Showing posts with label Islam Hadhari. Show all posts
Showing posts with label Islam Hadhari. Show all posts

Monday, February 18, 2008

Islam Hadhari pembina tamadun

Oleh Hasliza Hassan

Tindakan Malaysia perkasa pemikiran ummah dapat pujian peserta luar

PENDEKATAN Islam Hadhari yang menjadi topik pembukaan Multaqa Sedunia Alumni al-Azhar 2008 mendapat reaksi daripada peserta luar yang bersetuju dengan pendekatan diguna pakai oleh Malaysia dan tidak kurang ada masih ingin berbahas mengenainya.

Keadaan itu dapat dilihat daripada maklum balas peserta terutama dari luar negara pada sesi soal jawab terhadap perbincangan mengenai Pendekatan Islam Hadhari yang menepati tema multaqa kali ini iaitu Pendekatan Islam Hadhari Antara Warisan dan Cabaran Semasa.

Antara cadangan yang diketengahkan peserta ialah supaya isu akidah diberi perhatian lebih serius dalam usaha pembinaan tamadun sebagai asas yang kekal selain kepentingan seperti aspek politik serta isu pendidikan.

Ahli panel sesi itu ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Mohd Nakhaie Ahmad; Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi dan Rektor Kolej Universiti Insaniah Kedah, Prof Datuk Dr Sayyid Muhammad Aqiel Ali Al Mahdaly.

Isu pendidikan dijelaskan terperinci oleh Mohd Nakhaie yang menjelaskan prinsip Islam Hadhari membuka laluan kepada penyelidikan untuk mendapatkan ilmu yang berkualiti yang akan menjadi tunjang kepada pelaksanaannya.

"Secara umum kita tidak ada masalah untuk menangani prinsip Islam Hadhari tetapi apabila melihat secara lebih mendalam, ada perkara perlu diperjuangkan untuk faham erti Islam Hadhari dan dasar pembangunan negara perlu menyentuh soal ilmu pengetahuan.

"Ini perlu kerana ungkapan klasik ilmu pengetahuan menjadi kekuatan untuk membangunkan negara sekarang bukan sekadar ilmu saja, ia perlu kepada ilmu yang berkualiti dan caranya melalui penyelidikan. Jika tidak tinggal atas kertas saja," katanya.

Justeru katanya, untuk membina ketamadunan Islam, perlu ada pengislaman ilmu bagi menghadapi cabaran semasa kerana hanya ilmu berkualiti yang menggabungkan ilmu dunia serta syariat mampu membantu umat Islam.

Multaqa Sedunia Alumni al-Azhar 2008 yang kali pertama diadakan di luar Mesir berlangsung selama empat hari, berakhir hari ini bertujuan menyatupadukan graduan universiti al-Azhar yang berjaya pada peringkat antarabangsa di Kuala Lumpur.

Selain mengeratkan hubungan, perjumpaan ini juga bagi membolehkan mereka berbincang serta mendapat pandangan berhubung isu semasa membabitkan umat Islam dalam usaha membina tamadun melihat kepada warisan Islam serta cabaran semasa.

Pendekatan Islam Hadhari yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menjadi tema multaqa memberi ruang kepada peserta memahami lebih jelas usaha Malaysia untuk membina tamadun mengikut acuan sendiri.

Oleh itu, menjawab soalan popular yang sering diutarakan termasuk oleh seorang peserta mengenai istilah Hadhari yang digunakan, Dr Mahmood berkata, perubahan menyeluruh yang diketengahkan adalah lebih penting berbanding perbahasan mengenai istilah.

Katanya, umat Islam lemah kerana tidak mampu berubah secara menyeluruh dan pendekatan Islam Hadhari cuba mengubah keadaan itu dengan prinsip bukan istilah kerana kejayaan merealisasikan prinsip memastikan kejayaan menghasilkan perubahan yang menyeluruh.

"Jika buka internet, banyak lagi perkataan lain digabungkan dengan Islam yang digunakan selain Islam Hadhari. Istilah Islam Hadhari sudah diterima pakai dan sekarang ialah memahami konsep supaya dapat membantu umat Islam membuat perubahan menyeluruh," katanya.

Sementara itu, Dr Sayyid Muhammad Aqiel berkata, pemikiran Islam Hadhari timbul daripada kajian Islam terhadap penulisan ulama hebat serta berdasarkan kepada al-Quran dan sunnah untuk perubahan tamadun di Malaysia.

Beliau berkata, jika pemikiran itu berjaya membawa perubahan ia akan menjadi tamadun yang besar yang menterjemahkan ajaran Islam dengan teknik moden semasa.

"Ini usaha yang baik daripada pemimpin dan ulama di Malaysia berasaskan kepada keyakinan diri serta tanggungjawab kepada umat Islam. Harapan kita supaya pendekatan ini mampu membantu menghadapi cabaran semasa," katanya.

Merujuk kepada nota sisipan kepada tajuk perbincangan yang disediakan Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Dr Muhammad Uthman el-Muhammady, beliau berkata pendekatan Islam Hadhari jika difahami dan dilaksanakan dengan baik akan menimbulkan tamadun baru dalam sejarah.

Oleh itu katanya, pendekatan Islam Hadhari perlu mendapat sokongan semua pihak supaya ia berjaya dan timbul tamadun baru yang disebut Syaikh Ahmad al-Fatani sebagai Tamadun Islam Melayu yang berfaedah untuk semua orang Islam dan bukan Islam.

Tuesday, January 29, 2008

Islam Hadhari celik akal masyarakat

Oleh Ghafani Awang Teh

Demonstrasi tak boleh tutup kempen jahat Barat burukkan agama Allah

APAKAH benar wujud Islam fobia di kalangan bukan Islam atau sekadar digembar-gembur musuh Islam untuk menjauhkan masyarakat dunia mendekati ajaran Islam? Menurut penulis terkenal di Barat dan juga bekas penggerak Kristian, Karen Armstrong, dalam majalah Time Magazine keluaran 17 September 2001, jika benar Islam agama fobia mengapa Islam hari ini terus menjadi agama terpantas berkembang di seluruh dunia?

Seterusnya Karen Armstrong menjelaskan, ketika berlaku perang Salib di Palestin pada 1099 masihi, seramai 65,000 orang Islam dibunuh dalam masa dua hari ketika puak Barat menawan Jerusalem. Tentera Salib juga membunuh beribu orang Yahudi dalam perjalanan menuju Jerusalem di Palestin.

Menurut Karen Armstrong lagi, dalam Perang Dunia Kedua, tentera Nazi dilaporkan membunuh enam juta orang Yahudi di Eropah dalam peristiwa Holocaust. Demikian juga dalam Perang Dunia Kedua 1945 ketika tentera Pakatan Barat di ketuai Amerika Syarikat menggunakan bom nuklear mengebom bandar Hiroshima dan Nagasaki menyebabkan 220,000 orang terutama rakyat Jepun terbunuh. Persoalan besar timbul ialah mengapa isu keganasan pihak barat tidak pula dikaitkan dengan pegangan agama mereka.

Berdasarkan ulasan waras Karen Armstrong ternyata Islam bukanlah agama fobia. Isu Islam agama fobia adalah isu kempen atau propaganda lama musuh Islam untuk memburukkan agama Islam. Isu dalaman yang wujud dalam negara Islam tiada kena mengena dengan Islam fobia, tetapi ia berkait rapat dengan kelemahan, kelalaian umat Islam atau dipengaruhi campur tangan kuasa asing yang turut menyumbang kepada ketidakstabilan dalam negara Islam.

Peringatan Allah dalam al-Quran jelas bahawa kempen memusuhi Islam bermula sejak nabi Adam lagi yang diketuai iblis. Musuh Islam tidak akan berdiam diri dan berterusan hingga kini diketuai pula oleh manusia yang berwajah iblis atau syaitan.

Musuh Islam akan terus mengambil kesempatan dan mengeksploitasi kelemahan umat Islam untuk terus menuduh Islam sebagai agama pelampau dan menganjurkan keganasan. Tuduhan bahawa Islam agama fobia berat untuk diterima umat Islam kerana Islam adalah agama Allah.

Persoalan besar timbul, apakah peranan umat Islam untuk membersihkan agama Allah daripada tuduhan Islam agama fobia itu? Apakah cukup umat Islam bertempik, berarak ke hulu hilir berdemonstrasi di hadapan kedutaan asing atau memulau produk keluaran Barat sebagai bantahan kempen memburukkan Islam itu? Apakah tindakan ini boleh menutup kempen jahat Barat memburukkan Islam?

Selari dengan perubahan dunia, masyarakat dan kempen memburukkan Islam oleh pihak tertentu, maka kerajaan berikhtiar melakukan ijtihad selari dengan konsep Siyasah Syar'iyyah. Ijtihad itu ialah kerajaan melancarkan pendekatan Islam Hadhari.

Pendekatan Islam Hadhari secara mudahnya adalah merujuk kepada penonjolan inti sari penting ajaran Islam yang dikumpul daripada ajaran al-Quran, sunnah dan kupasan cerdik pandai Islam. Pendekatan itu jika dilaksanakan secara ikhlas, diyakini boleh menepis kempen jahat pihak tertentu.

Setakat ini, inti sari ajaran Islam yang dijadikan pendekatan Islam Hadhari itu mengandungi 10 komponen iaitu, membentuk manusia bertakwa dan beriman, mewujudkan kerajaan yang adil dan amanah, rakyat berjiwa merdeka, menguasai ilmu, menguasai kekuatan ekonomi, kehidupan berkualiti, pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita, keutuhan budaya dan moral, pemeliharaan alam semula jadi dan akhir sekali penekanan kekuatan pertahanan.

Dalam pendekatan Islam Hadhari, hak bukan Islam jelas diletakkan di bawah peruntukan ‘pembelaan hak kumpulan minoriti’. Ini selari firman Allah bermaksud: “ Tidak ada paksaan kepada orang bukan Islam untuk memasuki agama Islam, sesungguhnya jelas jalan yang benar daripada yang salah.” (Surah al-Baqarah, ayat 256).

Firman Allah lagi bermaksud: “Manusia dicipta daripada pelbagai keturunan dan puak untuk berkenalan dan mesra sesama mereka.” (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Berdasarkan analisis pendekatan Islam Hadhari, ternyata pendekatan itu jelas menonjolkan Islam sebagai agama tidak melampau, mengutamakan perseimbangan dunia dan akhirat, saling melengkapi keperluan manusia sejagat yang nyata membawa rahmat, mesra dunia dan mesra masyarakat.

Penonjolan hebat pendekatan Islam Hadhari pada peringkat tempatan dan antarabangsa, maka sudah pasti akan memberi celik akal masyarakat bukan Islam bahawa Islam adalah agama menarik dan menyenangkan untuk diamalkan.

Syeikh Yusuf Qaradawi dalam buku Kedudukan Non-Muslim Dalam Negara Islam menyatakan menjadi tanggungjawab negara Islam menjaga hak asasi orang bukan Islam untuk mendapat perlindungan dalam keselamatan, harta benda, bantuan kesusahan, kebebasan bekerja, menjawat jawatan, kebebasan beragama dan mengamalkan kepercayaan.

Selari dengan wawasan hijrah, kerajaan sudah mengambil langkah sewajarnya mengembalikan Islam sebagai agama Allah yang dihormati pada peringkat tempatan dan antarabangsa. Dalam usaha menjayakan ijtihad itu, kerajaan memerlukan sokongan dan kerjasama umat Islam menjayakannya.

Firman Allah bermaksud: “Dan demikianlah Kami telah menjadikan kamu (umat Islam) umat yang adil dan pilihan (bersikap pertengahan) supaya kamu menjadi saksi atas perbuatan manusia dan supaya Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas perbuatan kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 143)

Penulis ialah Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial Dan Masjid Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

Monday, January 21, 2008

Islam Hadhari ramuan pacu gemilang

Oleh Ghafani Awang Teh

Peningkatan ekonomi, pendidikan berkualiti paksi kecemerlangan ummah, negara

ISLAM sebenarnya agama yang cemerlang dan gemilang. Ini adalah berdasarkan sejarah perjuangan rasul silih berganti yang menyeru manusia menjadi insan cemerlang dan salih berlandaskan piawaian ditetapkan Allah SWT.

Kitab suci al-Quran yang menjadi rukun iman kepada orang Islam juga hebat. Dasar pengajaran kitab suci daripada Rasul terdahulu seperti kitab Zabur Nabi Daud, Taurat Nabi Musa, Injil Nabi Isa, dan Suhuf Nabi Ibrahim diteruskan dalam al-Quran mengikut keperluan dan kesesuaian umat zamannya.

Allah memberi peringatan bahawa umat berilmu mempunyai kelebihan darjat daripada mereka yang tidak berilmu (az-Zumar: 9), manusia adalah sebaik-baik kejadian (at-Tin: 4), umat Islam adalah umat yang terbaik ( Ali-Imran : 103), Islam adalah agama membawa rahmat kepada manusia (al-Anbiya':107), umat Islam hendaklah menjadi teladan kepada umat yang lain (al-Ahzab:21).

Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul terakhir berjaya membentuk ummah yang cemerlang dan salih. Permulaan baik yang diasaskan Rasulullah itu diteruskan pula oleh Khulafa' ar-Rasyidin, Kerajaan Umaiyyah, Kerajaan Abasiyyah dan Kerajaan Othmaniah Turki sehingga mencapai zaman ketamadunan Islam yang cemerlang dan gemilang.

Bagaimanapun, selepas itu pengaruh negara Islam kepada ekonomi dan politik dunia terus merosot. Negara Islam gagal mempertahankan hak dan mencipta semula kegemilangan ummah seperti dituntut ajaran Islam.

Berdasarkan pemerhatian pencapaian negara maju, ternyata wujud kaitan yang kuat bahawa kejayaan dalam ekonomi dan pendidikan akan meningkatkan kegemilangan sesebuah negara.

Kajian Goldman Sachs Group iaitu syarikat perunding kewangan terkenal dunia, pada 2003 menyenaraikan 20 negara menguasai ekonomi dunia berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

KDNK secara mudah adalah kaedah pengukuran nilai pengeluaran, perbelanjaan dan pendapatan penduduk sesebuah negara dalam tempoh tertentu. Dalam penyenaraian ini, tujuh negara atau kumpulan tujuh negara maju menduduki tangga teratas terkaya iaitu Amerika Syarikat (AS$11.7 trilion), diikuti Jepun (AS$4.4 trilion), China (AS$1.7 trilion), Britain (AS$1.7 trilion), Perancis (AS$1.5 trilion), dan Itali (AS$1.2 trilion).

Antara negara Asia lain yang termasuk dalam kumpulan 20 negara itu ialah India, Korea Selatan dan Taiwan. Menurut Goldman Sach, dalam tempoh 50 tahun akan datang, tujuh negara terkaya itu akan terus mengekalkan kesinambungan menguasai ekonomi dunia yang diramalkan China akan menjadi saingan terbesar kepada Amerika Syarikat dan Jepun.

Sebagai perbandingan kita lihat pencapaian Malaysia. Menurut Wikipedia yang memetik beberapa sumber, KDNK Malaysia bagi 2005 ialah bernilai AS$290 bilion iaitu menduduki tangga ke-34 di dunia. Bagaimanapun, pencapaian Malaysia dianggap terbaik di kalangan negara Islam dibandingkan sebahagian negara lain.

Berdasarkan statistik penguasaan ekonomi dunia itu jelas menunjukkan tidak ada negara Islam dikelompokkan dalam senarai 20 negara terbaik ekonomi. Negara yang menguasai ekonomi dunia bererti mereka menguasai pertumbuhan perdagangan, perusahaan, pertanian, telekomunikasi, sains teknologi, pendidikan, pertahanan dan sebagainya.

Wujud kaitan yang kuat bahawa kehebatan pendidikan mempengaruhi kegemilangan ummah. Badan penarafan universiti antarabangsa iaitu Times Higher Education Supplement (THES) pada 2005 dan 2006, menyenaraikan 200 universiti terbaik dunia.

Dalam penarafan universiti itu, sekali lagi menunjukkan tidak ada universiti dari negara Islam dikelompokkan dalam 200 universiti terbaik dunia.

Sudah menjadi lumrah dunia moden hari ini bahawa negara yang menguasai ekonomi dunia menjadi negara berpengaruh dan berwibawa menentukan hala tuju iklim politik dunia. Kita boleh melihat bagaimana sebarang keputusan Kumpulan Tujuh negara kaya mengenai ekonomi menjadi rujukan penganalisis ekonomi untuk meramalkan prestasi masa depan ekonomi antarabangsa.

Berdasarkan statistik ekonomi dunia dan pendidikan, jelas menunjukkan prestasi negara Islam dalam perlumbaan menguasai ekonomi dan pendidikan ketinggalan jauh berbanding negara maju. Ini jelas melambangkan negara Islam tidak mampu bersaing mencapai kecemerlangan seperti diharapkan dalam al-Quran.

Umat Islam gagal membuktikan kepada dunia bahawa mereka adalah umat terbaik dunia, umat yang tinggi darjat, menjadi umat contoh, pembawa rahmat kepada manusia sejagat. Inilah cabaran dan ujian berat umat Islam untuk merealisasikan ajaran Islam.

Sebagai renungan, kita perhatikan peringatan Allah SWT yang bermaksud, "Dan bersiap sedialah kamu dengan kekuatan yang mampu dan dengan kekuatan berkuda (mekanisma canggih). Dengannya kamu menghancurkan musuh Allah dan musuh kamu," ( al-Anfal: 60).

Persoalan besar timbul apakah kita sudah membuat perancangan dan persiapan rapi untuk melaksanakan peringatan Allah itu.

Dalam usaha meningkatkan persaingan ummah pada peringkat tempatan dan antarabangsa, maka kerajaan sudah mengenal pasti beberapa bidang yang perlu diberi tumpuan dan keutamaan. Bidang itu ialah mewujudkan ummah yang beriman dan bertaqwa, keutuhan budaya dan moral, kerajaan adil dan amanah, rakyat berjiwa merdeka, membela hak kumpulan minoriti dan wanita, menguasai ekonomi, menguasai ilmu pengetahuan, mewujudkan kehidupan berkualiti, mewujudkan alam semula jadi yang baik dan menguasai pertahanan.

Bidang inilah yang dinamakan pendekatan Islam Hadhari sebagai ikhtiar dan ijtihad kerajaan untuk membangunkan kekuatan ummah. Sepuluh pendekatan Islam Hadhari yang ada sekarang bukanlah kekal selama-lamanya.

Kita yakin pada masa akan datang pendekatan Islam Hadhari ini mungkin ditambah dan diubah suai bagi memenuhi keperluan perubahan dunia dan masyarakat.

Bagaimanapun, ada pihak tertentu di negara ini mempertikaikan pendekatan Islam Hadhari, malah menganggapnya ajaran baru dan sesat. Kita percaya mereka yang mengkritik pendekatan Islam Hadhari adalah mereka yang tidak celik akal mengenai kelemahan umat Islam untuk bersaing pada peringkat tempatan, apatah lagi pada peringkat antarabangsa.

Apa yang nyata, pendekatan Islam Hadhari adalah langkah positif. Pendekatan Islam Hadhari bertindak sebagai ramuan dan pemacu untuk mempertahankan dan meraih semula kegemilangan ummah.

Bagaimanapun kejayaan besar pendekatan Islam Hadhari berkait rapat dengan keikhlasan, kesepakatan dalam perancangan, kesungguhan dalam pelaksanaan, serta pembabitan menyeluruh jentera kerajaan dan masyarakat.

Penulis ialah panel penulis Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).