Saturday, December 5, 2009

Soal Jawab Agama: Keluar Makkah selepas tawaf Wada'

Soalan:

BOLEHKAH ustaz jelaskan mengenai tawaf Wada' atau tawaf selamat tinggal dan bolehkah jemaah haji pulang ke hotel selepas tawaf itu? Bagaimana pula bagi perempuan haid sebelum tawaf Wada'?

Danial,
Pantai Dalam,
Kuala Lumpur.

Jawapan:

IMAM Syafie berpendapat wajib bagi mereka yang hendak keluar daripada bumi Makkah melakukan tawaf Wada' walaupun mereka penduduk Makkah. Ia termasuk perkara wajib haji dan terasing daripada amalan ibadat haji.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Janganlah ada seorangpun daripada kamu meninggalkan Makkah pada saat akhir mereka di sana sebelum bertawaf di Kaabah." (Hadis riwayat Muslim)

Anas menyatakan Rasulullah SAW melakukan tawaf Wada' selepas mengerjakan haji.

Tidak harus bagi sudah melakukan tawaf Wada' kembali semula ke hotel kerana mereka mestilah segera keluar dari bumi Makkah. Jika tidak, maka tawaf itu terbatal. Dimaafkan bagi mereka bersolat jemaah, berdoa, minum air zam-zam dan menguruskan barangan.

Hukum haji mereka yang meninggalkan tawaf Wada' sah dan wajib membayar Dam seperti meninggalkan wajib haji lain. Bagi perempuan datang haid boleh meninggalkan kota Makkah tanpa tawaf Wada' dan tidak wajib membayar Dam.

Hadis daripada Umar menyebut, Rasulullah SAW mengecualikan perempuan haid tawaf Wada'.

Hadis riwayat Aishah, katanya: "Bahawa Sofiah (isteri Nabi SAW) kedatangan haid lalu Nabi SAW menyuruh keluar meninggalkan Makkah tanpa tawaf Wada'." (Hadis riwayat Tirmizi)

No comments: