Showing posts with label (A) Khairunneezam Mohd Noor. Show all posts
Showing posts with label (A) Khairunneezam Mohd Noor. Show all posts

Monday, April 20, 2009

Bersyukur dorong insan lebih tawaduk

Oleh Khairunneezam Mohd Noor

ALLAH menganugerahi banyak nikmat kepada manusia. Dengan sifat maha pengasih dan penyayang-Nya, manusia dapat merasai kelazatan pelbagai nikmat kurniaan Allah yang bersifat keduniaan (duniawi) dan akhirat (ukhrawi).

Firman Allah bermaksud: "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkan kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah an-Nahl, ayat 18)

Nikmat Islam dan iman adalah kurniaan Allah paling berharga dan tidak semua manusia dapat mengecapi kedua-duanya. Sesiapa yang memilikinya harus bersyukur dan menjaganya sebaik mungkin.

Seseorang yang bersyukur dengan nikmat Islam dan iman tidak berasa susah sekalipun miskin atau melarat kerana jiwa raganya cukup kaya serta rasa dekat dengan Allah. Nikmat Islam dan iman menjadi benteng teguh untuk mencegah seseorang mendekati kemungkaran. Nikmat Islam dan iman juga faktor penyelamat kehidupan di dunia dan akhirat. Namun, kita biasa mendengar 'nikmat hanya dirasai apabila kita kehilangannya'. Inilah keadaan biasa dalam kehidupan manusia yang mungkin terlupa atau tidak mahu bersyukur tatkala hidupnya bahagia dianugerahi pelbagai nikmat Allah.

Golongan itu juga dipanggil sesetengah orang sebagai lupa daratan atau kufur nikmat. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi dan Kami jadikan untuk kamu padanya (pelbagai jalan) penghidupan (supaya kamu bersyukur, tetapi) amat sedikit kamu bersyukur. Apabila nikmat ditarik balik oleh-Nya, barulah seseorang mahu menangisi dan menyesal kealpaan untuk bersyukur kepada Allah ketika dilimpahi nikmat tidak terhitung." (Surah al-A'raaf, ayat 10)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Rebutlah lima perkara sebelum hadir lima perkara; masa mudamu sebelum tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, masa lapang sebelum sibuk dan hidup sebelum mati." (Hadis riwayat al-Hakim)

Rasulullah SAW memberi isyarat kita perlu mensyukuri nikmat Allah. Kita juga diisyaratkan untuk terus tawaduk melaksanakan ibadah kepada-Nya walaupun dalam keadaan senang, bukan hanya ingatkan Allah apabila susah.

Kita wajib mensyukuri nikmat Allah tanpa mengira miskin atau kaya, tua atau muda dan lelaki atau perempuan. Syukur tanda tunduk kepada Allah satu-satunya Tuhan yang berhak disembah. Ini selaras firman Allah bermaksud: "Syukurlah terhadap nikmat Allah jika kamu sungguh-sungguh menyembah-Nya." (Surah an-Nahl, ayat 144)

Konsep bersyukur menurut Imam al-Junaid ialah menyalurkan segala nikmat Allah ke arah kebaikan dan kebajikan, bukan kemungkaran atau kemaksiatan. Untuk itu, KH M Syueb Ushul menyarankan kita menyerlahkan kesyukuran dengan hati, ucapan dan perbuatan. Bersyukur melalui hati ialah menanam azam menyalurkan nikmat itu untuk beramal kepada Allah, membuat kebajikan kepada manusia dan makhluk, selain tidak putus mengingati-Nya.

Mensyukuri nikmat secara lisan, ialah dengan lidah yang basah mengucapkan dan memperbanyak zikrullah. Akhirnya, mensyukuri nikmat melalui perbuatan mendorong tindak-tanduk melaksanakan ibadah kepada Allah sepenuh rela, tawaduk serta melaksanakan amar makruf nahi mungkar.

Diriwayatkan Saidatina Aisyah bahawa beliau memerhatikan Rasulullah SAW beribadah penuh khusyuk siang dan malam sehingga bengkak kaki Baginda, lalu beliau bertanya: "Ya Rasulullah, mengapakah engkau tidak henti-henti beribadat kepada Allah? Maka Rasulullah SAW menjawab: Tidakkah aku sepatutnya menjadi hamba yang bersyukur?"

Bayangkan Rasulullah SAW, semulia-mulia manusia yang dijamin kedudukannya di syurga, tidak putus menzahirkan syukur terhadap nikmat Allah. Baginda terus beramal sepenuh hati, perkataan dan perbuatan. Apatah lagi kita manusia biasa yang masih perlu diperhitungkan timbangan dosa dan pahala di akhirat, apakah kita tidak mahu menyerlahkan kesyukuran sehebat kualiti manifestasi kesyukuran Rasulullah SAW terhadap nikmat pemberian Allah.

Andainya kita mampu menerbitkan rasa syukur terhadap nikmat Allah secara istiqamah, yakinilah dengan izin-Nya, segala amal diberi ganjaran pahala dan syurga. Bahkan Allah menjanjikan nikmat kurniaan-Nya kepada kita berlipat gandakan. Namun, lain pula halnya apabila seseorang tidak tahu atau tidak mahu bersyukur seperti tidak berterima kasih apabila menerima pemberian orang lain.

Apakah perasaan pemberi hadiah jika orang yang menerimanya berat mengungkapkan perkataan 'terima kasih' bahkan perbuatannya juga jauh daripada menunjukkan rasa menghargai hadiah itu.

Begitu juga persoalannya, apakah layak seseorang terus menerima nikmat dan rahmat Allah jika dia tidak tahu berterima kasih atau bersyukur? Malang nasib seseorang apabila rasa syukur tidak diterbitkan dalam hati, lidah mahupun perbuatan kerana balasan azab Allah sangat menyeksakan.

Hal ini selaras firman Allah bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras." (Surah Ibrahim, ayat 7)

Nikmat perlu disyukuri bukan disalahgunakan ke arah kemungkaran dengan menjadikan hawa nafsu dan tipu daya syaitan sebagai nakhoda dalam jiwa serta pemikiran. Nikmat dianugerahkan Allah perlu dianggap pendorong untuk lebih khusyuk dan tawaduk mengabdikan diri kepada-Nya dan memperteguhkan tahap keimanan demi kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Wednesday, April 1, 2009

Berjudi menjurus manusia kepada kelalaian, syirik

Oleh Khairunneezam Mohd Noor

Amalan warisan syaitan cetus porak-peranda dalam masyarakat serta malas cari rezeki halal

BERJUDI adalah jalan singkat yang salah untuk mengejar kekayaan dan wang ringgit. Judi disebut 'Al-Maisir' dalam Bahasa Arab dan ditafsirkan sebagai suatu bentuk permainan beradu nasib, menggunakan wang atau harta benda sebagai taruhan dengan pemenang akan mendapat hasil taruhan berlipat ganda.

Perjudian di negara kita amnya diamalkan dalam pelbagai bentuk antaranya menggunakan dadu, daun terup, jackpot, tikam, loteri, pertaruhan permainan sukan, mesin slot atau nombor ekor. Lebih canggih lagi, zaman sekarang berjudi turut diamalkan dengan mudah melalui internet.

Apabila berjudi, seseorang tidak perlu mengerah keringat dan tulang empat kerat. Bahkan modal diperlukan tidak begitu besar. Bak kata orang, goyang kaki pun boleh dapat hasil lumayan. Inilah antara faktor menyemarakkan semangat kaki judi untuk terus terjebak dengan gejala buruk ini.

Apatah lagi, jika pernah sekali dua 'tuahnya terkena' dan menang sejumlah wang, bertambah galak dan bersemangatlah si kaki judi melaburkan wangnya ke premis judi kononnya untuk mengaut keuntungan lebih besar lagi.

Sungguh menyedihkan melihat masih ramai umat Islam yang mengunjungi premis perjudian hari ini. Lebih memilukan adalah sesetengah mereka yang kental mengunjungi pusat atau premis perjudian ini boleh dikategorikan sebagai 'warga emas'.

Sudahlah begitu, anak cucu sendiri pun kadang kala dibawa bersama 'singgah' ke premis judi untuk membeli nombor atau bertaruh tanpa ada malu dan segan.

Jika kaki judi beranggapan bahawa judi adalah bentuk usaha untuk memperbaiki taraf kehidupan, mereka silap kerana sebenarnya matlamat tidak sesekali menghalalkan cara. Demi mengejar sesuatu matlamat, kita sepatutnya berusaha bersungguh-sungguh, menggunakan saluran yang betul dan mengerah akal fikiran serta tenaga.

Islam meletakkan keutamaan kepada pencarian rezeki dan nafkah hidup yang bersih lagi halal. Bukannya mencari jalan singkat mengumpul harta melalui judi yang hukumnya haram dari perspektif Islam.

