Showing posts with label (A) Rohami Shafie. Show all posts
Showing posts with label (A) Rohami Shafie. Show all posts

Monday, April 6, 2009

Tadbir urus korporat Islam utama kebajikan sosial

Oleh Rohami Shafie

Pengurusan tak berhemah Barat punca kes penipuan syarikat terhadap pelabur, wang rakyat

TADBIR urus korporat adalah istilah yang sering kali diperkatakan di kalangan pemimpin negara, golongan korporat, ahli akademik dan orang awam. Istilah itu sebenarnya sudah lama bermula di Amerika Syarikat (AS) sejak 1980-an lagi, manakala di Malaysia, ia bermula sejak krisis ekonomi 1997/1998.

Punca utama ia diperkatakan pada waktu itu, kerana pihak Barat menyalahkan negara Asia tidak mengamalkan tadbir urus korporat yang baik. Malaysia juga dipersalahkan kerana kononnya tidak mempunyai tadbir urus korporat yang baik, tidak telus dan tidak membuat pendedahan mencukupi.

Jika dilihat apa yang terjadi kepada ekonomi AS dan Barat sekarang ini, bolehkah mereka mampu mempertahankan bahawa mereka sudah mengamalkan tadbir urus korporat yang baik? Dulu mereka menyalahkan negara kita, kini apa sudah terjadi kepada mereka?

Bermula kes skandal korporat Enron, skandal korporat terbesar dalam sejarah AS pada 2001, sehinggalah krisis subprima, tidaklah keterlaluan dikatakan AS dan Barat sendiri masih terpinga-pinga mencari maksud dan inti pati sebenar tadbir urus korporat.

Dalam skandal korporat Enron, penipuan terancang antara juruaudit syarikat dan pengurusan atasan dilakukan secara terperinci dengan memanipulasikan laporan kewangan. Syarikat mengalami kerugian dinyatakan memperoleh keuntungan.

Begitu juga dalam krisis subprima, penipuan terancang bagi pihak bank untuk mengaut keuntungan berlebihan. Ini menggambarkan bahawa ada satu yang tidak kena dengan tadbir urus korporat ala AS dan Barat. Bagaimana pula dengan tadbir urus korporat Islam?

Perbezaan ketara antara tadbir urus korporat Islam dengan tadbir urus korporat barat ialah pegangannya. Tadbir urus korporat Islam berdasarkan tauhid dan hanya semata-mata kerana Allah.

Islam itu 'Addin' dan ini menunjukkan Islam amat menyeluruh dalam kehidupan seharian, sehinggakan bagi urusan tadbir urus korporat pun, ia mesti dilaksanakan semata-mata kerana Allah. Islam bukan hanya setakat hal keagamaan, tetapi meliputi semua perkara dalam kehidupan.

Bagaimana pula dengan tadbir urus korporat Barat? Barat lebih mementingkan rasional dalam kehidupan mereka. Bermakna hanya berdasarkan pemikiran logik semata-mata. Apa yang baik untuk mereka secara logik, diperkenalkan dalam tadbir urus korporat.

Sedangkan apa yang baik secara rasional tidak semestinya baik untuk dilaksanakan kerana manusia tidak mampu membuat keputusan terbaik hanya semata-mata berlandaskan rasional tanpa adanya pegangan lebih kukuh iaitu pegangan agama. Itu perbezaan utama di antara tadbir urus korporat Islam dan Barat.

Disebabkan oleh pegangan Barat terhadap pendekatan rasional, maka mereka mengejar keuntungan paling maksimum. Keuntungan itu diberikan semula kepada pemegang saham. Apa yang terjadi kepada umat manusia sama sekali tidak perlu difikirkan.

Inilah yang terjadi kepada bank di AS. Mereka memberi pinjaman kepada orang awam hanya semata-mata ingin mendapatkan keuntungan paling maksimum tanpa memikirkan kesannya kepada masyarakat.

Keuntungan daripada pinjaman itu akhirnya dipulangkan kepada pemegang saham saja. Sementara pihak pengurusan pula terkejar-kejar dengan bonus kewangan yang bersifat duniawi semata-mata.

Contoh mudah, walaupun American International Group (AIG), syarikat insurans terbesar di dunia diselamatkan oleh kerajaan AS akibat masalah kewangan, eksekutif mereka masih mementingkan diri sendiri apabila mengisytiharkan bonus untuk mereka sebanyak AS$165 juta (RM594 juta).

Cuba bayangkan betapa ramainya rakyat AS yang tiada rumah dan tidur di kaki lima tidak tentu hala kerana masalah kewangan yang membelenggu, sementara eksekutif AIG pula dengan mewahnya menggunakan wang rakyat untuk diri sendiri.

Islam tidak mengajar umatnya melakukan perkara sedemikian. Dalam tadbir urus korporat, berdasarkan pegangan tauhid yang kuat terhadap ke-Esaan Allah, Islam mengajar umatnya mementingkan keseluruhan masyarakat.

Kepentingan itu mesti berdasarkan lunas syariah. Islam itu menyeluruh maka bukan hanya semata-mata untuk menjaga kepentingan pemegang saham, tetapi juga orang awam. Contoh, konsep tanggungjawab sosial korporat yang diuar-uarkan dalam tadbir urus korporat Barat adalah sebahagian daripada tadbir urus korporat Islam.

Perkara ini sudah lama diperjuangkan Islam, padahal baru kini Barat ingin memperjuangkannya. Inilah cantiknya Islam yang sudah diketahui kebanyakan cendekiawan Barat, mereka dengan bongkaknya tidak mengakui kehebatan Islam bahkan cuba menyorok fakta sebenar tadbir urus korporat Islam.

Mengikut Islam, lembaga syariah mentadbir urus syarikat, manakala untuk tadbir urus korporat Barat, ahli lembaga pengarah menjalankan tugas itu. Ahli lembaga syariah terdiri daripada golongan berpendidikan agama seharusnya memastikan perniagaan dijalankan mengikut prinsip syariah yang betul, mementingkan ummah dan tidak terbabit aktiviti perniagaan haram.

Perniagaan juga mesti dijalankan secara jujur supaya mendapat keberkatan Allah. Ini dijelaskan dalam firman Allah bermaksud: "Dan Kami mengutuskan kepada penduduk Madyan saudara mereka Syuaib. Ia berkata: Wahai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada tuhan bagimu selain-Nya. Sesungguhnya sudah datang kepadamu bukti yang nyata daripada Tuhanmu. Maka sempurnakanlah tukaran dan timbangan dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia barang-barang tukaran dan timbangannya, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi sesudah Tuhan memperbaikinya. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu betul-betul orang beriman." (Surah al-A'raf, ayat 85)

Sementara ahli lembaga pengarah dalam tadbir urus korporat barat berfungsi untuk memastikan syarikat memperoleh keuntungan semaksimum yang boleh untuk kepentingan pemegang saham.

Berbalik kepada skandal korporat Enron, ahli lembaga pengarahnya menggunakan pendekatan menipu pelabur dengan mengisukan laporan kewangan palsu. Tujuannya untuk memaksimumkan keuntungan pemegang saham tidak kira apa cara sekalipun.

Akhirnya, pelabur baru tertipu dengan membeli saham syarikat itu kerana berpendapat syarikat memperoleh keuntungan besar sedangkan pemegang saham utama yang mengetahui penipuan ini sudah menjual saham mereka pada kadar yang mahal.

Apabila penyelewengan ini diketahui umum, pelabur berkenaan mengalami kerugian besar. Beribu-ribu pekerja bawahannya kehilangan pekerjaan selepas Enron diisytiharkan muflis.

Di bawah lembaga syariah, ada majlis syura yang terdiri daripada pemegang saham dan pembabitan masyarakat. Pembabitan masyarakat penting kerana apa saja dilakukan syarikat pastinya memberi kesan kepada masyarakat sama ada secara langsung atau tidak.

Pembabitan masyarakat dalam syarikat membolehkan syarikat mengetahui sejauh mana mereka mementingkan masyarakat dan ini secara tidak langsung menjadi sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat.

Tadbir urus korporat Islam, pembabitan pihak berkuasa amat minimum sekali berbanding tadbir urus korporat Barat. Pembabitan pihak berkuasa yang tinggi menyebabkan pelbagai peraturan, prosedur, undang-undang dan akta diperkenalkan.

Islam memudahkan kehidupan umatnya dan tidak menyusahkan dengan pelbagai peraturan. Inilah konsep sebenar sepatutnya diamalkan dalam tadbir urus korporat bagi menjaga kemaslahatan ummah manusia secara keseluruhannya.


Penulis ialah Pensyarah Perakaunan dan Kewangan Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia

Monday, March 16, 2009

Keseimbangan ekonomi Islam atasi krisis dunia

Oleh Rohami Shafie

Unsur riba, spekulatif ikut sistem kapitalis hanya memporak-perandakan masyarakat

SELURUH dunia berdepan krisis ekonomi global yang asalnya berpunca daripada krisis subprima di Amerika Syarikat (AS). Krisis global ini bermula sejak awal 2007, bagaimanapun banyak negara memandang mudah perkara itu sehingga syarikat kewangan utama AS mengalami masalah kewangan yang ketara.

Lehman Brothers, Merril Lynch jatuh bankrap. Merril Lynch diambil alih oleh Bank of America, beberapa syarikat kewangan dan insurans pula diselamatkan Kerajaan AS termasuk syarikat insurans terbesar, American International Group (AIG).

Punca krisis ini berkait dengan hutang. Ia umpama krisis kewangan Asia yang melanda Malaysia pada 1997/1998 yang membezakannya ialah krisis ini berkaitan hutang hartanah, manakala krisis ekonomi Asia berkaitan mata wang.

Permintaan terhadap hutang di AS amat tinggi pada 2002-2005 disebabkan dasar liberalisasi sektor kewangan dan hartanah yang dipelopori bekas Presiden AS, George W Bush dan bekas Pengerusi Rizab Persekutuan, Alan Greenspan.

Bagaimanapun pada penghujung 2006 dan awal 2007, ramai peminjam (subprima) tidak mampu membayar hutang kepada bank kerana faedah naik mendadak, manakala harga hartanah menurun.

Dasar fiskal dan kewangan di AS setakat ini tidak langsung memberi tanda ekonomi dunia akan pulih. Presiden Obama masih tercari-cari formula untuk memulihkan kembali ekonomi negaranya.

Pakej rangsangan yang diumumkan beliau setakat ini masih tidak menampakkan tanda ekonomi AS akan pulih dalam tempoh terdekat. Ini menunjukkan kecelaruan ekonomi pasaran bebas atau kapitalis yang dilaungkan Barat sebagai sistem terbaik dunia. Dikatakan krisis ini terburuk pernah melanda AS sejak 1930. Sehingga kini tiada yang mengetahui bila krisis akan berakhir walaupun Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Dr Ben S Bernanke memberi jaminan ia berakhir hujung tahun ini. Namun, itu hanya ramalan kerana krisis sudah merebak ke seluruh dunia termasuk Malaysia.

Kapitalis adalah sistem ekonomi yang mempunyai pelbagai kelemahan dan terbukti bukan sistem ekonomi terbaik boleh dilaksanakan di seluruh dunia. Kelemahan utama, sistem itu mementingkan keuntungan dan mengabaikan kesejahteraan masyarakat. Sistem ini mencipta masyarakat tamak haloba sehingga sanggup menipu dan mendapat keuntungan dengan cara menindas golongan miskin. Inilah asas sistem kapitalis iaitu materialistik semata-mata.

Islam secara jelas melarang memperoleh harta dengan cara penipuan, rasuah dan haram. Firman Allah bermaksud: "Dan jangan sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (jangan) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 188)

Islam juga mementingkan keseimbangan dalam perniagaan tanpa unsur penindasan dan dijalankan secara sukarela tanpa perasaan tidak puas hati antara satu sama lain bagi memastikan perniagaan dijalankan dengan adil dan saksama.

Firman Allah bermaksud: "Hai orang beriman, jangan kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama suka di antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh dirimu sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepadamu." (Surah an-Nisa, ayat 9)

Kita harus waspada dengan ideologi lama dan baru diperkenalkan AS serta sekutunya untuk mempengaruhi dunia menerima sistem kapitalis. Antara yang dilaungkan mereka ialah konsep globalisasi melalui Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA). Sudah diketahui ramai, konsep ini cuba diterapkan negara maju di negara membangun dan Negara Dunia Ketiga bertujuan meraih keuntungan tanpa memikirkan kesejahteraan rakyat negara itu.

Sistem kapitalis juga banyak berasaskan spekulatif dan ini dilarang dalam Islam. Minyak, hartanah, mata wang, hak milik terbitan adalah instrumen berasaskan spekulatif atau ramalan semata-mata tanpa asas kukuh. Contohnya, wang kertas langsung tiada asas nilai apabila dikoyak. Bahkan, wang juga boleh diniagakan untuk mengaut keuntungan tanpa batas. Wang sepatutnya hanya medium penukaran dan bukan diniagakan.

Riba atau kadar faedah satu lagi aspek yang diharamkan dalam kewangan Islam dan dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba." (Surah al-Baqarah, ayat 175)

Kadar faedah dicipta kapitalis bertujuan menindas golongan miskin; yang kaya bertambah kaya, yang miskin jadi fakir. Bahkan, bukan saja individu boleh fakir, negara juga boleh muflis kerana dasar kapitalis.

Apa yang berlaku dalam ekonomi dunia kini mempunyai hikmah kepada dunia Islam, amnya dan Malaysia, khususnya. Forum Ekonomi Islam Dunia Kelima (WIFE) pada 2 hingga 3 Mac lalu di Jakarta antara langkah permulaan supaya sistem kewangan Islam dapat dilaksanakan di Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Ini sejajar usaha kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hab kewangan Islam dunia.

Tsunami ekonomi yang melanda seluruh dunia memberi peluang negara kita mempergiatkan lagi usaha sedia ada untuk menjadikan pasaran kewangan, ekuiti kukuh dan ampuh berlandaskan sistem Islam. Tidak keterlaluan dikatakan, sudah sampai masanya usaha yang sedang dan bakal digiatkan harus membuahkan hasil bagi membolehkan sistem kewangan Islam bertapak kukuh sebagai peneraju utama sistem ekonomi Malaysia bagi menggantikan kapitalis.

Malaysia mempunyai banyak kelebihan berbanding negara lain untuk menjadi peneraju sistem kewangan Islam sedunia kerana sistem kewangan Islam bukan sistem ekonomi yang baru di Malaysia. Ia bermula sejak awal penubuhan Bank Islam pada 1 Julai 1983. Negara kita juga mempunyai kelebihan prasarana. Bahkan, sistem kewangan Islam diterima pakai oleh rakyat berbilang agama. Contohnya, dana amanah saham Islam menjadi tarikan belian bukan Islam apabila setiap kali dana itu dilancarkan institusi kewangan berkenaan.

Malaysia juga mempunyai kelebihan melaksanakan sistem kewangan Islam sepenuhnya dengan membawa pelabur dari Asia Barat. Malaysia mempunyai reputasi baik di kalangan negara Islam, oleh itu usaha membawa pelabur bertepatan pada masanya.

Di samping itu, pasaran di kalangan negara Islam amat besar sekali dan kepelbagaian perniagaan berlandaskan Islam perlu digiatkan supaya negara tidak hanya bergantung dagangan dengan AS dan Eropah. Ini secara tidak langsung mengurangkan risiko kebergantungan ekonomi kepada AS dan Eropah. Jelas, sistem kewangan Islam ialah jawapan kepada krisis ekonomi global yang melanda kini. Usaha menjadikan Malaysia sebagai hab kewangan Islam dunia perlu digiatkan bukan saja oleh kerajaan, bahkan membabitkan sektor swasta, cendekiawan kewangan Islam dan setiap individu.

Ini bagi memastikan suatu sistem kewangan lebih baik dengan mempelbagaikan produk kewangan inovatif berlandaskan syariah, adil dan saksama serta mementingkan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhannya. Akhirnya, dapat mencapai matlamat untuk memperoleh keberkatan dan keredaan Allah di dunia dan akhirat nanti.

Penulis ialah Pensyarah Perakaunan dan Kewangan Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia