Showing posts with label Fardhu Kifayah. Show all posts
Showing posts with label Fardhu Kifayah. Show all posts

Monday, March 23, 2009

Nikmat air bertukar bencana jika tidak disyukuri


MENJADI fardu kifayah kepada setiap Muslim menguruskan sumber alam sebaik mungkin. - Gambar hiasan


Pembaziran, tindakan musnah sumber perlu dihenti segera agar negara kekal makmur

AIR nikmat berharga dikurniakan Allah yang menjadi unsur penting diperlukan manusia dan seluruh jasad hidup. Tanpa air, bumi gersang dan tidak ada sesuatu pun yang boleh hidup. Firman Allah bermaksud: "Dan Kami turunkan dari langit air yang banyak manfaatnya, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu pohon dan biji tumbuhan yang dikutip hasilnya." (Surah Qaf, ayat 9).

Dalam surah an-Nahl, ayat 10 hingga 11 Allah berfirman bermaksud: "Dialah (Allah) yang menurunkan hujan dari langit untuk kamu, sebahagiannya menjadi minuman dan sebahagiannya lagi (menyuburkan) tumbuh-tumbuhan, yang pada (tempat tumbuhnya) kamu menternak binatang ternakan. Dia (Allah) juga menumbuhkan bagi kamu dengan air hujan itu tanaman; zaitun, kurma, anggur dan segala macam buah-buahan. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu berfikir."

Sumber air diperoleh secara semula jadi daripada hujan, sungai, tasik dan mata air. Biarpun diperoleh secara percuma, sumber air perlu diurus dengan baik bagi mengelak kesan buruk berkaitan dengannya.

Manusia mudah lupa jika tidak diturunkan bala. Masalah banjir kilat sering berlaku disebabkan gagal mengalir air hujan ke laut. Alur dan sungai banyak tersekat disebabkan proses pembangunan tidak mengambil kira laluan air apabila hujan.

Kita harus bersyukur dilimpahi rahmat dengan jumlah purata hujan yang banyak sepanjang tahun. Sumber air memberi kemakmuran dan kesenangan hidup kepada seluruh rakyat. Kegiatan ekonomi seperti pertanian, penternakan, perikanan, pelancongan, kegunaan domestik dan perindustrian berjalan baik hasil sumber air mencukupi.

Bagaimanapun, segala nikmat itu mungkin ditarik Allah dengan pelbagai cara jika manusia tidak menghargai nikmat air. Jumlah hujan yang banyak tidak menjamin bekalan air mencukupi sepanjang tahun.

Peringatan Allah dalam surah al-Mukminun ayat 18 bermaksud: "Kami turunkan air hujan dari langit dengan sukatan tertentu serta Kami tempatkan dia tersimpan di bumi dan sesungguhnya Kami sudah tentu berkuasa melenyapkannya."

Semua pihak menanggung kerugian dan kesukaran apabila bekalan air berkurangan. Ketika itu masing-masing sedar betapa pentingnya air. Masalah kekurangan bekalan air bukan kebetulan, tetapi akibat perbuatan manusia sendiri.

Tindakan pemantauan berkaitan bekalan air dilakukan bersungguh-sungguh hanya ketika berlaku krisis bekalan air. Malangnya, masalah itu dilupai selepas dapat diatasi buat sementara. Ini memberi peluang pihak tidak bertanggungjawab mengulangi kesalahan dan mengaut keuntungan. Mereka tidak takut didenda kerana mampu membayarnya.

Masalah berkaitan air bukan satu bencana alam semata-mata, malah peringatan disebabkan manusia tidak menunaikan amanah dan tanggungjawab.

Sikap tamak dan angkuh menjadikan manusia tidak rasa bersalah biarpun mengetahui perbuatan mendatangkan keburukan.

Allah menurunkan hujan sebagai anugerah kepada hamba-Nya. Oleh itu, kita wajib menghargai nikmat kurniaan itu. Jika nikmat itu tidak diendahkan, maka dibalas dengan azab yang pedih.

Manusia perlu menghargai air dengan melakukan usaha ke arah memelihara dan memulihara sumber air.

Perbuatan mendatangkan keburukan kepada sumber air perlu dihentikan. Penggunaan air juga perlu dikawal agar tidak berlaku pembaziran sumber. Sekiranya Allah menarik balik nikmat air, tiada siapa dapat mengatasi kekuasaan Allah untuk mengubah ketentuan-Nya.

Masalah berkaitan air adalah bala. Ia satu peringatan supaya kembali insaf dan tidak berterusan melakukan dosa.

Jika manusia tidak insaf dan tidak memperbetulkan kesalahan dilakukan, bala lebih besar ditimpa seperti diceritakan dalam al-Quran mengenai kehancuran menimpa kaum Saba akibat ingkar mematuhi perintah Allah.

Kaum Saba mendapat limpah kurnia melakukan kegiatan pertanian secara besar-besaran dengan ada bekalan air mencukupi. Negara Saba mendapat kemakmuran dan kehidupan mewah sehingga menjadi tumpuan penduduk dari kawasan sekitar.

Balasan berkaitan air tidak saja melalui banjir. Masalah kekurangan bekalan air, tanah runtuh, banjir lumpur, hakisan tanah dan penyakit bawaan air juga satu bentuk balasan. Kejadian itu disebabkan manusia melakukan perbuatan menyalahi hukum alam sehingga peranan air tidak terkawal.

Tanah runtuh berlaku disebabkan kemusnahan struktur semula jadi disebabkan kegiatan pembinaan bangunan, jalan raya dan penempatan yang dibuat di lereng atau atas bukit tanpa kawalan. Bukit yang menjadi paksi bumi mengalami perubahan ketara tidak mampu mengekalkan peranannya.

Masalah hakisan tanah mendatangkan kesan buruk biarpun berlaku perlahan. Kejadian hakisan menyebabkan air sungai dicemari kelodak dan unsur tidak larut. Sungai menjadi cetek dan mengganggu ekologi hidupan air.

Kegiatan pembalakan haram dan tidak terkawal sering mengganggu kawasan diwartakan tadahan hujan. Pokok ditebang sehingga kawasan hutan menjadi gondol. Keuntungan diperoleh pencuri balak, sedangkan orang ramai mengalami padahnya.

Kawasan hutan tadahan hujan yang dibersihkan tidak lagi menyimpan air. Simpanan air dalam tanah berkurangan dan mudah kering apabila musim kemarau. Loji air menghadapi kekurangan bekalan air sehingga tidak memenuhi keperluan domestik.

Kekurangan bekalan air dalam tanah juga menyebabkan tumbuh-tumbuhan tidak subur dan mati. Haba di kawasan meningkat dengan mendadak dan menyebabkan kebakaran hutan mudah berlaku yang mendatangkan kerugian besar kepada negara.

Manusia perlu mematuhi dan bertanggungjawab menjaga alam agar sumber utama tidak diganggu secara keterlaluan. Sifat melampaui batasan memang ditegah dalam semua hal. Kemusnahan dan kecelakaan mudah berlaku dalam keadaan melampaui batasan.

Soal pengurusan air adalah fardu kifayah yang perlu dipandang serius untuk kepentingan semua. Semua pihak perlu memainkan peranan bagi menjamin kepentingan umum tidak dirosakkan.

Tindakan proaktif dan berterusan menjaga dan memulihara sumber air perlu dilakukan tanpa kompromi terhadap pihak yang mengambil kesempatan tidak mematuhi peraturan supaya sumber air berada pada tahap lebih lestari dan berkualiti.

Alam ini perlu dipelihara dan diuruskan dengan baik. Tugas ini sebahagian daripada tugas yang diamanahkan terhadap manusia sebagai khalifah. Allah menjelaskan kemusnahan dan penderitaan bakal ditanggung manusia jika melakukan perbuatan menyalahi aturan alam.

Saturday, August 23, 2008

Menjadi usahawan tani memenuhi tuntutan fardu kifayah

FUNGSI pertanian pada peringkat awalnya adalah untuk memenuhi keperluan asas manusia iaitu makanan dan minuman. Namun apabila meningkatnya tamadun manusia, maka fungsi pertanian berubah.

Daripada pertanian untuk sara diri, bertukar menjadi pertanian untuk perniagaan. Apa yang nyata pertanian adalah perniagaan yang memberi peluang besar kepada umat Islam khususnya dalam pengeluaran makanan halal.

Bidang perniagaan dalam pertanian khususnya dalam pengeluaran makanan dan produk halal membuka peluang pekerjaan dan keuntungan besar kepada pelabur dan pengusaha.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dialah yang menjadikan bumi untuk kamu; mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jugalah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatnya dan takutilah kemurkaan-Nya )." - (Surah al-Mulk, ayat 15)

Besarnya faedah makanan kepada manusia khususnya dalam pengeluaran makanan halal, maka Islam mengkategorikan bidang pertanian adalah fardu kifayah kerana ia bukan saja untuk kepentingan agama tetapi memberi sumbangan kepada peningkatan ekonomi negara dan kesejahteraan hidup manusia sejagat.

Langkah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menganjurkan Pameran Pertanian dan Agro Pelancongan (Maha) adalah selari tuntutan fardu kifayah. Malaysia sebuah negara bertuah kerana mempunyai tanah pertanian subur dan sumber alam yang kaya untuk membekalkan makanan kepada penduduknya. Sumber itu bukan saja mencukupi untuk rakyat negara ini tetapi di eksport ke luar negara.

Menurut Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dalam kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kesembilan, menjelang 2010, Malaysia dijangka mengeksport hasil pertanian bernilai RM72 bilion setahun.

Berdasarkan aktiviti pertanian adalah fardu kifayah, maka sikap membazir atau membiarkan tanah tanpa diusahakan dalam keadaan kegawatan ekonomi perlu diubah. Sesungguhnya perbuatan sedemikian dimurkai Allah kerana seolah-olah tidak mensyukuri nikmat diberikan.

Nabi SAW menekankan dalam sabdanya mengenai perlunya tanah pertanian dibangunkan untuk menghasilkan bahan makanan dan tidak mengizinkan sama sekali tanah dibiarkan dan dibazirkan begitu saja.

Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang mempunyai tanah hendaklah dia mengerjakannya dengan bertani atau (jika dia tidak berupaya melakukannya) hendaklah menyerahkannya kepada saudaranya supaya diusahakan dan janganlah dia menyewakannya (sekalipun) hanya sepertiga, seperempat dan makanan asasi." – (Hadis riwayat Abu Daud)

Berdasarkan hadis itu, jelas bahawa manusia bertanggungjawab untuk memakmurkan bumi ini sebagai tanda kesyukuran dengan memanfaatkan hasil ciptaan Allah untuk kebajikan manusia.

Justeru, umat Islam diseru supaya memperhebatkan bidang pertanian dengan cara menjadikannya sebagai sumber perniagaan kerana nyata memberi keuntungan, manfaat kepada manusia sejagat dan memperluaskan pengeluaran makanan halal dunia.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan makanlah dari rezeki yang diberikan Allah kepadamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya saja kamu beriman." – (Surah Al-Maidah, ayat 88) - Laman khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia