Wednesday, December 9, 2009

Peguam Syarie Menulis: Usah memperlekeh kedaulatan Mahkamah Syariah

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip


SEBARANG perintah yang dikeluarkan Mahkamah Syariah harus dipandang serius kerana ia mengguna pakai undang-undang Islam. - Gambar hiasan


Umat Islam patut hormati sistem perundangan untuk tegakkan keadilan ikut al-Quran, sunnah


SEPERTI Mahkamah Sivil, Mahkamah Syariah hendaklah dihormati dan dipandang tinggi kerana kedua-duanya adalah institusi keadilan di negara ini walaupun sistemnya berlainan. Kita tidak boleh lari daripada hakikat negara mempunyai dua sistem perundangan berasingan.

Namun, adat segelintir umat Islam yang tidak yakin dan tidak menghormati Mahkamah Syariah dan disebabkan itu mereka tidak mengambil berat soal kehadiran ke mahkamah walaupun saman dikeluarkan bagi memastikan mereka hadir.

Ini diburukkan lagi apabila sesetengah keadaan perintah dikeluarkan Mahkamah Syariah dilanggar serta diperlekehkan pihak tidak bertanggungjawab terutama dalam kes membabitkan perintah pembayaran wang seperti perintah nafkah isteri, anak, edah dan mutaah.

Tanggapan 'ala, perintah Mahkamah Syariah saja, bukan ke mana pun' sepatutnya dihakis bagi menghilangkan pandangan negatif orang ramai terhadap Mahkamah Syariah.

Semua prosiding di Mahkamah Syariah dimulakan dengan saman seperti pengesahan lafaz cerai, tuntutan perceraian dan tuntutan lain melainkan mana-mana prosiding yang ditetapkan undang-undang dibuat melalui permohonan.

Apabila sesuatu saman difailkan, saman itu hendaklah disertakan dengan penyata tuntutan. Selepas saman difailkan, Pendaftar Mahkamah hendaklah memeriksa saman dan pihak menuntut (plaintif) membayar yuran ditetapkan. Pendaftar Mahkamah akan menandatangani, memeterai dan mengeluarkan saman itu.

Saman berserta penyata tuntutan yang menyatakan secara khusus bentuk tuntutan plaintif hendaklah diserahkan sendiri kepada pihak yang kena tuntut (defendan) oleh pegawai mahkamah atau orang dipertanggungjawabkan.

Apabila defendan menerima saman itu, defendan hendaklah hadir bersendirian atau melalui peguam yang dilantik mewakilinya pada hari kes ditetapkan mahkamah pada surat saman untuk menjawab tuntutan berkenaan. Undang-undang memperuntukkan secara jelas jika defendan tidak hadir ke mahkamah pada tarikh ditetapkan untuk sebutan kes, mahkamah boleh meneruskan perbicaraan sekali gus memutuskan atau memberikan penghakimannya.

Ia berlaku dengan syarat saman sudah diserahkan kepada defendan secara sempurna. Defendan yang menerima saman tidak boleh mengambil ringan soal ketidakhadiran kerana mahkamah mempunyai kuasa menjalankan perbicaraan, sekali gus mengeluarkan perintah membabitkan perceraian mahupun perintah pembayaran wang.

Jika defendan menerima saman tetapi enggan hadir ke mahkamah tanpa alasan munasabah dari segi undang-undang dan hukum syarak,

mahkamah mempunyai kuasa mengeluarkan waran tangkap yang dilaksanakan oleh polis atau pegawai penguatkuasa agama.

Mengikut Seksyen 51 (a) atau (b) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003, mahkamah mempunyai kuasa mengeluarkan waran untuk menangkap defendan dalam keadaan:

# Sama ada sebelum atau selepas pengeluaran saman oleh mahkamah tetapi sebelum mahkamah menetapkan tarikh sebutan kes. Di dalam keadaan ini mahkamah berpendapat ada alasan untuk mempercayai bahawa defendan sudah melarikan diri atau dipercayai tidak akan mematuhi saman itu;

# Dalam keadaan defendan sudah menerima saman tetapi tidak hadir ke mahkamah dengan tidak memberikan alasan munasabah.

Dalam keadaan pertama, mahkamah sebelum saman atau selepas saman dikeluarkan boleh mengeluarkan waran tangkap jika ada bukti menunjukkan defendan sudah melarikan diri atau ada alasan dan bukti jelas defendan memang tidak akan mematuhi saman itu.

Contohnya, defendan mengatakan kepada plaintif atau di hadapan saksi bahawa dia tidak akan hadir mahkamah walaupun menerima saman. Oleh kerana saman perlu diserahkan kepada defendan, mahkamah boleh mengeluarkan waran tangkap walaupun sebelum tarikh sebutan kes ditetapkan.

Merujuk keadaan kedua, jelas defendan sudah menerima saman tetapi tidak hadir ke mahkamah tanpa alasan munasabah yang boleh memuaskan hati mahkamah. Seseorang yang hadir ke mahkamah selepas kes disebut juga tidak dikira sebagai hadir atas rekod mahkamah.

Dalam keadaan itu waran tangkap boleh dikeluarkan mahkamah atas permohonan plaintif atau peguam syarie plaintif. Begitu juga seorang yang ada alasan tidak hadir seperti sakit, berlaku kematian tetapi tidak mengemukakan kepada mahkamah perkara itu.

Mahkamah tidak akan membenarkan pengeluaran waran tangkap jika semua pihak menghormati dan tahu tanggungjawabnya untuk hadir ke Mahkamah Syariah pada masa ditetapkan tanpa perlu dipaksa.

Sewajarnya, umat Islam wajar menghormati Mahkamah Syariah sebagai institusi keadilan dalam Islam termasuk menghadirkan diri ke mahkamah apabila diperintahkan.

Jika umat Islam tidak menghormati institusi perundangan syariah, siapa lagi yang akan menghormati dan memartabatkannya kerana mahkamah ini mendukung undang-undang syariah berasaskan keadilan di bawah neraca Allah.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

No comments: