Showing posts with label Anak Yatim. Show all posts
Showing posts with label Anak Yatim. Show all posts

Saturday, September 6, 2008

Pendidikan anak mangsa tsunami tak dilupakan

Oleh Hasliza Hassan (Yang menyertai rombongan Yapeim ke Aceh, baru-baru ini)
hasliza@bharian.com.my


TIMBA ILMU: Pelajar Pesantren Modern Al-Falah Abu Lam U ketika belajar di sesi petang.


Yapeim turut biayai 100 anak yatim di Pesantren Moden Al-Falah Abu Lam U

FIRMAN Allah yang bermaksud: "Dan mereka bertanya kepadamu mengenai anak yatim, jawablah: Memperbaiki keadaan hidup mereka adalah suatu amalan yang baik. Dan jika kamu campurkan (makanan dan minuman kamu dengan makanan dan minuman mereka) kerana mereka adalah saudara kamu, dan Allah mengetahui orang yang merosak tidak jujur daripada orang yang membuat kebaikan (jujur) dan andainya Allah kehendaki, tentulah Dia mengenakan tugas yang berat ke atas kamu. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa dan Bijaksana." - (Surah al-Baqarah, ayat 220)

Memperbaiki keadaan hidup anak yatim yang digalakkan kepada umat Islam, membolehkan anak yatim mangsa tragedi tsunami dan miskin di Aceh kini hidup selesa di pesantren atau sekolah pondok yang ada di sana.

Terima kasih kepada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) yang menubuhkan Yayasan Pembangunan Anak Yatim/Miskin (Pemangkin) bagi membela nasib anak yatim dan miskin melalui tindakan sistematik bersifat jangka panjang.

Melalui hubungan erat dengan Yayasan Pembangunan Anak Yatim Antarabangsa (IODEF) di Aceh, Yapeim melaksanakan program pembangunan kira-kira 10,000 anak yatim dan miskin untuk jangka masa 10 tahun.

Rombongan Yapeim bersama media ke Aceh baru-baru ini meninjau perkembangan usaha pembangunan anak yatim dan miskin. Bantuan Yapeim kepada kumpulan sasar itu ialah dengan menyediakan bantuan pendidikan kepada pelajar berpotensi melanjutkan pengajian pada peringkat menengah hingga ke universiti.


TIDAK KETINGGALAN: Pelajar perempuan dalam pengajian pada sesi petang.


Kunjungan ke Pesantren Moden Al-Falah Abu Lam U yang menempatkan anak yatim dan miskin mangsa tsunami memperlihatkan kemajuan dicapai pesantren yang turut menempatkan 100 pelajar dibiayai Yapeim melalui IOEDF.

Pesantren Moden Al-Falah Abu Lam U adalah pondok tradisional yang diasaskan Tgk Abdullah Umar Auf Lam U yang terkenal dengan gelaran Abu Lam U, iaitu anak kepada ulama Tgk Chik Umar Lam U yang disuruh berhijrah ke Yan, Kedah dan meninggal dunia di sana.


MAKMURKAN RAMADAN: Pelajar bertadarus al-Quran selepas solat Subuh.


Pesantren tradisional itu kemudian dimodenkan pada 1992 dan kawasan pondok itu kini memiliki infrastruktur agak lengkap termasuk bangunan sekolah, asrama, dewan makan, dewan serba guna serta masjid yang masih belum siap sepenuhnya tetapi sudah digunakan.

Rombongan Yapeim bersama media sempat mengikuti aktiviti 570 anak yatim dan miskin yang menghuni Pesantren Moden Al-Falah Abu Lam U menyambut Ramadan. Mereka bangun seawal 4.30 pagi untuk bersahur dan kemudian bersiap sedia menunaikan solat Subuh diikuti tadarus al-Quran.

Jika hari biasa, persekolahan bermula jam 7.30 pagi tetapi sepanjang Ramadan pelajar dibenarkan memulakan persekolahan pada jam 8 pagi. Selain pelajaran agama, pelajar turut diajar subjek mengikut kurikulum sekolah ditaja kerajaan termasuk bahasa Inggeris dan Matematik.

Pengetua Pesantren Moden Al-Falah Abu Lam U, Saifuddin Sa'dan, 40, berkata pihaknya menghargai kesediaan Yapeim menyelaras bantuan kepada pesantren berkenaan dan pesantren lain yang ada di Aceh.

Katanya, menjadi harapan semua anak yatim dan miskin mangsa tsunami di sana untuk mendapat sumbangan bagi membiayai pendidikan mereka supaya dapat melakukan perubahan kepada masyarakat dan Aceh.

"Wawasan kita ialah meningkatkan mutu pendidikan supaya dapat melahirkan anak yang berkualiti. Kita berharap akan ada perubahan dalam masyarakat, yang rendah boleh naik ke peringkat pertengahan dan yang miskin tidak mengemis lagi.

"Kerana itu kami di Pesantren Moden Al-Falah Abu Lam U menerapkan falsafah kepada anak-anak, sebanyak mana pun sumbangan diterima tetapi jika tidak ada kemahuan, semua tidak akan memberi hasil diharapkan," katanya.

Sementara itu, pelajar sekolah menengah atas (SMA), Dara Umairo Zaini Abas, 17, berkata keluarganya membiayai sendiri pendidikan sekolah menengah pertama (SMP) tetapi selepas tsunami, beliau mendapat biasiswa untuk melanjutkan pengajian di pesantren berkenaan.

Beliau yang kehilangan ibu, dua adik perempuan dan seorang adik lelaki ketika tragedi tsunami berterima kasih kepada Yapeim serta rakyat negara ini yang menghulurkan bantuan bagi memastikan anak yatim dan miskin di Aceh terus mendapat peluang belajar.

Bercita-cita ingin berjaya dalam bidang teknologi maklumat, Dara Umairo berazam mengubah nasib keluarga yang kini hanya tinggal ayah serta adik lelaki, Fuadi Umam yang kini berusia 13 tahun.

"Mungkin ini hikmah daripada tragedi yang berlaku kerana saya berpeluang melanjutkan pengajian bersama anak yatim dan miskin mangsa tsunami lain di pesantren ini. Harapan kami akan ada pihak yang terus membantu supaya adik yang lain juga berpeluang," katanya.

Saturday, February 16, 2008

RALK beri perlindungan kepada anak yatim

ANAK yatim memerlukan perhatian sewajarnya dalam meneruskan kehidupan sebagaimana dirasai anak yang mempunyai ibu bapa. Penghormatan dan bantuan kepada anak yatim mesti dijaga terutama mereka yang terdiri daripada keluarga susah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik rumah kaum muslimin ialah rumah yang ada anak yatim yang diasuh dengan baik dan sejahat-jahat rumah kaum muslimin adalah rumah yang ada anak yatim yang selalu diganggu dan disakiti hatinya.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Menyedari nikmat dan kesenangan yang dimiliki perlu dikongsi bersama, tercetuslah idea Md Zawawi Ramli dan isterinya, Rabaah Abdul Aziz untuk menubuhkan Rumah Amal Limpahan Kasih (RALK) bagi membantu insan kurang bernasib baik.

“Kita tidak perlu menunggu sehingga menjadi kaya baru boleh membantu orang yang susah, fakir miskin dan mereka yang memerlukan. Dengan kehidupan serba sederhana seperti ini pun kita masih boleh membantu. Apa yang penting adalah niat yang ikhlas,” katanya.

RALK ditubuhkan pada 2006 bertujuan memberi perlindungan kepada anak yatim beroperasi di Bandar Bukit Puchong, Selangor sementara asrama lelaki ditempatkan di Kampung Sri Aman, Puchong.

RALK kini memberi perlindungan kepada 53 ahli terdiri daripada anak yatim berusia antara dua hingga 16 tahun, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan warga emas.

Rabaah berkata, walaupun tidak semewah rumah kebajikan lain, RALK menyediakan suasana kehidupan selesa sebagai tempat perlindungan, selain membimbing penghuninya mengenal erti kehidupan.

Katanya, beliau dan pengurusan RALK bertekad membantu membawa sinar baru dalam kehidupan insan kurang bernasib baik dengan membekalkan mereka ilmu lahiriah dan kerohanian supaya dapat membina kecemerlangan pada masa depan.

“Kita berharap anak ini nanti memiliki jati diri dan kekuatan jiwa yang kental sehingga mampu menjadi model kepada golongan senasib dengan mereka yang akhirnya akan berkemampuan menolong orang lain pula,” katanya.

Selain memberi perlindungan kepada anak yatim, RALK turut membela nasib ibu tunggal serta golongan teraniaya dengan mendaftarkan mereka kepada pihak bertanggungjawab untuk menerima zakat.

Rabaah berkata, bagi menjana pendapatan untuk menampung keperluan, RALK menjalankan aktiviti perniagaan bersesuaian antaranya projek nurseri bunga, perkhidmatan pembersihan dari rumah ke rumah dan katering.

Pada masa sama, mereka berusaha mendapatkan keluarga angkat yang sudi menaja keperluan pendidikan anak yatim menerusi projek Satu Keluarga Satu Anak Yatim menerusi laman web RALK.

Anak angkat itu tidak akan tinggal dengan keluarga angkat mereka tetapi dibenarkan bermalam di rumah keluarga angkat atau pergi bercuti.

RALK juga menubuhkan Kelab Anak Yatim seMalaysia (KAYM) yang ahlinya adalah daripada anak yatim yang tinggal di rumah kebajikan atau bersama keluarga masing-masing. Penubuhan KAYM bertujuan memberi peluang anak yatim berinteraksi sesama mereka dan melakukan pelbagai aktiviti bersama.

“Ahli kelab akan dijemput mengikuti aktiviti yang ditaja pelbagai pihak secara bergilir. Mereka juga mendapat pembiayaan perubatan jika perlu dan bantuan persekolahan daripada RALK. Kita akan mengumpul maklumat mereka,” katanya.

Katanya, RALK berterima kasih kepada pihak yang memberi sokongan dan bantuan meringankan usaha menguruskan rumah berkenaan dan mereka sentiasa mengalu-alukan sumbangan orang ramai.