Showing posts with label Keluarga. Show all posts
Showing posts with label Keluarga. Show all posts

Thursday, April 23, 2009

Kasih sayang kunci kesejahteraan keluarga, masyarakat

SIFAT kasih sayang kunci perpaduan manusia. Seorang pemimpin pengasih dan prihatin, menyebabkan rakyat dan pengikut hormat serta menyanjunginya. Seorang ayah penyayang dan prihatin, akan dicintai dan dihormati anak dan isterinya.

Demikianlah rahsia kekuatan kasih sayang dalam kehidupan manusia. Kasih sayang akan mendekatkan antara benua, negara dan mengikat persaudaraan manusiawi sekalipun berlainan bangsa, agama, budaya, warna kulit serta pangkat.

Kasih sayang juga kunci kesejahteraan keluarga dan masyarakat. Oleh itu, penting kita usahakan supaya disayangi dan sekali gus menyayangi orang lain.

Jika kita seorang anak, usahakan kita disayangi ibu bapa. Jika kita ibu bapa, usahakan anak menyayangi kita. Dengan demikian, akan wujud dalam rumah tangga, orang tua sayang pada anak dan anak sayang pada orang tua.

Bagi pasangan suami isteri, kita mesti berusaha supaya pasangan disayangi dan menyayangi kita. Demikian juga dengan kepemimpinan negara, pendidik, ketua jabatan atau pemimpin masyarakat, perlulah berusaha menyayangi dan disayangi orang di bawah jagaan kita demi menjadi pemacu kesejahteraan sejagat.

Ambillah iktibar bagaimana kasih sayang seekor kucing dan ular seperti diceritakan Imam Malik bin Dinar. Menurut beliau ketika hendak makan, tiba-tiba seekor kucing menyambar sepotong daging daripada pinggannya.

Lalu beliau mengekori ke mana ia dibawa. Rupa-rupanya kucing itu mencampakkan daging berkenaan ke dalam lubang berbatu yang dihuni seekor ular buta yang kelaparan. Renungilah, betapa pengasih dan penyayang haiwan itu walaupun berlainan jenis.

Allah sengaja mempamerkan naluri sayang binatang ini untuk menjadi pengajaran manusia. Walaupun ada antaranya bersifat ganas, tetapi kasih sayangnya sangat tinggi.

Isu perceraian yang tinggi di kalangan masyarakat Islam memang membimbangkan, kegagalan ibu bapa mengawal tingkah laku jelek anak, peningkatan gejala sosial, kurangnya semangat kejiranan, tidak mengambil berat masalah masyarakat, seakan petanda perasaan kasih sayang dalam masyarakat sudah hilang.

Sebagai Muslim dan Mukmin berpegang dengan al-Quran dan sunnah, marilah kita menghayati semangat kasih sayang dan muhibah dalam kehidupan seharian demi mencapai keredaan Allah dan kebahagiaan dunia serta akhirat.

Semangat ditunjukkan kepemimpinan melalui ikrar mereka ketika majlis angkat sumpah, adalah tanda kasih sayang pemimpin untuk berbakti kepada rakyat serta memastikan pengurusan negara yang berkesan.

Semoga sumpah mereka akan diterjemahkan melalui tindakan serta gerak kerja yang pastinya menjadi bukti kepada kasih sayang mereka dan usaha ke arah mencari keredaan Allah di dunia dan akhirat.

Firman Allah bermaksud: "Kamu tidak dikira salah oleh Allah mengenai sumpah kamu yang tidak disengajakan, akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat." (Surah al-Maidah, ayat 89)

Wednesday, February 25, 2009

Peguam Syarie Menulis: Penggubalan undang-undang keluarga wajar dipercepat

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
www.peguamsyarie.org


MAHKAMAH Syariah perlu diberi nafas baru supaya lebih �mesra pelanggan� serta hakim dan peguam syarie diberi garis panduan khusus mengenai beberapa isu penting.


Cadangan pindaan beberapa isu perlu diperhalusi, pelaksanaan diseragamkan setiap negeri

PERJUANGAN ke arah kesamarataan antara lelaki dan wanita berkumandang lagi baru-baru ini.

Masih belum luput daripada fikiran kita beberapa tahun lalu kekeliruan dibangkitkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita apabila Rang Undang-Undang Keluarga Islam Pindaan 2006 diluluskan oleh Parlimen.

Dikatakan undang-undang itu menindas wanita. Lantaran desakan NGO wanita itu maka kerajaan mengambil keputusan menangguhkan pelaksanaan undang-undang dibentangkan dan diluluskan Parlimen.

Keputusan itu mendapat bantahan ramai termasuk Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). PGSM berpandangan kerajaan hendaklah melaksanakan undang-undang diluluskan itu dan kemudian boleh dikaji semula atau dipinda jika perlu. Jika ditangguhkan akan ada suatu tempoh yang lama bagi pindaan berikutnya.

Sanggahan PGSM terbukti benar kerana sehingga kini undang-undang berkenaan masih belum dimuktamadkan lagi walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri sudah berjanji untuk mengkaji semula dan melantik pakar bagi penambahbaikan undang-undang itu.

Kajian itu diselia Peguam Negara sendiri. Perdana Menteri mengarahkan perkara itu hendaklah diselesaikan segera. Difahamkan beberapa mesyuarat diadakan dan cadangan menyeluruh sudah digarap bagi penambahbaikan berkenaan.

Semua cadangan penambahbaikan sudah disiapkan jawatankuasa itu. Banyak cadangan baik diutarakan dan disepakati. Hal demikian sudah selesai beberapa tahun lalu, tetapi sehingga kini hasil perbincangan panjang lebar itu masih belum direalisasikan.

Sehingga hari ini selepas hampir tiga tahun berlalu, Rang Undang-Undang Keluarga yang dipinda masih belum dibawa ke Parlimen walaupun jawatankuasa pakar sudah menyiapkannya lebih setahun lalu. Di mana silapnya? Adakah kajian dilakukan masih belum lengkap lagi?

Nampaknya kerajaan tidak menyedari pentingnya undang-undang itu. Undang-Undang Keluarga adalah undang-undang yang perlu disegerakan kerana hal-ehwal kekeluargaan biasanya amat sensitif dan perlu ditangani segera.

Sebenarnya rang undang-undang pindaan yang dibentangkan pada tahun 2006 itu adalah undang-undang seragam yang sudah dipersetujui Majlis Raja-Raja pada mesyuarat Duli-Duli Yang Mulia Raja-Raja Melayu.

Malangnya, Wilayah Persekutuan yang mencadangkan rang undang-undang itu terkebelakang dalam melaksanakannya. Negeri seperti Terengganu, Kelantan dan Selangor sudah pun meluluskan undang-undang itu sejak 2002.

Pada masa ini kebanyakan negeri sudah melulus dan melaksanakan undang-undang keluarga ini. Itulah sebabnya sejak kebelakangan ini kita dapati kurang rasa tidak puas hati berkaitan perbezaan undang-undang keluarga Islam antara negeri di Malaysia.

Rang undang-undang itu sudah dikaji jawatankuasa pakar undang-undang Islam iaitu Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Sivil/Hukum Syarak yang ditubuhkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Jawatankuasa itu terdiri daripada pakar undang-undang dan syariah termasuk wakil NGO wanita.

PGSM mendesak supaya undang-undang yang sudah ditambah baik itu segera dibentangkan di Parlimen untuk dilaksanakan secepat mungkin. Oleh kerana menurut Perlembagaan Persekutuan agama adalah di bawah bidang kuasa negeri, Dewan Undangan Negeri juga perlu meluluskan undang-undang sama supaya segala pindaan dapat diseragamkan dan tiada lagi keresahan undang-undang berbeza antara negeri.

Beberapa isu penting dibincangkan dalam cadangan pindaan berkaitan poligami, nafkah, pembubaran perkahwinan dan harta sepencarian, penting untuk diperhalusi supaya tidak akan ada lagi cemuhan mengatakan undang-undang Islam menindas wanita.

Walaupun hakikat sebenarnya undang-undang Islam tidak pernah mendiskriminasi mana-mana golongan, akibat ketidakfahaman falsafah undang-undang dan perundangan Islam, tanggapan negatif terhadap undang-undang Islam sudah berputik.

Ada pelbagai hak diberikan kepada golongan wanita dalam rang undang-undang itu, malah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa hak wanita jauh lebih banyak diperincikan dalam undang-undang berkenaan berbanding hak lelaki.

Melihat perkembangan semasa, beberapa isu baru juga perlu diberi perhatian. Undang-undang substantif yang baik saja tidak mencukupi kerana di mahkamah, pihak terikat dengan tatacara dan kaedah pembuktian.

Dalam hal demikian, undang-undang tatacara Mahkamah Syariah juga perlu diberi nafas baru supaya lebih 'mesra pelanggan', tidak terlalu formal dan membebankan serta dapat menghasilkan keadilan dengan kadar lebih segera.

Undang-undang keterangan yang memberi garis panduan berhubung pembuktian dan sebagainya juga perlu dipinda bagi menyesuaikan dengan kehendak moden di samping tidak mengetepikan hukum syarak.

Beberapa isu baru seperti ujian DNA, sistem pesanan ringkas, video, keterangan pakar dan sebagainya boleh dimasukkan dalam undang-undang keterangan bagi memastikan ia boleh diterima di Mahkamah Syariah.

Ketiadaan peruntukan berkaitan menyukarkan pembuktian di Mahkamah Syariah pada masa ini. Malah tiada garis panduan khusus berhubung perkara itu bagi menjadi pedoman kepada hakim dan peguam syarie.

Ada banyak lagi perkara perlu diberi penekanan bagi memastikan pihak yang bertikai di Mahkamah Syariah mendapat keadilan dengan kadar segera. Apa menyedihkan ialah apabila Mahkamah Syariah dikatakan lewat atau gagal menjalankan perbicaraan adil, keseluruhan kesalahan itu dibebankan kepada Mahkamah Syariah.

Tanpa menyelidiki latar belakang dan fakta sebenar, sering kali Mahkamah Syariah dijadikan bahan cemuhan pelbagai pihak. Mahkamah Syariah hanyalah pelaksana. Apa dilaksanakan adalah apa yang sudah diperuntukkan oleh undang-undang. Jika undang-undang tidak memberikan kuasa kepada Mahkamah Syariah, maka tiadalah kuasa itu.

Jika pun diberi kuasa, beberapa kekangan dihadapi Mahkamah Syariah seperti kekurangan kakitangan, peruntukan dan bangunan masih lagi menghambat Mahkamah Syariah daripada melaksanakan keadilan.

Namun, dalam kekangan itu, Mahkamah Syariah dapat mengekalkan wibawa mereka dengan cemerlang.

Berbalik kepada undang-undang pindaan di atas, sekali lagi PGSM mendesak kerajaan supaya mempercepatkan penggubalan Rang Undang-Undang Keluarga Islam itu. Sudah terlalu lama undang-undang itu dibincangkan dan sepatutnya ia sudah dibentangkan di Parlimen untuk diluluskan.

Dewan Undangan Negeri di beberapa negeri juga perlu meminda Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam masing-masing bagi menyeragamkannya dengan pindaan terbaru ini.

Selepas daripada itu beberapa undang-undang lain pula perlu juga dipinda seperti Undang-Undang Tatacara Mahkamah Syariah dan Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah. Dengan cara ini mahkamah syariah akan dapat menghasilkan keputusan yang adil dalam kadar segera.

Moga segala cemuhan terhadap Mahkamah Syariah akan menjadi sejarah. PGSM mendesak agar Perdana Menteri dapat memastikan Rang Undang-Undang Keluarga Islam yang sudah ditambah baik ini dapat dibentang di Parlimen sebelum beliau mengundur diri sebagaimana dijanjikan.

Dalam menjadikan syariah asas keadilan dan meletakkan hak kepada yang berhak, langkah segera perlulah diambil bagi memberi keadilan kepada semua pihak yang bertikai di mahkamah syariah tanpa mengira gender, ras dan bangsa.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari laman web www.peguamsyarie.org

Intipati

# Undang-Undang Keluarga adalah undang-undang yang perlu disegerakan kerana hal-ehwal kekeluargaan biasanya amat sensitif dan perlu ditangani segera.

# Beberapa isu penting dibincangkan dalam cadangan pindaan berkaitan poligami, nafkah, pembubaran perkahwinan dan harta sepencarian, penting untuk diperhalusi supaya tidak akan ada lagi cemuhan mengatakan undang-undang Islam menindas wanita.

# Undang-undang keterangan yang memberi garis panduan berhubung pembuktian dan sebagainya juga perlu dipinda bagi menyesuaikan dengan kehendak moden di samping tidak mengetepikan hukum syarak.

# Tiada garis panduan khusus berhubung isu baru seperti ujian DNA, sistem pesanan ringkas, video, keterangan pakar dan sebagainya bagi menjadi pedoman kepada hakim dan peguam syarie.

# Undang-Undang Tatacara Mahkamah Syariah dan Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah perlu dipinda supaya menghasilkan keputusan lebih adil.

Saturday, February 9, 2008

Lima ciri perkukuh institusi keluarga

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria

HIDUP berkeluarga adalah fitrah setiap manusia yang dicipta Allah. Hidup berpasangan atau berkeluarga amat digalakkan Islam kerana pembentukan keluarga bukan sekadar memenuhi fitrah tabii manusia, tetapi juga mempunyai matlamat lebih penting iaitu untuk mendapat keredaan Allah.

Melalui institusi kekeluargaan setiap individu yang menjadi anggotanya akan dapat dibimbing dan dibantu antara satu sama lain dalam menunaikan tanggungjawab diamanahkan.

Kepentingan berkeluarga dititikberatkan oleh Islam sejak daripada awal kewujudan manusia malah, menjadi lebih penting apabila masyarakat hari ini diserang pelbagai keruntuhan sosial yang semakin membimbangkan.

Ini diburukkan lagi dengan kesibukan mengejar keuntungan material dan harta benda melebihi perhatian yang diberikan kepada keluarga. Keluarga yang bertakwa adalah keluarga yang mencontohi keperibadian dan akhlak ditunjukkan Rasulullah SAW.

Ini dibuktikan walau bagaimana sibuknya Baginda menjalankan tugas sebagai Rasul dan pemimpin negara, tanggungjawab terhadap keluarga tidak sekali-kali diabaikan.

Ciri-ciri keluarga yang bertakwa ialah:

Bertanggungjawab

Semua anggota keluarga mempunyai tanggungjawab sesuai dengan kedudukannya dalam keluarga. Suami, isteri, bapa, ibu atau anak mempunyai tanggungjawab antara satu sama lain. Suami atau bapa mempunyai tanggungjawab berat untuk menjaga dan membimbing ahli keluarga supaya sentiasa berada di jalan yang diredai Allah. Ini kerana, keluarga yang bahagia tertegak atas dasar amanah dan tanggungjawab suami atau bapa selaku ketua keluarga.

Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya terdiri daripada malaikat yang kasar dan keras dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mengerjakan apa yang diperintahkan." - (Surah at-Tahrim, ayat 6)

Amanah

Amanah dan jujur dalam setiap tindakan perlu bagi memastikan keluarga yang dibentuk terus kekal serta menikmati ketenangan dan kebahagiaan sepanjang masa. Ini dilakukan dengan memberikan iltizam atau komitmen berterusan serta ikhlas dalam menunaikan kewajipan kepada Allah selain memastikan hak setiap ahli keluarga turut dipenuhi.

Sebagai bapa atau ibu, kita perlu menanamkan rasa cinta terhadap agama iaitu kepada Allah dan Rasul-Nya dalam diri setiap ahli keluarga. Antara nilai amanah yang harus dipenuhi termasuklah mengambil berat mengenai solat untuk membina ketakwaan dan sahsiah yang baik.

Sembahyang juga berupaya menggalakkan seseorang itu melakukan kebaikan dan mengawal diri daripada melakukan keburukan.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada melakukan perkara yang jahat dan mungkar." - (Surah al-Ankabut, ayat 45)

Mempunyai kekuatan

Setiap ahli keluarga perlu memiliki kekuatan peribadi untuk sentiasa bersifat teguh dalam mengharungi segala bentuk cabaran dan dugaan yang bakal menimpa. Kekuatan peribadi dapat memperkukuhkan lagi ikatan kekeluargaan.

Ini dapat diterjemahkan melalui sikap tenang, sabar dan sentiasa bersyukur dalam menghadapi apa juga ujian serta dugaan. Ini termasuklah saling memohon dan memberi maaf sesama ahli keluarga serta sentiasa beristighfar (memohon ampun) kepada Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya dua tabiat yang dicintai oleh Allah adalah murah hati dan sabar."

Mempunyai wawasan

Sebagai bapa atau ibu, masing-masing perlu berbincang untuk menetapkan wawasan yang ingin dan mesti dicapai. Dengan wawasan yang jelas, sudah tentu perjalanan hidup dilalui akan lebih terarah dan dapat memandu keluarga mengorak langkah ke arah kejayaan bersama.

Bagi merealisasikan wawasan itu, setiap anggota keluarga perlulah dari semasa ke semasa bermuhasabah untuk melihat sama ada keluarganya berada di jalan yang betul, diredai Allah atau sebaliknya.

Berakhlak mulia

Ibu bapa dan anak perlu bekerjasama memupuk jati diri untuk menjadi insan yang jujur dan berpekerti mulia. Setiap anggota bertanggungjawab memelihara maruah diri dan keluarga seperti tidak terbabit dalam aktiviti tidak berfaedah atau pergaulan tidak sihat.

Usaha mengukuhkan institusi keluarga, anak juga perlu melaksanakan tanggungjawab mereka. Seperti seorang bapa selaku ketua keluarga bertanggungjawab mendirikan keluarga bertakwa, Islam juga menganjurkan supaya anak bertanggungjawab terhadap kedua ibu bapa.

Tidak dinafikan, tanggungjawab ibu bapa terhadap anak terlalu besar hingga tidak dapat dibayar dengan wang ringgit dan harta benda yang melimpah ruah. Jasa mereka tidak akan mampu untuk dibalas.

Sebagai anak hendaklah kita mengenang jasa mereka, menjalankan kewajipan dan tanggungjawab dengan sempurna dengan mentaati ibu bapa selepas ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya.

Islam menegaskan, antara dosa besar yang akan ditanggung seseorang ialah perbuatan menderhaka kepada kedua ibu bapa. Antara tanda penderhakaan ialah menyinggung perasaan mereka dengan perkataan bernada bengis, kasar dan kesat serta memandang diri sama kedudukan dengan mereka.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sembahlah Allah dan jangan menyengutukannya serta kepada kedua-dua ibu bapa hendaklah kamu berbuat baik." - (Surah an-Nisa', ayat 36)

Dalam soal ketaatan ini, Islam melebihkan ketaatan seseorang anak itu terhadap ibunya melebihi ketaatan kepada bapa. Ibulah yang terpaksa menanggung penderitaan ketika mengandung, melahirkan, menyusukan, mengurus segala keperluan serta mendidiknya.

Rasulullah SAW menceritakan melalui sabdanya yang bermaksud: "Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW seraya bertanya: "Wahai Rasulullah, siapakah yang lebih berhak untuk aku mempergaulinya dengan baik?" Jawabnya: "Ibumu." Ditanya lagi kemudian siapa pula? Jawab Rasulullah: "Ibumu." Kemudian siapa? Jawabnya, "Ibumu." "Kemudian siapa?" Rasulullah menjawab, "Ayahmu."

Anak juga bertanggungjawab menjaga ibu bapa apabila usia mereka sudah lanjut. Seorang anak tidak sepatutnya melupai jasa ibu bapa membesarkan mereka dan ibu bapa yang uzur mesti diberi perhatian dalam semua aspek kehidupan seperti makan, minum serta perbelanjaan harian mereka.

Apabila ibu bapa sudah meninggal dunia, anak hendaklah mendoakan mereka.

Kebaktian seorang anak tidak terhenti apabila ibu bapa mereka meninggal dunia. Kebaktian ini dapat diteruskan dengan memberi sedekah dan membaca al-Quran serta mendoakan supaya mereka diampunkan Allah dan ditempatkan di kalangan orang yang dikasihi-Nya.

Institusi keluarga adalah institusi penerus yang bertanggungjawab melahirkan generasi selanjutnya menerajui tugas sebagai khalifah di muka bumi ini. Kejayaan atau kegagalan rumah tangga secara tidak langsung akan memberi kesan kepada pembentukan negara. Kesejahteraan negara hanya akan tercapai jika setiap keluarga dapat melahirkan generasi yang berwibawa.

INTI PATI

Semua anggota keluarga ada tanggungjawab sesuai dengan kedudukannya dalam keluarga. Suami, isteri, bapa, ibu atau anak mempunyai tanggungjawab antara satu sama lain.

Amanah dan jujur dalam setiap tindakan perlu bagi memastikan keluarga yang dibentuk terus kekal serta menikmati ketenangan dan kebahagiaan sepanjang masa.

Setiap ahli keluarga perlu memiliki kekuatan peribadi untuk sentiasa bersifat teguh dalam mengharungi segala bentuk cabaran dan dugaan yang bakal menimpa.

Setiap ahli keluarga perlu memiliki kekuatan peribadi untuk sentiasa bersifat teguh dalam mengharungi segala bentuk cabaran dan dugaan yang bakal menimpa.

Ibu bapa dan anak perlu bekerjasama memupuk jati diri untuk menjadi insan yang jujur dan berpekerti mulia.