Showing posts with label Derhaka. Show all posts
Showing posts with label Derhaka. Show all posts

Tuesday, January 19, 2010

Tidak sia-sia menjaga ibu bapa sudah berumur

Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus
http://akob73.blogspot.com


PADA zaman sekarang ramai anak tidak sanggup menjaga ibu bapa ketika usia tua sehingga ada yang meninggalkan mereka di rumah kebajikan. - Gambar hiasan


Sikap biadap kepada orang tua sendiri bertentangan dengan budaya Melayu


BARU-BARU ini kita digemparkan dengan kisah anak derhaka yang sanggup membuangkan bapa mereka yang sudah dimamah usia sehingga terpaksa merempat meminta belas ihsan orang lain. Dalam kes pertama, seorang bapa yang baru saja menjalani pembedahan jantung ditinggalkan di sebuah perhentian bas kerana dikatakan kehadirannya tidak disukai isteri dan anaknya, lalu kehadirannya di rumah boleh menjejaskan keharmonian rumah tangga mereka.

Dalam kes kedua pula, seorang bapa yang sedang menghidap penyakit buah pinggang kronik dianggap sebagai beban bagi anak-anak kerana perlu menghantar bapa mereka ke pusat hemodialisis, lalu ditinggalkan bapanya yang sedang sakit itu di pusat terbabit.

Maka tercampaklah kedua-dua bapa yang suatu ketika dulu bertungkus-lumus membanting tulang membesarkan anak, di rumah orang tua Jabatan Kebajikan Masyarakat. Apa yang lebih mendukacitakan, sifat tidak berperikemanusiaan ini timbul di kalangan mereka mengaku sebagai orang Islam sedangkan Islam mencela dengan keras perbuatan seumpama ini.

Nabi SAW pernah bertanya kepada sahabat sebanyak tiga kali: "Mahukah aku memberitahu kalian mengenai dosa yang paling besar?" Maka mereka pun menjawab: "Sudah tentu wahai Rasulullah." Baginda menjelaskan: "Syirik kepada Allah, derhaka kepada ibu bapa (perawi menerangkan bahawa baginda ketika itu duduk sambil bersandar, lalu menyambung) dan sumpah yang palsu." � Hadis riwayat Imam al-Bukhari.

Lihatlah bagaimana dosa menderhaka kepada ibu bapa ini diletakkan dalam satu kategori bersama dosa mensyirikkan Allah SWT iaitu dosa yang paling keji di atas muka bumi ini.

Justeru, Islam mengajar penganutnya agar sentiasa berusaha untuk menggembirakan ibu bapa lebih-lebih lagi yang sudah lanjut usianya dengan apa juga cara selagi ia tidak bercanggah dengan syarak. Islam melarang seseorang itu sama sekali untuk bersikap kasar kepada ibu bapanya. Firman-Nya: "Dan Tuhanmu memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan kepada-Nya dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan 'ah' dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia." � Surah al-Israa' (17 : 23).

Menjaga ibu bapa yang sudah tua bukan satu urusan mudah. Kebiasaannya tubuh dimamah usia menyebabkan pergerakan mereka terbatas bahkan ada kalanya memerlukan bantuan daripada anak. Jiwa mereka juga semakin sensitif, kuat terasa hati, bahkan agak cerewet dalam banyak perkara.

Ada juga yang sudah mula lemah daya ingatannya menyebabkan perbualan dengan mereka kadang kala boleh menyebabkan anak hilang sabar. Namun kesukaran dalam menjaga ibu bapa ini tidak datang dengan sia-sia. Bagi mereka yang sabar dengan kerenah ibu bapa mereka dan tetap menjaga mereka dengan baik dalam apa juga suasana, maka mereka sebenar menempah tiket untuk ke syurga.

Rasulullah SAW pernah mencela mereka yang memiliki ibu bapa yang sudah lanjut usia namun masih tidak mampu untuk memasuki syurga. Baginda pernah bersabda: "Sungguh hina, sungguh hina, sungguh hina!" Baginda ditanya: "Siapakah wahai Rasulullah (yang hina itu)?" Baginda menjawab: "Orang yang mendapati orang tuanya dalam keadaan tua, sama ada salah seorang atau kedua-duanya, kemudian dia tidak memasuki syurga." � Hadis riwayat Muslim.

Kedudukan istimewa ibu bapa terserlah apabila Rasulullah SAW tidak membenarkan seseorang melaksanakan satu misi besar lagi penting dalam urusan dakwah sekiranya ia bakal mengundang kesedihan kepada ibu bapanya atau tidak mendapat keizinan mereka.

Ketika peristiwa Hijrah, ada seorang sahabat datang kepada baginda dengan memberi taat setia (bai'ah) untuk turut berhijrah, namun perbuatannya ini menyebabkan kedua ibu bapanya menangis. Maka Rasulullah SAW bersabda kepadanya: "Kembalilah kepada mereka berdua dan jadikanlah mereka berdua ketawa (gembirakanlah mereka) sebagaimana kamu jadikan mereka menangis." � Hadis riwayat Imam al-Nasaa'i.

Di dalam peristiwa lain, seorang lelaki dari Yaman berhijrah kepada Rasulullah SAW untuk berjihad bersama baginda, namun apabila baginda mendapati dia belum mendapat keizinan kedua ibu bapanya maka baginda bersabda: "Kembalilah kepada mereka berdua dan mintalah izin daripada mereka berdua. Jika mereka mengizinkan kau maka berjihadlah akan tetapi (jika tidak) maka berbuat baiklah kepada mereka berdua." � Hadis riwayat Abu Daud.

Lihatlah bagaimana berbakti kepada ibu bapa itu lebih utama berbanding dua perkara yang begitu penting dalam Islam iaitu peristiwa hijrah dan juga jihad.

Berhati-hatilah bagi anak yang pernah melukakan hati kedua orang tua mereka. Janganlah tindakan mereka itu sehingga menyebabkan ibu mahupun bapa mendoakan keburukan terhadap anak kerana doa golongan yang dizalimi dan doa ibu bapa itu pasti makbul. Rasulullah pernah bersabda: "Tiga jenis doa yang pasti akan dikabulkan tanpa diragui lagi, doa orang yang dizalimi, doa orang yang sedang dalam perjalanan (musafir) dan doa orang tua ke atas anaknya." � Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi.

Sikap biadap kepada ibu bapa ini turut bertentangan dengan budaya Melayu yang terkenal dengan tatasusila tinggi serta lemah lembut. Entah mana silapnya sifat jelik menghina dan membuang bapa sehingga merempat di tepi jalan ini boleh wujud di tengah-tengah masyarakat Melayu beragama Islam.

Penduduk sekeliling perlu menghukum mereka yang menzalimi orang tua mereka dengan memboikot mereka dalam urusan harian agar mereka tahu perbuatan mereka itu tidak diterima oleh masyarakat. Jangan kita berlembut dengan si penderhaka yang tidak tahu mengenang jasa orang tuanya itu. Sekiranya terhadap bapanya yang membesarkannya sanggup dizalimi, apakah yang menghindarkannya daripada menzalimi jiran tetangga?

Secara realitinya setiap manusia sememangnya tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan, namun hendaklah seseorang itu menebus apa juga kesilapannya dengan tidak meneruskan perbuatan itu serta bertaubat.

Penulis, adalah salah seorang pengasas laman web www.al-fikrah.net, kini bertugas sebagai Penolong Naib Presiden di Bahagian Perbankan Perniagaan, Affin Bank Berhad dan boleh dihubungi di http://akob73.blogspot.com.

Thursday, December 3, 2009

Hak Muslim: Ibu bapa ada hak ambil balik harta yang diberi kepada anak

Soalan:

SAYA mempunyai ibu bapa angkat yang sudah uzur. Kedua-duanya tinggal di rumah orang tua sejak setahun lalu. Menurut ibu bapa angkat saya, mereka ada seorang anak perempuan namun tidak pernah datang menjenguk sejak setahun yang lalu.

Ibu bapa angkat saya sebenarnya memiliki banyak rumah dan tanah, tetapi semuanya sudah diberikan kepada anak perempuan dan suaminya kerana mereka pernah berjanji akan menjaga ibu bapa jika semua harta diberikan.

Sebaliknya ibu bapa angkat dihantar ke rumah orang tua. Saya kecewa dengan tindakan anak perempuan yang bukan saja derhaka malah kejam dan zalim mengabaikan ibu bapanya sendiri setelah semua harta dibolot. Bolehkah ibu bapa angkat saya menuntut balik hak mereka?

Karim Ahmad

Jawapan:

IBU bapa adalah manusia paling berjasa di dunia ini dan Islam mewajibkan setiap anak melayan ibu bapa dengan baik dan melaknat anak yang menderhaka apatah lagi menzalimi ibu bapa.

Dalam kes ini, ibu bapa angkat saudara sebenarnya berhak menarik balik pemberiannya dengan beberapa syarat.

Harta itu sememangnya diperoleh anak melalui hibah daripada ibu bapanya. Justeru bapa perlu membuktikan bahawa harta yang ingin dituntutnya itu adalah harta yang dihibahkan kepada anaknya.

Harta masih wujud. Jika harta itu sudah habis digunakan anak, maka ibu bapa angkat saudara tidak boleh menuntutnya kembali.

Harta itu hendaklah masih dalam milikan si anak. Jika harta sudah dipindah milik kepada orang lain, maka ibu bapa angkat saudara tidak boleh membuat tuntutan. Oleh demikian, tindakan tepat sekarang adalah meminta ibu bapa angkat saudara memasukkan kepentingannya ke dalam harta itu dengan cara mendaftarkan kaveat di pejabat tanah, melantik pemegang amanah, penama atau wasi.

Harta itu tidak diperoleh semula oleh anak dengan cara lain contohnya hartanah berkenaan pernah berpindah milik, kemudian diperoleh semula oleh anak melalui transaksi baru seperti hadiah, pembelian atau pusaka daripada orang lain, maka ia tidak boleh dituntut.

Saya menasihatkan ibu bapa angkat saudara mendapatkan perintah menarik balik atau membatalkan hibah itu dengan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah berdekatan tempat tinggal ibu bapa angkat saudara.

Dengan perintah itu, ibu bapa angkat saudara akan mendapat balik hak mereka terhadap rumah dan harta berkenaan. Bagi tujuan permohonan, ibu bapa angkat saudara dikehendaki mengemukakan kepada mahkamah saksi serta dokumen menunjukkan harta itu kepunyaannya seperti geran tanah, sijil saham atau perjanjian jual beli dan dokumen berkaitan bagi menyokong permohonan mereka.

Saya juga menasihatkan saudara melantik peguam syarie bertauliah bagi pihak ibu bapa angkat untuk melicinkan permohonan itu. Jika ibu bapa angkat saudara tidak mampu mengupah peguam swasta, saudara boleh mendapatkan khidmat Biro Bantuan Guaman, Pusat Bantuan Guaman dan Biro Bantuan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Saya mendoakan semoga niat saudara diberkati Allah dan ibu bapa angkat saudara berjaya mendapatkan semula hak mereka sebagai pengajaran kepada anak menantunya yang tidak mengenang budi.

Saturday, May 9, 2009

Derhaka terhadap ibu bapa hampiri dosa syirik

Oleh Mohd Shukri Hanapi


PERHATIAN dan kasih sayang anak lebih penting kepada ibu bapa berbanding wang ringgit. - Gambar hiasan


Islam anjur hormat, taat selagi suruhan mereka tidak melanggari hukum syariat

GANDINGAN dan keserasian antara ibu bapa berjaya mendidik serta membesarkan anak mereka. Ibu bapa sanggup mengorbankan kepentingan diri dan mengharungi pelbagai cabaran demi memastikan kesenangan hidup anak.

Jika dilihat hari ini, sesetengah ibu bapa terpaksa keluar rumah seawal pagi semata-mata untuk mencari rezeki bagi menampung keperluan keluarga. Pengorbanan itu sepatutnya dibalas dengan anak menghormati, mentaati dan berbuat baik kepada ibu bapa.

Ini sebagai suatu penghargaan tertinggi anak membalas jasa ibu bapa. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan tuhanmu memerintahkan supaya engkau tidak menyembahkan melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan 'uuh', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mana mereka mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." (Surah al-Israk, ayat 23-24)

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Masud: "Aku pernah bertanya Rasulullah SAW: Apakah amalan yang paling utama? Baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua orang tua. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah. Kemudian aku bertanya lagi kepada Baginda, semata-mata ingin menemani dan menjaga perasaan Baginda." (Hadis riwayat Muslim)

Sebenarnya kewajipan menghormati ibu bapa tidak terhenti walaupun kedua-dua mereka sudah meninggal dunia. Walaupun ibu bapa sudah meninggal dunia anak dikehendaki berdoa supaya mereka sentiasa bahagia di sisi Allah. Selain itu, anak digalakkan menziarahi kubur ibu bapa mereka.

Jelaslah menghormati, mentaati dan berbuat baik kepada ibu bapa adalah suatu amalan utama serta berterusan sepanjang masa. Perintah Islam supaya menghormati dan mentaati ibu bapa ini berbentuk umum tidak kira sama ada mereka beragama Islam atau tidak.

Cuma, bagi ibu bapa bukan beragama Islam, perintah menghormati dan mentaati itu dengan bersyarat iaitu selagi mana ibu bapa tidak menyuruh anaknya yang beragama Islam melakukan perkara mensyirikkan Allah.

Diriwayatkan daripada Sa'id bin Abu Waqqas bahawa Ummu Sa'ad adalah seorang kafir. Kerana terlalu benci kepada Rasulullah SAW, pada suatu hari Ummu Sa'ad berkata kepada anaknya, "Bukankah Allah menyuruh engkau berbuat baik kepada ibu bapamu? Demi Allah, aku tidak akan makan dan minum sehingga aku mati atau engkau kufur (kepada Nabi Muhammad SAW)." (Hadis riwayat Muslim)

Berikutan peristiwa itu, Allah menurunkan ayat yang bermaksud: "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau menyekutukan Aku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kamu semua kembali, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang telah kamu kerjakan." (Surah al-Ankabut, ayat 8)

Peristiwa di atas dikuatkan lagi dengan wasiat Luqman al-Hakim kepada anaknya dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah juga tempat kembali (untuk menerima balasan). Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau menyekutukan Aku (Allah) dengan sesuatu yang engkau � dengan akal fikiranmu - tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal salih). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu kerjakan." (Surah Luqman, ayat 14-15)

Inilah cara pergaulan dengan ibu bapa yang dianjurkan Islam. Hormat dan taatilah ibu bapa selagi suruhan mereka itu tidak melanggari syariat Islam. Mengingkari perintah supaya berbuat baik kepada ibu bapa termasuk dalam dosa besar.

Jika menyebut ungkapan 'uh' atau 'ah' pun sudah dikira menyakiti dan menderhaka, apatah lagi jika ada antara anak yang mencerca, memaki dan memukul ibu bapa mereka.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin al-'As: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca kedua orang tuanya. Sahabat Baginda bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun kedua orang tuanya? Rasulullah SAW menjawab: Ya. Seorang lelaki yang memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga jika seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Menderhaka kepada ibu bapa adalah dosa besar selepas syirik. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, Nabi SAW pernah menceritakan mengenai dosa besar. Baginda bersabda yang bermaksud: "Menyekutukan Allah, menderhaka kedua-dua ibu bapa, membunuh dan berkata dengan kata-kata palsu." (Hadis riwayat Muslim)

Selain itu, banyak peristiwa dan kejadian menimpa orang yang menderhaka ibu bapanya. Salah satunya ialah peristiwa yang menimpa Alqamah, sahabat yang kuat beribadah kepada Allah tidak dapat melafazkan kalimah tauhid di saat kematiannya kerana mengguris hati ibunya.

Betapa beratnya dosa menyakiti ibu bapa, lidah Alqamah seakan-akan terkunci. Tiada sepatah perkataan pun terkeluar dari mulutnya. Azab menimpa Alqamah berakhir setelah ibunya memaafkan kesalahan dilakukannya.

Peristiwa itu menjelaskan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Reda Tuhan (Allah) ada dalam reda kedua-dua ibu bapa dan kemurkaan-Nya ada dalam kemurkaan kedua-duanya." (Hadis riwayat al-Tabrani)

Oleh itu, jadikanlah peristiwa Alqamah sebagai pengajaran dan iktibar bahawa ibu bapa itu wajib dihormati dan dipatuhi. Janganlah kerana suatu perkara remeh, seseorang anak sanggup melupai dan menderhaka terhadap ibu bapa.

Biar bagaimana juga keadaan ibu bapa, tidak sepatutnya seorang anak menghantar ibu bapa mereka yang lanjut usia ke rumah orang tua dengan alasan menyusahkan atau membebankan. Ketika usia semakin lanjut itulah, mereka amat memerlukan layanan, perhatian, belaian dan kasih sayang anak.

Balas segala kesusahan dan kepayahan ibu bapa menjaga serta memelihara kita dengan sesuatu yang menggembirakan mereka. Perhatian dan kasih sayang anak lebih penting kepada ibu bapa berbanding wang ringgit.