Showing posts with label Wahyu. Show all posts
Showing posts with label Wahyu. Show all posts

Tuesday, September 16, 2008

Roh Nuzul al-Quran ubah, bina peradaban ummah

Kalam Allah beri hidayah, petunjuk manusia tinggalkan hidup jahiliah penuh kesesatan

PERISTIWA Nuzul al-Quran antara perkara penting yang harus diingat dan direnung Muslim kerana bermula dengan peristiwa itu zaman jahiliah yang diliputi kegelapan disinari cahaya, kesesatan digantikan kebenaran dan umat yang hidup bertuhankan hawa nafsu berubah bertuhankan Allah Yang Esa.

Peristiwa Nuzul al-Quran menjana perubahan dan membina peradaban umat. Allah berfirman bermaksud: "Dan tidak Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat kepada seluruh alam." (Surah al-Anbiya', ayat 107)

Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata "al-Quran mukjizat akhir zaman" atau "al-Quran yang mempunyai mukjizat". Disebabkan keutamaan inilah, al-Quran berbeza daripada kitab lain yang diturunkan kepada nabi terdahulu sebelum Nabi Muhammad SAW. Sesungguhnya al-Quran adalah mukjizat terbesar dianugerahkan Allah kepada Rasulullah SAW dalam menghadapi cabaran menegakkan syiar Islam. Ketabahan Baginda berjaya mengubah bangsa Arab yang hidup tanpa pedoman, jauh daripada hak dan kebenaran dengan meniupkan roh semangat al-Quran.

Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW perlu diingati dengan penuh keinsafan oleh umat Islam. Al-Quran mengandungi lebih 6,000 ayat adalah himpunan wahyu dan kitab panduan terakhir daripada Allah, diturunkan secara beransur-ansur selama 23 tahun kepada Rasul-Nya, Muhamad supaya menjadi petunjuk kepada seluruh umat.

Penurunan ayat al-Quran secara beransur-ansur mempunyai hikmah, antaranya tidak membebankan pesuruh-Nya dan umat Islam pada zaman awal Islam, malah sesetengah ayat diturunkan bagi menerangkan kedudukan sesuatu kes dalam masyarakat. Contohnya, dalam kes Umar terhadap Rasulullah SAW yang mengingatkan kemungkinan ada antara mereka yang menemui isteri Baginda bersikap tidak jujur. Sejurus kemudian, turun wahyu Allah menjelaskan perkara itu, iaitu firman Allah yang bermaksud: "Wahai Nabi, katakanlah kepada isterimu, anak perempuanmu dan isteri orang Mukminin hendaklah memakai jilbab. Dengan demikian akan mudah dikenali dan tidak diganggu. Allah Maha Pengampun dan Penyayang." (Surah al-Ahzab, ayat 59)

Waktu penurunan al-Quran mengikut perancangan dan ketentuan Ilahi. Sesuai dengan kitab itu yang sungguh mulia, Allah juga memilih penghulu segala bulan yang terkenal dengan bulan keampunan, rahmat dan keberkatan iaitu Ramadan untuk menurunkannya. Firman Allah bermaksud: "Ramadan adalah bulan diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan daripada pembeza (antara yang hak dan batil)." (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Nabi menerima wahyu dalam pelbagai cara dan keadaan antaranya:

- Malaikat memasukkan wahyu ke dalam hatinya. Dalam hal ini, Nabi Muhammad SAW tidak melihat sesuatu pun, hanya berasa ia sudah berada dalam kalbunya.

- Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi SAW berupa lelaki yang berkata kepadanya sehingga beliau mengetahui dan hafal kata-kata itu.

- Wahyu datang seperti gemerincingnya loceng. Cara inilah yang amat berat dirasakan Nabi SAW. Kadangkala pada keningnya keluar peluh walaupun ketika itu musim sejuk. Ada kalanya, unta yang Baginda tunggangi terpaksa berhenti dan duduk kerana berasa amat berat apabila wahyu itu turun.

- Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi SAW dalam rupanya yang asli.

Hikmah al-Quran diturunkan secara beransur-ansur itu ialah:

Lebih mudah difahami dan dilaksanakan. Orang tidak akan melaksanakan suruhan dan larangan jika diturunkan sekali gus dengan banyak.

Antara ayat itu ada yang nasikh dan mansukh, sesuai dengan permasalahan waktu itu. Ini tidak dilakukan jika al-Quran diturunkan sekali gus. (Ini menurut pendapat yang mengatakan ada nasikh dan mansukh)

Turun ayat sesuai dengan peristiwa yang berlaku lebih mengesankan dan berpengaruh di hati.

Memudahkan penghafalan. Orang Musyrik bertanya mengapakah al-Quran tidak diturunkan sekali gus seperti disebut dalam al-Quran yang bermaksud: "Mengapakah al-Quran tidak diturunkan kepadanya sekali gus? Dijawab dalam ayat itu sendiri: Demikianlah, dengan (cara) begitu Kami hendak menetapkan hatimu." (Surah al-Furqan, ayat 32)

Ada antara ayat itu jawapan daripada pertanyaan atau penolakan suatu pendapat atau perbuatan seperti dikatakan Ibnu Abbas. Hal ini tidak dapat terlaksana jika al-Quran diturunkan sekali gus.

Al-Quran mengandungi pelbagai ilmu pengetahuan dalam segenap aspek, bukan saja suruhan dan larangan, malah merangkumi cerita alam ghaib, teladan dan ilmu pengetahuan.

Peristiwa Nuzul al-Quran mengubah dan membina peradaban umat kerana al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan al-Quran itu adalah perkara benar dan tidak perlu diragui oleh manusia.

Sehubungan itu, peristiwa Nuzul al-Quran harus dihayati umat Islam kerana ia menjadi asas keimanan terhadap al-Quran bahawa ia adalah kalam Allah. Bahkan, ia dilihat asas utama dalam pengakuan umat Islam terhadap kerasulan Nabi Muhammad SAW serta keyakinan Islam itu agama benar, satu-satunya agama yang diredai di sisi Allah. (Buku Peristiwa Bersejarah Bulan Ramadan)

Tuesday, January 15, 2008

Ufuk Minda: Isyarat dari langit dedah fenomena alam

Bersama Prof Dr Sidek Baba

PERKHABARAN dari langit bermaksud wahyu diturunkan menerusi malaikat kepada Nabi Muhammad SAW untuk disampaikan kepada manusia. Allah berlaku adil kepada manusia kerana tanpa perkhabaran dari langit manusia akan tercari-cari petunjuk mengenai alam, ciptaan-Nya dan kehidupan manusia.

Perkhabaran dari langit tidak saja membawa kisah Nabi dan manusia terdahulu untuk dijadikan ibrah atau iktibar, tetapi terkandung prinsip, peraturan, suruhan dan cegahan kepada manusia.

Allah memberitahu manusia mengenai batasan dan potensi manusia. Perkhabaran dari langit bermaksud membimbing manusia menjadi hamba dan khalifah yang memahami peranan dalam mengurus diri, keluarga, masyarakat, negara dan alam.

Perkhabaran dari langit (al-Quran) juga memberikan pedoman dan petunjuk manusia mengenai sains. Aspek mengenai astronomi, fizik, geografi, geologi, biologi, lautan, perubatan, fiziologi, embriologi dan sains umum dinyatakan melalui isyarat dan pedoman.

Apabila manusia menjadikan perkhabaran dari langit sebagai sesuatu yang bermanfaat untuk kehidupan di bumi, ia membayangkan kedekatan hubungan manusia dengan Allah sebagai pencipta dan pengurus alam ini dan seluruh isinya. Darinya petunjuk dan kebenaran dari Allah dilihat, kekuasaan daripada Allah dirasakan dan ketentuan-Nya dinikmati dan dilalui.

Dalam bidang ilmu fizik, sejak 23 abad lalu seorang saintis Greek, Democritus membina teori mengenai atom iaitu partikel yang paling kecil sekali.

Ia juga pandangan saintis Arab mengenai dharrah. Tidak ada partikel lain sekecil atom. Tetapi al-Quran menolak teori atom dengan menyatakan partikel sekecil atom pun boleh terpecah dua.

Dalam Surah Saba' , ayat 3 menyebut, "Tidak ada tersembunyi daripada-Nya seberat zarah pun yang ada di langit dan yang ada di bumi dan tidak ada yang lebih kecil daripada itu dan yang lebih besar, melainkan dalam kitab yang nyata (Luh Mahfuzh)". Allah mengetahui semua benda, yang tersembunyi apa lagi yang nyata, lebih kecil daripada atom atau lebih besar daripadanya. Kajian saintifik terkini menunjukkan ada yang lebih kecil daripada atom boleh wujud.

Dalam bidang geografi al-Quran memberikan beberapa perisyaratan menarik mengenai air. Dalam Surah Ar Rum, ayat 24, Allah memberi perisyaratan mengenai hujan. "Dia menurunkan hujan dari langit lalu menghidupkan bumi dengan air itu selepas matinya. Sesungguhnya benar-benar ada tanda bagi kaum yang menggunakan akalnya". Perisyaratan al-Quran didapati tepat dengan data terkini khususnya berkaitan ilmu hidrologi atau pun air.

Bidang geologi atau kaji bumi juga bidang disentuh oleh al-Quran. Dalam surah an Nabaa', ayat 6-7 Allah menyatakan dengan jelas, "Bukankah Kami menjadikan bumi sebagai hamparan. Dan gunung-ganang sebagai pasak?". Maksud awtad atau pasak memberi makna saintifik bahawa gunung ganang memberi asas keseimbangan bumi. Seorang saintis Barat bernama Frank Press menyatakan bahawa gunung-ganang memainkan peranan untuk menstabilkan bumi.

Ilmu biologi juga menjadi sentuhan al-Quran. Dalam Surah Al Anbiyaa' (Nabi-nabi) ayat 30, Allah berfirman , "Dan daripada air kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Dan mengapakah mereka tidak juga beriman?"

Kajian saintifik menunjukkan sitoplasme, asas kepada sumber sel di bentuk 80 peratus air. Penyelidikan moden menyebutkan kebanyakan organisme mengandungi 50 peratus ke 90 peratus air dan setiap benda yang hidup memerlukan air untuk hidup dan wujud.

Ilmu botani atau kajian tumbuhan berkait juga dengan perisyaratan daripada Allah. Dalam Surah Taahaa , ayat 53 Allah memberi perisyaratan, "Maka kami tumbuhkan daripada air hujan itu berjenis-jenis tumbuh-tumbuhan yang bermacam-macam".

Malah dalam Surah Ar Ra'd (Guruh) ayat 3, Allah berfirman, "Dan menjadikan padanya semua buah-buahan berpasang-pasangan". Yang dimaksudkan 'berpasang-pasangan' ialah jantan dan betina, pahit dan manis, putih dan hitam, kecil dan besar dan sebagainya.

Dalam Surah Yasin, ayat 36, Allah menyatakan, "Maha Suci Allah yang menciptakan pasangan semuanya, baik daripada apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan daripada diri mereka mahupun daripada apa yang mereka tidak ketahui".

Perisyaratan daripada Allah ini terkandung sesuatu yang logik dan saintifik. Bagi manusia yang mempunyai daya renung yang tinggi akan timbul keinsafan bagaimana perkhabaran daripada langit iaitu wahyu memberikan kunci kepada manusia mengenai alam kejadian termasuk manusia.

Keupayaan akal manusia dan pancaindera adalah terbatas. Akal yang membolehkan manusia hanya alat yang terbatas fungsinya. Sedangkan alam luas tidak terbatas sifatnya. Jangkauan fikir dan kaji selidik hanya mengetahui perkara asas bagi membolehkan kehidupan berlaku.

Menerima perkhabaran dari langit sebagai sesuatu yang diimani adalah penting terutama bagi manusia di bumi.

Akal yang dijadikan alat dipandu oleh perkhabaran dari langit bakal menjadikan penerokaan manusia mengenai alam dan Penciptanya menjadi lebih baik dan sempurna.

Kalau tidak manusia tidak dapat memahami maksud sesuatu yang nyata dan maksud sesuatu yang ghaib.

Al-Quran sebagai kunci pedoman manusia memahami alam nyata dan alam ghaib adalah penting bagi manusia kerana darinya terdapat petunjuk saintifik memahami alam, angkasa lepas, bumi dan manusia dan maksud sebenar manusia di ciptakan dan maksud sebenar rahmah dan nikmah dilimpahkan.