Showing posts with label Hadhanah. Show all posts
Showing posts with label Hadhanah. Show all posts

Wednesday, April 22, 2009

Peguam Syarie Menulis : Perintah kes nafkah, hadanah tak boleh digantung

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip
http://peguamsyarie.blogspot.com

Perayu mesti patuhi arahan pelaksanaan bagi memastikan hak anak belum mumayyiz terpelihara

MERUJUK peruntukan undang-undang syariah, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati terhadap suatu penghakiman mahkamah sama ada keseluruhan atau sebahagian penghakiman itu boleh merayu kepada mahkamah lebih tinggi dengan memasukkan notis rayuan dalam 14 hari dari tarikh penghakiman dikeluarkan.

Ini bermaksud, jika kes itu diputuskan di Mahkamah Rendah Syariah, pihak tidak berpuas hati boleh merayu kepada Mahkamah Tinggi Syariah dan jika tidak berpuas hati pada peringkat Mahkamah Tinggi Syariah, boleh membuat rayuan di Mahkamah Rayuan Syariah di negeri di mana penghakiman dikeluarkan.

Seksyen 139 (3) dan (4) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan: "Seseorang perayu boleh merayu terhadap keseluruhan atau mana-mana bahagian daripada sesuatu keputusan."

Notis rayuan hendaklah difailkan dalam 14 hari dari tarikh keputusan diumumkan dan hendaklah menyatakan sama ada keseluruhan, sebahagian saja atau bahagian yang mana, keputusan itu hendak dirayu."

Namun begitu, jika pihak yang membuat rayuan berhasrat untuk menggantung pelaksanaan perintah itu, pihak yang merayu boleh membuat permohonan ke mahkamah yang mengeluarkan penghakiman untuk menggantung pelaksanaan penghakiman sementara menanti rayuan diputuskan.

Contohnya, jika bekas suami diperintahkan mahkamah membayar sejumlah wang sebagai bayaran mutaah kepada bekas isterinya dan lelaki itu tidak berpuas hati dengan kadar bayaran diputuskan mahkamah, dia boleh memohon kepada mahkamah untuk menggantung pelaksanaan pembayaran mutaah sehingga mahkamah lebih tinggi memutuskan rayuan berkaitan jumlah yang perlu dibayar.

Memfailkan notis rayuan tanpa membuat permohonan penggantungan pelaksanaan perintah di mahkamah yang mengeluarkan perintah mengikut prosedur ditetapkan tidak akan menggantung pelaksanaan perintah itu.

Dengan hanya memasukkan notis rayuan tanpa membuat permohonan penggantungan ke mahkamah dan diluluskan oleh mahkamah, penggantungan tidak akan berlaku secara automatik.

Hakim berkuasa untuk membenarkan pergantungan permohonan pihak yang merayu atas alasan mencukupi. Seksyen 144 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan: "Pemfailan suatu notis rayuan tidaklah berkuat kuasa sebagai penggantungan pelaksanaan, tetapi mahkamah boleh, atas permohonan dan apabila sebab mencukupi ditunjukkan, menggantung pelaksanaan atas apa-apa terma yang difikirkannya patut."

Namun, bukan semua kes akan dibenarkan penggantungan pelaksanaan oleh mahkamah sementara menanti rayuan diputuskan mahkamah lebih tinggi. Berdasarkan Arahan Amalan no. 1 tahun 2005 yang dikeluarkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) menyatakan: "telah bersetuju dan mengesahkan untuk menerima pakai arahan amalan mengenai perayu membuat rayuan dengan alasan tidak berpuas hati keputusan mahkamah yang dirayu dalam kes mal, menurut hukum syarak adalah memadai untuk menggantung pelaksanaan perintah sementara menunggu keputusan rayuan dan rujukan hendaklah dibuat kepada mana-mana kes yang sudah diputuskan oleh mahkamah lebih tinggi kecuali dalam kes nafkah, upah menyusu, tempat tinggal, hadanah dan serah anak yang belum mumayyiz kepada ibu."

Arahan amalan jelas menyatakan tidak semua kes boleh dibenarkan untuk digantung pelaksanaan sementara menanti kes rayuan diputuskan. Mengikut hukum syarak, kes seperti nafkah, upah menyusu, tempat tinggal, hadanah dan serah anak yang belum mumayyiz kepada ibu tidak dibenarkan untuk digantung pelaksanaannya.

Jika penggantungan dibenarkan, sudah tentu akan memberi kesan kepada pihak suatu lagi dan kepada anak masih kecil, terutama soal berkaitan hadanah atau hak penjagaan anak yang belum mumayyiz.

Bagi kes membabitkan nafkah anak, jika penghakiman sudah dikeluarkan mahkamah memerintahkan bapa membayar sejumlah nafkah anak dan rayuan dibuat ke mahkamah oleh bapa kerana tidak berpuas hati dengan keputusan bersama permohonan penggantungan pelaksanaan perintah.

Jika permohonan penggantungan pelaksanaan bapa tadi sebagai perayu dibenarkan sudah tentu akan menafikan hak anak mendapatkan nafkah daripada bapanya sementara menunggu keputusan rayuan di mahkamah lebih tinggi.

Justeru, panduan yang sudah diberikan melalui Arahan Amalan berkaitan penggantungan pelaksanaan perintah sementara menanti rayuan diputuskan adalah wajar dipatuhi kerana ia selari hukum syarak. Prinsip keadilan dalam Islam akan lebih terpancar jika pihak terbabit mengetahui undang-undang serta mendalami hukum syarak.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com

Wednesday, April 1, 2009

Peguam Syarie Menulis: Hukum syarak rujukan utama dalam penyelesaian kes hadanah

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip
http://peguamsyarie.blogspot.com

Hakim diperintah adil tangani pertikaian hak jagaan anak

PERCERAIAN adalah perkara dibenci Allah, tetapi diharuskan oleh syarak jika perkahwinan itu tidak mendatangkan kebaikan malah menimbulkan kemudaratan kepada seseorang individu.

Dewasa ini kes perceraian dikatakan meningkat dari setahun ke setahun di mana statistik terbaru Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menunjukkan peningkatan kes kepada 20,294 kes pada 2008 berbanding 13,605 kes pada 1990.

Peningkatan itu amat membimbangkan kerana kesannya bukan saja terhadap pasangan, malah anak hasil perkahwinan. Secara tidak langsung, ia menyumbang kepada peningkatan kes tuntutan anak di Mahkamah Syariah.

Justeru, apabila berlaku perceraian, sama ada ibu atau bapa boleh membuat permohonan ex-parte (sebelah pihak) untuk menjaga anak mereka secara sementara (interim) sehingga kes hak jagaan (hadanah) kekal diputuskan mahkamah.

Ini berlaku apabila pihak pemohon membuat permohonan di Mahkamah Syariah secara sebelah pihak tanpa perlu menyampaikan notis permohonan kepada pihak satu lagi untuk mendapatkan hak penjagaan anak.

Mahkamah selepas mendengar permohonan difailkan dan berpuas hati dengannya, akan mengeluarkan perintah interim secara ex-parte. Prosiding ini biasanya dijalankan dalam kamar dan tidak dalam mahkamah terbuka.

Permohonan ex-parte adalah permohonan di mana mahkamah membuat suatu keputusan selepas mendengar keterangan satu pihak saja. Oleh sebab pihak satu lagi tidak mengetahui mengenai permohonan itu dan seterusnya tidak berpeluang menyoal balas keterangan pemohon, membentangkan hujah serta keterangannya, maka perintah ex-parte ini bersifat sementara dan boleh diketepikan.

Secara umumnya pemohon perlu memfailkan tindakan induk hak jagaan anak dalam masa 14 hari selepas perintah dikeluarkan. Ini dilakukan supaya pihak satu lagi (responden) dapat mencabar kes pemohon di mahkamah terbuka secara inter-parte atau dengan kehadiran kedua-dua belah pihak.

Seksyen 201 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Selangor (2003) menyebut: "Jika mahkamah berpuas hati, atas permohonan mana-mana pihak untuk mendapatkan hadanah seseorang kanak-kanak dalam apa-apa kausa atau perkara, bahawa hal keadaan memerlukan dibuat suatu perintah interim mengenai hadanah kanak-kanak itu, maka mahkamah boleh membuat perintah sedemikian yang hendaklah berkuat kuasa serta-merta dan berkuat kuasa hingga mahkamah membuat keputusan atas perkara itu."

Seksyen itu jelas memperuntukkan apabila seseorang itu membuat permohonan dan memerlukan perintah interim, maka perintah dikeluarkan mahkamah melalui perintah ex-parte hendaklah berkuat kuasa sehingga mahkamah memutuskan berkaitan dengan kes induknya.

Berhubung permohonan ex-parte dalam kes hadanah, tiada nas atau dalil jelas mengenainya. Sebaliknya, dalil syarak yang ada menunjukkan sesuatu penghakiman hanya boleh dibuat selepas hakim mendengar semua keterangan daripada kedua-dua belah pihak.

Amalan ini berasaskan hadis diriwayatkan Abu Daud bermaksud: Ali bin Abi Talib berkata, Rasulullah SAW mengutuskan aku ke Yaman sebagai kadi. Aku berkata kepada Rasulullah SAW, "Wahai Rasulullah! Tuan mengutuskan saya (menjadi kadi) sedangkan saya masih muda dan tidak mengetahui mengenai kehakiman. Rasulullah SAW berkata: Sesungguhnya Allah akan memberikan hidayahnya dan menetapkan lidahmu, jika engkau menghakimkan di antara dua orang yang bertikai, janganlah engkau membuat keputusan sehingga kamu sudah mendengar (hujah) yang satu lagi seperti kamu mendengar yang pertama, dengan demikian hukuman akan jelas. Saidina Ali berkata, sejak itu aku terus menjadi kadi dan tidak pernah ragu-ragu dalam membuat keputusan."

Namun, ada pengecualian terhadap kaedah umum hukum syarak tadi iaitu diharuskan permohonan dan penghakiman secara ex-parte dalam keadaan tertentu iaitu berdasarkan kepada pemakaian beberapa kaedah fiqh menyokong hukum pengecualian itu seperti:

# Kesukaran menarik kemudahan

# Apabila urusan itu menyempit longgarlah ia

# Kemudaratan itu haruslah dilenyapkan

# Kemudaratan itu menghalalkan larangan dan;

# Tidak ada pengharaman berserta darurat dan tidak ada kemakruhan bersama keperluan hajat.

Kaedah ini secara kolektif dapat memberi maksud dalam konteks permohonan secara ex-parte dan memberi ruang cukup luas bagi mahkamah menggunakan budi bicaranya secara bijaksana untuk mendengar serta memutuskan permohonan ex-parte berdasarkan kewujudan sebarang unsur mendesak dengan syarat tertentu.

Sesungguhnya faktor segera dan terdesak untuk mendengar sesuatu permohonan adalah inti pati kepada permohonan ex-parte. Malah, tahap pembuktian diperlukan cukup setakat berat sangka (dzan al-ghalib) bermaksud keterangan diberikan tidak mencapai tahap yakin. Ia didasarkan kepada kenyataan bahawa ada kalanya dzan ini menepati kebenaran.

Keharusan permohonan ex-parte dalam kes hadanah diperkuatkan lagi prinsip keadilan dalam Islam. Allah berfirman bermaksud: "Dan Allah menyuruh kamu apabila kamu menghakimi di antara manusia bahawa kamu memberikan hukuman yang adil" (Surah an-Nisa', ayat 58)

Ayat ini boleh difahami sebagai satu bentuk perintah kepada hakim untuk melakukan keadilan kepada setiap pihak yang mengadu kepadanya. Keadilan dituntut supaya diberi kepada pengadu tidak mungkin dapat disempurnakan jika pihak satu lagi dapat menafikan hasil keputusan sesuatu penghakiman.

Oleh itu, dalam konteks hadanah, mahkamah memberikan satu perintah iaitu perintah penjagaan sementara kepada pihak memohon.

Justeru, hukum syarak adalah rujukan utama dalam sebarang permasalahan termasuk prosedur berkaitan permohonan perintah ex-parte dalam kes hadanah.

Matlamat hukum syarak adalah untuk memberi keadilan kepada pihak yang bertikai. Oleh sebab itu, selagi mana sesuatu prosedur itu boleh menepati prinsip keadilan, ia dibolehkan oleh hukum syarak dan ini termasuklah permohonan ex-parte.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com

Thursday, October 16, 2008

Hak Muslim: Bekas suami, isteri boleh rayu ketepi perintah ex-parte

http://www.peguamsyarie.org

Soalan:

SAYA mempunyai sepasang anak, seorang lelaki berumur setahun dan perempuan tiga tahun. Pada November 2007, saya memfailkan tuntutan hadhanah di Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan kerana saya bekerja di sana.

Bekas suami saya membuat tuntutan hadhanah di Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan dan diberi hak penjagaan sementara secara ex-parte untuk anak perempuan kami. Soalan saya:

1) Bolehkah tuntutan sama dibuat di dua negeri sedangkan mengikut bukti tarikh pendaftaran, kes saya terlebih dulu difailkan?

2) Bolehkah Mahkamah Tinggi Syariah memberi hak penjagaan sementara kepada bapa terhadap seorang anak perempuan di bawah umur mumayyiz dan si ibu dilarang daripada berjumpa seperti dalam perintah hak penjagaan sementara itu.

Banyak keraguan di dalam perintah berkenaan?

Puan Roslinah
Seremban,
Negeri Sembilan.

Jawapan:

Tuntutan sama di dua negeri berlainan:

Isu pertindihan pendaftaran kes berkemungkinan berlaku kerana setakat ini belum ada penyeragaman pendaftaran kes yang membabitkan seluruh negara, melainkan di negeri yang menggunakan perkhidmatan guna sama mengikut pentadbiran Persekutuan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), iaitu Perlis, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang dan Sabah. Kelantan tidak termasuk dalam senarai itu tetapi tetap masih mengaplikasikan Arahan Amalan dikeluarkan oleh JKSM untuk tujuan penyeragaman.

Arahan Amalan JKSM Nombor 12, 2002 menggariskan kes yang difailkan atas isu sama oleh pihak sama di mahkamah di sesebuah negeri tidak boleh diterima pendaftarannya di mahkamah di negeri lain.

Mengikut Arahan Amalan Nombor 13, tahun sama, jika berlaku pertindihan pendengaran kes atas isu dan pihak sama dan prosidingnya masih berkuat kuasa, maka kes yang terlebih dulu difailkan hendaklah diberikan keutamaan.

Maka kes puan sepatutnya diberi keutamaan untuk didengar dan diputuskan, dengan syarat puan membuktikan yang ia difailkan dulu berbanding bekas suami puan. Masalah puan ini bolehlah dirujuk ke Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia di Putrajaya untuk tujuan semakan oleh jabatan berkenaan.

Hak Jagaan Sementara Anak Bawah Umur Kepada Bapa

Mahkamah mempunyai kuasa budi bicara untuk memberikan sebarang perintah sementara mengenai hadhanah atas terma yang patut menurut hukum syarak. Perintah sementara itu boleh diberikan secara ex-parte (sebelah pihak) jika keadaan mendesak yang memerlukan campur tangan mahkamah dan demi kepentingan keadilan atau perlindungan kepada anak itu.

Walaupun menurut prinsip asasnya, ibu adalah paling berhak bagi menjaga anaknya yang masih kecil. Perlu ditekankan ibu yang dikatakan layak itu ialah ibu yang memenuhi syarat yang digariskan hukum syarak, iaitu seorang Islam, sempurna akal, berkelayakan untuk memberi anak itu kasih sayang yang diperlukan, berkelakuan baik; dan mempunyai tempat tinggal sesuai untuk anak itu.

Hak menjaga anak juga boleh hilang jika ibu itu berkahwin lain, ibu itu berkelakuan buruk secara terbuka, ibu itu menukar pemastautin dengan tujuan mencegah bapa anak itu menjalankan pengawasan ke atas anak itu, murtad, ibu cuai atau menganiaya anak itu.

Jika ibu gagal memenuhi syarat dinyatakan, maka hak penjagaan berkemungkinan beralih kepada orang lain. Perlu juga diingatkan dalam menentukan hak penjagaan anak, kesejahteraan dan kebajikan anak itu akan diberi keutamaan oleh mahkamah, bukan keutamaan ibu atau bapanya. Berkemungkinan besar mahkamah mendapati kebajikan anak itu lebih terbela jika dijaga bekas suami puan, maka sebab itulah hak jagaan sementara diberikan kepadanya.

Saya tidak dapat mengulas mengenai terma dalam perintah yang menegah atau melarang puan daripada berjumpa dengan anak berkenaan. Mungkin puan tersilap pandang atau kesilapan perkeranian. Hubungan di antara anak dengan ibu dan bapanya tidak akan terputus dan tidak boleh diputuskan. Sabda Rasulullah yang bermaksud : "Tidak akan masuk syurga orang yang memutuskan silaturrahim."

Semua perintah sementara yang dikeluarkan mahkamah boleh diketepikan jika pihak satu lagi tidak berpuas hati dengan kandungan perintah itu atau jika berlaku kesilapan teknikal, prosedur, penyalahgunaan proses mahkamah, berlaku kezaliman atau bertentangan dengan hukum syarak.

Seksyen 194 Enakmen Tatacara Mahkamah Syariah memperuntukkan bahawa 'mahkamah boleh atas permohonan mana-mana pihak dalam mana-mana klausa atau perkara, mengetepikan sesuatu perintah yang dibuat secara ex-parte."

Permohonan untuk mengetepikan perintah ex-parte itu hendaklah dibuat dalam masa 14 hari daripada tarikh puan diserahkan perintah itu dan hendaklah didengar secara inter-parte (dua belah pihak). Saya nasihatkan puan dapatkan khidmat peguam syarie yang bertauliah kerana proses yang saya nyatakan di atas banyak membabitkan aspek teknikal dan prosedur.

Jawapan disediakan oleh Tuan Musa Awang, Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Layari http://www.peguamsyarie.org.