Islam menegah umatnya daripada bergelumang dengan perjudian yang ternyata bersifat keji dan amalan warisan syaitan. Selaras dengan firman Allah bermaksud: "Wahai orang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, mengundi nasib dengan batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan mengerjakan solat. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?" (Surah al-Maidah, ayat 90-91)

Dari segi akhlak, seseorang kaki judi itu akan menjadi lalai dalam beramal ibadah, malas untuk berusaha, tamak dan haloba, iri hati, dendam, khianat, suka berhutang, membazir, bercakap bohong serta berputus harap kepada Allah.

Apabila penyakit berjudi semakin kronik membelenggu, maka si kaki judi ini sanggup pula menggadaikan akidah mereka dengan melakukan perbuatan syirik dan menyekutukan Allah seperti bertilik nasib, memuja kubur, mendapatkan bantuan bomoh dan memakai tangkal azimat.

Perbuatan syirik seperti ini dimurkai Allah dan akan menerima balasan setimpal dengan perbuatan terkutuknya. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak mengampunkan dosa orang menyekutukan-Nya dan dia akan mengampunkan dosa selain itu bagi mereka yang dikehendaki-Nya." (Surah an-Nisa', ayat 48)

Seseorang meraih hasil daripada perjudian, ketahuilah ia sumber haram dan tidak diberkati Allah. Maka, kesan seterusnya terpaksa ditanggung akibat berjudi adalah ahli keluarga sendiri.

Apabila rezeki haram disogok ke mulut isteri, anak dan sebati menjadi darah daging mereka, tidak mustahil kesan negatif akan terserlah sama ada dalam jangka masa pendek atau panjang.

Contohnya, luntur nilai silaturahim sesama keluarga, kehidupan porak-peranda, tiada kepercayaan dan hormat-menghormati, sukar mencapai kejayaan dalam apa juga yang dilaksanakan, terjebak dalam masalah sosial dan sebagainya.

Di akhirat kelak, penderitaan terpaksa ditanggung adalah lebih dahsyat lagi.

Untuk itu, sebagai umat Islam yang bertanggungjawab, kita harus membendung gejala judi secara menyeluruh dalam kalangan masyarakat merentasi pelbagai umur. Ada begitu banyak permainan berkonsepkan judi yang ada di kedai runcit, seperti permainan tikam dan telur plastik berisi hadiah.

Kata-kata nasihat, program bimbingan keagamaan dan kaunseling adalah kaedah berlembut yang mungkin boleh dipraktikkan untuk memberikan kesedaran kepada kaki judi.

Pengamal media boleh memainkan peranan melalui iklan, dokumentari, siaran perbincangan atau pun dalam bentuk drama dan filem.

Jika ia tidak memberi kesan, perlulah pihak berwajib melaksanakan tindakan penguatkuasaan undang-undang lebih ketat dan tegas.

Berjudi membuatkan seseorang lalai dan ingkar dengan tuntutan Islam supaya mencari rezeki halal dan diredai Allah. .

Wednesday, August 13, 2008

Semangat berjiran perlu diasuh sejak kecil

Oleh Khairunneezam Mohd Noor

Ibu bapa berperanan terap kepentingan nilai murni hidup bermasyarakat

PEPATAH Melayu ada menyebut, 'bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat'. Tafsiran pepatah ini merujuk kepada pentingnya hidup sekumpulan manusia bertunjangkan nilai kemuafakatan, kesefahaman dan tolak ansur.

Nilai muafakat itu penting dalam konteks hidup berjiran. Walaupun sempadan rumah dipisahkan dengan pagar besi mahupun batu konkrit, namun perkongsian nilai hidup harmoni tetap kukuh jika wujudnya sifat mengambil berat, hormat-menghormati dan menghargai hak sesama jiran tetangga.

Keharmonian hidup berjiran sangat dititikberatkan Islam. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa juga; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran tetangga dekat, jiran tetangga jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar, dan hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang sombong takbur dan membanggakan diri." (Surah an-Nisa', ayat 36)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran tetangganya." (Hadis riwayat al-Bukhari).

Mengambil berat hidup berjiran sebenarnya perlu dipupuk sejak daripada kanak-kanak. Pada usia inilah anak mudah menyerap sebarang bentuk pendidikan diberi dan menerapkannya dalam kehidupan seharian, ibarat 'buluh yang dilentur dengan mudah dari rebungnya'.

Anak perlu dididik akan siapa dan apa pentingnya jiran sebelah-menyebelah dalam kehidupan. Hidup berjiran saling tak ubah seperti 'aur dengan tebing', saling perlu-memerlukan. Mana perkara silap, ditegur secara berhemah dan berhikmah, mana yang betul, dijadikan panduan dan pedoman semoga kehidupan sentiasa di bawah keredaan Allah.

Anak juga perlu tahu bahawa jiran itu terbahagi kepada beberapa kategori yang mempunyai hak dan keutamaannya tersendiri. Kategori pertama adalah jiran bukan Islam yang mempunyai satu hak, iaitu hak berjiran.

Kategori kedua adalah jiran beragama Islam yang mempunyai dua hak, iaitu hak jiran dan hak Islam. Manakala kategori ketiga pula adalah jiran beragama Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan, yang memiliki tiga hak, iaitu hak jiran, hak Islam dan hak kekeluargaan.

Perbezaan hak ini perlu dijelaskan kepada anak lantaran kepentingannya dalam menyatupadukan komuniti kejiranan setempat tanpa mengabaikan walau satu pun hak mana-mana pihak.

Sejak usia kecil lagi, jika anak faham akan kepentingan menjaga hak dan keharmonian sesama jiran tetangga, diyakini bahawa mereka akan terus memupuk dan menjulang nilai murni hidup bermasyarakat seperti mana disyariatkan Islam.

Untuk itu, ada banyak perkara yang boleh kita sebagai ibu bapa terapkan kepada anak berkaitan erti kemanisan hidup berjiran antaranya:

l Menggalakkan anak mengamalkan sikap hormat, merendah diri, tidak sombong serta menunjukkan tingkah laku dan pertuturan mulia terhadap jiran tetangga. Ia selaras hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Hendaklah seseorang itu berperi laku baik terhadap jiran tetangganya." (Mutafaqun 'alaih)

l Menegah sikap buruk sangka, menimbulkan fitnah, mengumpat serta mencerca jiran tetangga. Sikap buruk seperti ini berupaya meleraikan ikatan silaturahim sesama jiran. Anak perlu diajar jangan terlalu mudah mempercayai, malah menyebarkan khabar berita yang tidak menyenangkan berkaitan dengan jiran demi menjaga maruah dan keaiban mereka.

l Memupuk anak mengamalkan budaya bertanya khabar dan menziarahi jiran tetangga terutama jika mereka sakit, ditimpa kesusahan atau menghadapi musibah. Adab berziarah perlu difahami kerana berdasarkan ajaran Islam ada masanya tidak sesuai untuk kita bertandang ke rumah jiran.

l Mendidik anak 'ringan tulang' membantu jiran yang memerlukan sebarang pertolongan. Anak perlu tahu bahawa pertolongan diberikan bukan sekadar bersifat material dan fizikal, bahkan sokongan moral turut berupaya membantu jiran mengharungi dugaan dan kesukaran yang diuji Allah.

l Menegah anak mengganggu dan merosakkan hak jiran. Misalnya, membuat bising yang boleh mengganggu ketenteraman, membuang sampah di halaman rumah jiran atau mengambil sesuatu milik mereka tanpa keizinan.

l Menggalakkan anak menyertai program komuniti setempat seperti solat berjemaah di masjid, majlis agama seperti bertadarus dan bertahlil, kenduri atau gotong-royong. Dengan cara itu barulah anak faham jiran tetangga adalah pihak paling sesuai untuk meminta bantuan.

l Jika berlaku masalah atau percanggahan pendapat sesama jiran tetangga, anak perlu dilatih untuk melaksanakan kaedah penyelesaian yang tepat, mengikut syariat Islam serta tidak membesarkan perkara itu hingga menjadi kronik.

Sifat berdendam juga perlu dibuang jauh-jauh di kalangan anak demi menjaga kemurnian perhubungan sesama jiran, malah anak juga perlu menyuburkan sifat bertolak ansur, mengalah dan mudah memaafkan apa juga kesalahan jiran terhadap mereka.

l Menggalakkan anak bersedekah apa saja termampu kepada jiran tetangga yang memerlukan. Sesungguhnya tangan yang memberi itu lebih mulia daripada yang menerima dan akan diberikan ganjaran sebaiknya oleh Allah.

Ibu bapa sendiri perlu menunjukkan contoh teladan sebaiknya kepada anak dalam hal kehidupan berjiran. Jika kita sendiri mengadu domba, bermusuhan dan mengasingkan diri daripada bertemu mesra dengan jiran, tidak hairanlah jika anak kita turut sama berbuat sedemikian.

Berilah pedoman kepada anak untuk memuliakan jiran tetangga seumpama mereka itu adalah sebahagian daripada keluarga terdekat yang sangat kita kasih.

Penulis berkhidmat di Universiti Sains Islam Malaysia dan sedang melanjutkan PhD di La Trobe Universiti Melbourne Australia