Nabi Muhammad SAW dengan mukjizat al-Quran berlaku untuk dan dirasai seluruh umat manusia ketika dan sesudah Baginda tidak kira masa dan tempat sampai hari kiamat dan ia akan kekal dipelihara seperti ditetapkan al-Quran yang bermaksud: "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya" (Surah al-Hijr: 9), Dengan jaminan Allah ini, terpeliharalah kitab suci al-Quran daripada sebarang perubahan, dan bersinarlah cahayanya ke seluruh dunia.

Al-Quran itu sendiri boleh menjadi sebab kepada seseorang untuk memeluk agama Islam sama ada menerusi isi, bahasa, bacaan, lagu, suara, hiasan, nilai ekonomi bahkan tulisan atau kaligrafinya. Begitu pula ia menakutkan dan menggerunkan musuhnya menerusi isi, bahasa, bacaan, lagu, suara, hiasan, nilai ekonomi bahkan tulisan atau kaligrafinya. Ramai orang memeluk al-Quran dengan karakter al-Quran dan tidak sedikit pula yang memusuhinya bahkan menyeru untuk berperang melawannya seperti disebutkan al-Quran sendiri dengan ayatnya yang bermaksud: "Dan orang yang kafir berkata: "Janganlah kamu mendengar al-Quran ini dan tentanglah ia (dengan nyanyian dan jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya)" (Surah Fussilat: 26)

Antara orang yang pernah menentang al-Quran ialah seorang profesor Matematik dan logik di Universiti Toronto, Kanada bernama Gary Miller. Pada 1977, beliau membuat keputusan untuk mengkaji al-Quran dengan tujuan mencari kesilapan dan kesalahan ilmiah dan sejarah yang ada di dalamnya.

Dia berharap dengan kajian itu boleh membantu rakannya, pendakwah Kristian untuk mengelirukan umat Islam dan mengajak mereka keluar daripada agama Islam dan memeluk Kristian. Pihak gereja dan yang berkepentingan menyokong tujuan 'mulia' ini dan memberikan apa jua keperluan kewangan dan moral bagi menjayakannya.

Apa yang diinginkan manusia lain dengan apa yang diinginkan oleh Allah dan yang pasti akan berlaku ialah apa yang diinginkan Allah, maka takdir yang baik menyebelahi Prof Miller dan kemudian membawanya untuk memeluk Islam setahun kemudian iaitu pada 1978 selepas menamatkan kajiannya. Kajiannya ini kemudian dibukukan dan diterjemahkan ke dalam bahasa Arab dengan tajuk al-Quran al-Muzhil (al-Quran Yang Mempesona) atau tajuk asalnya The Amazing al-Quran. Beliau menukar namanya menjadi Abdul Ahad Omar kemudian bekerja sebagai pensyarah di University of Petroleum and Mines, Dhahran, Saudi Arabia hingga ke hari ini masih menjadi pendakwah antarabangsa dan banyak menulis mengenai Islam.

Perkara pertama yang menarik perhatian Prof Miller ialah cabaran al-Quran yang mendakwa bahawa di dalamnya tidak ada kesalahan atau kesilapan apa pun juga. Beliau berkata: "Tidak ada seorang penulis pun di dunia ini yang memiliki keberanian kemudian dia menulis buku dan mendakwa bahawa bukunya itu tidak ada sebarang kesalahan mahupun kesilapan kecuali al-Quran, bahkan ia mencabar seandainya anda mencari-cari kesalahan itu anda pasti tidak akan menemukannya."

Beliau juga mengungkapkan kepesonaannya terhadap al-Quran dengan mengambil contoh bahawa dalam al-Quran ada satu surah yang diberi nama Surah Mariam yang mana di dalamnya ada diberitakan mengenai kemuliaan beliau yang tidak dijumpai di mana-mana kitab suci lainnya. Kita tidak menemukan surah yang dijoloki nama orang kesayangan Nabi SAW seperti Aisyah dan Fatimah. Malah nama baginda pun tidak banyak disebut al-Quran iaitu hanya lima kali jika dibandingkan dengan nama Nabi Isa as yang disebut sebanyak 25 kali.

Penentang kebenaran al-Quran mendakwa bahawa syaitanlah yang mengajarkan al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW tetapi bagaimana di dalam al-Quran ada ayat yang maksudnya: "Oleh itu, apabila engkau membaca al-Quran, maka hendaklah engkau (terlebih dulu) memohon perlindungan kepada Allah daripada hasutan syaitan yang kena rejam." (Surah al-Nahl: 98)

Dr Miller berkata: "Seandainya aku berada dalam keadaan Rasulullah bersama Abu Bakar di gua di mana seandainya seorang daripada pengepungnya melihat ke bawah pasti mereka akan ternampak, maka jawapan ketakutan Abu Bakar akan dijawab secara semula jadi dengan ucapan 'mari kita cari jalan belakang' atau 'diam, jangan berkata-kata'. Akan tetapi Rasulullah SAW menjawab dengan tenang: "Janganlah engkau risau sesungguhnya Allah bersama kita." Adakah jawapan ini boleh dikeluarkan oleh seorang penipu atau jawapan seorang nabi yang percaya seratus peratus kepada pertolongan Allah?

Surah al-Masad (Tali Yang Dipintal) iaitu surah nombor urut 111 dalam al-Quran diturunkan 10 tahun sebelum matinya Abu Lahab. Ini bermakna bahawa di hadapan Abu Lahab ada sebanyak 365 x 10 = 3,650 peluang untuk membuktikan bahawa al-Quran adalah satu khayalan dan pembohongan. Selama itulah ada cabaran tetapi Abu Lahab tetap dalam kekufuran dan kekafirannya dan tidak tergerak hatinya untuk masuk Islam walaupun secara pura-pura. Surah ini sampai hari ini masih dibaca, bagaimana Rasulullah SAW yakin atas kebenaran yang dibawanya selama 10 tahun dan Abu Lahab sememangnya tidak akan memeluk Islam. Keyakinan ini membuktikan bahawa al-Quran memang wahyu Allah yang mengetahui segala sesuatu dan ia diturunkan kepada nabi terakhir yang diutus untuk umat manusia, Muhammad SAW.

Prof Abdul Ahad juga merujuk kepada New Catholic Encyclopaedia dalam topik 'al-Quran' dikatakan bahawa walaupun banyak kajian dan percubaan untuk mengelirukan kebenaran al-Quran tetapi pada akhirnya: "Selama berabad-abad muncul banyak teori mengenai sumber al-Quran tetapi tidak satu pun daripada teori itu boleh diguna pakai oleh seorang yang berakal." Beliau menambah ada gereja yang pada mulanya teruja untuk mengadaptasi teori berkenaan tetapi pada akhirnya mereka semua menolaknya dan malangnya mereka tidak berani untuk mengakui kebenaran teori umat Islam. Apa pendapat anda? Adakah anda masih meragui kebenaran al-Quran yang mempesonakan? Terima kasih Profesor Abdul Ahad.