Showing posts with label Lupa. Show all posts
Showing posts with label Lupa. Show all posts

Friday, November 13, 2009

Ingatan bagi pelupa: Tiga jenis sifat tercela perlu dijauhi

SALAH satu sifat mazmumah yang amat dibenci Islam dan tidak disenangi dalam masyarakat ialah sifat ujub (riak). Ujub dapat diertikan sebagai 'menganggap dan melihat diri lebih daripada orang lain'. Dengan menganggap diri lebih, seperti dari segi pengetahuannya, kealimannya, ibadatnya atau lebih kekayaannya daripada orang lain.

Ujub ini sifat tercela, ia perlu segera dikikis dan dijauhi umat Islam kerana boleh mendorong kepada pelbagai sifat yang lebih buruk lagi, misalnya sombong, takbur, gila hormat, meremehkan orang lain dan sebagainya. Dalam hal ini, Nabi SAW bersabda: “Tiga perkara yang dapat merosakkan, iaitu bakhil yang diturut; hawa nafsu yang diperturuti dan mengagumi diri sendiri (ujub).” - (Hadis Baihaqi)

Jenis ujub termasuklah:

# Bangga atau kagum dengan kecantikan rupa paras, kegagahan atau suara merdu. Hal sedemikian perlu dijauhi kerana ia adalah sangat tercela. Menjauhinya hendaklah dengan kesedaran bahawa apa juga yang dibanggakan itu adalah anugerah dan nikmat Allah yang perlu disyukuri. Seseorang itu dikatakan bersyukur apabila ia memanfaatkan anugerah Allah itu pada tempatnya yang wajar lagi diredai-Nya.

# Ujub disebabkan ketinggian ilmu atau kecerdasan otak dan menganggap dirinya paling pandai. Sikap sedemikian perlu dijauhi dengan kesedaran bahawa ilmu yang kita miliki ini adalah masih terlalu sedikit. Kalau difikirkan, ulama dan intelektual lain adalah lebih dari itu. Dan perlu kita hayati firman Allah: “Dan tidaklah kamu diberi ilmu, kecuali sedikit.” - (Surah al-Israa’: 85)

# Ada pula ujub lantaran keturunan. Umpamanya seseorang itu bangga terhadap dirinya disebabkan berketurunan bangsawan, raja, ulama, hartawan dan sebagainya. Sebenarnya semua itu tidak patut dibangga-banggakan. Bukankah Allah berfirman: “Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu, (bukan yang lebih berketurunan atau bangsanya).” - (Surah al-Hujurat: 13).

Sifat ini hendaklah dijauhi dan dihilangkan dari diri seseorang individu muslimin kerana ia boleh menjejaskan amal ibadat kita kepada Allah. Semoga dengan menjauhinya kita akan mendapat keredaan Allah di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat kelak.

Sumber: 'Syiar Islam' Risalah Surau NSTP

Tuesday, November 10, 2009

Ingatan bagi pelupa: Bakhil, marah dan mabuk mainan syaitan sesatkan manusia

WAHB bin Munnabbih berkata, "Ada seorang ahli ibadat Bani Israel akan disesatkan oleh syaitan tetapi gagal. Pada suatu hari ia keluar kerana ada urusan lalu diikuti syaitan untuk mencari kesempatan menyesatkan alim itu. Syaitan berusaha menaikkan syahwat dan kemarahannya tetapi kecewa. Lalu syaitan menimbulkan ketakutannya maka dibayangkan kepadanya seolah-olah batu besar dari bukit akan menimpanya tetapi alim itu selalu berzikir kepada Allah sehingga terhindar.

Adakalanya syaitan menyerupai singa dan binatang buas tetapi semua itu tidak dihiraukan dan ada kalanya syaitan menyerupai ular yang melingkari kakinya ketika sembahyang. Ketika sujud ular itu membuka mulutnya seakan-akan hendak menelan kepalanya maka ia hanya menyingkirkan dengan tangannya sampai dapat bersujud.

Ketika selesai sembahyang syaitan datang kepadanya dan berkata: “Aku sudah usaha untuk menyesatkan kamu tetapi tidak dapat, dan kini saya akan berkawan saja denganmu. Jawabnya: “Sedang ketika kau menakutkan aku, alhamdulillah aku tidak takut, kini saya tidak ingin bersahabat dengan engkau.”

Lalu syaitan berkata: “Apakah kau tidak tahu bagaimana keadaan keluargamu sepeninggalan kamu? Jawabnya, “Aku sudah mati sebelum mereka.” Syaitan berkata: “Adakah kamu ingin bertanya bagaimana aku dapat menyesatkan anak Adam? Jawabnya, “Bagaimana kamu menyesatkan anak Adam? Jawab syaitan dengan tiga macam; Bakhil (kikir) dan marah dan mabuk. Sebab manusia jika bakhil kami bayangkan kepadanya bahawa hartanya sangat sedikit sehingga ia sayang untuk mengeluarkan untuk kewajipannya.

Apabila ia marah, kami akan mempermainkan ia sebagai anak kecil bermain bola, meskipun ia dapat menghidupkan orang mati dengan doanya, kami tetap tidak patah harapan untuk dapat menyesatkannya, sebab ia membangun dan kami yang merobohkan dengan satu kalimat saja.

Demikian pula jika seorang mabuk maka kami akan mendorongnya dengan mudah kepada segala kejahatan sebagaimana kambing ditarik sesuka kami. Di sini syaitan menyatakan bahawa orang yang marah jatuh di tangan syaitan bagaikan bola di tangan anak-anak, kerana itu seorang harus sabar supaya tidak jatuh dalam tawanan syaitan dan tidak sampai gugur dalam perbuatannya.

Sumber Tanbihul Ghafilin

Monday, November 9, 2009

Ingatan bagi pelupa: Akal elak sikap lalai kebaikan

ABUL-Laits meriwayat dengan sanad daripada Ali Abi Talib yang mendengar Rasulullah SAW bersabda, "Seharusnya seorang yang berakal itu tidak tekun kecuali dalam tiga perkara, iaitu berusaha untuk keperluan hidup, beramal untuk hari kemudian (akhirat) dan bersuka-suka yang tidak haram. Juga berkata, “Seseorang harus dapat mempergunakan siang kepada empat waktu, iaitu, waktu untuk bermunajat kepada Allah; waktu untuk memperbaiki diri; waktu untuk mengajar ilmu dan melayani kehidupan yang baik dan halal. Sumber Abullaits Assamarqandi, Tanbihul Ghafilin

Thursday, February 7, 2008

Lupa amanah punca manusia abai alam sekitar

PUNCA utama berlaku kerosakan dan kemusnahan alam ini ialah sikap manusia yang lupa tanggungjawab diamanahkan Allah terhadap mereka supaya memelihara serta memanfaatkan anugerah ciptaan Allah.

Disebabkan sikap alpa itu, manusia berhadapan dengan kesan daripada pengabaian tanggungjawab memelihara dan memulihara alam ini. Akibatnya, berlaku bencana alam hingga membawa kepada kehilangan jiwa, tempat tinggal, harta benda, habitat haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Sebenarnya Islam tidak melarang manusia menggunakan segala benda serta nikmat yang ada di atas dan dalam perut bumi. Lagipun, tujuan Allah menjadikan semua itu untuk kegunaan dan kesenangan manusia sendiri.

Walaupun begitu, dalam mengejar kemajuan atau pembangunan, kita dilarang memusnahkan alam sekitar hingga lupa akan tanggungjawab memastikan pusingan alam semula jadi terus seimbang dan tidak terjejas.

Sikap manusia yang tidak menunaikan tanggungjawab diamanahkan Allah untuk mengurus alam ini dan kerakusan melakukan kemusnahan, kerosakan dan pelbagai bencana alam yang lain akhirnya mendatangkan masalah besar kepada mereka.

Perbuatan memusnah dan merosakkan alam dilarang Allah berdasarkan firman-Nya bermaksud: “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya. Dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang jika tidak diterima dan juga dengan perasaan terharap-harap supaya makbul. Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang memperbaiki amalannya.” (Surah al-A‘raf, ayat 56)

Ayat di atas menjelaskan bahawa penjagaan alam semula jadi adalah sesuatu yang penting. Perbuatan memusnah dan merosakkan alam bukan saja mendatangkan kerugian kepada manusia, malah ia sama sekali ditegah.

Sikap segelintir manusia yang tidak mentaati perintah Allah menyebabkan makhluk di bumi ditimpa bala tidak disangka seperti berlakunya kejadian tanah runtuh, banjir kilat, kemarau berpanjangan, dan pemanasan global.

Firman Allah bermaksud: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan yang dilakukan oleh tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan (buruk) mereka, supaya mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Surah al-Rum, ayat 41)

Jelasnya, setiap kerosakan dibuat manusia hanya akan merugikan mereka baik dari segi keselamatan, aspek kesihatan, keselesaan hidup dan ketenangan jiwa yang boleh dinikmati jika manusia sentiasa berhati-hati dalam tindak balas mereka terhadap alam sekitar.

Allah berfirman bermaksud: “Orang yang mencabuli perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya dan memutuskan perkara yang disuruh Allah supaya dihubungkan dan mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi, maka mereka itu ialah orang yang amat rugi.” (Surah al-Baqarah, ayat 27)

Justeru, marilah kita sama-sama berusaha meninggalkan segala perbuatan yang merugikan dan memastikan keindahan, kehijauan alam serta keselamatan bumi dijaga oleh tangan-tangan manusia yang mendiami dunia ini.

Peringatan ini bukan untuk masyarakat hari ini saja, tetapi ditujukan juga kepada generasi akan datang supaya berazam untuk tidak melakukan kerosakan dan sentiasa mengambil tanggungjawab bersama memelihara serta memulihara alam sekitar.

Monday, February 4, 2008

Leka kehidupan dunia buat manusia jadi lupa

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

MASA terus berlalu mengiringi usia. Sewajarnya setiap Muslim yang yakin adanya hari pembalasan tidak melengah-lengahkan masa dimiliki untuk memperbetul dan melipatgandakan amal ibadat sebagai persediaan serta bekalan bagi kehidupan yang kekal abadi di akhirat.

Kesedaran bahawa dirinya hanyalah hamba Allah penting untuk menggalakkan melakukan ibadat kepada Allah. Bahkan itulah titik utama tujuan penciptaan manusia di alam ini.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan berbakti kepada-Ku.” (Surah az-Zaariyat, ayat 56)

Namun, ada segelintir umat Islam sendiri, selalu saja terlupa tujuan ini kerana terlalu leka dengan kehidupan dunia yang penuh warna-warni dan indah memukau. Lahirnya suasana buruk itu akibat daripada keimanan yang dangkal dan enggan mendalami ilmu agama atau hati sudah parah dihinggapi penyakit tidak mahu memperguna akal untuk meneliti kebesaran Allah.

Orang yang beriman tidak mungkin mencari jalan keluar daripada ketentuan Allah iaitu hakikat manusia itu hanyalah hamba-Nya, maka apa saja tindakan yang dilakukan dalam kehidupan akan menjadi ibadat selagi disukai Allah dan tidak melanggar syariat.

Bagi orang yang tenggelam dalam dorongan nafsu, tidak malu dan takut melakukan maksiat atau melanggar syariat Islam.

Ibadat yang cemerlang, berkualiti dan diterima baik oleh Allah, adalah amalan yang dilakukan dengan penuh keimanan dan keikhlasan.

Allah berfirman yang bermaksud: “Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya lagi tetap teguh di atas tauhid.” (Surah al-Bayyinah, ayat 5)

Jika ibadat tiada diwarnai keikhlasan, sudah tentu tidak diterima oleh Allah kerana ibadat itu tersirat maksud yang lain seperti ingin mendapat nama, pujian atau memang terpaksa, bukan lahir daripada kehendak diri sendiri. Oleh itu, ibadat itu tidak murni lagi dan tidak hairanlah jika ditolak sepenuhnya oleh Allah.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak menerima amal perbuatan, kecuali dikerjakan secara tulus, semata-mata untuk-Nya yang dengan perbuatan itu mengharapkan keredaan-Nya.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Nasa’ie)

Kita tidak boleh mengabaikan ucapan dua kalimah syahadah, zikir kepada Allah, berdoa, mengamalkan amar makruf nahi mungkar. Begitu juga ibadat amaliah seperti solat fardu, haji dan zakat.

Namun, sering kali orang mengabaikan ibadat membabitkan hal batiniah padahal, ibadat itu menjadi pusat kepada ibadat lain.

Hati yang terikat dengan keyakinan kepada Allah dan Rasul adalah ibadat yang tidak dapat tidak mesti ada pada diri seseorang. Dengan adanya keyakinan yang mantap dalam hati tanpa dikaburi dengan debu keraguan, maka segala perlakuan dan tindakan tentunya senada dengan kehendak dan perintah Allah dan Rasul.

Jiwa tetap menyedari bahawa setiap gerak-gerinya diperhatikan oleh Allah dan akan diperhitung untuk diberi pembalasan yang setimpal dan seadil-adilnya. Orang yang yakin dengan Allah akan mengingati firman Allah yang bermaksud: “Yang melihat kamu ketika kamu berdiri (untuk solat) dan (melihat pula) perubahan gerak badanmu di antara orang-orang yang sujud.” (Surah Asy-Syu’araa’, ayat 218 - 219)

Lalu kesedaran ini akan melahirkan manusia berakhlak mulia, tidak akan mengerjakan perkara dimurkai Allah, sebaliknya meletakkan diri dalam ketaatan yang tidak berbelah bagi dan selalu memohon keampunan dan kerahmatan.

Firman Allah yang bermaksud: “Maka ketahuilah sesungguhnya tidak ada Tuhan melainkan Allah dan mohonlah keampunan bagi dosamu dan bagi (dosa) orang-orang mukmin, lelaki dan perempuan.” (Surah Muhammad, ayat 19)

Keyakinan juga akan menerbitkan bibit cinta kepada Allah dan Rasul. Cinta kepada Allah bermakna mengikut segala suruhan Allah dan dalam masa sama menjauhi segala tegahan-Nya sepanjang perjalanan kehidupan. Mencintai Rasul pula bermakna menerima dan meyakini apa saja yang disampaikannya sebagai seorang hamba yang sempurna, baik, cemerlang dan disayangi Allah.

Orang yang takut kepada Allah akan mendekati-Nya dengan melakukan amalan soleh dan mengharap rahmat-Nya. Takut dengan ancaman azab-Nya di hari pembalasan nanti bila melakukan kerosakan, maksiat dan sengaja melanggar segala perintah-Nya.

Bersangkutan dengan takut ini, ulama berkata: “Menjaga diri daripada azab Allah dengan mengerjakan amal soleh, dan merasa takut kepada-Nya, baik secara sembunyi-sembunyi atau terang-terangan.”

Orang yang tumbuh perasaan takut di relung hatinya, sentiasa menjaga serta mengawasi lidah, hati dan anggota lain daripada terjerumus ke lembah maksiat. Namun, bagi orang yang tidak ada rasa takut dan gerun kepada Allah, maka apa saja tindakannya dikendalikan oleh nafsu dan terpedaya dengan pujukan syaitan.