Saturday, December 5, 2009

Jakim anjur Ekspedisi Kasih sempena Aidiladha

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my


BERAMAH mesra sempena program Ekspedisi Kasih di Pos Hendrop.


Program bertujuan memberi penjelasan mengenai ibadat korban kepada Orang Asli

MENGGUNAKAN pendekatan dakwah bil hal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menganjurkan program Ekspedisi Kasih sempena sambutan Aidiladha di perkampungan Orang Asli di Pos Hendrop, Gua Musang, Kelantan.

Program bertujuan memberi penjelasan dan pendedahan mengenai ibadat korban kepada masyarakat Orang Asli serta cara meraikannya menurut kaca mata Islam itu diketuai Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Program julung kali dianjurkan itu mendapat kerjasama Majlis Agama Islam Kelantan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK), Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Wan Mohamad berkata, penganjuran program ibadat korban kepada kumpulan sasar seperti masyarakat Orang Asli secara langsung membolehkan mereka menghayati hikmah dilaksanakan korban yang menjadi syariat agama.

Katanya, pembabitan masyarakat Orang Asli dalam aktiviti penyembelihan dan pengagihan secara gotong-royong dengan semangat kerjasama memperlihatkan kemurnian Islam dalam menjaga kepentingan golongan kurang berkemampuan.

"Semangat kerjasama ini dapat menerapkan nilai murni ibadat korban kepada masyarakat Orang Asli dalam hubungan sesama manusia kerana selain membantu mereka yang tidak berkemampuan, pelaksanaan secara gotong-royong mengeratkan lagi hubungan silaturahim.


WAN MOHAMAD (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Orang Asli.


"Hikmah ibadat korban ini perlu dihayati supaya tujuan pengorbanan itu benar-benar mencapai matlamat," katanya pada majlis perasmian program Ekspedisi Kasih yang diadakan selama tiga hari untuk mengimarahkan sambutan Aidiladha.

Hadir sama, wakil Abim, Datuk Dr Abdul Razak Kecik; Pengarah JHEOA Negeri Kelantan, Abdul Razak Arsyad dan Mohd Zamri dari Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) serta pengurusan tertinggi Jakim.

Selain menyembelih tujuh ekor lembu, program itu dimeriahkan dengan jamuan hari raya, penyampaian sumbangan oleh Pertubuhan Himpunan Lepasan Institut Pendidikan Malaysia (Haluan) dan ceramah bertajuk Sejarah Ibadat Korban oleh Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA).

Pada majlis itu, Wan Mohamad turut merasmikan surau di tengah-tengah perkampungan Pos Hendrop sebagai hadiah kepada penduduk kampung selain menyampaikan sumbangan wang dan barangan berjumlah RM10,000.

Program meraikan penduduk Pos Hendrop terdiri dari 13 kampung itu turut melakar sejarah apabila 142 penduduk melafazkan syahadah termasuk Tok Batin Kampung Hendrop, Penghulu Rongging Busu.

Wan Mohamad berkata, Jakim akan menghantar pegawainya pada 11 Disember nanti bagi membuat proses susulan dan pemantauan seterusnya membantu masyarakat Orang Asli yang baru memeluk Islam.

"Saya gembira kerana majlis ini disempurnakan pada hari raya korban dan berharap dapat menjenguk lagi semua saudara Islam di sini pada sambutan Maulidur Rasul nanti untuk bersama-sama meraikan hari mengimbau sejarah perjuangan Rasulullah SAW," katanya.

Jumlah keseluruhan penduduk di Pos Hendrop ialah 594 orang dan 346 daripadanya beragama Islam.

No comments: