Sunday, December 20, 2009

Persoalan Agama: Tiada halangan agih terus zakat kepada golongan berhak

Oleh Zahazan Mohamed

Ada perbezaan di antara kemiskinan, kefakiran

Soalan:

SAYA sememangnya membuat pembayaran zakat melalui potongan gaji. Bagaimanapun, saya baru ketahui nasib salah seorang saudara saya (warga tua) yang hidup dalam keadaan uzur dan daif biarpun anaknya masih ada. Pada masa sama, rakan saya pula mahu membuat pemberian kepada rumah anak yatim. Persoalannya:

1. Apa pandangan ustaz mengenai hasrat saya untuk menghentikan potongan gaji bagi tujuan pembayaran zakat sebaliknya menyalurkan potongan sebanyak RM120 sebulan itu kepada saudara saya itu?

2. Apakah benar saudara saya itu yang harus diutamakan berbanding dengan anak yatim?

3. Bolehkah ustaz jelaskan kriteria penerima zakat ini?

4. Bagaimana pula usaha membiayai pengajian anak saudara yang berasal dari keluarga miskin? Apakah itu juga dikira sebagai zakat?

M Ali Bashir,
Alor Setar, Kedah.

Jawapan:

SEBELUM menjawab soalan berkaitan dengan pemberian itu, saya ingin menjelaskan kepada saudara bahawa zakat pendapatan adalah sesuatu yang diperselisihkan hukum mengenainya. Sebahagian ulama tidak mewajibkan pengeluarannya, tetapi sebahagian yang lain mewajibkan sekiranya baki yang tersimpan daripada gaji itu bernilai 89 gram emas dan disimpan selama setahun. Kadar zakatnya ialah dua setengah peratus daripada jumlah harta. Deposit itu hendaklah dibayar zakatnya, iaitu daripada jumlah keseluruhannya, termasuk keuntungan yang dijana selepas penabungan dilakukan.

Mengenai soalan saudara bahawa saudara ingin mengeluarkan zakat terus kepada golongan yang layak, ia sesuatu dibenarkan kerana mereka termasuk daripada satu golongan dinyatakan Allah SWT menerusi firman-Nya dalam surah al-Taubah ayat ke-60 yang bermaksud: "Sesungguhnya sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang fakir, dan orang miskin, dan amil yang mengurusnya, dan orang mualaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana."

Jadi jelas menerusi ayat ini bahawa fakir miskin menduduki golongan yang layak menerima bantuan zakat ini.

Mengenai persoalan kedua, saya melihat keperluan memberikan penjelasan apakah harus mengkhususkan satu golongan saja daripada lapan golongan yang disebutkan dalam ayat ke 60 surah al-Taubah itu.

Ulama berbeza pandangan apakah diwajibkan pembahagian zakat yang menyeluruh ataupun dalam erti kata yang lain meliputi lapan golongan itu atau adakah dibenarkan untuk diberikan kepada sesuatu golongan saja.

Imam al-Syafi'e meletakkan syarat bahawa zakat itu mestilah meliputi kesemua asnaf ataupun golongan itu, manakala Imam Malik pula berpendapat ia harus diberikan kepada satu kelompok saja, meskipun ada kelompok yang lain. Ini berdasarkan kepada fatwa salaf seperti Umar, Huzaifah, Ibn Abbas, Abul Aliyyah, Said bin Jubair dan Maimun bi Mihran. Ibn Jarir menjelaskan dalam tafsirnya, Jamik al-Bayan, ini adalah pendapat sebahagian besar ulama.

Menurut Ibn Kathir dalam tafsirnya, kelompok yang disebutkan itu bertujuan memberikan penjelasan mengenai golongan yang berhak, bukannya kewajipan memenuhi keperluan ke semuanya. Kemudian barulah timbul isu keutamaan dalam memberikan bantuan. Allah SWT menjelaskan pada beberapa tempat dalam al-Quran, contohnya surah al-Baqarah ayat ke-215, yang bermaksud: "Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): Apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: "Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan, maka berikanlah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak yatim, dan orang miskin, dan orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat daripada jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui-Nya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya)."

