Oleh Hasliza Hassan
KUIZ Bersama YaPEIM yang disiarkan setiap Rabu dalam ruangan agama Berita Harian bermula 26 September dan berakhir 12 Disember 2007, mendapat sambutan baik daripada pembaca akhbar ini apabila kira-kira 10,000 penyertaan diterima.
Pembaca perlu menjawab lapan soalan dalam kuiz terkumpul itu berdasarkan rencana yang disiarkan pada hari sama serta melengkapkan slogan tidak melebihi 20 perkataan pada borang terakhir.
Jumaat lalu, saringan untuk menyenarai pendek pemenang daripada 3,000 yang dipilih berdasarkan jawapan betul serta cogan kata menarik perhatian juri, diadakan di Bangunan YaPEIM, Jalan Kampung Attap, Kuala Lumpur.
Pemilihan dilakukan oleh panel juri yang dipengerusikan Pengurus Kanan Jabatan Amal Jariah YaPEIM, Zamri Zakaria.
Kuiz bersama YaPEIM menawarkan hadiah berjumlah RM20,000 merangkumi hadiah pertama iaitu pakej umrah dan ziarah bernilai RM11,000 (untuk dua orang) dan wang tunai RM2,000, wang tunai RM3,000 (kedua); RM1,000 (ketiga) dan RM100 (30 pemenang sagu hati).
Pemilihan pemenang dilakukan dalam masa dua minggu dan majlis penyampaian hadiah dijangka diadakan 28 Januari ini. Majlis bakal disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin.
Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Kuiz Bersama YaPEIM, Izman Ismail berkata, pihaknya terharu dan menghargai inisiatif serta kesungguhan ditunjukkan peserta melalui borang penyertaan yang kreatif selain ada yang menghantar hingga berpuluh-puluh penyertaan.
Beliau berkata, kebanyakan peserta menjawab dengan betul dan ini membuktikan mereka melakukan penyelidikan serta membaca artikel yang disiarkan di Berita Harian kerana kebanyakan soalan adalah berdasarkan penulisan panel penulis khas YaPEIM.
“Walaupun ada satu dua soalan yang agak mengelirukan tetapi peserta boleh menjawab dengan tepat. Maknanya mereka membaca rencana yang disiarkan dan bagi kami itu sudah baik kerana peserta bukan saja dapat hadiah, juga ilmu pengetahuan.
“Malah, sejak rencana serta Kuiz Bersama YaPEIM disiarkan, kita menerima banyak jemputan memberi ceramah dan panggilan telefon daripada pelajar universiti ingin mendapatkan maklumat untuk menyiapkan tesis atau kertas kerja,” katanya.
Katanya, YaPEIM berterima kasih kepada Berita Harian yang bekerjasama dalam penganjuran kuiz bermatlamat membina semangat serta mendidik masyarakat membantu ummah melalui amalan amal jariah.
Kesungguhan peserta mencari ilham kreatif supaya jawapan yang dihantar bukan saja tepat, malah berjaya menarik minat juri dapat dilihat melalui borang penyertaan yang dihantar dalam pelbagai bentuk seperti kain rentang, kain sulaman berlabuci serta kadbod besar. Pemilihan 33 pemenang yang bertuah berdasarkan semua jawapan betul dan slogan terbaik.
Penganjuran Kuiz Bersama YaPEIM bertujuan memberi nilai tambah kepada rencana kolum Bersama Yapeim yang mengetengahkan rencana mengenai yayasan itu di Ruangan Agama Berita Harian.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment