Tuesday, December 1, 2009

Perspektif Ikim: Pengguna wajib tahu makanan ubah suai genetik

Oleh Azrina Sobian

BIDANG bioteknologi pertanian di negara ini berkembang pesat dengan bertambahnya penyelidikan yang berjaya menghasilkan pelbagai hasil pertanian mempunyai ciri istimewa. Contohnya, tomato FLAVRSVR dengan ciri lambat ranum berjaya dihasilkan melalui kejuruteraan genetik dan diluluskan untuk dikomersialkan pada 1994.

Kacang soya diubah suai secara genetik pula mempunyai ciri tahan racun rumpai. Tanaman ini mula ditanam di Amerika Syarikat pada 1996. Selain tomato dan kacang soya, makanan ubah suai genetik lain yang sudah berada di pasaran adalah jagung dan kentang.

Kehadiran makanan ubah suai genetik dalam pasaran bukanlah perkara baru. Makanan itu sudah berada di pasaran bertahun lamanya. Tomato FLAVRSVR sudah 15 tahun di pasaran dan tanaman itu sudah ditanam secara meluas di seluruh dunia.

Tanaman kacang soya ditanam di sembilan negara hanya selepas 10 tahun diperkenalkan. Malah, pada 2007, separuh daripada tanaman kacang soya di seluruh dunia adalah dari jenis kacang soya diubah suai secara genetik.

Berdasarkan kenyataan itu, kemungkinan kita mengambil makanan ubah suai genetik dalam kehidupan seharian tidak boleh dinafikan sama sekali. Lebih merisaukan, makanan ubah suai genetik itu bukan saja wujud dalam bentuk asal malah dalam pelbagai bentuk lain.

Pembekal tempatan mengimport kacang soya secara pukal dan dibekalkan kepada pengusaha air soya, tauhu dan tempe, akhirnya kita sebagai pengguna membeli dan makan makanan berkenaan.

Adakah pengguna khususnya pengguna di negara ini tahu kemungkinan besar mereka memakan makanan diubah suai secara genetik? Kita yakin, ramai pengguna tidak tahu. Malah, penulis yakin masih ramai percaya makanan yang ada di negara ini bebas daripada diubah suai secara genetik.

Kita harus ingat bahawa Malaysia banyak mengimport makanan. Jadi, apakah jaminan makanan itu bebas daripada diubah suai secara genetik? Dari perbincangan ini, jelas bahawa pelabelan produk bioteknologi pertanian adalah perlu.

Pengguna perlu tahu kandungan makanan dimakannya dan ini adalah hak pengguna paling asas. Berdasarkan maklumat dalam pelabelan, pengguna boleh membuat pilihan. Jika pelabelan produk bioteknologi tidak dilaksanakan, tindakan itu satu usaha untuk menidakkan hak pengguna.

Selain kelebihan kepada pengguna, pihak pengusaha atau industri juga akan mendapat faedah daripada usaha pelabelan ini. Pihak industri yang tidak takut melabelkan produk bioteknologi akan dilihat sebagai pihak yang berani, bertanggungjawab dan prihatin kepada pelanggannya. Tindakan itu akhirnya akan menaikkan imej mereka.

Di seluruh dunia, ada beberapa negara sudah melaksanakan usaha melabelkan produk bioteknologi pertanian. Ada negara mewajibkan pelabelan produk bioteknologi seperti Kesatuan Eropah, Jepun, Korea dan Australia. Ada yang meletakkan syarat pelabelan secara sukarela, seperti Kanada dan Amerika Syarikat.

Bagi yang tidak mengetahui, di Malaysia, melalui Akta Keselamatan Bio 2007, pelabelan produk bioteknologi adalah wajib. Ini bermakna, produk makanan ubah suai genetik yang diimport mestilah dilabelkan.

Namun, berapa banyakkah label yang boleh kita lihat? Bagaimana dengan pembelian produk secara pukal? Adakah pelabelan juga wajib? Persoalan ini menimbulkan lebih banyak persoalan lain.

Antaranya, kenapa usaha pelabelan makanan ubahsuai genetik di negara kita begitu kabur? Adakah ia benar dilaksanakan atau sekadar wujud pada kertas semata-mata? Apakah pula yang mengekang usaha pelabelan itu?

Sebenarnya, di banyak negara, usaha pelabelan mendapat tentangan pihak industri. Alasannya, tindakan itu akan meningkatkan kos dan oleh itu harga barangan akan meningkat. Hal ini memang benar dan pastinya pengguna akan menanggung akibatnya.

Penulis ialah felo di Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim).

No comments: