Showing posts with label Puasa. Show all posts
Showing posts with label Puasa. Show all posts

Saturday, May 2, 2009

Puasa cara mudah sihatkan badan, minda

Umat digalak berpuasa sunat selain tambah amal dapat hindari penyakit

HARI ini pelbagai cara dilakukan warga kota dan desa untuk menjaga kesihatan antaranya senaman setiap hari, berjoging pagi atau petang dan tidak kurang juga mengambil produk kesihatan sebagai makanan tambahan.

Bagi orang Islam, mereka mempunyai satu lagi cara untuk menjaga kesihatan iaitu mengerjakan puasa sunat. Di samping dapat ganjaran pahala istimewa daripada Allah, berpuasa dapat menyembuhkan pelbagai macam penyakit rohani khususnya berkaitan nafsu.

Selain itu, mereka yang berpuasa dapat menjauhkan diri daripada melakukan perkara mungkar seperti membuat fitnah, mengumpat, berfoya di tempat hiburan atau menonton gambar lucah di internet.

Orang berpuasa tentu tidak sanggup melakukan perkara seperti itu kerana ia boleh mengurangkan pahala puasa atau jika tidak kena gaya membatalkan puasa.

Dalam apa keadaan sekalipun, sebenarnya ibadah puasa dapat melatih serta mendidik manusia sentiasa tenang dan sabar yang juga sebahagian daripada iman.

Sabda Nabi Muhammad SAW bermaksud: "Puasa adalah separuh daripada sabar." (Hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)

Mengikut kajian, orang berpuasa mampu menyembuhkan penyakit berpunca daripada pemakanan seperti sakit perut dan gastrik jika ibadah itu dilakukan berterusan dengan teratur. Hal ini diakui kebenarannya oleh ahli perubatan.

Imam Al-Ghazali pernah menjelaskan sebahagian besar penyakit berpunca daripada makanan dan minuman. Katanya, berpuasa dapat memberi kesan positif terhadap penyakit berpunca daripada makanan dan minuman. Sementara Imam Bukhari berpendapat dengan berpuasa seseorang mampu menyembuhkan penyakit rohani.

Selain puasa wajib sebulan ketika Ramadan, umat Islam digalak melakukan puasa sunat pada masa tertentu dalam kalendar Islam seperti puasa pada 9 Zulhijjah, 9 dan 10 Muharam, enam hari pada Syawal (puasa enam), Nisfu Syaaban dan tiga hari setiap bulan iaitu pada 13, 14 dan 15.

Umat Islam juga disaran mengerjakan puasa sunat Isnin dan Khamis setiap minggu. Amalan ini menjadi budaya dalam kehidupan sesetengah umat Islam di negara ini seperti dilakukan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 yang memperoleh 20A, Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal. Beliau mengamalkan puasa Isnin dan Khamis sejak berusia 12 tahun.

Dalam catatan sejarah Islam, amalan berpuasa Isnin dan Khamis dilakukan Nabi Muhammad SAW. Baginda bersungguh-sungguh melakukannya seperti dijelaskan hadis diriwayatkan Muslim dan At-Tirmidzi.

Abu Qatadah berkata, pernah Rasulullah SAW ditanya mengenai puasa Isnin. Jawab Baginda SAW: "Hari itu aku dilahirkan dan hari itu aku diutus menjadi Rasul dan diturunkan kepadaku al-Quran." (Hadis riwayat Muslim)

Mengenai Rasulullah SAW yang mengamalkan puasa Isnin dan Khamis, Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Pada dua hari itu amal perbuatan manusia diangkat kepada Allah dan aku suka pada saat amalku dilaporkan aku dalam keadaan berpuasa." (Hadis riwayat At-Tirmidzi)

Allah mengingatkan umat Islam supaya beribadat kepada-Nya seperti ibadat Nabi SAW. Firman Allah bermaksud: "Apa (ajaran) yang dibawakan Rasul kepada kamu, maka kamu ambillah dia, dan apa yang dilarang kamu (membuatnya), maka berhentilah (jadikan sempadan; jangan langkaui)." (Surah Al-Hasyr, ayat 7)

Firman Allah bermaksud: "Siapa yang mematuhi Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia memperoleh kejayaan paling besar." (Surah al-Ahzaab, ayat 71)

Mengenai penilaian amal manusia pada dua hari itu, Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah secara marfuk seperti berikut: "Pintu syurga dibuka pada Isnin dan Khamis, maka setiap hamba yang tidak musyrik akan diampuni kecuali lelaki yang masih bermusuhan dengan saudaranya maka dikatakan: Lihatlah (wahai malaikat) kedua-dua orang ini sehingga mereka berdamai."

Penulis Suyadi dalam bukunya Keajaiban Puasa Isnin Khamis mencatatkan: "Hikmah puasa bagi kesihatan jasmani dan rohani serta kecerdasan otak tidak dapat dipandang sebelah mata.

"Amalan puasa Isnin dan Khamis secara berterusan membuahkan daya gerak dan ketahanan jasmani serta kecerdasan otak yang luar biasa. Hal ini bukan omong kosong tanpa bukti. Kajian dari segi kesihatan menunjukkan dalam keadaan perut lapar otak akan berfungsi secara maksimum serta hati semakin dekat dengan Yang Maha Besar."

Memang tidak dinafikan puasa Isnin dan Khamis banyak membantu pengamalnya menjadi sihat, cergas dan tidak mudah diserang penyakit seperti sakit kepala. Mereka yang berterusan mengamalkannya, terutama pelajar dapat meningkatkan kefahaman dalam bidang pelajaran.

Orang berpuasa sama ada wajib atau sunat mendapat kedudukan istimewa di sisi Allah dengan syarat puasanya dikerjakan dengan ikhlas kerana Allah.

Daripada Abu Saiid Al-Khudri menceritakan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Siapa berpuasa pada suatu hari di jalan Allah (secara ikhlas serta mencontohi Nabi), nescaya Allah akan menjauhkan mukanya (dirinya) daripada neraka sejauh 70 tahun (perjalanan)." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Puasa itu perisai dan benteng yang benar-benar menyekatkan daripada neraka." (Hadis riwayat Ahmad)

Thursday, October 9, 2008

Afdal qada hutang' Ramadan sebelum mulakan puasa enam Syawal

Oleh Dr Abdul Basit Abd Rahman

HUKUM puasa sunat enam Syawal adalah sunat. Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal kerana 1 Syawal adalah Aidilfitri dan dilarang berpuasa pada hari itu. Abu Hurairah berkata yang bermaksud: "Nabi SAW melarang puasa pada hari Aidilfitri dan Aidiladha." (Hadis sahih al-Bukhari)

Syarat dan adab bagi puasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib Ramadan. Namun sering kali menjadi perbincangan kalangan ulama bagaimana sewajarnya puasa itu dilaksanakan sama ada secara berturut-turut atau terputus.

Pandangan lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah SAW menganjurkan puasa sunat enam hari ini, Baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya.

Maka puasa enam boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah berakhir bulan Syawal. Adalah lebih afdal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan firman Allah yang bermaksud: "Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang bertakwa." (Surah Ali-Imran, ayat 133)

Selain cara melaksanakannya, timbul juga perbincangan apakah dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal jika mempunyai hutang puasa Ramadan yang belum diqada. Ada dua pendapat ulama dalam masalah ini.

Pendapat pertama, boleh melakukannya berdasarkan dalil bahawa Aisyah pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadan yang perlu diqada hingga ke bulan Syaaban akan datang. Aisyah berkata: "Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadan. Aku tidak mampu mengqadanya kecuali pada bulan Syaaban kerana sibuk (melayani) Rasulullah SAW." (Sahih Muslim)

Ulama yang mengemukakan pendapat pertama berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah SAW, Aisyah tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau mengqada puasa Ramadan pada bulan Syaaban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadan.

Pendapat kedua, tidak boleh melakukannya berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal itu sendiri yang dikemukakan di awal risalah ini. Hadis itu berbunyi: "Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun."

Rasulullah SAW mensyaratkan berpuasa Ramadan terlebih dulu, kemudian barulah mengiringinya dengan enam hari dalam bulan Syawal. Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadan. Jika ada puasa Ramadan ditinggalkan, ia perlu diqada terlebih dulu barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.

Jika diperhatikan secara teliti, pendapat yang kedua lebih rajih (kuat) kerana menepati dalil puasa sunat enam Syawal itu sendiri. Selain itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan daripada memberi sedekah yang sunat.

Namun, jika seorang itu tidak berkesempatan (disebabkan keuzuran) untuk melakukan qada kemudian berpuasa enam dan dia berkeyakinan akan sempat mengqadakan sebelum Ramadan tahun berikutnya, maka pendapat pertama boleh diterima berdasarkan apa yang dilakukan Aisyah.

Menurut Imam An-Nawawi, Mazhab Malik, Abu Hanifah, Asy-Syafie, Ahmad dan jumhur salaf dan khalaf mengatakan: "Qada puasa Ramadan bagi mereka yang berbuka kerana uzur seperti kedatangan haid dan musafir, maka kewajipan mengqada adalah secara bertangguh, tidak disyaratkan qada terus apabila boleh melakukannya."

Menurut Al-Khatib Asy-Syarbini: "Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadan, sunat dia mengqadakannya secara berturut-turut dan makruh bagi orang yang ada qada Ramadan melakukan puasa sunat."

Sementara pendapat menggabungkan puasa qada dan puasa enam dan akan diberi ganjaran kedua-dua pahala dengan puasa yang satu, berlaku khilaf di kalangan ulama, sebahagiannya berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardu lain atau dengan puasa sunat lain. Jika dilakukan maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardu dan sunat.

Ada kalangan ulama Syafi'iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperoleh apabila seseorang berpuasa qada sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperoleh kurang daripada seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan.

Selepas dikaji, pandangan ulama yang membolehkan puasa dua dalam satu ini, tidak bersandarkan mana-mana dalil al-Quran dan al-Sunnah. Oleh itu, lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardu dan sunat) secara berasingan, kerana sebagai hamba yang tunduk kepada Allah, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang wajib dengan sunat lebih menunjukkan kesungguhan diri mencari keredaan Tuhannya.

Amalan sunat adalah sebagai penampal kepada kekurangan dalam amalan fardu. Sempurnakan dulu qada beberapa hari yang tertinggal, kerana kita tidak tahu apakah hayat dan kesihatan yang ada akan berterusan sehingga kita dapat menunaikannya di masa depan.

Bagi orang yang tidak sempat melakukan puasa sunat kerana sibuk dengan puasa wajib, diharapkan Allah akan memberi ganjaran berdasarkan niat dan azamnya.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Apabila seorang hamba Allah sakit atau musafir (beliau tidak dapat melakukan amalan yang biasa dilakukannya) maka dituliskan baginya pahala seperti amalan yang biasa dilakukannya sewaktu tidak bermusafir dan sewaktu sihat." (Sahih Al-Bukhari)

Monday, October 6, 2008

Ganjaran besar puasa enam Syawal

Oleh Zahri Hamat


PUASA enam Syawal adalah sunat dilakukan dan besar ganjaran pahala serta tambahan kepada kekurangan yang diimbangi dengan zakat fitrah.


Mukmin laksana amalan sunat mendapat kebaikan berganda

DUA jenis amalan menentukan peribadi seseorang Muslim iaitu amalan wajib dan amalan sunat. Wajib bermaksud sesuatu yang dituntut untuk melakukannya dan berdosa jika ditinggalkan seperti solat fardu, puasa pada Ramadan dan membayar zakat.

Sunat pula bermaksud sesuatu yang dianjurkan untuk melakukannya dan tidaklah berdosa jika ditinggalkan. Antara contoh amalan sunat ialah solat, mengucapkan amin apabila membaca fatihah dalam solat dan banyak lagi.

Walaupun meninggalkan amalan sunat tidaklah menyebabkan berdosa, ia adalah amalan sangat disukai Allah.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesungguhnya Allah berfirman yang maksudnya: "Sesiapa yang memusuhi wali-Ku, maka sesungguhnya aku mengisytiharkan perang terhadapnya. Dan tiada seorang hamba-Ku yang bertaqarrub (beramal) kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku cintai hanya dari ia menunaikan semua yang Aku fardukan ke atas dirinya. Dan hendaklah hamba-Ku sentiasa bertaqarrub dirinya kepada-Ku dengan nawafil (ibadat sunat) sehingga Aku mencintainya. Maka apabila Aku telah mencintainya, nescaya adalah Aku sebagai pendengarannya yang ia mendengar dengannya, dan sebagai penglihatannya yang ia melihat dengannya, dan sebagai tangannya yang ia bertindak dengannya, dan sebagai kakinya yang ia berjalan dengannya. Dan jika ia meminta kepada-Ku nescaya Aku berikan kepadanya, dan jika ia memohon perlindungan kepada-Ku nescaya Aku lindungi." (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Antara ibadat sunat yang amat digalakkan selepas puasa wajib Ramadan ialah puasa enam hari semasa Syawal. Persoalannya, bilakah waktu terbaik melakukannya, dan bagaimanakah cara untuk menunaikannya jika puasa wajib belum lagi diganti atau diqada?

Puasa enam hari pada Syawal sebenarnya amat besar ganjaran yang ditawarkan Allah. Ia disebut secara jelas oleh Rasulullah SAW.

Dilaporkan daripada Abu Ayyub al-Ansari bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesiapa berpuasa sepanjang Ramadan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari Syawal, maka seakan-akan dia berpuasa selama satu tahun." (Hadis riwayat Muslim, Abu Dawud, An-Nasa'i dan Ibnu Majah)

Ini bermakna dengan berpuasa sunat selama enam hari pada Syawal selepas berpuasa wajib pada Ramadan, seolah-olah mereka berpuasa sepanjang tahun.

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Allah telah menggandakan setiap kebaikan dengan sepuluh kali ganda. Puasa Ramadan setara dengan berpuasa sebanyak sepuluh bulan. Dan puasa enam hari Syawal yang menggenapkannya satu tahun." (Hadis riwayat An-Nasa'i dan Ibnu Majah)

Hadis ini mempamerkan bahawa ganjaran diberikan Allah itu sepuluh kali ganda. Ini bermakna jika kita berpuasa selama 30 hari pada Ramadan, maka digandakan menjadi 300 hari, manakala puasa enam hari pada Syawal digandakan menjadi 60 hari. Ganjaran Allah adalah sebanyak 360 hari.

Persamaan yang lain, jika berpuasa selama sebulan pada Ramadan akan menyamai 10 bulan, kemudian diikuti puasa selama enam hari pada Syawal akan menyamai dua bulan. Justeru genaplah berpuasa selama setahun.

Ada dua pendapat ulama mengenai hal ini. Majoriti ulama berpendapat, puasa enam dilakukan secara berturut-turut selepas Hari Raya. Ia dimulai pada hari raya kedua dan seterusnya sehingga genap enam hari. Sebahagian ulama pula berpendapat puasa enam itu boleh dilakukan secara berselang-seli atau tidak terus menerus sepanjang Syawal.

Justeru, kita mempunyai kebebasan untuk membuat pilihan sama ada melakukannya secara berturut-turut ataupun berselang seli.

Bagaimanakah pula kaedah menunaikan puasa sunat pada Syawal jika puasa Ramadan masih belum diganti atau qada? Persoalan itu juga mempunyai beberapa pandangan. Pendapat pertama mengatakan adalah memadai seseorang yang ingin melakukan puasa qada dan puasa enam dengan berniat hanya puasa qada pada Syawal. Mereka akan mendapat dua ganjaran sekali gus dengan syarat dia perlu berniat puasa qada terlebih dulu. Ini kerana puasa qada adalah wajib dan puasa enam adalah sunat.

Hal yang sama berlaku ke atas solat tahiyatul masjid. Jika seseorang memasuki masjid dan terus melakukan solat fardu, maka dia akan diberi ganjaran dua pahala sekali gus.

Pendapat kedua ialah jika seseorang melakukan kedua-duanya secara berasingan akan mendapat kelebihan di sisi Allah kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah, maka memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan antara yang wajib dengan sunat lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba.

Ada juga ulama berpendapat bahawa puasa enam seharusnya didahulukan kerana ia hanya boleh diamalkan pada bulan Syawal saja. Bagi puasa qada, ia boleh dilakukan dalam tempoh 10 bulan berikutnya sebelum tibanya Ramadan akan datang.

Lakukan ibadat sunat ini sama ada berpuasa secara berturut-turut atau berselang-seli. Begitu juga dengan puasa qada. Lakukanlah sama ada secara digabungkan puasa enam dengan puasa qada ataupun secara berasingan.

Terpulanglah kepada diri kita sendiri berdasarkan kemampuan masing-masing. Hal ini kerana ganjaran ditawarkan Allah amat besar. Ia juga adalah tambahan kepada kekurangan yang diimbangi oleh zakat fitrah.

Penulis ialah pensyarah Pusat Kajian pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) Universiti Sains Malaysia

Sunday, October 5, 2008

Persoalan Agama: Sembilan waktu paling sesuai puasa sunat

Bersama Jakim

SAYA bersyukur kerana dapat berpuasa penuh sepanjang Ramadan dan mahu berpuasa enam hari ketika Syawal. Saya kini bersemangat untuk menjadikan puasa sebagai amalan sepanjang tahun. Bolehkah saya melakukan begitu dan bilakah umat Islam digalakkan berpuasa selain Ramadan?

Adel Iskandar Hakim,
Mergong, Alor Star.

Puasa sememangnya satu ibadah yang dituntut. Ia adalah ibadah ketaatan dan keikhlasan kepada Allah SWT. Di akhirat kelak orang yang berpuasa dialu-alukan memasuki syurga melalui pintu ar-Rayyan. Malahan puasa juga adalah madrasah yang mentarbiyah manusia menjadi insan bertakwa kerana ia membiasakan manusia dengan sifat sabar, amanah, disiplin, mengurangkan makan, meningkatkan amal ibadat dan sebagainya. Oleh itu amatlah digalakkan untuk mukmin meneruskan puasa sunat selepas berlalunya Ramadan untuk mengekalkan kebaikan yang sudah kita lakukan ketika Ramadan seperti puasa enam hari pada Syawal.

Antara waktu digalakkan berpuasa sunat ialah;

Berpuasa satu hari dan berbuka satu hari. Ia paling afdal kerana Rasulullah SAW bersabda: "Puasa yang paling afdal ialah puasa Nabi Daud. Dia berpuasa satu hari dan berbuka puasa satu hari. Tidak ada yang lebih afdal daripada itu." (Riwayat Bukhari Muslim)

Berpuasa tiga hari setiap bulan dan lebih afdal berpuasa tiga hari bulan terang (hari ke-13, 14 dan 15). Pahala berpuasa pada hari-hari berkenaan ialah sama seperti berpuasa sepanjang masa dengan gandaan pahala.

-Berpuasa pada hari Isnin dan Khamis bagi setiap minggu.

-Puasa pada enam hari bulan Syawal.

-Puasa hari Arafah. Iaitu hari yang kesembilan bulan Zulhijjah bagi mereka yang tidak mengerjakan haji. Bagi seseorang yang sedang mengerjakan ibadat haji tidak disunatkan berpuasa pada hari itu sebaliknya disunatkan berbuka puasa walaupun dia kuat. Ini bertujuan untuk terus kuat berdoa dalam mengerjakan ibadah wajib berkenaan.

-Puasa lapan hari daripada bulan Zulhijjah sebelum hari Arafah bagi orang yang sedang mengerjakan haji dan orang yang tidak mengerjakannya.

-Puasa Tasi' dan Asyura (hari ke-9 dan 10) dan disunatkan menghimpun kedua-duanya.

-Puasa dalam bulan-bulan haram (iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab). Sebaik-baik bulan haram selepas bulan Ramadhan ialah Muharam, kemudian bulan Rejab, kemudian bulan-bulan haram yang lain, akhirnya barulah Syaaban.

-Puasa dalam bulan Syaaban. Cuma ada ulama yang tidak membenarkan berpuasa pada 15 terakhir bulan Syaaban dengan hikmahnya untuk membuat persediaan tubuh badan bagi berpuasa sebulan Ramadhan dan bagi meningkatkan perasaan hati agar berasa ternanti-nanti kehadiran Ramadhan dengan penuh pengharapan dan kegembiraan.

Monday, September 29, 2008

Semangat Ramadan kawal bara kemarahan

Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir

IBADAT puasa bukan saja perlu dilaksanakan dengan hati ikhlas kerana Allah, bahkan kita juga dituntut menjaga tingkah-laku atau akhlak sepanjang Ramadan. Kata Luqman al-Hakim: "Agama dan akhlak adalah sendi ketakwaan."

Salah satu akhlak yang harus dijauhi sepanjang Ramadan ini ialah marah. Ibnu Qayyim al-Jauziyyah menyatakan selain hawa nafsu, marah adalah kesempatan emas bagi syaitan untuk menyesatkan manusia.

Menurut Imam al-Ghazali pula, marah berpunca daripada secebis api neraka yang menyala. Kepanasan itu naik ke sudut hati lalu bersembunyi menjadi bara yang diliputi abu. Bara itu menetap di hati seperti api dalam sekam. Apabila terjadi sesuatu tidak menyenangkan, maka meletuslah bara itu lalu menjadi api yang bernyala.

Syaitan akan mengambil kesempatan apabila ada anak cucu Adam yang mula hendak marah dengan menghasut mereka menerusi urat pendawaian yang boleh dihubungi oleh hasutan syaitan. Akhirnya tercetuslah kemarahan apabila api dalam hati marak menyala bagai gunung berapi.

Dalam banyak keadaan marah boleh mendatangkan perkara buruk. Apabila seseorang itu marah, ia dibantu oleh syaitan. Syaitan adalah musuh utama manusia yang berjanji kepada Allah untuk menggoda dan memesongkan anak cucu Adam.

Hal ini jelas dinyatakan melalui firman Allah yang bermaksud: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan aku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus.” (Surah al-Araf, ayat 16)

Mujahid menceritakan syaitan berkata: “Aku tidak dapat dilemahkan oleh anak Adam pada tiga perkara. Salah satu perkara itu ialah apabila orang itu marah, dia akan berkata apa yang tidak diketahuinya dan melakukan sesuatu perkara yang dikesalnya.”

Walaupun perasaan marah itu banyak dihasut oleh syaitan, ada waktunya perasaan itu boleh diredakan dengan kita mengalihkan pemikiran kita kepada Allah yang sentiasa melihat kita dan apa yang kita lakukan.

Ingatlah, Allah tidak menyukai hamba-Nya berakhlak buruk, apatah lagi kesan dari akhlak buruk itu boleh mendatangkan perkara tidak baik. Kaedah cukup baik untuk menurunkan api kemarahan yang bergelora dalam diri ialah dengan mengambil wuduk untuk menyejukkan kemarahan yang membara dalam dada.

Sesungguhnya apabila kita menjauhkan diri daripada mengamalkan sikap marah atau orang yang suka marah, kita sebenarnya menjauhkan diri daripada kemurkaan Allah.

Hal itu dinyatakan Rasulullah SAW kepada seorang lelaki bertanya Baginda: “Wahai Rasulullah! Apakah sesuatu yang lebih berat? Dijawab Rasulullah SAW: Kemurkaan Allah! Lelaki itu bertanya lagi: Apakah sesuatu yang dapat menjauhkan aku daripada kemurkaan Allah? Rasulullah SAW menjawab: Jangan marah.” (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu `Amr)

Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang, Allah menyukai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali-Imran, ayat 134)

Selain dapat menjauhkan diri daripada kemurkaan Allah, hikmah dan beruntungnya orang yang tidak marah ini ialah dapat masuk syurga seperti diceritakan Abu Darba bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Saya bertanya, Wahai Rasulullah! Tunjukkanlah saya amalan yang boleh membawa saya masuk ke dalam syurga! Lalu Baginda menjawab: Jangan marah.” (Hadis riwayat Ibnu Abid-Dunya dan At-Tabrani)

Daripada Imam Hasan, dinyatakan bahawa ada empat orang dilindungi Allah dari syaitan dan diharamkan masuk neraka. Menurut Imam Hasan, orang yang mengekang dirinya dari kecintaan, kebencian, nafsu syahwat dan marah.

Mengelak rasa marah bukan saja pada Ramadan tetapi sepanjang waktu perlu mengawal emosi supaya tidak lekas marah. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang cepat marah dan suka marah.

Perlu diingat, marah itu bara api syaitan yang menjunam ke dalam hati manusia dan syaitan itu adalah musuh manusia nombor satu. Jauhkan diri kita daripada sifat marah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa menahan kemarahannya dan dapat melaksanakannya, nescaya Allah akan memanggilnya di hadapan manusia ramai dan menyuruhnya memilih di antara bidadari yang dikehendakinya.” (Hadis riwayat Ibnu Abid-Dunya, Ahmad, Abu Daud dan at-Tarmizi)

Sunday, September 28, 2008

Ulul Albab: Ramadan, Aidilfitri didik umat bertakwa

Bersama Abdurrahman Haqqi


BERSEDEKAH antara cara menzahirkan rasa kesyukuran kepada Tuhan.


Orang berpuasa lebih sempurna kejayaannya jika dihiasi dengan kesyukuran kepada Tuhan

ESOK umat Islam akan melihat anak bulan Syawal 1429 Hijrah (H). Jika melihatnya maka pada Selasa umat Islam akan menyambut hari kemenangan melawan hawa nafsu mereka, Aidilfitri. Jika tidak, maka hari yang diharap-harapkan oleh mereka akan jatuh pada Rabu. Bagaimanapun, dalam kedua-dua senario ini Aidilfitri akan menjelma dan umat Islam akan gembira.

Tujuan disyariatkan puasa pada Ramadan adalah agar orang yang melaksanakan ibadat puasa itu akan menjadi orang yang bertakwa seperti tersurat dalam ayat 183 surah al-Baqarah. Dan sifat ketakwaan makro boleh kita dapat pada awal Surah sama iaitu maksudnya: "Iaitu orang yang beriman kepada perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Dan juga orang yang beriman kepada Kitab (al-Quran) yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad), dan kitab yang diturunkan terdahulu daripada mu serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya). Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang yang berjaya." (Ayat 3-5)

Ia bermakna orang yang berpuasa akan menjadi graduan dengan ijazah takwa dan dia termasuk dalam golongan berjaya. Kejayaannya itu akan sempurna jika dihiasi dengan bersyukur kepada yang memberi nikmat untuk melaksanakan puasa sepanjang Ramadan.

Bersyukur menurut Imam Ghazali dalam bukunya Ihya 'Ulumiddin adalah memanfaatkan potensi anugerah Allah berikan untuk melaksanakan amal kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Ketika anda dalam keadaan sihat badan dan fikiran kemudian anda menggunakannya untuk melaksanakan kebaikan dan mencegah kemungkaran, maka anda menjadi orang yang bersyukur.

Ketika anda diberikan rezeki kemudian anda membelanjakannya untuk melaksanakan kebaikan dan mencegah kemungkaran, maka anda menjadi orang bersyukur.

Ketika anda memperoleh ijazah takwa kemudian anda menggunakannya untuk melaksanakan kebaikan dan mencegah kemungkaran, maka anda menjadi orang yang bersyukur.

Dalam bertadarus al-Quran tahun ini, penulis terpegun dengan pendedahan ayat sucinya yang mana dalam surah Ghafir atau al-Mukmin bersyukur dikaitkan dengan nikmat, manakala kejadian alam semesta dikaitkan dengan ilmu, alam minda dikaitkan dengan zikir dan keadaan akhirat dikaitkan dengan iman.

Ayat itu bermaksud: "Demi sesungguhnya, menciptakan langit dan bumi (dari tiada kepada ada) lebih besar (dan lebih menakjubkan) daripada menciptakan manusia dan menghidupkannya semula (sesudah matinya); akan tetapi kebanyakan manusia (yang mengingkari hari kiamat) tidak mengetahuinya. Dan sememangnya tidaklah sama orang yang buta dan orang yang celik, dan juga tidaklah sama orang-orang yang beriman serta beramal soleh dengan orang yang melakukan kejahatan. (Meskipun hakikat ini jelas nyata, tetapi) sedikit sangat kamu beringat dan insaf.

Sesungguhnya hari kiamat tetap akan datang, tidak ada sebarang syak mengenai kedatangannya; akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman (akan hakikat itu)… Allah yang menjadikan malam untuk kamu supaya kamu berehat padanya, dan menjadikan siang terang benderang (supaya kamu berusaha). Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurnia-Nya kepada seluruh manusia seluruhnya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur." (Ayat 57-59, 61)

Bersyukur adalah berterima kasih dan nikmat bererti enak, sedap, lazat, kurnia, anugerah dan sebagainya. Kedua-duanya sama-sama berasal dari bahasa Arab. Syukur nikmat ertinya berterima kasih atas suatu anugerah atau pemberian. Dalam hal ini nikmat datang daripada Allah SWT. Dan nikmat yang paling berharga adalah nikmat iman dan Islam yang mana takwa adalah natijahnya.

Apabila kita perhatikan jenis atau macam nikmat kita boleh mengkategorikannya ke dalam dua jenis iaitu pertama nikmat fizikal atau jasmani yang dirasai oleh tubuh kita seperti nikmat sihat, nikmat makanan dan minuman, dan nikmat bersetubuh. Dan kedua nikmat mental atau rohani yang dirasai oleh roh atau jiwa kita seperti nikmat ilmu pengetahuan, nikmat akal fikiran dan nikmat perasaan.

Bagi menzahirkan kesyukuran, kita boleh melakukannya dengan beberapa cara termasuk pertama bersyukur dengan hati dan perasaan seperti menghindari perilaku buruk yang dibenci Allah dan manusia termasuk kikir, fasik, mungkar, keji, dendam, sombong, takbur, munafik dan sebagainya; selalu ingat kepada Allah SWT dan juga mengingat mati dan memiliki perasaan cinta kepada Allah SWT dan Rasul-Nya melebihi apapun juga.

Kedua bersyukur dengan mulut dan ucapan seperti terbiasa membaca al-Quran atau tadarus; menyebarkan dan mengajarkan ilmu yang dimiliki; selalu ingat Allah dengan berzikir di manapun dan bila-bila masa dengan mengucapkan tahlil, tahmid, istiqhfar, hauqalah, takbir, ta'awwuz, dan sebagainya dan sentiasa berdoa kepada Allah untuk mendoakan diri sendiri, keluarga, kerabat, musuh dan lain-lain.

Ketiga bersyukur dengan amal perbuatan seperti melakukan ibadat solat lima waktu; melaksanakan ibadat puasa wajib dan sunat; melaksanakan semua perintah Allah SWT dan menjauhi semua larangan-Nya dan melaksanakan ibadat zakat serta haji jika mampu dan memenuhi syarat.

Keempat, bersyukur dengan harta benda seperti membantu orang yang memerlukan pertolongan kewangan; menabung di bank Islam; membangunkan mushala, masjid, sekolah, jambatan dan sebagainya dan menderma.

Jadi, sebagai tanda syukur kita kepada Allah yang menjadikan kita orang yang bertakwa menerusi pensyariatan puasa Ramadan, maka sudah sewajarnya kita memanfaatkan ketakwaan itu untuk mengikhlaskan hidup dan mati kita untuk-Nya. Kita kembalikan rasa syukur kita ini kepada Allah dan jangan kita mencemarinya dengan perbuatan bercanggah dengan sifat syukur kepada-Nya.

Kita sebagai orang yang mengaku Tuhan kita adalah Allah, perlulah membezakan diri kita dalam bersyukur dengan sifat seekor anjing. Sebagai contoh, sebuah rumah ada tuan rumah, orang gaji dan seekor anjing. Setiap hari tuan rumah menyuruh orang gaji memberi makan kepada anjing. Sedari itu, setiap kali anjing melihat dan berjumpa orang gaji, pasti akan digoyang-goyangkan kakinya, goyang-goyang ekor menunjukkan tanda suka seekor anjing. Tetapi apabila tuan rumah datang, maka si anjing tadi akan menyalak, sedangkan yang sebenarnya yang memberi makan adalah tuan rumah terbabit. Maka, jika kita tidak bersyukur pada Allah, mungkin boleh disamakan dengan anjing.

Jika kita bersyukur di atas ketakwaan yang diberikan kepada kita oleh Allah maka ketakwaan kita akan bertambah sebagaimana tersirat dalam ayat yang bermaksud: "Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepadamu." (Surah Ibrahim: 7)

Oleh itu, sebagai wujud kesyukuran kita kepada Allah pada Aidilfitri ini dan pada hari berikutnya sampai Ramadan kembali lagi, kita mestilah menjauhi perkara yang membatalkan ketakwaan kita seperti membazirkan harta dan masa, menolak permohonan maaf dan tidak mengendahkan ajaran Islam. Sebaliknya kita mesti membebaskan diri daripada dibelenggu tipu daya syaitan yang terkutuk. Taqabbalallahu ta'atakum! INFO: Cara umat zahir kesyukuran

Bersyukur dengan hati dan perasaan seperti menghindari perilaku buruk yang dibenci Allah dan manusia termasuk kikir, fasik, mungkar, keji, dendam, sombong, takbur, munafik dan sebagainya.

Bersyukur dengan mulut dan ucapan seperti biasa membaca al-Quran atau tadarus; menyebarkan dan mengajarkan ilmu yang dimiliki.

Bersyukur dengan amal perbuatan seperti melakukan ibadat solat lima waktu; melaksanakan ibadat puasa wajib dan sunat; melaksanakan semua perintah Allah SWT dan menjauhi semua larangan-Nya dan melaksanakan ibadat zakat serta haji jika mampu dan memenuhi syarat.

Bersyukur dengan harta benda seperti membantu orang yang memerlukan pertolongan kewangan; menabung di bank Islam; membangunkan mushala, masjid, sekolah, jambatan dan sebagainya dan menderma.

Jadi, sebagai tanda syukur kita kepada Allah yang menjadikan kita orang yang bertakwa menerusi pensyariatan puasa Ramadan, maka sudah sewajarnya kita memanfaatkan ketakwaan itu untuk mengikhlaskan hidup dan mati kita untuk-Nya. Kita kembalikan rasa syukur kita ini kepada Allah dan jangan kita mencemarinya dengan perbuatan bercanggah dengan sifat syukur kepada-Nya.

Persoalan Agama: Puasa enam, qada boleh serentak

Soalan:

Apakah hukum puasa sunat enam hari pada Syawal dan kelebihan melakukannya. Bolehkah puasa ini dilakukan serentak dengan puasa qada?

Ridzuan Abdullah
Port Dickson, Negeri Sembilan

Jawapan:

Puasa enam hari pada Syawal adalah sunat. Ia boleh dilakukan secara terpisah tetapi jika dilakukan secara berturutan lebih afdal. Kelebihan melakukannya seumpama sabda Rasulullan SAW “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam Syawal, itu bererti puasa sepanjang tahun” (Riwayat Muslim)

Malah, puasa enam juga terhasil walaupun seseorang melakukan puasa qada atau nazar.

Saturday, September 27, 2008

Ramadan bulan bersihkan jiwa, peribadi

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Ibadah puasa mendidik manusia mengekang keinginan kepada kejahatan

MANUSIA pada asal kejadiannya adalah makhluk yang suci bersih, tidak ternoda, apatah lagi berdosa. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Anak-anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Maka ibu bapanyalah yang menjadikannya sama ada Yahudi, Majusi atau Nasrani." (Hadis riwayat Bukhari)

Bagaimanapun, faktor persekitaran yang mewarnai pentas kehidupan kemudian mempengaruhi keperibadian serta perjalanan hidup manusia sehingga ada di kalangan mereka Muslim dan bukan Muslim. Inilah yang dikatakan Rasulullah SAW.

Fitri atau fitrah bermaksud suci, bersih dan tidak ternoda. Fitrah manusia pada asal usul kejadiannya adalah suci kerana ia berasal dari Zat yang Maha Suci iaitu Allah. Oleh kerana kesucian manusia itulah maka Allah memuliakan manusia berbanding makhluk lain di alam semesta.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami memuliakan anak Adam; dan Kami beri mereka menggunakan pelbagai kenderaan di darat dan laut; dan Kami memberikan rezeki kepada mereka daripada benda yang baik serta Kami lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk yang Kami ciptakan.” (Surah al-Isra’, ayat 70)

Kelahiran manusia yang pada asal kejadiannya suci akhirnya berubah menjadi personaliti yang memiliki pelbagai ragam perangai dan perwatakan. Ada di kalangan mereka teguh mempertahankan kesuciannya dengan menjunjung Islam sebagai cara hidupnya yang lengkap.

Tidak kurang juga kalangan yang berubah menjadi manusia berdosa dan berbuat jahat seketika tetapi sempat bertaubat lalu menyucikan dirinya bernaung di bawah kalimat Allah. Lebih malang lagi, ada juga yang berbuat jahat dan berdosa, namun tidak mahu membersihkan diri malah terus bergelumang dengan lembah dosa sehingga kematian datang menjemputnya pada kemudian hari.

Begitulah warna kehidupan pasti dilalui setiap manusia di alam maya ini. Perlu diinsafi bahawa dunia ini adalah seumpama tempat bercucuk tanam yang bakal menentukan arah dan hala tuju manusia ke tempat asalnya semula iaitu kembali kepada Allah.

Dalam hal ini, orang yang selalu berusaha membersihkan dirinya daripada noda dosa, maka dia akan bertemu dengan Allah dalam keadaan bersih dan suci seperti asal kejadiannya yang bersifat fitrah.

Sebaliknya orang yang memiliki jiwa kotor, maka dia pula akan menghadap Allah dalam keadaan kekotoran jiwanya. Sedangkan Allah tidak akan menerima manusia yang kotor jiwanya.

Firman Allah yang bermaksud: “(Setelah diterangkan akibat orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang yang beriman dan beramal salih akan disambut dengan kata-kata: Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan), lagi diredai (di sisi Tuhanmu)! Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-Ku yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku.” (Surah al-Fajr, ayat 27-30)

Demikian titik penghujung perjalanan kehidupan manusia yang akhirnya kembali ke hadrat Ilahi. Perjalanan hidup manusia sarat pelbagai ujian dan aneka godaan dengan tujuan melahirkan hamba Allah yang suci dan bersih hatinya serta mantap imannya kepada Allah Maha Esa.

Oleh itu, ibadat puasa dilaksanakan selama sebulan Ramadan oleh setiap Muslim adalah medium terbaik untuk membimbing orang beriman ke arah jalan kesucian yang diredai Allah. Ini kerana ibadat puasa berupaya mengembalikan manusia meraih kesucian kerana puasa bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum.

Malah, ibadat puasa dihayati dengan penuh keimanan dan pengharapan untuk mengekang segala keinginan kotor hawa nafsu yang sentiasa mengintai peluang menjerumuskan manusia ke lembah kesesatan dan kancah dosa.

Justeru, berpuasa pada tahap itu adalah wahana paling efektif untuk meraih kembali kesucian jiwa yang sudah sekian lama ternoda oleh pelbagai jenis dosa yang menghimpit hidup manusia. Nafsu pada bulan puasa perlu dikekang pada tahap maksimum demi menjejaki kesucian diharapkan. Ketika nafsu sudah dapat dikawal, maka jiwa sendirinya akan mudah terisi dengan sinaran cahaya Ilahi yang suci.

Orang berpuasa yang berjaya dalam ibadat pada hakikatnya telah meraih kebahagiaan sejati kerana sudah menemui kembali kesucian diimpikannya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang berpuasa itu memiliki dua kegembiraan atau kebahagiaan; iaitu pertama, kegembiraan ketika berbuka puasa, dan kedua, kebahagiaan ketika bertemu dengan Allah pada hari akhirat kelak.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Pendek kata, seorang Muslim mengecapi kebahagiaan selepas berjaya menyucikan jiwanya dengan berpuasa. Serentak itu, dia juga merasa bahagia dengan kesucian jiwanya itu yang akan mempertemukan dengan Allah pada hari akhirat kelak.

Tuesday, September 23, 2008

Perspektif Ikim: Muhasabah diri untuk mengukur kekuatan iman

Oleh Wan Roslili Abd Majid

Ramadan ajar umat memberi maaf, jernihkan hubungan elak sengketa bawa kehancuran RAMADAN kini berada pada 10 terakhir. Bagi mereka yang melaksanakan ibadah puasa dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan mengharapkan keredaan Allah pastilah saat akhir ini menjadikan mereka lebih bersemangat menggandakan amal salih dan kebajikan.

Semua dengan tujuan bagi mencapai matlamat ibadah puasa disyariatkan, iaitu menjadi insan lebih bertakwa. Sehubungan itu, dalam usaha mencapai tahap berkenaan memerlukan hidayah serta petunjuk daripada al-Quran yang diturunkan pada Ramadan.

Allah berfirman yang bermaksud: "Kitab al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya (mengenai datangnya daripada Allah dan kesempurnaannya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang yang (hendak) bertakwa." (Surah al-Baqarah, ayat 2)

Firman Allah lagi yang bermaksud: "(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran menjadi petunjuk bagi sekalian manusia." (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Bidayah al-Hidayah (Permulaan Jalan Hidayah) menegaskan bahawa permulaan jalan hidayah ialah ketakwaan zahir dan kesudahan jalan hidayah adalah ketakwaan batin.

Katanya, petunjuk hanya akan diperoleh oleh orang yang berusaha menyediakan dirinya supaya menjadi orang bertakwa. Beliau menjelaskan ketakwaan terbahagi kepada dua bahagian iaitu melaksanakan segala perintah Allah dan kedua, meninggalkan larangan-Nya.

Selepas berlalunya bahagian pertama dan kedua Ramadan, wajarlah kita bermuhasabah sama ada sudah benar-benar berusaha mencapai matlamat melaksanakan ibadah puasa, iaitu bagi menyemai ketakwaan dalam diri atau sebaliknya.

Ibadah puasa hanya dilaksanakan sebagai amalan menahan lapar serta dahaga bermula dengan terbit fajar sehingga terbenamnya matahari dan tidak lebih daripada itu. Jika itu keadaannya, maka jadilah kita sebagai sebahagian daripada orang yang rugi dan tercela.

Maka sesudah berlalunya Ramadan kelak, tiada sebarang peningkatan dicapai dalam jalinan hubungan dan ketaatan terhadap Allah. Ada satu kaedah dalam Islam yang menyatakan, "Apa yang tidak dapat dilakukan keseluruhannya maka usahlah ditinggalkan keseluruhannya."

Kita tidak akan dicela jika tidak dapat mencapai peringkat ketakwaan tertinggi tetapi kita dicela kerana tidak melakukan sebarang usaha, sedangkan kita masih berkemampuan.

Selain bermuhasabah mengenai hubungan dengan Allah, ketaatan dan ketakwaan terhadap-Nya, kita juga wajar menilai sejauh mana ibadah puasa dilaksanakan dapat mendorong untuk sentiasa memperbaiki serta mengukuhkan hubungan sesama manusia, iaitu salah satu sifat dan ciri utama golongan bertakwa.

Justeru, hitung dan nilailah sama ada kekusutan dan perbalahan yang mungkin berlaku sudah dileraikan. Atau sebaliknya, sehingga saat ini kita masih belum bertegur sapa dan bersedia memaafkan ahli keluarga, rakan sekerja, sahabat-handai dan jiran tetangga.

Amat malang bagi kita jika pada bulan yang menjanjikan keampunan Allah ini, kita pula masih bersengketa dan bermusuhan serta tidak bersedia untuk saling memaafkan antara satu dengan lain. Padahal kita cukup menyedari bahawa kesepakatan, perpaduan dan kesatuan amat penting bagi kemajuan, keutuhan serta kesejahteraan ummah.

Sebaliknya, perbalahan dan persengketaan hanya merugikan selain mengakibatkan kehancuran serta kemusnahan. Al-Quran merakamkan pujian terhadap orang yang lebih suka memaafkan dan menjernihkan hubungan.

Allah berfirman yang bermaksud: "Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang yang menahan kemarahannya, dan orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan ingatlah, Allah mengasihi orang yang melakukan perkara baik." (Surah Ali-Imran, ayat 133)

Sementara hadis daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidaklah sedekah itu mengurangkan harta dan tidaklah Allah menambahkan bagi hamba yang suka memaafkan (kesilapan orang lain) melainkan kemuliaan, dan tidaklah seseorang itu tunduk tawaduk kepada Allah melainkan Allah akan mengangkat darjatnya."

Al-Quran menggariskan peranan penting itu kerana ia akhirnya dapat mengelakkan kezaliman terhadap salah satu pihak dan menyatukan kembali kedua-duanya.

Dalam hubungan ini, tindakan al-Hasan bin Ali bagi mengelakkan perpecahan dan pertumpahan darah umat Islam terus berlaku, wajar dijadikan iktibar. Selepas Ali meninggal dunia, penyokong beliau terus memberikan bai'ah kepada puteranya, al-Hasan.

Penyokong itu mahu meneruskan niat mereka untuk membunuh Mu'awiyah namun dibantah oleh al-Hasan. Sebaliknya al-Hasan mengutus surat perdamaian kepada Mu'awiyah yang diterima oleh Mu'awiyah dengan perasaan gembira tidak terkira.

Lantas, Mu'awiyah berangkat ke Kufah pada Rabiul Awal 41 hijrah iaitu selepas enam bulan al-Hasan menjalankan tugas sebagai khalifah. Al-Hasan dan al-Husain memberikan bai'ah kepadanya dan langkah itu dituruti seluruh umat Islam. Dengan demikian, tertegaklah Kerajaan Umayyah secara rasmi dan Mu'awiyah menjadi khalifah bagi umat Islam keseluruhannya.

Umat Islam gembira dengan perdamaian yang dapat diwujudkan dan mereka bersyukur kerana segala bentuk fitnah serta pertumpahan darah dapat dihentikan serta-merta. Mereka menamai tahun itu sebagai 'Tahun Penyatuan'.

Sesungguhnya usaha mulia al-Hasan meninggalkan kesan yang baik terhadap keseluruhan umat Islam. Majoriti ulama' Ahli-Sunnah memuji tindakan yang diambil al-Hasan sehingga berjaya menyatukan kembali umat Islam yang dilanda persengketaan, kebencian dan permusuhan.

Mereka juga menegaskan bahawa tindakannya itu menegaskan lagi kenabian datuknya, Muhammad SAW yang bersabda, "Anak (cucu)ku ini adalah penghulu, semoga Allah mendamaikan melaluinya dua buah kumpulan yang besar daripada kalangan umat Islam."

Penulis ialah pegawai penyelidik di Institut Kefahaman Islam Malaysia

Wednesday, September 17, 2008

Puasa didik Muslim jadi hamba takwa

Oleh Lokman Ismail

Ramadan beri peluang kepada manusia kekang nafsu, lebihkan sedekah

RAMADAN yang banyak keistimewaan diumpamakan seperti kem latihan membentuk Muslim lebih bertakwa. Memasuki kem Ramadan setiap tahun adalah seperti servis kenderaan secara berkala bagi memastikan prestasi enjin pada tahap terbaik.

Ibadat puasa mendidik diri menjadi hamba bertakwa dan membersihkan daripada sifat buruk. Sebab itu ibadat puasa dianggap penting bagi umat Nabi Muhammad. Puasa juga disyariatkan kepada semua agama langit seperti Kristian dan Yahudi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang beriman. Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Malah penganut Hindu dan Buddha juga mengamalkan puasa mengikut cara mereka. Orang Barat mengamalkan berpuasa untuk kesihatan. Kajian perubatan moden menerangkan kebaikan berpuasa dari segi kesihatan.

Ibadat puasa yang dilakukan dengan niat ikhlas mengabdikan diri kepada Allah SWT, mendapat balasan yang amat istimewa dan tiada tandingannya. Puasa menjadi benteng yang kukuh mengelak diri daripada terpengaruh daripada melakukan perbuatan tercela.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Puasa itu adalah benteng daripada kejahatan." (Hadis riwayat Muslim, Ahmad dan Nasai).

Puasa juga mengekang nafsu syawat. Rasulullah memerintahkan teruna dan dara yang berkeinginan kepada seks, tetapi tidak mampu berkahwin, maka hendaklah mereka berpuasa bertujuan mengelak melakukan amalan buruk.

Ikhlas dan istiqamah dalam ibadat amat penting dalam ibadat. Apa yang dilakukan hendaklah dalam kesedaran bahawa ia dilakukan kerana Allah SWT dan hanya mengharapkan balasan daripada-Nya.

Puasa yang dilakukan secara terikut-ikut dinamakan puasa ritual. Amalan-amalan puasa ritual tidak bertahan lama dan tidak ikhlas.

Firman Allah SWT bermaksud: "Sesungguhnya orang yang mengatakan: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap istiqamah (dengan jujur), maka tidak ada kebimbangan terhadap mereka dan mereka pula tiada berduka cita." (Surah al-Ahqaf, ayat 13).

Perbuatan terlalu mencintai dunia dapat dihindarkan jika melaksanakan puasa dengan ikhlas dan sempurna. Rasulullah menyebut perasaan mencintai dunia melebihi kepentingan hidup di akhirat sebagai satu penyakit umat akhir zaman yang membawa ke arah kehancuran.

Perasaan terlalu mencintai dunia akan menghalang seseorang daripada membelanjakan apa yang dimiliki ke jalan Allah. Usaha yang dilakukan semata-mata mengharapkan habuan di dunia seperti wang ringgit, harta benda, pangkat, kedudukan dan pujian.

Orang berpuasa sentiasa merasakan dirinya hampir dengan Allah SWT. Dia berusaha melakukan amalan yang disukai Allah SWT. Mereka sedar segala kekayaan dan kejayaan yang dimiliki di dunia ini datangnya daripada Allah SWT.

Pekerti mulia yang lahir hasil melakukan ibadat puasa ialah bersedekah. Banyak orang menghulur sedekah pada bulan Ramadan. Sikap ini bertepatan dengan pesan yang dinyatakan oleh Rasulullah bahawa seutama-utama sedekah ialah yang dilakukan pada bulan Ramadan .

Sebab itu amat ditekankan supaya menghulurkan sedekah walaupun dalam jumlah sedikit. Selain sedekah dalam bentuk wang dan barang keperluan, sedekah berupa makanan juga amat digalakkan dilakukan pada bulan Ramadan.

Penyediaan makanan berbuka dapat membantu golongan miskin dan merapatkan tali persaudaraan. Majlis berbuka disertai saudara mara, rakan dan jiran tetangga membentuk rasa muhibbah dan memperkuatkan perasaan kasih sayang.

Sesiapa yang menyediakan hidangan berbuka puasa beroleh pahala puasa orang yang berbuka itu, tanpa sedikitpun pahala orang itu berkurangan.

Sedekah juga adalah mekanisma untuk membersihkan diri dan harta daripada unsur-unsur kotor. Harta yang diperoleh secara salah, sama ada secara sedar dan tidak sedar, perlu dibersihkan dengan cara disedekahkan kepada orang miskin.

Firman Allah SWT bermaksud: "Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan menyucikan mereka (daripada akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah amat mendengar lagi amat mengetahui." (Surah at-Taubah, ayat 103).

Justeru, pada Ramadan yang diberkati perlu ditekankan sifat bersedekah dan membantu orang yang memerlukan. Di sebalik ibadat puasa tersimpan tujuan agar lahir rasa keinsafan dan bersyukur akan nikmat yang dirasai berbanding orang lain yang hidup lebih menderita.

Menahan lapar dan terhalang daripada melakukan perbuatan yang membatalkan puasa, satu ujian besar bagi golongan kaya. Ketika menjalani ibadat puasa, semua orang tanpa mengira kekayaan dan kedudukan terpaksa melalui satu situasi yang sama, iaitu berlapar dan menahan diri daripada melakukan perbuatan membatalkan puasa.

Lapar ketika berpuasa hanya sebahagian daripada ujian daripada Allah SWT. Sesiapa yang bersabar bakal beroleh kegembiraan di akhirat.

Firman Allah SWT bermaksud: "Demi sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan, kekurangan harta benda, dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar." (Surah al-Baqarah, ayat 155).

Sesiapa yang berpuasa dengan sebenar-benarnya akan dapat berasakan bahawa semua kekayaan dan kejayaan dimiliki tidak lagi bernilai, melainkan ketakwaan dan keimanan saja yang menjadi penentu kehidupan di akhirat.

