Thursday, December 10, 2009

Hak Muslim: Wasiat boleh dibuat kepada bukan waris

SAYA mempunyai dua isteri, tiga anak dengan isteri pertama dan seorang hasil perkahwinan dengan isteri kedua. Saya mempunyai harta yang ingin diserah dan dibahagikan kepada anak selepas kematian. Saya berhasrat mewasiatkan harta itu mengikut apa difikirkan adil kepada anak saya.

Bagaimanapun, saya musykil kerana menurut pandangan beberapa rakan termasuk seorang ustaz, saya tidak dibenarkan mewasiatkan harta kepada ahli waris. Saya keliru siapa dimaksudkan ahli waris kerana saya melihat beberapa produk ditawarkan syarikat membenarkan untuk membuat wasiat kepada anak.

Hassan,
Kuala Lumpur.

WASIAT diharuskan dalam Islam kerana membawa faedah kepada diri pewasiat, keluarga dan masyarakat amnya. Bagaimanapun, wasiat dalam Islam berbeza dengan wasiat mengikut undang-undang sivil.

Pada asasnya wasiat hanya diberikan kepada bukan waris tujuannya untuk mendekatkan diri dengan Allah dan mengharapkan pahala. Ia juga diharap dapat memenuhi segala kekurangan yang ada ketika hayat.

Waris dalam konteks wasiat ialah orang yang berhak mendapat pusaka dan dalam kes ini, anak dan isteri tuan adalah waris yang berhak menerima pusaka.

Oleh itu, wasiat asasnya diberikan kepada bukan waris kerana mereka tidak termasuk dalam kalangan orang berhak mendapat pusaka.

Nabi SAW bersabda yang maksudnya: "Allah sudah berikan bahagian kepada setiap orang yang berhak. Maka tiada wasiat untuk waris."

Bagaimanapun, wasiat kepada ahli waris masih boleh dilaksanakan jika mendapat persetujuan waris lain. Perlu diingat, ahli waris dimaksudkan mestilah ahli waris ketika kematian pewasiat dan bukan waktu hayat pewasiat.

Jika kesemua ahli waris bersetuju dengan wasiat dibuat, maka wasiat boleh dilaksanakan.

Merujuk kepada kes diutarakan, tuan boleh melaksanakan wasiat kepada bukan waris.

Bagaimanapun, wasiat itu tidak boleh melebihi daripada 1/3 keseluruhan nilai harta. Tuan juga boleh mewasiatkan harta kepada anak yang juga ahli waris.

Bagaimanapun, bergantung kepada persetujuan waris. Wasiat kepada bukan waris melebihi 1/3 daripada nilai harta juga boleh dilaksanakan jika mendapat persetujuan waris.

Harus diingat, persetujuan waris hendaklah diperoleh selepas kematian pewasiat kerana hak itu hanya muncul selepas kematian pewasiat.

Pewasiat juga boleh menarik balik kesemua wasiatnya atau sebahagiannya kerana wasiat bukan suatu akad wajib, malah harta yang diwasiatkan juga masih menjadi milik pewasiat dalam tempoh hayatnya.

Merujuk kepada gambaran mengenai produk yang ditawarkan, tuan perlu mendapatkan penjelasan lanjut pengeluar.

Apa yang dikhuatiri ia tidak menepati kehendak syarak. Tuan juga wajar meneliti setiap produk ditawarkan dapat dilaksanakan dengan sempurna selepas kematian tuan kelak.

Jawapan disediakan Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Roshdan Sujak Rafie

No comments: