Showing posts with label Kasih sayang. Show all posts
Showing posts with label Kasih sayang. Show all posts

Thursday, April 23, 2009

Kasih sayang kunci kesejahteraan keluarga, masyarakat

SIFAT kasih sayang kunci perpaduan manusia. Seorang pemimpin pengasih dan prihatin, menyebabkan rakyat dan pengikut hormat serta menyanjunginya. Seorang ayah penyayang dan prihatin, akan dicintai dan dihormati anak dan isterinya.

Demikianlah rahsia kekuatan kasih sayang dalam kehidupan manusia. Kasih sayang akan mendekatkan antara benua, negara dan mengikat persaudaraan manusiawi sekalipun berlainan bangsa, agama, budaya, warna kulit serta pangkat.

Kasih sayang juga kunci kesejahteraan keluarga dan masyarakat. Oleh itu, penting kita usahakan supaya disayangi dan sekali gus menyayangi orang lain.

Jika kita seorang anak, usahakan kita disayangi ibu bapa. Jika kita ibu bapa, usahakan anak menyayangi kita. Dengan demikian, akan wujud dalam rumah tangga, orang tua sayang pada anak dan anak sayang pada orang tua.

Bagi pasangan suami isteri, kita mesti berusaha supaya pasangan disayangi dan menyayangi kita. Demikian juga dengan kepemimpinan negara, pendidik, ketua jabatan atau pemimpin masyarakat, perlulah berusaha menyayangi dan disayangi orang di bawah jagaan kita demi menjadi pemacu kesejahteraan sejagat.

Ambillah iktibar bagaimana kasih sayang seekor kucing dan ular seperti diceritakan Imam Malik bin Dinar. Menurut beliau ketika hendak makan, tiba-tiba seekor kucing menyambar sepotong daging daripada pinggannya.

Lalu beliau mengekori ke mana ia dibawa. Rupa-rupanya kucing itu mencampakkan daging berkenaan ke dalam lubang berbatu yang dihuni seekor ular buta yang kelaparan. Renungilah, betapa pengasih dan penyayang haiwan itu walaupun berlainan jenis.

Allah sengaja mempamerkan naluri sayang binatang ini untuk menjadi pengajaran manusia. Walaupun ada antaranya bersifat ganas, tetapi kasih sayangnya sangat tinggi.

Isu perceraian yang tinggi di kalangan masyarakat Islam memang membimbangkan, kegagalan ibu bapa mengawal tingkah laku jelek anak, peningkatan gejala sosial, kurangnya semangat kejiranan, tidak mengambil berat masalah masyarakat, seakan petanda perasaan kasih sayang dalam masyarakat sudah hilang.

Sebagai Muslim dan Mukmin berpegang dengan al-Quran dan sunnah, marilah kita menghayati semangat kasih sayang dan muhibah dalam kehidupan seharian demi mencapai keredaan Allah dan kebahagiaan dunia serta akhirat.

Semangat ditunjukkan kepemimpinan melalui ikrar mereka ketika majlis angkat sumpah, adalah tanda kasih sayang pemimpin untuk berbakti kepada rakyat serta memastikan pengurusan negara yang berkesan.

Semoga sumpah mereka akan diterjemahkan melalui tindakan serta gerak kerja yang pastinya menjadi bukti kepada kasih sayang mereka dan usaha ke arah mencari keredaan Allah di dunia dan akhirat.

Firman Allah bermaksud: "Kamu tidak dikira salah oleh Allah mengenai sumpah kamu yang tidak disengajakan, akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat." (Surah al-Maidah, ayat 89)

Tuesday, October 21, 2008

Disiplin, kasih sayang tidak seimbang pincangkan proses mendidik anak

Oleh Noor Shakirah Mat Akhir

KASIH sayang mempunyai kesan amat kuat dalam pendidikan, khususnya bagi pembinaan keluarga. Pendidikan menggunakan kekerasan hanya mengundang padah lebih dahsyat. Pendekatan yang sama disarankan Islam dalam mendidik jiwa seseorang. Dalam konteks pendidikan kanak-kanak, pendidikan jiwa perlu diutamakan. Jiwa yang mengenal Allah, beriman dan menyembah-Nya serta bebas daripada syirik adalah matlamat pendidikan rohaniah.

Keadaan ini jelas difahami dalam al-Quran. Maksud firman Allah: "Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: "Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar." (Luqman: 13)

Akidah kukuh lagi mantap mesti melahirkan insan beramal salih dan berakhlak mulia. Pendidikan berasaskan kasih sayang dan bertanggungjawab bererti kasih sayang rasional dan masih disertakan dengan ketegasan. Kasih sayang rasional melahirkan usaha mendidik berterusan dan tanpa putus asa daripada pendidik. Kasih sayang yang bertanggungjawab merujuk kepada niat dan matlamat pendidikan untuk melahirkan insan beriman lagi bertakwa dan beramal salih serta berakhlak mulia.

Oleh itu, ia tidak bermakna kasih sayang membuta tuli memberi fokus kepada aspek material semata-mata mahupun aspek emosi saja. Tindakan ini membabitkan aspek pendidikan spiritual yang berlandaskan syariat. Seorang kanak-kanak perlu dididik bukan saja aspek fizikal, namun spiritualnya lebih perlu diambil kira. Namun, keseimbangan kedua-dua aspek ini penting demi memastikan perkembangan individu sejahtera. Pendidikan rohani termasuk menekankan kasih sayang antara ibu bapa dan anak. Kasih sayang adalah senjata utama dalam memastikan keberkesanan didikan kerana kepatuhan mudah terhasil daripada rasa cinta dan sayang. Kecintaan kepada Allah menjadikan kita hamba yang patuh dan taat.

Ibu bapa berperanan sebagai pendidik utama kepada anak sebelum gurunya. Kasih sayang yang terjalin atas dasar ibu bapa dan anak paling berkesan bagi memastikan segala ajaran dipatuhi. Perasaan kasih sayang juga akan lebih kukuh jika pelaksanaan tugas mendidik itu disertai dengan rasa tanggungjawab dan ikhlas serta sedar bahawa ia adalah amanah dari Allah.

Didikan dengan penuh kasih sayang tidak bermakna mengabaikan aspek disiplin yang tetap penting dilaksanakan, namun atas dasar kasih dan sayang untuk menyelamatkan seorang kanak-kanak daripada salah didikan. Disiplin yang disertakan dengan kasih sayang amat berbeza dengan berbentuk penaklukan dan pemerintahan. Dalam proses pendidikan, disiplin yang disertakan dengan kasih dan sayang serta niat melaksanakan amanah Allah tentu menghasilkan natijah baik. Salah faham antara disiplin dan kasih sayang menjadikan proses didikan tidak seimbang.

Jika masyarakat semakin tidak menitikberatkan keperluan rohani iaitu kasih sayang, maka pincang pembentukan sesebuah masyarakat. Gejala sosial seperti vandalisme, rogol, buli, penderaan dan pembunuhan menunjukkan rohani manusia semakin jauh daripada perasaan kasih sayang.

Semua jenayah terhadap makhluk lain hanya dilakukan jika diri seseorang kosong daripada kasih sayang. Perasaan ini perlu ada dalam diri manusia yang merangkumi kepada Allah, diri sendiri, sesama manusia dan makhluk lain. Didikan yang penuh dengan paksaan dan kekerasan tidak menghasilkan natijah yang baik.

Memandangkan kepentingan kasih sayang dalam pendidikan individu seterusnya masyarakat, maka dalam mengkaji permasalahan melanda sekarang perlu dihalusi punca berhubungkait dengan unsur kasih sayang.

Manusia yang kekurangan kasih sayang dan perhatian menjadi ganas dan tidak berperikemanusiaan. Tambahan pula jika tidak diiringi fahaman dan pegangan agama yang kukuh, manusia begini terus hanyut tanpa pertimbangan. Kasih sayang sepatutnya menjadi teras kepada pembinaan akhlak kanak-kanak yang bermula dari rumah.

Saturday, August 9, 2008

Hubungan agama, kehidupan ibarat irama dan lagu

Oleh Hasliza Hassan
bhnews@bharian,com.my

TUNJUK AJAR: Dr Ary Ginanjar (kiri) bersama sebahagian peserta yang mengikuti latihan ESQ.


Masyarakat hilang arah kerana mencari kecemerlangan dunia hingga terlupa amalan akhirat

SETIAP kali mengingati arwah ayah yang meninggal dunia pada 2003, hati rasa sayu hingga ada kalanya tidak dapat menahan tangisan kerana mengenangkan kasih sayang dicurahkan ayah sejak kecil hingga dewasa dan bergelar ibu.

Begitulah perasaan rindu pada ayah yang datang tanpa mengira waktu. Tetapi perasaan rindu pada Allah hanya hadir tatkala diri merasa resah, ada sesuatu tidak kena berlaku atau ketika merayu supaya dikabulkan hajat. Memang memalukan untuk mengakuinya tetapi itulah hakikat.

Persoalan itu timbul selepas mengikuti latihan asas Kecerdasan Emosi dan Spiritual (ESQ) 165 yang diadakan di Kuala Lumpur, selama tiga hari, baru-baru ini. Malah, banyak lagi persoalan yang terjawab dan hanya menunggu masa untuk melakukan tindakan seterusnya.

Kesimpulan diperoleh daripada latihan disertai 290 peserta itu, kebanyakan kita masih memisahkan agama daripada kehidupan sedangkan kedua-duanya ibarat `irama dan lagu'. Pautan keduanya begitu kuat dan jika dipisahkan, maka pincanglah diri, masyarakat, negara dan dunia.

Itulah yang dapat dilihat hari ini iaitu kekalutan yang melanda, menyebabkan masyarakat seakan hilang arah kerana tumpuan hanya kepada mencapai kecemerlangan dunia hingga terlupa asas yang sepatutnya menjadi tunjang iaitu ajaran agama.


LATIHAN: Peserta mengikuti permainan dalam aktiviti simulasi ketika mengikuti latihan asas ESQ 165.


Analoginya mudah saja. Selalunya apabila ingin memikat orang yang disayangi tidak kira lelaki atau perempuan, pastinya kita akan mencuba sedaya upaya melakukan apa yang disenangi pasangan semata-mata untuk menarik perhatiannya kepada kita.

Setiap kali berjanji untuk berjumpa, perasaan terus 'tergedik-gedik' tidak sabar, malah pelbagai perancangan diatur daripada pemilihan pakaian hingga kepada perkataan yang bakal diutarakan apabila bersama nanti.

Apabila tiba waktu temu janji dengan Allah yang Maha Pengasih lagi Penyayang, adakah hati rasa tergedik-gedik untuk segera menunaikan solat. Bagaimana pula persediaan terutama kata-kata dalam doa yang ingin diucapkan pada pertemuan itu. Apakah itu semua diambil kira?

Begitu juga bagi pekerja atau ketua syarikat, jika semua mengikut peraturan dan memenuhi hak serta tanggungjawab masing-masing, maka tidak akan berlaku kakitangan ponteng kerja sementara majikan tidak menyalahgunakan kuasa.

Sesungguhnya, Allah lebih menyayangi serta mencintai hambanya. Jaminan kasih sayang Allah ialah setiap hamba yang melakukan dosa tidak kira berapa banyaknya akan diampunkan-Nya selagi mereka tidak syirik kepada-Nya.

Segala nikmat dan rahmat terus dikurniakan kepada manusia di dunia ini seperti nikmat hidup, makan, pakai, harta dan alam sekitar supaya mereka dapat menjalani kehidupan senang lenang. Dan sebagai balasan hamba kepada Tuhannya, tepuk dada, tanya iman.

Latihan ESQ 165 bukan kelas belajar agama tetapi melatih peserta membangun nilai insan melalui nilai sejagat merujuk kepada al-Quran dan sunnah. Pencarian iman ditunjukkan melalui penerokaan alam angkasa yang membuktikan kewujudan serta kekuasaan Allah.

Peserta juga dipandu membangunkan prinsip hidup dan keperibadian berdasarkan Cara ESQ 165. Angka 165 adalah simbol bagi 1 hati yang ihsan, enam prinsip moral berdasarkan Rukun Iman dan lima langkah kejayaan berasaskan Rukun Islam.

Pendekatan menggunakan teknologi terkini termasuk sistem bunyi yang hebat membantu menterjemahkan Cara ESQ 165 dan menjadikan kursus itu lain daripada yang lain. Proses simulasi dengan kaedah penceritaan serta permainan memudahkan peserta memahami mesej disampaikan.

Nampaknya latihan menyentuh aspek spiritual menggunakan kaedah penceritaan terutama membabitkan permasalahan harian dihadapi manusia sesuai dengan fitrah sesetengah peserta yang berjaya disentuh hatinya hingga menerbitkan rasa sayu dan ada menangis mengenang diri.

Waktu lain, perbincangan berkisar kepada faktor yang membantu membangunkan prinsip hidup dengan cara mengembangkan ketiga-tiga kecerdasan intelektual, emosi dan spiritual melalui pemikiran rasional.

Sasarannya ialah hati sebagai pusat orbit dan titik ketuhanan (god spot) dalam otak manusia yang menentukan perjalanan hidup seseorang itu. Setiap kita mempunyai titik ketuhanan tetapi bagaimana untuk menyentuh titik itu.

Keseluruhannya, latihan ESQ 165 menekankan kepentingan kecerdasan spiritual yang menjadi pusat kepada kecerdasan lain seperti kecerdasan intelektual dan emosi. Tujuannya bagi melahirkan insan yang mampu mengembangkan keperibadian melalui kecerdasan emosi serta kerohanian.

Peserta akan dibimbing untuk membangkitkan tujuh nilai iaitu jujur, tanggungjawab, berwawasan, disiplin, kerjasama, adil, dan prihatin. Nilai itu sebenarnya sudah tertanam dalam diri manusia sejak lahir.

Melalui latihan ESQ, peserta diarahkan untuk dapat mencapai nilai dasar itu dan membantu membangkitkan kekuatan tersembunyi serta mengerahkan seluruh potensi dirinya untuk kehidupan dan pekerjaan yang lebih produktif.

Berjayakah pendekatan latihan diasaskan penulis buku ESQ: Rahsia Kejayaan Membangun Kecerdasan Emosi dan Spiritual dan pengasas latihan ESQ 165, Dr Ary Ginanjar Agustian itu membantu mencungkil kecerdasan emosi dan spiritual peserta, hanya mereka yang pernah melalui pengalaman selama tiga hari berkenaan boleh memberikan jawapan.

Bagaimanapun, keadaan mata serta hidung peserta yang merah apabila keluar dewan dan kesungguhan mereka membincangkan semula ilmu diperoleh pada sesi latihan ketika menikmati hidangan tengah hari atau minum petang yang disediakan mungkin boleh memberi gambaran awal.

Pengalaman menarik yang selama ini tidak disedari kerana tidak diberi perhatian ialah konsep salam semut yang diperkenalkan di mana setiap peserta pada setiap waktu akan diminta bangun untuk bersalaman sambil berpelukan dengan sahabat baru di sekeliling mereka.

Pada saat itu akan terasa kemesraan serta perpaduan yang sepatutnya menjadi amalan setiap insan jika inginkan sebuah masyarakat hidup dalam suasana aman, damai serta harmoni. Syaratnya, perasaan ketika itu mesti bebas daripada persepsi.

Memang nampak remeh tetapi cubalah salam dan peluk ahli keluarga atau sahabat dengan hati ikhlas tanpa sebarang prasangka. Rasanya, memang sukar digambarkan. Tidak percaya? Apa kata selepas ini salam dan peluk orang disayangi. Jika tiada rasa, mungkin hati kita belum kosong lagi.

Kosong bermakna keadaan hati yang bebas daripada faktor menghalang. Jawapan kenapa adanya penghalang untuk melakukan kebaikan ialah hati tidak bebas daripada perasaan prasangka, suka membandingkan dan banyak lagi sifat negatif perlu dibersihkan.

Sekadar memetik kata-kata alumni ESQ yang juga penerbit di Jabatan Majalah, Dokumentari dan Famili TV3, Mohd Noor Sulaiman yang sempat berkongsi pengalaman: "Impak selepas menjalani latihan ESQ banyak pada diri dan ini hasil keyakinan kepada kuasa Allah.

"Prestasi kerja juga akan meningkat kerana kita sedar diri adalah khalifah Allah di muka bumi ini. Sebelum ini tertanya kenapa masih ada kekosongan sedangkan ada kerja elok. Saya terbabit menerbitkan program agama tetapi masih merasakan banyak perkara tidak mampu dijawab. Sekarang saya sudah mendapat jawapannya."

Thursday, August 7, 2008

Kemanusiaan kita semakin hilang


Penderaan, pembunuhan bukti sifat belas kasihan tidak wujud dalam jiwa


MASYARAKAT negara ini terkenal di serata dunia dengan budaya hidup serta budi pekerti yang lemah lembut dan bersopan santun. Inilah juga yang memikat banyak hati sehingga ada yang mengambil keputusan tinggal di sini kerana tautan yang tidak boleh dirungkai lagi.

Keadaan itu menepati ajaran Islam yang menganjurkan umatnya menghiaskan diri mereka dengan sifat terpuji. Cuma sejak akhir-akhir ini kita dikejutkan dengan pelbagai kisah mengaibkan, kekasaran, penindasan, pembunuhan, penyalahgunaan dan kekejaman yang tidak kita reda sama sekali.

Rentetan itu sudah cukup membimbangkan dan menggambarkan betapa segelintir masyarakat Malaysia kini semakin ketandusan sifat kemanusiaan dalam sudut hati mereka disebabkan tiada belas kasihan sesama insan.

Bagi umat Islam, perbuatan penderaan dan penganiayaan dilarang keras kerana Islam adalah agama bersifat rahmat iaitu belas kasihan. Jika kita benar-benar menghayati agama, Insya-Allah tiada kepincangan dalam hubungan kemasyarakatan bahkan Rasulullah SAW juga menunjukkan cara sebaik-baiknya untuk berakhlak dengan tetangga dan ahli masyarakat.