Membersihkan diri daripada dosa berkaitan harta perlu disegerakan. Sifat sayangkan dunia menjadi senjata utama syaitan menyesatkan manusia. Biarpun ajal sudah amat hampir, masih terbayang kepada kekayaan, pangkat dan kemewahan yang disayangi.

Ketika hampir ajal, syaitan mendekati orang terlalu sayangkan dunia, lalu ditawarkan bantuan untuk mencapai segala impian. Syaitan menawarkan bantuan dengan syarat manusia sanggup mengakui kekuasaan syaitan.

Orang tamak dan terlalu sayangkan dunia mudah dikuasai syaitan ketika hampir ajalnya dan matilah dia dengan keadaan tidak beriman kepada Allah SWT. Amat buruk sikap mereka dilalaikan harta benda.

Firman Allah SWT bermaksud: "Biarkanlah mereka makan dan bersenang-senang, mereka dilalaikan oleh angan-angan dan mereka akan mengetahui akibatnya." (Surah al-Hijr, ayat 3).

Rasa keimanan yang disuburkan sepanjang Ramadan membersihkan diri daripada sifat tercela. Latihan Ramadan menumbuhkan tunas dan menyuburlah sifat Muslim sejati.

Pada Ramadan Allah SWT membuka seluas-luasnya pintu taubat bagi membersihkan diri. Siapa membersihkan diri maka dialah orang beruntung. Manusia tidak sunyi daripada melakukan dosa dan kesalahan.

Dalam surah al-Maidah ayat 39 Allah SWT berfirman bermaksud: "Maka barang siapa bertaubat selepas melakukan kejahatan itu dan membaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang."

Sunday, September 14, 2008

Ulul Albab: Bertakwa persiapan diri bertemu Pencipta

Oleh Abdul Rahman Haqqi


MEMBACA al-Quran sempena Ramadan adalah salah satu cara untuk mendapat keredaan Allah.


Puasa pada Ramadan tingkatkan keimanan ummah ke arah mencapai nikmat dunia, akhirat

IBN al-Athir dalam kitab Jami' al-Asl jilid 10 muka surat 557 ada menyatakan: "Melihat Allah SWT adalah tujuan tertinggi dalam kenikmatan syurga dan darjat yang tertinggi daripada senarai pemberian Allah yang mewah-mewah. Semoga Allah mencapaikan hajat kita kepadanya."

Disebabkan pengaruh dunia yang begitu dahsyat ke atas kehidupan kita sehari-hari sehingga kita kadangkala lupa bahawa hidup kita ini ada kesudahannya. Pengaruh dunia yang hebat itu sudah melupakan kita terhadap kehidupan selepas mati. Pengaruh dunia yang mengelirukan itu membuat kita lupa bahawa kita adalah seorang musafir yang sudah pasti akan menamatkan perjalanan. Pengaruh dunia yang sangat berkesan itu melengahkan kita daripada beriman bahawa kita akan berjumpa dengan yang memberikan kita semua apa yang kita miliki yakni Allah Yang Maha Agung.

Ketika kita belajar pelajaran akidah satu ketika dulu dan juga sampai hari ini, kita mengimani bahawa nikmat yang paling besar bagi hamba-Nya yang beriman adalah melihat Allah SWT. Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Muslim dan at-Tirmizi maksudnya: "Jika penghuni syurga sudah masuk semuanya ke dalam syurga maka Allah berfirman: "Adakah kamu sekalian menginginkan sesuatu tambahan (daripada yang sudah Aku berikan dalam syurga ini)? Mereka menjawab:"(Kenikmatan apa lagi) Tidakkah Engkau sudah mencerahkan muka kami? Tidakkah Engkau sudah memasukkan ke dalam syurga dan menyelamatkan kami dari api neraka? Kemudian penghalang pun dibuka maka tidak ada sesuatu pun yang lebih menggembirakan mereka kecuali melihat Tuhan mereka."

Dalam riwayat lain Nabi membaca ayat al-Quran maksudnya: "Untuk orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia." (Surah Yunus: 26)

Tafsir Pimpinan ar-Rahman mengulas perkataan 'tambahan yang mulia' dengan "melihat Zat Allah Azza wa Jalla di dalam syurga."

Syurga yang begitu hebat kenikmatannya masih kalah berbanding melihat Zat Allah padahal sifat syurga adalah, maksudnya: "Sifat syurga yang sudah dijanjikan kepada orang yang bertakwa (ialah seperti berikut): Ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya), dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang yang meminumnya, dan juga beberapa sungai daripada madu yang suci bersih. Dan ada pula untuk mereka di sana segala jenis buah-buahan serta keredaan dari Tuhan mereka." (Surah Muhammad: 15)

Allah dengan jelas menyebutkan dalam al-Quran bahawa orang beriman akan melihat-Nya di syurga. Dia berfirman maksudnya: "Pada hari kiamat itu, muka (orang yang beriman) berseri-seri; Melihat kepada Tuhannya." (Surah al-Qiyamah: 22-23) Dalam Surah Qaf ayat 34-35 disebutkan maksudnya: "(Mereka dipersilakan oleh malaikat dengan berkata): Masuklah kamu ke dalam syurga dengan selamat sejahtera; hari ini ialah hari (bermulanya) kehidupan yang kekal. Mereka beroleh apa yang mereka kehendaki di situ, dan di sini Kami ada lagi tambahan (limpah kurnia yang tidak terlintas di hati mereka).

Menurut akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah "Tuhan Allah dapat dilihat oleh penduduk syurga dengan mata kepala, bukan dengan mata hati saja. Tetapi ingatlah jangan ada keyakinan bahawa Tuhan itu di dalam syurga. Hanya kita yang melihat, yang bertempat dalam syurga. Pada waktu di dunia tidak ada manusia yang dapat melihat Tuhan kecuali Nabi Muhammad SAW pada malam Mikraj." (K.H. Siradjuddin Abbas, I'tiqad Ahlusunnah Wal Jamaah, 85)

Berjumpa dengan Sang Pencipta, al-Khaliq, adalah satu cita-cita yang semestinya dimiliki oleh setiap mukmin. Ia adalah tujuan hidup di dunia seperti diikrarkan pada setiap solat. Dan jika kita ingin yang demikian maka sudah sewajarnya kita mentakwakan diri kita sendiri dan tidak memaksiatkannya kerana apabila diri diliputi dengan maksiat dan perbuatan dosa pasti kita akan malu berjumpa dengan-Nya.

Dalam sejarah manusia kita boleh merefleksi rasa malu manusia bertemu dengan manusia yang lain kerana disebabkan perbuatan salahnya pada kisah Nabi Yusuf AS dan saudara-saudaranya. Al-Quran menceritakan maksudnya: "Maka apabila mereka berputus asa daripada mendapat pertolongannya, mereka pun mengasingkan diri lalu bermesyuarat mengenai hal itu. Berkatalah ketua mereka (saudaranya yang sulung): "Tidakkah kamu ketahui bahawa bapa kita telah mengambil janji daripada kamu yang dikuatkan dengan nama Allah, dan dulu pun kamu telah mencuaikan janji dan sumpah kamu dalam perkara menjaga keselamatan Yusuf? Oleh itu, aku tidak sekali-kali akan meninggalkan negeri (Mesir) ini sehingga bapaku izinkan aku (kembali), atau sehingga Allah menghukum bagiku (untuk meninggalkan negeri ini), dan Dialah Hakim yang seadil-adilnya." (Surah Yusuf: 80)

Dalam kisah di atas, saudara sulung Nabi Yusuf berasa malu kembali berjumpa bapanya kerana sudah mengecewakan bapanya apabila tidak dapat menjaga Benyamin. Membawa Benyamin ke Mesir untuk mendapatkan bekalan makanan adalah syarat Yusuf kepada mereka dalam perjumpaan pertama. Kesalahan saudara sulung itu membuatkannya untuk menghukum diri sendiri. Bagaimana dengan kesalahan yang kita buat kemudian kita mahu berjumpa dengan Allah SWT. Jalan yang perlu ditempuh agar terselamat daripada keadaan menyedihkan ini adalah mentakwakan diri. Dan puasa Ramadan adalah salah satu jenteranya. (Surah al-Baqarah: 183)

Menerusi puasa Ramadan kita akan selalu berhubungan dengan Allah kerana puasa hanya diketahui oleh Allah; menerusi puasa Ramadan kita mendapat rahmat, maghfirah dan pembebasan daripada api neraka; menerusi puasa Ramadan kita akan memasuki pintu khas al-Rayyan dalam syurga; dan menerusi puasa Ramadan kita dianugerahi hak memberikan syafa'at oleh Allah SWT.

Di samping melaksanakan semua perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya kita juga perlu banyak memohon kepada Allah agar kita mendapatkan keberkatan hidup yang boleh membawa kita untuk berjumpa dengan-Nya. Dr Aidh al-Qarni dalam La Tahzan menulis: "Sahabat memiliki perbendaharaan yang berlimpah ruah daripada kalimat yang baik lagi berbarakah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Setiap kalimat yang dipunyai oleh seseorang di antara mereka lebih baik dari dunia dan seisinya, dan juga lebih baik dari luasnya wawasan pengetahuan mereka mengenai nilai segala sesuatu dan kadar ukuran pelbagai urusan. Sesungguhnya kesimpulan daripada semua doa itu adalah memohon keredaan dan rahmat Allah di akhirat nanti, selamat dari kemurkaan dan seksa-Nya yang pedih dan memohon bantuan-Nya agar dapat beribadah dan bersyukur kepada-Nya. Sesungguhnya ikatan yang ada di antara semua doa ini adalah mengharapkan apa yang ada di sisi Allah dan berpaling dari apa yang ada di dunia. (404-405)

Dan permohonan kita yang selalu kita panjatkan pada Ramadan ini sama ada dalam berpuasa mahupun bertarawih di samping permohonan ampun yang lazim adalah doa Allahumma inna nas'aluka ridaka wal jannah wa na'uzu bika min sakhatika wan-nar (Ya Allah, kami memohon keredaan dan syurga-Mu dan kami memohon perlindungan kepada-Mu dari kemurkaan-Mu dan seksa neraka). Amin Ya Mujibassa'ilin.

Saturday, September 13, 2008

Amalan empat kumpulan bezakan ibadah puasa

Oleh Mohd Rumaizuddin Ghazali
bhnews@bharian.com.my


DEMI menjalankan kewajipan terhadap Illahi, penduduk menunaikan solat. - Gambar hiasan


Sesetengah umat Islam anggap kewajipan ketika Ramadan sekadar adat, bukan ibadat

SEPANJANG bulan ini umat Islam berpuasa pada siang hari dan memperbanyakkan amal ibadat pada malamnya. Ramai yang berpuasa sebagai ibadat dan tidak kurang yang melaksanakannya sekadar memenuhi adat kebiasaan. Ada perbezaan antara ibadat dan adat.

Allah ketika mewajibkan puasa memberitahu bahawa fardu puasa sudah diwajibkan kepada umat terdahulu. Kepentingan puasa digambarkan dengan tujuannya iaitu untuk mencapai ketakwaan, penyerahan yang menyeluruh kepada Allah dan mencegah daripada melakukan kemaksiatan.

Menghayati ibadat puasa dengan sebenar-benarnya akan membawa seseorang kepada ketakwaan. Orang berpuasa secara ibadat yakin tujuan puasa dan sentiasa berusaha memelihara puasanya. Ibadat dilakukan dengan ikhlas sudah tentu memberi kesan dalam kehidupan.

Oleh itu, ketakwaan sebagai tujuan puasa menjadikan seseorang menjauhi kejahatan dan sentiasa melakukan ketaatan. Firman Allah yang bermaksud: "Dan bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa Allah sangat keras seksaannya." (Surah al-Baqarah, ayat 196)

Ibn Abbas berkata, ketakwaan itu adalah taat kepada Allah dengan sebenar-benarnya dan berkata Mujahid pula, ketakwaan adalah taat dan tidak melakukan kemaksiatan, berzikir dan tidak melupakannya, bersyukur dan tidak mengkufurkan nikmatnya.

Imam al-Ghazali menyebut, ketakwaan sebagai membersihkan hati daripada dosa sehingga ia sentiasa lurus berhubungan dengan Allah. Ketakwaan kepada Allah menjadikan seseorang suka melakukan perintah-Nya dan takut terjebak dalam kemurkaan-Nya, sentiasa mensyukuri nikmat-Nya, memohon keredaan, doa dan keampunan.

Ketakwaan menambahkan ketinggian dan kemuliaan di sisi Tuhan dan manusia bersesuaian dengan firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang mulia di sisi Tuhan kamu adalah orang yang bertakwa." (Surah al-Hujurat, ayat 3)

Ramadan adalah bulan diberkati. Sesiapa yang mengetahui fadilatnya akan merebut peluang pada bulan mulia ini dengan sebaik-baiknya untuk menambahkan keimanan dan ketaatan.

Ulama Syria, Mustafa al-Siba'iyy menggambarkan empat jenis manusia dalam menghadapi Ramadan iaitu:

Seseorang yang tidak banyak mengetahui mengenai Ramadan. Dia beranggapan datangnya Ramadan hanya menjadi penghalang bahkan tidak ada manfaatnya. Ramadan dipandang sebagai tradisi keagamaan semata-mata yang tidak memberi kesan positif baginya. Golongan ini tidak menunaikan kewajipan berpuasa.

Seseorang yang hanya memandang puasa Ramadan sekadar menahan lapar dan dahaga kerana dia sangat berkeinginan untuk tidak berpuasa bahkan mengolok-olokkan orang lain yang berpuasa. Dia berpura-pura berpuasa kepada orang yang tidak mengenalinya, tetapi secara terang-terang menampakkan kepada orang yang sejalan dengannya bahawa ia tidak berpuasa.

Seseorang yang hanya memandang Ramadan sebagai tradisi tahunan ditandai dengan hidangan melimpah sebagai kesempatan untuk berbual kosong sehingga fajar dan tidur siang sehingga terbenam matahari. Ia menjadi seorang yang pemalas melaksanakan tugasnya.

Seseorang yang memandang Ramadan sebagai saranan untuk memperbaiki fungsi jiwa manusia supaya jiwanya rela berkorban, melatih bersabar dan pendidikan yang mencerminkan ketakwaan.

Inilah empat kategori manusia menghadapi Ramadan. Tanyalah diri, di manakah kita berada. Sesiapa menyambut Ramadan sebagai cara memperbaharui keimanan, pendidikan akhlak, memperkukuhkan rohani, mereka akan mendapat manfaat.

Setiap Muslim yang berpuasa akan meningkatkan sikap taat, mengoptimumkan usaha meningkatkan perhambaan kepada Allah, bersikap rendah hati di bawah kebesaran-Nya, berusaha mendekatkan diri kepada-Nya.

Di samping itu, sesiapa yang memandang mengikut hawa nafsu, melakukan kezaliman, permusuhan dan saling membenci adalah kelemahan yang akan mematikan roh dan semangat untuk berpuasa.

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang tidak meninggalkan ucapan dan perbuatan keji tidak ada ertinya bagi Allah walaupun ia meninggalkan makanan dan minuman." (Hadis riwayat Bukhari)

Nabi SAW pernah berpesan supaya orang yang berpuasa tidak mengeluarkan kata keji dan kotor. Di samping itu, jika orang mengajak kepada pembunuhan atau perkelahian, perlu kita menyebut, "sesungguhnya saya berpuasa."

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Puasa adalah perisai, maka ketika di antara kamu sedang berpuasa maka hendaklah jangan melakukan tindakan keji dan menengking. Apabila ada seseorang yang mengumpat dan hendak membunuh kamu, maka katakanlah, "Aku sedang berpuasa, aku sedang berpuasa." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan ketulusan, Allah akan mengampunkan dosanya yang terdahulu." (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud).

Keimanan akan diperoleh selagi dia tidak bercampur dengan perkara fasik dan maksiat. Sesiapa yang berpuasa pada siang dan melakukan ibadat pada malamnya, akan mendapat keampunan sepanjang waktu daripada Allah. Inilah nikmat terbesar dijanjikan Allah pada bulan mulia ini.

Orang yang berpuasa, doanya mustajab. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tiga golongan yang mustajab doanya iaitu pemerintah yang adil, doa orang berpuasa ketika berbuka dan orang dizalimi yang tidak ada padanya dengan Allah hijab."

Oleh itu, ketika berbuka, ingat untuk berdoa kepada Allah kerana waktu itu adalah mustajab doanya. Apabila duduk di hadapan hidangan, kamu bergembira maka itu adalah kegembiraan di dunia. Akan datang pula kegembiraan di akhirat ketika bertemu Allah kelak. Ramadan adalah bulan kegembiraan di dunia dan di akhirat.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Di antara solat lima waktu, antara Jumaat hingga Jumaat lagi, antara Ramadan hinggalah Ramadan lagi itu dapat menghapuskan dosa apabila kamu menjauhi dosa besar." (Hadis riwayat Muslim)

Penulis ialah pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) dan felo badan bukan kerajaan, Future Global Network.

Wednesday, September 10, 2008

Adab berbuka tambah pahala puasa

Berdoa, makan tamar sunnah Rasullullah digalak jadi amalan

RASULULLAH SAW mengajar umatnya adab ketika berbuka puasa antaranya menurut Ibn Umar, Baginda membaca doa yang bermaksud: "Hilanglah segala kehausan, segala urat sudah basah dan semoga tetap beroleh pahala dengan izin Allah." (Hadis riwayat Abu Daud)

Kita juga boleh berdoa apa saja yang dihajati kerana antara waktu yang mustajab (makbul) untuk berdoa adalah ketika berbuka seperti sabda Rasulullah yang bermaksud: "Sesungguhnya doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa itu ialah ketika dia berbuka." (Hadis riwayat Ibn Majah)

Adab lain yang perlu diberi perhatian ialah menyegerakan berbuka. Waktu paling afdal ialah ketika matahari mula terbenam atau dilaungkan azan Maghrib. Utamakan berbuka daripada sibuk berzikir, membaca al-Quran atau ibadah lain kerana ia termasuk perintah Nabi SAW.

Berbuka dengan rutab, tamar atau air adalah sunnah Nabi. Rutab adalah kurma yang masak dan tidak dikeringkan, ia lembut dan manis. Tamar pula ialah kurma yang dikeringkan seperti banyak terjual di pasaran.

Anas Malik berkata: "Rasulullah SAW berbuka puasa sebelum solat (Maghrib) dengan rutab. Jika tiada rutab, Baginda akan berbuka dengan tamar dan jika tiada tamar, Baginda akan meneguk beberapa teguk air." (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Hadis di atas tidak menafikan Rasulullah SAW juga menyegerakan solat Maghrib selepas berbuka puasa dengan rutab, tamar atau air. Namun, jika makanan malam sudah terhidang sunnah menjamah makanan itu dulu. Selepas selesai menikmati hidangan, segera mengerjakan solat Maghrib.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Apabila seseorang dihidangkan makan malam ketika iqamat dilaungkan atau solat sudah didirikan, utamakan makan malam. Jangan tergopoh-gapah menghabiskan makanan itu sehingga dia selesai dalam keadaan tenang." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Digalakkan berbuka secara sederhana dan jangan menjadikan waktu berbuka medan untuk melepas geram kerana sehari tidak menjamah makanan atau minuman. Sewajarnya, ibadah puasa melatih jiwa bertakwa supaya sabar.

Sesungguhnya Islam menganjurkan umatnya mengadakan majlis berbuka puasa untuk menjamu mereka yang berpuasa terutama orang miskin, anak yatim dan yang ditimpa musibah.

Pahala besar dijanjikan Allah bagi sesiapa yang menjamu makanan kepada orang yang ingin berbuka puasa. Semakin ramai jumlah orang yang dijamu makan, semakin tinggi gandaan pahalanya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang menjamu makanan untuk berbuka bagi orang yang berpuasa, pahalanya seperti pahala orang yang berpuasa, iaitu pahala orang yang berpuasa tidak dikurangkan walau sedikit." (hadis riwayat al-Tirmizi) - buku Menyambut Ramadan dan Aidilfitri Menurut Sunnah Rasulullah SAW.

Tuesday, September 9, 2008

Tajdid Iman: Jenayah lidah, nafsu punca rosak segala ibadat

Bersama Dr Juanda Jaya
juanda72@hotmail.com

Amalan zikir jamin puasa sempurna, dorong diri sentiasa berusaha untuk kebaikan

PUASA adalah urusan peribadi seorang hamba dengan Allah. Begitu rahsia sifatnya kerana tiada siapa yang tahu apakah seseorang itu benar-benar berpuasa atau dia hanya berpura-pura. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Puasa juga berperanan membentuk kasih sayang dalam diri hamba kepada Allah. Ibadat yang istimewa itu berhasil mengajar kita mengenai rahsia ketundukan dan kesabaran di atas perintah-Nya. Bukan senang mendapat pahala puasa yang dijanjikan Allah. Entah-entah ibadat puasa itu mungkin rosak oleh pengaruh persekitaran dipenuhi gangguan hawa nafsu yang bersekutu.

Ada beberapa tanda menunjukkan puasa seseorang itu cacat seperti dijelaskan melalui sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan perbuatan dusta maka Allah tidak berhajat kepada usahanya meninggalkan makan dan minum (puasanya)." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Mengapakah Allah amat membenci lidah yang suka bermaksiat sehingga memberi amaran kepada orang yang berpuasa dengan amaran begitu keras? Tidak dinafikan jenayah lisan bukan hanya menjadi penyebab rosaknya puasa, tetapi ia juga menjadi sumber kerosakan segala ibadat.

Jenayah lisan juga menjadi racun yang mematikan kasih sayang dalam pergaulan sesama insan, menyuburkan benih dendam dan kebencian dalam persaudaraan. Apabila manusia terdedah kepada bahaya fitnah, saling mencela, berprasangka buruk atau menghina secara terang-terangan maka akan rosaklah kehidupan yang asalnya aman dan damai.

Justeru, strategi paling berkesan bagi menghindari maksiat lisan sudah diajar Baginda SAW melalui penyaksian Ummul Mukminin Aisyah yang berkata: "Sesungguhnya Rasulullah sentiasa berzikir kepada Allah setiap saat." (Hadis riwayat Muslim)

Alangkah eloknya apabila kita boleh memujuk diri dan membulatkan tekad untuk sentiasa berzikir seperti mana amalan Baginda SAW. Walaupun tujuan sebenarnya ialah untuk menghadirkan Allah pada setiap perbuatan, supaya lurus segala amal zahir dan batin, amalan zikrullah juga diyakini boleh menyibukkan lidah dan hati sehingga keduanya tidak berpeluang melakukan maksiat.

Zikrullah menjamin puasa yang sempurna, hati hidup dan jasad sentiasa bergerak untuk kebaikan.

Selepas memahami tanda puasa yang cacat dan ubat mujarab untuk mengubatinya, seharusnya kita juga menggali kefahaman mengenai tanda puasa yang sempurna iaitu:

-Ikhlas beramal secara sembunyi dan terang-terangan.

Setiap mukmin yang beramal ada kalanya terpaksa menghadapi bisikan hati yang ragu-ragu terhadap amalannya itu. Bisikan itu memujuk supaya menyembunyikan amal daripada pandangan manusia sebagai syarat keikhlasan. Padahal fitrah manusia suka kepada pergaulan, saling mempengaruhi dan berhubungan satu sama lain.

Maka tidak menjadi kesalahan melakukan amal secara terang yang dilakukan berjemaah atau di hadapan khalayak ramai. Amal yang terang di hadapan orang lain tidaklah kecil kedudukannya di samping amalan tersembunyi. Kesan dari melakukan amal secara terang amatlah baik untuk persekitaran kita. Bukankah amal itu boleh menjadi teladan untuk diambil peringatan?

Nyata silapnya pandangan mengenai amal yang dilakukan dengan terang-terangan kononnya dapat merosakkan niat. Sedangkan hadis Rasulullah SAW menjelaskan yang mafhumnya: "Sesiapa yang menunjukkan kebaikan maka baginya pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya." (Hadis riwayat Muslim)

Tetapi hasutan syaitan tidak akan pernah menyerah untuk memperdaya manusia, dibisikkan ke dalam hati orang yang beramal secara terang-terangan itu mengenai bahaya riak supaya orang itu mengalami keraguan dan akhirnya langsung meninggalkan amal.

Cara ubati was-was yang dihembus syaitan seperti diterangkan al-Imam Fudail bin 'Iyyad katanya: "Meninggalkan amal kerana manusia itu adalah riak. Beramal kerana manusia itu adalah syirik. Adapun ikhlas ialah Allah menyelamatkan kamu daripada keduanya."

-Reda dan gembira

Tanda puasa yang sempurna selain ikhlas kepada Allah ialah reda dan gembira. Tidak merasa berat melakukan ibadat bahkan merasa gembira dengan mengingat janji Allah kepada orang yang berpuasa.

Janji-janji Allah itu dikhabarkan Rasulullah SAW dalam hadis Baginda antaranya:

Pertama ialah pahala istimewa yang menjadi rahsia Allah disimpan untuk orang yang berpuasa. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Allah berfirman: Puasa itu untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Janji Allah yang kedua, diampun segala dosa seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa dengan keimanan dan keikhlasan maka akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ketiga, dijauhkan dari api neraka. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Tidaklah seorang hamba yang mengerjakan puasa satu hari kerana Allah, melainkan Allah menjaga dirinya dari neraka sejauh perjalanan 70 tahun kerana puasanya yang sehari itu." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Keempat, imbalan tunai dan kesihatan jasmani. Sebelum pakar kesihatan mengkaji dan menemukan manfaat puasa, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: "Berpuasalah nescaya kamu akan sihat." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kelima, doa yang tidak akan ditolak. Rasulullah SAW menegaskan dengan sabdanya yang bermaksud: "Tiga orang yang doanya tidak akan ditolak; pemimpin adil, orang berpuasa sehingga dia berbuka dan orang yang teraniaya." (Riwayat Ahmad, al-Nasai, al-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Keenam ialah masuk syurga melalui Bab al-Rayyan. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Barang siapa yang termasuk golongan orang mengerjakan sembahyang maka ia akan dipanggil dari pintu solat.

Barang siapa termasuk golongan orang melakukan jihad, maka ia akan dipanggil dari pintu jihad. Barang siapa termasuk golongan orang yang berpuasa maka dia akan dipanggil dari pintu al-Rayyan." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Enam ganjaran tadi boleh menjadi pemacu ke arah kesempurnaan puasa. Saat menahan lapar dan dahaga, ketika menghidupkan malam dengan ibadat, membaca al-Quran pada siang hari, bersedekah, bekerja dan menuntut ilmu, ketika zikrullah tidak terlucut dari hati dan lisan, ingatlah enam ganjaran ini.

-Puasa itu memberi kesan kepada keperibadian.

Selepas seseorang itu bersusah payah mengawal hawa nafsunya sepanjang Ramadan, tetapi ketika berakhirnya Ramadan dia kembali menjadi orang panas baran, tamak, rakus dan gelojoh maknanya puasanya itu tidak memberi kesan kepada keperibadiannya. Dia tidak mencapai matlamat ditetapkan al-Quran.

Hal ini dijelaskan firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa seperti diwajibkan atas orang sebelum kamu supaya kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Matlamat akhir ibadat puasa ialah mendapatkan bekalan takwa yang cukup untuk menjalani hari-hari seterusnya. Maknanya pada Syawal pun kita masih merasai nikmat beribadah seperti dirasai pada bulan Ramadan.

Tetapi ramai melepaskan pakaian takwanya ketika memasuki Syawal dan seterusnya tenggelam mengikut arus kecuali orang yang diberi cahaya petunjuk Allah.

Berhasilkah puasa membentuk keperibadian? Hal ini bergantung kepada sejauh mana kesungguhan seseorang menghiasi diri dengan pakaian takwanya atau dia mengganti pakaiannya itu dengan fesyen tidak diredai Tuhannya. Aduhai, alangkah ruginya manusia itu di dunia dan akhirat.

Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui Juanda@msu.edu.my

Monday, September 8, 2008

Amalan berpuasa bersihkan penyakit fizikal, kejiwaan manusia

Oleh Ibrahim Abdullah

SABDA Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sumber daripada penyakit adalah perut. Perut adalah gedung penyakit dan berpuasa adalah ubatnya." - (Hadis riwayat Muslim)

Makanan berlebihan mempunyai dua kesan membahayakan iaitu diserap berlebihan menimbulkan penimbunan lemak, manakala yang dibuang menimbulkan kotoran. Hasil kajian dan penelitian menyatakan, 90 peratus penyakit bermula dari usus besar yang menghimpunkan toksin.

Menurut hasil kajian itu juga, daripada 100,000 usus besar, hanya 6 peratus yang betul-betul normal. Doktor terkemuka dunia pernah melakukan diagnosa terhadap 22,000 usus besar dan hasilnya belum pernah ditemukan suatu usus besar yang berada dalam keadaan normal.

Punca kepada segala penyakit adalah kotoran yang tertahan seperti sisa makanan yang melekat pada dinding usus dan dapat diresap oleh lapisan mukosa, yang akhirnya menjadi kotoran tidak dapat dikeluarkan.

Kotoran tertahan itu seterusnya menghambat proses detokfikasi, melambatkan proses metabolisme dan meracuni tubuh.

Penyelidikan oleh sebahagian pakar Jepun menyimpulkan bahawa jumlah kotoran tertahan yang berada dalam tubuh seseorang sihat, rata-rata seberat 2.72 hingga 4.54 kilogram. Tentulah pada orang yang menderita kelainan, jumlah kotoran tertimbun jauh lebih banyak lagi.

Dijelaskan bahawa berpuasa adalah cara utama untuk menghindari tompokan kotoran itu. Selain itu dicadangkan memakan makanan organik yang tidak tercemar, meminum air bersih secukupnya, mengendalikan emosi, mendapatkan cukup sinar matahari, udara segar serta membiasakan beriadah.

Berpuasa mebolehkan makanan yang masuk ke dalam perut dikendalikan kuantitinya. Pengendalian itu memberi kesempatan kepada organ tubuh untuk bekerja secara optimum.

Jika usus besar menerima banyak zat buangan, maka akan terjadi tompokan di sana. Sebaliknya dengan pengendalian makan, maka zat buangan yang dilempar ke usus besar boleh dialirkan tanpa menimbulkan tompokan kotoran.

Penyerapan zat makanan berlebihan juga mengakibatkan tompokan lemak dalam darah pembuluh atau di kelenjar lemak. Keadaan itu membahayakan aliran darah dalam tubuh kerana darah perlu bekerja untuk menghantarkan sari makanan dan oksigen ke seluruh sel tubuh, termasuk jantung.

Makanan berlebihan juga mengakibatkan tenaga berlebihan dalam tubuh, termasuk rangsangan hawa nafsu. Nafsu jika tidak dikendalikan dengan baik, boleh menyebabkan berlaku perkara yang tidak sepatutnya.

Selain itu, makanan berlebihan apa lagi membazirkan, menimbulkan pelbagai macam penyakit emosi atau hawa nafsu, seperti marah, sombong, tidak hormat kepada orang, kikir dan tamak. Semua perilaku itu mengarahkan manusia pada tindakan serta perbuatan melampau dan dosa.

Manfaat berpuasa sebenarnya untuk kebaikan manusia iaitu membersihkan daripada penyakit fizikal dan penyakit kejiwaan.

Sungguh menyedihkan jika ada kaum Muslimin yang tidak melaksanakan puasa tanpa uzur syarie. Ibarat diberi kemudahan untuk menuju sihat dan ceria, mereka memilih sakit. Diberi jalan menuju ketakwaan, mereka memilih jalan penyakit dan dosa.

Sunday, September 7, 2008

Persoalan Agama: Puasa tanda ketaatan kepada Allah

Bersama Jakim

Saya mempunyai seorang kenalan bukan Islam di luar negara yang melalui e-mel bertanya mengenai amalan berpuasa orang Islam. Dia memberitahu bahawa penganut agama lain juga berpuasa. Katanya, orang Hindu dan Yahudi pun berpuasa, tetapi apakah perbezaan puasa agama lain dengan puasa di sisi Islam. Boleh berikan jawapan untuk saya memberi penjelasan kepadanya?

Nur Syakirah Firdaus
Kuala Lumpur

Memang benar penganut agama lain juga melakukan puasa pada hari tertentu saja mengikut ajaran dan kepercayaan masing-masing manakala umat Islam diwajibkan berpuasa selama sebulan pada bulan Ramadan di samping puasa sunat pada hari tertentu pada sepanjang tahun. Puasa adalah ibadah yang difardukan ke atas umat Islam dan umat terdahulu dan ia satu rukun dalam Rukun Islam. Puasa adalah setinggi amalan bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT. Bagi umat Islam, puasa adalah satu ibadah tanda ketaatan dan keikhlasan hamba terhadap pencipta-Nya. Maksud puasa dalam Islam ialah menahan diri daripada melakukan perkara yang boleh membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari disertai dengan niat.

Allah SWT memberi kelebihan yang banyak pada bulan Ramadan berbanding dengan bulan lain. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila tiba awal malam bulan Ramadan, diikat semua syaitan dan jin yang derhaka, ditutup semua pintu neraka, dan tidak dibuka walaupun satu pintu, dan dibuka pintu syurga, dan tidak ditutup walaupun satu pintu." Penyeru pun menyeru: "Wahai orang yang mengharapkan kebaikan, terimalah, dan wahai orang yang mengharapkan kejahatan, berhentilah. Dan (mereka yang ikhlas) kerana Allah, akan dibebaskan daripada api neraka dan (penyeru itu akan menyeru) pada setiap malam Ramadan." (Riwayat Tirmizi dan Ibn Majah). Selain daripada apa yang dinyatakan oleh hadis Rasulullah, kelebihan bulan Ramadan juga ialah difardukan puasa di dalamnya.

Puasa juga dapat membentuk jati diri, kesabaran, kesihatan dan disiplin serta jimat cermat dalam perbelanjaan dan puasa juga penghapus dosa atas maksiat yang dilakukan. Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan segala dosa-dosanya yang telah lalu." Hadis riwayat Bukhari dan Muslim. Allah juga akan menggandakan pahala orang yang berpuasa melebihi amalan lain.

Wednesday, September 3, 2008

Puasa dorong perbanyak ibadat sunat, kebajikan

Oleh Mohd Fikri Che Hussain

MEREKA yang berpuasa sebenarnya sedang melaksanakan ibadat penting dari terbit fajar sehingga terbenam matahari. Oleh demikian, seseorang yang sedang berpuasa sebaiknya menjaga diri dan tingkah laku daripada sebarang perbuatan yang boleh mencacatkan ibadat puasanya.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Tiga golongan yang tidak ditolak doa permintaannya, antara golongan itu ialah seseorang yang berpuasa apabila dia berbuka puasanya.” (Hadis riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah)

Bagi seseorang yang berpuasa Ramadan, sejak bermula ibadat puasanya hingga berbuka, akan dikabulkan segala doa permintaannya oleh Allah dengan syarat puasanya benar-benar tulen seperti diperintahkan Allah dan Rasul-Nya.

Ibadat puasa membantu menjaga ibadat lain kerana orang yang berpuasa memelihara solatnya dan khusyuk dengan menjaga rukun serta syarat utama solat.

Mereka yang berpuasa dan mendirikan solat, pasti bertanya pada diri sendiri, “bagaimana aku melakukan ibadat diperintah Allah dan pada waktu sama melalaikan ibadat lain? Sedangkan perbuatan itu tidak sepatutnya aku lakukan.”

Mereka yang berpuasa tidak harus melalaikan ibadat lain. Inilah yang dikatakan puasa seharusnya mendorong pelakunya supaya lebih banyak mengamalkan ibadat lain sebagai tanda ketaatan kepada Allah.

Apabila melakukan ibadat wajib, maka dia akan turut sama melaksanakan amalan sunat yang lain. Bukan satu yang menghairankan apabila kita melihat sebahagian besar umat Islam mulai memenuhi ruang masjid untuk solat berjemaah, mengerjakan solat Rawatib, berzikir dan bertadarus al-Quran di sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini.

Pelbagai program dan kegiatan dilaksanakan sepanjang Ramadan seperti berbuka puasa, tazkirah selepas solat Zuhur, Tarawih di semua masjid dan surau serta program ceramah hujung minggu. Ini semua membuktikan puasa mengajak memperbanyakkan ibadat dan amalan kebajikan. Objektif utamanya adalah mencari reda Allah supaya dijauhi daripada azab dan seksa di akhirat kelak.

Puasa mendorong individu Muslim melaksanakan amalan kebajikan untuk dirinya sendiri. Mereka melaksanakan ibadat sunat di samping kewajipan puasa Ramadan. Contohnya, solat sunat Tarawih dan Tahajud dibuat pada setiap malam secara berjemaah dan bersendirian. Sememangnya ibadat sunat ini dianjurkan sepanjang bulan mulia ini, sebagaimana Allah mewajibkan ibadah puasa pada siangnya, manakala qiamullail di sepanjang malamnya.

Ibadat puasa yang hakiki memberi manfaat antaranya faedah yang bakal diperoleh daripada sedekah atau zakat fitrah. Berkata sebahagian ulama salaf, “Apabila tibanya Ramadan, perluaskan amalan sedekah dan membantu gologan yang susah kerana amalan itu ganjarannya hampir sama dengan bersedekah di jalan Allah.”

Oleh itu, manusia diperintah memperbanyakkan sedekah pada bulan ini. Nabi Muhammad SAW lebih pemurah pada Ramadan berbanding bulan lain. Baginda bertadarus al-Quran dengan Jibrail dan melaksanakan kebajikan lebih pantas dari angin yang bertiup.

Pada bulan ini, Muslim berpeluang melakukan ibadah dan ketaatan sepenuh hati serta berupaya meninggalkan perbuatan buruk dan maksiat. Perokok tegar mampu meninggalkan tabiat merokok yang sebati pada dirinya selepas berniat untuk berpuasa kerana Allah. Inilah keajaiban Ramadan yang sering dilupakan sebahagian manusia.

Apabila seseorang membuat kebaikan untuk keuntungan dirinya, dia juga perlu menyebarkan segala kebaikan itu kepada orang lain. Apabila kita melakukan kebajikan kerana Allah, kita juga berhak mengajak dan menasihati orang lain melakukan kebajikan sama.

Ajak mereka beroleh faedah yang sama seperti mana sabda Nabi SAW yang bermaksud “Siapa yang mengajak ke arah kebaikan, dia beroleh pahala yang sama daripada pahala orang yang mengikuti nasihatnya itu, malah tidak dikurangi sedikitpun pahala sesama mereka.” (Hadis riwayat Muslim)

Monday, September 1, 2008

Ramadan latihan terbaik bentuk Muslim berdisiplin

IBADAT puasa adalah peluang terbaik untuk membentuk keperibadian diri cemerlang baik dari segi kerohanian mahupun aspek kesihatan fizikal. Keagungan ibadat puasa dapat diperhatikan dengan memahami fadilat dan hikmah pensyariatan ibadat mulia ini.

Puasa membentuk insan bertakwa. Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang beriman. Kamu semua diwajibkan berpuasa seperti diwajibkan ke atas orang terdahulu daripada kamu supaya kamu semua bertakwa." – (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Makna takwa adalah mengerjakan perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Berpuasa bukan sekadar meninggalkan makan dan minum, tetapi berpuasa dalam erti kata sebenar termasuk mengerjakan segala kewajipan dan meninggalkan segala larangan seperti mengumpat, berbohong, tidak melaga-lagakan sesama umat dan tidak berniaga secara haram.

Selama sebulan Ramadan umat Islam seolah-olah berada dalam sebuah institusi latihan untuk membentuk insan bertakwa. Selepas tamat latihan, dia sepatutnya dapat membantu seseorang mengekalkan ketakwaan sepanjang masa.

Orang berpuasa juga dianugerahkan kedudukan tinggi di sisi Allah yang mana mereka tergolong di kalangan para shiddiqin (orang yang benar) dan syuhada (golongan syahid).

'Amr bin Murrah al-Juhani berkata: "Seorang lelaki datang menemui Nabi SAW lalu berkata: Ya Rasulullah. Menurut pendapatmu, aku tergolong dalam golongan mana jika ada bersaksi bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah, engkau adalah Rasulullah, aku solat lima waktu, aku tunaikan zakat, aku berpuasa pada Ramadan dan solat tarawih pada malam harinya? Baginda menjawab: Golongan shiddiqin dan syuhada." – (Hadis riwayat Ibn Hibban)

Puasa juga perisai yang dapat menghalang kita daripada azab api neraka. Menurut Ibn al-'Arabi: "Puasa dikatakan sebagai perisai api neraka kerana puasa mampu menahan diri daripada syahwat (dorongan untuk melakukan perbuatan mungkar disebabkan hawa nafsu). Sedangkan, neraka dikelilingi oleh syahwat. Apabila seseorang mampu menahan diri daripada syahwat ketika kehidupan di dunia, hal itu menjadi penghalang (perisai) baginya di neraka kelak."

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Puasa adalah perisai. Oleh itu, janganlah seseorang mengungkapkan perkataan yang keji dan janganlah sekali-kali berbuat jahil. Justeru itu, jika seseorang diperangi atau dicaci, dia hendaklah berkata: Sesungguhnya aku sedang berpuasa sebanyak dua kali." – (Hadis riwayat al-Bukhari)

Ibadat puasa juga dapat menghapuskan segala dosa yang dilakukan sebelum ini. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, dosanya yang lalu telah diampuni (oleh Allah)." – (Hadis riwayat al-Bukhari)

Al-Khattabi berkata: "Tambahan pula Ramadan, bulan penuh keberkatan di mana pintu syurga dibuka seluas-luasnya dan pintu rahmat Ilahi menaungi seluruh hamba-Nya yang beriman. Jadi, tidak hairanlah jika Allah akan meluaskan pula pengampunan-Nya terhadap semua hamba-Nya."

Allah menjanjikan ganjaran pahala amat besar bagi hamba-Nya yang berpuasa ikhlas untuk mencapai keredaan-Nya. Berbeza dengan ibadat lain yang telah ditetapkan ganjaran pahalanya dalam gandaan 10 sehingga 700 kali ganda.

Ganjaran pahala untuk ibadat puasa ini ditetapkan oleh Allah tanpa batasan. Dia berhak memberi seberapa banyak ganjaran kepada hamba-Nya menurut kehendak-Nya. Oleh itu, setiap individu perlu merebut peluang itu.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Setiap amal kebaikan Bani Adam pahalanya (ditulis oleh malaikat) kecuali puasa. Sesungguhnya ia adalah untuk-Ku dan Akulah yang memberi pahala puasanya." – (Hadis riwayat al-Bukhari)

Ternyata ganjaran pahala daripada Allah tiada tolok bandingnya untuk hamba yang mengerjakan ibadat puasa. Oleh itu, kerjakanlah dengan penuh keikhlasan dan kesempurnaan. Semoga kita mencapai ganjaran paling maksimum melaluinya. – (Buku Menyambut Ramadan dan Aidilfitri Menurut Sunnah Rasulullah SAW)

Sunday, August 31, 2008

Ulul Albab: Pengisian Ramadan, kemerdekaan

Oleh Abdurrahman Haqqi


PELAPIS NEGARA: Generasi kini perlu memahami erti kemerdekaan serta perjuangan pemimpin terdahulu dalam membebaskan negara daripada penjajah. - Gambar hiasan


Umat perlu jaga batasan agar tidak terseleweng daripada nikmat puasa, merdeka KEMERDEKAAN adalah hak setiap bangsa di dunia. Oleh itu penjajahan mestilah dihapuskan daripada muka bumi seperti deklarasi Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) setengah abad lalu. Maka menjadi kewajipan bangsa itu sendiri untuk memerdekakan diri daripada sebarang bentuk penjajahan dan mempertahankanya serta mengisinya dengan program yang sesuai dengan matlamat berbangsa dan negara masing-masing.

Ramadan adalah simbol perjuangan membebaskan diri seorang Muslim daripada belenggu penjajahan musuh ketatnya iaitu syaitan yang dilaknati Allah SWT. Kejayaan seorang muslim boleh dilihat daripada cara dia mengendalikan perjuangan berpuasanya sama ada secara optimum mahupun minimum. Ramadan dijadikan barometer kejayaan atau keberhasilan dengan pengertian terhapus dosa tahunan seperti solat Jumaat untuk mingguan dan solat lima waktu untuk harian. Rasulullah bersabda maksudnya: "Solat lima waktu, dan solat Jumaat ke solat Jumaat berikutnya, dan Ramadan ke Ramadan berikutnya adalah menjadi penebus dosa yang terjadi di antara waktu-waktu tadi, selama orang itu menjauhi dosa-dosa besar." (Hadis riwayat Muslim)

Daripada 12 bulan ditetapkan Allah untuk pengiraan perjalanan manusia dalam setahun di dunia (baca Surah at-Taubah: 36), Ramadan mempunyai kelebihan tersendiri. Kelebihan ini disebut al-Quran dalam ayatnya bermaksud: "(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah." (Surah al-Baqarah: 185)

Tujuan berpuasa Ramadan seperti termaktub dalam ayat 183 Surah al-Baqarah adalah maksudnya: "Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti diwajibkan ke atas orang yang sebelum kamu supaya kamu bertaqwa."

Banyak batasan agama yang wajib dipatuhi setiap orang berpuasa supaya puasanya bermanfaat bagi dirinya di dunia dan di akhirat. Antara batasannya seperti disabdakan Baginda maksudnya: "Barang siapa yang tidak meninggalkan cakap dusta (batil) dan perbuatannya, maka Allah tidak berhajat padanya dalam meninggalkan makan minumnya." (Hadis riwayat Muslim) Dalam hadis lain maksudnya: "Bukan dinamakan puasa bila hanya sekadar menahan makan dan minum, tetapi puasa yang sungguh-sungguh itu adalah menahan diri daripada percakapan yang tidak ada gunanya dan kata-kata yang keji." (Hadis riwayat Muslim)

Di samping memelihara kewajipan lahiriah seperti tidak makan dan minum, orang yang berpuasa juga mesti memelihara kewajipan batiniah supaya puasanya sempurna. Imam al-Ghazali (w. 505H) menggariskan kewajipan batiniah puasa itu antaranya: Memejamkan mata dan menahannya daripada meluaskan pemandangan kepada segala perkara tercela dan dibenci agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh mengganggu hati, serta melalaikannya daripada mengingati Allah SWT; memelihara lidah daripada bercakap kosong, bohong, mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan mengucapkan kata-kata riak; memelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengarkan; memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat dosa, dan memeliharanya juga daripada segala dibenci. Demikian pula menahan perut daripada makan makanan yang syubhah waktu berbuka puasa. Kerana apalah gunanya berpuasa daripada memakan makanan yang halal, kemudian bila berbuka pula, dia memakan makanan yang haram. Orang yang berpuasa seperti ini, samalah seperti orang yang membangunkan sebuah istana, kemudian dia menghancurkan sebuah kota (kerana dalam kota ada istana itu); janganlah membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas paling dibenci Allah SWT daripada perut yang penuh dengan makanan halal; dan hendaklah hati berasa bimbang antara takut dan harapan, kerana tiadalah diketahui apakah amalan puasa itu diterima Allah SWT, sehingga seseorang itu digolongkan ke dalam puak muqarrabin (hampir kepada Allah), ataupun puasanya tertolak, maka terhitung dia ke dalam golongan orang yang terjauh daripada rahmat Allah SWT. Perasaan seumpama ini seharusnya sentiasa ada pada diri seseorang, setiap kali selesai melakukan sesuatu ibadat kepada Allah SWT.

Oleh itu apabila puasa itu dapat dilaksanakan dengan sempurna menurut syarat zahir dan batinnya, iaitu bukan hanya berpuasa dengan menahan perut dan syahwatnya serta mengekang pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki juga seluruh anggota, bahkan menahan dirinya daripada melakukan perkara yang membawa dosa, ditambah lagi bahawa hatinya berpuasa daripada perkara yang memesongkan perhatiannya selain Allah SWT, maka orang yang berpuasa sedemikian akan mudah mencapai martabat orang yang taqwa seperti matlamat puasa itu sendiri.

Kewajipan puasa ini bukan hanya sekadar menahan diri daripada makan dan minum atau perkara yang membatalkan puasa mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari, bahkan hendaklah juga menahan anggota badan daripada melakukan perkara yang boleh membawa dosa, kerana dosa itu boleh melupuskan matlamat puasa. Baginda telah memberi peringatan dalam hal ini seperti sabdanya bermaksud: "Berapa banyak orang yang berpuasa tidak mendapat sesuatu daripada puasanya selain lapar dan dahaga." (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Sabda Baginda lagi maksudnya:

"Dia (Ramadan) ialah bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran itu ialah masuk syurga." (Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah)

Selepas huraian di atas, dalam konteks meramadankan kemerdekaan maka diperlukan merenung semula matlamat pengisian kemerdekaan adakah ia untuk mensejahterakan diri atau bangsa? Dalam pengisian kemerdekaan itu adakah diperlukan batasan tertentu agar tidak terseleweng sehingga merugikan bangsa seperti ruginya orang berpuasa yang tidak menghiraukan batasannya?

Pengisian kemerdekaan tidak cukup hanya mengambil kira pembangunan fizikal, tetapi ia mestilah diseimbangkan dengan pembangunan spiritual seperti kewajipan memelihara amal lahiriah dan batiniah dalam berpuasa.

Bangsa yang tidak menyedari dan memahami erti kemerdekaan akan mensia-siakan nikmat kemerdekaan itu sehingga dia tidak akan merasai kenikmatannya seperti orang yang berpuasa, tapi tidak mendapat ganjarannya selain lapar dan dahaga.

Selain itu, pentingnya adalah refleksi kesabaran dalam berpuasa pada pengisian kemerdekaan kerana dalam pengisian itu kesabaran sangat mustahak agar kita akan selalu mendapat belas kasih Allah dan petunjuk-Nya. Bersabar dalam menikmati kemerdekaan ketika membangun, membina, memelihara dan memajukan hasil jerih payah semua pihak. Bersabar dalam berbuat kebajikan, bersabar menerima dugaan, dan bersabar untuk tidak melakukan perbuatan yang akan merobohkan kemerdekaan.

Seperti dimaklumi, maksud puasa itu adalah menahan selera dan mengekang nafsu, agar diri menjadi kuat untuk taat dan bertaqwa kepada Allah SWT. Tetapi jika hanya sekadar mengekang perut pada siang hari hingga ke masa berbuka, lalu membiarkan syahwat melonjak-lonjak dengan kemahuannya kepada makanan, dan dihidangkan pula dengan pelbagai makanan lazat, sehingga perut kekenyangan, tentulah perut akan bertambah keinginannya kepada makanan itu. Malah akan timbul daripada syahwat pula keinginan yang baru, yang kalau tidak dibuang, mungkin ia tetap pada kebiasaannya. Semua ini bertentangan dengan maksud dan tujuan puasa yang sebenarnya.

Oleh itu, dalam konteks memerdekakan Ramadan agar ia tidak terbelenggu dalam jajahan adat kebiasaan seorang muslim, maka sudah sepatutnya orang yang berpuasa menyedari puasanya mesti lillahi ta'ala. Selamat menyambut Hari Kemerdekaan dan menunaikan ibadah puasa.

INTI PATI

Ramadan, merdeka

Ramadan adalah simbol perjuangan membebaskan diri seorang muslim daripada belenggu penjajahan musuh ketatnya iaitu syaitan yang dilaknati Allah SWT.

Di samping memelihara kewajipan lahiriah seperti tidak makan dan minum, orang yang berpuasa juga mesti memelihara kewajipan batiniah supaya puasanya sempurna

Pengisian kemerdekaan tidak cukup hanya mengambil kira pembangunan fizikal, tetapi ia mestilah diseimbangkan dengan pembangunan spiritual seperti kewajipan memelihara amal lahiriah dan batiniah dalam berpuasa.

Bangsa yang tidak menyedari dan memahami erti kemerdekaan akan mensia-siakan nikmat kemerdekaan itu sehingga dia tidak akan merasai kenikmatannya seperti orang yang berpuasa, tapi tidak mendapat ganjarannya selain lapar dan dahaga.

Umat perlu bersabar menjalani ibadah puasa serta menikmati kemerdekaan ketika membangun, membina, memelihara dan memajukan hasil jerih payah semua pihak. Bersabar dalam berbuat kebajikan, bersabar menerima dugaan, dan bersabar untuk tidak melakukan perbuatan yang akan merobohkan kemerdekaan.