Showing posts with label Dunia Islam. Show all posts
Showing posts with label Dunia Islam. Show all posts

Sunday, August 24, 2008

Ulul Albab: Barat pandang rendah universiti Islam

Oleh Abdurrahman Haqqi

BERI TUMPUAN: Sebahagian peserta mengikuti persidangan Multaqa Sedunia Alumni Al-Azhar 2008 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Pengubahsuaian minda perlu terhadap kajian tamadun, reformasi institut

JIKA kita merujuk kajian dibuat pihak Barat berkaitan universiti dan kolej pertama di dunia, mereka akan menyebut universiti Salerno dan Bologna di Itali yang masing-masing ditubuhkan pada abad kesembilan dan ke-19, seperti ditulis Noel Cox (2000), Profesor Undang-undang di Auckland University of Technology, New Zealand dalam Academical Dress in New Zealand.

Jika kita merujuk tulisan pihak Barat mengenai rob (cappa clausa), baju gaun yang dipakai pendidik dan graduan, penutup kepala dan yang sejenisnya maka mereka akan merujuk kepada sejarah penubuhan Universiti Oxford dan Cambridge pada 1222 menerusi arahan Arbishop Canterbury ketika itu, Stephen Cardinal Langton kemudian dikembangkan oleh Tudor, intelek kenamaan England pada pertengahan Abad 16 seperti dalam A Brief Introduction to English Academic Costume.

Oleh itu, di mana peranan dan sumbangan atau sejarah universiti Islam yang lebih dulu wujud daripada universiti Barat? Universiti Nizamiah di Baghdad di mana Imam al-Ghazali (w. 504H) pernah menjadi profesornya di sana 1,000 tahun lalu. Universiti al-Azhar yang melahirkan banyak cendikiawan dunia dibina 1,100 tahun yang lalu. Universiti Zaitunah di Tunisia yang mendahului al-Azhar beberapa dekad sebelumnya. Kegiatan akademik yang menyerlah dalam universiti Andalusia selama kewujudan Islam sepanjang 600 tahun di sana. Belum lagi kita menyebut universiti Abu Hanifah (w. 150H), universiti Malik (w. 129), universiti Syafi'i (w. 204H) dan universiti Ahmad ibn Hanbal (w. 234H) jika kita mengambil kira tulisan Prof Cox: "Universities as we know them today started as scholastic guilds, and developed on an analogy with tradesmen's guilds and the later guilds of aliens in foreign cities which sprang up in the thirteenth and fourteenth centuries in most of the great European cities."

Inilah yang dipromosi pihak Barat selama ini. Mereka menafikan bahkan menidakkan kewujudan satu tamadun agung dunia di bawah naungan ajaran Islam selama beberapa abad lamanya. Mereka hanya mengiktiraf ketamadunan mereka saja yang baru dimulai pada abad pertengahan yang terkenal dengan istilah zaman Renaisance.

Malangnya ada di antara umat yang mengamini promosi Barat di atas hingga mereka terjebak dalam krisis jati diri antara seorang Muslim yang hanya menyembah Allah dan seorang Muslim yang 'menyembah' (baca: mengikut) selain Allah. Dia berasa rendah diri berdepan dengan Barat, tetapi menjadi singa kelaparan ketika berdepan dengan umatnya. Mereka dihinggapi penyakit yang disebut sebagai mentaliti hamba, slavish mentality yang membuat mereka tidak kritikal dan berasa selesa dengan kesan penyakit mereka yang tidak disedari.

Satu lagi bidang dinafikan Barat adalah bidang penulisan ilmiah di mana mereka juga mendakwa ia berasal dari Barat. Padahal jika kita perhatikan tradisi keilmuan Islam sudah sepatutnya mereka mengaku murid kepada tamadun Islam. Istilah sammu lana rijalakum atau 'sebutkan rujukanmu' adalah tradisi keilmuan Islam yang sudah melekat lama dalam masyarakat Islam hanya ahli hadis dalam akhir abad pertama Hijrah. Mereka sepatutnya berterima kasih juga dengan budaya 'indexing' ulama Islam terdahulu.

Rabu lalu, di Institut Pengajian Islam Sultan Haji Omar Ali Saifuddien, Universiti Brunei Darussalam (UBD) dibuka perasmian bengkel penulisan Latihan Ilmiah bagi pelajar Tahun 4 oleh Dekannya, Prof Madya Dr Md Som @ Muhammad Sujimon.

Ia adalah program tahunan pelajar universiti itu yang baru saja mendapatkan Naib Canselornya yang baru, Dr Zulkarnain Hanafi, seorang pakar perubatan Brunei. Pada bengkel ini pelajar didedahkan cara atau metod penyelidikan dalam penulisan Latihan Ilmiah. Sebagai seorang pemudahcaranya, penulis bertanggungjawab membimbing mereka ke arah penulisan Latihan Ilmiah yang benar.

Tradisi penyelidikan adalah tradisi tulen ilmuwan Islam sejak dahulu kala. Ia tidak terlepas daripada ajaran Islam yang menggalakkan mencari kebenaran. Yang agak merisaukan pada hari ini adalah semakin redupnya kegiatan ini di pusat pengajian tinggi Islam. Bahkan ia tidak lagi menjadi tumpuan kerana dikalahkan oleh keglamoran komersialisasi pengajian tinggi. Mereka lebih memberi tumpuan ramainya bilangan pelajar, bukan bilangan penyelidikan.

Penyelidikan adalah satu proses yang sistematik dalam mengumpul dan menganalisis data atau maklumat untuk tujuan tertentu. Oleh itu, penyelidikan saintifik adalah satu penyelidikan terhadap satu fenomena semula jadi yang dilaksanakan secara yang sistematik, empirikal, terkawal dan begitu kritikal dengan berpandukan teori dan hipotesis mengenai pertalian atau kaitan yang diandaikan wujud di antara fenomena berkenaan.

Penyelidikan pendidikan dikategorikan kepada dua iaitu penyelidikan kualitatif dan kuantitatif. Yang pertama disebut adalah penyelidikan yang menghuraikan sesuatu fenomena itu dengan perkataan. Ia berasal dari analisis huraian. Pada asasnya ia membabitkan proses pengukuran daripada yang spesifik kepada membuat rumusan yang umum sedangkan yang kedua disebut adalah penyelidikan yang menghuraikan sesuatu fenomena yang berlaku atau wujud dalam bentuk angka atau pengukuran. Berkait rapat dengan penakulan deduktif. Bermula daripada prinsip yang umum kepada lebih spesifik.

Dalam penyelidikan dan aktiviti ilmiah lainnya, pelajar kita hari ini tidak kira apa bidang kajiannya menghadapi cabaran krisis jurang digital (Digital Divide). Mereka masih lagi ketinggalan dalam penguasaan teknologi. Perlu disedari bahawa pada hari ini keupayaan kita menguasai kemahiran teknologi maklumat khususnya menjadi sangat penting. Tamadun yang berasaskan ilmu (knowledge-based civilization) harus menjadi matlamat utama pelajar kita (baca: Muslim) khasnya apabila al-Quran itu sendiri sejak awal mencetuskan idealisme ilmu cukup signifikan dalam sejarah kemanusiaan menerusi gagasan Iqra'.

Sunday, August 17, 2008

Ulul Albab: Islam rangkumi sistem kehidupan

Bersama Abdurrahman Haqqi

TIADA MASALAH: Ruqaya membuktikan mampu muncul juara walaupun bertudung mengikut ajaran Islam. - Foto REUTERS


Barat takrif agama hanya dalam gereja terpisah daripada hidup di dunia

MEMANG penulis mengikuti perkembangan Sukan Olimpik Beijing, China yang sedang berlangsung sekarang, tetapi tidak akan mengulas mengenai acara yang dipertandingkan pada kejohanan berprestij itu dalam ruangan minggu ini.

Apa yang ingin penulis paparkan minggu ini ialah mengenai berita yang dilaporkan AFP Selasa lalu di mana Presiden Amerika Syarikat, George W Bush menasihati rakannya, Presiden China, Hu Jintao dan pemimpin China lain untuk tidak berasa bimbang terhadap agama. "Don't fear religion," katanya.

Bahkan untuk membuktikan bahawa agama adalah kedamaian, Bush dengan bangga mengatakan di Beijing: "Laura and I just had the great joy and privilege of worshipping here in Beijing...You know, it just goes to show that God is universal and God is love, and no state, man or woman should fear the influence of loving religion."

Lain yang diucap lain pula yang dibuat. Di negaranya, Bush terbukti selama ini berasa bimbang terhadap agama Islam. Islamfobia semakin menjadi pada masa pemerintahannya, malah sudah diketahui umum bagaimana beliau menjadikan Islam sebagai musuh dunia.

Dia bunuh ratusan ribu bahkan jutaan Muslim di Afghanistan dan Iraq tanpa berasa salah walaupun dunia mengutuknya. Dengan kekuasaannya tidak ada yang berani mendakwanya sebagai penjenayah perang padahal dengan jelas dia sudah melakukan 'genocide'.

Keadaan berbeza dengan Presiden Sudan, Omar al-Bashir kerana dia Muslim, PBB mendakwanya melakukan pembunuhan beramai-ramai di Darfur, padahal itu hanya rekaan saja bukan seperti yang kita saksikan di Afghanistan dan Iraq.

Satu kemungkinan di antara beberapa kemungkinan mengapa Bush menasihati untuk tidak takut terhadap agama kerana dalam sistem kehidupan Barat agama dipisahkan dari sistem kehidupan manusia. Agama adalah apa yang ada dalam gereja, tidak lebih. Ia tidak boleh melintasi koridornya menuju kehidupan negara dalam bidang sosial, politik, ekonomi dan lain-lain.

Oleh itu, kita perhatikan dalam ucapan Bush itu, beliau berasa damai di dalam gereja Protestan Kuanjie. Ini yang ditakuti Bush mengenai Islam kerana Islam bukan saja agama tapi ia juga sistem kehidupan yang menjadi 'way of life' setiap pemeluknya.

Islam tidak hanya berada di masjid tetapi juga di bangunan pentadbiran kerajaan. Islam tidak hanya termaktub dalam al-Quran tapi ia juga tingkah laku manusia yang menghidupkan al-Quran. Islam tidak hanya agama yang mengatur norma dan nilai, tapi ia adalah sistem kehidupan manusia secara keseluruhannya. Al-Syahid Hassan al-Banna pernah menggariskan dalam Usul al-'Isyrin: "Islam adalah satu sistem yang syamil merangkumi seluruh aspek hidup. Islam adalah negara dan watan atau pemerintah dan umat, akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan, kebudayaan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman, material dan harta benda atau usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah, sebagaimana ia juga adalah akidah yang benar dan ibadat yang sah."

Satu daripada simbol Islam sebagai agama dan sistem kehidupan dalam sukan Olimpik Beijing ialah semakin ramai atlit wanita yang bertudung terbabit dalam kejohanan itu. Mereka ialah enam dari Mesir, Iran (tiga) dan masing-masing seorang dari Afghanistan, Bahrain dan Yaman. Mereka bertanding dalam acara lari pecut, berbasikal, taekwando dan memanah.

Seorang daripada atlit bertudung yang menyertai acara lari pecut ialah peserta dari Bahrain, Ruqaya al-Ghasara. Sebagai seorang atlit dan Muslimah bertudung, dia mencipta sejarah apabila meraih pingat emas dalam Kejohanan Sukan Asia Barat pada 2006.

Ditanya mengenai tudung, Ruqaya menjawab, "Tudung tidak pernah jadi masalah buat saya."

"Islam masuk dalam sistem sukan, bukan sekadar agama, tetapi ketika masuk ke dalamnya, mahu tidak mahu, mestilah ajarannya mengawal tingkah laku pemeluknya. Aurat, sebagai contoh, wajib ditutup kata ajarannya maka wajiblah si pemeluk menutup auratnya. Perkara inilah yang tidak diinginkan kebanyakan manusia walaupun pada akhirnya mereka juga akur dengan prinsip keagamaan ini." katanya.

Tahun lalu Persatuan Taekwondo Dunia (WTF) yang beribu pejabat di Seoul, Korea Selatan melarang atlit perempuan bertudung menyertai pertandingan dengan alasan bahawa mereka tidak mengenal asas agama dan tidak akan membuat penyesuaian simbol keagamaan, termasuk tudung. 'Fatwa' ini diberikan selepas ditanya oleh Persatuan Taekwando Kanada (PTK). Bagaimanapun, selang sebulan selepas itu, satu lagi persatuan iaitu Persatuan Taekwando Antarabangsa (ITF) membenarkan atlit wanita untuk bertudung dalam pertandingan antarabangsanya di Quebec, Kanada.

Islam sebagai agama mempunyai ajaran yang sesuai dengan fitrah manusia dan ia tidak pernah bercanggah dengan sifat semula jadi manusia itu sendiri. Islam sebagai sistem kehidupan mempunyai peraturan yang tidak membebankan manusia dengan peraturan ketatnya. Walhal, Islam sebagai agama dan sistem kehidupan adalah kenderaan yang ideal bagi manusia dalam mengharungi perjalanan hidup di dunia ini menuju tempat tujuan asal mereka yakni syurga.

Sebagai agama, Islam sememangnya mengajak manusia untuk hidup damai. Islam sebagai sistem kehidupan sememangnya mengambil kira sifat semula jadi manusia agar diterapkan oleh mereka. Walaupun manusia itu dari segi sifat semula jadinya adalah baik, namun dia mempunyai kecenderungan untuk melakukan perbuatan yang tidak baik. Al-Quran menjelaskan maksudnya: "Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa." (Surah al-Syams: 7-8)

Sesuai dengan unsur jasmani dan rohani yang terbina dalam diri manusia, peribadi manusia mempunyai potensi untuk menjadi sebuah medan pertarungan antara dua kecenderungan: Dorongan kepada kebaikan dan dorongan kepada kejahatan. Justeru, manusia perlu menggerak dan memanfaatkan segala potensi yang ada pada dirinya agar dia dapat memastikan kecenderungan ke arah kebajikan dan sebaliknya kecenderungan ke arah kejahatan dapat dinafikan. Sistem kehidupan inilah yang dipromosikan Islam.

Sistem kehidupan gabungan jasmani dan rohani ini tidak dimiliki sistem Barat kerana pertembungan falsafah Plato dan Aristotle masih ketara dalam pemikiran mereka. Plato sebagai idealis berpendapat bahawa kebaikan tertinggi hanya akan dicapai oleh manusia yang bertindak melepaskan alam intelektualnya daripada ikatan fizikal supaya dia dapat membuat renungan mengenai hakikat alam. Sebaliknya, Aristotle sebagai seorang realis berpendapat bahawa kebaikan yang wujud pada manusia bukan dalam bentuk idea, tetapi adalah hasil perlakuan manusia. Malah, ia mem-babitkan usaha serta keupayaan manusia bertindak ke tahap semaksimum mungkin.

Dua pandangan berbeza dalam melihat dan menghuraikan hakikat alam oleh dua ahli falsafah agung yang menjadi teras pemikiran Barat berbanding Islam sebagai agama dan sistem kehidupan sudah pasti tidak akan seimbang. Yang satu hanyalah hasil buah fikiran manusia sedangkan yang satu lagi adalah ajaran yang sudah siap dan diturunkan Pencipta manusia untuk manusia. Yang mana satu anda pilih? Wallahu a'lam.

Wednesday, February 13, 2008

Iktibar isu batal pengharaman bertudung di Turki

Oleh Nurhidayah Muhd Hashim

PADA 28 Januari lalu, media melaporkan Perdana Menteri Turki, Reccep Tayyip Erdogan mahu larangan memakai tudung di universiti dihapuskan secepat mungkin melalui arahan Parlimen. Perkembangan di Turki mengenai isu penarikan balik pengharaman tudung menarik perhatian dunia.

Perubahan itu akan membabitkan pindaan Perlembagaan Turki. Sejak berada di bawah kepemimpinan Parti AK, ada banyak kemajuan berhubung penghayatan Islam dilaksanakan walaupun mendapat tentangan sesetengah golongan.

Akhirnya pada 10 Februari lalu, media massa melaporkan Parlimen Turki mengundi iaitu 411 menyokong berbanding 103 menentang penarikan balik pengharaman berkenaan. Kita mengucapkan syukur ke hadrat Allah dan tahniah atas kejayaan usaha negara sekular itu.

Turki adalah negara didiami 99 peratus rakyat beragama Islam, namun terikat kepada sistem sekular diasaskan Mustapha Kamal Attartuk masih lagi menebal. Bahkan, jelas dalam Perlembagaan Turki menyatakan ciri sekular negaranya.

Walaupun diancam golongan aristokrat dan tentera Turki, golongan Islam tidak pernah berputus asa berusaha menegakkan kalimah Allah di bumi Turki.

Namun, kita melihat usaha murni Parti AK yang didukung oleh Presiden Abdullah Gul dan Perdana Menteri baru-baru ini hanya berlaku secara unilateral dan langsung tidak disokong pejuang hak asasi kemanusiaan. Persoalan ketara, di manakah pejuang hak asasi kemanusiaan dalam isu itu?

Andai kata Turki mewajibkan pelajar wanitanya memakai tudung di universiti dan ada usul menarik balik perintah itu, sudah tentu pejuang hak asasi daripada seluruh dunia berbondong-bondong memberi tekanan dan melobi supaya perintah itu ditarik balik.

Tetapi apabila pengharaman memakai tudung diusulkan untuk ditarik balik, di mana pejuang hak asasi manusia? Adakah pejuang hak asasi mengamalkan sikap berat sebelah apabila membabitkan isu hak Muslim dalam beramal? Adakah wanita Islam di Turki tidak mempunyai hak mengenakan tudung di universiti?

Isu penarikan pengharaman tudung di universiti awam hanyalah secebis daripada isu di perantauan yang menjadi tamsil kepada masyarakat Islam di Malaysia. Ia sewajarnya memberi iktibar kepada semua untuk menilai apakah yang berlaku dalam masyarakat kita.

Contohnya, ketika kes Subahsini lawan Saravanan @ Mohd Shafi dibicarakan, pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atas nama memperjuangkan hak wanita dari dalam dan luar negara mengeluarkan kenyataan mengecam Saravanan dengan tuduhan ingin melarikan diri daripada tanggungjawab memberi nafkah terhadap isterinya dengan memeluk Islam, termasuklah tuduhan memaksa anaknya memeluk Islam bersamanya.

Pelbagai tohmahan dilemparkan kepada beliau dan mereka melaungkan bahawa seorang wanita ditindas atas tindakan suaminya memeluk Islam. Seolah-olah si suami langsung tidak mempunyai hak mengamalkan kepercayaan agamanya.

Namun, keadaan berbeza dapat dilihat dalam beberapa kes lain di mana yang memeluk Islam itu ialah wanita dan wanita Islam ini terpaksa menempuh pelbagai rintangan serta halangan dalam mengamalkan agamanya.

Hampir tidak kedengaran langsung NGO mempertahankan hak wanita mualaf ini. Mereka juga memerlukan bantuan dan sokongan. Adakah semata-mata kerana mereka adalah wanita memeluk Islam, mereka tidak disokong?

Wanita seperti nama Nor Laily, Aishah Sandera, Siti Aisyah Lachimi, Nor Adriana Qistina dan ramai lagi memeluk Islam selepas mendapat hidayah Allah dan sekarang menghadapi kesukaran dalam rumah tangga mereka kerana suami enggan memeluk Islam.

Mereka berada di persimpangan antara hidayah Allah dan suami. Nama-nama itu begitu asing bagi kita berbanding dengan nama Subahsini yang dipertahankan atas nama hak asasi memilih agama.

Lantaran timbul persoalan kenapakah perkara sebegini boleh berlaku di negara kita?

Kebebasan beragama dijamin Perlembagaan Persekutuan dinikmati semua rakyat melangkaui batas agama dan bangsa. Namun, kebebasan itu bukanlah kebebasan mutlak yang tidak mengenal had dan sempadan. Sekiranya hak itu dinafikan sudah tentu wanita mualaf ini juga wajar mendapat perhatian daripada NGO yang memperjuangkan hak wanita.

Begitu juga kita berdepan dengan beberapa permasalahan membabitkan kod berpakaian tidak membenarkan wanita Islam memakai pakaian sopan menutup aurat seperti dilaksanakan beberapa syarikat besar di negara ini.

Contohnya, syarikat penerbangan tambang murah yang terkenal mensyaratkan pakaian yang sopan untuk pekerja lelaki, tetapi sangat terdedah, sendat dengan skirt pendek yang tidak bersesuaian nilai ketimuran bagi pekerja wanitanya.

Begitu juga beberapa syarikat lain termasuk pasar raya besar, kedai gambar dan sebagainya. Bagi yang membuat keputusan memakai pakaian menutup aurat, mereka dinafikan kerja itu walaupun mempunyai kelayakan dan minat. Kenapa perkara seperti itu tidak diangkat oleh kesatuan sekerja mahupun kumpulan hak asasi manusia demi kepentingan wanita terbabit?

Apakah kita ingin melihat satu lagi kes seperti Habshah Jaafar yang terpaksa memilih diberhentikan daripada jawatan besar yang dipegangnya di sebuah hotel besar di ibu kota semata-mata kerana memilih memakai tudung seperti berlaku sebelum ini?

Sikap tidak menyenangi orang Islam mengamalkan agama mereka sebenarnya berpaksikan ketidakfahaman mengenai ajaran Islam sendiri dan kekeliruan berhubung kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tiada siapa boleh mempertikaikan kedudukan istimewa Islam dalam Perlembagaan. Apa yang diperjuangkan adalah mengembalikan kedudukan Islam seperti mana sebelum datangnya penjajah. Jika atas nama hak asasi diperjuangkan, maka mereka perlu berlaku adil menilai dua keadaan berbeza.

Apabila seseorang tidak mahu melakukan sesuatu dan dipaksa melakukannya, maka ia dianggap melawan hak asasi seseorang. Justeru, apabila seseorang wanita memilih memakai tudung sedangkan ada peruntukan melarangnya memakai tudung, maka itu juga melawan hak asasi mereka.

Dalam kes sebegini, kita mendesak pihak kerajaan dapat memberi teguran dan NGO yang mengetengahkan isu hak asasi manusia wajib berlaku adil dengan memberi bantuan serta sokongan kepada isu beramal dengan ajaran Islam termasuk memberi sokongan moral terhadap isu wanita mualaf, juga isu tudung di negara Turki.

Penulis ialah Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com/ dan sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com

Friday, January 11, 2008

Ilmuwan Islam: Ilmuwan Islam manfaat sumber alam jana elektrik

MANJIL terkenal sebagai bandar berangin di Iran kerana kedudukannya di kawasan rekahan pergunungan Alborz yang menjadi laluan tiupan angin menuju banjaran Qazvin. Walaupun berada di kawasan pergunungan, Manjil kaya anugerah alam seperti tanahnya yang subur untuk pertanian.

Manjil juga terkenal sebagai pengeluar buah zaitun bermutu menjadikan bandar yang sentiasa dihiasi warna lampu neonyang menjadi tumpuan pelancong asing.

Episod kesembilan dokumentari Ilmuwan Islam terbitan TV3 yang disiarkan jam 7.30 malam ini memberi tumpuan kepada bandar Manjil yang tidak lagi bergantung kepada sumber tenaga fosil seperti petroleum dan gas bagi mendapatkan tenaga elektrik.

Tenaga elektrik Manjil juga bukan berpunca daripada kuasa hidro, walaupun terdapat sebuah empangan di bandar itu. Sebaliknya, bandar itu menggunakan sumber alam untuk menjana tenaga elektrik, menjadikannya contoh bandar yang mesra alam.

Penduduknya bergantung kepada kipas gergasi di puncak bukit sekitar bandar berangin ini sebagai punca tenaga elektrik.

Tiupan angin kencang berterusan hingga mencapai kelajuan 90 kilometer sejam di kawasan tinggi Manjil membolehkan bandar itu mendapat bekalan tenaga daripada kira-kira 80 kipas gergasi yang berperanan sebagai penjana elektrik.

Ia menukar tenaga kinetik daripada tiupan angin kepada tenaga mekanikal bagi menghasilkan kuasa elektrik antara 250 hingga 660 kilowat.

Tenaga elektrik itu ada di antaranya dihantar terus ke kilang sekitar Manjil atau di simpan di stesen jana kuasa untuk disalurkan ke rumah penduduk bandar itu.

Penonton Ilmuwan Islam akan dibawa melihat kipas gergasi yang dikembangkan daripada teknologi kincir angin oleh saintis Eropah.

Hakikatnya, ciri asas kincir angin bermula di Iran dan diperkenalkan oleh dunia Islam ke Eropah.

Iran adalah negara pertama selepas masihi yang membangunkan teknologi kincir angin dan sejarah merakamkan ia bermula di wilayah Baluchistan, terletak di selatan Iran.

Pada kurun ke-7 masihi, teknologi kincir angin dari Iran dibawa masuk ke negara Arab.

Penerokaan mengenai ilmu kejuruteraan yang dipaparkan Ilmuwan Islam membuktikan kemampuan umat Islam membangunkan teknologi berasaskan alam sekitar dan menjadi permulaan kepada perkembangan teknologi terkini yang banyak memberi kebaikan kepada umat sejagat.

Ia juga sebagai isyarat bahawa kebijaksanaan memanfaatkan sumber alam tidak terbatas kepada sesuatu kaum atau umat, sebaliknya terletak kepada nilai ilmu mereka seperti dibuktikan kajian yang dilakukan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia memanfaatkan kuasa matahari.

Wednesday, January 9, 2008

Bukan Islam wajar guna perkataan Tuhan elak keliru antara agama

MASYARAKAT Islam menarik nafas lega dan memanjatkan kesyukuran kepada Allah apabila membaca pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin yang menafikan kerajaan membenarkan penerbitan akhbar Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah walaupun Kementerian Keselamatan Dalam Negeri memperbaharui permitnya baru-baru ini.

Keputusan Kabinet mengekalkan pengharaman penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan bukan Islam adalah tepat kerana penggunaan kalimah Allah bagi bukan Islam apabila merujuk tuhan mereka boleh menimbulkan kekeliruan dan kemarahan umat Islam. Malah, ia juga tidak bersesuaian dengan budaya dan adat yang sudah lama diamalkan di negara ini.

Keputusan itu dibuat selaras peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan Dewan Undangan Negeri dan Parlimen bagi Wilayah Persekutuan menggubal dan meluluskan undang-undang mengawal serta menyekat pengembangan agama bukan Islam di kalangan orang Islam.

Walaupun rakyat bebas menganuti, mengamalkan dan mengembangkan agamanya, kebebasan itu bukan mutlak. Dalam konteks ini, Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan mengehadkan kebebasan itu.

Sehubungan itu, semua negeri di Malaysia kecuali Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak sudah menggubal dan meluluskan undang-undang mengawal dan menyekat pengembangan agama bukan Islam di kalangan Muslim.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri pernah menggesa keempat-empat negeri itu berbuat demikian dan ia dipersetujui oleh negeri berkenaan. Namun, perkara itu belum menjadi kenyataan. Tiada penjelasan langsung mengenai kelewatan itu. Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menggesa keempat-empat negeri itu menunaikan janji mereka.

Bagi negeri yang mempunyai undang-undang itu, ada peruntukan menyatakan, menjadi suatu kesalahan menggunakan istilah tertentu (termasuk menggunakan perkataan ‘Allah’, ‘kaabah’, ‘baitullah’ dan ‘solat’ ) bagi kegunaan agama selain Islam.

Namun, pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang itu amat mengecewakan. Hampir tiada rekod menunjukkan undang-undang itu pernah dilaksanakan. Bagaimanapun, adalah elok untuk melihat undang-undang yang sudah diluluskan bagi memahami maksud larangan Kabinet.

Umpamanya, Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam di Kalangan Orang Islam) (Negeri Sembilan) 1991 yang diperkenankan pada 11 Februari 1992. Enakmen itu bertujuan mengawal dan menyekat pengembangan iktikad dan kepercayaan agama bukan Islam di kalangan Muslim.

Enakmen 15 seksyen itu antara lain, memperuntukkan jenis kesalahan dan penguatkuasaan terhadap kesalahan antaranya:

l Memujuk, mempengaruhi, memaksa atau menghasut seorang Islam untuk menjadi seorang pengikut, atau anggota suatu agama bukan Islam;

l Mendedahkan seorang yang beragama Islam bawah umur 18 tahun kepada pengaruh suatu agama bukan Islam;

l Mendekati seorang yang beragama Islam untuk mendedahkannya kepada apa-apa ucapan, atau pertunjukan apa-apa perkara mengenai suatu agama bukan Islam;

l Menghantar atau menyerahkan terbitan mengenai apa-apa agama bukan Islam kepada seorang yang beragama Islam;

l Membahagikan apa-apa terbitan atau bahan publisiti mengenai agama bukan Islam kepada orang yang beragama Islam;

l Menggunakan perkataan dan perbahasan tertentu yang bersumberkan Islam.

Namun, jumlah denda dan tempoh penjara antara satu negeri dengan negeri lain adalah berbeza. Pada 2007, Kelantan meminda enakmen mereka dan ini menjadikan ia negeri yang mengenakan kadar denda tertinggi dan tempoh penjara paling lama antara negeri di Malaysia.

Walaupun daripada sudut penggunaan bahasa Arab perkataan Allah merujuk kepada Yang Maha Pencipta, tetapi apabila ia disekutukan dengan perkara syirik, umat Islam di Malaysia tidak dapat menerimanya.

Umat Melayu/Islam sudah pun keliru mengenai agama mereka atas pelbagai faktor dan jika perkara ini dibenarkan, umat Melayu/Islam akan bertambah keliru.

Perkataan ‘Allah’ berasal daripada Bahasa Arab. Jika pihak gereja ingin mengajar kanak-kanak Kristian berbahasa Melayu, kenapa mereka tidak menggunakan perkataan bahasa Melayu iaitu Tuhan. Kenapa untuk istilah itu diambil dalam bahasa Arab, sedangkan di Malaysia perkataan itu sudah sebati bermaksud Allah.

Begitu juga beberapa perkataan lain yang rata-ratanya difahami membawa maksud berteraskan Islam seperti ‘Baitullah’, ‘Kaabah’ dan ‘Solat’ juga hendak digunakan bagi merujuk kepada agama Kristian.Kita musykil sebab mereka beriya-iya ingin menggunakan istilah bersumberkan Islam. Dalam hal itu, keputusan Kabinet adalah tepat walaupun selepas didesak beberapa NGO Islam seperti Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Persatuan Ulama Malaysia dan Teras. Diharapkan dengan keputusan ini, isu itu tidak akan dibangkitkan lagi.

Keharmonian antara kaum amat penting bagi mempertahankan kedaulatan negara dan memastikan keamanan dan kemakmuran dapat dikecapi setiap rakyat. Oleh itu, janganlah diusik sensitiviti kaum dan agama kerana keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang hendaklah dipertahankan.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Semua komentar boleh dihantar ke exco_pgsm@yahoo.com

Thursday, January 3, 2008

Kemiskinan Sudan cetus kesedaran

Oleh Hasliza Hassan

“KERJA amal dan sukarela menjadi dua kegiatan yang tidak boleh tegak dengan sendirinya tanpa ada sifat kemanusiaan dan ia pula tidak bermakna sekiranya kita melakukannya.

Itulah yang ingin dipromosikan Presiden Islamic Relief Worldwide (IRW), Dr Hany El Banna, kepada masyarakat seluruh dunia supaya setiap individu, jabatan kerajaan, pihak swasta, orang kaya dan pemerintah membabitkan diri dalam kerja sukarela atau aktiviti amal.

Beliau yang ditemui selepas sesi ceramah kemanusiaan anjuran Islamic Relief Malaysia Berhad dan Muslim Profesional Forum Berhad di Muzium Kesenian Islam Kuala Lumpur, baru-baru ini berazam meneruskan misinya menyedarkan masyarakat dunia mengenai pentingnya sumbangan mereka dalam kerja sukarela.

“Saya yakin anda, saya dan semua adalah contoh nilai sebenar masyarakat. Kita semua adalah aset dalam masyarakat dan setiap harapan atau mimpi tidak akan menjadi nyata tanpa kita semua. Kitalah yang akan menggerakkan usaha membantu mereka yang mengharapkan pertolongan.

“Duit ialah alat untuk mencapai matlamat, tetapi kerja sukarela ialah kreativiti untuk menolong orang yang memerlukan. Kreativiti ini yang perlu difahami supaya usaha membantu melalui kerja amal itu benar-benar mencapai matlamatnya,” katanya.

Dr Hany yang juga pengasas bersama IRW, pertubuhan bermatlamat membantu masyarakat miskin dan menderita itu berkata, ramai yang ingin melakukan kerja amal, tetapi tidak semua berjaya melaksanakan usaha itu dengan berkesan.

Justeru katanya, IRW cuba membuka jalan supaya pihak yang terbabit dalam aktiviti amal atau sukarelawan dapat mengembangkan usaha itu melalui monopoli positif supaya setiap sumber yang ada dapat dimanfaat oleh semua, bukan kumpulan tertentu saja.

Pada masa sama katanya, beliau mahu memberi imej baru kepada perkataan monopoli yang selalunya membawa konotasi negatif sebagai penguasaan mutlak oleh seseorang atau satu kumpulan saja.

“Sebabnya kerja amal memberi pengertian luas, bukan hanya untuk pihak tertentu membantu golongan tertentu saja. Kerja amal untuk semua orang membantu semua yang memerlukan bantuan. Maknanya semua ada hak untuk membuat kerja amal.

“Cuma, apa yang berlaku, ada kalanya manfaat daripada kerja amal itu diperolehi kumpulan tertentu saja. Jadi ia tidak mencapai maksud kerana kerja amal ialah untuk membantu semua orang dan tidak sepatutnya dimonopoli sesetengah pihak saja hingga ada yang dipinggirkan,” katanya.

Katanya, jangan kerana melihat orang lain menghulurkan bantuan, semua pihak ingin tampil membuat sumbangan tetapi sebenarnya tidak memahami apakah pembabitan mereka itu sesuai atau sebaliknya.

Beliau berkata, sudah tiba masanya pihak yang menganjurkan kerja amal bersatu dan berinteraksi sesama mereka supaya tidak berlaku persaingan dalam aktiviti amal hingga mencalar matlamat asalnya iaitu untuk meringankan beban pihak yang menghadapi kesulitan hidup.

Pembabitan Dr Hany secara langsung dalam aktiviti amal bermula apabila beliau menubuhkan IRW, pertubuhan bukan kerajaan berpangkalan di United Kingdom yang ditubuhkan pada 1984 bertujuan membantu dan membangunkan masyarakat Muslim antarabangsa.

Graduan patologi itu mengikuti persidangan perubatan di Sudan pada 1983 dan kebetulan rakyat negara itu yang mengalami kebuluran. Kemiskinan dan desakan hidup yang disaksikan mendorong beliau menubuhkan IRW sebagai pertubuhan membantu mereka yang memerlukan bantuan.

IRW memberi bantuan kepada pihak yang berhadapan dengan bencana dan kecemasan melalui galakan pembangunan ekonomi dan sosial melalui kerjasama dengan masyarakat tempatan tidak mengira bangsa dan agama.

Bidang yang menjadi tumpuan IRW ialah bekalan air dan aspek kebersihan, kepentingan anak yang kehilangan keluarga, asas penjagaan kebersihan, pendidikan, aktiviti menjana pendapatan dan projek wakaf.

Ternyata usaha serta kesungguhan beliau memimpin IRW dalam kerja amal mendapat pengiktirafan apabila anak kelahiran Mesir itu menerima anugerah Order of the British Empire daripada Ratu Elizabeth II pada 2004 dan Anugerah Ibn Khaldun kerana kecemerlangannya menggalakkan Persefahaman Antara Budaya dan Kepercayaan Global.

Sebagai menghargai kerja serta pengaruhnya, UK Muslim Power 100 menganugerahkan beliau Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat tahun lalu. Kini usaha beliau sudah meneroka 35 negara menerusi IRW yang sentiasa bersedia menghadapi bencana dan kecemasan.

Memiliki kelulusan dalam bidang perubatan dari Universiti Al-Azhar Mesir dan menamatkan pengajian dalam bidang patologi foetal di Universiti Sekolah Perubatan Birmingham, Dr Hany adalah ilmuwan contoh dalam dunia sukarelawan.

Berdasarkan ceramah bertajuk Monopoli Positif Sektor Amal yang disampaikan, usaha beliau kini ditumpukan bagi menyatupadukan pelbagai pertubuhan sukarelawan supaya berkongsi matlamat bagi mengelak wujud monopoli dalam usaha membantu pihak yang memerlukan.

Katanya, semua pihak perlu faham bahawa mereka dihubungkan melalui satu matlamat iaitu untuk membantu pihak yang memerlukan dan sewajarnya tindakan yang dilakukan tidak terbabas daripada tujuan asal.

Beliau berkata, persaingan tidak sihat hanya akan menghancurkan usaha murni mereka sebaliknya persaingan sihat dengan berkongsi sumber serta matlamat akan memudahkan kerja mengagihkan bentuk bantuan mengikut keperluan kumpulan sasar.

“Jika semua pihak ingin membantu masyarakat di satu tempat yang sama dan memberi kemudahan sama, kerja amal itu terhad kepada satu perkara saja. Tetapi jika mereka membahagikan tugas serta sumber yang ingin disumbangkan, lebih banyak pihak akan mendapat manfaat.,”katanya.

Beliau berkata, ini tidak bermakna mereka tidak boleh pergi ke satu kawasan bencana pada masa sama, tetapi pergi dengan kepelbagaian. Mungkin pertubuhan A membawa bekalan perubatan, manakala pertubuhan B pula bawa keperluan asas seperti makanan serta pakaian.

“Dengan cara ini, barulah hasrat itu mencapai matlamat. Jika semua datang bawa makanan, bagaimana dengan keperluan perubatan atau kemudahan asas lain. Ini yang dikatakan monopoli positif,” katanya.

Dr Hany berkata, pertubuhan amal bertaraf antarabangsa atau kerajaan sesebuah negara yang ingin menghulurkan bantuan juga perlu bersedia memberi kepercayaan kepada pihak tempatan untuk melakukan kerja menyalurkan bantuan kerana mereka lebih faham situasi berlaku di negara mereka.

Beliau berkata, ada sesetengah pertubuhan amal tidak mahu bekerjasama dengan kerajaan atau pihak berkuasa tempatan dan mahu usaha memberi bantuan dilakukan sendiri. Bagaimanapun disebabkan tidak arif dengan keadaan yang berlaku, kedatangan mereka gagal memberi impak sepatutnya.

Katanya, semua itu perlu diberi perhatian pertubuhan atau pihak yang ingin menyalurkan bantuan terutama di negara asing yang berhadapan dengan bencana alam, musibah atau peperangan.

“Begitu juga dengan pihak yang mempunyai dana, tetapi tidak mempunyai pengalaman melakukan kerja amal. Adalah lebih baik mereka menyumbangkan wang itu kepada pihak yang pakar supaya dapat digunakan dengan lebih berkesan,” katanya.