Ditegaskan Allah dalam firman yang bermaksud: "Kami tidak mengutuskan engkau (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat kepada alam sejagat." (Surah al-Anbia', ayat 107)

Menjadi orang yang membawa kebaikan kepada alam sejagat bukanlah mudah dan kerana itu Rasulullah SAW mengajarkan perbuatan baik untuk dilakukan kepada orang lain supaya Baginda tidak berseorangan dalam urusan ini sebaliknya dibantu dan disokong oleh sahabat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Kamu sekali-kali tidak akan dianggap beriman sehingga kamu bersifat rahmat. Ujar sahabat: Kami semua sememangnya bersifat rahmat. Lantas Baginda SAW menjawab: Bukan itu maksudku, rahmatmu kepada kawan kamu, sebaliknya maksudku ialah rahmatmu kepada umum (alam sejagat)." (Hadis riwayat Tabarani)

Dimaksudkan dengan rahmat adalah apa juga perkara yang membawa kebaikan dan Islam satu-satunya agama membawa misi keamanan, kedamaian, keharmonian, kemesraan dan rahmat kepada seluruh isi alam termasuk binatang.

Oleh itu, bagi menjamin kedamaian dan rahmat terlaksana Islam memerintahkan umatnya menghias diri mereka dengan sifat belas kasihan yang turut menjadi bukti kepada kesempurnaan iman seseorang kepada Allah.

Belas kasihan ini bukan saja kepada sahabat terdekat tetapi alam seluruhnya, lebih-lebih tetangga dan tetangga dalam Islam termasuklah orang yang hampir dengan kita kerana rumahnya berdekatan atau hampir kerana hubungan nasab mahupun agama.

Sebagai umat Islam, kita perlu berbuat baik terhadap mereka paling hampir dengan kita terlebih dulu sehingga apabila ingin memberi sedikit juadah kepada tetangga, Rasulullah SAW mengajar supaya diberi kepada jiran pintunya paling hampir dengan rumah kita, bukan yang paling rapat.

Sifat belas kasihan membuatkan kita mudah tersentuh apabila melihat kesusahan menimpa orang lain dan begitu juga sebaliknya. Jika perasaan seumpama itu tidak wujud dalam diri manusia, maka ia menurunkan taraf manusia lebih teruk daripada binatang, seperti sanggup membunuh anak sendiri sedangkan binatang masih lagi memiliki perasaan belas kasihan terhadap anaknya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Allah menjadikan rahmat 100 bahagian, satu bahagian daripadanya sudah diturunkan ke bumi. Daripada bahagian satu inilah, sekalian makhluk dapat berbelas kasihan sesama sendiri antara satu sama lain hinggakan ada seekor binatang yang mengangkat kakinya kerana takut terpijak anaknya sendiri." (Hadis riwayat Bukhari)

Ibu bapa yang mempunyai anak memikul tanggungjawab berat dalam pendidikan anak. Ibu bapa perlu mempunyai sifat kasihan belas dalam proses pendidikan anak. Jika mereka melakukan kesalahan, hendaklah ditegur dan betulkan dengan kasih sayang, bukan memukul dengan kekerasan.

Dalam tahap pendidikan pada awal usia, anak perlu dibelai, ditatang serta diasuh dengan penuh kasih sayang, bukannya dengan kekerasan yang hanya akan menyebabkan anak semakin liar dan nakal. Perlu diingat gejala sosial yang semakin membarah dalam masyarakat berpunca daripada kepupusan perasaan kasihan belas serta kemesraan dalam rumah tangga.

Justeru, apabila berlaku kesilapan atau kesalahan oleh anak, ibu bapa perlu menilai kemungkinan itu berpunca daripada kesilapan mereka yang gagal mewujudkan keharmonian rumah tangga seperti dituntut Islam dan bukannya bermula daripada masalah sosial yang dilalui selepas besar panjang.

Dalam konteks kekeluargaan pula, suami isteri perlu bertolak ansur dan berbelas kasihan antara satu sama lain menguruskan serta melancarkan perjalanan rumah tangga mereka. Ia selaras objektif perkahwinan untuk menyuburkan bibit kasih sayang dan kemesraan antara suami isteri bagi mengecapi kebahagiaan sejati.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan." (Surah al-Rum, ayat 21)

Justeru, warga Malaysia yang harmoni, paksikan tatacara kehidupan dengan moral dan akhlak tinggi, zahirkan kasih sayang yang syarie, belas kasihan tanpa malu dan sangsi, semata-mata kerana rahmat dari Ilahi, pasti tidak ada bencana terjadi, apatah lagi kekejaman melanggar hak asasi.