Showing posts with label (A) Nik Mustapha Nik Hassan. Show all posts
Showing posts with label (A) Nik Mustapha Nik Hassan. Show all posts

Friday, February 19, 2010

Peniaga Muslim dituntut utama kebajikan masyarakat

Oleh Nik MUstapha Nik Hassan

Islam tolak amalan perniagaan bersifat kepentingan individu semata-mata

PENIAGA Muslim perlu memiliki pendekatan niaga yang luhur untuk berjaya. Amalan berniaga sangat dituntut oleh agama, lebih-lebih lagi pembabitan berniaga hendaklah membawa kejayaan kepada peniaga. Kejayaan berniaga boleh diukur melalui jumlah keuntungan.

Yang menarik mengikut Islam, keuntungan berskala besar dan berterusan dapat diperoleh jika barangan dan perkhidmatan yang diperniagakan mendapat sambutan yang hebat secara besar-besaran. Dengan kata lain, perniagaan itu mampu menguasai pasaran yang besar termasuk di peringkat antarabangsa.

Matlamat itu mampu diperoleh melalui niat dan pendekatan menjalani perniagaan oleh peniaga yang luhur menepati kehendak agama. Kejituan niat dan pendekatan boleh diamalkan jika pada awal permulaan, perniagaan niat peniaga ialah untuk berusaha meningkat kebajikan kepada pengguna. Dengan kata lain, peniaga terbabit mengambil pendekatan dalam amalan perniagaannya bahawa tujuan dia berniaga untuk menyumbang kepada kebajikan hidup pengguna.

Pendekatan berkenaan perlu kepada kejujuran hati dan kreativiti dalam memahami keperluan dan kehendak kehidupan masyarakat. Pada akhirnya yang hendak dicapai ialah melalui amalan perniagaannya, keperluan dan kehendak masyarakat dapat dipenuhi.

Natijah daripada keluhuran niat dan kebijaksanaan berniaga hasilnya mampu memberi keuntungan besar kepada peniaga. Keuntungan besar diperoleh melalui kebolehan peniaga terbabit menguasai pasaran melalui pembesaran jualan dengan mengenakan harga berpatutan. Pendekatan ini boleh dirumuskan sebagai 'keuntungan diperoleh melalui tanggungjawab kepada masyarakat.'

Jika kita meneliti pendekatan dalam perniagaan, pendekatan ini menganjurkan kepada keharmonian antara kepentingan atau hak peniaga dan sumbangan kebajikan kepada masyarakat. Pendekatan hidup berharmoni ini adalah asas utama kepada penyusunan dan pembinaan tamadun masyarakat manusia oleh sektor perniagaan.

Keuntungan dalam amalan perniagaan adalah hasil usaha gigih serta bijak (berkesan) oleh seseorang peniaga. Setiap amalan perniagaan tidak semestinya menghasil keuntungan dan ada kala peniaga terpaksa menghadapi kerugian.

Untung dan rugi dalam perniagaan adalah proses yang lumrah. Justeru, keuntungan yang besar melalui kemampuan mencatat jualan besar bukan sesuatu yang perlu dipandang serong. Keuntungan besar diperoleh melalui niat asalnya yang luhur dan kebijaksanaan peniaga menjalani perniagaannya.

Jika kegiatan perniagaan tidak menyalahi agama dan keuntungan besar diperoleh, ia menggambarkan satu kejayaan yang mulia oleh peniaga yang boleh dibanggakan. Perolehan keuntungan perniagaan melalui pendekatan di atas jika menjadi budaya di kalangan ahli peniaga Muslim, kesan yang sangat hebat kepada ekonomi masyarakat Islam akan menjadi besar. Peniaga Muslim memperoleh kejayaan dalam perniagaan mereka pada skala besar.

Islam adalah agama untuk semua umat manusia. Segala amalan perniagaan mesti mampu memberi kesan positif yang besar kepada keseluruhan masyarakat. Pendekatan perniagaan seperti dianjurkan Islam mampu memberi sumbangan besar kepada kebajikan keseluruhan masyarakat.

Membina budaya niaga yang positif seperti di atas pada masa kini bukan perkara mudah dan dapat dihasilkan dalam jangka masa pendek. Tambahan lagi dalam budaya amalan perniagaan semasa di mana kepentingan peniaga secara individu menjadi teras utama.

Memberi penumpuan

keterlaluan terhadap kepentingan individu, maka lahirlah pendekatan perniagaan bersifat memaksimumkan keuntungan dalam jangkamasa singkat. Budaya niaga yang menumpu kepada kepentingan peniaga secara individu menyebabkan wujudnya beberapa permasalahan kepada masyarakat.

Salah satu penyebab kepada kemelut ekonomi global semasa adalah disebabkan pendekatan amalan perniagaan bersifat kepada kepentingan individu peniaga. Kebajikan masyarakat adalah persoalan yang tidak penting.

Pendekatan yang dianjurkan Islam dalam amalan perniagaan menuntut golongan peniaga bahawa mereka memiliki tanggungjawab kepada kebajikan masyarakat dalam amalan perniagaan mereka.

Pendekatan Islam yang merangsang individu supaya bertanggungjawab kepada kebajikan masyarakat adalah satu pendekatan yang bersesuaian dengan fitrah menyusun kehidupan bermasyarakat sehingga wujudnya tamadun manusia yang mulia. Pendekatan ini saja yang mampu menjamin keharmonian dan kestabilan ekonomi tercapai.

Friday, January 22, 2010

Terjemah pendekatan Islam dalam urusan perniagaan

Oleh Nik Mustapha Nik Hassan


PRODUK halal mempunyai nilai beratus bilion ringgit di seluruh dunia dan wajar dikuasai umat Islam sendiri. - Gambar hiasan


Kebajikan kepada masyarakat, ekonomi negara jadi matlamat utama

PERANAN dimainkan seseorang usahawan dalam membangun sesebuah masyarakat adalah besar. Nabi SAW dalam sebuah hadis ada bersabda dengan maksud, "Seorang pedagang jujur akan dibangkit pada hari akhirat bersama dengan yang soleh dan yang mati syahid" (At-Tirmizi dan Al-Hakim daripada Abi Said).

Kejujuran di sini bukan hanya terhad kepada amalan dalam berurusan saja, malah turut menuntut usahawan Melayu semoga berperanan secara berkesan membangun sebuah masyarakat yang mulia dan bertamadun. Justeru, arahan Nabi SAW perlu difahami dalam konteks sedemikian.

Dalam sebuah hadis lain, Nabi SAW turut bersabda dengan maksud "Kegiatan perniagaan adalah suatu kegiatan yang sangat dituntut kerana dalam kegiatan itu, ada 90 peratus rezeki" (Riwayat Tirmizi). Mengambil pengajaran daripada arahan Nabi SAW itu, usahawan Melayu perlu memahami bahawa pembabitan mereka dalam urusan perniagaan adalah satu tugasan keagamaan demi memperkuat kedudukan ekonomi ummah dalam negara.

Tanpa kekuatan ekonomi, masyarakat Melayu akan lemah dan lebih membimbangkan agama Islam itu sendiri akan tercabar. Justeru, untuk ummah maju dan menjadi contoh ikutan masyarakat keseluruhannya, kekuatan ekonomi bangsa Melayu perlu diperkuatkan. Pencapaian ini hanya mampu diperoleh jika masyarakat Melayu benar-benar memahami dan menterjemahkan pendekatan Islam dalam mengendalikan urusan perniagaan.

Produk dan perkhidmatan yang diniagakan juga perlu bermutu dengan harga pasaran berpatutan. Natijahnya, keluasan penguasaan pasaran bagi produk terbabit akan menjadi kenyataan. Jumlah pasaran yang besar akan diterjemah kepada jumlah jualan yang meningkat dan jika kos pengurusan berkesan dan cekap mampu diperoleh, natijah akhir yang akan diperoleh usahawan Melayu ialah keuntungan besar.

Strategi pilihan, 'berniaga untuk menyumbang kepada kebajikan masyarakat' memerlukan kepada kemampuan bersaing melalui kualiti proses pengeluaran yang cekap, produk bermutu dan harga produk berpatutan. Pendekatan strategi pilihan ini dalam perniagaan lebih menepati semangat akhlak Islam. Budaya niaga membicarakan bagaimana aliran pemikiran, peranan dan cara sesebuah masyarakat berniaga.

Bagi Islam, budaya niaga perlu bersandarkan kepada falsafah tauhid. Ia memberi satu perspektif bermasyarakat dengan melihat penyusunan masyarakat manusia memenuhi pelbagai keperluan dan mengutamakan kesepaduan di antara akhlak dengan segala kegiatan manusia, termasuk urusan perniagaan.

Tauhid menganjur budaya niaga yang berpaksi kepada semangat keadilan dan muafakat. Oleh itu, urusan perniagaan hendaklah dijayakan dalam konteks untuk mewujud satu masyarakat yang bertamadun mulia, bukan untuk mewujud budaya rakus dalam me-ngendali amalan perniagaan menerusi amalan penindasan atau penipuan untuk mengaut keuntungan. Budaya niaga Islam mempunyai ciri berikut:

# Pertama, amalan berniaga adalah tuntutan keagamaan. Justeru, organisasi dan usahawan Melayu seharusnya sentiasa berusaha meningkatkan mutu prestasi perniagaannya. Mutu prestasi perniagaan adalah nilai positif yang mampu sentiasa dimajukan. Pandangan ini memerlukan kepada usaha mewujudkan satu budaya semoga mempertingkatkan mutu dan membesar saiz perniagaan adalah usaha berterusan untuk menyumbang kepada kebajikan masyarakat.

Budaya niaga Islam melalui mekanisme dalaman menuntut bahawa keimanan dan prestasi perniagaan dengan itu ada hubung kait yang rapat. Bagi seseorang usahawan Melayu yang ingin menghayati Islam, beliau seharusnya turut berusaha meningkatkan prestasi niaga dari semasa ke semasa.

# Kedua, menepati semangat tauhid yang menganjurkan bahawa sifat yang ada dalam diri manusia berada dalam satu kesatuan, usahawan Melayu seharusnya menjaga dan mempertingkatkan akhlak perilaku dirinya dalam menjalani amalan perniagaannya. Peningkatan prestasi dan saiz niaga seharusnya dicapai melalui peningkatan akhlak usahawan. Bahkan penghayatan kepada akhlak Islam adalah faktor utama kepada kejayaan dalam perniagaan.

Islam melihat tuntutan akhlak sebagai sesuatu yang positif dan berdaya maju. Akhlak membentuk sikap dan daya penggerak positif kepada kemajuan perniagaan dari semua dimensi. Oleh itu, agama menuntut umatnya supaya sentiasa kreatif dan bersikap proaktif. Tanpa amalan akhlak itu dalam urusan perniagaan, prestasi niaga akan menurun.

# Ketiga, budaya niaga Islam memberi tekanan tinggi kepada disiplin. Umat Islam, melalui penghayatan ibadat khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji sepatutnya memiliki disiplin tinggi. Masyarakat tanpa disiplin akan pasti menghadapi pelbagai masalah. Kejayaan dalam urusan perniagaan memerlukan daya juang tinggi melalui disiplin diri yang tinggi. Kejayaan bukan dicapai melalui jalan singkat dan ia memerlukan ketekunan dan kesabaran.

# Keempat, semangat tauhid menganjur kepada amalan berniaga secara bermuafakat dan berpasukan. Jalinan kerjasama di kalangan ahli perniagaan sangat penting. Budaya muafakat akan melicinkan perjalanan urusan perniagaan. Kos pengeluaran akan dapat dikurangkan dan kebajikan itu dapat dinikmati keseluruhan masyarakat. Budaya niaga Islam memberi tumpuan kepada pencapaian matlamat akhir iaitu kebajikan kepada masyarakat dan ekonomi negara.

Daripada perbincangan di atas, jelas kepada kita bahawa usahawan Melayu perlu memahami kepada pendekatan mengendali urusan perniagaan mengikut Islam. Ramuan yang dimaju di atas boleh meneraju usahawan Melayu memperoleh kejayaan.

Datuk Nik Mustapha ialah Ketua Pengarah Ikim

Friday, January 8, 2010

Gejala sosial halang kemajuan ekonomi

Oleh Nik Mustapha Nik Hassan

Suasana keluarga, masyarakat penting wujud keadaan aman dan tenteram

DUNIA menghadapi kemelut ekonomi. Pakej rangsangan ekonomi yang diambil oleh negara-negara di dunia membolehkan ekonomi kembali bernafas. Namun banyak penganalisis ekonomi bimbang keredaan keadaan ini berbentuk sementara dan pada penggal kedua tahun ini keadaan sebenar ekonomi sukar hendak diramalkan.

Ada berpandangan pakej rangsangan perlu diteruskan. Persoalannya dari mana dana untuk membiayai dasar rangsangan terbabit. Kita juga turut menyaksikan kebergantungan keadaan ekonomi sesebuah negara dengan negara lain makin menjadi satu hakikat.

Negara yang mencapai pertumbuhan ekonomi pesat satu ketika dulu terdiri dari negara yang mampu mengeksport barangan dan perkhidmatan mereka, khususnya kepada negara Amerika Syarikat dan Eropah. Dalam suasana negara Amerika Syarikat dan Eropah menghadapi kemelesetan ekonomi, negara pengeksport seperti Jepun turut terjejas dengan kadar yang teruk.

Malaysia sebuah negara kecil dari segi saiz penduduk dan aktiviti ekonomi turut menghadapi kesan ekonomi akibat kemelesetan ekonomi negara pengimport barangan dan perkhidmatannya. Dengan hakikat sedemikian, usaha untuk memantap kedudukan ekonomi Malaysia perlu kepada pendekatan yang lebih berkesan.

Pada 2008, sektor eksport Malaysia menyumbang sebanyak RM663.51 bilion kepada ekonomi negara. Begitu juga sektor import yang mencatat RM521.5 bilion kepada ekonomi negara.

Tidak dapat dinafikan bahawa jumlah eksport yang bertambah besar mampu memberi kesan bermanfaat kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Tetapi dalam suasana keadaan ekonomi negara pengimport barangan dan perkhidmatan negara yang tidak menentu akibat ketidakstabilan keadaan ekonomi, Malaysia perlu memikirkan pendekatan baru yang mampu menjamin keadaan ekonomi kita berada dalam keadaan stabil dan mantap pada tahap yang membolehkan kebajikan rakyat dipelihara.

Pendekatan kepada pentingnya pertumbuhan ekonomi negara dicapai melalui tumpuan kepada pembesaran sektor eksport perlu kepada kajian semula.

Kestabilan ekonomi antarabangsa pada masa kini sukar untuk dicapai secara berterusan.

Falsafah dan sistem penyusunan ekonomi kapitalis adalah penyebab kepada ketidakstabilan itu.

Ia ditambah dengan pandangan dan amalan hidup masyarakat mereka. Hedonisme, iaitu matlamat kehidupan untuk memenuhi nafsu mempengaruhi matlamat hidup mereka. Kerakusan gelagat individu menjadi budaya hidup mereka. Ideologi ini menuntut mereka bahawa manusia memiliki sifat berkenaan.

Justeru, pendekatan penyusunan ekonomi menepati laisez faire akan menjerumuskan kepada suasana penindasan antara individu atau negara demi memenuhi matlamat hidup.

Kerakusan kepada penggunaan sumber alam tanpa batasan tanggungjawab menjadi hakikat sehingga alam persekitaran menghadapi pencemaran dan suhu cuaca tidak menentu.

Pada peringkat kehidupan masyarakat, amalan hidup bebas mewujudkan keruntuhan kepada institusi keluarga. Amalan perkahwinan dalam membina institusi keluarga makin terhakis.

Yang mutakhirnya hasil daripada kebebasan itu, tingkah laku manusia tanpa panduan agama membenarkan perkahwinan sejenis sebagai amalan yang boleh diterima.

Dengan hakikat demikian, keruntuhan tamadun manusia akan terjadi, sekali gus menjejas keadaan ekonomi.

Dalam suasana kepincangan amalan kehidupan, sukar keadaan ekonomi akan dapat dibangunkan secara sempurna. Kemajuan penyusunan dan prestasi ekonomi memerlukan kepada keharmonian kehidupan bermasyarakat.

Aspek ekonomi adalah salah satu daripada perkara masyarakat. Akhirnya krisis demi krisis ekonomi akan menjadi sesuatu yang lazim. Kesannya rakyat akan bertambah menderita.

Untuk menyelamat kebajikan kehidupan rakyat, kita perlu kepada usaha memantapkan kedudukan ekonomi dalaman (ekonomi domestik). Walaupun jumlah pasaran dalaman kita kecil, jumlah sebenar bergantung kepada kuasa membeli dan bilangannya.

Jika semua rakyat kita berada dalam kemampuan ekonomi yang baik, saiz pasaran sejumlah 26 juta tidak begitu kecil. Oleh itu usaha ke arah matlamat berkenaan memerlukan penumpuan kepada pendekatan berikut:

Pertama, pengagihan peluang dan pendapatan perlu dirancang secara saksama semoga semua boleh berperanan secara berkesan. Ia memerlukan kepada dasar pengagihan ekonomi yang sempurna melalui dasar fiskal dan kewangan. Sesebuah ekonomi yang mantap mesti mampu menggembleng semua tenaga rakyat.

Justeru, penawaran tenaga buruh yang bermutu perlu ditingkat secara berterusan. Ia memerlukan kepada sistem pendidikan dan latihan yang mampu melahirkan modal insan yang memiliki pandangan hidup yang progresif, amalan kelakuan atau akhlak yang mulia dan kecapaian kemahiran dan kepakaran bekerja yang tinggi.

Jika sistem pelajaran kita gagal melahir ciri-ciri itu secara komprehensif, hasrat untuk membudayakan amalan kreativiti dan inovasi akan hanya menjadi slogan.

Kebajikan ekonomi rakyat memerlukan kepada dasar ekonomi yang mampu mencapai kos sara hidup rakyat yang rendah. Usaha ke arah ini adalah faktor kedua. Kos sara hidup yang tinggi meliputi bidang makanan, perumahan dan pengangkutan.

Pada contoh jumlah import makanan yang pada masa ini berjumlah RM28 bilion (2008) perlu diusaha secara berterusan untuk dikurangkan.

Dasar pembekalan makanan untuk negara perlu diberi perhatian dengan berkesan. Bukan saja kos sara hidup yang rendah dapat diperoleh, ia sekali gus dapat menjamin keselamatan negara terpelihara.

Usaha besar-besaran perlu diambil dengan berkesan semoga semua keperluan makanan rakyat dapat dibekal oleh negara.

Ketiga, dalam usaha membina kekuatan ekonomi dalaman, tahap kecekapan dalam aspek pelaksanaan dasar, sama ada fiskal dan kewangan dan juga perjalanan aktiviti ekonomi perlu ditingkatkan.

Budaya kecekapan perlu menjadi pemangkin kepada perjalanan aktiviti ekonomi dalam negara. Islam menuntut kepada amalan kecekapan.

Contohnya sistem kewangan yang dikehendaki oleh Islam bukan hanya instrumennya dianggap menepati syariah malah mereka sepatut menjana kepada keadilan dan kecekapan perjalanan aktiviti ekonomi.

Islam memberi tumpuan kepada pentingnya keadilan dan kecekapan ekonomi tercapai sehingga matlamat yang dikehendaki oleh syariah tercapai.

Inilah tuntutan Islam sebenar. Pendekatan yang mudah kepada keperluan syariah dan tidak menjurus kepada pencapaian matlamat syariah perlu diberi perhatian. Sesuatu yang dianggap menepati syariah mestilah mampu menghala kepada pencapaian matlamat syariah.

Dalam menjana sebuah ekonomi yang cekap, setiap individu penyumbang mesti berada dalam keadaan tenteram dan aman. Suasana keluarga dan masyarakat banyak membantu dalam mewujudkan suasana itu.

Oleh itu untuk ekonomi dalaman terus berprestasi, kemantapan institusi keluarga perlu diberi keutamaan. Gejala individu dan masyarakat banyak berpunca daripada keruntuhan institusi keluarga.

Jika banyak individu membabitkan diri dalam gejala sosial, tidak mungkin mereka mampu menjadi penyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.

Bahkan mereka adalah penghalang kepada kemajuan ekonomi dan sumbangan negatif mereka turut membabitkan kos untuk kerajaan menyelesaikannya.

Dengan menyedari kepada hakikat punca kepada keadaan ekonomi semasa apakah pendekatan baru yang sesuai perlu difikirkan untuk menyelamat kebajikan kehidupan masyarakat kita.

Dalam usaha kita membina model ekonomi baru negara, adalah dirasai hujah di atas perlu diberi perhatian oleh pihak berwajib. Kemantapan ekonomi oleh itu perlu dicapai melalui pelbagai aspek kehidupan manusia.

Penulis ialah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Friday, December 25, 2009

Sistem ekonomi kena utama kesejahteraan insan

Oleh Nik Mustapha Nik Hassan

Kepincangan pelaksanaan, ketidakadilan agihan sumber boleh tambah krisis dalam masyarakat

DUNIA menyaksikan bahawa pendekatan semasa yang diamalkan kebanyakan negara dalam menyusun dan membangunkan ekonomi membuahkan hasil yang tidak sempurna kepada kebajikan masyarakat. Pertumbuhan ekonomi dari segi angka tercapai tetapi jumlah yang miskin terus tertindas. Kos sara hidup terus meningkat. Natijahnya beban hidup masyarakat makin bertambah berat. Permasalahan ini dituruti dengan pelbagai masalah kemanusiaan lain yang ketara. Keruntuhan akhlak seperti rasuah menjadi-jadi. Kadar jenayah, kepincangan institusi keluarga dan ketidakadilan sosial menjadi fenomena yang jelas.

Jika permasalahan kemanusiaan ini berterusan, kebajikan dan kesejahteraan hidup manusia lambat-laun akan mengalami krisis yang ketara. Bahkan pada masa kini persepsi umum terhadap sesuatu tindakan oleh pihak berwajib banyak menimbul keraguan. Keadaan ini jika tidak dicari penyelesaian yang berkesan akan memusnahkan kehidupan bermasyarakat. Yakin diri dan yakin kepada institusi hidup bermasyarakat akan bertambah meleset.

Apatah lagi apabila pertumbuhan ekonomi semasa berada dalam suasana yang tidak menentu. Keadaan ekonomi di dunia maju, khususnya di negara Barat jelas mempamerkan usaha untuk menyelesaikan masalah ekonomi tidak memperlihatkan satu arah yang memberangsangkan. Keadaan ekonomi semasa dianggap mampu bertahan hanya melalui pakej rangsangan hasil perbelanjaan defisit dasar fiskal. Berapa lama perbelanjaan defisit dapat diteruskan.

Sesebuah negara tidak mungkin berterusan mengambil tindakan sedemikian. Amerika Syarikat yang terus mengamalkan amalan berhutang sama ada di sektor awam dan swasta tidak akan dapat mempertahankan kedudukan ekonominya. Jumlah hutang kedua-dua sektor itu sudah melebihi US$50 trillion. Keruntuhan ekonomi Amerika Syarikat akan memberi kesan besar kepada ekonomi dunia.

Pergantungan ekonomi di antara negara makin bertambah rapat. Sesetengah negara contohnya Jepun, sumber terbesar kepada kemajuan ekonominya banyak bergantung kepada negara pengimport terbesar barangan eksportnya iaitu Amerika Syarikat. Apabila ekonomi Amerika Syarikat merundum, ekonomi Jepun turut mengalami kemelesetan. Begitu juga dengan pergantungan kepada pengaliran modal dari luar negara. Jika sumber modal luar negara menjadi faktor terpenting kepada pembangunan sesebuah ekonomi, kebergantungan ekonomi kepada sumber luar akan menjadi penentu utama kepada kemajuan ekonomi tempatan.

Dalam suasana sedemikian sudah tiba masanya untuk negara membangun memikirkan mengenai pendekatan baru dalam menyusun dan membangunkan negara. Malaysia tidak terkecuali.

Kebergantungan kepada sektor luar negara sangat penting diberi perhatian untuk mencapai kemajuan ekonomi negara. Tetapi lebih penting tumpuan turut diberi kepada kemantapan kekuatan faktor dalaman negara seperti penawaran sumber modal, tenaga buruh yang bermutu dan kuasa pasaran yang mantap dalam negara.

Apabila kedudukan ekonomi negara mengalami keadaan yang memberangsangkan, lebihan modal tempatan perlu mampu disalur kepada pembangunan kegiatan ekonomi. Dengan wujudnya pasaran tenaga buruh yang bermutu, kegiatan ekonomi di sektor nilai tambah yang tinggi mampu diwujudkan. Seterusnya kemantapan ekonomi negara hendaklah berkemampuan menggembleng keseluruhan tenaga rakyat menyertai dalam membangunkan ekonomi negara. Usaha sedemikian akan membolehkan ekonomi mencapai guna tenaga penuh dan kemiskinan rakyat dapat diselesaikan.

Hala tuju ekonomi berkenaan perlu disokong oleh dasar fiskal dan kewangan yang mantap. Sektor swasta mesti turut serta berperanan secara muafakat berusaha bersama dalam memajukan negara. Jalinan usaha secara berpadu di antara sektor awam dan swasta akan mewujudkan suasana harmonis dalam menyusun dan membangunkan negara.

Kemajuan ekonomi yang diperoleh sedemikian akan membina kekuatan kuasa pasaran dalam negara. Kekuatan kuasa pasaran dalam negara membolehkan sesebuah ekonomi lebih berkemampuan menghadapi keadaan luaran negara yang tidak menentu dan di luar kemampuan kita untuk mempengaruhinya.

Justeru, usaha yang bersungguh-sungguh perlu difikirkan untuk memantap kekuatan dalaman ekonomi negara. Usaha itu memberi kesan besar dalam menyelesai masalah sosial masyarakat seperti pengangguran dan kemiskinan rakyat.

Islam menggalakkan masyarakatnya sentiasa mengambil tindakan awalan merancang dan mengenal pasti kaedah dan pendekatan yang sesuai dengan pergolakan suasana ekonomi serantau dan sejagat. Tanpa memahami pergolakan ekonomi pada peringkat berkenaan tidak mungkin masyarakat Islam dapat mengatur langkah yang sesuai dan berkesan dalam memaju ekonomi masyarakat. Ini termasuk dalam membangun instrumen perbankan Islam. Instrumen kewangan yang menepati kehendak syariah wajib menjana kepada pencapaian matlamat syariah. Ini kerana pencapaian kepada matlamat Syariah adalah sangat penting dalam memajukan ekonomi masyarakat Islam. Jika instrumen kewangan yang digulung menepati syariah tetapi tidak menghala kepada pencapaian matlamat Syariah, satu kajian mendalam perlu diambil. Kita tidak boleh ghairah dengan slogan tetapi gagal memperoleh matlamat yang digaris oleh Syariah.

Disamping itu kemajuan ekonomi hendaklah menuju ke arah wujud sebuah masyarakat yang berperadaban. Kekuatan ekonomi yang diperoleh hendaklah daripada sumbangan kekuatan penghayatan nilai kemanusiaan yang utuh. Penyusunan dan pembangunan yang tidak berteras nilai kemanusiaan yang dituntut oleh agama akan menghasilkan ketidakadilan dan keharmonian hidup masyarakat.

Islam menganjurkan nilai keadilan disebatikan dalam setiap bidang kegiatan manusia, sama ada individu atau hidup masyarakat. Ini adalah asas utama kepada usaha menyusun dan memajukan ekonomi negara. Cabaran yang besar sekarang kepada ilmuwan Muslim bagaimana semangat adil dapat diterjemah dalam penggubalan dasar fiskal dan kewangan negara tercapai. Seterusnya dasar itu dilaksana secara adil.

Penulis ialah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Tuesday, June 2, 2009

Teras ekonomi Islam pendekatan hakiki kemajuan

Perspektif Ikim Oleh Nik Mustapha Nik Hassan

ABAD ke-21 sedang menyaksikan keadaan sangat mencabar kepada keutuhan tamadun manusia. Kemajuan sesuatu bangsa dan negara bergantung rapat dengan keutuhan tamadun itu. Tamadun bangsa mesti diasaskan kepada nilai kemanusiaan semula jadi atau menepati fitrah kemanusiaan hakiki.

Cara hidup individu, keluarga, negara dan perhubungan di antara negara di pentas antarabangsa jika diasaskan kepada nilai bercanggah dengan nilai kemanusiaan, natijahnya pasti akan membawa kepada kemusnahan dan kehancuran kepada umat manusia.

Manusia tidak berkemampuan memainkan peranan Tuhan dalam menentu corak hidup mereka. Penolakan kepada keagungan petunjuk Illahi dalam membentuk corak hidup, melahirkan fahaman sekular dalam pandangan dan corak hidup manusia. Fahaman sekular jika menjadi panduan dalam menyusun kehidupan manusia akan membawa kepada keruntuhan nilai kemanusiaan.

Pada akhir abad ke-20, kita dapat menyaksikan bagaimana blok Komunis di Eropah Timur dan Russia roboh berkecai selepas berpeluang mengendali beberapa negara selama tujuh dekad. Keruntuhan meliputi semua aspek politik, ekonomi dan kebudayaan.

Fahaman Marx dan Hegel jelas gagal membina dan membentuk satu tamadun manusia yang kukuh. Falsafah hidup manusia yang bertumpu kepada kepentingan kebendaan (fahaman bahawa kemajuan kebendaan saja adalah asas yang menentukan keutuhan sesebuah tamadun) melulu dan pendekatan penyusunan ekonomi negara berasaskan pendekatan collectivism (prinsip pengawalan sosial dan ekonomi negara dipusatkan kepada pemerintah) jelas mencatatkan kegagalan ketara.

Kedua-dua asas itu sangat bertentangan dengan sifat kemanusiaan. Blok kapitalis juga tidak memperlihatkan tamadun yang baik untuk masyarakat manusia jadikan teladan. Walaupun mereka masih mendahului dari segi aspek kemajuan sains dan teknologi, dan ekonomi, keruntuhan akhlak di kalangan rakyat mereka dan pendekatan negara berteraskan kepada kebendaan dan individualism (sistem negara di mana individu diberi kebebasan mutlak untuk menentukan perjalanan ekonomi, politik dan sebagainya) tidak dapat mempertahankan kekayaan dan kemajuan ekonomi negara mereka pada masa seterusnya.

Eropah berada dalam keadaan kemelut ekonomi tidak menentu. Kegelisahan rakyat Eropah jelas dapat kita tontoni. Begitu juga dengan kehebatan Amerika Syarikat. Kekuatan ekonomi Amerika semakin hari semakin meleset. Bahkan pada masa kini Amerika Syarikat menghadapi keadaan kemelesetan ekonomi tenat.

Penindasan satu golongan terhadap golongan lain, hasil falsafah individualism sudah menjadi nilai hidup. Pada 2004 seramai 2.5 bilion penduduk dunia (ekonomi dunia dipengaruhi oleh sistem kapitalisme) menjalani kehidupan dengan pendapatan kurang AS$2 pada satu hari (Shaohua Chen and Martin Ravallion (2007).

Keruntuhan institusi kekeluargaan turut menjadi perwujudan sangat membimbangkan. Institusi perkahwinan dianggap lapuk. Bahkan perkahwinan sejenis dibenarkan. Daripada perkembangan malap ini, tamadun menanti hari keruntuhan sangat hampir. Keruntuhan nilai kemanusiaan tidak akan mampu menerus kecepatan kemajuan bahkan kehancuran kehidupan terpaksa dihadapi.

Rumusan mudah ialah mana-mana pendekatan penyusunan negara berlawanan dengan fitrah kemanusiaan terpaksa menghadapi natijah buruk. Demi kebaikan umat manusia, mana-mana negara wajib mengambil pendekatan tepat, iaitu pendekatan bersesuaian dengan sifat dan tuntutan kemanusiaan hakiki.

Dalam keadaan suasana tidak menentu, Islam kembali diberi perhatian oleh umat Islam. Dalam arus kebangkitan kefahaman Islam, golongan ilmuan Islam perlu menguasai ilmu al-Quran dan as-Sunnah secara mendalam semoga falsafah hidup Islam dapat digariskan, sekali gus falsafah tauhid dapat mewarnai dalam semua perkara yang hendak disusun dan ditangani dalam menghadapi persoalan semasa dan setempat.

Islam perlu dilihat sebagai satu deen yang menekan dan memberi keutamaan kepada penyusunan masyarakat sesebuah negara sehingga wujudnya sebuah tamadun manusia mulia. Allah berfirman bermaksud: "Demi tiadalah kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam." (Al-Anbiya:107)

Hasil daripada kemampuan menyusun masyarakat berteraskan kepada nilai kemanusiaan sudah pasti kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat manusia akan dicapai.

Pada era pertembungan tamadun dan budaya pada masa mutakhir ini seperti pernah dikemukakan oleh Prof Samuel Hartington, Islam harus dari segi gagasan ilmu, mampu di utara oleh ahli ilmuan Islam sebagai yang paling hebat, canggih dan sesuai dalam menyusun semua perkara kehidupan pada peringkat individu, masyarakat dan negara di zaman sekarang dan seterusnya pada masa hadapan. Pendekatan dan ramuan Islam dalam semua perkara penyusunan dan pengendalian negara perlu diketengahkan.

Cabaran kepada ilmuan Islam ini menuntut mereka memperincikan secara syumul dan mendalam pendekatan dianjurkan Islam. Di samping menghayati arus kebangkitan Islam, kawasan Asia Pasifik dijangka menjadi kawasan paling maju di dunia pada abad ke 21. Jika pertumbuhan ekonomi pada masa kini di kalangan negara rantau ini dapat dikekal dan diteruskan, pada akhir abad ke-21, kawasan Asia Pasifik akan dapat menjadi kawasan termaju di dunia.

Dalam menangani perkembangan semasa, sebagai sebuah negara yang didiami majoriti umat Islam di kawasan Asia Pasifik, Malaysia perlu menggubal satu dasar ke arah penyusunan dan pembangunan sistem ekonomi negara yang dapat berperanan secara berkesan dan sesuai dengan suasana semasa dan setempat dalam memajukan negara ke mercu lebih tinggi.

Kemajuan ekonomi adalah teras penting ke arah kemajuan negara. Dalam era semasa dan seterusnya pada masa akan datang, kekuatan ekonomi akan menjadi penentu kepada kekuatan sesebuah negara dalam arena politik dunia. Survival dan kekuatan sesebuah negara berkait rapat dengan pencapaian kejayaan ekonomi. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab umat Islam berusaha semoga penyusunan ekonomi negara mengikut Islam dapat dilaksana.

Tuesday, May 5, 2009

Perspektif Ikim: Program wakaf proaktif galak penyertaan umat

Oleh Nik Mustapha Nik Hassan

Didik golongan berada memahami, bersedekah harta untuk kebajikan orang ramai

KAEDAH wakaf mempunyai ruang yang besar dalam membangun ekonomi masyarakat Islam di negara ini. Usaha penggemblengan wakaf adalah satu pendekatan yang sesuai dan berciri maju dalam menyusun masyarakat tempatan seterusnya membangun kekuatan ekonomi.

Dalam keadaan ekonomi mampan seperti beberapa tahun lalu, ada banyak golongan kaya dan peluang untuk mereka mewakafkan harta juga besar. Tambahan, ibadat wakaf sangat dekat di hati umat Islam, khususnya bangsa Melayu.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila mati anak Adam, semua amalannya berakhir kecuali tiga; sedekah jariah, ilmu yang dapat dimanfaatkan manusia dan anak salih yang sentiasa mendoakan kepadanya." (Hadis riwayat Muslim)

Walaupun amalan wakaf tidak diwajibkan, ia satu ibadat yang pahalanya berterusan untuk peserta walaupun sudah meninggal dunia. Amalan sedekah menggalakkan umat Islam menyumbang sebahagian harta mereka untuk membangun masyarakat seperti pembinaan masjid, hospital serta rumah tumpangan orang miskin.

Wakaf turut berperanan membangun ekonomi ummah melalui pembinaan sekolah, universiti, pusat latihan untuk umat Islam menguasai ilmu fardu ain dan fardu kifayah. Universiti Al-Azhar dibina melalui kaedah wakaf dan beberapa projek terkemuka zaman silam seperti Masjid Nabi di Madinah adalah contoh amalan wakaf.

Pendekatan kaedah wakaf turut mempengaruhi masyarakat Barat pada zaman Perang Salib. Bahkan di England, universiti terkenal seperti Universiti Oxford dibangun atas kaedah wakaf (dana amanah).

Amalan mewakafkan harta adalah kaedah untuk menyokong amalan fardu dalam Islam seperti zakat. Ibadat wakaf mendidik umat Islam bahawa setiap individu yang kaya mempunyai tanggungjawab sosial di samping zakat untuk membangun kesejahteraan ummah.

Menepati semangat pembangunan masyarakat, individu Muslim bukan saja berperanan menjamin kesejahteraan diri dan keluarga, bahkan turut sama mempunyai peranan menjamin kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.

Kesejahteraan ummah secara menyeluruh jika tercapai akan mewujudkan suasana masyarakat yang aman serta keadaan ekonomi kukuh, seterusnya mampu mencetus pembangunan ekonomi secara berterusan.

Islam mengambil pendekatan bahawa pembangunan ekonomi perlu disertai dan disumbang oleh setiap ahli masyarakat. Justeru, peluang untuk menyumbang kepada aktiviti ekonomi perlu disusun dan dicetus di kalangan semua ahli masyarakat.

Usaha mencetuskan pembabitan itu tidak terhad kepada sektor awam dan peniaga, tetapi boleh dimainkan individu perseorangan atau institusi berkemampuan. Melalui institusi dan kaedah wakaf, peranan itu dapat disumbang oleh orang perseorangan dan institusi.

Ibadat wakaf menanamkan semangat sedia berkorban dan memupuk budaya muafakat serta kerjasama golongan yang berada dalam pembangunan masyarakat. Semangat itu penting untuk pembangunan ekonomi berteraskan semangat muafakat.

Pendekatan Islam dalam menyusun ekonomi bernegara dipengaruhi prinsip keadilan dan ihsan. Keadilan dalam amalan wakaf diterjemahkan melalui perasaan tanggungjawab golongan berada kepada tindakan sukarela untuk mencetus lebih banyak aktiviti ekonomi bagi dimanfaatkan masyarakat umum.

Justeru, kaedah wakaf perlu ditingkatkan untuk penyertaan umat Islam. Melalui penyertaan wakaf ia bukan saja mampu menolong golongan kurang bernasib baik tetapi mendidik golongan berada menghayati konsep pemilikan harta mengikut Islam.

Kefahaman Islam menuntut bahawa dalam harta golongan berada itu ada hak golongan miskin walaupun golongan kaya sudah membayar zakat. Allah berfirman yang bermaksdu: "Dan pada harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian." (Surah adz-Dzaariyat, ayat 19)

Bagi menggalakkan ummah menyertai ibadat wakaf, ulama, cendekiawan Islam dan pentadbir institusi wakaf perlu sentiasa memikirkan kaedah serta pendekatan yang berkesan untuk menarik minat menyertai ibadat wakaf.

Mereka juga perlu mengutarakan pandangan mengenai projek wakaf yang perlu dibangunkan dan bagaimana pengurusan serta pentadbiran projek dengan penuh ketulusan itu mampu dibangunkan sebagai bukti kaedah wakaf berpera-nan membangun ummah secara berkesan.

Melalui contoh kejayaan institusi wakaf membangun ekonomi ummah, lebih ramai masyarakat Islam akan mewakafkan harta mereka. Usaha projek wakaf melengkapi usaha pemerintah membekal kemudahan kepada rakyat.

Di beberapa negeri umpamanya, wakaf dalam bentuk saham diperkenalkan untuk membiayai projek wakaf khas dan wakaf am. Pendekatan itu memudahkan umat Islam menyertai amalan wakaf melalui pembelian saham wakaf.

Pendekatan lain juga perlu difikirkan, contohnya pembinaan asrama atau rumah tumpangan untuk pekerja wanita Islam di kawasan perindustrian. Memandangkan kos sewa rumah di kawasan perindustrian agak mahal, adalah lebih baik harta wakaf mendirikan bangunan bagi kemudahan pekerja berkenaan dengan kadar sewa murah.

Asrama wakaf juga boleh dibina untuk menampung perumahan pelajar Muslim di sekitar universiti atau institusi profesional. Melalui projek daripada dana wakaf, peluang menambah jumlah umat Islam melanjutkan pelajaran terus meningkat.

Pada masa ini, kos penginapan untuk pelajar universiti meningkat kerana kemudahan asrama sangat terhad. Kejayaan ini sekali gus menambah lebih ramai tenaga pekerja Muslim berpendidikan tinggi dapat dibekalkan.

Projek bilik bacaan juga boleh dirancang, khususnya di kawasan perumahan murah. Keselesaan untuk menelaah pelajaran akan meningkat prestasi pelajar cemerlang di kalangan golongan berpendapatan rendah.

Banyak projek wakaf lain dapat difikirkan untuk keperluan umat Islam. Perancangan berbentuk proaktif menepati ajaran Islam dan hasil perancangan berkesan perlu dihebahkan kepada masyarakat umum semoga lebih ramai golongan berada akan tampil menyertai projek wakaf.

Menjadi satu amanah dan tanggungjawab besar kepada semua pegawai institusi wakaf semoga tanggungjawab mereka dapat dilaksana dengan lebih berkesan demi kesejahteraan ummah.

Penulis ialah Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia

Wednesday, April 8, 2009

Perspektif Ikim: Pemimpin berkebolehan hasilkan organisasi cemerlang

Oleh Nik Mustapha Nik Hassan

Kejujuran, keikhlasan asas bentuk ketua yang mampu buat perubahan ke arah kebaikan

ALLAH berfirman bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)." (Surah an-Nisa', ayat 58). Ayat ini ditujukan kepada mereka yang mentadbir organisasi.

Amanah perlu diserah kepada orang yang berhak dan berkelayakan. Maju mundur organisasi bermula dengan mutu kepemimpinan. Kegagalan melantik mereka yang layak memberi kesan kepada organisasi. Justeru, ada beberapa kaedah untuk seseorang menerajui organisasi antaranya:

# Melalui jawatankuasa mencari yang dianggotai ahli berakhlak dan berkelayakan. Jika tidak, ia nampak cantik dari segi proses, tetapi gagal memenuhi semangat serta tujuan jawatankuasa itu diwujudkan.

# Pemimpin dipilih harus menganggap peluang memimpin sebagai amanah untuk menerajui organisasi mencapai tahap paling cemerlang. Pemimpin harus memiliki wawasan jauh, dinamik dan sentiasa berusaha memajukan organisasi.

# Kejujuran dan keikhlasan pemimpin adalah asas penting. Pemimpin jujur akan mengorbankan tenaga memperbaiki prestasi organisasi secara berterusan. Ia bukan sekadar menjaga status ‘quo’ prestasi organisasi, sebaliknya berusaha berterusan membuat pembaharuan ke arah kebaikan.

Kegagalan organisasi berprestasi dengan cemerlang disebabkan pemimpin tidak jujur, mengutamakan kepentingan peribadi daripada organisasi. Sikap negatif banyak menimbulkan gejala kepada prestasi organisasi.

Masyarakat tidak boleh membendung pemilihan pemimpin organisasi bermasalah. Usaha mempertahankan pemimpin tidak amanah adalah kesilapan besar mengikut Islam. Di samping itu, kegagalan organisasi mungkin disebabkan pemilihan pemimpin tidak berkelayakan dan berpengalaman.

Kelayakan bersandarkan kebolehan pemimpin menjayakan matlamat digariskan untuk organisasi. Pengalaman ialah pendedahan pernah dilalui seseorang dalam tugasan berkaitan.

Pemimpin harus mempunyai anggapan bahawa mutu penghasilan organisasi sebagai nilai positif yang mampu dimajukan. Pandangan itu memerlukan usaha mewujudkan satu budaya iaitu aliran pemikiran, perasaan dan cara bekerja adalah usaha berterusan.

Amalan itu perlu dijadikan budaya dalam organisasi. Untuk itu tidak memadai pemimpin mempunyai sikap positif terhadap mutu, tetapi kemampuan memimpin secara kreatif dan inovatif semoga tuntutan positif terhadap mutu dapat diterjemahkan menjadi budaya sihat dalam organisasi.

Semua lapisan warga organisasi perlu digembleng untuk menyumbang pada tahap tertinggi sekali gus mampu berurusan sesama individu secara muafakat. Pencapaian itu bukan mudah, bahkan ia memerlukan kebolehan pemimpin dengan seni kepemimpinannya luar biasa.

Pemimpin juga harus positif terhadap kebajikan pekerja, mementing kebajikan mereka adalah ciri membawa kepada kejayaan organisasi. Jika semangat pekerja menurun, sudah pasti prestasi bermutu sukar dihasilkan pekerja.

Faktor kebajikan pekerja mesti mendapat pembelaan kerana kejayaan organisasi mampu dicapai dengan memartabatkan kebajikan pekerja. Bahkan tidak ada kemajuan teknologi tanpa penyelesaian persoalan kebajikan pekerja.

Islam melihat pekerja sebagai saudara dan rakan kongsi majikan serta barisan kepemimpinan. Oleh itu, gabungan padu perlu dipereratkan dengan memberi penekanan kepada kebajikan pekerja oleh majikan dan pimpinan organisasi.

Usaha meningkat mutu prestasi organisasi juga memerlukan pemimpin berpandangan jauh. Pemimpin patut mampu menggariskan arah tuju organisasi semoga dapat berperanan secara sesuai dan berkesan dengan perubahan suasana makin mencabar.

Dalam suasana semasa yang kerap berubah, pemimpin tidak hanya cukup menguasai kemahiran profesional, malah dapat menghayati harapan kepada apa bentuk perubahan yang akan berlaku.

Pada era kesejagatan kini, kejayaan jangka panjang biasanya bergantung kepada kemampuan meluaskan penguasaan pasaran, termasuk peringkat antarabangsa. Pentas antarabangsa menjadi ukuran kejayaan kepemimpinan individu.

Di samping memiliki wawasan dan matlamat bertaraf sejagat, mutu kepemimpinan dapat dinilai dan ditentukan berdasarkan kemampuan menterjemahkan wawasan organisasi kepada bentuk program dan kegiatan semoga hasil barangan serta perkhidmatan mampu menembusi pasaran antarabangsa.

Banyak organisasi tidak beroperasi dengan berkesan kerana kegagalan dan ketidakmampuan pemimpin menterjemah wawasan organisasi dalam kegiatannya atau jenis pengeluaran menepati hasrat organisasi. Peningkatan mutu kepemimpinan organisasi bagi Islam ialah meningkat prestasi organisasi, kebajikan pekerja dan seterusnya masyarakat.

Nabi SAW mengingatkan umatnya dengan sabda bermaksud: “Setiap kamu ialah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap mereka yang berada di bawah kepemimpinan kamu.”

Penulis ialah Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia

Tuesday, October 7, 2008

Perspektif Ikim: Islam pilihan terbaik ganti ideologi buatan manusia

Oleh Nik Mustapha Nik Hassan

Pendekatan untuk bermasyarakat, negara tidak bercanggah dengan fitrah kemanusiaan

PADA era pertembungan tamadun dan budaya seperti zaman globalisasi kini, Islam pada peringkat ilmu harus mampu diutarakan oleh ilmuwan Muslim sebagai paling sempurna, canggih dan sesuai dalam semua aspek kehidupan bermasyarakat dan bernegara sepanjang masa.

Pendekatan dan ramuan Islam dalam semua aspek penyusunan dan pengendalian bernegara perlu diketengahkan semoga mampu menjadi panduan kepada kepemimpinan negara melaksanakannya.

Tidak memadai, ilmuwan Muslim hanya mampu mencari kelemahan pendekatan sedia ada. Mereka patut mengemukakan pilihan kepada pendekatan Islam dengan cara lebih terperinci dan boleh dilaksanakan. Dengan cara itu Islam mampu berperanan mempengaruhi corak hidup individu dan masyarakat. Di samping kebangkitan kesedaran kepada Islam, kawasan Asia Pasifik dijangka menjadi kawasan paling maju pada abad ke-21. Jika arah haluan pertumbuhan ekonomi negara rantau ini dapat kekal dan diteruskan, Asia Pasifik boleh menghasilkan lebih daripada satu perlima Keluaran Negara Kasar (KNK) dunia menyamai KNK Eropah dan Amerika Utara.

Apabila kemajuan ekonomi menjadi kenyataan, negara Islam perlu merebut peluang dan tidak tercicir dalam arus kebangkitan itu. Lebih menarik jika panduan Islam diguna pakai menerajui negara. Dalam menangani perkembangan itu, negara yang didiami majoriti umat Islam di Asia Pasifik, kepemimpinannya perlu menggubal satu corak pembangunan negara yang syumul dan berkesan. Pendekatan itu mesti berasaskan nilai kemanusiaan dan pendekatan Islam sudah pasti menjadi panduan. Kepemimpinan negara perlu memiliki ciri yang membolehkan mereka membawa Malaysia maju antaranya:

l) Pemimpin perlu mendokong fahaman luhur, berakhlak dan jujur untuk memajukan rakyat dan negara. Tanpa sifat ini negara tidak mungkin maju dan rakyat tidak terbela. Sejarah membuktikan kemajuan negara berkait rapat dengan ciri kepemimpinan. Sifat mulia sangat terserlah di kalangan kepemimpinan Khalifah al-Rashidin dan Umar Abd Aziz. Punca keberkesanan dan kejayaan kepemimpinan mereka bermula dengan penghayatan sifat itu.

2) Kepemimpinan negara perlu menguasai ilmu dan pemikiran yang mantap berasaskan nilai kemanusiaan secara mendalam. Justeru, sistem pengendalian negara perlu bersandarkan asas fahaman jitu yang didukung syariat Allah. Sistem pengendalian negara yang berasaskan kefahaman tidak mantap dan menepati nilai kemanusiaan menghadapi keruntuhan serta menimbulkan pelbagai gejala kepada masyarakat .

Sistem marxis/komunis terpaksa berkubur kerana pendekatannya bercanggah dengan nilai kemanusiaan. Begitu juga tamadun sekular Barat diasaskan ideologi liberal kapitalis. Banyak kerenah kemanusiaan terpaksa wujud disebabkan pendekatannya turut bercanggah dengan fitrah kemanusiaan.

Sejarah dan keadaan sekarang membuktikan negara yang mencapai taraf perekonomian maju tidak dapat mengekal kecepatan kemajuan bahkan terpaksa menghadapi kemunduran jika kekuatan ekonomi tidak disertai dengan kekuatan nilai kemanusiaan. Keruntuhan akhlak masyarakat seperti rasuah, penindasan dan menipu adalah fakta utama yang melemahkan dan seterusnya meruntuhkan sistem sosial bernegara. Oleh itu, negara mesti berusaha gigih melalui sistem pendidikan dan sebaran media semoga semua berperanan secara berkesan bagi membina ahli masyarakat yang memiliki pandangan hidup, penghayatan akhlak dan penguasaan kemahiran hidup sempurna.

3) Kepemimpinan negara perlu dikendali ahli politik yang pintar serta berkemampuan. Kebolehan itu penting untuk menerajui negara. Kejayaan membangunkan martabat masyarakat bergantung kepada kemampuan pucuk pimpinan. Kejayaan kepemimpinan Rasulullah SAW dan Khalifah Al-Rashidin adalah bukti nyata. Kajian dilakukan Professor P Kotter dari Harvard Business School, menunjukkan 80 peratus kejayaan sesebuah organisasi termasuk negara bergantung rapat dengan mutu kepemimpinan.

Zaman berubah dan penuh dengan cabaran serta persaingan. Pemimpin perlu memahami suasana dalam negara berkaitan kekuatan dan kelemahan sistem, keupayaan rakyat dan sumber negara. Mereka harus mampu menggembleng semua lapisan rakyat untuk memajukan ekonomi ke peringkat tertinggi. Semua masyarakat perlu berperanan pada peringkat paling tinggi dalam usaha pembangunan.

4) Kepemimpinan harus mampu menerajui negara untuk berperanan secara berkesan pada peringkat antarabangsa. Pada zaman globalisasi mahu atau tidak, negara hanya boleh dimajukan jika mampu berperanan pada arena antarabangsa. Oleh itu, setiap aktiviti ekonomi perlu bermatlamat untuk menguasai pasaran, jika mampu pada pasaran antarabangsa. Kepemimpinan negara Islam tidak boleh memisahkan diri mereka dengan ajaran Islam. Untuk maju dan berjaya peringkat sejagat, Islam mempunyai pendekatan syumul berasaskan nilai kemanusiaan yang mampu bersaing, seterusnya mengatasi corak pembangunan negara sekular yang pendekatannya bercanggah dengan fitrah kemanusiaan.

Sebagai umat Islam, kita yakin kekuatan yang ada dengan pendekatan Islam dalam menyusun dan membangunkan negara kerana ia menepati fitrah kemanusiaan. Pendekatan lain dalam menyusun dan memajukan masyarakat dan negara yang bertentangan dengan fitrah kemanusiaan gagal mewujudkan peradaban manusia sempurna di dunia dan sudah pasti pembalasan negatif pada alam akhirat.

Penulis ialah Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Tuesday, March 4, 2008

Perspektif Ikim: Akhlak sempurna jamin keadilan sosial

Oleh Nik Mustapha Nik Hassan

HATI SUCI: Sifat keperibadian individu yang mulia membawa kepada suasana harmoni dalam mengendali urusan masyarakat. - Gambar hiasan

Individu gagal bimbing jiwa tak mampu tadbir urusan kehidupan masyarakat, negara

MENGHAYATI akhlak mulia dalam menjalani tugasan dan kehidupan adalah keperluan untuk membimbing individu termasuk ahli politik, korporat dan pentadbir dalam urusan bermasyarakat dan bernegara.

Islam mempunyai asas akhlak yang tersendiri bersumber daripada semangat falsafah tauhid. Akhlak membicara mengenai sistem perilaku ditentukan Allah untuk manusia dalam menjalani kehidupannya.

Justeru, semua kegiatan individu dalam urusan bermasyarakat mengikut Islam perlu menepati garis akhlak yang sudah ditentukan Allah. Kemampuan individu mengharmonikan segala aspek kelakuannya mengikut panduan akhlak akan membimbing mereka kepada keserasian hidup dengan fitrah kejadiannya.

Natijah daripada keserasian itu membolehkan individu berkenaan memperoleh kemuliaan dan kejayaan hidup di dunia, seterusnya di akhirat. Oleh itu, pembentukan individu dan masyarakat berakhlak sangat dianjur oleh Islam.

Nabi Muhammad SAW diutuskan untuk menyempurna akhlak manusia. Penyempurnaan akhlak manusia dalam semua urusan hidup mengikut Islam adalah syarat awal menjamin masyarakat kepada kecemerlangan semua aspek kegiatan, termasuk usaha membangun negara.

Mengikut Imam Al-Ghazali, akhlak adalah satu kajian berkaitan kepercayaan agama yang membicarakan mengenai kebenaran dan kebatilan berkaitan sesuatu amalan dan ia bukan sekadar sebagai satu bidang ilmu.

Matlamat utama akhlak ialah untuk mempengaruhi kelakuan sebenar seseorang individu. Setiap amalan baik adalah untuk menyuci jiwa semoga memperoleh pembalasan baik di akhirat. Kelakuan berakhlak bersamaan dengan tuntutan agama. Makin beramal seseorang individu dengan ajaran agama makin berakhlak individu itu.

Seterusnya Al-Ghazali menerangkan, akhlak adalah ilmu berkaitan roh, sifatnya dan ciri kelakuan manusia. Beliau dengan tegas menyatakan, akhlak ilmu amalan yang penting. Bagi beliau seseorang yang gagal membimbing jiwanya tidak akan mampu mentadbir urusan kehidupan orang lain.

Beliau menyarankan kemantapan akhlak mesti bermula dengan kefahaman berkaitan jiwa, kuasanya dan sifatnya. Menguasai ilmu itu adalah syarat awal untuk menyuci jiwa seperti disarankan al-Quran dalam firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikan jiwanya; Dan sesungguhnya hampalah orang yang mengotorinya." (Surah asy-Syams, ayat 9-10)

Manusia pada fitrahnya mengandungi sifat malakiah dan bahimiah. Kedua-dua sifat yang sedia wujud pada diri manusia penting untuk dibangunkan. Islam tidak menganjur kepada penghapusan sifat bahimiah dalam manusia.

Bahkan Islam mahu sifat bahimiah terus dibina dengan menuntut sifat malakiah mendidik dan membimbing sifat bahimiah. Sifat bahimiah menyediakan tenaga untuk manusia bergiat dan membuat perubahan dan sifat malakiah menjamin perubahan mengikut nilai akhlak yang dapat membawa kepada kemajuan mutlak tercapai.

Shah Waliullah, seorang ulama pada abad ke-18 ada mengutara beberapa asas akhlak yang dapat mengarah manusia bermasyarakat dan bernegara ke mercu kemuliaan, ke arah menterjemah keadilan dalam semua urusan kehidupan hingga terbina sebuah peradaban yang tinggi.

Empat ciri asas akhlak itu adalah:

Taharah. Penyucian diri manusia dalaman dan luaran. Individu Muslim digalakkan memiliki kesucian hati dan kebersihan luaran. Kesucian hati meliputi nilai akhlak yang murni seperti amanah, jujur, ikhlas, penyayang dan sebagainya.

Kebersihan luaran meliputi sikap positif seperti, disiplin, pemakaian kemas dan bersih serta pertuturan mempamerkan sahsiah yang tinggi. Memiliki nilai dalaman dan luaran menjadikan seseorang individu dapat menjalani urusan bermasyarakat dengan berkesan dan penuh disiplin.

Sifat keperibadian individu yang mulia itu akan dapat memainkan peranan positif kepada kegiatan kehidupan diceburi. Asas ini mampu dibina menerusi amalan ibadat wajib dan sunat seperti solat tahajud, solat witir, berzikir khususnya pada larut malam hingga hampir pagi. Kesucian hati hanya akan dibina selepas hubungan erat dengan Allah diamalkan.

Ikhbat. Menegak kebenaran menerusi ketaatan kepada Allah. Patuh dan cinta kepada kebenaran adalah satu daripada akhlak induk. Mereka yang tidak patuh kepada Allah menolak kebenaran, walaupun ia yakin sesuatu itu benar.

Justeru, keilmuan dan kefahaman yang benar akan mengawasi pandangan hidup dan segala tindak tanduk individu semoga semua tindak tanduk itu menepati arahan Ilahi. Kealpaan mendukung kebenaran menghasilkan individu yang munafik, iaitu tindakannya berbeza dengan apa yang dilafazkan. Jika sifat ini menjadi budaya dalam sesebuah masyarakat, ia adalah petanda awal kepada kemusnahan masyarakat itu.

Samahah. Sifat bertolak ansur, pemurah dan pemaaf. Sifat ini perlu dalam hidup bermasyarakat dan bernegara. Keutuhan dan kestabilan dalam sistem bernegara akan dapat dicapai jika sifat ini diamalkan setiap ahli masyarakat.

Kemajuan sesebuah tamadun adalah usaha bersama oleh setiap individu. Ia menepati sifat tabii kemanusiaan yang memiliki ciri manusia sosial. Justeru, sifat samahah adalah asas akhlak yang membawa kepada suasana yang harmoni dalam mengendali urusan masyarakat dalam sesebuah negara.

Adalah. Bersifat insaf dan adil. Menghayati semangat keadilan dalam semua aspek kehidupan adalah kemuncak kepada pembinaan tamadun manusia hasil daripada penghayatan ketiga-tiga asas akhlak terdahulu seperti taharah, ikhbat dan samahah.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang daripada perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu supaya kamu dapat mengambil pelajaran." (Surah an-Nahl, ayat 90)

Kecapaian pelaksanaan semangat keadilan dalam penyelenggaraan setiap amalan pembangunan masyarakat adalah kemuncak keutuhan sistem bermasyarakat dan bernegara dan syarat awal kepada pembangunan sesebuah tamadun manusia.

Dalam usaha individu dan masyarakat menghayati nilai keadilan, golongan berilmu dikalangan masyarakat hendaklah memainkan peranan yang berkesan. Allah berfirman yang bermaksud: "Allah mengakui bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan selain daripada-Nya dan malaikat mengakui dan orang-orang berilmu yang tegak dengan keadilan." (Surah ali-'Imran, ayat 18)

Daripada perspektif kemajuan ekonomi dan pembangunan negara, pendekatan yang diambil menepati semangat falsafah akhlak Islam akan menjurus kepada pembangunan ekonomi dicapai menerusi pendekatan keadilan sosial.

Keadilan sosial bererti usaha ke arah pembasmian kemiskinan diberi keutamaan. Ia diikuti dengan penghapusan segala unsur kezaliman dalam perjalanan aktiviti ekonomi. Usaha itu akan mengurang jurang perbezaan antara yang kaya dan kurang bernasib baik.

Turut diberi perhatian menepati semangat keadilan ialah kemampuan negara meningkat keberkesanan dalam pengaliran harta kekayaan negara semoga lebih banyak peluang ekonomi dapat dicetus.

Ia sekali gus menyelesaikan masalah pengangguran. Pendekatan keadilan sosial dalam membangun ekonomi negara akan menjana kepada pertumbuhan ekonomi disertai kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan tercapai.

Penulis ialah Timbalan Ketua Pengarah, Institut Kefahaman Islam Malaysia

Tuesday, February 5, 2008

Prespektif Ikim: Kaedah pengurusan berlandas Islam

Oleh Nik Mustapha Nik Hassan

Pendekatan syura, semangat keadilan antara ciri capai matlamat organisasi

PENGURUSAN adalah satu daya usaha menyusun sesebuah organisasi untuk mencapai matlamat tertentu. Usaha itu mampu memperoleh mutu pencapaian yang tinggi jika pemimpin memiliki wawasan, menggariskan matlamat dan arah panduan sekali gus berkemampuan menterjemah wawasan kepada program serta kegiatan yang membolehkan matlamat dan objektif tercapai.

Kemampuan itu memerlukan pemimpin organisasi mempunyai daya cipta dan kebolehan yang tinggi. Daya cipta dalam pengurusan adalah kemampuan mencipta pendekatan baru yang lebih berkesan dalam pengurusan sesebuah organisasi.

Sementara daya pembaharuan adalah daya usaha berterusan meningkat mutu pengurusan daripada cara sedia ada. Pertanggungjawaban pemimpin mengurus sesebuah organisasi untuk mencapai kejayaan cemerlang mengikut Islam adalah suatu amanah yang penting.

Kecapaian itu mampu diperoleh jika pemimpin dilantik daripada individu yang berkebolehan dan berwibawa. Dalam konteks negara, salah satu faktor utama yang akan menjayakan wawasan negara pada abad 21 ialah mencapai mutu kualiti pengurusan tinggi di semua sektor, termasuk awam dan swasta.

Kejayaan itu seharusnya wujud pada kesemua peringkat sektor berkenaan supaya hasil daripada pengurusan bermutu dan berkualiti akan membuahkan pencapaian kemajuan setiap organisasi dalam semua perkara. Keseluruhan kejayaan memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara.

Mengikut Dasar Pensyarikatan Malaysia, kepentingan kualiti pengurusan bukan hanya sekadar meningkat prestasi sektor awam dan swasta secara berasingan tetapi kedua-dua sektor harus mencapai keharmonian supaya saling bantu-membantu kerana mereka memerlukan antara satu sama lain untuk memajukan negara.

Usaha penyusunan negara perlu peka bahawa prestasi organisasi yang berkesan akan dapat dijayakan melalui peningkatan kualiti pengurusan bagi sektor awam dan swasta, dan kemampuan mereka berperanan secara berpasukan menjayakan matlamat negara.

Jika hanya satu sektor berjaya meningkat mutu pengurusan dan yang satu gagal mencapai kualiti pengurusan tinggi, matlamat negara mencapai status negara maju tidak akan berhasil kerana walaupun dalam bidang berlainan, mereka tetap memerlukan antara satu sama lain.

Kejayaan negara maju jelas dibuktikan oleh kualiti pengurusan kedua-dua organisasi mereka yang bermutu. Mereka mampu menghasilkan barang dan perkhidmatan dengan kualiti tinggi mengatasi pengeluaran negara lain.

Dalam era globalisasi, kualiti barang dan perkhidmatan hasil daripada mutu pengurusan organisasi adalah penentu kepada kejayaan kerana keadaan persaingan antara masyarakat dan negara makin bertambah sengit dalam suasana semasa.

Islam diutus Allah untuk menyusun kehidupan manusia pada peringkat individu dan masyarakat semoga mencapai kemakmuran, kecemerlangan hidup di dunia dan seterusnya di akhirat. Penumpuan kepada usaha mendidik individu dan menyusun masyarakat pada peringkat awal bertujuan melahirkan individu berguna dan mengatur sistem hidup masyarakat supaya berfungsi dengan baik dan sekali gus mengurangkan segala bentuk permasalahan.

Penyelesaian Islam bukan timbul akibat daripada sesuatu permasalahan yang dihadapi manusia, tetapi Allah mengarahkan umat manusia pada awal lagi supaya dididik dan menyusun aktiviti kehidupan menepati fitrah kemanusiaan.

Natijah daripada proses penyusunan yang baik ini memerlukan kepada suatu sistem pengurusan diri, keluarga, organisasi dan negara yang mantap demi membawa kepada wujudnya sebuah tamadun mulia.

Bagi usaha ke arah mewujudkan penyusunan organisasi menepati Islam, ia memerlukan kepada satu pendekatan yang sesuai dan praktikal. Islam tidak mengesyorkan semua bentuk, kaedah dan kegiatan organisasi yang sedang diamal dihapuskan, melainkan kegiatan itu jelas bertentangan dengan falsafah Islam.

Islam hanya mengutarakan garis panduan dan mengambil kira suasana serta budaya persekitaran. Dalam menyusun pengurusan, manusia yang menganggotai sesebuah organisasi hendaklah diberi keutamaan.

Manusia pada fitrahnya memiliki sifat makhluk individu dan masyarakat. Untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam semua usaha, memahami hakikat ini sangatlah perlu. Sifat makhluk individu menonjolkan bahawa setiap individu berkeinginan menjaga kepentingan diri.

Pendekatan Islam mengemukakan usaha dan tindakan yang mengharmonikan kepentingan individu dan tanggungjawab individu ke arah pencapaian kebajikan warga serta matlamat organisasi pada keseluruhannya.

Untuk menjayakan keharmonian pada peringkat individu, Islam mengutamakan penghayatan akhlak semoga sahsiah individu dapat dibentuk dengan memiliki sikap (boleh dipengaruhi oleh pandangan hidup) yang luhur dan mengamal perilaku mulia.

Usaha itu perlu kepada pendidikan yang dapat membantu kefahaman dan menjalani latihan kerohanian semoga tindak tanduk negatif dapat dikurangkan. Akhlak dan perilaku individu sepatutnya mengarah kepada tanggungjawab individu menghayati nilai dan semangat luhur dalam semua urusan pengendalian organisasi.

Pendidikan akhlak dengan itu dapat membentuk sikap yang mulia serta berpandangan progresif. Memahami keadaan suasana semasa, setempat dan antarabangsa turut juga adalah keperluan yang penting.

Justeru, menguasai ilmu masyarakat, ekonomi, politik dan kebudayaan turut dianggap penting. Sesebuah organisasi berperanan dalam sesebuah masyarakat. Oleh itu, untuk sesebuah organisasi dapat berperanan dengan berkesan suasana setempat sangat penting.

Di samping itu, Islam turut memberi penumpuan kepada peningkatan daya kemahiran dan kepakaran individu pekerja dalam sesebuah organisasi. Organisasi mesti menganggap pekerja sebagai sumber terpenting dan sanggup melabur kepada peningkatan kepakaran mereka.

Individu yang hendak dibangun mesti memiliki ketiga-tiga ciri iaitu sikap yang murni, memahami suasana dan budaya masyarakat serta daya kepakaran tinggi pada peringkat tahap pekerjaan masing-masing.

Tanpa ketiga-tiga ciri itu, kejayaan sesebuah organisasi akan berada pada tahap yang rendah. Bahkan hanya memiliki salah satu dari ciri itu tidak mungkin membawa kepada kejayaan yang membanggakan.

Sifat mementing diri adalah daya penggerak yang akan dapat memberi sumbangan berkesan kepada kemajuan sesebuah organisasi jika itu dapat dididik dan diletak pada tempatnya. Tanpa sifat itu tidak mungkin manusia akan berusaha dengan gigih demi mencapai kejayaan diri.

Dalam sistem penyusunan organisasi, ruang untuk individu berperanan serta membuat keputusan perlulah diperluaskan. Corak membuat keputusan dalam organisasi dengan itu akan diturunkan ke bahagian dan unit tertentu mengikut keperluan dan bidang tugas yang sesuai.

Semangat kerja berpasukan dapat melaksanakan pendekatan syura atau perbincangan dalam menangani sesuatu tugas dan di samping itu dapat mengurang kerenah pekerja dalam menjalani tugas organisasi.

Hasil menerajui pengurusan mengikut pendekatan semangat keadilan akan dapat diterapkan dalam pengurusan organisasi. Pelaksanaan roh keadilan akan memperkukuhkan suasana dan budaya muafakat dalam segala bentuk urusan tugas serta tanggungjawab.

Penulis ialah Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia

Tuesday, January 1, 2008

Perspektif Ikim: Prinsip saksama utuhkan sosioekonomi

Oleh Nik Mustapha Nik Hassan

Keadilan sosial dinikmati rakyat merangsang kemajuan, pertumbuhan negara

ISLAM menganjurkan pengabdian manusia sepenuhnya kepada kehendak Allah. Manusia dengan itu dimestikan mencorak kehidupan sosio-ekonomi, bermasyarakat dan bernegara mengikut kehendak tauhid.

Pengabdian kepada Allah dalam urusan sosio-ekonomi bertujuan membimbing manusia ke arah mencapai keharmonian dan kecemerlangan bermasyarakat. Tauhid menganjurkan bahawa sistem sosio-ekonomi hendaklah mengarah kepada wujudnya suasana al-Adl wal Ihsan (keadilan dan kasih sayang).

Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh berbuat adil dan kebajikan, memberi pertolongan kepada manusia, serta melarang daripada berbuat yang keji, pekerjaan yang mungkar dan kezaliman. Dia memberi kamu pengajaran, mudah-mudahan kamu mendapat peringatan." – (Surah An-Nahl, ayat 90)

Prinsip keadilan dan kasih sayang menganjurkan sistem sosio-ekonomi sesebuah negara mestilah berusaha ke arah pencapaian keadilan dan muafakat ekonomi negara. Kedua-dua unsur itu adalah asas ke arah pencapaian perjalanan sistem sosio-ekonomi yang teratur, cekap dan progresif.

Daripada asas falsafah tauhid, beberapa prinsip umum dapat dirumuskan untuk dijadikan panduan dalam menjalani aktiviti sosio-ekonomi. Pertama, ialah prinsip keadilan sosial. Pengendalian dan mekanisme dalam mengatur kegiatan ekonomi mesti dapat menuju ke arah wujudnya keadilan sosial.

Keadilan sosial bernegara mengikut Islam dapat difahami sebagai suasana di mana sesebuah negara dapat menyedia keperluan hidup asasi individu melalui pencapaian faktor berikut:

Pemuliharaan penghayatan keimanan melalui pengamalan nilai agama dalam urusan kehidupan pada peringkat individu dan masyarakat.

Menaikkan taraf daya fikir untuk semua lapisan masyarakat supaya bebas daripada buta huruf dan memiliki mutu ilmu yang munasabah untuk mereka menjalankan kehidupan secara berkesan dengan perubahan masa.

Memberi kebebasan dan jaminan perundangan kepada masyarakat negara berkaitan hak menyuarakan pandangan dalam semangat yang beradat dan bertanggungjawab semoga negara ditadbir menepati prinsip syura.

Memberi jaminan kepada kesemua ahli masyarakat supaya mereka bebas menentu atau berusaha bersama dengan pihak swasta dan kerajaan, untuk berkecimpung dalam kegiatan ekonomi dalam dan luar negara. Justeru, sumber harta negara khususnya harta modal perlu sentiasa mengalir dalam sistem sosio-ekonomi untuk mencetus peluang kegiatan ekonomi kesemua lapisan masyarakat.

Negara melalui usahanya membina sebuah tamadun yang utuh supaya dapat memberi keyakinan dan sikap optimis kepada masyarakat bahawa generasi masa depan negara akan terus mengecapi suasana cemerlang. Bahkan mengikut Islam, kecemerlangan adalah sesuatu yang mampu dipertingkatkan daripada semasa ke semasa.

Kedua, prinsip istikhlaf yang membicarakan kedudukan manusia daripada kaca mata Islam. Manusia mengikut Islam adalah pemegang amanah Allah dalam rangka memakmurkan dunia. Semua yang terdapat di dunia adalah hak milik Allah, hatta manusia itu sendiri.

Mereka dicipta untuk keperluan manusia. Oleh itu, manusia bertanggungjawab kepada Allah terhadap apa yang diusahakan dan dimilikinya. Prinsip itu menggaris peraturan mengenai pemilikan harta persendirian seperti berikut:

Pemilikan harta hendaklah melalui cara yang diredai Allah.

Pemilik harta hendaklah menggunakan hartanya untuk kebajikannya dan masyarakat.

Harta yang dimiliki hendaklah dibabitkan dalam kegiatan ekonomi. Pembekuan harta diharamkan oleh Islam kerana ia menimbul ketidakadilan dalam masyarakat.

Ketiga, prinsip bekerja menganjurkan kepentingan konsep bekerja dan membabitkan diri dalam kegiatan sosio-ekonomi. Pembabitan dalam kegiatan sosio-ekonomi adalah ibadat. Setiap pembabitan hendaklah diberi ganjaran setimpal.

Adalah menjadi tanggungjawab pemerintah dan sektor swasta menjamin peluang pekerjaan untuk kesemua lapisan rakyat. Oleh itu, ganjaran yang diperoleh melalui pekerjaan melainkan kepada keadaan yang terkecuali seperti penerimaan harta pusaka, hadiah dan zakat. Islam mengharamkan riba kerana ia adalah pendapatan yang diperoleh tanpa usaha.

Pendekatan positif Islam terhadap konsep kerja akan mengarah masyarakat kepada potensi peningkatan taraf hidup mereka yang disertai dengan keadilan pengagihan harta dan kekayaan.

Keempat, prinsip keuntungan dan kerugian. Islam menjelaskan setiap pembabitan dalam aktiviti sosio-ekonomi mesti mengakui bahawa keuntungan dan kerugian adalah perkara lumrah. Bahkan, prinsip itu adalah asas kepada muamalat dalam Islam. Berdasarkan prinsip itu, mekanisme seperti mudharabah dan musyarakah digalakkan dalam aktiviti ekonomi.

Prinsip itu untuk menjamin keadilan terlaksana dalam setiap kegiatan sosio-ekonomi. Tiada golongan sama ada pemodal ataupun penguasa mendapat tempat istimewa dalam sistem sosio-ekonomi Islam. Kedua-dua golongan memerlukan antara satu sama lain dalam membangun ekonomi masyarakat.

Prinsip itu mengajar bahawa kesemua perlu berminat dan menceburi secara langsung kerana tiada jaminan istimewa pulangan akan dibenarkan dalam sistem Islam.

Kelima, prinsip menjauhkan daripada melakukan kerosakan. Islam menganjurkan dalam kegiatan sosio-ekonomi, segala bentuk kerosakan sama ada dalam bentuk keruntuhan akhlak, kepincangan keluarga dan kerosakan alam persekitaran hendaklah dijauhkan.

Kerosakan kepada diri serta masyarakat tidak sepatut berlaku. Oleh itu, ada perkara yang diharamkan Islam seperti penindasan, penipuan, pencurian, pencemaran alam, pembaziran dan sebagainya tidak berlaku dalam sistem ekonomi Islam.

Daripada prinsip umum Islam itu pemikir Islam semasa perlu peka menjadikan prinsip berkenaan sebagai panduan dalam menyusun dan membangun sosio-ekonomi umat Islam semasa. Ini termasuk dalam penggubalan dasar dan mekanisme ekonomi sesuai perkembangan sosio-ekonomi semasa.

Seorang tokoh ilmuwan Islam, Ibn Khaldun (1332 – 1406 Masihi) banyak menyumbang kepada pemikiran ekonomi pada masa itu.

Beliau mengupas dengan mendalam isu ekonomi dalam masyarakat masa itu menyentuh beberapa aspek seperti nilai, pengagihan buruh, sistem harga, undang-undang berkaitan penawaran dan permintaan, kepenggunaan dan pengeluaran, wang, pembentukan modal, pertumbuhan penduduk, pembiayaan awam dan putaran perniagaan.

Menurut pandangan Ibn Khaldun, faktor kemajuan ekonomi sangat penting ke arah menentukan kestabilan politik sesebuah masyarakat tercapai. Beliau berpandangan, sejarah maju mundur sesebuah masyarakat ada pertalian rapat dengan pencapaian kemajuan ekonomi masyarakat itu.

Beliau turut membincangkan mengenai beberapa peringkat bagaimana sesebuah masyarakat perlu lalui dalam mencapai kemajuan ekonomi. Katanya, daripada perspektif ekonomi-makro, pendapatan dan pembiayaan akan seimbang untuk sesebuah bandar dan jika kedua-dua pendapatan dan pembiayaan besar, bandar itu akan membangun.

Dalam analisis ekonomi seterusnya, Ibn Khaldun berpendapat buruh mempunyai tempat istimewa dalam teori nilai. Pendapatan kepada individu adalah daripada usaha tenaga yang disumbangkan oleh buruh berkenaan. Oleh itu pendapatan diperoleh seorang daripada sumbangan tenaganya adalah nilai buruh. Bahkan, tanpa sumbangan tenaga buruh penghasilan produk tidak akan wujud.

Beliau turut merumuskan bahawa permintaan kepada buruh meningkat jika permintaan kepada sesuatu barangan meningkat. Sektor awam mengikut Ibn Khaldun adalah sektor yang utama kepada pasaran buruh.

Ibn Khaldun turut meyakinkan jumlah penduduk menyumbang kepada kemajuan ekonomi sesebuah negara. Justeru, setiap penduduk melalui pembahagian pengkhususan bekerja berdasarkan kemahiran masing-masing adalah penyumbang penting kepada kemajuan ekonomi.

Walaupun peranan sektor awam penting kepada sesebuah ekonomi, Ibn Khaldun menganjur kepada campur tangan sektor awam yang minimum dalam urusan ekonomi negara. Walaupun demikian, beliau berpandangan sektor awam berperanan mengawal kejatuhan aktiviti perniagaan sektor swasta dan menerus pembangunan ekonomi sesebuah negara.

Justeru, dalam usaha memantapkan prestasi sektor swasta, kadar cukai yang hendak digubal oleh kerajaan perlu teliti semoga semangat keusahawanan sektor swasta tidak terjejas. Jika semangat keusahawanan sektor swasta terjejas, keadaan ekonomi akan turut mengalami masalah dan jumlah cukai yang mampu dipungut kerajaan akan menurun.

Pandangan pemikir seperti Ibn Khaldun perlu wujud di kalangan ilmuwan Islam masa kini. Dengan berpandukan prinsip umum Islam yang dapat diambil daripada sumber asas Islam iaitu al-Quran dan hadis Nabi SAW, ilmuwan Islam perlu memahami perkembangan semasa sosio-ekonomi.

Gabungan kemampuan ilmuwan Islam memahami al-Quran dan hadis Nabi SAW dengan perkembangan sosio-ekonomi adalah usaha utama masa kini untuk mengembali keagungan Islam dan kemajuan umatnya.

Menguasai asas Islam secara mendalam sepatutnya merangsang ilmuwan Islam menterjemah prinsip Islam dalam penyusunan kehidupan dan menguasai perkembangan semasa isu sosio-ekonomi negara. Islam perlu membimbing hakikat semasa. Ia bukan slogan untuk dilaungkan saja.

Penulis ialah Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia