Showing posts with label Tawakkal. Show all posts
Showing posts with label Tawakkal. Show all posts

Tuesday, June 2, 2009

Tawakal ibadah hati paling utama mengharapkan sesuatu

Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir

HIDUP tidak sunyi daripada berdepan masalah. Yang membezakannya hanya jenis masalah itu tidak sama antara seorang dengan seorang. Seseorang itu mungkin berdepan masalah besar menentukan hidup atau mati perniagaannya pada masa depan, manakala yang lain hanya sekadar mendapatkan rumah untuk dibeli.

Apa juga keadaan, mereka perlu mencari jalan menyelesaikannya. Masalah tidak akan selesai jika hanya berdiam diri berpeluk tubuh. Kejayaan atau kegagalan bergantung sejauh mana usaha dilakukan.

Selepas puas berusaha keras dengan pelbagai cara dan kaedah untuk menyelesaikan masalah, mereka boleh berserah kepada Allah iaitu bertawakal kepada Allah.

Tawakal satu ibadah hati paling utama dan akhlak iman paling agung. Seorang ulama menyatakan tawakal ialah percaya kepada Allah dan hanya kepada Dialah kita mengharapkan segala sesuatu, bukan kepada siapa pun.

Imam al-Ghazali menyatakan tawakal satu manzilah (keberadaan) bagi orang beriman, bahkan tawakal darjat muqarrabin atau orang yang dekat dengan Allah.

Ali al Qari pula menyebut tawakal adalah mengetahui dan yakin tidak ada yang mampu berbuat dalam alam ini kecuali atas kehendak Allah.

Abu Ali Ad-Daqqaq berkata, tawakal itu ada tiga tingkatan. Tawakal itu sendiri, kata Abu Ali Ad-Daqqaq: “Berserah diri, kemudian pasrah. Orang bertawakal berasa tenang kerana ada janji daripada Allah, orang berserah diri cukup dengan pengetahuan mengenai Allah dan orang pasrah reda terhadap hikmah Allah. Tawakal adalah permulaan, berserah diri adalah pertengahan dan pasrah adalah penghabisan.”

Kata Abu Ali Ad-Daqqaq lagi: “Tawakal sifat orang mukmin, berserah diri adalah sifat wali dan pasrah adalah sifat muwahhidin. Tawakal sifat orang awam, berserah diri sifat orang khusus dan pasrah sifat orang lebih khusus lagi. Tawakal ialah sifat nabi, berserah diri ialah sifat Ibrahim dan pasrah sifat Nabi Muhammad.”

Orang yang tawakal selalu menggantungkan diri dan menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah. Mereka sentiasa berlapang dada dan tidak resah bila dibelit masalah. Mereka tidak cepat berputus asas, sebaliknya sentiasa yakin dan percaya kepada kemampuan diri sendiri. Mereka hanya berserah (tawakal) kepada Allah selepas segala usaha dan ikhtiar dilakukan.

Mereka bertawakal kepada Allah kerana mereka mempunyai perasaan kuat Allah Yang Maha Pemberi segala-galanya. Allah memberi rezeki, memberi kejayaan, memberi kepandaian, memberi kesenangan, memberi keselamatan dan semuanya datang daripada Allah. Kita hanya berusaha mencari dan mendapatkannya.

Dalam al-Quran Allah berfirman bermaksud: “Dan percayalah (tawakallah) dirimu kepada Allah, jika kamu betul-betul beriman.” (Surah al-Maidah ayat 23).

Allah sangat mencintai hamba-Nya yang bertawakal. Dan Allah akan memberikan jalan keluar serta akan memberikan rezeki yang datang tanpa disangkanya. Dengan kata lain, mereka (orang tawakal) tanpa gusar yakin terhadap ketentuan dan kekuasaan Allah hingga menyerahkan segenap permasalahan kepada-Nya semata.

Allah berfirman bermaksud: “Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya). Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki-Nya). Sesungguhnya Allah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu.” (Surah Ath Thalaq ayat 3).

Dalam bukunya Para Kekasih Allah, Abdillah F Hasan berkata dalam al-Quran tidak kurang dari 40 ayat membahas masalah tawakal, baik dalam bentuk perintah mahupun keutamaan bagi hamba mampu melaksanakannya.

Yusuf al Qaadhawi dalam kitabnya Ath Thariq Ilalah, At Tawakal mengungkapkan mengenai keistimewaan disandang hamba Allah bertawakal kepada-Nya, iaitu timbul ketenteraman jiwa, kekuatan jiwa (kekuatan spiritual), kewibawaan, keredaan dan percaya diri.

Orang beriman yakin akan pertolongan Allah. Allah tidak akan membiarkan orang berjuang di jalan-Nya. Allah tetap menolong mereka, cuma cepat atau lambat saja.

Orang yang mantap dan teguh imannya tidak ragu-ragu dengan janji Allah ini. Mereka penuh yakin Allah tidak mengingkari janji kerana mereka tahu dan ingat keagungan Allah, kesempurnaan ilmu-Nya dan kudrat-Nya. Allah ingat kepada hamba-Nya yang tidak pernah lupa mengingati-Nya di mana-mana.

Firman Allah dalam al-Quran bermaksud: “Dan Kami selalu berkewajipan menolong orang-orang yang beriman.” (Surah Ar-Rum ayat 47)

Friday, August 29, 2008

Bertawakkal perlu diiringi dengan ikhtiar, usaha

Oleh Hashim Ahmad

Tuhan cukupkan keperluan hamba-Nya yang rajin bekerja, tanpa duduk diam harap rezeki langit

TAWAKAL adalah kesungguhan hati bersandar kepada Allah untuk mendapatkan kesejahteraan serta mencegah bahaya yang berkaitan dengan urusan dunia mahupun akhirat. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan barang siapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan jadikan baginya jalan keluar dan memberi rezeki dari arah yang tiada ia sangka dan barang siapa bertawakal kepada Allah maka Dia itu cukup baginya." – (Surah At-Thalaq, ayat 2-3)

Ibnu 'Abbad mengatakan tawakal bermakna percaya sepenuhnya kepada Allah. Iman Ahmad mengatakan tawakal bererti memutuskan pencarian disertai putus asa terhadap makhluk. Al Hasan Al Basri mengatakan tawakal bererti reda kepada Allah.

Ibnu Rojab Al Hanbali pula mengatakan, tawakal adalah bersandar hati dengan sebenarnya kepada Allah dalam memperoleh kesejahteraan dan menolak bahaya, baik urusan dunia mahupun akhirat secara keseluruhan.

Tawakal adalah saranan paling ampuh untuk menghadapi keadaan kerana ia menjadikan Allah sebagai pelindung atau yang memberi kecukupan. Maka sesiapa menjadikan Allah sebagai pelindung serta yang memberinya kecukupan, maka musuhnya itu tidak akan dapat mendatangkan bahaya padanya.

Bukti tawakal paling baik adalah kejadian nyata yang berlaku ke atas Nabi Ibrahim ketika Baginda dilemparkan ke tengah api membara. Baginda mengatakan: Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sungguh, seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benarnya, nescaya kamu akan diberi rezeki sebagaimana burung yang berangkat pagi dalam keadaan lapar dan pulang petang hari dalam keadaan kenyang." – (Hadis riwayat Ahmad, At-Tirmidzi, Ibnu Majah, Al-Hakim)

Abu Hatim Ar Razy berkata bahawa hadis itu adalah tonggak tawakal kerana tawakal kepada Allah faktor terbesar mencari rezeki. Oleh itu, sesiapa bertawakal kepada Allah, nescaya akan dicukupkan keperluannya.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukukan (keperluannya). Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki-Nya). Sesungguhnya Allah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu." – (Surah At-Thalaq, ayat 3)

Mungkin ada yang akan berkata: "Jika orang yang bertawakal kepada Allah itu akan diberi rezeki, maka kenapa kita harus lelah, berusaha dan mencari penghidupan. Bukankah kita cukup duduk dan bermalasan, lalu rezeki kita datang dari langit?"

Perkataan seperti itu menunjukkan kebodohan mengenai hakikat tawakal. Nabi SAW menyamakan orang bertawakal dan diberi rezeki itu dengan burung yang pergi pada pagi hari untuk mencari rezeki dan pulang pada petang hari, padahal burung itu tidak memiliki sandaran apapun, baik perdagangan, pertanian, kilang atau pekerjaan tertentu. Ia keluar berbekalkan tawakal kepada Allah sebagai tempat bergantung.

Imam Ahmad berkata: "Dalam hadis itu tidak ada isyarat yang membolehkan meninggalkan usaha. Sebaliknya, ada isyarat menunjukkan perlunya mencari rezeki. Jadi, maksud hadis itu bahawa seandainya mereka bertawakal kepada Allah dalam berpergian, kedatangan dan usaha mereka, dan mereka mengetahui bahawa kebaikan (rezeki) itu di tangan-Nya, tentu mereka tidak akan pulang kecuali dalam keadaan mendapatkan harta dengan selamat, seperti burung itu." – (Tuhfatul Ahwadzi)

Imam Ahmad pernah ditanya mengenai seorang lelaki yang hanya duduk di rumah atau di masjid seraya berkata: "Aku tidak mahu bekerja sedikitpun, sampai rezeki datang sendiri." Imam Ahmad berkata bahawa lelaki itu tidak mengenal ilmu.

Sesungguhnya Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Jika kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benarnya, nescaya Allah memberimu rezeki seperti diberikan-Nya kepada burung. Mereka berangkat pagi-pagi dalam keadaan lapar dan pulang petang hari dalam keadaan kenyang." – (Hadis riwayat Tirmidzi)

Selanjutnya Imam Ahmad berkata: "Sahabat juga berdagang dan bekerja dengan mengelola pohon kurmanya. Dan mereka itulah teladan kita." – (Fathul Bari)

Sesungguhnya pengaruh tawakal itu nampak dalam gerak dan usaha seseorang ketika bekerja untuk mencapai tujuannya.

Imam Abul Qasim Al-Qusyairi mengatakan: "Ketahuilah sesungguhnya tawakal itu letaknya di dalam hati. Adapun gerak lahiriah hal itu tidak bertentangan dengan tawakal yang ada dalam hati selepas seseorang meyakini bahawa rezeki itu datangnya daripada Allah. Jika terdapat kesulitan, maka hal itu adalah kerana takdir-Nya. Dan jika terdapat kemudahan maka hal itu kerana kemudahan daripada-Nya." – (Murqaul Mafatih)

Tawakal kepada Allah tidaklah bererti meninggalkan usaha. Seseorang berkata kepada Nabi SAW: "Aku lepaskan untaku dan (lalu) aku bertawakal?" Nabi bersabda: "Ikatlah kemudian bertawakal kepada Allah." – (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Dalam riwayat Imam Al-Qudha'i disebutkan bahawa Amr bin Umayah berkata: "Aku bertanya, Wahai Rasulullah. Apakah aku ikat dulu unta tungganganku lalu aku bertawakal kepada Allah, atau aku lepaskan begitu saja lalu aku bertawakal? Baginda menjawab: Ikatlah untamu lalu bertawakal kepada Allah."

Tawakal bukan menyerah bulat-bulat dan meninggalkan usaha. Setiap Muslim perlu berusaha memenuhi tanggungjawab dalam kehidupan mereka dan bersungguh-sungguh mendapatkan penghidupan yang baik.

Selepas berusaha kemudian bertawakal kepada Allah, setiap Muslim perlu yakin segala urusan adalah milik Allah dan rezeki itu hanyalah daripada-Nya semata-mata.