Menurut al-Qurtubi menukilkan dalam tafsirnya satu pandangan daripada al-Suddi bahawa ayat ini adalah berkaitan dengan pemberian sunat ataupun tatawwu' kerana hukumnya dinasahkan berikutan turunnya hukum zakat yang ditetapkan. Walau bagaimanapun ada banyak ayat lain yang memberikan penekanan terhadap bantuan untuk kaum keluarga agar diberi perhatian khas. Sebagai rumusannya, tindakan mengutamakan kaum keluarga termasuk dalam kategori golongan yang layak menerima zakat adalah diharuskan. Namun pada masa yang sama seseorang itu hendaklah turut mengemukakan bantuan kepada golongan ataupun asnaf lain dalam bentuk pemberian yang lain seperti sedekah.

Mengenai persoalan golongan yang layak, Allah menerusi ayat ke- 60 daripada surah al-Taubah atau surah Bara'ah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang fakir, dan orang miskin, dan amil yang mengurusnya, dan orang mualaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana."

Mengkaji ayat ini, ulama contohnya al-imam al-Qurtubiy dalam tafsirnya al-Jami' memilih pandangan yang mengatakan bahawa golongan yang fakir lebih teruk daripada golongan miskin. Si fakir menduduki tahap ekonomi yang terlalu rendah sehingga dia tidak memiliki makanan dan keperluan asas langsung. Ini berbeza dari miskin yang memiliki sesuatu cuma tidak mencukupi sepenuhnya.

Lantaran itu kita melihat Nabi SAW memohon doa kepada Allah agar dijauhkan daripada kefakiran seperti doa baginda yang bermaksud: "Ya Allah, aku memohon kepada-Mu perlindungan daripada kekufuran, kefakiran dan daripada azab kubur." (Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak no 927)

Ini berbeza daripada kemiskinan yang menjadi satu keadaan disenangi oleh Nabi SAW. Apabila Jibril datang memberikan tawaran kepada Nabi untuk menukarkan Butha' di (sebuah kawasan di Makkah) menjadi kawasan yang dipenuhi emas, tetapi ditolak oleh baginda dengan jawapannya: "Aku lebih senang jika aku berasa kenyang sehari dan berlapar sehari, apabila aku berasa lapar aku akan meminta pada-Mu dan apabila aku berasa kenyang, maka aku akan memuji dan mensyukuri-Mu. (Riwayat Ahmad no 22244, al-Tirmizi no 2347, Ibn Sa'ad no 7835 dan al-Baihaqi no 1467)

Demikian pula dalam sebuah hadis yang berasingan Nabi SAW memohon kepada Allah supaya dihidupkan dalam keadaan miskin dan dimatikan sebagai seorang yang miskin dan dihimpunkan dalam golongan orang miskin. Nabi bersabda bermaksud: "Ya Allah hidupkan aku dalam keadaan miskin, matikan aku dalam keadaan miskin dan himpunkan aku dalam kumpulan orang miskin. Orang yang paling menderita adalah fakir di dunia dan mendapat azab di akhirat. (Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak no 8028 )

Demikian dalam hadis ini, Nabi saw membuatkan satu perbezaan antara fakir dan miskin, dan menyifatkan kefakiran itu adalah suatu penderitaan.

Kategori lain yang layak menerima zakat ialah amil, mualaf, hamba sama ada diberikan kepada hamba untuk melepaskan dirinya daripada perhambaan atau membeli seseorang hamba dengan tujuan untuk dibebaskan, pihak yang berhutang dan tidak mempunyai cara untuk membebaskan dirinya daripada hutang itu, untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah dan orang musafir.

Mengenai usaha membiayai pengajian anak saudara yang berasal daripada keluarga miskin, hukumnya harus. Berdasarkan penerangan di atas, anak saudara itu layak menerima bantuan zakat kerana dia memiliki sekurang-kurangnya dua syarat penerima iaitu dengan sebab kemiskinan dan menuntut ilmu. Bagi pelajar yang menuntut ilmu juga mereka termasuk dalam kategori mujahid fi sabilillah kerana tujuan menuntut ilmu juga adalah untuk kepentingan Islam, tanpa mengambil kira bidang pengkhususannya.

Selain itu pelajar yang menuntut ilmu yang pergi ke institusi yang berjauhan juga layak mendapat bantuan zakat dengan mengambil kira musafir ataupun perjalanan dilalui.

No comments: