Showing posts with label (A) Dr Irfan Mohamad. Show all posts
Showing posts with label (A) Dr Irfan Mohamad. Show all posts

Thursday, December 24, 2009

Suasana mesra ibadat di hospital rangsang pesakit bersolat

Oleh Dr Irfan Mohamad

SEJAK difardukan ke atas umat Nabi Muhammad SAW sejak kira-kira 1430 tahun pada peristiwa Isra dan Mikraj, solat menjadi suatu kewajipan yang tidak terlepas seseorang itu daripada melaksanakannya. Tidak kira apa juga keadaan selagi ia memenuhi syarat wajib solat, maka tanggungjawab menunaikannya perlu dilakukan.

Baik dalam keadaan senang atau susah, sihat mahupun sakit, solat adalah tetap fardu. Tiada alasan yang boleh digunakan untuk tidak bersolat, ketika sakit Islam memberikan keringanan dari segi pelaksanaan terutamanya bagi rukun fi’li (perbuatan) dengan kaedah tertentu.

‘Sembahyang lima waktu itu diwajibkan Allah ke atas hamba-Nya, maka sesiapa melaksanakannya, sedangkan dia tidak pernah mensia-siakan daripadanya sesuatu pun kerana meringankan kewajipan itu, nescaya baginya di sisi Allah suatu perjanjian untuk memasukkannya ke syurga. Dan sesiapa yang tidak melaksanakannya maka tidak ada baginya di sisi Allah suatu perjanjian. Jika Dia mahu, di azabnya, dan jika Dia mahu, dimasukkannya ke syurga.’ (Hadis riwayat Abu Daud, Nasa’i, Malik dan Ibnu Hibban)

Hospital adalah sebuah suatu institusi yang biasanya ramai orang mengelakkan melainkan terpaksa akibat penyakit yang dihidapi ataupun kerana bekerja di sana. Jika seseorang dimasukkan ke hospital, maka mereka secara automatik menjadi ‘orang sakit’ yang pada kebanyakan masa mempunyai ‘imuniti’ atau dikecualikan daripada melaksanakan tugas seperti biasa. Seseorang pesakit itu seharusnya tabah dengan dugaan yang sedang dihadapinya dan terus mengerjakan solat mengikut kemampuannya. Sememangnya menunaikan solat dalam keadaan sakit menuntut lebih kesabaran dan pengorbanan.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya.’ (Surah Taha: 132)

Apabila berada di katil hospital, pesakit akan mula teruji. Di sinilah peranan orang serta prasarana di sekeliling akan menjadi faktor penggalak atau perencat yang membuatkan seseorang pesakit itu mengekalkan kesungguhannya untuk beribadah atau mengambil keputusan untuk menundanya dengan alasan untuk melangsaikan segala hutangnya selepas sembuh. Antara alasan yang diberikan ialah sukar untuk bersuci dan berwuduk kerana khuatir ia memudaratkan kesihatan. Dalam hal ini, Islam telah memberi lagi kelonggaran tatacara bersuci bagi mereka yang sakit.

Firman Allah: “Dan jika kamu sakit atau sedang dalam musafir atau datang dari tempat buang air atau kamu telah menyentuh perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air, maka bertayamum kamu dengan tanah yang baik (suci): Sapulah mukamu dan tanganmu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun’. (Surah An-Nisa: 43)

Langkah proaktif hospital bagi mewujudkan suasana mesra ibadat ini amat penting bagi menggalakkan pesakit melakukan aktiviti ibadat mereka seperti biasa. Kesukaran dan ketiadaan prasarana beribadah mungkin menjadi sebab mengapa orang tua biasanya tidak mahu ke hospital apatah lagi dimasukkan ke wad kerana bimbang hasrat bersolat akan tergugat.

Sebagai sebuah hospital yang mengadaptasikan konsep mesra ibadat, Hospital Universiti Sains Malaysia cuba menerapkan beberapa elemen baik berbentuk fizikal secara langsung dan juga tidak langsung yang diharap mampu mewujudkan suasana kondusif bagi pesakit untuk terus melaksanakan ibadat mereka. Pemaparan arah kiblat yang mudah di dapati di siling, pembukaan ruangan bagi pesakit menjalankan ibadah di wad serta penyediaan buku panduan ibadah ketika sakit yang diletakkan di tepi katil pesakit diharapkan dapat memudahkan pesakit untuk melaksanakan kewajipan mereka mengikut kadar termampu.

Pengumuman masuknya waktu solat juga diberikan agar pesakit yang terlantar dan sukar untuk bergerak tetap mendapat maklumat. Bagi waris dan pelawat, surau turut disediakan.

Sungguhpun perkara kecil seperti buku panduan dan arah kiblat ini nampak remeh namun hakikatnya ia menyebabkan ‘pesakit atas pagar’ memilih untuk melaksanakan atau meninggalkan ibadahnya. Pesakit amat jarang bertanyakan doktor atau jururawat berkenaan cara mereka untuk bersolat dalam keadaan berbalut, bersimen atau dalam keadaan adanya kateter urin dan sebagainya, juga arah kiblat disebabkan soalan ini dianggap tidak relevan dengan profesion kedoktoran atau kejururawatan. Di sinilah buku panduan kecil atau penunjuk arah dapat memainkan peranan dengan tidak menafikan pentingnya seseorang perawat itu melengkapkan pengetahuan mereka demi membantu pesakit secara lebih holistik.

Dengan menunaikan solat, ia menunjukkan kita kasih kepada Allah dan tidak mensia-siakan amanah yang diberikan. Sesungguhnya bersolat itu lambang cinta seorang hamba terhadap Tuhannya.

Walaupun Islam tidak pernah memberatkan umatnya, konsep ini tidak seharusnya disalahgunakan untuk meringankan tuntutan solat. Istilah qada selepas sembuh bukan suatu ayat yang mempunyai jaminan bahawa kita akan mempunyai masa untuk melakukannya. Jika kita diberi peluang sembuh dan mampu melakukannya sekalipun, sejauh manakah pastinya kita bahawa ‘segala hutang’ kita itu akan diterima-Nya?

Penulis ialah Pensyarah Perubatan ORL, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kota Bharu, Kelantan

Friday, May 29, 2009

Tabiat ke masjid patut dibiasakan sejak usia muda

Oleh Dr Irfan Mohamad

PERSEPSI yang bertapak di minda masyarakat bahawa masjid hanya tempat bagi mereka berkelapangan, orang tua yang bersara atau yang alim ilmu keagamaan, persepsi jumud yang tidak harus wujud pada zaman ketandusan aspek nilai murni hidup bermasyarakat.

Betapa besar ganjaran bagi mereka yang memakmurkan masjid dijelaskan dalam al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW, namun ada golongan masih sukar diikat hatinya untuk hadir ke rumah Allah.

Masjid ialah institusi yang bukan saja penting bagi umat Islam untuk tujuan ibadat malah, menjadi pusat percambahan dan pengembangan ilmu pengetahuan, penyatuan perpaduan masyarakat, tempat mencari ketenangan jiwa dan suatu masa dulu sebagai tempat mesyuarat dan penstrukturan pentadbiran kerajaan.

Pembinaan Masjid Quba, ketika hijrah Nabi SAW dari Makkah ke Madinah antara program awal dalam kerangka kronologi peristiwa agung hijrah membuktikan pentingnya masjid dalam pembentukan kerajaan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu bersusah payah untuk musafir melainkan ke tiga masjid. Masjidku ini (Masjid Nabi), Masjidilharam dan Masjidilaqsa. Aku juga pernah mendengar Baginda bersabda: Janganlah seseorang wanita musafir selama dua hari melainkan bersama mahram atau suaminya.” (Hadis riwayat Muslim)

Mengimarahkan masjid harus menjadi tanggungjawab setiap Muslim merentas sempadan usia, bangsa, warna kulit dan tidak mengira masa. Masjid tidak hanya dipenuhi pada Jumaat atau Ramadan dan hari raya.

Paradigma sesetengah kita masjid tempat bagi ulama saja suatu yang perlu diubah. Persepsi salah masjid hanya tempat mereka yang pencen wajar ditepis. selaras hadis Baginda SAW yang menggesa umatnya merebut peluang masa muda sebelum tua dan masa sihat sebelum sakit.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Rebut lima perkara sebelum datang lima perkara. Masa sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, muda sebelum tua dan hidup sebelum mati.” (Hadis riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Ketika usia muda biasanya kesihatan lebih baik berbanding apabila umur meningkat yang sering uzur seperti sakit sendi, lenguh otot, cepat penat, letih, termasuk kurangnya penglihatan serta pendengaran untuk menangkap kandungan program ilmu yang disampaikan.

Bagi menjadikan perkara yang baik itu tabiat, ia memerlukan proses membiasakan diri seperti kata orang, tak kenal maka tak cinta. Tarbiah dianjurkan sepanjang Ramadan harus menjadi motivasi yang cukup untuk menjadikan seseorang menggantungkan hatinya di masjid.

Anak harus dibiasakan sejak kecil berjinak dengan masjid. Mungkin pada peringkat awal, mereka diajak bersolat waktu saja dan lama-kelamaan apabila rasa cinta sudah berputik, masa di masjid boleh dipanjangkan untuk mengikuti kuliah dan majlis ilmu.

Mungkin ada juga yang berpandangan tidak semestinya orang selalu ke masjid baik atau mereka yang sentiasa bersolat di rumah lebih khusyuk dan ikhlas, selaras dengan keutamaan untuk menjaga hati terutama dalam hal ibadah.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya yang memakmurkan masjid Allah hanya orang yang beriman kepada-Nya dan hari kemudian, serta (tetap) mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapa pun), kecuali Allah. Maka, mudah-mudahan mereka termasuk orang yang mendapat petunjuk.” (Surah at-Taubah, ayat 18)

Pihak pengurusan masjid perlu sentiasa proaktif mencari idea dan membuat perancangan program untuk menarik masyarakat menjinakkan hati mereka yang lebih muda untuk ke masjid.

Selain mewujudkan suasana beribadah yang kondusif dari segi penjagaan kebersihan, pelbagai program perlu diatur untuk mencapai objektif menjadikan masjid sebagai rumah kedua.

Program sukan misalnya, boleh distrukturkan bersesuaian dengan matlamat menjemput golongan lebih muda dan aktif supaya turut sama menjayakan program mengimarahkan masjid.

Majlis ilmu yang dianjurkan harus dapat menarik perhatian pelbagai lapisan usia dan kelas pengajian tidak harus fokus kepada satu golongan saja.

Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya mencadangkan pekarangan masjid dilengkapi gelanggang sukan dan landskapnya diperindahkan. Kawasan masjid yang lapang harus dimanfaatkan.

Sesungguhnya amat bertuah jika program dianjurkan masjid dihadiri mereka yang tidak pernah menjejakkan kaki sebelum ini dan lebih bertuah jika impak program itu menjadikan mereka pengunjung tetap masjid selepas itu.

Malang jika kali pertama mereka yang mula menjinakkan diri ke masjid mengambil keputusan sebaliknya hanya disebabkan faktor yang menjatuhkan imej sesebuah masjid disebabkan tidak peka kepada keperluan jemaah.

Golongan yang mula menjinakkan hati ke masjid wajar diberi sokongan tanpa mengira latar belakang, cara berpakaian asalkan menutup aurat, teguran penuh berhikmah jika ada kesilapan dilakukan sewaktu beribadah.

Kritikan secara terbuka atau dengan cara memberitahu orang lain kesilapan jemaah baru boleh mengakibatkan malu pada diri dan akhirnya itulah kali pertama yang menjadi kali terakhir mereka singgah bersolat di masjid.

Selain usaha memupuk kesedaran dalam diri sendiri, sokongan masyarakat sekitar tidak boleh dinafikan kepentingannya. Justeru, kehadiran di masjid patut diraikan setiap yang ada supaya matlamat mencari keredaan serta rahmat dapat dicapai.

Masjid adalah kunci kerahmatan, pintu perpaduan, ada semangat persaudaraan dan ia ditinggikan martabatnya sebagai tempat paling mulia di bumi sebagai rumah Allah. Tidak hadirkah rasa mulia di hati kita untuk menjadi tetamu-Nya?

Penulis ialah Pensyarah Kanan ORL Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia

Friday, April 24, 2009

Mengaplikasi hikmah solat ketika memandu

Oleh Dr Irfan Mohamad

MENDIDIK pengguna jalan raya melalui pelaksanaan Ops Sikap, penguatkuasaan undang-undang tali pinggang sama ada bagi penumpang hadapan mahupun belakang, penggunaan topi keledar dengan bentuk dan cara selamat antara penekanan yang dijangka dapat mengurangkan kadar kemalangan.

Namun, paling penting ialah sikap pemandu yang menyumbang kepada bertambahnya statistik kemalangan jalan raya di Malaysia.

Islam adalah agama sejahtera dan membawa kesejahteraan kepada penganutnya. Ajaran dan aturannya menjadi panduan dalam segenap aspek kehidupan. Solat antara amalan konsisten yang dilakukan setiap hari. Malah, dalam solat itu sendiri mempunyai elemen jika diteliti turut mengajar manusia menjadi yang terbaik dalam hubungannya dengan Ilahi dan sesama insan.

Dalam hal memandu di jalan raya, seseorang yang menjaga dan melaksanakan solatnya dengan baik seharusnya akan memberikan watak seorang pemandu yang baik apabila berada di jalan raya.

Sebelum bersolat, kita dianjurkan memastikan tempat dan pakaian berada dalam keadaan bersih lagi suci. Begitu juga dengan persekitaran yang kondusif. Aspek membuat persediaan ini juga seharusnya diguna pakai ketika memandu.

Selain membuat pemeriksaan fizikal kenderaan terutama membabitkan perjalanan jauh, persediaan keadaan diri dari segi cukup rehat, tiada tekanan ketika memandu, keupayaan memandu dalam keadaan trafik teruk menjadi elemen penting.

Solat itu sendiri mempunyai rukun dan syarat sahnya. Sesiapa yang melanggar atau tidak melaksanakan, tidak sah ibadatnya. Apabila kita berada di jalan raya, pasti kita maklum segala peraturan seperti kawasan memotong, pematuhan lampu isyarat, kewujudan jalan sehala dan berada di lorong kiri jika tidak memotong.

Jika kita berulang kali belajar dalam solat lima kali sehari pentingnya mengikut peraturan, pastinya kita sepatutnya tidak sukar mengikut peraturan jalan raya yang sememangnya dibuat untuk memastikan keselamatan pengguna terjamin.

Ketenangan adalah kunci kebahagiaan. Begitu juga dalam solat seharian yang wajar ditunaikan dalam keadaan tenang. Tama’ninah dan tertib adalah sebahagian rukun solat. Justeru, apabila memandu, tidak boleh dan tidak perlu untuk kita memecut laju.

Kelajuan sememangnya membuat kita mudah hilang kawalan, selain membahayakan orang lain. Firman Allah yang bermaksud: “Jangan kamu campakkan diri kamu dalam kebinasaan.” (Surah al-Baqarah, ayat 195)

Kebanyakan masalah di jalan raya disebabkan sikap mementingkan diri dan mengabaikan hak pemandu lain. Dalam solat, aspek menghormati makmum di sebelah amat ditekankan. Tidak boleh kita mengangkat suara sehingga mengganggu rakan di sebelah. Segala pergerakan dilakukan atas kapasiti dan ruang yang layak untuk kita saja.

Alangkah indahnya jika amalan itu turut diterapkan ketika memandu di jalan raya. Tiada lagi memotong barisan, memandu secara berbahaya dan memberi isyarat apabila hendak menukar lorong supaya pemandu lain mengetahui apa yang kita lakukan dan mengelakkan daripada kemalangan.

Solat juga mengajar kita fokus dan tidak membiarkan fikiran melayang memikirkan perkara lain. Fokus dalam solat atau khusyuk amat diberatkan kerana hanya dengannya ibadat solat itu akan mencapai kualiti seperti diharapkan.

Al-Quran juga ada menyebutkan bahawa solat adalah sesuatu yang berat melainkan kepada mereka yang khusyuk. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya beruntunglah orang yang beriman, iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah al-Mu’minun, ayat 1-2)

Fokus ketika memandu akan dapat menghindarkan kenderaan dipandu melencong ke tempat tidak sepatutnya. Keadaan itu biasa terjadi jika kita memandu dalam keadaan terlalu letih atau banyak gangguan dalam kereta itu.

Diriwayatkan daripada Anas, “Nabi Muhammad SAW pernah bersabda bermaksud: Apabila seseorang mengantuk ketika mengerjakan solat hendaklah ia tidur terlebih dulu hingga ia mengerti apa yang ia katakan (atau ia bacakan).”

Kita dilarang menunaikan solat dalam keadaan mengantuk dan memandu dalam keadaan mengantuk juga membahayakan. Selaras saranan Nabi Muhammad SAW, jika pemandu mengantuk hendaklah diganti pemandu lain atau berhenti untuk tidur sebentar sebelum menyambung perjalanan.

Sifat suka menunjuk-nunjuk akan kehebatan dengan kemampuan diri atau kenderaan dipandu satu daripada punca awal kemalangan. Contohnya, jika kereta dipotong, jangan kita berasa tercabar atau ingin menzahirkan bahawa kita sebenarnya lebih hebat.

Jika ini tidak mampu dikawal maka pada saat itulah nafsu akan mula menguasai diri. Pedal minyak ditekan hingga rapat semata-mata untuk menunjukkan yang kita tidak boleh ‘tewas’. Amalan suka menunjuk kehebatan diri sifat tercela dalam Islam apatah lagi jika ia dilakukan dalam solat.

Firman Allah bermaksud: “Maka kecelakaanlah bagi orang yang solat, orang yang lalai dari solatnya, orang yang riak.” (Surah al-Maa’uun, ayat 4-6)

Sampai ke destinasi dengan selamat adalah takrifan kepada kejayaan sebuah perjalanan. Orang yang menunaikan solat berjaya apabila menghayati roh dan pengajaran yang ada di dalamnya kerana tiada suatu apa pun diciptakan melainkan disertakan sebab dan faedahnya kepada manusia baik yang jelas di dunia apatah lagi akhirat nanti, sekiranya kita berfikir.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Otorinolaringologi (ORL) Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia

Friday, September 5, 2008

Solat semai budaya kerja cemerlang, berpasukan

Oleh Dr Irfan Mohamad

SEBAHAGIAN daripada jemaah Masjid Bandaraya Kuching menunaikan solat sunat terawih pada malam pertama ramadan. Sepanjang bulan Ramadan umat islam digalakan memperbanyakan ibadat kepada Allah seperti membaca Al-Quran, menunaikan solat sunat terawih serta bersedekah. Antara kelebihan mereka yang menunaikan solat sunat terawih ialah akan keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana ia baru dilahirkan. - Foto Bernama


Elemen dalam ibadat contoh terbaik ke arah tingkatkan prestasi, produktiviti organisasi

KEINDAHAN Islam bukan pada namanya saja yang bermaksud selamat. Bahkan jika ditelusuri kewajipan dan amalan dituntut manusia melakukannya pasti akan menemukan keindahannya. Contohnya apabila menjelang Ramadan ramai yang membicarakan hikmah di sebalik kefarduan puasa. Bermula daripada puasa menyihatkan badan dan menenangkan rohani, disusuli ibadat malam yang menjadi terapi jiwa, pasti membuatkan ramai yang kagum dan tidak mustahil mereka yang tidak diwajibkan turut berpuasa demi kelebihannya.

Namun berakhir Ramadan, perbicaraan mengenainya juga mungkin berakhir. Setahun kemudian baru kitab kelebihan Ramadan dibuka semula. Berbeza dengan puasa, solat adalah tuntutan setiap hari. Mungkin disebabkan lima kali sehari, tidak ramai yang dapat atau mahu menjiwai bagaimana solat dapat menyemai budaya kerja cemerlang antaranya:

Mengikut perintah.

Antara kefarduan yang kerap diulang dalam al-Quran ialah solat. Allah mengkategorikan mukmin berjaya ialah yang menjaga solatnya. Dimuatkan juga celaan mereka yang mengabaikannya dan riak dalam solat.

Mematuhi arahan Allah dengan penuh rasa takut dan menunaikannya dengan penuh tanggungjawab sepatutnya melahirkan pekerja yang mentaati perintah ketua yang menjadikan kerja sebagai amanah.

Menurut garis panduan.

Nabi bersabda supaya solat ditunaikan seperti Baginda melaksanakannya. Mukmin yang mengambil berat mengenai solat cuba sedaya-upaya mencapai martabat itu dan bukan bersolat seperti melepaskan batok di tangga. Mengikut panduan ditetapkan, budaya kerja yang baik akan melahirkan hasil sistematik dan memenuhi piawai.

Menanam azam dan objektif.

Tidak sah solat tanpa niat. Pentingnya mengqasadkan niat pada awal solat menunjukkan kerja perlu bermula dengan apakah yang ingin dilakukan sebenarnya.

Menghormati ketua dan pekerja lain.

Dalam solat berjemaah, makmum tidak boleh melebihkan suaranya sehingga mengganggu makmum di sebelah, apatah lagi jika suaranya kedengaran hingga kepada imam. Budaya memperlahankan bacaan dengan niat tidak mengganggu insan di sebelah amat sesuai diterapkan dalam kehidupan bekerja dalam satu pejabat yang saling menghormati dan menjaga hak pekerja lain perlu diberi penekanan.

Kerja berpasukan.

Kelebihan solat berjemaah seperti diterangkan dalam hadis menunjukkan perlu berada dalam satu pasukan. Kerja berpasukan akan melahirkan hasil lebih baik daripada secara individu. Kecemerlangan melalui kerja berpasukan adalah moto yang sering diuar-uarkan menunjukkan kepentingan berjemaah adalah suatu yang sukar dinafikan.

Menepati waktu.

Indahnya Islam mengajar kita bersolat mengikut waktu ditetapkan. Sentiasa melihat jam untuk mengetahui masuk dan habis waktu, mengajar kita bahawa masa suatu yang penting untuk diurus dengan bijak. Waktu pada hari ini mungkin berbeza dengan esok, ini menyedarkan manusia walau seminit berbeza ia amat bermakna dan mungkin menyebabkan solat tidak sah. Mukmin berdisiplin dengan waktu solat tiada masalah dengan pengurusan waktu di pejabat.

Memberi pandangan.

Apabila imam terlupa bacaan atau perbuatan, menjadi tanggungjawab makmum memberi teguran dengan niat zikir supaya kesilapan dapat diperbetulkan. Konsep ini seperti amalan memberi pandangan dalam organisasi. Pendekatan berdiam diri dan menyimpan maklumat untuk diri sendiri pada saat organisasi memerlukan sumbangan idea bernas bukan ajaran dituntut Islam.

Memangku tugas.

Menjadi kebiasaan kepada organisasi jika ketuanya tidak dapat melakukan tugas kerana sesuatu hal, maka ia akan dipangku orang kepercayaan jabatan itu. Dalam solat, apabila imam perlu keluar, makmum di belakang imam secara automatik memangku tugas memimpin makmum lain. Makmum akan kucar-kacir jika tiada imam dan konsep itu juga diamalkan dalam kehidupan kerja.

Mengganti masa.

Dalam kes makmum masbuk (masuk lewat dalam solat), wajib melengkapkan solat dengan cara menggantikan rakaat yang tertinggal. Ketika bekerja, ada ketikanya kita masuk lewat atau keluar awal. Seeloknya kita gantikan waktu yang tertinggal. Mungkin ia tidak ditulis dalam rekod, tetapi kita yang merekodkannya selain malaikat Raqib dan Atid. Jika amalan itu diterapkan, pasti kerja pejabat dapat disiapkan pada waktunya, tanpa perlu kepada kerja lebih masa yang keterlaluan.

Mengambil inisiatif.

Kita diajar memperelokkan solat dengan cara melakukan sunat ab'ad dan hai'ah. Selain itu, suasana yang kurang gangguan, kebersihan dan keselamatan tempat bersolat adalah perkara yang nampaknya kecil, tetapi mempengaruhi mutu solat.

Begitulah juga dengan kerja seharian, boleh ditunaikan pada tahap 'asal siap', namun bukan itu yang diajar Islam. Mukmin harus mengambil inisiatif melakukan tugas sebaik mungkin untuk memaksimumkan keluaran. Indahnya Islam pada segenap gerak laku dan patah bicara. Ia adalah ajaran mencakupi segenap keperluan dan kehendak manusia.

Penulis ialah pensyarah jabatan Otorinolaringologi Kampus Kesihatan, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).