Showing posts with label Lidah. Show all posts
Showing posts with label Lidah. Show all posts

Monday, June 1, 2009

Lidah mampu bawa manusia masuk syurga atau neraka

DUA perkara penting yang diingatkan junjungan Nabi SAW ialah menjaga serta memelihara lidah dan tingkah laku. Lidah termasuk nikmat Allah yang sangat besar kerana kebaikan diucapkannya akan melahirkan manfaat, yang buruk mendatangkan kesan berpanjangan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata baik atau diam, barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetangga dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tamunya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Pesanan itu adalah manifestasi pentingnya menjaga tutur kata, tidak mengucapkan hal yang buruk dan menyakiti hati saudara seagama kerana bertutur sembarangan tanpa berfikir kesannya akan membawa kepada permusuhan, kekacauan bahkan boleh menjurus kepada pertumpahan darah.

Rasulullah SAW berpesan supaya menjaga lidah dan tingkah laku supaya tidak mengganggu serta melampaui batas atau menyentuh hak orang lain. Sabda Baginda yang bermaksud: “Janganlah kamu berlebih-lebihan dalam beragama.” (Hadis riwayat Ahmad)

Pada saat pengaruh kehidupan bersalut kebendaan, didapati manusia semakin boros mengeluarkan kata-kata sehingga ada yang terlupa mempertahankan sifat santun dan adab dalam menuturkannya hingga menyakitkan hati pendengarnya.

Harus diakui manusia memang berbeza pandangan, pendirian dan bebas membuat penafsiran terhadap sesuatu yang dirasakan benar baginya tetapi ketika yang sama, manusia diberi akal dan iman untuk mempertimbangkan ilmu secara beradab.

Firman Allah yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu wahai Muhammad dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik.” (Surah al-Nahl, ayat 125)

Debat nabi jelas beretika dan halus budi bahasanya. Setiap patah kata dalam ungkapannya dapat menjadi contoh mereka yang mencintai kebenaran. Tetapi sayang, sebahagian daripada pendebat sekarang menyimpang jauh daripada panduan kerana debat mereka untuk mencari pengaruh dan kemenangan.

Sedangkan debat yang dicadangkan adalah untuk mencari jalan yang lurus. Oleh itu, berhujah untuk memburukkan lawan, pelbagai kata kasar dan nista terkeluar. Keburukan demi keburukan orang didedah dan diaibkan melalui kata-kata.

Cucunda Rasulullah SAW, Saidina Hussain berkata, seseorang yang menceritakan keburukan orang lain di hadapanmu, boleh jadi dia akan menceritakan keburukanmu (juga) pada orang lain.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa mampu menjaga apa yang ada antara dua janggut dan apa yang ada di antara dua kaki, maka aku jamin dia masuk syurga. (Hadis riwayat Sahl bin Sa'ad)

Apabila seseorang memahami dan mengerti bahawa setiap perkataan diucapkan melalui lidahnya akan dihisab dan dibalas maka, dia akan tahu untuk menjaga lidahnya, menjaga tutur katanya dan mempertimbangkan dengan teliti sebelum berkata-kata.

Justeru, jangan biarkan lidah itu lebih cepat daripada akal dalam menuturkan kata-kata. Apalagi apabila akal gagal mengawal tutur katanya menyebabkan apa yang terkeluar itu menjadi zarah amarah dan dendam bersalut nafsu semata-mata. Bahaya lidah sebenarnya amat bisa dan tajam.

Rasulullah SAW pernah mengumpamakan lidah itu sebagai kunci segala perkara, yakni perkara baik dan buruk. Sabda Baginda kepada Muaz bin Jabal yang bermaksud: “Mahukah engkau aku beritahukan mengenai kunci semua perkara ini? Aku (Muaz) menjawab: Mahu wahai Rasulullah SAW. Lalu Baginda SAW memegang lidahnya dengan berkata: Awas, jagalah ini (lidah) baik-baik. Aku (Muaz) pun berkata pula: Wahai Rasulullah SAW, apakah kami akan dituntut atas tutur kata kami? Lalu Baginda SAW menjawab: Moga-moga Allah memelihara engkau. Tiada lain yang akan menjerumuskan manusia menerusi muka atau batang hidungnya ke dalam neraka, melainkan tutur katanya sendiri.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Akhir-akhir ini perkataan melaknat dan mengutuk sering menjadi mainan sesetengah individu atau kumpulan dalam masyarakat. Ucapan seperti itu hanya mengundang kemarahan dan perkara itu amat disenangi iblis.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullullah SAW ada menceritakan suatu kisah: “Pada zaman Bani Israil dulu, hidup dua orang lelaki yang mempunyai sikap berbeza. Lelaki pertama suka berbuat dosa, sementara yang kedua rajin beribadah. Setiap kali ahli ibadah melihat temannya berbuat dosa, ia menyarankan rakannya itu untuk berhenti daripada perbuatan dosanya.

Suatu ketika, ahli ibadah itu berkata lagi: “Berhentilah daripada perbuatan dosa. Ahli maksiat pun menjawab: Jangan pedulikan aku, terserah kepada Allah yang akan menilai perbuatanku. Adakah engkau diutus Allah untuk mengawasi setiap apa yang aku lakukan? Ahli ibadah membalas: Demi Allah, dosamu tidak akan diampuni oleh-Nya atau kamu tidak akan dimasukkan ke dalam syurga Allah.

Selepas kedua-dua ahli ibadah dan ahli maksiat itu meninggal dunia, Allah menghakimi kedua-dua mereka di hadapan-Nya. Allah menyoal ahli ibadah: Adakah kamu lebih mengetahui daripada-Ku? Atau adakah kamu dapat mengetahui apa yang berada dalam kekuasaan-Ku?

Kemudian, Allah berfirman kepada ahli maksiat: Masuklah kamu ke dalam syurga Berkat rahmat-Ku. Sementara kepada ahli ibadah dikatakan: Masukkan orang ini ke dalam neraka.”

Sesungguhnya Allah menghukum ahli ibadah kerana dia sudah berbuat syirik kepada Allah dengan menentukan seseorang masuk ke neraka. Ini kerana kuasa menghukum mutlak milik Allah, bukan sekali-kali hak milik manusia yang tidak berkuasa atas makhluk lain.

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dewan Amal Islam Hadhari (DAMAI)

Thursday, August 21, 2008

Lidah perlu dielak perkara sia-sia

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh
salidasuhaila99@yahoo.com

MEMBACA: Menghindari berbual tidak berfaedah adalah ibadat yang besar pahalanya.

Islam gariskan tatacara terbaik berbicara supaya tidak cetus perasaan sakit hati

ALLAH menjadikan manusia amat istimewa dan berbeza dengan makhluk-Nya yang lain. Oleh itu, manusialah yang menjadi hala suruhan bersopan santun sewaktu bermuamalah dengan sesiapa saja termasuk binatang dan alam.

Keistimewaan paling utama ialah Allah menciptakan akal supaya manusia berfikir, maka fikirlah setiap satu matlamat dan akibat atas perbuatan kita. Allah juga hadiahkan buat sementara lidah untuk berbicara, maka sampaikan apa yang terasa dalam hati dan terlintas pada fikiran jika tidak menyakitkan sesiapa.

Keupayaan berbicara adalah nikmat Allah yang begitu besar kepada manusia meskipun hanya dengan menggunakan dua tangan sebagai isyarat.

Firman Allah yang bermaksud: "Allah Yang Maha Pemurah serta melimpah rahmat-Nya, Dialah yang mengajarkan al-Quran, Dialah yang menciptakan manusia, Dialah yang membolehkan manusia memberi dan menerima pernyataan." (Surah ar-Rahman, ayat 1-4)

Justeru, nikmat kebolehan berbicara ini wajib dihargai, disyukuri dan digunakan sebaik-baiknya mengikut landasan syarak. Islam menggariskan tatacara terbaik untuk menggunakan lidah supaya setiap butiran bicara mendapat keredaan Allah.

Berbicara sama ada secara langsung atau melalui tulisan, media cetak mahupun elektronik mempunyai tatacara dan adab tertentu. Setiap perbicaraan yang keluar daripada seseorang menunjukkan apa yang ada dalam fikirannya serta perangainya.

Berbicara sesuatu yang perlu dan menghindari perbicaraan tidak berfaedah adalah ibadat yang besar pahalanya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Daripada kebaikan iman seseorang ialah meninggalkan apa yang tidak bermakna baginya." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya, dan mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan sia-sia." (Surah al-Mukminun, ayat 1-3)

Perkara utama apabila berbicara ialah jangan sekali-kali berbicara mengenai sesuatu yang tidak berkaitan dengan diri kerana ia adalah bicara yang tidak perlu dan tidak akan menyelamatkan kita daripada dosa. Malah, mungkin kita dipertanggungjawabkan dengan dosa dan sumpah palsu yang dibuat kerana keseronokan mengata sesuatu yang tidak pasti tanpa bukti menyokong.

Abu Darda' menceritakan bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya orang mengutuk tidak boleh menjadi saksi dan memberi pertolongan (bagi saudaranya) pada hari kiamat." (Hadis riwayat Muslim)

Selain itu, ada juga bicara yang disampaikan kepada orang lain mengenai sesuatu sedangkan masanya belum tiba untuk menyentuh hal itu. Ini perlu dielakkan kerana jika membabitkan bahan bukti mahkamah, ia boleh mengganggu perbicaraan mahkamah bagi perbicaraan yang masih belum selesai.

Apabila seseorang yang tidak berilmu perlu berdebat dalam berbicara, jangan pula berdebat dengan orang sabar atau bijaksana, kerana orang sedemikian tidak akan menghiraukan orang yang tidak tahu bersopan santun dan menggunakan pengetahuan dalam berbicara.

Jangan pula berdebat dengan orang yang berperangai buruk atau terlalu banyak tohmah kerana mereka akan menyakitkan hati saja. Sewajarnya berdebatlah jika perlu dengan orang bijak dan santun, sementara kita juga perlu penuhkan dada dengan ilmu dan beradab sopan.

Tutur kata dikeluarkan seseorang dapat mengukur sejauh mana kemahiran, pengetahuan, buah fikiran, sopan santun, budi pekerti, pemarah, kasar, sombong atau kerendahan hatinya. Oleh itu, setiap insan perlu memelihara lidahnya dan hendaklah berbicara menurut pertimbangan akal waras. Sebagai manusia, kita mempunyai hak menyuarakan pendapat mengenai apa saja sama ada dalam percakapan, penulisan ataupun perdebatan.

Walau bagaimanapun, ia mestilah tidak menimbulkan rasa marah, tidak puas hati, saling menyalahkan, menghina, memaki hamun, mencaci, mengeluarkan kata kotor, mengutuk, menyumpah dan mengaibkan hingga menyinggung perasaan orang lain.

Apatah lagi saudara sesama Islam kerana ia boleh merenggangkan hubungan silaturahim, menimbulkan rasa marah, benci, permusuhan dan jika keterlaluan mungkin menimbulkan kekacauan serta perbalahan.

Daripada Jundub bin Abdullah katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ada seorang lelaki berkata: Demi Allah, Allah tidak akan memberikan pengampunan kepada si Polan itu. Allah bersabda yang bermaksud: Siapakah yang berani bersumpah atas nama-Ku bahawa Aku tidak akan mengampuni si Polan itu, sesungguhnya Aku sudah mengampuni orang itu dan Aku menghapuskan pahala amalanmu yakni yang bersumpah tadi." (Hadis riwayat Muslim)

Oleh itu, bagi mengelak berlaku sebarang perselisihan dan suasana tidak menyenangkan maka kita perlulah berwaspada dan berhati-hati sebelum berkata. Ada banyak ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang memberi peringatan dan panduan mengenai adab dalam percakapan.

Firman Allah yang bermaksud: "Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah membuat contoh ucapan yang baik (mengajak berbuat baik, menjauhi perbuatan salah) seperti sebatang pohon yang baik (subur) akar kuat (terjunam ke dalam tanah) dan cabangnya (menjulang tinggi) ke langit. Pohon itu berbuah terus dengan izin tuhannya. Allah menjadikan contoh itu untuk manusia supaya mereka ingat selalu. Dan contoh perkataan yang buruk (seperti memfitnah, berdusta, mengajak berbuat mungkar dan lain-lain) seperti pohon yang busuk (mati) yang tercabut akarnya dari permukaan bumi tidak tegak berdiri lagi." (Surah Ibrahim, ayat 24-26)

Jika diperhatikan, perbualan hari ini sama ada di kalangan remaja mahupun dewasa banyak menyentuh perihal orang lain. Banyak kali ia mengakibatkan perasaan yang terluka jika diketahui sang empunya diri mengenai tohmah yang dilempar. Sering kali pula si mangsa memutuskan silaturahim kerana tidak ingin memaafkan orang yang mengata.

Hal ini amatlah memalukan umat Islam yang utuh dengan sikap saling menghormati sesama saudara seagama dan takutkan kekufuran kerana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidaklah seorang melemparkan kefasikan atau kekufuran kepada orang lain, melainkan akan kembalilah kefasikan atau kekufuran itu pada dirinya sendiri, jika yang dikatakan sedemikian itu bukan yang memiliki sifat berkenaan." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Justeru, jangan biarkan lidah menjadi sebab untuk kita fasik dan kufur sedangkan dengan lidah jugalah kita boleh menghuni syurga-Nya yang mengalir sungai dan tanah subur. Biar kita diuji dengan tohmah jika bercakap benar tetapi jangan sekali-kali kita memfitnah diri sendiri dan orang lain hanya kerana dunia yang banyak onar.