Showing posts with label Umat Cemerlang. Show all posts
Showing posts with label Umat Cemerlang. Show all posts

Saturday, March 28, 2009

Perkasa sahsiah diri kembalikan kegemilangan Islam

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

UMAT Islam pernah menjadi umat cemerlang, gemilang, terpandang, dikagumi dan digeruni bukan Islam. Umat Islam hidup dalam suasana aman dan maju serta sedikit tiada rasa takut di hati untuk melaksanakan ibadat atau menjalani kehidupan seharian.

Inilah gambaran umat Islam yang hidup di bawah asuhan dan kepemimpinan Rasulullah SAW di Madinah. Hari ini kedudukan umat Islam jauh berbeza, sudah begitu lemah, mudah ditindas dan dianiayai musuh Islam tanpa rasa gerun sedikit pun.

Keadaan ini berlaku kerana sesetengah masyarakat Islam menyimpang daripada ajaran sebenar. Kita dapat perhatikan dalam kehidupan sehari-hari cara mereka berpakaian, bergaul dan bermuamalah.

Pelakuan ini menimbulkan pelbagai masalah seperti sumbang mahram, pesta seks, fitnah, minum arak, buang bayi dan pembunuhan. Umat Islam harus insaf dengan keadaan yang memilukan dan memalukan ini.

Kita mesti faham tidak ada yang dapat mengubah nasib selain kita sendiri yang berusaha mengubahnya. Hal ini pernah ditegaskan Allah dalam firman bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah diri dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapa yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu, dan tidak ada sesiapa yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya." (Surah ar-Ra'd, ayat 11)

Bagi menjadi umat Islam cemerlang dan gemilang, bersemangat waja, kita perlu kita menghayati ajaran Islam dalam kehidupan. Allah berfirman bermaksud: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)." (Surah al-Hujurat, ayat 11)

Apabila individu Muslim menjalankan amar makruf nahi mungkar, akan terbina akhlak dan sahsiah diri mengikut acuan Islam. Sesungguhnya umat yang baik, bermula daripada individu seperti dinyatakan Syeikh Said Hawa bahawa untuk menjadi umat yang baik mesti bermula dengan pembinaan sahsiah diri, memperteguhkan iman dan akidah.

Perkara ini yang pernah diterapkan junjungan besar Nabi Muhammad SAW pada awal perkembangan dan kemunculan cahaya Islam di tanah Arab.

Di samping itu, umat Islam akan muncul sebagai umat yang kuat, tahan diuji serta digeruni jika menguasai pelbagai ilmu pengetahuan. Jika diperhatikan, sesungguhnya bangsa yang maju sejak dulu hingga kini adalah bangsa yang memiliki ilmu pengetahuan.

Lantaran pentingnya ilmu, Islam mewajibkan setiap Muslim menuntut ilmu pengetahuan. Memang benar seperti diungkapkan Dr Muhammad Ghazali, cukup untuk menegaskan Islam ialah agama ilmu dan akal. Islam menghendaki umatnya pandai memegang kalam dan otak dipenuhi beraneka ilmu.

Seseorang insan berilmu akan terjamin kesejahteraan hidup dan diredhai Allah serta mendapat kemuliaan di sisi-Nya seperti dalam firman yang bermaksud: "Diangkat Allah orang yang beriman daripada kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat." (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Senada dengan itu, Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Bahawa ilmu pengetahuan itu menambah mulia orang yang mulia dan meninggikan seorang budak (hamba) sampai ke tingkat raja." (Hadis riwayat Abu Naim dan Anas)

Hari ini umat Islam perlu berdiri tegak atas landasan ajaran Islam sebenar sehingga terbentuk umat gemilang, terhormat dan boleh bersaing dengan bangsa yang sudah maju.

Saturday, February 2, 2008

Enam prinsip lahir kekuatan umat Islam

Oleh Ibrahim Abdullah

RAHSIA kemenangan umat Islam dapat dilihat dalam sejarah apabila setiap pejuang yang ingin meraih kemenangan gemilang dalam bidang apa juga mesti berkiblat dan berpandukan kepada beberapa prinsip.

Pertama, Allah yang menjadi tujuan perjuangan. Setiap pejuang mesti yakin dalam dirinya bahawa Allah sebagai matlamat agung kerana Dia yang menyebabkan seseorang itu beroleh kemenangan atau sebaliknya.

Cuba perhatikan ketika pengikut Thalut mahu berperang melawan Jalut, mereka meminta kepada Allah dilimpahkan kesabaran dan diteguhkan pendirian seperti kata mereka: “Ketika mereka dilihat oleh Jalut dan tenteranya, mereka pun (Thalut dan tenteranya) berdoa: Ya Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran atas diri kami, dan teguhkanlah pendirian kami dan tolonglah kami terhadap orang kafir.” (Surah al-Baqarah, ayat 250)

Kedua, membersihkan penampilan diri. Nabi adalah makhluk pilihan Allah, namun Allah memerintahkan untuk melakukan penyucian jiwa sebelum berjuang dan menyampaikan risalah. Rasulullah SAW diperintahkan Allah melakukan qiamullail supaya dapat mengembangkan amanah perjuangan.

Allah berfirman bermaksud: “Wahai orang berselimut (Muhammad), bangunlah (untuk sembahyang) pada malam hari, kecuali sedikit (daripadanya), iaitu seperduanya atau kurangilah daripada seperdua itu sedikit, atau lebih daripada seperdua itu. Bacalah al-Quran itu dengan perlahan-lahan. Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat (mengerjakan pekerjaan yang berat dan penting).” (Surah al-Muzammil, ayat 1-5)

Untuk mencapai kemenangan, umat Muhammad SAW mesti membersihkan diri daripada pelbagai kekotoran akidah, akhlak, dan kehidupan lainnya. Minda mesti bersih daripada niat dan fikiran kotor. Mulut mesti terlepas daripada cakap kotor, mencarut serta maki hamun.

Hati tidak ada prasangka buruk dan niat jahat. Semua anggota badan kita tidak memiliki tanda kekufuran daripada kekotoran tradisi. Kita wajib membersihkan penampilan diri, mesti tampil dengan kelembutan serta kasih sayang.

Ketiga, menjauhi segala bentuk kekufuran dan syirik kerana syirik adalah penyebab turunnya bala seksa dunia dan akhirat. Jalan seorang pejuang adalah jalan lurus yang tiada syirik sedikit pun.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan bahawa yang Kami (perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia, dan janganlah kamu mengikuti jalan (yang lain), kerana jalan itu menceraiberaikan kamu daripada jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu supaya kamu bertakwa.” (Surah al-An'am, ayat 153)

Syirik penyebab utama muncul krisis moral, sementara keimanan penyebab turun berkat daripada langit dan bumi. Allah berfirman yang bermaksud: “Jika penduduk negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat daripada langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya.” (Surah al-'Araf, ayat 96)

Sebagai individu, jika ingin bangkit menuju masa depan yang baik, mesti rasional dan jauh daripada perbuatan syirik. Demikian juga suatu bangsa apabila ingin bangkit dan menang mesti menjauhkan semua prinsip kekufuran dan syirik. Tayangan media elektronik dan media cetak serta pelbagai media lainnya mesti dijauhkan daripada prinsip syirik dan kekufuran.

Keempat, mencegah perbuatan dosa. Abu Bakar as-Siddiq pernah berkata, “Kamu orang Islam tidak akan dapat dikalahkan kerana jumlah kecil. Kamu pasti dapat dikalahkan walaupun mempunyai jumlah banyak melebihi jumlah musuh jika kamu terbabit dalam dosa.”

Perbuatan dosa penghalang kepada kejayaan dan kemenangan. Sejarah mencatatkan, kemenangan umat Islam banyak diperoleh pada Ramadan kerana dengan berpuasa, orang tidak melakukan perbuatan dosa.

Bermula kemenangan pertama umat Islam terhadap orang musyrik Makkah pada perang Badar hingga perang Arab-Israel pada Oktober 1973. Begitu juga penarikan mundur pasukan Russia dari Afghanistan berlaku pada Ramadan. Berhentinya peperangan di Bosnia sehingga umat Islam dapat hidup relatif dengan tenang juga pada Ramadan.

Kemenangan bangsa Arab dalam perang melawan Israel pada 1973, tercatat pada Ramadan, menyebabkan dalam beberapa jam saja selepas meletus peperangan itu, 200 pesawat terbang Israel dan 800 kereta kebalnya dapat dilumpuhkan. Israel sudah di ambang kehancuran, jika tidak dibantu Amerika, nescaya Israel benar-benar hancur ketika itu.

Itulah gambaran sejarah ringkas kemenangan umat Islam. Apakah rahsia kemenangan itu? Salah satu jawapannya ialah kerana pada Ramadan umat Islam melaksanakan ibadat puasa, satu-satunya ibadat yang dipersembahkan kepada Allah sebagai bukti keimanan.

Ketika berpuasa, umat Islam mampu mengawal diri untuk sentiasa berhubungan dengan kekuasaan Allah dan menghindari daripada perbuatan maksiat. Amalan salih itulah yang kemudian mengundang datangnya pertolongan Allah. Jika pertolongan Allah sudah tiba, maka tidak ada yang dapat menghalangi kekuasaan-Nya.

Kelima, iman, ikhlas dan suci hati. Dengan keimanan, keikhlasan dan kesucian hati, kemenangan dapat diraih. Umat Islam akan berjaya dan memperoleh kemenangan jika berjuang penuh keimanan, keikhlasan, kesucian hati dan diri.

Keenam, melaksanakan perintah Allah. Sejarah membuktikan kemenangan dapat diraih dengan melaksanakan perintah Allah. Mengikut sejarah, seorang tawanan Rom dalam kawalan orang Islam dapat lari dan meloloskan diri daripada kawalan.

Raja Heraklius bertanya kepadanya mengenai keadaan orang Islam. Tawanan itu menerangkan, pasukan Islam adalah ahli ibadat waktu malam dan kesatria pada siang harinya. Jika mereka berjumpa, mereka memberi dan menjawab salam. Heraklius menjawab dengan cepat, jika laporan itu benar dan tepat, maka mereka akan menjadi raja bagi kerajaan Heraklius.

Heraklius mempunyai jumlah tentera yang sangat ramai, sedangkan jumlah orang Islam sangat terbatas. 'Amr bin 'Ash memberitahu Abu Bakar as-Siddiq mengenai keadaan itu. Sebagai jawapannya, Abu Bakar menulis, “Kamu orang Islam tidak akan dapat dikalahkan kerana jumlah yang kecil. Kamu pasti dapat dikalahkan walaupun mempunyai jumlah banyak melebihi jumlah musuh jika kamu terbabit dalam dosa.”

Ketika Heraklius tiba di Antokia selepas pasukan Romawi dikalahkan pasukan Muslimin, dia bertanya: “Beritahukan kepadaku mengenai orang yang menjadi lawan kamu dalam peperangan. Bukankah mereka manusia seperti kamu. Mereka menjawab, Ya. Apakah kamu yang lebih banyak jumlahnya atau mereka? Kamilah yang lebih banyak jumlahnya apabila kami saling berhadapan.”

Lantas mengapa kamu dapat dikalahkan, tanya Heraklius. Seseorang yang dianggap paling tua menjawab, kerana mereka biasa solat pada malam hari, berpuasa pada siang hari, menepati janji, menyuruh kepada kebajikan, mencegah kemungkaran dan saling berbuat adil di antara mereka.

Sementara kami suka minum arak, berzina, melakukan hal haram, melanggar janji, suka marah, berbuat sesuka hati, menyuruh kepada kebencian, melarang hal yang diredai Allah dan berbuat kerosakan di bumi.

Jelaslah, umat Islam kuat bukan kerana senjata, bukan semata-mata kerana jumlah orangnya, tetapi umat Islam kuat kerana melaksanakan perintah Allah dan menjauhi segala bentuk larangan-Nya.