Friday, January 29, 2010
Pelbagai halangan kuat kuasa undang-undang syariah
hasliza@bharian.com.my
Ada pihak mengkritik, mempertikai tindakan penguasa agama, kekang aktiviti maksiat
KAEDAH penguatkuasaan undang-undang ada kalanya perlu dilakukan bagi mencegah serta menyelesaikan jenayah syariah dan pelaksanaannya oleh pihak berkuasa mestilah mendapat sokongan masyarakat.
Ini kerana tidak dinafikan ada kalanya penguatkuasaan undang-undang syariah sukar untuk dilaksanakan kerana ada yang beranggapan, malah mempertikai undang-undang ditetapkan Islam itu sebagai melanggar hak asasi manusia.
Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Badli Shah Alauddin, berkata pelbagai terma undang-undang digunakan pihak tertentu yang mempersoal tindakan pihak berkuasa syariah untuk menegakkan undang-undang yang hakikatnya termaktub dalam perundangan.
Katanya, kritikan dilemparkan itu bukan saja memberi kesan negatif kepada pihak penguat kuasa undang-undang yang menjalankan tanggungjawab mereka, malah mencabar undang-undang syariah sehingga menyebabkan hilang rasa hormat terhadap sistem perundangan Islam.
"Contohnya terma 'victimless crime' atau jenayah tanpa mangsa merangkumi undang-undang berkaitan kesopanan atau tatasusila. Ia bukan terma undang-undang tetapi digunakan pihak tertentu untuk mempertikai tindakan pihak berkuasa syariah.
"Dalam konteks jenayah syariah, kesalahan berkaitan tatasusila seperti perbuatan tidak sopan, khalwat dan meminum minuman memabukkan bertentangan dengan ajaran Islam tetapi sering dilaung-laungkan sebagai menyalahi kebebasan individu," katanya.
Katanya, hal itu diburukkan lagi dengan kritikan terbuka segelintir masyarakat yang menuduh pihak penguat kuasa agama mencampuri urusan peribadi dan kebebasan apabila menangkap serta menyiasat golongan disyaki terbabit kesalahan moral.
Gelaran 'polis moral' atau 'pengintip' dicanang dan dilaungkan untuk merendahkan moral serta memberi penekanan kepada pihak penguat kuasa agama menjalankan tanggungjawab hakiki mereka mencegah kemungkaran.
Sebaliknya, setiap hari masyarakat didedahkan dengan laporan mengenai salah laku umat Islam dalam pelbagai jenayah syariah yang kini dikatakan pada tahap membimbangkan sementara usaha menanganinya pula sering mendapat 'campur tangan' tidak sepatutnya.
Katanya, kejahilan mengenai mekanisme tatacara perundangan juga menyebabkan usaha membanteras perbuatan menyalahi undang-undang tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna.
Beliau berkata, pihak berkuasa mempunyai kaedah tertentu untuk berdepan pesalah jenayah syariah termasuk menilai sesuatu kesalahan itu terlebih dulu sebelum mengambil sebarang tindakan diperuntukkan undang-undang.
Pegawai penguat kuasa agama akan hanya memberi nasihat dan mengarah untuk beredar apabila berdepan perlakuan yang dikira kurang 'mencolok mata' seperti berjalan sambil berpegang tangan, duduk rapat, bergurau senda dan sebagainya.
Bagi yang agak mencolok mata seperti duduk merangkul pasangan, pelaku akan diarah hadir kursus pemantapan iman yang diadakan di masjid negeri sementara perlakuan berat seperti berkucupan dan berpeluk secara berdepan, maka pasangan tadi akan didakwa di Mahkamah Syariah.
"Penguat kuasa syariah mempunyai cara tertentu untuk menangani jenayah syariah dan pendekatan kita bukan untuk menghukum tetapi mendidik serta membimbing masyarakat supaya tidak terbabit dengan perbuatan menyalahi hukum syarak.
"Namun, apa yang menyedihkan masyarakat Islam sendiri mencari ruang mempertikaikan apa saja tindakan pihak berkuasa agama. Bagi mereka, isu kesopanan begitu subjektif dan berpakaian seksi, berpegang tangan serta berpeluk-pelukan adalah hak peribadi," katanya.
Beliau berkata, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia memberi penafsiran yang mengesahkan maksud 'bertindak atau berkelakuan tidak sopan' merujuk kepada perbuatan dilakukan di tempat awam termasuk bercumbu-cumbuan, berpeluk-pelukan, pertuturan, isyarat lucah, berpakaian mengghairahkan atau perbuatan tidak sopan yang bertentangan hukum syarak.
Mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997, perbuatan tidak sopan di tempat awam adalah kesalahan dan jika disabitkan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.
Justeru menurut Badli Shah, usaha mencegah atau mengubah kemungkaran bukan terletak di bahu pihak penguatkuasa syariah saja malah wajib dipikul umat Islam untuk bersama menggunakan pendekatan mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
(amar makruf nahi mungkar).
Sementara perkembangan semasa yang memperlihatkan sikap golongan remaja semakin berani melakukan perbuatan tidak sopan di khalayak ramai, beliau merujuk situasi itu kepada kehidupan masyarakat hari ini yang jauh daripada agama.
Oleh itu katanya, dalam setiap hati umat Islam perlu membersihkan jiwa melalui amal ibadat dan ia perlu dilakukan secara berterusan. Pendekatan terbaik mencapai matlamat itu ialah menyemai rasa bertuhan khususnya kepada remaja.
Usaha itu tidak akan menghasilkan keputusan dalam tempoh singkat dan Rasulullah SAW sendiri mengambil masa 13 tahun di Makkah menanam rasa bertuhan di hati sahabat sebelum Baginda memulakan pembangunan negara sepuluh tahun kemudian.
"Baginda bangunkan madrasah yang menjadi pusat melahirkan ilmuwan bertakwa sebagai penyambung dan pelapis perjuangan. Dibangun ekonomi dengan membuka pasar Ansar yang diuruskan Abdul Rahman bin Auf.
"Begitulah perjuangan itu berkembang dan terus membesar hingga akhirnya tiga perempat dunia menyerah diri kepada Islam. Semua itu bertolak daripada iman dan rasa bertuhan. Inilah yang perlu kita lakukan sekarang sebagai usaha mencegah masyarakat daripada terbabit jenayah syariah," katanya.
Tuesday, December 29, 2009
Kanun Jenayah Syariah: Lima perkara utama memartabatkan prinsip perundangan Islam
HUKUMAN hudud, qisas, diyat dan ta'zir dalam Kanun Jenayah Syariah bertujuan menjaga prinsip perundangan Islam yang tertakluk kepada lima perkara :
1. Menjaga agama - Iaitu menjaga akidah supaya tidak terpesong, tidak menjadi orang murtad yang wajib dijatuhkan hukuman bunuh ke atas mereka, jika mereka enggan bertaubat setelah disuruh bertaubat lebih dulu sebelum mereka dihukum bunuh. Sabda Rasulullah SAW: "Sesiapa yang menukarkan agamanya (murtad) maka bunuhlah dia. (Bukhari)
2. Menjaga nyawa - Iaitu menjaga jiwa seseorang dari dibunuh termasuk juga menjaga anggota tubuh badan seseorang, iaitu memberi seseorang manusia hak hidup dan selamat anggota tubuh badan mereka dari dicederakan dan dirosakkan. Mereka yang membunuh manusia atau mencederakan anggota tubuh badan orang lain, tertuduh wajib dijatuhkan hukum qisas atau diyat. Firman Allah Taala: "Dan di dalam hukum qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang yang berakal fikiran supaya kamu bertakwa." (Al-Baqarah: 179)
3. Menjaga akal fikiran - Menjaga akal fikiran manusia dari kerosakan disebabkan minum arak atau minuman memabukkan, mereka yang meminum arak wajib dijatuhkan hukum sebat tidak lebih dari 80 kali sebatan dan tidak kurang dari 40 kali sebatan. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan dari Ali: "Rasulullah menyebat orang yang minum arak sebanyak 40 kali sebat, dan Saidina Abu Bakar menyebat 40 kali sebat juga dan Saidina Umar menyebat sebanyak 80 kali sebat, semuanya adalah sunnah Rasulullah SAW dan ini yang lebih aku sukai. (Riwayat Muslim)
4. Menjaga keturunan - Menjaga seseorang manusia dari melakukan perzinaan supaya nasab keturunan, wali dan warisan anak-anak yang lahir hasil dari persetubuhan haram itu tidak rosak, mereka yang melakukan perzinaan itu wajib dijatuhkan hukum sebat dan rejam. Sabda Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan Ubaidah bin Al-Somit: "Ambillah peraturan daripada aku, ambillah peraturan daripada aku. Sesungguhnya Allah memberi jalan untuk mereka. Perawan sama jejaka yang berzina hukumannya disebat sebanyak seratus kali sebat, dan dibuang negeri selama setahun. Dan janda (duda) sama janda berzina hukumannya disebat sebanyak 100 kali sebat dan direjam." (Muslim dan Abu Daud)
5. Menjaga harta benda - Menjaga harta benda manusia dari dicuri dan dirompak dengan menjatuhkan hukuman potong tangan ke atas pencuri, dan menjatuhkan hukuman mati atau potong tangan dan kaki kedua-duanya sekali atau dibuang negeri ke atas perompak. Hukuman ini tertakluk kepada cara rompakan itu dilakukan, sebagaimana firman Allah Taala: "Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumannya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana." (Al-Maidah: 38)
"Hanya balasan orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi (melakukan keganasan merampas dan membunuh orang di jalan) ialah dengan balasan bunuh (kalau mereka membunuh saja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan berselang (kalau mereka merampas saja) atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman awam). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksaan yang amat besar." (Al-Maidah: 33)
Sumber buku Qanun Jenayah Syariah dan Sistem Kehakiman Dalam Perundangan Islam berdasarkan al-Quran dan Hadis oleh Said Ibrahim, Bekas Mufti Sabah
Saturday, December 5, 2009
Qanun Jenayah Syariah: Hukuman qisas dan diyat bagi jenayah bunuh, cederakan manusia
Hukuman qisas ialah kesalahan yang dikenakan hukuman balas. Membunuh dibalas dengan bunuh (nyawa dibalas dengan nyawa), melukakan dibalas dengan luka, mencederakan dibalas dengan mencederakan.
Kesalahan yang wajib dikenakan hukuman qisas ialah membunuh orang lain dengan sengaja, menghilang atau mencederakan salah satu anggota badan orang lain dengan sengaja dan melukakan orang lain dengan sengaja.
Hukuman membunuh orang lain dengan sengaja wajib dikenakan hukuman qisas ke atas si pembunuh dengan dibalas bunuh. Firman Allah SWT, " Wahai orang yang beriman. Diwajibkan kamu menjalankan hukuman qisas (balasan yang seimbang) dalam perkara orang yang mati dibunuh". (Al-Baqarah: 178)
Hukuman menghilangkan atau mencederakan salah satu anggota badan orang lain atau melukakannya wajib dibalas dengan hukuman qisas mengikut kadar kecederaan atau luka seseorang itu juga mengikut jenis anggota yang dicederakan dan yang dilukakan tadi.
Firman Allah, "Dan kami telah tetapkan atas mereka di dalam Kitab Taurat itu, bahawasanya jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka juga hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya. Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim," (Al-Ma'idah: 45).
Hukuman diyat ialah harta yang wajib dibayar dan diberikan penjenayah kepada wali atau waris mangsanya sebagai ganti rugi disebabkan jenayah yang dilakukan penjenayah ke atas mangsanya. Ia adalah hukuman kesalahan yang sehubungan dengan kesalahan qisas yang ditetapkan Allah dan Rasul di dalam Quran dan hadis sebagai ganti rugi di atas kesalahan membabitkan kecederaan anggota badan, atau melukakannya.
Firman Allah, "Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak) yang terbunuh) maka hendaklah (orang yang mengampuni itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan si pembunuh pula hendakalah menunaikan (bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari tuhan kamu serta rahmat kemudahan. sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab siksa yang tidak terperi sakitnya," (Al -Baqarah: 178)
Sumber: Buku Qanun Jinayah Syari'yah dan Sistem Kehakiman Dalam Perundangan Islam Berdasarkan Quran dan Hadith` oleh bekas Mufti Sabah, Said Ibrahim).
Wednesday, May 13, 2009
Manusia tidak berilmu mudah terbabit jenayah
Masyarakat perlu berusaha, ambil langkah bendung kelakuan bertentangan agama
POLIS Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan 'perang habis-habisan' tanpa kompromi terhadap penjenayah berikutan peningkatan indeks jenayah di seluruh negara. Kumpulan penjenayah ini perlu diperangi bagi melenyapkan ancaman mereka kerana kehadiran kelompok itu boleh menjejaskan kedudukan sosioekonomi dan politik negara.
Orang melakukan jenayah sebenarnya boleh dianggap hanya berjasad manusia, tetapi jiwa dan perasaannya tidak lebih daripada ganasnya binatang.
Firman Allah SWT bermaksud: "Dan sebarkanlah bersama-sama dengan orang yang menyeru Tuhannya pagi dan senja hari dengan mengharapkan keredaan-Nya dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana mengharapkan) perhiasan dunia dan janganlah kamu mengikut orang yang hatinya Kami lalaikan dari mengingati Kami, dan menurut hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batasan." (surah al-Kahfi ayat 28).
Penjenayah dan jenayah memang kejam. Selepas tercetusnya sesuatu kes jenayah akan lahir pula selepas itu perasaan marah, iri hati dan dendam kesumat yang bakal ribut lagi bahang kekejaman dalam bertindak balas seterusnya.
Lanjutan insiden itu juga kita semua pasti dengan segera akan terbayangkan pelbagai gejala tidak sihat terus bernanah menjadi 'penyakit masyarakat'.
Nasihat menasihati dan ingat mengingati antara satu sama lain supaya tidak tergelincir dari landasan Islam sudah menjadi tanggungjawab setiap Muslim. Tanggungjawab itu bergantung pula kepada keupayaan diri seseorang itu apabila berada dalam kelompok manusia tertentu dan mengikut tahap keilmuan dimiliki seseorang individu.
Firman Allah SWT bermaksud: "Demi masa, sesungguhnya manusia berada di dalam kerugian, kecuali mereka mengerjakan amalan soleh dan nasihat menasihati mentaati kebenaran dan kesabaran." (Surah al-Asr, ayat 1-3).
Perangkaan, indeks jenayah kebangsaan meningkat kepada 12.6 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama pada 2006 iaitu sejumlah 170,481 kes berbanding hanya 151,444 kes dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Jenayah keganasan meningkat 18.01 peratus, harta benda naik 13.87 peratus dan jenayah komersial bertambah 17.98 peratus. Hanya jenayah narkotik mencatatkan penurunan sebanyak 8.07 peratus.
Benarlah, manusia yang tidak berilmu sanggup melakukan apa saja untuk kepentingan diri sendiri. Golongan ini akan merasa bahagia dengan kematian, kecederaan, kecacatan dan keruntuhan hidup orang lain.
Insiden jenayah menyebabkan negara mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM15.3 bilion pada 2007. Dengan peningkatan berterusan pada tahun lalu dan tahun ini, angka kerugian pastinya terus meningkat.
Kita masih terus berharap agar pihak berkuasa dapat terus mengambil langkah bijak bagi menangani pelbagai kes jenayah yang terus meningkat setiap hari.
Dalam hadis Rasulullah lain riwayat Ibnu Majah, baginda bersabda bermaksud:" Wahai manusia , sesungguhnya Allah memerintahkan kamu melakukan yang makruf dan menegah perkara yang mungkar. Sebelum (sampai masanya) kamu berdoa kepada-Ku tetapi Aku tidak memperkenankannya, (perintah dan tegahlah) sebelum (sampai masanya) kamu meminta pertolongan-Ku tetapi Aku tidak menolong kamu."
Justeru, semua anggota masyarakat perlulah sama-sama berusaha untuk memikir dan mengambil langkah jangka panjang bagi membendung dan membanterasnya. Allah berpesan dalam kitab suci al-Quran supaya semua manusia bersatu padu dalam melakukan apa juga bentuk kebaikan untuk kesejahteraan bersama dan jangan sekali-kali bersatu melakukan sesuatu yang boleh membawa ke arah dosa dan kerosakan.
Allah SWT berfirman bermaksud: "Serulah (semua manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmat dan pengajaran yang baik dan bijaksana, dan bantahlah mereka dengan cara yang baik." (surah an-Nahl, ayat 125).
Penambahan anggota polis sehingga 60,000 anggota dalam masa lima tahun akan datang dan peningkatan kepakaran dalam bidang tertentu seperti sains dan teknologi, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), teknologi siber dan forensik, adalah antara sasaran utama mereka dalam usaha membendung dan seterusnya membasmi pelbagai kes jenayah berlaku di seluruh negara.
Bukan hanya akan lebih bijak dan cekap dalam membendung dan mengurangkan peningkatan kes, tetapi juga dalam masa yang sama menghapuskan punca yang membawa kepada tercetusnya pelbagai kejadian jenayah yang kian parah dalam masyarakat.
Moga ia dapat dibendung, sesuai dengan kekuatan yang ada pada gagasan perkhidmatan pasukan keselamatan negara kita. Gandingan tenaga dari seluruh rakyat pula amat ditagih kerana seorang warga yang terpuji adalah sentiasa memikirkan cara dan kaedah terbaik untuk menyumbang jasa kepada keharmonian tanah air sendiri.
Peguam Syarie Menulis: Hukuman pesalah jenayah syariah masih rendah
Akta sudah 25 tahun wajar dipinda supaya bersesuaian dengan arus pemodenan
PADA 22 April lalu, ketika penulis dalam perjalanan menghantar anak ke sekolah, terdengar perbualan sesama mereka. Kata si abang kepada adiknya, "Adik, tengok 'paper' ni, Kapten Boleh kena penjara tiga bulan. Patutlah cerita Kapten Boleh di TV asyik ulang-ulang cerita sama saja." Si adik merampas surat khabar daripada abangnya dan berkata, "Iya betullah.. Patutlah..." Tersenyum penulis mendengar perbualan anak kecil ini.
Pada 21 April lalu, pelakon Ako Mustapha dijatuhi hukuman penjara tiga bulan berkuat kuasa serta-merta dan didenda maksimum RM3,000 atas kesalahan berkhalwat dengan seorang jurusolek bukan Muslim, dua tahun lalu.
Ako atau nama sebenarnya Muhaizad Ahmad Mustapha, 36, mengaku salah atas tuduhan berkhalwat dengan Anang Sagunting, 25, pada 27 Jun 2007 sekitar jam 1.20 pagi di Blok B-2-9, Kondominuim Oakleaf Park, Persiaran Bukit Antarabangsa, Gombak.
Sebelum itu, Ako dikenakan waran tangkap Januari lalu selepas beberapa kali tidak menghadirkan diri pada prosiding mahkamah. Bagaimanapun, pada 21 Januari lalu, Ako mengaku bersalah atas tuduhan dikenakan ke atasnya.
Daripada perbualan spontan anak itu, rentetan daripada kes Ako Mustapha ini, terlintas di fikiran penulis beberapa perkara yang perlu kita renungkan bersama.
Pertamanya, betapa kuatnya pengaruh karaktor dalam rancangan televisyen kepada anak. Pada masa sama, adakah hukuman jenayah syariah masih relevan dengan keadaan semasa? Adakah hukuman dijatuhkan hakim itu cukup berat untuk menjadi pengajaran kepada pesalah dan masyarakat dan adakah hukuman itu cukup mapan untuk membendung kes jenayah syariah?
Terlintas di fikiran ini, Ako yang berkhalwat dengan pasangan bukan Islam dijatuhkan hukuman, bagaimana pula pasangannya? Adakah dia terlepas begitu saja?
Anak melihat watak rekaan di televisyen sebagai hero mereka. Lebih-lebih lagi jika rancangan itu ditayang berulang-ulang kali. Anak lebih kenal watak Kapten Boleh?, berbanding nama sebenarnya Ako Mustafa. Anak menyanjungnya sebagai seorang kapten serba boleh, yang boleh menyelesaikan setiap masalah. Amatlah malang apabila hero yang menjadi kebanggaan anak melakukan jenayah, mengaku salah dan dikenakan hukuman penjara.
Sebagai ibu bapa, fikirkan, sama ada wajar atau tidak hukuman denda RM3,000 dan penjara tiga bulan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur itu. Tambahan pula, Ako beberapa kali tidak menghadirkan diri sehingga waran tangkap dikeluarkan terhadapnya. Ako seolah-olah mencabar kewibawaan mahkamah syariah, walaupun publisiti terhadap perjalanan kesnya disiarkan dalam media arus perdana.
Sebagai selebriti yang menjadi pujaan dan perhatian masyarakat, seharusnya dia menjadi idola yang baik. Lebih-lebih lagi jika dia membawa watak hero kepada kanak-kanak. Hukuman yang dijatuhkan itu bukan sekadar dakwah kepada Ako saja, malah sebagai pengajaran kepada selebriti lain dan masyarakat keseluruhannya.
Atau, adakah anda berasakan hukuman itu terlalu ringan dengan kesalahan dan kesan dilakukan? Apa pun penilaian anda, hakim bicara sebenarnya menjatuhkan hukuman menurut undang-undang.
Kes Ako ini turut mencetuskan persoalan pada minda penulis, adakah masih relevan hukuman jenayah syariah dengan keadaan semasa? Adakah hukuman yang ada sekarang cukup berat menjadi pengajaran kepada pesalah dan masyarakat, dan adakah ia cukup mapan untuk membendung kes jenayah syariah?
Penulis berpandangan, adalah wajar hukuman bagi kesalahan jenayah syariah ditingkatkan, bagi membendung peningkatan kesalahan jenayah syariah di negara ini. Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom, pada 24 April lalu kemungkinan hukuman bagi kesalahan jenayah syariah ditingkatkan disambut baik. Ia tepat pada masa dan suasana sekarang.
Kini, hukuman boleh dijatuhkan mahkamah syariah adalah rendah, terutama apabila kebanyakan hukuman dijatuhkan hanya membabitkan denda. Hukuman dikenakan ini adalah dalam ruang lingkup bidang kuasa diberikan kepada hakim syariah dalam menghukum pesalah jenayah syariah.
Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah Syariah) 1965 (pindaan 1984) membataskan hukuman boleh dikenakan oleh mahkamah syariah adalah tidak melangkaui prinsip 5-3-6, iaitu denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau sebatan tidak melebihi enam kali sebatan.
Akta yang sudah 25 tahun tidak mengalami perubahan ini perlu dipinda supaya ia bersesuaian dan mampu membangun dengan arus kemajuan dan pemodenan umat Islam hari ini. Jika 25 tahun lalu, jumlah denda RM5,000 mungkin menggerunkan, tetapi tidak lagi pada masa sekarang. Ia menyebabkan pesalah jenayah syariah lebih rela mengaku salah dan membayar denda daripada dibicarakan.
Jika mahkamah syariah mengenakan denda maksimum sekalipun, ia masih rendah dan boleh dibayar pada bila-bila masa. Jarang kita dengar pesalah syariah dipenjarakan kerana gagal membayar denda.
Jika perbandingan dibuat dengan Mahkamah Majistret Kelas Pertama pun, ternyata kuasa pada mahkamah syariah adalah lebih rendah. Seksyen 85 Akta Mahkamah Rendah 1948 memberikan bidang kuasa jenayah kepada Mahkamah Majistret Kelas Pertama yang boleh membicarakan semua kesalahan dengan hukuman maksimumnya tidak melebihi 10 tahun penjara atau denda saja.
Sedangkan mahkamah syariah dan mahkamah tinggi syariah sekali pun, hanya boleh menjatuhkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau sebatan tidak melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman.
Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Sila layari http://peguamsyarie.org.
Wednesday, May 6, 2009
Hukuman jenayah syariah perlu dipertingkat
BARU-BARU ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom ketika merasmikan Seminar Hukuman Sebat Jenayah Syariah anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), menyatakan hukuman bagi kesalahan jenayah syariah mungkin dirombak dan ditingkatkan termasuk hukuman sebat dalam usaha kerajaan membendung peningkatan kesalahan itu.
Masyarakat Islam beranggapan hukuman dikenakan Mahkamah Syariah adalah rendah. Kebanyakan hukumannya ialah denda dan dianggap menjadi penyumbang kepada peningkatan statistik jenayah syariah saban tahun kerana masyarakat beranggapan undang-undang syariah sesuatu yang remeh.
Malaysia ialah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, tetapi dari sudut kehakiman dan perundangan kita masih tidak dapat melihat keputusan menepati semangat uqubah dalam syariat Islam. Perkembangan yang boleh dibanggakan hanya penubuhan Mahkamah Syariah dan hukuman yang dikenakan masih boleh dipertikaikan.
Dalam konteks bidang kuasa jenayah, apa yang disebut sebagai dichotomy atau pertindihan dalam membicarakan kesalahan tertentu yang diperuntukkan mengikut enakmen kesalahan jenayah syariah dan seumpama dengannya di bawah akta Persekutuan lain.
Hukuman dikenakan dalam kes yang boleh dibicarakan di Mahkamah Syariah juga ringan sehingga boleh dipandang sebelah mata dan dianggap remeh bagi mereka yang berada. Secara praktiknya hukuman dalam kes jenayah, dilihat tidak dilaksanakan sepenuhnya dengan tiada pelaksanaan hukuman sebatan dan akhirnya hukuman itu hanya di atas kertas dan sebagai syarat untuk memenuhi lacuna yang ada tanpa memikirkan kesannya kepada masyarakat.
Hakikatnya dalam Islam, hukuman takzir boleh dikenakan dalam pelbagai bentuk sama ada ringan atau berat seperti amaran, celaan atau hukuman mengenai tubuh seperti penjara, buang daerah, sebat sehingga kepada bunuh.
Bahkan ada pendapat ulama mengatakan hukuman takzir boleh melebihi hukuman had. Denda dengan wang antara hukuman takzir di negara ini. Ada perbezaan pendapat ulama mengenainya.
Pendapat pertama mengatakan tindakan harus dikenakan hukuman dengan wang, sementara pendapat kedua mengatakan harus denda dengan wang. Pendapat ketiga mengatakan hanya diharuskan jika pesalah tidak bertaubat. Mengikut Imam Malik, Imam Ahmad bin Hanbal, Abu Yussof dan satu golongan pengikut mazhab Syafie mengharuskan denda dengan wang sebagai hukuman takzir. Ibnu Qayyim menyokong pendapat itu.
Kebanyakan kesalahan yang diperuntukkan dalam Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak Negeri-Negeri dan Enakmen Kanun Kesalahan Syariah Negeri-Negeri adalah mencakupi secara umum jenis kesalahan takzir ke atas perbuatan maksiat dan kesalahan lain.
Sementara hukumannya pula dengan denda atau penjara atau sebatan. Jenis hukuman tidak terkeluar daripada hukuman takzir yang dianjurkan Islam termasuk denda. Bagaimanapun, Mahkamah Syariah tidak sepatutnya memusatkan hukuman kesalahan takzir kepada hukuman denda saja.
Umum mengetahui peruntukan Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan) 1984 memberikan bidang kuasa kepada Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 atau enam kali sebatan. Walaupun hukuman ditingkatkan, belum ada kajian atau penulisan mengenai keberkesanan hukuman dalam membendung jenayah syariah.
Cadangan hukuman sebat dialu-alukan sebagai cara mengawal meningkatkan jenayah syariah di kalangan masyarakat Islam. Namun, tidak ramai yang tahu hakim Mahkamah Syariah juga mengambil pendekatan mengenakan pesalah jenayah syariah dengan hukuman sebatan. Namun, setakat pengetahuan penulis, hukuman sebat tidak pernah dijatuhkan terhadap pesalah kecuali di Kelantan dan Pahang.
Kes terbaru penjenayah syariah atas kesalahan minum minuman memabukkan didenda maksimum lima tahun dan enam kali sebatan di Pahang. Walaupun kes itu dalam proses rayuan oleh tertuduh, ia menunjukkan Mahkamah Syariah juga berani mengenakan hukuman selain denda dan penjara sebagai langkah pencegahan setakat had dibenarkan undang-undang.
Apabila Kelantan meluluskan kaedah hukuman sebat pada 1987, pesalah pertama dikenakan hukuman sebat disabitkan kesalahan meminum minuman memabukkan. Apabila hukuman dijatuhkan serta diberikan publisiti meluas di media cetak tempatan, tinjauan rambang dilakukan di kelab malam dan restoran yang menjual minuman keras. Didapati pemilik restoran dan premis hiburan membuat kesimpulan umat Islam di Kelantan mula bimbang untuk minum arak.
Harus diingat bidang kuasa Mahkamah Syariah tertakluk kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 1984 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 dan sebatan tidak melebihi enam kali atau kombinasi mana-mana hukuman itu.
Ini menunjukkan bidang kuasa Mahkamah Syariah terhad dengan peruntukan akta itu. Apabila Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1984 tidak dipinda, sudah pasti ia membataskan bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam perkara jenayah dan Perlembagaan Persekutuan.
Umumnya, hukuman yang ditetapkan ke atas kesalahan diperuntukkan dalam Enakmen Jenayah Syariah atau Enakmen Pentadbiran Hukum Syariah negeri adalah didahulukan dengan denda atau hukuman maliyah dan bukan bidaniyah.
Keadaan itu mendorong hakim Mahkamah Syariah lebih cenderung menghukum pesalah dengan denda sebagai hukuman pilihan. Keadaan itu membimbangkan kerana antara tujuan hukuman ialah memberi pengajaran dan pencegahan. Dikhuatiri jika keadaan ini terus berlaku di Mahkamah Syariah akan mengurangkan keberkesanan tujuan hukuman dikenakan.
Namun, mengharungi dunia yang semakin kompleks ini sewajarnya hukuman ditetapkan Mahkamah Syariah dikaji semula kerana kali terakhir ia dikaji adalah pada 1984. Selepas 25 tahun, suatu reformasi terhadap hukuman bagi kesalahan jenayah syariah perlu dirombak seberapa segera supaya orang ramai tidak memandang mudah terhadap kes jenayah syariah.
Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
Wednesday, November 5, 2008
Peguam Syarie Menulis: Menguatkuasa undang-undang penjualan minuman keras lebih ketat
Masyarakat Islam perlu diberi kesedaran mengenai kesalahan jenayah syariah
SETIAP hari kita akan membaca di akhbar mendapati banyak permohonan mendapatkan permit menjual minuman memabukkan di negara kita. Peraturan yang berkuatkuasa sekarang mengkehendaki orang yang berhasrat menjual minuman memabukkan hendaklah mendapat permit atau lesen terlebih dulu.
Pemohon juga perlu mengiklankan hasratnya bagi mengetahui sama ada wujud bantahan oleh orang ramai atau sebaliknya. Tujuan peraturan itu memang baik bagi mengawal, memantau dan menyelia penjualan minuman memabukkan secara berleluasa sejajar kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.
Namun hakikatnya, masih banyak kedai yang menjual minuman memabukkan secara terbuka. Malah ia mudah diperoleh walaupun oleh orang beragama Islam. Natijahnya, objektif peraturan yang disebut di atas tidak kesampaian.
Penjualan minuman memabukkan yang berleluasa ini mendatangkan keresahan di kalangan orang Islam khususnya apabila premis menjual arak itu terlalu hampir dengan kawasan perumahan yang majoritinya didiami orang Islam atau di premis yang dibuka 24 jam sehari, memungkinkan orang Islam membelinya tatkala tiada ramai pengunjung kedai itu.
Malah kegusaran itu ditambah lagi apabila kita mendapati minuman memabukkan itu diletakkan sebaris dengan minuman lain. Seolah-olah sensitiviti umat Islam langsung tidak diambil kira dalam hal ini kerana pekedai hanya mementingkan keuntungan semata-mata.
Penulis banyak menerima rungutan berhubung perkara itu dan ada yang begitu kesal kerana kadang-kadang secara tidak sengaja menyentuh barangan diharamkan agama. Bukan itu saja, sebahagian permit yang diberikan juga menganjurkan perlakuan jenayah di sisi undang-undang.
Umpamanya seksyen 18 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 memperuntukkan: 18(1) Mana-mana orang yang, di mana-mana kedai atau tempat awam lain, minum apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Seksyen 18 (2) pula memperuntukkan: Mana-mana orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman memabukkan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Ini bermakna bukan saja meminum memabukkan seperti arak adalah salah di sisi undang-undang, malah orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan juga melakukan jenayah menurut enakmen sama. Malah, dalam kategori kedua ini hukumannya adalah lebih berat berbanding kategori pertama.
Oleh itu, pihak berkuasa hendaklah berhati-hati dalam meluluskan lesen penjualan minuman memabukkan seperti arak dan sudah sewajarnya memberi syarat khusus bahawa kakitangan yang terbabit dalam membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman memabukkan hendaklah daripada kalangan bukan Islam.
Hormatilah agama Islam seperti mana bukan Islam menagih orang Islam menghormati agama mereka. Penghormatan penting bagi menjamin keharmonian masyarakat khususnya masyarakat pelbagai bangsa, ras dan agama.
Adalah tidak adil kepada pekerja beragama Islam yang terpaksa membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan bagi pihak majikannya.
Hasilnya, pihak majikan mendapat keuntungan daripada jualan minuman memabukkan itu manakala pekerja yang terpaksa menjual pula menanggung risiko melakukan jenayah di sisi Enakmen Jenayah Syariah.
Sudah tentulah ia tidak adil dan memudaratkan umat Islam secara keseluruhannya. Apatah lagi jika majikan itu bukan Islam, mereka menikmati imuniti daripada Enakmen Jenayah Syariah.
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menyarankan jika lesen penjualan minuman memabukkan diberikan, pihak berwajib perlu mengawal bilangan lesen diberikan di sesuatu tempat, memastikan syarat majikan tidak boleh memaksa, mengarah pekerja Islam mengendalikan penjualan arak sama ada kepada orang Islam atau bukan Islam.
PGSM sedar saranan ini sudah tentu akan menimbulkan pelbagai reaksi sama ada di kalangan orang Islam dan bukan Islam, tetapi inilah hakikat yang perlu diutarakan dan diinsafi setiap rakyat.
Sudah tentu ada yang menyatakan syarat disyorkan hanya akan menyebabkan orang Islam menjadi pilihan terakhir sebagai pekerja dan meningkatkan kadar pengangguran di kalangan orang Islam. Bagi menjawab persoalan ini, sebenarnya kita perlu menimbang neraca manakah yang ingin digunakan bagi mencapai sesuatu kesimpulan. Adakah lebih baik menggadai agama demi mendapat rezeki yang sudah tentu tidak diberkati Allah.
Malah sektor pekerjaan di negara ini sebenarnya masih terbuka luas bagi mencari rezeki yang halal dan diberkati. Hanya terpulang kepada diri kita sendiri untuk merebut peluang. Ini terbukti kerana ada ramai pendatang asing yang datang ke negara kita mencari rezeki melalui saluran dibenarkan undang-undang atau sebaliknya.
Jika di negara kita kurang pekerjaan, sudah tentu mereka tidak berpusu-pusu datang ke Malaysia mencari rezeki. Cuma, mungkin orang Islam terlalu memilih sektor pekerjaan yang mementingkan imej dan kesenangan kerja.
Ia sebenarnya tidak selaras dengan kehendak hukum syarak yang menganjurkan kita berusaha sedaya upaya mencari rezeki. Penulis teringat hadis diriwayatkan apabila Rasulullah melihat tangan seorang sahabat yang bengkak.
Rasulullah SAW bertanya kepada sahabat itu kenapa tangannya bengkak. Lalu sahabat tadi menjawab: "Wahai Rasulullah, tangan inilah yang memberi makan isteri dan anak-anakku. Lantaran Rasulullah SAW membalas: Tangan itu tidak akan dibakar oleh api neraka."
Ini bermakna walaupun sesuatu pekerjaan sukar dan boleh mendatangkan ketidakselesaan, demi mencari rezeki bagi menyara keluarga, pekerjaan itu sebenarnya mulia di sisi agama.
Berbalik kepada penjualan minuman memabukkan, sudah sampai masanya bagi pekerja Islam diberi penghormatan sewajarnya untuk mengamalkan agamanya dengan tidak dipaksa menjual arak, memberi pilihan kepada pekerja Islam memakai pakaian menutup aurat, memberi peluang pekerja Islam menunaikan solat tanpa didenda atau sebagainya dan tidak dipaksa memegang benda diharamkan.
Sebenarnya ini kebebasan mengamalkan agama yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
PGSM juga meminta pihak berkuasa agama di negeri yang menguatkuasakan seksyen 18 itu dengan ketat. Ini bagi memberi kesedaran kepada masyarakat Islam mengenai kesalahan seperti dinyatakan di atas.
Mungkin ramai di kalangan umat Islam termasuk pihak penguatkuasa, pihak berkuasa tempatan dan kerajaan sendiri yang tidak menyedari kewujudan peruntukan itu. Sudah tiba masanya untuk bergerak melaksanakan peruntukan yang sudah lama wujud ini.
Masyarakat Islam perlu tahu hak dan tanggungjawab sebagai orang Islam. Bukanlah tujuan kita untuk memporak perandakan masyarakat tetapi hanyalah sekadar menjunjung Perlembagaan Persekutuan yang mengabsahkan kedudukan tinggi undang-undang dan agama Islam.
Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Layari lama web www.peguamsyarie.org
Friday, February 1, 2008
Kerjasama rakyat paling berkesan bendung jenayah
POLIS Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan perang habis-habisan tanpa kompromi terhadap penjenayah dan pengganas sama seperti memerangi komunis pada masa dulu.
Kumpulan penjenayah ini perlu diperangi dengan apa cara sekalipun bagi melenyapkan ancaman mereka kerana kehadiran kelompok itu boleh menjejaskan kedudukan sosioekonomi dan politik negara.
Orang melakukan jenayah sebenarnya bolehlah dianggap hanya berjasad manusia, tetapi jiwa dan perasaannya tidak lebih dari ganasnya seekor binatang liar.
Firman Allah bermaksud: "Dan sebarkanlah bersama-sama dengan orang yang menyeru Tuhannya pagi dan senja hari dengan mengharapkan keredaan-Nya dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana mengharapkan) perhiasan dunia dan janganlah kamu mengikut orang-orang yang hatinya Kami lalai dari mengingati Kami, dan menurut hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batasan." – (Surah al-Kahfi ayat 28)
Penjenayah dan jenayah memang kejam. Selepas tercetusnya sesuatu kes jenayah, akan lahir pula selepas itu perasaan marah, iri hati dan dendam kesumat yang bakal mengusutkan lagi bahang kekejaman dalam bertindak balas seterusnya.
Lanjutan daripada kejadian itu juga kita semua pasti dengan segera akan terbayangkan pelbagai gejala yang tidak sihat yang terus bernanah menjadi 'penyakit masyarakat'.
Nasihat menasihati dan ingat mengingati antara satu sama lain supaya tidak tergelincir dari landasan Islam sudah menjadi tanggungjawab setiap Muslim. Tanggungjawab itu bergantung pula kepada keupayaan diri seseorang itu apabila berada dalam kelompok manusia yang tertentu dan mengikut tahap ilmu yang dimiliki seseorang individu.
Firman Allah bermaksud: "Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian, kecuali mereka yang mengerjakan amalan salih dan nasihat menasihati agar mentaati kebenaran dan kesabaran." – (Surah al-Asr, ayat 1-3)
Perangkaan indeks jenayah kebangsaan meningkat kepada 12.6 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama 2006 iaitu sejumlah 170,481 kes berbanding hanya 151,444 kes dalam tempoh sama pada tahun sebelumnya.
Jenayah keganasan meningkat 18.01 peratus, harta benda naik 13.87 peratus dan jenayah komersial bertambah 17.98 peratus. Hanya jenayah narkotik mencatatkan penurunan sebanyak 8.07 peratus.
Benarlah, manusia yang tidak berilmu sanggup melakukan apa saja untuk kepentingan diri sendiri. Golongan ini akan merasa bahagia dengan kematian, kecederaan, kecacatan dan keruntuhan hidup orang lain.
Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharum, sebelum ini mendedahkan ada 900,000 hingga 1.2 juta penagih dadah di Malaysia. Anggaran itu berdasarkan bilangan penagih yang direkodkan sejak 1988 hingga kini yang berjumlah 296,000 orang.
Insiden jenayah menyebabkan negara mengalami kerugian yang dianggarkan bernilai RM15.3 bilion pada 2005. Dengan peningkatan berterusan pada tahun lalu dan tahun ini, angka kerugian pastinya terus membesar. Kita masih terus berharap agar pihak berkuasa dapat terus mengambil langkah bijak bagi menangani pelbagai kes jenayah yang terus meningkat setiap hari.
Dalam sebuah hadis Rasulullah diriwayat Ibnu Majah, baginda bersabda bermaksud: "Wahai manusia, sesungguhnya Allah memerintahkan kamu melakukan yang makruf dan menegah perkara yang mungkar. Sebelum (sampai masanya) kamu berdoa kepada-Ku tetapi Aku tidak memperkenankannya, (perintah dan tegahlah) sebelum (sampai masanya) kamu meminta bantuan-Ku tetapi Aku tidak menolong kamu."
Justeru, semua anggota masyarakat perlulah sama-sama berusaha untuk memikir dan mengambil langkah jangka panjang bagi membendung dan membanterasnya. Allah berpesan dalam kitab suci al-Quran supaya semua manusia bersatu padu dalam melakukan apa juga bentuk kebaikan untuk kesejahteraan bersama dan jangan sekali-kali bersatu melakukan sesuatu yang boleh membawa ke arah dosa dan kerosakan.
Penambahan anggota polis sehingga 60,000 anggota dalam masa lima tahun akan datang dan peningkatan kepakaran dalam bidang tertentu seperti sains dan teknologi, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), teknologi siber dan forensik, adalah antara sasaran utama mereka dalam usaha membendung dan seterusnya membasmi pelbagai kes jenayah yang berlaku di seluruh negara.
Bukan hanya akan lebih bijak dan cekap dalam membendung dan mengurangkan peningkatan kes, tetapi juga dalam masa yang sama menghapuskan punca yang membawa kepada tercetusnya pelbagai kejadian jenayah yang kian parah dalam masyarakat kita.