Showing posts with label (A) Abdul Razak Idris. Show all posts
Showing posts with label (A) Abdul Razak Idris. Show all posts

Thursday, February 25, 2010

Maulidur Rasul dekatkan generasi muda dengan Nabi Muhammad

Oleh Abdul Razak Idris

PERARAKAN sempena sambutan Maulidur Rasul kali ini menimbulkan pertikaian kerana ada pihak bersetuju tradisi itu diteruskan dan ada juga melarang program itu dianjurkan sebagai menterjemahkan perasaan kasih sayang terhadap junjungan besar Nabi Muhammad.

Sejak berzaman, perarakan sempena Maulidur Rasul dianjurkan umat Islam di negara ini tanpa ada pandangan sinis masyarakat majmuk.

Ia adalah ekspresi terhadap kasih sayang umat Islam sempena lahirnya pembawa kalamullah.

Rasulullah adalah kekasih umat Islam. Tetapi bagi pihak yang lebih suka bercerita mengenai budaya agama lain, membicarakan mengenai Nabi Muhammad mungkin dianggap sebagai kurang menarik perhatian.

Kita semua jangan terpedaya dengan psikologi songsang yang dibicarakan orientalis sejak dulu. Kepada yang masih kabur kenapa kita wajar menzahirkan kasih serta ingatan terhadap Nabi Muhammad, banyak perkara perlu diberi perhatian.

Adalah menyedihkan apabila isu perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul dijadikan modal politik dengan dilihat seperti upacara tarik tali dan langsung tidak menyumbang kepada kesyumulan Islam sebagai agama rasmi Malaysia.

Apakah budaya dan agama dianggap perkara remeh oleh pihak terbabit. Buka mata kepada perkembangan semasa yang menakutkan apabila bayi dibuang secara berleluasa dan dibakar seperti sampah dan dalam masa yang sama kita menganggap amalan agama tidak penting serta tidak mendatangkan kebaikan.

Tanpa amalan agama disemarakkan dalam masyarakat, apa akan jadi kepada anak yang bakal menjadi pewaris kepemimpinan negara. Apa garis panduan boleh dijadikan sempadan kepada mereka apabila berhadapan dengan isu keagamaan.

Isu membabitkan kepentingan umat Islam terutama perkara berkaitan akidah serta amalan keagamaan tidak boleh dipandang remeh apatah lagi usaha penghapusan program yang memberi kesedaran terhadap nilai murni Islam. Agama bukan soal kecil yang boleh diperbetulkan seperti mengganti minyak hitam dalam enjin kereta atau seperti menambah nilai talian pra-bayar.

Umat Islam perlu sedar, Malaysia yang aman ini kerana agama Islam progresif yang menjadi akidah selama ini.

Bukan kerana kemajuan dan wawasan dibuat tanpa ada asas agama di dada. Oleh itu, pemimpin perlu lantang mempertahankan amalan agama yang menjadi sebahagian syiar Islam.

Berarak atau tidak bukan isu tetapi natijah daripada amalan itu yang menunjukkan penghormatan terhadap insan idola umat Islam yang banyak memberi panduan daripada perkataan dan perbuatan dalam membentuk kehidupan baik di dunia serta akhirat.

Alangkah sedihnya jika generasi akan datang bertanyakan kepada kita siapa Muhammad bin Abdullah sedangkan kita mempunyai banyak peluang memperkenalkan nama hebat itu sama ada secara langsung atau tidak.

Sekurang-kurangnya sambutan meraikan kelahiran Nabi Muhammad setiap tahun menyemarakkan ingatan serta menjawab persoalan yang menjurus kepada riwayat hidup Baginda yang penuh warna dan sumber pendidikan kepada semua lapisan masyarakat.

Thursday, February 4, 2010

Sikap berbaik sangka boleh selesai masalah tanpa polemik

Oleh Abdul Razak Idris

DALAM kehidupan, kita sering berdepan dengan persaingan sesama manusia sama ada dalam bidang ekonomi, sosial dan politik. Malaysia yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi dengan agama lain diiktiraf kerajaan boleh diamalkan selagi tidak merosakkan akidah ummah, memerlukan kita lebih bersikap husnuzan atau berbaik sangka sesama umat.

Setiap warga negara memerlukan sikap berbaik sangka supaya tidak ada sikap suuzan iaitu buruk sangka yang menyebabkan sukar bertoleransi dan menghormati hak perlembagaan agama selain Islam.

Husnuzan ialah sikap yang perlu diterapkan terhadap Allah dan diri sendiri. Paling utama dalam menangani kemelut masyarakat hari ini ialah berbaik sangka sesama kaum terutama dalam negara majmuk seperti Malaysia.

Selepas Merdeka, tiga bangsa terbesar di negara ini iaitu Melayu, Cina dan India hidup harmoni dengan kerajaan pasca merdeka gabungan tiga bangsa ini. Selepas 1963 apabila Malaysia ditubuhkan etnik Sabah dan Sarawak menambah suasana majmuk sedia ada.

Selama lebih 50 tahun merdeka, sikap berbaik sangka antara kaum menjadikan negara tenteram dan harmoni. Ia wujud kerana tuntutan untuk mencari rezeki tanpa menimbulkan pergaduhan dan benih persengketaan akibat perbezaan dalam amalan beragama yang merugikan masyarakat.

Orang Islam yang bertakwa akan mengamalkan ajaran Islam yang menjurus kepada memakmurkan jiran semua agama. Sikap berbaik sangka menjadikan laungan azan di masjid bukan masalah kepada penganut agama lain jika mereka beranggapan masyarakat Islam menjamin hak jiran mereka.

Dalam menangani isu yang mencemarkan rumah ibadat kita perlu berbaik sangka kepada sesama Muslim sehingga siasatan diselesaikan polis. Kita tidak boleh menuding jari kepada kumpulan atau individu yang cuba mencetuskan kegelisahan masyarakat.

Walaupun husnuzan sikap terpuji, kita perlu berhati-hati juga perkara membabitkan halal dan haram ketika berurusan dalam kehidupan seharian. Kita dituntut mencari makanan halal dari segi syarak, jika was-was terhadap penjual atau bahan makanan, kita perlu menjauhinya dan jangan memakan atau membeli makanan atas dasar berbaik sangka memerlukan kita berfikir secara rasional dan kritis.

Kita juga perlu mendapatkan nasihat ulama terutama mencari rezeki sama ada ia syubhah dengan riba dan lebih afdhal meninggalkannya. Kita wajar bersangka buruk terhadap along atau amalan meminjam dengan bunga yang memudaratkan semakin membiak.

Sikap husnuzan biar kena pada tempat, masa dan keadaan, takut ia memudaratkan diri dan keluarga Husnuzan kepada Allah Yang Maha Mengetahui akan mempertingkatkan takwa kepada-Nya.

Kita akan lebih bersabar apabila ditimpa cabaran dan apabila dilimpahi kemewahan, kita segera bersyukur. Setiap kifarah yang Allah turunkan memerlukan kita bermuhasabah dari masa ke semasa.

Dalam negara kita, perpaduan antara kaum dan agama mewujudkan keunikan dan istimewa sifatnya. Sikap husnuzan dalam diri umat Islam menyebabkan kita mudah menerima semua bangsa.

Isu kalimah Allah yang menjadi kes mahkamah bukan bermakna sikap husnuzan kita diperlekehkan, ia menunjukkan suara setiap rakyat perlu dihormati namun cara kita menghormati biar tidak bertentangan Perlembagaan Persekutuan yang bertunjangkan semangat Islam sebagai agama rasmi.

Kita perlu mengimbas saat manis antara kaum selama 53 tahun merdeka dan tidak dijajah lagi. Sikap berbaik sangka perlu terus subur dalam dada terutama kepada Allah, diri dan penganut agama lain.

Pihak yang cuba mencetuskan sengketa perlu bertaubat nasuha kerana ingatlah penuh tipu daya mendorong sikap suuzan. Jika kita kekalkan sikap husnuzan segala masalah selesai tanpa polemik dan tuding-menuding jari.

Saturday, January 2, 2010

Kahwin lari guna sindiket tanpa daftar semula menyusahkan waris

Oleh Abdul Razak Idris

PERNIKAHAN secara sah mengikut rukun dan hukum Islam diletakkan dalam agama Islam setaraf mendirikan sebuah masjid. Hari ini pernikahan antara pasangan lelaki dan wanita secara amalinya terikat dengan peraturan kariah sebelah wanita. Mengikut prosedur kariah, bakal pengantin perempuan bagi kebanyakan negeri, pihak pengantin lelaki perlu menyerahkan surat akuan sumpah mengaku sama ada bujang atau surat kebenaran untuk berpoligami bagi yang sudah berkahwin.

Namun bagi pasangan yang berkahwin di sempadan dan nikah sindiket perkara ini sering diabaikan. Ini yang menimbulkan masalah di kemudian hari kerana urusan pendaftaran anak-anak dan pembahagian harta tertakluk kepada pendaftaran nikah kahwin mengikut enakmen setiap negeri.

Nikah sindiket yang berlaku dalam masyarakat kita bukan perkara baru. Ia berlaku sejak peraturan tegas supaya setiap perkahwinan didaftarkan dan setiap bakal pengantin perlu mengikuti kursus anjuran pihak berkuasa agama setiap negeri. Perkahwinan sebagai suatu perkara suci perlu dilakukan mengikut undang-undang uli-amri dan sikap mengikut undang-undang logik perlu diubah kerana ia menimbulkan masalah kepada waris dan bukan kepada pasangan pengantin itu sendiri.

Prosedur ini perlu dipenuhi bagi memberi kemudahan kepada anak-anak yang bakal lahir daripada sebuah perkahwinan mendapat pengiktirafan warga negara. Tindakan pasangan yang menggunakan sindiket akan mendedahkan diri mereka dengan tindakan mahkamah syariah dan mahkamah jenayah jika perbuatan yang tidak diredai undang-undang ini dilakukan.

Kes mufarakah yang berlaku kepada satu pasangan di sebuah negeri baru-baru ini menunjukkan jika prosedur biasa dilanggar, inilah akibat yang perlu ditanggung oleh pasangan terbabit.

Rukun nikah menetapkan agar wali dijemput untuk menikahkan pasangan bertujuan menghindar daripada fitnah dan dosa terhadap kedua ibu bapa kerana membelakangkan mereka. Zaman ini kerana cinta, ramai anak muda lebih suka kahwin lari di sempadan yang boleh menjalankan upacara nikah tanpa menyeberang sempadan.

Ada juga yang tidak mendaftarkan pernikahan sampai ajal menjemput mereka. Apabila urusan harta ingin dilaksanakan, pengesahan nikah yang belum dibuat akan menimbulkan masalah kepada waris hingga urusan mengambil kuasa terbantut dan terbengkalai.

Walaupun mengikut syarak pernikahan di sempadan sah ia tetap akan menimbulkan masalah jika ia tidak didaftarkan oleh pasangan terbabit. Setiap peraturan bukanlah untuk menyusahkan tetapi untuk memberi kemudahan dan kebajikan kepada pasangan. Cuba bayangkan jika pendaftaran tidak dibuat dengan betul apa akan jadi jika isteri yang kita nikahi itu rupanya masih mempunyai suami yang ditinggalkan sekian lama.

Mungkin juga suami yang dinikahi itu mempunyai lebih daripada empat isteri. Itu yang boleh berlaku jika pendaftaran gagal dibuat oleh pasangan yang berkahwin di sempadan atau secara sindiket.

Berkahwin mengikut undang-undang sama ada untuk poligami atau yang pertama kali lebih baik dari kahwin dua dan tiga tetapi menghadapi masalah hingga 'sikap sayang selasih hamba lurutkan, kerana kasih hamba turutkan' berlaku dalam masyarakat.

Setiap perkahwinan adalah atas rasa kasih sayang yang suci dan perasaan itu biarlah berlandaskan agama dan hukum pemerintah. Perkahwinan bukan untuk sehari dua tetapi perjalanan panjang yang dianggap perjudian oleh sesetengah pihak. Jika bahagia bersyukur, jika kelak bercerai atau salah seorang pasangan meninggal dunia yang susah ialah pihak satu lagi dan perkara ini sedang berlaku dalam masyarakat Islam hari ini.