Showing posts with label Modal Insan. Show all posts
Showing posts with label Modal Insan. Show all posts

Thursday, February 11, 2010

Proses pendidikan perlu disertai asas agama kukuh

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh
salidaruhaila99@yahoo.com


KEJAYAAN tidak akan datang tanpa sokongan daripada ibu bapa, kecemerlangan pendidik serta usaha sendiri. - Gambar hiasan


Ibu bapa, pendidik bersama laksana strategi lahirkan generasi cemerlang

MENCERNA modal insan menjadi satu fizikal yang upaya dalam segenap segi memerlukan strategi teratur dan berhierarki. Begitulah juga dalam soal membangunkan sahsiah dan akademik permata negara yang diharap silaunya memberi cahaya kepada agama juga.

Usaha Kementerian Pelajaran menggubal silibus khusus untuk murid pintar Tahun Satu di Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) tentulah bertujuan memanfaatkan kebijaksanaan anak ini semaksimum mungkin.

Namun begitu, usaha ini bukan saja membabitkan pihak sekolah khususnya dan kementerian amnya, malah perlu mendapat kerjasama ibu bapa, terutama dalam memastikan nilai-nilai murni dan tonggak peribadi anak yang cemerlang seiring dengan prestasi akademik.

Secara umumnya, tiada insan kecil yang ingin gagal dan dipinggirkan. Walaupun tidak 'luar biasa', mereka pasti mahu berjaya. Ada kanak-kanak yang lambat matang, menjadikan mereka tidak galak membuktikan kecemerlangan, tetapi sifat tekun dan berakhlak mulia menjadikan mereka istiqamah menuntut ilmu.

Sebab itulah ibu bapa perlu mengenal pasti tahap kecenderungan anak-anak dan memantau prestasi supaya mereka tetap pendirian dan tahu keutamaan. Tambahan pula, pendidikan pertama bermula dari rumah, tetapi ia tidak berlanjutan begitu kerana sistem pendidikan rasmi menjadualkan setiap orang wajib bersekolah apabila berusia tujuh tahun.

Waktu berkualiti yang sedikit ketika berada di rumah tentulah tidak mengizinkan proses pembelajaran berlaku dengan sempurna. Malah, ramai ibu bapa mempunyai komitmen kepada kerjaya, lantas mengharapkan pengorbanan guru di sekolah atau pusat pendidikan lainnya mentarbiyah anak-anak mereka sebaik mungkin, sehingga mereka berjaya dan cemerlang.

Setiap pelajar mengharapkan diri mereka berjaya, malangnya ada yang tidak menyedari bagaimana caranya untuk mencapai cita-cita. Segelintir mereka diserahkan bulat-bulat kepada guru untuk dibimbing, dididik menjadi orang berguna, sehinggalah apabila mereka mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan, ibu bapalah orang yang paling gembira dan mendabik dada sehingga terlupa bagaimana anak mereka dicanai berguna.

Tetapi malangnya apabila tidak lagi menghuni 'sekolah', anak begini akan membawa haluan sendiri, mencorak masa depan sesedap hati, sehingga akhirnya mempertaruhkan ilmu yang dicari dengan apa juga yang mengulit diri tanpa ada 'guru' yang membimbing lagi.

Ada ramai pula ibu bapa yang menyedari pentingnya perhatian dan keprihatinan mereka terhadap setiap anak-anak, mereka membantu guru memperkasakan sekolah dan persatuan, mengambil tahu kegiatan dan aktiviti anak-anak di sekolah serta tidak lokek masa untuk menjengok anak dan teman mereka di sekolah.

Pusat tarbiah insan ini tentunya tidak sama dengan tempat lain, yang mungkin infrastrukturnya sama, organisasinya hampir sama, pentadbirannya juga tidak jauh berbeza tetapi hasil yang akan dikeluarkan adalah tidak sama, kerana sekolah melahirkan manusia yang terdidik dan berilmu, tidak sama seperti kilang pengeluaran yang menitikberatkan penghasilan menepati piawai yang boleh diukur dengan standard kualiti zahirnya, iaitu mesti tiada cacat cela yang boleh dikategorikan sebagai kualiti kelas kedua.

Firman Allah SWT dalam Surah Ali-Imran, ayat 110 yang bermaksud: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara buruk dan keji, serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benarnya)

Tetapi manusia tidak boleh diukur dengan keserupaan fizikal mereka untuk menentukan mereka berkualiti. Cacat cela zahirnya pula tidak mengesahkan mereka bodoh dan tidak berakhlak. Itulah susahnya menjadi pendidik yang perkasa di pusat pentarbiahan insan, kerana mereka mesti melahirkan manusia yang mempunyai mental dan peribadi berkualiti tinggi, yang tidak boleh diukur dengan pandangan mata.

Firman Allah yang dalam Surah al-Alaq, ayat 1-5 bermaksud: Bacalah dengan nama Tuhan-Mu yang menjadikan sekalian makhluk. Tuhan yang menjadikan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dengan nama Tuhan-Mu yang maha pemurah. Tuhan yang mengajar manusia menulis dengan kalam. Tuhan yang mengajar manusia apa yang manusia tidak mengetahuinya.

Daripada ayat di atas, jelaslah bahawa dalam konteks manusiawi, pendidikan bermula daripada proses penerokaan (mengguna akal) yang perlu disertai dengan asas agama yang kukuh. Orang yang mencari ilmu atau melakukan apa juga perbuatan, jika dimulakan dengan nama Allah SWT, insya-Allah akan dapat mengelak terpesong daripada matlamat sebenar mereka.

Kesedaran ibu bapa dalam memulakan pendidikan anak pada peringkat awal mereka mengenali dunia dengan mengenalkan mereka kepada Yang Maha Mencipta adalah sebaik-baik cara yang sepatutnya mereka lakukan. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud: "Menuntut ilmu itu adalah fardu kepada semua orang Islam." Justeru, kefarduan itu perlu dimulakan dengan sesempurna mungkin supaya diberkati Allah SWT.

Guru yang bakal meneruskan tarbiah kepada anak yang terdidik dengan permulaan yang baik tentunya tidak mempunyai masalah kerana cabaran kehidupan dan sosial yang semakin meruntun tidak akan menggugat peribadi dan sikap yang baik.

Tambahan pula, mencari ilmu adalah tuntutan besar agama kerana ia adalah aset dan bekalan kepada setiap individu dalam mengharungi kehidupan yang penuh liku. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang ingin kebahagiaan di dunia, maka perlu berilmu. Sesiapa yang inginkan akhirat, maka perlu dia berilmu. Dan sesiapa yang inginkan dunia dan akhirat, maka perlulah dia berilmu." (Hadis riwayat Muslim).

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pengajian di United Kingdom

Friday, October 10, 2008

Dakwah berhikmah bentuk kekuatan kerohanian

Oleh Dr Sapora Sipon


KESEDARAN mengenai keimanan dan ketakwaan kepada Allah perlu ditanam dalam diri setiap orang Islam sejak kecil. - Gambar hiasan


Rasulullah SAW buktikan kesabaran, seruan secara baik, berterusan mampu beri kejayaan

PEMBANGUNAN modal insan menjadi agenda utama dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK–9) kerana memberi fokus kepada usaha mempertingkat mutu kehidupan melalui penguasaan ilmu, pembangunan insan, kesihatan serta fizikal.

Mempertingkatkan mutu kehidupan dilaksanakan dengan mengamalkan sistem ekonomi, perdagangan dan kewangan yang dinamik. Ke arah itu, pembangunan sepadu dan seimbang perlu dalam usaha melahirkan umat berilmu dan beriman, bertamadun tinggi, berakhlak mulia, jujur lagi amanah serta bersedia menangani cabaran semasa dunia global.

Keperluan membangunkan modal insan melalui keseimbangan individu dinyatakan dengan jelas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika berucap merasmikan ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke–48.

Beliau berkata, untuk membangunkan modal insan kita mahu memberi ilmu pengetahuan secukupnya, kita mahu mendidik mereka menjadi bangsa berpekerti mulia, mempunyai hemah yang tinggi, berjiwa besar, cintakan negara, mempunyai kekuatan jasmani dan kekuatan rohani. (Bernama, 31 Ogos 2005)

Dalam usaha melahirkan individu seimbang dari aspek rohani, jasmani dan intelektual bukanlah satu perkara mudah. Satu pendekatan bersifat menyeluruh dan sistematik perlu diambil. Dakwah dilihat sebagai seruan bersifat komprehensif dan terancang yang bukan saja menyeru manusia supaya melakukan kebaikan, mencegah kemungkaran dan mengajar ilmu agama berlandaskan wahyu tetapi ilmu yang memberi manfaat kepada kehidupan. Pendek kata, dakwah amat berkesan dalam membangunkan modal insan.

Keberkesanan dakwah dalam membentuk dan melahirkan individu mempunyai kekuatan jasmani dan rohani sudah dibuktikan Baginda Rasulullah SAW. Usaha Baginda yang tidak pernah kenal putus asa berjaya mengubah bangsa Arab Jahiliah yang rendah nilai moral dan akhlaknya menjadi satu bangsa bertamadun tinggi.

Dakwah Islam yang bertujuan membangunkan modal insan perlu disampaikan penuh hikmah, secara memberi peringatan, nasihat dan seruan. Ia perlu disampaikan dengan baik melalui dialog dan pertukaran fikiran.

Firman Allah yang bermaksud: "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang sesat daripada jalan-Nya dan Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk." (Surah an-Nahl, ayat 125)

Berdakwah melalui kaedah berhikmah dapat dilihat melalui peristiwa Perjanjian Hudaibiyah. Perjanjian itu menjadi satu pengajaran besar yang wajib dijadikan petunjuk, betapa kejernihan hati nurani umat Islam di bawah pimpinan Rasulullah SAW yang berpegang kepada prinsip bahawa peperangan dan kekerasan bukan jalan pintas boleh membawa kejayaan.

Kalimah Allah yang terkandung dalam al-Quran disampaikan dengan penuh berhikmah, menyeru, menegur, memperingatkan dan menasihati manusia ke jalan kebaikan iaitu jalan menuju kedamaian dan jalan mendapat keredaan Allah.

Keperluan kepada usaha pembangunan insan lebih jelas terutama pada masa ini di mana berlaku pelbagai masalah kerohanian dan keruntuhan akhlak sehingga sampai satu tahap membimbangkan semua pihak.

Pelbagai jenis jenayah, masalah sosial dan bermacam perilaku negatif dihadapi masyarakat Malaysia sekarang. Keadaan itu tidak boleh dibiarkan terus berlaku kerana ia akan menghalang pencapaian negara maju seperti dihasratkan.

Usaha yang jelas dan menyeluruh dimulakan dari akar umbi perlu digerakkan oleh semua pihak dalam memastikan tahap pembangunan insan, rakyat dan negara berjalan seperti diinginkan.

Walaupun berdakwah dapat membantu dalam pembangunan modal insan cabaran dakwah yang semakin meruncing hari ini, memerlukan setiap umat Islam berperanan menjalankan dakwah dengan penuh komited dan tidak kenal letih atau jemu.

Ketrampilan intelektual pemimpin, ibu bapa dan masyarakat penting dalam menjana sumber insan yang cemerlang. Perkara ini dijelaskan melalui firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya yang takut kepada Allah di kalangan hamba-Nya ialah mereka yang beriman." (Surah Fatir, ayat 28)

Proses ini mengambil masa lama dan sentiasa berterusan kerana ilmu yang digarap tidak akan bertahan lama tanpa digilap dan dipancarkan.

Islam sebagai agama rasmi negara melalui Perlembagaan Persekutuan sepatutnya dijadikan umat Islam untuk melaksanakan dakwah Islamiah dengan bersungguh-sungguh. Kesedaran mengenai hakikat kehidupan dan rasa kecintaan, keimanan dan ketakwaan kepada Allah perlu ditanam dalam diri setiap orang Islam sejak kecil.

Ketakwaan yang lahir daripada keimanan kepada Allah penting bagi melahirkan individu berakhlak dan bermoral tinggi yang akan menjaga hubungan sesama manusia, menghormati perbezaan agama, bertolak ansur dan tidak bersifat mementingkan diri.

Dalam usaha berdakwah, badan dakwah perlu berperanan secara aktif seperti membuat penyelidikan bagaimana meningkatkan pembangunan insan berlandaskan teori dan praktikal bagi memastikan dakwah dapat dilaksanakan dengan lebih efektif.

Kegiatan dakwah juga perlu dilakukan secara kontekstual iaitu bersesuaian dengan perkembangan semasa supaya orang yang didakwah dapat memahami apa yang ingin disampaikan kepada mereka.

Selain itu, mesej dakwah yang ingin disampaikan hendaklah jelas bagi mengelakkan kekeliruan ataupun salah faham yang akhirnya boleh mengakibatkan berlakunya penyelewengan akidah dan sebagainya.

Keberkesanan dakwah untuk melahirkan modal insan seimbang adalah satu tuntutan dalam Islam dan perlu dilakukan secara berterusan. Ia menjadi tuntutan umat Islam bertujuan melahirkan insan seimbang dalam semua aspek berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Allah.

Penulis ialah pensyarah kanan Program Kaunseling Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)