Showing posts with label Khatan. Show all posts
Showing posts with label Khatan. Show all posts

Friday, January 8, 2010

Soal Jawab Agama: Khatan bukan paksaan bagi saudara baru

Bersama Ustaz Zamanuddin Jusoh
zaman@nstp.com.my

SAYA mempunyai seorang sahabat yang ingin memeluk Islam, lalu dia mengucapkan ucapan syahadat di hadapan saya. Selepas itu saya mengarahkannya supaya mandi. Apakah tindakan yang saya ambil itu betul dan apakah dia sudah menjadi seorang Muslim. Bagaimana dengan khatan?

Izham
Kuala Lumpur

MENGUCAP dua kalimah syahadat adalah syarat seseorang untuk memeluk Islam. Tindakan yang saudara lakukan adalah betul kerana perkara yang baik itu perlulah dipercepatkan. Namun demikian adalah lebih baik jika sahabat saudara itu dibawa bertemu imam di masjid terdekat dan menyatakan hasratnya itu.

Jika ucapan syahadat di hadapan saudara dengan bersaksi, maka Muslimlah dia secara tidak rasmi.

Mengikut susunan terbaik ialah diatur supaya berkhatan, mandi dan mengucap dua kalimah syahadat di hadapan beberapa saksi.

Sebuah hadis daripada seorang sahabat bernama Qais bin A'sim meriwayatkan: "Aku telah datang kepada Rasulullah SAW menyatakan ingin memeluk Islam. Maka disuruhnya aku mandi dengan air bercampur daun sidr (daun harum). (HR Abu Daud dan Nasa').

Sabda Nabi SAW yang diriwayatkan dari Khallal dari Syaddad bin Aus bermaksud: "Berkhatan itu sunat bagi lelaki dan bagi perempuan adalah satu kemuliaan.

Soal berkhatan pada masa kini boleh diberi masa untuk beliau berfikir dulu tanpa dipaksa. Apa yang penting ialah saudara perlu

memastikan beliau mengucapkan kalimah syahadah terlebih dulu kerana dibimbangi jangka hayatnya tidak panjang.

Selepas mandi dan mengucap syahadah, maka dia boleh mendaftarkan diri di pejabat agama berdekatan dan mengikuti program yang dianjurkan oleh pihak jabatan bagi memberi kefahaman penuh mengenai agama Islam kepada beliau.

Mengikut kebiasaan yang sering berlaku, selepas mengikuti beberapa kursus barulah mereka ini rela untuk dikhatankan. Ada juga yang sudah berkhatan sejak kecil. Wallahu A'lam.

Penulis ialah Eksekutif di Unit Agama NSTP dan boleh dihubungi dengan e-mel, zaman@nstp.com.my

Friday, August 22, 2008

Penganjuran majlis khatan eratkan silaturahim qariah

Oleh Hasliza Hassan

BERI SEMANGAT: Tengku Puteri Arafiah melawat Nasrullah Zulkifli, 7, selepas berkhatan di Kuarters Istana Alam Shah, Kampung Seri Alam.


BERKHATAN atau bersunat adalah perkara yang disyariatkan dalam Islam. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Lima perkara adalah fitrah; berkhitan (bersunat), mencukur bulu kemaluan, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan menipiskan misai." (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah)

Amalan berkhatan yang sudah menjadi budaya masyarakat Islam di negara ini diteruskan melalui pelbagai pendekatan termasuk penganjuran majlis berkhatan secara beramai-ramai yang nyata mempunyai manfaat besar.

Antaranya, selain memenuhi tuntutan syariat, majlis yang selalunya dilakukan secara bergotong royong dapat menanamkan semangat kejiranan serta perpaduan antara penduduk setempat. Pada masa sama, dapat menjimatkan belanja dan meringankan beban keluarga yang ingin mengadakan kenduri kesyukuran.

Menyedari kelebihan penganjuran majlis berkhatan beramai-ramai, Lembaga Kebajikan Islam Selangor (LKPIS) cawangan Kampung Seri Alam, Klang, turut mengambil inisiatif meraikan tujuh anak ahlinya pada majlis ringkas tetapi meriah.

Majlis anjuran Biro Agama LKPIS Kampung Seri Alam dimeriahkan dengan kehadiran Penaung LKPIS, Tengku Puteri Arafiah Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, serta penduduk kawasan perumahan berkenaan.

Sebelum majlis berkhatan bermula, kanak-kanak itu diraikan dengan perarakan diiringi paluan kompang, upacara merenjis tepung tawar diikuti suapan pulut kuning oleh Tengku Puteri Arafiah. Mereka kemudian disiram pasukan bomba dan terus dikhatankan.

Pengerusi LKPIS Kampung Seri Alam, Raja Noor Aleza Raja Azman Shah berkata, majlis yang pertama kali diadakan itu bertujuan mengeratkan silaturahim antara ahli dan memastikan generasi hari ini tidak lupa kepada adat.

Pada masa sama katanya, menggalakkan ahli pertubuhan berkenaan khususnya lapisan muda untuk bersama meningkatkan pengetahuan mengenai kepentingan berkhatan yang menjadi amalan masyarakat Islam.

"Apabila dibuat majlis berkhatan secara beramai-ramai, ia membuka mata anak muda mengenai pentingnya meneruskan amalan baik yang dicetuskan generasi terdahulu. Majlis berkhatan bukan sekadar memenuhi tuntutan agama tetapi mengembangkan syiar Islam melalui hubungan silaturahim.

"Oleh itu, menjadi harapan LKPIS Kampung Seri Alam, majlis ini dapat diteruskan dan jika boleh kami ingin gabungkan majlis berkhatan dengan majlis khatam al-Quran serta bertindik yang memang menjadi tradisi keluarga kerabat Selangor," katanya.

LKPIS Kampung Seri Alam yang mempunyai 120 ahli, kebanyakan terdiri daripada kakitangan istana Alam Shah, turut merancang pelbagai program sempena bulan Ramadan seperti sedekah kepada fakir miskin, program motivasi percuma dan sambutan hari raya.