Thursday, December 3, 2009

Hak Muslim: Ibu bapa ada hak ambil balik harta yang diberi kepada anak

Soalan:

SAYA mempunyai ibu bapa angkat yang sudah uzur. Kedua-duanya tinggal di rumah orang tua sejak setahun lalu. Menurut ibu bapa angkat saya, mereka ada seorang anak perempuan namun tidak pernah datang menjenguk sejak setahun yang lalu.

Ibu bapa angkat saya sebenarnya memiliki banyak rumah dan tanah, tetapi semuanya sudah diberikan kepada anak perempuan dan suaminya kerana mereka pernah berjanji akan menjaga ibu bapa jika semua harta diberikan.

Sebaliknya ibu bapa angkat dihantar ke rumah orang tua. Saya kecewa dengan tindakan anak perempuan yang bukan saja derhaka malah kejam dan zalim mengabaikan ibu bapanya sendiri setelah semua harta dibolot. Bolehkah ibu bapa angkat saya menuntut balik hak mereka?

Karim Ahmad

Jawapan:

IBU bapa adalah manusia paling berjasa di dunia ini dan Islam mewajibkan setiap anak melayan ibu bapa dengan baik dan melaknat anak yang menderhaka apatah lagi menzalimi ibu bapa.

Dalam kes ini, ibu bapa angkat saudara sebenarnya berhak menarik balik pemberiannya dengan beberapa syarat.

Harta itu sememangnya diperoleh anak melalui hibah daripada ibu bapanya. Justeru bapa perlu membuktikan bahawa harta yang ingin dituntutnya itu adalah harta yang dihibahkan kepada anaknya.

Harta masih wujud. Jika harta itu sudah habis digunakan anak, maka ibu bapa angkat saudara tidak boleh menuntutnya kembali.

Harta itu hendaklah masih dalam milikan si anak. Jika harta sudah dipindah milik kepada orang lain, maka ibu bapa angkat saudara tidak boleh membuat tuntutan. Oleh demikian, tindakan tepat sekarang adalah meminta ibu bapa angkat saudara memasukkan kepentingannya ke dalam harta itu dengan cara mendaftarkan kaveat di pejabat tanah, melantik pemegang amanah, penama atau wasi.

Harta itu tidak diperoleh semula oleh anak dengan cara lain contohnya hartanah berkenaan pernah berpindah milik, kemudian diperoleh semula oleh anak melalui transaksi baru seperti hadiah, pembelian atau pusaka daripada orang lain, maka ia tidak boleh dituntut.

Saya menasihatkan ibu bapa angkat saudara mendapatkan perintah menarik balik atau membatalkan hibah itu dengan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah berdekatan tempat tinggal ibu bapa angkat saudara.

Dengan perintah itu, ibu bapa angkat saudara akan mendapat balik hak mereka terhadap rumah dan harta berkenaan. Bagi tujuan permohonan, ibu bapa angkat saudara dikehendaki mengemukakan kepada mahkamah saksi serta dokumen menunjukkan harta itu kepunyaannya seperti geran tanah, sijil saham atau perjanjian jual beli dan dokumen berkaitan bagi menyokong permohonan mereka.

Saya juga menasihatkan saudara melantik peguam syarie bertauliah bagi pihak ibu bapa angkat untuk melicinkan permohonan itu. Jika ibu bapa angkat saudara tidak mampu mengupah peguam swasta, saudara boleh mendapatkan khidmat Biro Bantuan Guaman, Pusat Bantuan Guaman dan Biro Bantuan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Saya mendoakan semoga niat saudara diberkati Allah dan ibu bapa angkat saudara berjaya mendapatkan semula hak mereka sebagai pengajaran kepada anak menantunya yang tidak mengenang budi.

No comments: